Oleh Aku Dalam Chermin
Menerima Islam secara keseluruhan bermakna kita mengakui politik Islam.
Kita wajar menyokong gerakan politik Islam sebagai alternatif kepada pemerintah
pada hari ini kerana korupsi, kronisme dan nepotisme [KKN] dan krisis
iman-akhlak semakin teruk.
Pandangan Alam [Worldview] Islam
Siapa kita?
Ke mana arah tujuan kita?
Apakah wasilah kita gunakan
dalam kehidupan ini?
Dalam setiap perkara sama ada dalam pemikiran dan pendekatan,
ketiga-tiga persoalan di atas perlu diambil kira dan didepani sebelum berfikir
dan bertindak.
Secara mudahnya, pandangan alam [worldview]
ialah pandangan seseorang yang dipengaruhi oleh identiti, istilah-bahasa,
nilai, konsep dan ideologi sendiri yang ada dalam dalam pemikiran dan budaya
sesebuah masyarakat. Worldview Islam
ialah pandangan seseorang terhadap alam [konsep, nilai, istilah-bahasa,
identiti,] berdasarkan pandangan tauhidik. Kerangka pemikiran tersendiri ini berbeza
dengan kerangka pemikiran Barat.
Worldview Islam membentuk suatu gagasan yang akan
berjaya jika wujud keyakinan yang kuat agar gagasan tersebut didokongi,
wujudnya keikhlasan dalam mendokonginya, semangat membara dan kesediaan untuk
berkorban dalam merealisasikannya.
Gagasan yang dimaksudkan ialah Islam yang suci, agama yang tiada cacat cela,
tiada keburukan dan tidak akan menyesatkan sesiapa yang menganutinya [Surah Ali
Imran: 18. Surah al Maidah: 3]. Gagasan Islam ini membangun atas landasan Islam
[yakni al Quran], menjadikan Islam satu-satu rujukan, berjuang demi Islam,
memartabatkan kalimah Islam, hanya menerima Islam sebagai pemimpin, tidak akan
tunduk kepada mana-mana hukum selain hukum Islam dan tidak mengantikan Islam
dengan sistem, metodelogi, konsep dan ideologi yang lain selain Islam [Surah
Ali Imran: 85].
Landasan Islam ialah al Quran yang menjadi sumber ilmu menyuluhi
kebenaran untuk mendapat petunjuk Allah SWT [Surah Saba’: 46-50] dalam
kehidupan seharian. Al Quran bukan sahaja menjadi bahan hafazan tetapi membina worldview dan akhlak seseorang muslim.
Seorang muslim wajib mengambil Rasulullah SAW [Surah Ali Imran: 110. Surah al
Baqarah: 143] sebagai aspirasi kehidupan mereka dalam usaha menjadi muslim yang
baik. Imam Hassan al Banna merangkumkan gagasan Islam ini kepada lima prinsip
di bawah;
1. Allah adalah matlamat kami
2. Rasulullah adalah pemimpin kami
3. Al Quran adalah perlembagaan
hidup kami
4. Jihad adalah jalan kami
5. Mati syahid adalah cita-cita kami
Kelima-lima ini menjadi prinsip dalam merealisasikan worldview Islam dalam konteks Imam
Hassan al Banna.
Worldview Islam boleh disimpulkan dengan berpasak
kepada tauhid yakni merasa yakin dan menjadi saksi bahawa, ‘TIADA TUHAN SELAIN ALLAH’. Daripada
kalimah inilah worldview Islam
terbentuk sekaligus menjadi panduan tindakan seseorang muslim. Tauhidlah yang
memberi rupa kepada peradaban Islam berbeza dengan tamadun Barat.[Ismail al
Faruqi].
Hamid Fahmi Zakarsyi menyatakan worldview
Islam adalah pancaran konsep-konsep dasar yang ada dalam wahyu. Proses
penurunan wahyu secara kronologi itu telah membentuk pemikiran dan worldview Islam dalam pembinaan
ketatanegaraan dan budaya masyarakat Madinah. Dimulai dengan tahap tauhidik,
tahap penyataan konsep-istilah dan tahap membentuk tradisi keilmuan berdasarkan
konsep-istilah tadi. Maka, peradaban Islam telah bermula di Madinah.
Maszlee Malik pula telah membahagikan worldview Islam kepada beberapa elemen:
1.
Konsep
Tauhid sebagai Pandangan Alam Islam.
2.
Homo Islamicus dan peranannya.
3.
Etika dan
akhlak yang mantap.
4.
Kefahaman
berteraskan manhaj yang benar dan jelas
5.
Hidup
atas semangat Islah.
6.
Superpower Islam
7.
Menjadi
ejen perubahan sosial dan pekerja kemanusiaan.
8.
Ibadat
yang sempurna.
Dalam Islam, tauhid adalah pasak kepada worldview masyarakat Islam [Surah al Baqarah: 2, Surah al Zukhruf:
45]. Manusia akan menjadi hamba kepada
Allah SWT [Surah al Zariyat:56] dan kematian adalah pengakhiran penilaian
amalan di dunia [Surah al Mulk: 2]. Menurut Maszlee Malik, kerangka tauhid memberi
kuasa memilih kepada manusia untuk menentukan corak kehidupan mereka sama ada
ke syurga atau ke neraka [Surah al Syams: 8-10. Surah al Nahl: 36. Surah al
Ma’dah: 56. Surah al Mujadilah: 19, 22.].
Homo Islamicus menjadikan kehidupan Rasulullah SAW sebagai
panduan asasi dalam kehidupan seorang mukmin. Dua tugas utama Homo Islamicus ialah [1] mengabdikan
diri kepada Allah dan [2] memakmurkan dunia mengikut panduan Allah melalui
rasul-Nya. Memakmurkan dunia termasuk menyebarkan kalimah syahadah ke seantero
dunia untuk dakwah [Surah al Baqarah: 143. Surah Ali Imran: 144, 110].
Rasulullah SAW mempunyai akhlak yang agung [Surah al Qalam: 4]. Kita
mesti mengamal dan menyebarkan akhlak tersebut kepada umat Islam dan selurih manusia.
Dalam menjayakan kehidupan yang berkualiti dan saleh, sewajarnya seseorang itu
merapati para ulama [Surah at Taubah: 119] untuk membentuk suasana yang lebih
Islamik.
Penulis tertarik dengan pembinaan intelektualisme generasi awal ABIM
sebagaimana dinyatakan oleh Siddiq Fadzil. Mereka berusaha memahami semula Islam, sejarah dan tamadunnya lewat karya
tokoh-tokoh Islam yang rata-rata memaparkan Islam dalam citra asli yang segar
dengan latar konteks realiti dan semangat zaman. Siddiq Fadzil menyatakan lagi,
‘pembinaan tradisi haraki dan
intelektualismenya generasi awal ABIM mengamalkan sikap terbuka yang kalkulatif
dan terukur, dalam pengertian kesediaan belajar dan memanfaatkan segala sumber
(ilmu dan pengalaman) yang relevan termasuk sumber-sumber luar negara (kesarjanaan
dan gerakan Islam di pelbagai rantau dunia) dengan tetap mengakar pada realiti
(sejarah dan sosio budaya) KeMalaysiaan’.
Untuk meluruskan worldview
Islam kita, penulis mencadangkan agar kita membaca karya di bawah;
1.
Risalah
Untuk Kaum Muslimin karya Syed Muhammad Naquib al Attas
2.
Islam dan
Sekularisme karya Syed Muhammad Naquib al Attas
3.
Prolegomena to the Metaphysic of Islam karya Syed Muhammad Naquib al Attas
4.
