Monday, November 23, 2020

KENANG-KENANGAN POLITIK PAS-IRC-ABIM (Siri 2)

 

BAB 2

PAS ZAMAN BARISAN NASIONAL

 

Fatwa Mengenai Keharusan Kerjasama Pas-Umno 1973-1977[1]

Ada dibangkitkan oleh pihak tertentu mengenai kononnya tindakan PAS bekerjasama dengan UMNO di dalam Kerajaan Campuran Perikatan-PAS pada tahun 1973 dan didalam Barisan Nasional pada tahun 1974 telah tidak mendapat mandat daripada ulama’-ulama’ PAS dan kononnya dihukumkan sebagai haram oleh ulama’-ulama’ PAS tetapi ia dilakukan kerana “terpaksa”.

Sukacita dijelaskan bahawa tindakan PAS bekerjasama dengan UMNO di dalam Kerajaan Campuran Perikatan-PAS pada tahun 1973 sebenarnya telah mendapat mandat daripada majoriti ulama’-ulama’ PAS melalui Jawatankuasa Tarjih yang telah dibentuk oleh perjumpaan ulama'-ulama' PAS pada 14 Disember 1972.

Secara khususnya, 14 daripada 23 Ahli Jawatankuasa Tarjih ini telah bersetuju bahawa tindakan PAS bekerjasama dengan UMNO di dalam Kerajaan Campuran Perikatan-PAS ini adalah harus, di mana 14 ulama’ PAS ini adalah:

1. Nik Abdul Aziz Nik Mat,

2. Nik Mat Nik Man,

3. Faqih Ahmad,

4. Abdul Hakim Abdullah,

5. Kassim Ahmad,

6. Yahya Othman,

7. Zabidi Ali,

8. Tahir Daeng Mengati,

9. Mat Saad Ahmad,

10. Salleh Yusof,

11. Jamahir Idris,

12. Husin Besar,

13. Daud Yusof, dan

14. Abu Bakar Hamzah.

Pada masa yang sama, tidak dapat dinafikan bahawa 9 daripada 23 Ahli Jawatankuasa Tarjih ini telah bersetuju bahawa tindakan PAS bekerjasama dengan UMNO di dalam Kerajaan Campuran Perikatan-PAS ini adalah haram, di mana 9 ulama’ PAS ini adalah:

1. Othman al-Yunusi,

2. Abdul Samad Noh,

3. Ramli Senik,

4. Ahmad Long,

5. Yahya Junid,

6. Zakaria Mohd Dohor,

7. Abu Bakar Hanafiah,

8. Azhari Abdul Razak, dan

9. Mawardi Lebai Teh.

Nas-nas al-Qur'an yang telah digunakan oleh ulama'-ulama' PAS yang mengharuskan pembentukan Kerajaan Campuran Perikatan-PAS ini adalah:

1. Ayat 21 Surah al-Ahzab (yang bererti, "Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat"),

2. Ayat 104 Surah Ali 'Imran (yang bererti, "Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji)", dan

3. Ayat 36-37 Surah al-Zumar (yang bererti, "Dan (ingatlah) sesiapa yang disesatkan oleh Allah (dengan sebab pilihannya yang salah), maka tidak ada sesiapa pun yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya, dan sesiapa yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah (dengan sebab pilihannya yang benar), maka tidak ada sesiapa pun yang dapat menyesatkannya").

Nas-nas al-Qur'an yang telah digunakan oleh ulama'-ulama' PAS yang mengharamkan pembentukan Kerajaan Campuran Perikatan-PAS ini pula adalah:

1. Ayat 21 Surah al-Ahzab (yang bererti, "Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat"),

2. Ayat 113 Surah Hud (yang bererti, "Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang melakukan kezaliman, maka (kalau kamu berlaku demikian), api neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun, yang lain dari Allah, kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan"),

3. Ayat 42 Surah al-Baqarah (yang bererti, "Dan janganlah kamu campur-adukkan yang benar itu dengan yang salah"),

4. Ayat 63 Surah al-Anfal (yang bererti, "Kalaulah engkau membelanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatu-padukan di antara (perasaan hati) mereka, akan tetapi Allah telah menyatu-padukan di antara (perasaan hati) mereka, sesungguhnya Ia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana"),

5. Ayat 59 Surah al-Nisa' (yang bererti, "Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (kitab) Allah (al-Qur'an) dan (sunnah) Rasul-Nya"), dan

6. Ayat 26 Surah Nuh (yang bererti, "Wahai Tuhanku, janganlah Engkau biarkan seorang pun dari orang-orang kafir itu hidup di atas muka bumi").

