BAB
PENYINGKIRAN ABIM DALAM PARTI KEADILAN NASIONAL
Parti
Keadilan Nasional (PKN) berasal daripada sebuah NGO yang bernama ADIL
ditubuhkan dan diketuai oleh Dr Wan Azizah Wan Ismail pada 10 Disember 1998.
Pada
4 April 1999, Parti Keadilan Nasional (PKN) dilancarkan dengan mengunakan
singkatan KeADILan. Parti Keadilan Nasional atau (KeADILan-selepas ini PKN)
adalah sebuah pertubuhan politik yang didaftarkan pada tahun 1990. Nama asalnya
adalah Ikatan Masyarakat Islam dan dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa pada tahun
1999, parti ini dipinda namanya kepada Parti Keadilan Nasional (KeADILan),
sesuai dengan aspirasi perjuangan semasa. Misi perjuangan adalah jelas:
menegakkan keadilan dan kebenaran.
KeADILan
adalah parti berbilang kaum dan agama yang terbuka keahliannya kepada semua
warga Malaysia. PKN disertai oleh pemimpin gerakan reformasi. Pemimpin gerakan
reformasi ini terdiri daripada mantan pemimpin UMNO, pemimpin ABIM[1], pemimpin JIM, pemimpin NGO
bukan Islam[2], cendikiawan dan reformis
(sebelum ini tidak berparti) serta sahabat-sahabat lama Anwar Ibrahim[3]. Walau bagaimanapun,
kepimpinan PKN didominasi oleh kelompok ABIM. Perkara ini menimbulkan keresahan
kepada kelompok lain yang menganggap Dr Wan Azizah cuba dikuasai oleh kelompok
ABIM.
Sebelum
Persidangan Agung PKN dari 9 hingga 11
November 2001, terdapat beberapa isu yang mencengkam PKN. Antaranya
1. Dr. Wan Azizah menghadapi krisis kepercayaan dalam
kepimpinannya.
Timbalan
Presiden, Dr. Chandra Muzaffar telah mengumumkan dia tidak akan bertanding
mempertahankan jawatannya diikuti Naib Presiden Zainor Zakaria yang turut
berbuat demikian. Pemimpin-pemimpin lain yang berundur dan membayangkan hasrat
ingin berundur ialah Ruslan Kassim (Ketua Penerangan), Hamdan Taha (Naib Ketua
Pemuda Keadilan) dan Abdul Wahid Ahmad Shuhaimi (Pengerusi Perhubungan Keadilan
Pahang). Sebelum itu, PKN kehilangan Marina Yusof keluar parti tidak lama
selepas pilihan raya umum 1999.
2. Pemimpin Utama PKN yang Ditahan
Dengan
beberapa pemimpin PKN berada dalam tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA)
seperti Ezam Mohd. Noor (Ketua Pemuda Keadilan), Tian Chua (Naib Presiden) dan
Saari Sungib (Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi).
3. Wan Azizah Hanya Simbol Kekuasaan Anwar Ibrahim
Wan
Azizah sebagai Presiden PKN hanya simbol. Sebalik tabirnya adalah Anwar
Ibrahim. Pada zaman awal PKN, Anwar tidak memegang kuasa apa-apa jawatan dalam
PKN tetapi kuasanya melampaui kuasa Presiden PKN. Pemilihan kepimpinan dalam
PKN berdasarkan simbol bukannya kelebihan dan prestasi kepimpinan. Menyingkir
Wan Azizah bermakna menyingkirkan Anwar.
Wan
Azizah adalah simbol kekuasaan Anwar Ibrahim terhadap PKN. Wan Azizah dibantu
oleh proksi Anwar Ibrahim yang paling setia dan dipercayai oleh Anwar
Ibrahim iaitu pengikut setia dalam UMNO
dan kerajaan dahulu iaitu Mohamed Azmin Bin Ali, Ezam Mohd. Noor (dan Khalid
Jaafar.
4. Kelemahan Birokrasi
Urusan
pentadbiran parti itu yang dikawal oleh bekas Setiausaha Agung Angkatan Belia
Islam Malaysia (ABIM), Anuar Tahir gagal meningkatkan jumlah keahlian parti.
