Sunday, November 29, 2020

Kenang-Kenangan Politik PAS-ABIM-IRC (Siri 9)

 

BAB

PENGARUH IKHWANUL MUSLIMIN DI MALAYSIA

 

Dalam sejarah Tanzim Ikhwan di negara ini, kita wajar melihat siapa yang paling awal menceburi diri dalam Ikhwan. Setakat hari ini, sejarah membuktikan generasi semasa Prof Dr Zulkifli Mohamad (Timbalan YDP PAS) adalah generasi awal yang mendapat pengaruh pemikiran Ikhwan. Prof Dr Zulkifli Mohamad sendiri mendapat tarbiah secara langsung melalui kuliah hari selasa yang diadakan oleh Ikhwan di Kaherah semasa beliau belajar.[1] Cuma yang tidak dapat dibuktikan adalah keahlian beliau dalam Ikhwan.

 

Pengaruh pemikiran Ikhwan juga dikesan pada tahun 1957 apabila seorang pelarian dari Mesir, Syeikh Taqiyuddin Qandil datang mengajar pelajar sekolah agama[2] di Kedah dan Perlis[3] khasnya Maktab Mahmud. Beliau mengunakan sistem usrah yang digilirkan antara rumah ahli usrah. Menariknya, antara ahli usrah ini adalah Ustaz Jais Anwar yang akhirnya menjadi Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat sesi 1968/70.[4] Kemudian Taqiyuddin mengajar di Kolej Islam Klang.

 

Peringkat paling penting ialah pada tahun 1963 apabila 10 orang pelajar Malaysia dihantar ke Iraq atas saranan Dato Mohd Asri Muda dengan kerjasama Presiden Iraq pro Ikhwan, Muhamma Arif Abdul salam. Mereka adalah

 

  1. Hassan Shukri (PAS)
  2. Muhammad bin Daud (PAS)
  3. Abdul Rahim bin Muhammad Zain (pensyarah UM)
  4. Hasbullah Kasban (pensyarah UTM)
  5. Hashim Jasin (PAS)
  6. Azmi bin Ahmad (ABIM Kedah)
  7. Abdul Ghani bin Kasa (guru agama)
  8. Abdul Halim Yahya (pegawai agama FELDA)
  9. Isamuddin bin Ahmad  (ahli perniagaan)
  10. Dahlan Mohd Zain (ABIM Perlis-KUSDA-HALUAN)

 

Dalam kalangan 10 pelajar ini menjadi guru dan pensyarah yang mentarbiah murid-murid dan mahasiswa dengan silibus Ikhwan.

 

Peranan Dato Mohd Asri Muda juga penting. Beliau mempunyai hubungan baik dengan pimpinan gerakan Islam di dunia. Antaranya dengan Muhamad Natsir (MASYUMI) dan Kamal as Sananiri (Ikhwan Mesir, suami Hamidah Qutb).  Dengan hubungan baik ini, Dato Asri mendapat tajaan daripada Kerajaan Iraq (masa itu rapat dengan Ikhwan) kepada 10 pelajar di atas.

 

Pada tahun 1963, Pertubuhan Dakwah Rahmaniyyah yang diasaskan oleh sekelompok mahasiswa Jabatan Pengajian Islam UM bekerjasama dengan pensyarah Kolej Islam Malaya dikatakan mempunyai pengaruh Ikhwan. Mereka dibimbing oleh tokoh Ikhwan yang betugas di Malaysia seperti Ismail Nawab (Arab Saudi), Ibrahim Bawani (Mesir) dan Nabih Subhi al Tawil (Syria).

 

Sebenarnya ada satu lagi kumpulan usrah di London yang diusahakan oleh pimpinan PKPIM. Usrah ini dipimpin oleh Ustaz Razali Nawawi di London ini diadakan pada tahun 1968. Anggota lain usrah ini ialah Syed Ibrahim Abdul Rahman, Wan Ismail Wan Ibrahim dan Hishamuddin Yahya. Kumpulan ini mendapat sentuhan Said Ramadhan dan Solah Jahiin.