Himpunan
Risalah Imam Hassan al Banna
5.
Ceramah-ceramah
Hassan al Banna
6.
Towards Understanding Islam karya Maulana Abul Ala’ al Maududi
7.
Islamic Way of Life karya Maulana Abul Ala’ al Maududi
8.
Petunjuk
Sepanjang Jalan karya Sayyid Qutb
9.
Muqawwimat al Tasawwur al Islamiy karya Sayyid Qutb
10.
Khasa’is al Tasawwur Islamiy karya Sayyid Qutb
11.
Al
Tawhid: Kesannya Terhadap Pemikiran dan Kehidupan karya Ismail al Faruqi
12.
The Reconstruction of Religious Thought in
Islam karya Muhammad Iqbal
1.
13
Ensiklopedia Sirah karya Afazlur Rahman
13.
Himpunan
Ceramah-ceramah Imam Hassan al Banna
Insha Allah, dengan pembacaan 14 buah karya di atas, kita dapat
meluruskan dan memantapkan worldview
Islam kita yang tulen.
Homo Islamicus
Siapa
kita?. Kita diibaratkan kain putih yang mengikuti bagaimana kita diwarnakan.
Pengalaman, latar belakang, sistem pendidikan, guru dan
suasana persekitaran kita banyak mempengaruhi worldview kita
dalam bertindak. Kita perlu memilih warna diri kita yang memungkinkan kita sebagai
manusia liberal, manusia sekular, manusia komunis dan lain-lain. Worldview mana yang mendominasi pemikiran kita.
Fokus utama Islam ialah pada pembinaan diri individu,
diikuti oleh keluarga, masyarakat, negara, empayar dan alam. Nabi Muhammad
adalah contoh tauladan paling agung dan utama yang menjadi model melahirkan
individu yang disebut oleh para sarjana Islam sebagai Manusia Sempurna atau
Manusia Universal atau Insan Adabi.
Justeru, dalam pembinaan seorang individu, Syed Muhammad Naquib al Attas
memperjuangkan konsep manusia yang baik selaras dengan konsep Manusia Sempurna
tadi berbanding menghasilkan Warganegara yang Sempurna.
Manusia yang Baik atau Insan
Adabi merangkumi makna
dinyatakan ini, “Manusia
Baik ialah manusia yang beradab yakni orang yang insaf sepenuhnya
bertanggungjawab dirinya kepada Tuhan Yang Hak; memahami dan menyelenggarakan
penunaian keadilan terhadap dirinya dan diri-diri lain dalam masyarakatnya;
yang terus berupaya meningkatkan setiap aspek dalam dirinya menuju kesempurnaan
sebagai insan adabi”[Syed
Muhammad Naquib al Attas].
Pada hemat penulis, homo
Islamicus adalah
manusia yang baik. Kita mesti menganggap diri kita sebagai homo Islamicus, barulah worldview Islam mudah meresap ke dalam
pemikiran dan tindakan kita. Kita kena buang worldview asing
yang menempel dalam pemikiran kita.Worldview Islam juga perlu mendominasi
pemikiran kita dan berupaya menge-nyahkan isme-isme yang terlekat pada pemikiran kita.
Selagi kita tidak menganggap diri kita sebagai homo Islamicus, worldview Islam hanya pengetahuan setaraf
dengan worldview asing ciptaan manusia. Ini
disebabkan keyakinan atau keimanan kita masih pada tahap yang rendah. Keyakinan
atau keimanan perlu disemai dengan ilmu yang benar. Keakuran kepada sumber ilmu
Islam yakni wahyu dapat menguatkan lagi keimanan kita. Dalil kita bukan pada
hujah manusia tetapi dalil wahyu yang datang daripada Tuhan Yang Hak.
Takrif Melayu dan Politik
‘Raja jangan menjadi musang,
menteri jangan menjadi tikus’- Syair
Politik Tok Kenali
Menurut Perlembagaan Malaysia, Melayu ialah ‘seorang yang menganuti agama Islam, lazim bercakap bahasa Melayu dan
menurut adat istiadat Melayu’. Ciri Melayu tersebut bergandingan dengan
Islam sebagai Agama Persekutuan, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, Hak
Istimewa Orang Melayu dan pemerintahan beraja. Unsur tradisi dalam dalam
Perlembagaan Malaysia ini banyak membentengi Orang Melayu dan Agama Islam
daripada dicerobohi dan dicabuli oleh keganasan Sekularisme, Pluralisme dan
Liberalisme (SEPILIS) dan menjaga semangat muhibbah dalam kalangan rakyat
Malaysia.
Ilmu politik Islam tidak mementingkan bentuk atau sistem pemerintahan kerana
kualiti dalam kepimpinan datang daripada individu insan adabi atau Manusia yang
Baik.
Demokrasi atau monarki bukanlah persoalan besar. Paling penting
berusaha memberi kesejahteraan kepada rakyat dan mendidik rakyat supaya menjadi
insan yang bertaqwa.
Politik moden bergantung kepada sejarah, realiti semasa dan kehendak
rakyat. Politik moden yang terkenal dan popular di dunia pada hari ini
mengunakan sistem pemerintahan demokrasi.
Malaysia mempunyai tradisi pemerintahan beraja.Ia mempunyai pengaruh
Hindu, kemudian diIslamisasi kepada ciri-ciri Islam berdasarkan pertimbangan
aqidah dan syarak. Sistem pemerintahan beraja dalam tradisi Melayu bersifat ada
raja
baru terbentuk kerajaan berbeza dengan tradisi Eropah dimana faktor
tanah menjadi unsur penting dalam pembinaan sesebuah kerajaan. Khoo Kay
Kim menyatakan perkataan ‘kerajaan’
itu sendiri membawa makna, ‘keadaan
mempunyai seorang raja’.
Sebelum kedatangan Islam, raja menjadi sumber kekuasaan yang
memancarkan kehidupan dan kebudayaan orang Melayu. Raja mempunyai kekuatan luar
biasa dan berasal daripada keturunan dewa atau dewata. Apabila Islam datang ke
Alam Melayu, sumber kehidupan adalah ‘addin’
iaitu satu cara hidup yang berpasakkan tauhid yakni segala berpunca daripada
Allah. Pemerintahan berorientasikan syariat.
Perbezaan pemerintahan Hindu dengan Islam berdasarkan worldview masing-masing:
HINDU
|
ISLAM
|
Raja sebagai
penjelmaan tuhan iaitu Devaraja
Penitisan atau
keturunan tuhan Dewa Siva dan Dewa Vishnu.
Berorientasikan
raja.
Raja mempunyai
shakti
|
Bayangan Allah di muka bumi
Disebabkan
ketokohan, taqwa, akhlak
kuasa mutlak ditolak
Raja dan rakyat
bertanggungjawab kepada Allah
Daulat
|
Kepimpinan Islam
Asal usul kepimpinan Islam bukanlah mengamalkan sistem pemerintahan beraja
melalui dinasti. Rasulullah SAW tidak menjelaskan bentuk pemerintahan tetapi
Rasulullah SAW secara tak langsung menjelaskan prinsip-prinsip atau asas
pemerintahan sepanjang 10 tahun baginda memerintah Madinah. Oleh itu, sistem
atau bentuk pemerintahan tidak mutlak dan boleh disesuaikan mengikut kesesuaian
tempat dan semangat zaman.