Sukacita juga dijelaskan bahawa tindakan PAS bekerjasama dengan UMNO di dalam Barisan Nasional pada tahun 1974 sebenarnya telah turut mendapat mandat daripada Muktamar Dewan Ulama' PAS Pusat Kali Ke-13 pada 13 Jun 1974.

Secara khususnya, ketetapan yang telah dipersetujui oleh Muktamar Dewan Ulama' PAS Pusat Kali Ke-13 pada 13 Jun 1974 ini adalah berbunyi:

“(Setelah) menimbangkan dengan penuh kesedaran dalam beragama akan bentuk 'Barisan Kebangsaan (Nasional)' dari sudut-sudut pembentukannya, tujuan-tujuannya dan (setelah) memerhati dengan jauh dan cermat keadaan suasana negara kita Malaysia ini serta perkembangan-perkembangan politiknya dan politik negara sekitarnya, dipadankan dengan petunjuk-petunjuk daripada nas al-Qur'an dan al-Sunnah serta berpandu kepada kaedah-kaedah fiqh, maka kesimpulan dari muzakarah (kami pada hari ini) sepakat dari ijtihad kami bahawa penyertaan PAS ke dalam 'Barisan Kebangsaan (Nasional)' itu adalah harus (mubah) jua adanya.”

Kedua-dua perkara ini tidak boleh ditakwilkan oleh sesiapa sekalipun kerana ia ada tercatat di dalam Minit Perjumpaan Ulama'-Ulama' PAS pada 14 Disember 1972 dan Minit Muktamar Dewan Ulama' PAS Pusat Kali Ke-13 pada 13 Jun 1974 yang ada dalam simpanan saya.

 

Sumber:

FB Dr Kamarul Yusof, 11.7.2020

 

 

 

Krisis Kerajaan Kelantan 1978

 

Krisis 1978 merupakan krisis paling besar dan paling rumit yang pernah dialami oleh PAS kerana ia melibatkan rakyat, parti, antara parti dan kerajaan.

 

Dato Muhammad Nasir dikatakan dilantik sebagai Menteri Besar Kelantan atas restu Tun Abdul Razak, Perdana Menteri ketika itu.[2] Ia menimbulkan ketidakpuasan hati beberapa pihak dalam PAS. Usaha menyingkirkan Dato Muhammad Nasir pada bulan September 1977. Kumpulan 20 yang terdiri daripada ADUN memberi dua pilihan kepada Nasir sama ada meletak jawatan atau menghadapi undi tidak percaya dalam sidang DUN bulan Oktober 1977.

 

Dewan Ulama PAS Kelantan mengalami kemelut apabila Ustaz Mahmud Zuhdi, setiausaha Dewan Ulama Kelantan menyokong Nasir[3] manakala Naib Ketuanya Zakaria Ismail menafikan kenyataan Mahmud Zuhdi. Nasir semakin kuat apabila rakyat Kelantan berada teguh dibelakang kepimpinan beliau. Persatuan Pengajian Tinggi Nilam Puri, Badan Pengembangan Kebudayaan Malaysia (BABAK), mahasiswa Kelantan UKM (PERDANA) menyokong Nasir. Pada 24 September 1977, lebih 80000 orang berhimpun di Padang Merdeka untuk menyatakan sokongan kepada Nasir.

 

Nasir dipecat daripada PAS pada 29 September 1977 oleh Jawatankuasa Agung PAS.  Lapan yang menyokong pemecatan Nasir ialah Nik Abdul Aziz (Ketua Dewan Ulama PAS Pusat), Wan Ismail Wan Ibrahim (Timbalan Menteri Besar Kelantan), Zahari Awang, Khaidir Khatib, Sakinah Junid (Ketua Dewan Muslimat), Jamal Idris, Daud Samad, Hakim Abdullah dan Asri Muda (Yang Dipertua PAS Pusat). Mereka yang menentang pemecatan ialah Ali Taib dan Baharuddin Latiff.  Kelompok yang mengundi agar pemecatan tersebut ditangguhkan ialah Mustafa Ali (Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat),  Salmah Husein, Ishak Rejab, Harun Din, Hassan Shukri (SUA PAS Pusat), Daeng Sanusi (Naib YDP), Wahab Yunus dan Suffian Mohamad. Walau bagaimanapun, keputusan ini dianggap ‘kesilapan teknik’ yang diumumkan pada 4 Oktober 1977. Satu rombongan telah dibawa ke Kelantan untuk memohon maaf kepada Nasir.