 

 

 

 

PENUBUHAN IRC

 

Ikhwanul Muslimin mementingkan sofwatul mukhtarah iaitu pembinaan golongan terpilih (orang cerdik) dalam jemaah.[5]  Wadah pentarbiahan yang sangat penting adalah usrah. Usrah yang terkenal yang dikatakan ‘usrah ibu segala murabbi’ ialah usrah yang didakwa dipimpin oleh Tuan Guru Abdul Hadi Awang semasa di Mesir. Antara yang dikatakan anggota usrah itu ialah Ustaz Zawawi Ali (IRC), Ustaz Mohd Parid Sheikh Ahmad(IRC), Ustaz Mohamad Kamil Majid (UM), Ustaz Abdul Rahim (Negeri Sembilan), Ustaz Darus Senawi (HALUAN), Dr Hatta Shaharom (IRC) dan Ustaz Alias Othman.[6]  Usrah ini dikatakan diserahkan kepada Ustaz Mustafa Masyhur setelah Tuan Guru Abdul Hadi pulang ke Malaysia. Tokoh-tokoh ini menjadi murabbi jemaah Islam di Malaysia dan cukup berpengaruh dalam al jamaah-IRC-JIM-IKRAM, HALUAN[7], ABIM dan PAS.

 

Pada tahun 1975, tiga buah usrah telah digabungkan diketuai oleh Mohd Parid Sheikh Ahmad. Anggota yang lain ialah Alias Othman, Abdul Rahim Yusof, Zawawi Ali, Sayuti Ramli, Abu Kassim Manaf, Adam Mat Lana dan Mohamed Hatta Shaharom. Pertemuan-perbincangan ke arah pembinaan usrah-jemaah menurut Ikhwanul Muslimin bermula dalam kalangan kelompok agama sejak mereka belajar belajar di Nilam Puri (YPTIK) lagi sebelum mereka ke Mesir. Di Nilam Puri, mereka ditarbiah oleh tokoh seperti Ustaz Yahya Othman dan Ustaz Muhammad Daud al Iraqi. Pada awalnya, kumpulan ini dikenali jamaah dan kemudiannya dikenali kumpulan Alami. Mereka  juga dikenali Jemaah Misri.

 

Islamic Representative Council (IRC) juga ditubuhkan pada tahun 1975 di Masjid al Rahmah, Liverpool. Antara pemimpin IRC ialah Saari Sungip, Abang Abdullah Abang Ali, Mustafa Abdul Kadir, Azhari Md Salleh, Zaid Kamarudin, Ariffin Hasan, Fuad Abbas, Dzulkefly Ahmad dan Ahmad Termizi. Pada penghujung 1970an, IRC dan Jemaah Misri  mula bergabung secara bertahap-tahap. Pengabungan ini disertai oleh jemaah pelajar Malaysia dari luar negara seperti Amerika, Australia dan beberapa negara lagi.

 

Tuan Guru Abdul Hadi Awang mendapat pengaruh Ikhwan Mesir, beliau terlebih dahulu dipengaruhi oleh pemikiran tokoh Ikhwan Syria, Said Hawwa. Pemikiran politik dan tanggungjawab jemaah menyebabkan Tuan Guru Abdul Hadi bergerak aktif dalam PAS berbanding IRC.[8] Selain itu TGHH mempunyai penglibatan dalam kegiatan PAS sebelum ke Madinah lagi.

 

Tokoh unik yang mendapat celupan Ikhwanul Muslimin adalah Tuan Guru Yahya Othman (mantan ahli Majlis Syura Ulama PAS dan Majlis Syura ABIM). Beliau pernah berguru dengan pemimpin Ikhwan Syria yang terkemuka iaitu Ustaz Mustafa as Sibai. Kemudian beliau  mendapat tarbiah Ikhwan Iraq seterusnya mendapat tarbiah Ikhwan Mesir. Beliau pernah berikrar bersama sahabat beliau untuk memperjuangkan Islam di Malaysia semasa beliau di Mesir. Beliau pernah bergerak cergas dalam WAMY yang digerakkan oleh Ikhwanul Muslimin Antarabangsa.