Perkara yang paling penting daripada sistem atau bentuk pemerintahan
ialah prinsip yang perlu ada bagi
seseorang individu yang dilantik sebagai pemimpin. Kepimpinan Islam terletak
kepada siapa orangnya [individu], barulah diikuti dengan sistem atau bentuk
pemerintahan. Antara syarat asas pemimpin Islam [Abdul Hadi Awang] ialah
1.
menganuti
Islam
2.
berilmu terutamanya
dalam hukum syarak
3.
memahami
masalah semasa
4.
adil
5.
kemampuan
maknawi dan jasmani
6.
lelaki
7.
berpengaruh
Sistem pemerintahan Islam ialah sistem berasaskan Syura dimana rakyat
diberi peluang untuk terlibat dalam pengesahan pelantikan seseorang pemimpin.
Hikmah Rasulullah SAW tidak melantik penganti baginda ialah memberi
peluang kepada manusia melakukan ijtihad dalam urusan pelantikan pemimpin dan
bentuk pemerintahan mengikut kesesuaian zaman. Terdapat tiga kaedah pelantikan
zaman khalifah;
1.
Kaedah
mesyuarat secara terbuka dihadiri oleh penduduk Madinah dalam pelantikan Khalifah
Abu Bakar
2.
Kaedah
mencadangkan seorang pemimpin sebagaimana Khalifah Umar al Khattab dan disahkan
oleh rakyat.
3.
Kaedah
mencadangkan beberapa pemimpin dan disyurakan oleh majlis khas untuk menilai
calon pemimpin, kemudian mendengar pendapat rakyat dan majlis melantik
berdasarkan pendapat rakyat. Kemudian pemimpin disahkan oleh rakyat.
Pemerintahan beraja mengikut dinasti keluarga bermula sejak zaman
Daulah Umaiyyah. Pelantikan pemimpin berdasarkan keturunan dan diwarisi oleh
keturunan keluarga tersebut.
Prinsip asas kepimpinan Islam [Ahmad Redzuwan Mohd Yunus] ialah
1.
Berpandukan
al Quran dan al sunnah
2.
Menegakkan
kebenaran
3.
Syura
4.
Keadilan
5.
Kebebasan
6.
Bai’ah
Dalam pelantikan pemimpin, pengesahan rakyat atau bai’ah menunjukkan Islam mengiktiraf KUASA RAKYAT dalam menentukan persetujuan dan pengabsahan seseorang
pemerintah.
Kekuasaan dalam Negara Islam hanyalah kepunyaan Allah bukannya
kepunyaan mutlak rakyat dan bukan kepunyaan sekelompok elit atau individu
tertentu. Yang mentadbir negara adalah masyarakat yang mewakilkan kuasa mereka
kepada seorang pemimpin. Allah SWT sebagai penguasa alam mengangkat manusia
sebagai KhalifahNya [Surah al Baqarah: 30] melalui amanah yang diwajibkan untuk
melaksanakan Islam sebagai satu cara hidup. Menurut ulama, khalifah ialah ‘menggalang ganti Rasulullah SAW (selepas
wafatnya) di dalam memelihara agama dan mentadbir dunia dengannya (yakni dengan
agama).
Konsep Khalifah dalam kepimpinan inilah yang mewajibkan diri kita
sebagai rakyat beragama Islam dan menyakini Islam sebagai satu cara hidup yang
merangkumi semua aspek kehidupan dalam ekonomi, sosial dan politik memilih
pemimpin dalam kalangan beragama Islam yang taat. Pemimpin Islam akan
memelihara atau menjaga agama dan mentadbir dunia dengan agama. Akhlak dan iman
pemimpin ini akan mewujudkan integriti dan prestasi yang baik dalam pembangunan
dan kemajuan selari dengan amanah, tanggungjawab dan mendahului kepentingan
rakyat.
Memilih Pemimpin Dalam Kalangan
Bukan Islam.
“Salah seorang di antara
perempuan yang berdua itu berkata: “Wahai ayah (Shuaib), ambillah dia (Musa)
bekerja, Sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang
yang QAWIYY, lagi AMEEN” [Surah al-Qasas: 26]
“Jadikanlah daku (Nabi Yusuf)
pengurus perbendaharaan hasil bumi (Mesir); Sesungguhnya aku adalah seorang
yang teliti dalam penjagaan (HAFEEZ),
lagi mengetahui cara mentadbirkannya (ALEEM)” [Surah Yusuf: 55]
QAWIYY : Kekuatan atau
prestasi
AMEEN : Sifat amanah atau
integriti
HAFEEZ : Sifat amanah atau
integriti
ALEEM : ilmu (termasuk
kemahiran) yang boleh membina prestasi
Integriti dan prestasi adalah elemen penting dalam menilai seseorang
pemimpin. Punbegitu paling penting kita mengetahui siapa Nabi Musa AS dan Nabi
Yusuf AS. Mereka adalah manusia yang beriman dan bertaqwa dengan Allah SWT.
Kemudian barulah kita menilai integriti dan prestasi Nabi Musa dan Nabi Yusuf.
Syarat pertama memilih pemimpin adalah [1] Islam, beriman, berakhlak dan
bertaqwa kepada Allah. Kemudian,[2] pemimpin itu memimpin negara Islam dengan
sumber Islam iaitu al Quran dan hadith, [3] kemudian barulah integriti dan
prestasi dan seterusnya [4] pelaksanaan perundangan Islam dan Negara Islam.
Pada hemat saya, setiap pemimpin perlu mempunyai kekuatan dalaman yakni [1],
kemudian kekuatan luaran.
Menurut Syamsuddin Arif, dalam tradisi intelektual Islam, ada tiga
persoalan yang selalu dibicarakan terkait kepemimpinan politik dalam negara.
Pertama, soal pemimpin yang kurang layak (imāmatul
mafḍūl). Kedua, soal pemimpin yang suka maksiat (imāmatul fāsiq). Dan ketiga, soal pemimpin non-Muslim (imāmatul kāfir).
Dalam dunia politik hari ini, kebanyakan politikus yang terlibat dalam
politik sudah tentu kelompok yang sudah layak menjadi pemimpin melalui ilmu dan
pengalaman kepimpinan di pelbagai peringkat. Perkara yang membezakan seseorang
pemimpin di antara mereka lebih baik atau kurang baik sahaja.
Dalam persoalan pemimpin non muslim, Islam menolak pelantikan non
muslim bagi jawatan utama dan penting dalam Negara Islam. Ia bukanlah diskriminasi
tetapi sebagai langkah kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat majoriti
Islam. Umat Islam dilarang daripada memilih pemimpin non Muslim yang tidak
bekerjasama dengan pihak Islam.[1]
Ada sesetengah pihak mendakwa bahawa di Barat demokrasi dan kebebasan
adalah subur, hak asasi manusia terjaga, budaya lebih bertamadun, lebih adil
dan ‘aku nampak muslim di Barat dan
Jepun’ ulangi bicara mereka. Syarat keadilan, kemajuan dan kebebasan
umpamanya adalah Islam dan iman. Tanpa Islam dan iman, keadilan yang
diperjuangkan adalah palsu dan melampaui batasan yang Allah SWT nyatakan dalam al
Quran. Pada guna kita mempunyai keadilan dalam sosial yang baik tetapi LGBT
dibenarkan atas nama keadilan tersebut. Adakah keadilan ini yang kita carikan?.
Kita boleh mencontohi Barat dan Jepun tetapi jangan mengambil budaya dan
pandangan alam mereka yang menyesatkan aqidah kita.
Pemerintahan Beraja Menurut
Tradisi Melayu-Islam
‘rakyat itu umpama akar, raja
itu umpama pohonnya, jikalau tiada akar nescaya pohon tiada akan berdiri’.
Demikianlah Raja-raja Melayu itu dengan segala rakyatnya’ – Tun Sri Lanang.