 

Pada 10 Oktober 1977, sekali lagi sidang Jawatankuasa Agung PAS Pusat memutuskan pemecatan Nasir. Mohd Asri Muda berkecuali dalam mesyuarat ini. Kelompok menyokong pemecatan ialah Abu Bakar Omar (Naib YDP),  Nik Abdul Aziz, Sakinah Junid, Wahab Yunus, Zahari Awang, Salmah Husein, Daud Abdul Samad, Wan Ismail Wan Ibrahim, Tengku Kamaruzaman Tengku Hamid, Khaidir Khatib, Zabidi Ali, Jamahir Idris dan Abdul Hakim Muhammad. Kelompok menentang pemecatan ialah Hassan Adli (Timbalan YDP PAS Pusat), Hassan Shukri (SUA Agung), Harun Din, Ishak Rejab, Abbas Alias (mantan YDP/AJK), Baharuddin Latiff dan Sufian Mohammad. Mustafa Ali dan Daeng Sanusi berkecuali.

 

Pada 15 Oktober 1977, dalam Dewan Undangan Negeri, kumpulan 20 telah mengadakan undi tidak percaya terhadap Menteri Besar, Dato  Muhamad Nasir dan usul berkenaan diluluskan. Kerajaan Kelantan pimpinan Nasir digulingkan. Seramai 13 ADUN UMNO dan seorang anggota MCA serta Nasir meninggalkan DUN semasa pengundian diadakan.

 

Kemuncak pada 19 Oktober 1977, kacau bilau dan rusuhan melanda Kota Bharu. Beberapa siri rusuhan berlaku di Kelantan. Perintah berkurung 24 jam diadakan bagi menjamin keselamatan dan keamanan. Pada 8 November 1977, Rang Undang-undang Kuasa-kuasa Darurat dibentang dan diluluskan setelah 8 jam dibahaskan. PAS dan DAP menentang rang tersebut. Seramai 118 anggota Parlimen termasuk daripada PAS (Hassan Adli) manakala 18 menentang.

 

Kelulusan rang ini membawa krisis antara BN dengan PAS apabila PAS melalui Asri, dua timbalan menteri dan dua setiausaha parlimen daripada PAS meletak jawatan dalam kerajaan. Hassan Adli (Timbalan YDP PAS Pusat) ingkar arahan dan tidak mahu meletak jawatan akhirnya dipecat daripada PAS.

 

Darurat selama 95 hari. Nasir masih dikekalkan sebagai Menteri Besar tanpa kuasa. Pengarah Kerajaan berkuasa. Kerajaan ini dinamakan kerajaan MAGERAN.

 

Pada 5 Disember 1977, Dewan Majlis Tertinggi BN telah bersidang, 9 parti dalam BN mengundi PAS dipecat daripada BN, PPP berkecuali dan PAS menentang. Maka, tamatlah riwayat PAS dalam BN.

 

Nasir telah menubuhkan parti baru ialah Barisan Jamaah Islamiyyah SeMalaysia (BERJASA) pada  25 September 1977. Pada awalnya, Nasir nak menamakan parti baru sebagai Parti Progresif Islam atau Parti Tindakan Islam. Menurut sesetengah penulis politik, kelahiran BERJASA mempunyai kaitan dengan UMNO dalam menumbangkan PAS sebagaimana kelahiran BERJAYA menumbangkan USNO di Sabah.

 

Dalam BERJASA,  antara tokoh ternama dalamnya ialah Nasir (YDP), Ali Taib (Timbalan YDP), Hassan Adli (Naib YDP), Abu Bakar Hamzah (Naib YDP), Wan Hashim Wan Ahmad (AJK), Mahmud Zuhdi (SUA), Ibrahim Ali (Ketua Pemuda) dan Mohamad Che Wook (Ketua Dewan Ulama). Pada pilihanraya Umum 1978, BERJASA berjaya mendapat 11 kerusi manakala BN mendapat 23 kerusi.

 



[1] Oleh Dr Kamarul Yusuf

[2] Selepas PRU 1974, PAS mahu Wan Ismail dilantik sebagai Menteri Besar Kelantan manakala UMNO mahukan Muhammad Nasir. Bagi menjaga perpaduan Barisan Nasional, PAS mengalah kepada kehendak UMNO.

[3] Nasir mendakwa kemelut berlaku akibat kes pembalakan dan tanah.

No comments:

Sebelum Loceng PRU 15 Melolong

 Sebelum Loceng PRU 15 Melolong a. Kerajaan 1. Kita perlu memahami bahawa kerajaan persekutuan pada hari ini berdiri atas sokongan para ahli...