Selepas dua tahun enam bulan ditubuhkan, PKN kini hanya mempunyai keanggotaan
sebanyak 200,000. Jumlah itu amat kecil bagi sebuah parti politik nasional
berbanding UMNO yang mencatatkan keahlian seramai 2.8 juta orang.
Terdapat
dakwaan kononnya banyak cawangan PKN tidak mengadakan mesyuarat secara tetap
kerana kegagalan pengurusan parti memprojekkan PKN sebagai sebuah parti massa.
5. Peng’ABIM’an Parti Keadilan Nasional
Dominasi
kepimpinan PKN oleh kelompok ABIM meresahkan kelompok lain dalam PKN. Jawatan
tertinggi PKN dikuasai oleh kelompok ABIM. Antaranya Dr Muhammad Nur Manuty (anggota MPT Undangan
dan Pengerusi PKN Bahagian Larut), Mohd Anuar Tahir (SUA), Ruslan Kasim (Ketua Penerangan) dan Mustaffa Kamil Ayub
(Timbalan Ketua Pemuda). Tidak kurang 5 anggota Majlis Pimpinan Tertinggi PKN
daripada kelompok ABIM. Ketua-ketua negeri dan bahagian-bahagian menyaksikan
kelompok ABIM mendominasi pucuk kepimpinan PKN terutamanya di Perlis, Kedah,
Selangor, Melaka, Negeri Sembilan dan Kelantan. Keadaan yang sama berlaku dalam
biro-biro dalam PKN termasuk dalam Biro Politik dan Biro Pengurusan PKN.
Isu
PengABIMan ini mencetuskan label-melabel, fitnah dan tuduh menuduh dalam PKN
sehingga berlaku konflik dalaman dalam PKN. Gambaran yang muncul sebelum
persidangan ialah ABIM vs. The Rest
(atau Ahli Keadilan-PKN).
Dalam Kongres Nasional di Kemaman, PKN terbahagi
dua kelompok. Pertama, kumpulan ABIM. Kedua, kumpulan lain yang terdiri
daripada bekas-bekas ahli UMNO, aktivis-aktivis NGO termasuk pertubuhan hak
asasi manusia dan Jemaah Islah Malaysia (JIM), golongan cendekiawan dan
profesional dan kumpulan reformis tidak berparti sebelum PKN ditubuhkan.
Pertembungan
antara mereka didakwa menjadi antara punca beberapa pemimpin dalam PKN
mengundurkan diri daripada pemilihan parti itu sebelum persidangan. Mereka
tidak dapat menerima hakikat ahli-ahli ABIM cuba ‘mencuri’ PKN daripada mereka.
Mereka mendakwa, satu ciri ahli-ahli ABIM ialah persaudaraan dikalangan mereka
yang sangat rapat.
Ciri-ciri
Persaudaraan ABIM (sebenar ciri yang ada dalam sesebuah gerakan Islam)
mencetuskan perkara yang boleh dirumuskan dalam ayat dibawah;
``Sama ada ahli-ahli ABIM berada di dalam Keadilan, UMNO
mahupun Pas, mereka berkongsi persaudaraan ABIM. Persaudaraan inilah yang
mencetuskan masalah dalam bentuk memecahkan Keadilan(PKN) kepada puak dan kabilah,'' .
``Seorang ahli ABIM (pemimpin yang ditarbiah oleh gerakan
Islam-penulis) yang berada dalam UMNO
mahu melihat ahli ABIM menguasai Keadilan (PKN) atau Pas. Demikian juga ahli
ABIM dalam Keadilan (PKN) dan Pas, mereka ingin melihat ahli ABIM menjadi
pemimpin penting UMNO. Masalah persaudaraan ABIM ini yang meresap dalam parti
telah meresahkan kumpulan lain dalam Keadilan (PKN).''
6. Isu Pencantuman PKN dengan Parti Rakyat Malaysia
Kemenangan
ahli-ahli ABIM dalam jawatan-jawatan utama akan menyukarkan proses percantuman
Keadilan (PKN) dan Parti Rakyat Malaysia. Mohd. Anuar sendiri mengakui tiada
agenda khusus membincangkan soal penggabungan secara rasmi dalam persidangan
itu. Mohd Anuar berkata, meskipun 63.7 peratus perwakilan Keadilan-PKN dalam
persidangan agung khas 24 Jun lalu, bersetuju bergabung dengan PRM, namun parti
masih tidak dapat meminda perlembagaan kerana kurang dua pertiga yang
bersetuju. Pindaan perlembagaan yang akan dibuat pada persidangan nanti cuma
akan menyentuh aspek berkaitan keorganisasian parti. Terpulanglah kepada para
pemimpin parti (yang baru) untuk meneruskan agenda pencantuman dengan PRM.