Bahasa mempengaruhi pemikiran sesebuah peradaban. Bahasa bukan sekadar
bahasa tetapi pengistilahan kata dasar bahasa itu membentuk pemikiran bangsa
tersebut. Justeru, teori kepimpinan Melayu tidak boleh disamakan dengan teori
kepimpinan Barat.
Menurut kamus dewan, pimpin ialah dibimbing; dipandu; dituntun dan
ditunjuk Kepimpinan pula ialah keupayaan memimpin. Rumusan Shaharir Mohamad Zin
menyatakan pimpin bermakna memegang tangan seseorang dengan tidak terlucutnya
menuju ke arah yang dipersetujui bersama. Perkara ini menunjukkan seseorang
pemimpin perlu memimpin dan memegang ‘tangan’ (kekuasaan-mentadbir) rakyat
dengan amanah.
Teori kepimpinan Barat terutamanya Bahasa Inggeris menggunakan perkataan
‘lead’ bermakna menyebabkan (seorang
atau seekor haiwan) mengikut seorang yang membawanya dengan tangan
(membimbing), bakdul, tali dan lain-lain ketika maju ke hadapan. Lead berasal daripada perkataan latin
iaitu kaedan bermakna ‘menyebabkan
perginya seseorang daripada Jermaik, laithan yang bermakna ‘kembara’.
Pemimpin dalam tradisi Melayu perlu mempunyai sifat ‘memimpin’ rakyat
dengan amanah ke arah kebahagiaan dunia dan akhirat.
Asas kepimpinan Melayu ialah sumpah setia (Wa’ad) antara Seri Teri Buana (raja) dengan Demang Lebar Daun
(rakyat) dinukilkan kata demi kata dalam karya agung Melayu Sulalatus Salatin
(Sejarah Melayu),
Maka sembah Demang Lebar
Daun….Seperkara lagi, perjanjian patik mohonkan anugerah ke bawah duli Yang
Maha Mulia, segala hamba Melayu jikalau ada dosanya ke bawah duli, patik
pohonkan jangan ia difadihatkan, dinista yang keji-keji, jikalau patut pada
hukum syarak bunuh, tuanku; jangan duli tuanku aibi. (A. Samad Ahmad, 1984:1985).
Demikianlah suara rakyat Melayu menuntut komitmen penguasa agar
menghormati maruah dan kehormatan diri setiap warga umat sebagai manusia mulia.
Seri Teri Buana yang menyetujui tuntutan tersebut dengan memberikan
komitmen tegas, “kabullah hamba….”
Kemudiannya diberi amaran bernada sumpahan, “Jikalau
raja Melayu itu mengubahkan perjanjian dengan hamba Melayu, dibinasakan Allah
negerinya dan takhta kerajaannya”.
Penyerahan kuasa rakyat kepada raja dan keturunannya bukan menandakan
orang Melayu taat membuta tuli. Wa’ad
ini menjadi kesaksian kedaulatan raja berlangsung selagi selama raja itu adil
dan amanah serta menjaga kepentingan dan kebajikan rakyat. Raja yang zalim akan
dibinasakan oleh Allah SWT.
Kedatangan Islam telah membawa konsep baru dalam pemerintahan beraja
dimana raja diberi taraf sebagai ‘Bayangan
Allah di muka bumi’ dalam usaha menentang konsep persamaan taraf raja
dengan Tuhan mengikut zaman Hindu Buddha. Konsep Bayangan Allah di Muka Bumi
menjadi teras kepada institusi pemerintahan agar mengikut syariah Islam dan
melindungi ciri-ciri rohaniah dan kekudusan dalam institusi beraja.
Ketaatan kepada Raja bukanlah berpunca mitos atau membuta-tuli melainkan taat kepada perintah
Allah SWT melalui ketaatan kepada pemerintah yang beriman.
Dalam Itqan ul-Muluk fi
Ta’dilus-Suluk merupakan Perlembagaan Terengganu yang dikuatkuasa pada
tahun 1911. Perlembagaan ini mempunyai pengaruh Islam iaitu
1.
Islam
sebagai agama Rasmi
2.
Terengganu
dikenali sebagai Kerajaan Islamiyyah
Melayuwiyyah menunjuk pemerintah mahu membangunkan ‘Negara Islam’.
3.
Kuasa
Sultan tidak boleh mengatasi keluhuran undang-undang yang berpandu syariah.
4.
Sultan
boleh disingkirkan sekiranya tidak memenuhi
kelayakan atau gagal dalam pemerintahan.
5.
Penubuhan
Jemaah Mesyuarat Negeri berlandaskan Syura-musyawarah.
6.
Jemaah
Pangkuan Negeri menentukan pembentukan kerajaan dimana ia berpengaruh dan
berperanan untuk melantik Sultan.
Perlembagaan Acheh diwujudkan pada tahun 1633 dan dikenali sebagai Qanun al-‘Asyi Darus Salam. Sultan
dibantu oleh 3 Balai Musyawarah;
1.
Balairung
Seri mengumpul hulubalang
2.
Balai
Gading menghimpun 22 ulama besar Acheh
3.
Balai
Mahkamah Rakyat dianggotai oleh 73 wakil setiap mukim di Acheh. Balai ini
berperanan berbincang dan memutuskan rancangan bagi kepentingan rakyat.
Jelas, sistem pemerintahan Melayu-Islam berlandaskan Islam dan kuasa
rakyat. Cuma sesetengah Sultan dan anggota keluarga bersifat melampau sehingga
Tun Mahathir bersama anggota parlimen meminda Perlembagaan Malaysia
menghapuskan imuniti raja. Jika di Terengganu lebih kepada pengembalian kuasa
rakyat manakala di Acheh menumpukan kepada pengasingan kuasa. Sekitar politik
pemerintahan beraja, KEADILAN, SYURA DAN
AMANAH sangat penting dalam mewujudkan pemerintahan yang adil, stabil dan
sejahtera.
Tahaluf Siyasi
Tahaluf Siyasi berpandukan ta’awun
ala birri wa al takwa (kerjasama atas kebaikan dan takwa). Di negara majmuk, pihak Islam menghadapi
kesukaran untuk kerjasama atas dasar takwa kerana sifat Islam pihak Islam yang
mahu penubuhan Negara Islam dan pelaksanaan hukum Hudud. Realiti politik
Malaysia umpamanya berteraskan perkauman menyukar perpaduan kebangsaan. Pada
masa yang sama perpaduan kaum atau
permuafakatan kaum itu sendiri adalah realiti politik Malaysia. Jika pihak
Islam mahu memerintah Malaysia, mereka perlu melakukan tahaluf siyasi dengan
kaum lain.
Majlis Syura Ulama PAS telah memberi
beberapa garis panduan dalam tahaluf
siyasi Pakatan Rakyat yang perlu diikuti oleh pemimpin dan anggota PAS iaitu
1.
Tahaluf
mestilah dijadikan wasilah untuk menegakkan Islam, memperkukuhkan kedudukan
umat Islam serta membuka ruang untuk perlaksanaan Islam.
2.
Tahaluf
mestilah dipastikan dasar-dasar Islam dapat dipertahankan.
3.
Intima’
hendaklah diberikan kepada kepimpinan Parti Islam Se-Malaysia (PAS), bukan
kepada
Pakatan Tahaluf.
4.
Tahaluf
hendaklah dijadikan ruang dan medan menyampaikan dakwah.
5.
Matlamat
kemenangan Islam tidak boleh menghalalkan Tahaluf secara mutlak.
6.
Majlis Syura
Ulamak mempunyai kuasa membuat keputusan mengenai kesinambungan tahaluf siyasi
berdasarkan kepada maslahah dan mafsadah syar'iyyah dari semasa ke semasa.
