Saturday, November 28, 2020

KENANG-KENANGAN POLITIK PAS-IRC-ABIM (Siri 6)

 

Bab

Perpecahan Pakatan Rakyat

 

Pakatan Rakyat diumumkan pada 1 April 2008 selepas Pilihan Raya Umum ke 12 pada 8 Mac 2008. Kontroversi bermula pada tahun 2009, polemik hukum hudud kembali menjelma. Diikuti dengan isu Langkah Kajang pada bulan Mac 2014. PAS enggan menyokong Datin Seri Wan Azizah sebagai Menteri Besar Selangor. Akhirnya, Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali dilantik Menteri Besar Selangor.

Pada 29 Disember 2014, sidang khas DUN Kelantan bagi mengemukakan pindaan Rang Undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 tetapi ditangguhkan kerana banjir besar. Usaha PAS ini ditentang oleh DAP.

Pada 28 Januari 2015, Dato Mustafa Ali mencabar agar Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng bersemuka dalam persoalan Pilihan Raya Pihak Berkuasa Tempatan. Lim Guan Eng tidak jujur dalam kenyataannya apabila menyatakan Abdul Hadi dan Mustafa Ali telah dihubungi dan berbincang tentang pilihan raya PBT ini sedangkan persoalan ini tidak pernah dibincangkan [Utusan Malaysia, 29 Januari 2015]. Mustafa Ali mengemukakan cabaran debat dengan Lim Guan Eng [Utusan Malaysia, 31 Januari 2015].

Pada 10 Februari 2015, Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara terhadap Anwar Ibrahim selama 5 tahun. Mahkamah Persekutuan mendapati Anwar Ibrahim BERSALAH meliwat[1] pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 26 Jun 2008.

Pada 18 Mac 2015, Abdul Hadi Awang memberi notis kepada Parlimen untuk membentangkan Rang Undang-undang Persendirian bagi meminda Akta 355. DAP mendakwa Abdul Hadi tidak merujuk kepada Pakatan Rakyat.

Pada 19 Mac 2015, DUN Kelantan telah meluluskan pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 (pindaan 2015) untuk membolehkan PAS melaksanakan Hukum Hudud di Kelantan.

Pada 24 Mac 2015, DAP memutuskan hubungan dengan Presiden PAS tetapi masih mengekalkan hubungan dengan PAS. Mustafa Ali membidas Lim Guan Eng dan Lim Kit Siang kerana bersifat gopoh dengan menyerang Presiden PAS. Bahkan pada masa yang sama mengemukakan formula Selamatkan Malaysia bekerjasama dengan Tun Mahathir tetapi Tun Mahathir menolak pelawaan tersebut.[2]

Pada 3 Jun 2015, Muktamar Dewan Ulama PAS meluluskan usul sebulat suara agar PAS membatalkan tahaluf siyasi dengan DAP. Pada 6 Jun 2015, Muktamar Tahunan PAS sebulat suara meluluskan usul membatalkan tahaluf siyasi dengan DAP tanpa bahas[3] yang dikemukakan oleh Dewan Ulama PAS Pusat. Usul tergempar Dewan Ulama PAS Pusat itu berbunyi, ‘mencadangkan kepada Majlis Syura Ulama dan Jawatankuasa PAS Pusat supaya hubungan kerjasama politik dengan DAP dibatalkan dan PAS terus kekal dalam Pakatan Rakyat’[Harakah, 12-14 Jun 2015].

DAP meminta pemimpin PAS meletak jawatan dalam Kerajaan Pulau Pinang [11 Jun 2015]. Peletakan jawatan ini dimulakan oleh mantan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu dalam Muktamar PAS 2015. Pada 16 Jun 2015, Lim Guan Eng, Setiausaha Agung DAP mengisytiharan pakatan pembangkang dibubarkan. Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata, “PR sudah tiada. Tidak perlu Ketua Pembangkang (Wan Azizah) untuk mengumumkannya”[Sinar Harian, 17 Jun 2015]. Pada 2 Julai 2015, beliau sekali mengisytiharkan bahawa Kerajaan Pulau Pinang bukan lagi Kerajaan Pakatan Rakyat.

Pada 10 Julai 2015, Majlis Syura Ulama menerima dan meluluskan usul membatal tahaluf siyasi dengan DAP.

Khalid Samad menyenaraikan sebab perpecahan PR.[4] Antara sebabnya ialah

  1. Ketidakselesaan pimpinan utama PAS dengan pilihan membentuk kerajaan bersama PKR dan DAP. PAS bimbang pengaruh bukan Islam dalam kerajaan Selangor.
  2. September 16 dan konsep UG.
  3. Menangani pemimpin dan anggota PAS yang pro-PR.

Penulis pula melihat beberapa sebab

  1. Kegopohan dan kegelojohon Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng membuat keputusan.
  2. Serangan DAP ke atas peribadi Presiden PAS.
  3. Kenyataan DAP yang dilihat mengancam kedudukan Islam dan Orang Melayu seperti Pilihan Raya Kerajaan Tempatan dan ingin mewujudkan Kerajaan Negeri di Kuala Lumpur (Konvesyen Tahunan DAP Wilayah Persekutuan, 2.11.2014)
  4. kegelojohan setengah pihak mahu menubuhkan parti baru.

 

Teresa Kok menyatakan,“Hakikatnya, seperti yang dinyatakan di atas, menunjukkan perpecahan itu disebabkan tak lain tak bukan sikap diktator Hadi dan kegagalannya menghormati rangka kerja dasar bersama PR’.[5]

Campurtangan DAP dalam pemilihan PAS merupakan satu perbuatan biadap dalam sebuah permuafakatan parti politik. Itu bukan perbuatan seorang sahabat tetapi perbuatan musuh! PAS tidak bermusuh dengan orang Cina. PAS tidak bermusuh dengan DAP. PAS bermusuh dengan pemimpin DAP yang anti-Islam, pengkhianat dan biadap.