Dr. Wan Azizah (Presiden PKN) dan Mohamad Ezam (Ketua Pemuda PKN) pula mahukan
pergabungan Keadilan dan Parti Rakyat Malaysia (PRM) dipercepatkan. Mohamad
Ezam dalam usul Pemuda mendesak percantuman disegerakan dalam tempoh lebih tiga
bulan persidangan agung parti selesai manakala Dr. Wan Azizah berkata, partinya
akan terus memperluaskan penyertaan dalam pelbagai kelompok, kaum dan penganut
agama.
Kata Dr
Wan Azizah,
``Dalam rangka ini, usul yang perwakilan luluskan
pertengahan tahun ini untuk menyegerakan penggabungan dengan PRM memenuhi
matlamat yang disebutkan,''
Manakala
Abdul Rahman dalam interviu dengan
lidah rasmi Keadilan-PKN menyatakan bahawa gabungan Keadilan-PKN dan PRM akan
mewujudkan sebuah parti yang cukup kuat.
7. Isu Perbezaan Kelas dalam PKN
Perdebatan
mengenai cara Keadilan-PKN harus bertindak sebagai sebuah parti politik.
Golongan cendekiawan dalam PKN yang hanya mampu berinteraksi dengan kumpulan
kelas menengah tetapi gagal memahami politik akar umbi. Manakala kelompok
reformis dan aktivis ‘jalanan’ cenderung untuk mengamalkan pendekatan matlamat
menghalalkan cara menerusi siri demonstrasi dan rusuhan.
Berbalik
kepada penyingkiran ABIM daripada PKN dalam pada Persidangan Agung PKN dari
9 hingga 11 November 2001 di Dewan Majlis Daerah Kemaman, Terengganu.
Dalam
perebutan jawatan Timbalan Presiden PKN, Dr. Muhammad Nur Manuty (bekas
Presiden ABIM) tewas 44 undi di tangan Bendahari Agung, Abdul Rahman Othman
(Pengerusi Majlis Perhubungan PKN Johor)[4].
Sebelum pertandingan, Dr Muhammad[5] adalah nama yang
disebut-sebut sebagai Timbalan Presiden PKN kerana beliau berpengalaman dalam
aktivisme, ada hubungan luar dengan gerakan Islam antarabangsa, seorang
cendikiawan dan bekas dekan.
Kegagalan
beliau dilihat apabila pada saat-saat akhir, gelombang anti-ABIM berjaya
mempengaruhi rentak pemilihan dalam pertandingan tersebut. Perwakilan sendiri
kelihatan berkecamuk untuk menentukan siapakah calon pilihan, adakah Dr.
Muhammad atau Abdul Rahman pada pemilihan itu. Kemenangan Abdul Rahman yang
bukanlah calon popular, dan ia mungkin`dibantu' oleh salah faham perwakilan
bahawa ``dia juga ahli ABIM''.
Padahal Abdul Rahman telah keluar ABIM pada 1983 dan menyertai Jemaah Islah
Malaysia (JIM).
Kata
seorang pimpinan ABIM, ``Hasilnya, kita
melihat tokoh ilmuwan ditolak. Walaupun di peringkat induk parti ada seorang
mewakili ABIM, hakikatnya dia tidak boleh diharapkan untuk merencanakan
perjuangan Islam progresif ini,''. Dr Muhammad mewakili pemikiran Islam
progresif yang diharap dapat membantu Dr Wan Azizah sebagai Presiden PKN.
Dalam
pertandingan jawatan Naib Presiden, ia dimenangi oleh Mohd. Azmin Ali, Tian
Chua dan Datuk Sheikh Azmi. Kemenangan Abdul Rahman dan Azmin Ali
memperlihatkan bahawa pemilihan ini dicaturi oleh kelompok bekas pimpinan UMNO
dan JIM. Mantan SUA ABIM merangkap SUA PKN Mohd. Anuar Tahir cuma meraih tempat
kelima manakala Ruslan Kasim menduduki tempat keempat dalam pertandingan
jawatan Naib Presiden. Perbezaan undi Ruslan Kassim dengan Sheikh Azmi Ahmad
hanyalah lapan undi. Sheikh Azmi Ahmad mempunyai latarbelakang ABIM dan seorang
ulamak (Hakim Mahkamah Syariah).