Nasihat Bukan Pecat
Perlumbaan bukannya persaingan
Menegur bukannya menjatuhkan
Kritikan membina bukannya
kritikan membinasa
Kesejahteraan rakyat bukannya
kemenangan individu atau parti politik.
Politik jika tidak dibelai dengan iman dan ukhwah, ia bagaikan mencurah
minyak ke dalam api. Politik itu sumber utama fitnah yang menghuru-hara negara
dan mengancam kesejahteraan rakyat melalui persengketaan puak politik.
Kesalahan atau kelemahan pemerintah perlu dinasihat atau ditegur. Dalam
Islam, rakyat mempunyai hak mengawasi pemimpin dengan meluruskan pemimpin yang
melakukan penyelewengan dan salah guna kuasa.
‘agama itu (ertinya) nasihat’.
Para sahabat bertanya, untuk siapa?. Jawab Rasulullah demi Allah, demi
KitabNya, demi Rasul, dan demi penguasa muslimin dan orang Islam seluruhnya’ [Riwayat Muslim]
Seorang pemimpin Islam perlu berjiwa besar dan berlapang dada dengan
nasihat rakyat.
‘...jika aku betul maka
tolonglah aku, jika aku silap maka betulkanlah’ [Abu Bakar]
‘... siapa yang melihat aku
menyeleweng maka luruskan aku’ [Umar al Khattab].
Bahkan Umar al Khattab bersyukur kerana ada rakyat yang mahu betulkan
beliau dengan pedang.
Selagi pemerintah tidak kafir, rakyat tidak boleh menjatuhkan
pemerintah secara revolusi atau di jalanan. ‘Sekali revolusi, ia bakal melahirkan berkali-kali revolusi’. Ia akan
menjejaskan kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat dalam memenuhi kehendak
elit politik yang ingin menjatuhkan pemerintah. Rakyat perlu mengunakan
pendekatan pilihanraya bukannya revolusi.
‘imam (atau penguasa) yang wajib ditaati itu ialah selama ia menurut
kitab Allah dan sunnah RasulNya. Tetapi jika ia menyeleweng sedikit daripadanya maka
wajiblah ditegah dari memerintah dan
dikenakan ke atasnya had dan tuntutan hak. Kalau
kerosakan tidak dapat dihindari melainkan dengan menurunkannya maka ketika itu
ia wajib diturunkan, dan diganti dengan orang lain’ [Ibn Hizm]
Tahap
|
Perkara
|
Tahap 3
|
Menurunkan Pemimpin melalui Kekerasan
|
Tahap 2
|
Menurunkan melalui kaedah dibenarkan dan mengikut
Perlembagaan seperti pilihanraya
|
Tahap 1
|
Dinasihati dan ditegur
|
Apapun tahap 3 iaitu menggunakan kekerasan memerlukan syarat dimana
pihak berkenaan mempunyai kekuatan yang cukup dan kemungkinan untuk berjaya itu
mesti besar. Tanpa syarat tersebut, tahap 3 tidak dibenarkan digunakan. Jangan
sampai usaha menghapuskan kemungkaran
itu melahirkan kemungkaran yang lebih besar. Bencana yang diterbitkan
daripada pertumpahan darah, keruntuhan dan kelemahan negara perlu dihindari
[Abdul Karim Zaidan].
Pada tahun 2016, Libya, Afghanistan, Syria, Yaman dan Iraq masih tidak
stabil dari segi politik yang banyak menganggu-gugat kesejahteraan rakyat. Di
Afghanistan, kemenangan puak-puak Mujahidin yang terdiri daripada pelbagai
parti dan suku kaum serta gabungan komunis yang berpaling tadah telah berjaya
menewaskan kuasa besar dunia, Soviet Union (Rusia). Malangnya, kemenangan ini
tergadai sehingga mengancam kesejahteraan dan kebajikan rakyat apabila mereka
berperang sesama sendiri sehinggalah dikalahkan oleh kelompok Taliban, pelajar
agama. Ada sesetengah mereka telah bersatu dalam Pakatan Utara untuk menentang
Taliban dan meminta bantuan Amerika Syarikat. Akhirnya Barat datang membantu
pihak Pakatan Utara sehingga Taliban kalah.
Tikam Belakang Dalam Gerakan
Islam
‘Kemenangan Islam bukan
disebabkan diri individu [diri kita] tetapi kemenangan Islam disebabkan oleh
kesatuan umat berdasarkan satu aqidah dan keizinan-Nya. Ia bukan persoalan bila
tetapi persoalan mengapa boleh menang’
Menyertai dan aktif dalam gerakan Islam, belum tentu diri kita selamat.
Sebenarnya,ia akan menambah musuh. Pertama, musuh luar iaitu musuh Islam, kedua
musuh dalaman iaitu penyakit hati kalangan sahabat seperjuangan.
Dalam gerakan Islam, tiada malaikat. Didalamnya bukan setakat ada
manusia yang saleh sahaja, tetapi ada manusia sejenis seperti Firaun, Hamman,
Qarun, Abu Jahal, Qabil, Dajal, Abdullah Bin Ubay bahkan berjeniskan
Iblis-Syaitan. Penyakit utamanya adalah DENGKI
yang mengorbankan Habil. Kedengkian peribadi mengalir sehingga membentuk
kumpulan dan akhirnya bersengketa sesama sendiri. Paling malang berlaku
perpecahan dalam gerakan Islam setelah satu pihak memilih untuk keluar
menubuhkan kumpulan baru. Sepatutnya perjuangan Islam umpama kejohanan olahraga
dalam acara balapan dimana setiap organisasi Islam berlari berdasarkan lorong
masing-masing untuk menuju kemenangan Islam. Tujuan utama sama dengan cara
masing-masing tanpa menganggu gerak kerja di lorong masing-masing.
Perjuangan gerakan Islam mestilah berpasakkan [1] Dasar Islam, [2]
Pendekatan Islam dan [3] tokoh Islam. Berjuang untuk Islam jangan sesekali
bertempelkan atau bertongkat kepada individu. Bertongkatlah kepada Allah SWT
dengan mengikuti Dasar Islam.
Jika kita tidak bersetuju dengan pendekatan atau tokoh tertentu, bersabarlah. Di hadapan kita ada dua
jalan, [1] istiqamah dengan sabar meneruskan perjuangan dengan pelbagai
cabaran/fitnah/dizalimi [Surah an Nahl: 42] dan [2] bertawaquf [rehat sekejap]
menunggu perubahan kepimpinan. Selagi Dasar Islam tidak dicabuli, selagi itulah
paling baik ialah istiqamah dan aktif bersama gerakan Islam. Jika Dasar Islam
dirobohkan atau dimusnahkan dalam Perlembagaan Gerakan Islam, barulah kita
wajib keluar menubuhkan kumpulan baru.
Menyertai gerakan Islam adalah satu keputusan yang berat. Lebih ramai
bersedia memilih menjadi simpatis kepada gerakan Islam berbanding menyertai dan
aktif didalamnya. Ia umpamanya besi yang tahan panas, jika kita tahan-sabar,
kitalah orang unggul dan berupaya menghadapi dugaan dalam gerakan Islam.
Kumpulan Islam [yang yang betul-betul mahukan Islam] terbahagi kepada
beberapa kumpulan berdasarkan [1]
kepentingan politik, [2] berdasarkan aliran pemikiran [seperti Salafi-Wahabi,
Attasian, tradisionalisme dan lain-lain]
dan pelbagai pendekatan dalam menangani sesuatu isu atau perkara.