Ada yang mendakwa PAS mengamalkan sifat pragmatis dan flip-flop dalam politik. Kenyataan ini tidak benar. Perjuangan PAS mendahulukan Islam daripada segalanya termasuk kemenangan PRU, PAS berjuang untuk mendapat keredhaan ALLAH bukan semata-mata kemenangan politik ke Putrajaya, strategi politik yang berubah berdasarkan konteks zaman dan situasi semasa tetapi merujuk dan tidak lari daripada pendalilan al-Quran, as Sunnah, Ijma’ dan Qiyas. PAS tidak mengamalkan matlamat menghalalkan cara. Medan politik merupakan medan ijtihad yang cukup dinamik bukannya statik. Beza pragmatisme dengan Islam adalah hujah-dalil yang diputuskan oleh ulama yang berautoriti demi kepentingan Islam dan patuh syariah.

 

PAS Dalam Kerajaan Negeri Selangor

 

Dato Mustafa Ali, Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat menyatakan ‘dalam politik, kerjasama  boleh dilakukan dengan pelbagai cara. Malah dalam pilihan raya, kalau kerjasama diperlukan, kita boleh lupakan perkara yang sudah lepas. Anwar pernah sebut tentang national consensus, Kit Siang dengan idea Save Malaysia Coalition dan Abdul Hadi dengan Kerajaan Tanpa Pembangkang. Semua idea ini matlamatnya adalah sama dan boleh berlaku’.[6]

PAS Selangor menolak cadangan Pengarah Komunikasi PAN, Khalid Abdul Samad agar PAS bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi menangani kemelut politik melanda pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor. Khalid mahu PAS menandatangani perjanjian rasmi antara PAS dengan PH. ADUN Meru, Dr Abdul Rani Osman menyatakan dalam PRU 13 PAS memenangi 15 Kerusi atas nama Pakatan Rakyat bukan PH. Justeru tiada perlu menandatangani perjanjian rasmi.[7]

Pengerusi DAP Kajang Baru, Chiong Yoke Kong mahu pemimpin tertinggi DAP menetapkan tempoh masa kepada Mohamad Azmin Ali supaya memecat EXCO PAS daripada pentadbiran Negeri Selangor. Jika tidak DAP tidak teragak-agak keluar daripada Kerajaan Selangor.[8] Pesuruh Jaya PAS Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad menjelaskan bahawa PAS tidak akan tunduk dengan desakan DAP tersebut.

Dato Seri Mohamed Azmin Ali menegaskan tiada keperluan melakukan perjanjian baru kerana PAS bersetuju untuk terus berpegang kepada dasar bersama dan manifesto PR sebagai asas pentabiran bersama.[9]

Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli memberi jaminan PAS akan tetap bersama-sama dengan PKR dan DAP untuk terus mentadbir Kerajaan Selangor. PAS akan menerima pakai dasar-dasar mentadbir Selangor yang telah diputuskan bersama.[10]



[1] Anwar Ibrahim pernah didapati BERSALAH meliwat pemandu keluarganya Azizan Abu Bakar pada tahun 1994 dan dijatuhi hukuman penjara 9 tahun pada tahun 2000 oleh Mahkamah Persekutuan. Mahkamah mengarah Anwar menjalani hukuman penjara tersebut selepas Anwar menyelesaikan hukuman penjara ekoran 4 kes rasuah selama 6 tahun pada 4 April 1999. Pada tahun 2004, Hakim Mahkamah Persekutuan Tun Abdul Hamid Mohamad mengetepikan hukuman penjara atas tuduhan kes liwat dengan undi 2-1. Anwar Ibrahim bebas. Abdul Hamid menulis penghakiman majority berkata hakim mendapati Anwar, Azizan dan Sukma Darmawan Sasmitaat Madja (adik angkat Anwar) “terlibat dalam kegiatan homoseksual” dan hakim-hakim cenderung untuk percaya bahawa liwa yang didakwa memang berlaku. Lihat Astroawani, 10.2.2015

[2] Sinar Harian, 2 Jun 2015. Utusan Malaysia, 2 Jun 2015

[3] Usul tanpa bahas adalah arahan daripada Abdul Hadi Awang. Beritahu Pengerusi Jawatankuasa Usul Muktamar 2015, Dato Mahfuz Omar. Mesyuarat itu juga disertai oleh Dato Tuan Ibrahim Tuan Man, Haji Mohamad Sabu, Dato Mustafa Ali dan Tuan Guru Dato Dr. Haron Din, Mursyidul Aam PAS. Cadangan awalnya, usul ini dibahaskan tetapi pada hari kedua mesyuarat itu memutuskan usul itu diterima tanpa bahas [Sinar Harian, 11 Jun 2015]

[4] Khalid Samad, Dari PAS ke Amanah, PJ: Ilhambooks, 2016.

[5] http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/02/01/sikap-diktator-hadi-punca-pr-berpecah-kata-kok/

[6] Sinar Harian, 3 September 2015.

[7] Sinar Harian, 11 November 2015.

[8] Sinar Harian,  3 November 2015

[9] Sinar Harian, 14 November 2015.

[10] Sinar Harian, 23 November 2015.

No comments:

Sebelum Loceng PRU 15 Melolong

 Sebelum Loceng PRU 15 Melolong a. Kerajaan 1. Kita perlu memahami bahawa kerajaan persekutuan pada hari ini berdiri atas sokongan para ahli...