Kekalahan
Mohd. Anuar misalnya banyak dikaitkan dengan kecaman ke atas kegagalannya
melicinkan pentadbiran parti sehinggakan lokasi persidangan agung di Kemaman
turut dipersoalkan. Pada mulanya persidangan hendak diadakan di Genting Resort
tetapi kerana masalah tertentu ia dialihkan ke Terengganu yang dikatakan atas
kepentingan politik.
Kemenangan
Tian Chua yang mewakili NGO Bukan Islam, aktivis hak manusia dan evengelis. Penguasaan
ABIM dalam barisan 20 ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) turut gagal. Begitu
juga dalam kepimpinan Pemuda. Mustaffa Kamil Ayub tewas jawatan Timbalan Ketua
Pemuda kepada Saifuddin Nasution Ismail tetapi jawatan Naib Ketua Pemudanya
dimenangi oleh Shamsul Iskandar Md. Akin (berasal daripada PKPIM[6]).
Kempen
berpasukan dan terdapat ‘cai’ ini mengetepikan ahli ABIM. Kempen pemilihan puak
bekas Umno dan badan bukan kerajaan (NGO) seperti Jemaah Islah Malaysia (JIM),
sibuk menghebahkan PKN akan hilang identiti pelbagai kaumnya jika bekas
pemimpin Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menerajui parti itu.
Kelompok
ABIM bagaikan ‘dikhianati’ dan diketepikan dalam ucapan dasar Presiden
Keadilan, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail semasa perasmian persidangan
agung yang terang-terang mengajak perwakilan menolak politik kabilah dan berpuak-puak.
Dr Wan
Azizah berkata,
``Yang akan dipilih
adalah pemimpin parti, bukan kabilah, puak atau aliran. Janganlah sampai
kita ketelanjuran dalam kempen yang menjejaskan etika sihat,''
Penolakan
terhadap ahli ABIM bermula apabila Ahli Dewan Undangan Negeri Lunas, Saifuddin
Nasution Ismail memenangi jawatan Timbalan Ketua Pemuda, sehari sebelum
pemilihan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT). Pesaing Saifuddin, Mustaffa Kamil
Ayub (ahli ABIM) tersingkir, kesilapan Mustaffa sendiri sengaja berkempen untuk
Saifuddin semasa membacakan teks ucapan dasar Ketua Pemuda, Mohamad Ezam Mohd.
Noor dikatakan mengundang kekalahannya.
Dr.
Wan Azizah dalam sidang akhbar selepas ucapan penggulungannya menegaskan: ``Kemenangan bekas ahli- ahli UMNO dalam
jawatan-jawatan utama Keadilan tidak bermakna Keadilan telah di``UMNO''kan.
``Kita semua adalah Keadilan yang datang
daripada pelbagai kelompok, ABIM, Jemaah Islah Malaysia, NGO dan bekas ahli
UMNO yang bersatu membentuk reformasi''.
Ada
pandangan pihak ABIM tidak ditolak dalam persidangan tersebut. Ahli Parlimen
Kemaman, YB Abdul Rahman Yusof, antara 20 ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT)
yang terpilih, lapan adalah pemimpin yang berkaitan dengan ABIM. Mereka adalah
Dr Mohd Nor Nawawi, Mohd Mustafa, Hamzah Zain, Rosli Ibrahim, Yahya Saari,
Sheikh Azmi dan Abdul Rahman Othman.
Dr
Wan Azizah sendiri melantik bekas Presiden ABIM, Dr. Muhammad Nur Manuty serta
beberapa lagi ahli pergerakan itu seperti Mohd. Anuar Tahir, Ruslan Kasim dan
Mustafa Kamil Ayub sebagai pemimpin PKN. Pelantikan ini ditolak oleh 4 pemimpin
ABIM tersebut. Menurut mereka, kepimpinan baru tetap diterima dengan hati
terbuka walaupun kesahihan persidangan agung tahunan telah menjadi pertikaian
ahli peringkat akar umbi.