Kumpulan Islam tidak berupaya bersifat syumul. Jika mereka tidak
bersifat syumul, paling kurang mereka wajar bantu membantu dan sokong menyokong
dalam mengukuhkan kedudukan Islam walaupun berbeza pemikiran dan pendekatan.
Contoh kelompok Attasian menyatakan bahawa asas kepada permasalahan yang
berlaku adalah ilmu manakala PAS mengatakan permasalahan politik. Akibatnya
berlaku pertembungan antara dua kelompok yang mahukan Islam. Umat Islam akan
kerugian ekoran pertembungan antara dua keegoan ini. Kita akui bahawa umat
Islam ketiadaan ikon dan kekurangan isu untuk menyatukan pihak-pihak yang
bertembung. Kita kena mencari kekuatan dan mengurangi kelemahan dan
pertembungan demi Islam.
Masing-masing mempunyai kekuatan dan kelemahan. Kelompok Attasian
umpamanya jangan terlalu asyik dengan dunia pemikiran dan falsafah sehingga
mengenepikan politik kekuasaan. Barat banyak masa menghanyutkan kita dengan
dunia pemikiran dan falsafah agar kita mabuk dengannya sehingga melupai politik
kekuasaan dan amal kebajikan. Kewujudan ISTAC atas dasar politik kekuasaan
dimana pihak pemerintah membenarkan ISTAC ditubuhkan dengan dana kerajaan.
Setelah ISTAC tiada, kelompok Attasian berpindah ke ATMA di Universiti
Kebangsaan Malaysia kemudian ke CASIS, Universiti Tenologi Malaysia. Kelompok
Attasian juga bertempel di Biro Tatanegara dan Institut Kefahaman Islam
Malaysia [IKIM]. Penulisan tokoh-tokoh kelompok Attasian didanai oleh kerajaan.
Justeru, politik kekuasaan yang beradab, bantu membantu, damai, saling hormat-menghormati
dan saleh penting untuk proses Islamisasi dan menghidupkan ilmu dalam negara
kita.
Kita wajib mengutamakan keutamaan yang paling utama. Di negara majoriti
Islam dan tiada pemerintahan diktator, politik kekuasaan mestilah diletak di
barisan depan manakala di negara minoriti Islam dan tiada pemerintahan diktator,
barisan depannya wajib diletakkan ilmu dan dakwah. Dalam konteks Malaysia,
politik Islam kita serahkan PAS. Kelompok Attasian, kelompok Habib, jemaah
tabligh, NGO Islam seperti ABIM, IKRAM, ISMA, MACMA dan HALUAN perlu membantu
PAS untuk berjaya dalam politik kekuasaan disamping tugas asasi mereka dalam
bidang keutamaan masing-masing. Kita perlu memilih pendekatan damai dan saling
bantu membantu bukannya menyokong pihak SEPILIS dan Nasionalis.
Tikam belakang berlaku dalam gerakan Islam dan sesama gerakan Islam
sangat menyedihkan. Tanpa kesatuan, umat Islam tidak akan mengecapi kemenangan.
Dan ia menghasilkan kerugian kepada umat Islam sendiri.
Pemimpin yang Kuat
Dalam sesebuah organisasi, ada tiga kekuatan utama iaitu Perlembagaan,
Pemimpin dan Pengikut.
Pemimpin yang kuat dan hebat disokong oleh pengikut dan pembantu
pemimpin yang hebat. Saidina Ali yang hebat itu mengalami kelemahan ekoran
mendapat ramai pengikut yang lemah.
Kelemahan disini adalah kelemahan ketaqwaan, adab berjemaah dan gagal
mematuhi disiplin/tatatertib jemaah.
Imam Hasan al Banna pernah menjawab soalan apabila ditanya siapakah
yang paling layak mengantinya jika beliau tiada?’. Jawabnya,
“lantik pemimpin yang paling
lemah di kalangan kamu, kemudian kamu dengar dan taatlah perintahnya. Ia akan
menjadi orang yang paling kuat di kalangan kamu”
Maksudnya kekuatan seseorang ketua adalah taat/wala’nya pengikut kepada
arahan pemimpin. Jika pengikut hanya mendengar kata hati mereka sendiri,
kekuatan pemimpin mereka akan hilang. Thalut diperkuatkan oleh Daud, Nabi Musa
dibantu oleh Nabi Harun. Pengikutlah yang boleh menjadi pembantu pemimpin dalam
menguatkan pemimpin dan organisasi yang didukungi.
Syeikh Muhammad al Ghazali yang pernah bertentangan dengan Imam Hassan
al Hudaybi mengeluh tentang kisah lampau
menyatakan,
“Saya menemuinya setelah berbagai musibah berlalu untuk memperbaiki
hubungan dengannya. Semoga Allah Ta'ala mengampuni kita semua."
Kejayaan zaman Tuan Guru Fadzil Noor kerana beliau mempunyai pembantu
yang hebat seperti TGHH, Tuan Guru Harun Taib, Tuan Guru Yahya Othman, Ustaz
Abu Bakar Chik, Dato Mustafa Ali, Ustaz Hassan Shukri dan bahkan beliau juga
dibantu oleh tokoh-tokoh yang sudah keluar PAS seperti Ustaz Nakhaie Ahmad.
Jika kita kurang berupaya membantu para pemimpin, sekurang-kurangnya
kita ada thiqah. Thiqah ialah pengikut yang berlapang dada terhadap pemimpin
mereka, pada kemampuan dan keikhlasan mereka, dengan sepenuh rasa ketenangan sehingga
menghasilkan rasa kasih, hormat, penghargaan dan ketaatan.
Pertembungan Dalam Organisasi
Dalam sesebuah organisasi yang dinamika, perbalahan dan konflik
sentiasa berlaku memberi pengajaran dan menambahkan kematangan kepada
organisasi tersebut. Ikhwanul Muslimin merupakan sebuah organisasi Islam
terbesar dan berpengaruh di dunia juga terlibat dalam banyak krisis dalaman.
Kebanyakannya diakhiri dengan kemenangan dalam pemilihan, keluar jemaah dan
dipecat.
Antara impak ahli keluar jemaah dan dipecat, mereka tubuh organisasi
baru[ termasuk parti politik] atau aktif dalam bidang akademik.
Berkenaan anggota yang dipecat, Imam Hassan al Hudaybi pernah berkata
‘mereka dipecat bukan kerana kelemahan komitmen kepada agama.Boleh
jadi salah seorang daripada mereka lebih baik daripada kita. Tetapi jamaah mempunyai tata tertib yang harus
dijaga dan dilaksana. Oleh kerana mereka melanggar tata tertib, mereka diberhenti, agar barisan tetap lurus dan rapi’.
Pemecatan atau keluarnya anggota Ikhwanul Muslimin bukannya disebabkan mereka
kekurangan kesalehan tetapi pelanggaran tata tertib-adab, disiplin atau
kaedah dalam jemaah.
Imam Hassan al Banna sendiri pernah dicabar oleh sahabat baik merangkap
pengasas Ikhwan, Ahmad As Sukkari yang mahu membawa satu gagasan alternatif
dimana mengesa Ikhwan bergabung dengan parti Wafd, sebuah parti sekular.
