Sunday, November 15, 2020

Ku Ajar Padamu

Ini kuajar padamu                                                                                                                            Daripada seorang guru biasa

Hasil kekayaan dan kesuburan tanah air ini diratah untuk membangunkan kota.


Ekonomi tanah air ini diramas dan dicabul oleh jari-jari besi yang ganas para taikun.


Anak bangsa dan anak desa dipanggil pemalas dikala sistem memenangkan anak-anak bangsawan dan anak orang elit yang mendiami petempatan kelas menengah di ibukota.


Politik menjadi tuanmu yang menyuruh kau setia dikala mereka memperbodohkan rakyat  dengan gula-gula habuan material yang sedikit.


Rakyat hanya alat permainan badut politik yang perutnya buncit dengan harta, komisen dan projek milik negara.


Rasuah politik melata dengan sokongan para taikun menjarah tanah air sehingga gersang.


Bangsawan bergelar yang tidak berjiwa rakyat terus mengikis harta tanah air dan bersubahat dengan para taikun dan badut politik secara senyap.


Cendikiawan dan ulama digantung 'anu' keberanian sehingga menjadi tukang baca doa dan tukang kipas dek kebimbangan kehilangan jawatan dan maruah.


Disebalik itu, sekumpulan mendakwa mereka adalah reformis, pejuang rakyat dan revolusioner bangkit menentang kezaliman dan penindasan. 


Mereka menyeru atas nama keadilan, kebebasan, kemanusiaan dan demi rakyat. Pemerintah mesti ditumbangkan demi perubahan dan keadilan.


Mereka memanipulasi penderitaan dan kesusahan rakyat untuk kelangsungan politik dan kepentingan diri mereka sendiri.


Setelah menang, mereka mula dibuai mimpi dengan kemasyhuran, jawatan, kemewahan dan harta. Mereka lalai dan alpa dengan mengulangi kembali kesilapan rejim lama.


Akhirnya, kepentingan diri, kroni dan keluarga diutamakan berbanding kehendak rakyat yang menderita dan dizalimi.


Rakyat tidak boleh mengharapkan badut politik. Rakyat sendiri mesti bangkit menentang kebodohan para badut politik dan para penjarah (taikun) dengan perubahan sikap, pemikiran dan keinsafan atas nasib yang menimpa ke atas anak bangsa ini.


Rakyat mesti bangkit dan berusaha sendiri bagi memajukan ekonomi keluarga dan komuniti demi kelangsungan politik


Rakyat mesti bangkit melawan korupsi-rasuah, kronisme dan nepotisme. Rakyat mesti bangkit melawan kemalasan, kebodohan dan ketamakkan harta benda.


Tiada lain, kita jaga kita. Badut politik tidak sempurna dalam menjaga kita. Rakyat pilih pemimpin yang paling berakhlak dan parti yang paling kurang mudarat. Tiada ketaksuban pada para badut politik dan parti mereka. Setia dengan kebenaran dengan sedia menolak mana-mana pemimpin yang tidak berakhlak.


16.11.2020

2.30 petang

Pekan, Pahang.


No comments:

Sebab-Akibat

Sebab-akibat antara elemen penting dalam ilmu sejarah. Pemikiran sebab-akibat ini penting bagi mengelakkan kita membuat ramalan dan andaian ...