Dr
Wan Azizah mengadakan sidang akhbar mengumumkan jawatan Bendahari Agung
disandang oleh Christina Liew manakala jawatan Setiausaha Agung yang sebelum
ini disandang oleh Anuar Tahir pula dijawat oleh Sahri Bahri (JIM). Lima calon
yang mengisi jawatan ahli MPT Keadilan yang dilantik ialah Animah Ferrar, N.
Gopalakrishnan, Khalid Jaafar, Dr. Pratap Singh Man dan Saari Sungib (JIM) yang
masih ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Presiden
ABIM, Ahmad Azam Abdul Rahman kesal dengan apa yang berlaku dalam persidangan
agung PKN, gerakan lobi-melobi, label-melabel, dan meletakkan orang tertentu
dalam kelompok tertentu ini menyebabkan ramai ahli ABIM kalah kerana mereka
diletakkan dalam satu kelompok menentang kelompok yang pelbagai - ABIM vs ahli Keadilan. Akhirnya
sebahagian besar pemimpin ABIM yang berjasa kepada Keadilan telah ditolak oleh
perwakilan yang terkeliru oleh strategi tersebut. Akibatnya nama ABIM terpalit,
imejnya digambarkan sebagai kabilah, konservatif, tidak mampu berinteraksi
dengan golongan bukan Islam, gila dan tamak kuasa, dan mahu menguasai parti.
Daripada
pandangan Ahmad Azam, bolehlah kita merumuskan pemilihan tersebut:
1. Jasa Pemimpin ABIM tidak dihargai
Ramai
ahli ABIM menawarkan diri ini boleh difahami kerana ketika penubuhan
Keadilan-PKN, ramai ahli ABIM yang menyumbang ke arah penubuhannya. Bila ramai,
tak semestinya ABIM berusaha untuk ambil alih Keadilan-PKN.
Jika
ramai bekas ahli UMNO, ahli JIM dan NGO bukan Islam masuk menawarkan diri.
Mengapa tak timbul isu ahli UMNO ingin ambil alih Keadilan. Mengapa pula timbul
isu ahli ABIM sedangkan ini penglibatan individu. ABIM menghormati semua parti
politik. Kita tak ada perancangan atau cita-cita untuk ambil parti tertentu.
Keputusan
pemilihan parti Keadilan-PKN menampakkan seolah-olah sumbangan ABIM ketika awal
penubuhan parti itu termasuk `jasa' para pemimpin ABIM yang pernah ditahan di
bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana dikatakan menyokong gerakan
reformasi pada 1998 tidak dihargai langsung.
2. Kempen Dengan Fitnah dan Label-Melabel
Ahmad
Azam dan ABIM mengharapkan berlaku politik baru yang menghormati kepimpinan
berilmu dan hormati etika pemilihan kepimpinan. Tetapi apa yang berlaku,
gerakan lobi-melobi dan isu label-melabel dan meletakkan orang tertentu dalam
kelompok tertentu. Ini menyebabkan ramai ahli ABIM kalah kerana mereka
diletakkan dalam satu kelompok menentang kelompok yang pelbagai. ABIM vs ahli
Keadilan.
Strategi
inilah menyebabkan ramai ahli Keadilan terkeliru dan menolak sebahagian besar
pemimpin ABIM yang banyak menyumbang
dalam penubuhan dan menjayakan usaha Keadilan. Politiking yang berlaku secara langsung dan tidak langsung
mengheret nama ABIM menjadikan ABIM seperti bola dan akhirnya nama ABIM
terpalit, imej digambarkan sebagai kabilah, konservatif, tidak mampu
berinteraksi dengan bukan Islam, gila dan tamak kuasa, nak mengawal parti.
Ini
tuduhan-tuduhan yang memburukkan imej ABIM. Rupa-rupanya Keadilan-PKN ini
nampaknya tak ada beza dengan parti lain. Sebagai pemimpin ABIM, Ahmad Azam
berasa kecewa kerana imej ABIM diperlakukan sedemikian rupa dengan tidak
mengira langsung sumbangan awal ABIM kepada Keadilan. Mereka tolak ahli ABIM
dengan isu-isu tak benar, hanya untuk menang dalam pemilihan parti.
Setelah
penyingkiran ini, ABIM kembali dengan idea Penyatuan Ummah dan idea
pengkongsian kuasa ala Rashid Ghannousshi.