Pada tahun 2010, pertembungan besar berlaku dalam Ikhwanul Muslimin
sehingga hampir semua pemimpin daripada kelompok ‘reformis’ tumbang. Pemimpin
harapan kelompok ‘reformis’ seperti Dr Muhammad Habib (Timbalan Mursyidul Aam
kepada Dr Muhammad Mahdi Akef) dan Dr Abdel Monem Abul Fotouh tumbang. Hanya Dr
Essam el Erian sahaja yang menang.[2]
Imam Hassan al Hudaybi sendiri pernah bertembung dengan pimpinan lain
Ikhwan bahkan melibatkan fizikal apabila pejabat Ikhwan dirampas oleh pimpiman
tersebut. Pimpinan yang lawan beliau bukanlah calang-calang orang, antaranya
Sayyid Sabiq dan Sheikh Muhammad al Ghazali. Ia bukanlah masalah kesalehan atau
kealiman, ia masalah disiplin dan kaedah jemaah.
Pertembungan menguji keistiqamahan dan ujian ketaatan.
Ujian Ketaatan Kepada Pemimpin
“ancaman terbesar terhadap
Ikhwanul Musllimin ialah yang datang dari dalam, yakni saat
anggota jamaah Ikhwan sudah menjadi kesetiaan
kepada diri sendiri dan tidak
mahu menerima pendapat para Ulama, kecuali yang sesuai dengan agendanya."
Tentang diri, kita seharusnya kembali kepada kefahaman dan penghayatan
tasawuf agar hati kita diperbaiki. Jangan asyik terperangkap dengan fitnah,
buruk sangka dan hina menghina.
Jika kita mengalami kegusaran terhadap organisasi atau kalah dalam
pemilihan, kita hanya ada beberapa pilihan;
1.
Taat dan
terus bekerja demi Allah bukannya manusia dan kepentingan diri.
2.
Rehat-uzlah
menunggu perubahan baru. Penulis pernah mendengar cerita bahawa abang kepada
Ustaz Azizan, bekas Menteri Besar Kedah pernah ‘berehat’ atau tawaquf daripada
PAS setelah PAS menyertai kerajaan campuran.
3.
Keluar
tanpa menyertai organisasi musuh. Menyertai organisasi lain yang taat pada al
Quran dan hadith.
Kita wajar menjadi elemen Islami dan kemanusiaan walaupun dimana jua
posisi kita. Mencari pahala tanpa jawatan lebih enak daripada memegang amanah
kepimpinan yang cukup berat ketika bertemu dengan Allah di akhirat kelak.
Setiap pahala milik individu dengan apa yang diniatkan bukannya berdasarkan kumpulan mereka. Kumpulan hanyalah pelaksana
dalam menambahkan pahala.
Muhibbah dan Kelompok Ekstrem
“revolusi tidak pernah
meringankan beban rakyat daripada kekejaman seseorang pemerintah, sebaliknya ia
cuma memindahkan mereka kepada kekejaman yang lain. Ia hanya memindahkan rakyat
daripada tangan seseorang penzalim kepada seseorang yang zalim lain.”- George Bernard Shaw
Islam bukan agama yang menyokong kekerasan dan kezaliman. Islam menolak
kelompok ekstrem dalam mana-mana aliran atau kumpulan bahkan dalam melaksanakan
ibadah sekalipun keekstreman adalah ditolak.
Kita asyik dan seronok berbalah tentang persoalan siapa wahabi, siapa
ahbash, siapa ahli sunnah wal-jamaah dan lain-lain. Selagi aliran itu bersumber
al Quran dan hadith, hormati pandangan dan pendapat orang lain. Pokok
pangkalnya adalah sumber ilmu Islam diikuti ikhlas dalam hati yang tidak mampu
manusia menilai. Perbalahan antara aliran ini menghasilkan kelompok ekstrem
dalam aliran-aliran berkenaan sehingga mencetuskan fitnah dalam masyarakat.
‘Belajar daripada ulama atau
sarjana, ambil kebaikan dan faedah daripada mereka, ambil ilmu yang sahih dan
benar daripada mereka, dan tinggalkan perbalahan antara ulama kerana ia bukan
gelanggang ilmu kita. Ambil kebaikan
daripada Imam Ibnu Taymiyyah dan Imam al Ghazali dan tinggalkan perbalahan
antara mereka’.
Dalam era teknologi maklumat, perkembangan ilmu semakin terbuka luas
melalui internet, sesiapa yang bersifat taksub akan terkulai dalam dunia yang
penuh kesempitan, sesiapa yang bersifat saling hormat menghormati boleh
berenang jauh dalam lautan maklumat yang pelbagai. Taksub kepada aliran
pemikiran dan guru melahirkan kelompok ekstrem yang lebih keras daripada
pendirian sang guru. Mereka terlalu literalis dan sesetengah terlalu logik
melalui kontekstual. Akhirnya menjadi kelompok ekstrem.
Dalam politik, kematangan terserlah apabila kita saling menghormati
pendapat kawan dan lawan kita. Ada ketika kita perlu berkerjasama dengan pihak
musuh atas slogan bersetuju dalam perkara yang tidak dipersetujui yakni hormati
pendapat yang tidak dipersetujui.
Fitnah dihasilkan oleh kelompok ekstrem yang tidak mendahului
menghormati, damai, baik sangka, memaafkan dan sederhana dalam berfikir dan
bertindak. Pihak sebeginilah yang sanggup membunuh Saidina Uthman, Saidina Ali,
Saidina Hussin dan mengkhianati Saidina Hassan.
‘Kalau diikut semangat muda dan
ribuan audien menghadiri ceramah bagaikan esok mahu tubuh kerajaan Islam. Masa
itu semua mahu dilanggar dan diruntuhkan. Rupanya perjalanan masih jauh’.
Gerakan Islam terpalit dengan kelompok ekstrem. Ikhwanul Muslimin dan
PAS sendiri terdapat kelompok ini. Kelompok sebegini sentiasa ada dan perlu
dikawal. Mereka tidak boleh dibuang kerana ia akan menghasilkan kelompok yang
lebih ekstrem dalam perjuangan Islam. Kematangan dan peningkatan usia banyak
menghakis sifat ekstrem mereka. Sesetengah mereka yang tidak sabar, akan
terkeluar daripada jemaah Islam secara sendiri bahkan ada yang menjilat kembali
segala muntahan mereka kerana menyertai kelompok nasionalis atau SEPILIS.
Politik Damai, Politik Sepakat
Politik adalah suatu yang dinamis dan perubahan cukup pantas.
Pendekatan dan keputusan politik perlu dilakukan secara pantas dan bijaksana
agar tidak kerugian dalam sesuatu perkara yang berlaku. Antara sifat politik
moden ialah pragmatis yang berpasak kepada matlamat menghalalkan cara. Sifat
pragmatis menyalahi sifat politik Islam. Politik Islam berdasarkan hujah dan
dalil ilmu yang bersumber al Quran, al Sunnah, tidak melanggar aqidah dan
syarak diikuti dengan pengalaman-tauladan tokoh dan sejarah Islam. Justeru,
setiap pendekatan dalam politik Islam dibiasakan dengan penyediaan kertas kerja
yang berdalilkan sumber ilmu dalam Islam dan diputuskan secara syura kecuali
keputusan segera diputuskan oleh kebijaksanaan pemimpin utama atas pertimbangan
syarak dan akalnya.
Politik Islam ialah politik
berdasarkan aqidah dan syariat. Jika aqidah betul dan sanggup menerima
syariat Islam, gerakan politik Islam akan bersama dengan pemerintahan yang
mahukan syariat dilaksanakan. Dua unsur ini sangat penting sebagai tiket atau
kunci kepada perpaduan dan penyatuan parti-parti politik dalam sesebuah negara
majoriti umat Islam.