 

Dasar Ekonomi Baru membolehkan kelompok pelajar cemerlang kalangan bumiputera ditaja belajar ke luar negara terutamanya Britain. Kesedaran Islam semasa di sana membolehkan mereka merapati pemimpin Ikhwanul Muslimin dalam buangan. Selain itu, mereka juga mendekati tokoh Islam daripada Jamaati Islami Pakistan dan Jamaah Nur dari Turki. Di Britain, MISG sudah ada sejak 1971 dan bergabung dengan Kesatuan Pertubuhan-pertubuhan Pelajar Islam (FOSIS). FOSIS bertujuan memberi kesedaran kepada pelajar-pelajar Islam.

 

Perasaan tidak berpuas hati terhadap mula memutik apabila pelajar Malaysia tidak dapat menerima pendekatan Islam FOSIS dan penguasaan pelajar Islam daripada negara-negara Islam yang minoriti berbanding pelajar Malaysia yang majoriti dalam FOSIS. Isu-isu Malaysia kurang dicakna oleh FOSIS.

 

Pada awal tahun 1975, Suara Islam telah ditubuhkan oleh pelajar Malaysia. Suara Islam dipengaruhi oleh pemikiran Jamaati Islami Pakistan. Mentor Suara Islam ialah Javed Ansari, seorang tokoh Jamaati Islami yang menjadi pensyarah di sana. Javed mempunyai pemikiran radikal dan kritis. Beliau memberi penerangan perbandingan Islam dengan komunisme Mao dan Stalin. Antara kepercayaan Suara Islam ialah ‘revolusi Islam perlu dipimpin oleh sebuah parti politik’. Mereka bercadang ingin menubuhkan Parti Revolusi Islam (ada pendapat Parti Negara Islam) sekembali mereka ke Malaysia.

 

Kemudian muncul IRC yang menggunakan pendekatan dakwah dan tarbiah. Mereka mengunakan pendekatan Ikhwan iaitu menembusi organisasi sedia ada dan cuba melakukan perubahan daripada dalam organisasi tersebut. IRC mengunakan usrah-usrah untuk merapat hubungan sesama anggota dan mengalakkan anggota mereka dalam penyertaan dalam pembangunan masyarakat.

 

ABDUL HADI AWANG, YAHYA OTHMAN,  PAS DAN IKHWANUL MUSLIMIN.

 

Ada yang mendakwa Abdul Hadi menganggotai Ikhwan sejak akhir 1960an. Abdul Hadi Awang kurang bersetuju dengan pemikiran dan pendekatan konsep Ikhwan Alami. Konsep  Ikhwan Alami bukanlah fikrah Ikhwan yang asal dan tidak dipersetujui oleh senior-senior dalam Ikhwan. Ikhwan Alami digerakkan oleh tokoh muda Ikhwan yang pernah mengerakkan Ikhwan di negara Barat. Ikhwan Alami mahu menubuhkan jemaah baru walaupun di negara tersebut sudah ada jemaah Islam yang sedia ada.

 

Menurut Abdul Hadi Awang, asal usul Ikhwan Alami Malaysia apabila beliau memperkenalkan sekelompok pelajar Melayu lepasan Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan (YPTIK) Nilam Puri (kemudian menjadi tokoh Alami) kepada pihak Ikhwan. YPTIK dilihat kubu pengkaderan PAS-Ikhwan. Abdul Hadi  bersangka baik dengan mereka kerana mereka datang daripada Nilam Puri yang dibawah PAS.[9] Kelompok pelajar ini ditarbiah oleh pensyarah yang mempunyai latarbelakang ditarbiah oleh Ikhwan seperti Ustaz Yahya Othman[10] (Pensyarah YPTIK) dan Ustaz Mohamad Daud Iraqi[11] (Pensyarah YPTIK).

 

Apabila mereka pulang ke Malaysia, mereka mahu menubuhkan Ikhwan di Malaysia. Abdul Hadi tidak bersetuju dengan mereka. Menurut Abdul Hadi, mereka ini tidak ihtiram (menghormati) orang yang lebih khibrah (berpengalaman) dalam memahami waqie' (realiti).

 

 Yahya Othman juga tidak bersetuju dengan penubuhan jemaah baru. Beliau pernah dijemput untuk menjadi murabbi atau mas’ul tarbiah sebuah jemaah tetapi beliau menolak. Beliau memberitahu bahawa beliau dan sahabat beliau dinasihati oleh Ikhwanul Muslimin menyertai PAS dalam usaha memperkuatkan PAS khususnya dalam bidang tarbiah dan dakwah. Nasihat Yahya Othman, ‘PAS ini terbuka akhi, sesiapa sahaja boleh masuk PAS, tak perlu tubuh jemaah baru”. Begitu nasihat Yahya Othman kepada pemimpin sebuah jemaah.[12]

 

Kamal Helbawy pernah menyarankan HALUAN, ISMA dan JIM memilih PAS sebagai platform perjuangan dalam memastikan suasana politik yang adil. Kumpulan-kumpulan Islam ini bergerak bersama-sama dengan PAS dalam kondisi saling memahami antara satu sama lain. Jangan bersikap melampau dan provokatif antara satu sama lain.[13]

 

Hassan al Banna sendiri mengakuri dan bersetuju pendapat Raja Saudi, al Malik Faisal tidak membenarkan Ikhwan ditubuhkan di sana kerana menganggap beliau juga sebahagian daripada Ikhwan. Abdul Hadi bersetuju dengan idea mentor beliau, Said Hawwa yang mengkritik pendekatan Ikhwan Alami yang dianggap tidak perlu. Sudah cukup dengan adanya front antarabangsa untuk menyatukan ikhwan daripada seluruh negara bukannya menubuhkan Ikhwan di negara yang sudah ada jemaah Islam.

 

Kepimpinan Ikhwanul Muslimin Antarabangsa menjadi  wakil jemaah seluruh dunia. Front ini berperanan membuat qarar (ketetapan) yang dipersetujui bersama. Semua jamaah di negara-negara umat Islam tadi wajib melaksanakan qarar-qarar tersebut semampu mungkin. Namun jika bertembung dengan realiti di negara masing-masing  mengekang, maka qarar itu boleh untuk tidak dilaksana.[14]

 

Dalam mengatasi permasalahan perbezaan antara jemaah Islam, pendekatan sederhana, berhikmah  dan lembut wajib digunakan. Seteruk mana sekalipun mereka, mereka tetap anasir-anasir Islam. Mereka sendiri bukan musuh. Dalam keluarga, setiap anggotanya ada fungsi. Ada yang berwatak emak, watak ayah dan watak anak.  Ibu garang, ayah menasihati.

 

KEMUNCULAN HALUAN, JIM, ISMA DAN IKRAM

 

Jemaah Islah Malaysia (JIM) ditubuhkan 27 Julai 1990. JIM merupakan salah satu atau sebahagian entiti Tanzim Ikhwan Malaysia. Setelah 15 tahun bergerak tanpa organisasi sendiri, satu keperluan untuk IRC bergerak dalam ruang terbuka.

 

 Visi JIM ialah membangun sebuah negara Malaysia yang melaksanakan sepenuhnya syariat Islam menjelang 2020.  Motto JIM yang berbunyi "Bersama Islam Membina Masyarakat". Presiden pertama JIM ialah Ir. Saari Sungip dikatakan salah pimpinan IRC UK. Antara kejayaan penting JIM ialah

  1. Kedudukannya (positioning) kalangan NGO Islam
  2. Kedudukan JIM dalam kalangan NGO lain dan masyarakat Madani
  3. Kedudukan dalam parti politik
  4. Jaringan dengan pelbagai agensi kerajaan
  5. Dikenali dengan institusi seperti sekolah al Amin.

 

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) diluluskan pendaftaran pada 22 Oktober 2009. Antara tujuannya ialah menyatukan entiti IRC yang bertaburan yang menyukarkan arahan pusat. Presiden pertama ialah Ustaz Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad. Cogan kata IKRAM ialah “Ukhuwah Teras Kegemilangan”. Dasar IKRAM ialah  Islam, dan asas pegangannya ialah Al-Qur’an, As-Sunnah, Ijma’ dan Ijtihad.

 

Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (HALUAN Malaysia) mempunyai susur galur  daripada ABIM Perlis atau ABIM Utara. Ada juga mengenali kelompok ini sebagai ‘Sahabat Utara’ atau Kumpulan Ustaz Dahlan (KUSDA). Pada tahun 1988, kumpulan ini menjelmakan diri sebagai HALUAN Malaysia. Haluan Malaysia lebih menumpukan kepada kebajikan dan pentarbiahan. Pusat pengajian popular mereka ialah Ma’had Attarbiyah al Islamiyyah (MATRI) diasaskan oleh Ustaz Dahlan Mohamad Zain.  Motto iaitu  “berakhlak, mendidik dan berbakti”. Ustaz Dahlan salah seorang senior Ikhwan di Malaysia.

 

Ikatan Siswazah Muslim Malaysia (ISMA) ditubuhkan pada tahun 1997 yang menjadi sebahagian daripada Tanzim IRC. Pada tahun 2005, penjenamaan ISMA berlaku. Ia dikenali sebagai Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) dan menarik diri daripada pengaruh IRC. ISMA berasal daripada kelompok Alami Mesir generasi baru. Diketuai oleh Ustaz Abdullah Zaik bin Abdul Rahman. ISMA mempunyai dua motto iaitu ‘Membangun Umat Beragenda’ dan ‘Melayu Sepakat, Islam Berdaulat’. Pada pilihanraya umum 2013, ISMA telah melakukan ijtihad dengan menghantar calon-calon mereka melalui parti BERJASA. Dalam bidang bantuan kemanusiaan, agensi ISMA iaitu Aman Palestin  terkenal di Malaysia.



[1] Kisah ini dinyatakan oleh  Maulana Abul Hassan an Nadwi ketika menziarahi Mesir.

[2] Dikatakan UstazFadzil Nor pernah belajar dengan syeikh Taqiyudin.

[3] Hashim Jasin (Mursyidul Aam PAS) belajar di Madrasah  Alawiyyah Perlis dan Ahmad Awang (Naib Presiden PAS), Idris Omar (Timbalan Mursyidul Aam PAS) dan Daeng Sanusi (Naib Presiden PAS) yang belajar di KIK menafikan ada usrah bersama Taqiyuddin

[4] Buku Dr Riduan Mohd Nor, Pengaruh Ikhwanul Muslimin Terhadap PAS.

[5] Mohd Nazeli Ahmad Arifin, Ustaz Yahya Othman, PJ: ILHAM, 2014.

[6] Dinyatakan oleh otai ABIM-IRC. Tokoh ini mantan Majlis Syura ABIM.

[7] Hashim Jasin pernah menegur Dahlan Muhammad Zain yang melakukan usrah secara bersembunyi kerana tidak sesuai dengan konteks Malaysia.

[8] Adakah TGHH juga antara pimpinan IRC?. Kenapa TGHH membenarkan secara mudah tokoh-tokoh IRC berada dalm Lujnah Tarbiah PAS?. Seorang tokoh dakwah memberitahu bahawa TGHH cuba menguasai pentarbiahan ABIM tetapi gagal.Dalam banyak pilihanraya, jentera IRC memang banyak membantu TGHH.

[9] Catatan Hazmi Dibok.

[10] Ahli Jawatankuasa WAMY (1973-1975), selain menduduki Majlis Syura ABIM. Ustaz Yahya Othman telah dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat mulai 1983 hingga 1999 dan Ahli Majlis Syura Ulamak PAS sejak 1987 dan pernah menjadi Setiausaha Majlis Syura Ulamak PAS (1993-1998). Selain menduduki kepemimpinan Dewan Ulamak PAS Pusat dan Perhubungan PAS Kelantan, beliau juga merupakan Yang Dipertua PAS Machang (1971-1991)

[11] Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Ketua Dewan Ulama PAS Kelantan, Pengerusi ABIM Kelantan, ADUN Lundang, ADUN Demit

[12] Mohd Nazeli Ahmad Arifin, Ustaz Yahya Othman.

[13] Majalah Tarbawi, edisi 4.

[14] FB Hazmi Dibok

No comments:

Sebelum Loceng PRU 15 Melolong

 Sebelum Loceng PRU 15 Melolong a. Kerajaan 1. Kita perlu memahami bahawa kerajaan persekutuan pada hari ini berdiri atas sokongan para ahli...