Dalam politik, kemenangan dalam politik pilihanraya memang diutamakan
tetapi ia bukannya segalanya. Politik Islam mendambakan kemenangan dalam
pilihanraya dengan keredhaan Allah bukannya kemenangan mengunakan cara yang
salah. Politik Islam mengutamakan
kesejahteraan rakyat berbanding kemenangan dan pemusuhan politik. Kita
bekerjasama dengan lawan politik untuk kepentingan Islam, umat dan rakyat.
Jangan sampai pertelingkahan politik menjadikan rakyat sebagai mangsa keadaan.
Pemerintahan terlalu lama, kronisme dan nepotisme dalam pemerintahan
Khalifah Uthman menimbul tidak puas hati terhadap pemerintahan beliau. Gaya
pemerintahan Khalifah Uthman dikritik oleh sahabat Rasulullah SAW Abu Zar.
Kritikan ini tidak menidak sedikit pun jasa, pengorbanan, kesalehan dan ketinggian Khalifah Uthman disisi Allah
SWT dan Rasululllah SAW, kritikan ini untuk mengislah pemerintahan Khalifah
Uthman agar lebih baik. Kritikan atas dasar dan politik bukannya pada orangnya.
Para pemberontak mendatangi Kota Madinah. Para pemberontak terdiri
daripada generasi baru dan anak muda yang tidak mengenali dan tidak bersama
Rasulullah SAW. Mereka tidak berpuas hati dengan corak pemerintahan Khalifah
Uthman. Pemberontak dari Kufah mahu Az Zubair Awwam sebagai pemimpin mereka,
manakala pemberontak dari Mesir mahukan
Ali Abi Talib dan pemberontak dari Basrah mahukan Talhah Ubaidillah
sebagai pemimpin mereka. Mereka mengepung Kota Madinah dan rumah Khalifah
Uthman. Menariknya, Khalifah Uthman menolak menggunakan kekerasan terhadap para
pemberontak sehingga akhirnya pemberontak menyerbu dan menyerang rumah Khalifah
Uthman yang kawalannya cukup minima dan membunuh beliau.
Selepas kematian Khalifah Uthman Affan, umat Islam menjadi huru-hara
akibat fitnah politik sehingga berlakukan perang saudara yang pertama dalam
Islam iaitu Perang Jamal antara pihak Saidatina Aishah, Talhah Ubaidillah dan
Az Zubair al Awwam berperang dengan Khalifah Ali Abi Talib. Keempat tokoh ini
adalah tokoh dijamin syurga. Kenapa mereka berperang sesama sendiri?. Mereka
berperang kerana fitnah politik dan perbezaan pendekatan berdasarkan ijtihad
masing-masing atas kes pembunuhan Khalifah Uthman.
Perang Siffin mencetuskan keributan kepada politik umat Islam ketika itu
apabila pihak yang hampir menang, pengikut Khalifah Ali mendesak beliau
menerima pendamaian dengan Muawiyyah. Akibat majlis tahkim, berlaku peristiwa terlantik dua orang Khalifah iaitu
Khalifah Ali Abi Talib dan Khalifah Muawiyyah. Pengikut Khalifah Ali berpecah
kepada dua iaitu kelompok Syiah yang pro Ali dan Khawarij yang menentang Ali
dan Muawiyyah.
Konflik politik umat Islam diselesaikan oleh pengorbanan cucu
Rasulullah SAW bernama Saidina Hassan Ali. Beliau sanggup berdamai dan
menyerahkan tampuk pemerintahan mutlak kepada Muawiyyah sehingga wujudnya
Dinasti Umaiyyah.
Politik penuh tikam menikam, konflik, perbalahan sesama sendiri demi
kekuasaan. Politik telah banyak memakan korban dalam kalangan umat Islam.
Dalam konflik politik umat Islam ini, penulis tertarik dengan ibrah
berikut;
1.
Pendekatan
damai Khalifah Uthman yang sanggup mati untuk mengelakkan pertempuran sesama
sendiri antara orang Islam.
2.
Pendekatan
vokal Abu Dzar dalam mengkritik
Khalifah Uthman
3.
Kesetiaan
dan kesabaran Ali Bin Abi Talib kepada Khalifah Uthman
4.
Kesanggupan
Saidina Hassan Bin Ali meletakkan jawatan dan mengundur diri demi mendamaikan
pertelingkahan politik.
5.
Pemberontakan/kekerasan
bukan cara penyelesaian politik. Ia ditolak oleh Ali. Saidatina Aisyah cukup
menyesal di atas penglibatan beliau pemberontakan semasa peristiwa Perang
Jamal.
Politik Islam bersifat nasihat menasihati. Sabda Rasulullah SAW, ‘Agama itu nasihat, Sahabat bertanya, untuk
siapa wahai Rasulullah? Baginda bersabda, Untuk Allah, rasul-Nya, kitab-Nya,
para pemerintah dan rakyat Islam’. Sabda Rasulullah SAW lagi, ‘Di antara jihad yang paling mulia ialah kalimah yang adil dihadapan
pemerintah yang zalim’.
Bagaimana Kita Berpolitik?
‘ramai orang baik tetapi tak
beriman, ramai orang beriman tetapi tak bertaqwa, ramai yang muslim tetapi tak
ramai yang mukmin’.
‘Islam belum tentu Islamik,
lulusan agama belum beragama’
1. Politik dipengaruhi oleh dasar perjuangan parti, manifesto parti,
prestasi parti, tokoh dan mood rakyat berdasarkan isu popular.
2. Menilai parti. Penilaian terhadap parti boleh dibahagi kepada tiga
iaitu prestasi semasa, kualiti pemimpin dan dasar pegangan parti.
3. Menilai pemimpin.
4. Kenapa penting sangat beriman dan bertaqwa?. Negara Barat dan Jepun
maju, membangun, kualiti dalam kerja, cekap, canggih-moden, budaya baik seperti
bersih, dan tidak mengambil rasuah tanpa beriman dan bertaqwa sebagaimana
kebanyakan negara umat Islam.
Kita biasa mendengar ayat, ‘Aku
nampak kualiti Islam di Negara Barat dan Jepun berbanding negara Umat Islam’.
Negara Barat dan Jepun wajar diakui kebaikan dalam banyak segi terutamanya bab
kemajuan dan budaya kerja.
Penilaian kita terhadap negara Barat dan Jepun terbahagi kepada dua
iaitu worldview membentuk alam fikir
dan geografi yang membentuk budaya. Walaupun Negara Barat dan Jepun terbaik
daripada segala segi, tetapi worldview
yang membentuk alam fikir mereka tidak berlandaskan tauhidik. Mereka
canggih-moden tetapi menghalalkan homoseks.
Geografi membentuk budaya, banyak negara umat Islam berpadang pasir dan
hujan sepanjang tahun. Dua elemen ini membentuk budaya umat Islam.
Perkara pertama yang paling penting ialah pembebasan diri daripada perkara syirik, khurafat, tahyul dan mitos
kembali kepada tauhid. Kedua, pembebasan
akal daripada pemikiran-pemikiran tidak bertauhid dan ketiga, pembentukan akhlak dan peradaban.
Ketiga-tiga perkara umat Islam masih lemah. Selagi tiga perkara ini tidak
diselesaikan, umat Islam akan terus lemah.
Politik Islam tidak bergantung kepada sistem atau bentuk pemerintahan
kerana politik Islam bergantung kepada PEMIMPIN yang mempunyai worldview, framework, merujuk sumber
ilmu Islam yang akhirnya mengIslamisasikan sistem atau bentuk pemerintahan
tersebut.
Dalam politik, kita perlu jangka tempoh seseorang pemimpin berkuasa.
Sebaiknya pemimpin dihadkan memerintah selama 10 tahun atau dua penggal untuk
sesuatu jawatan dalam kabinet termasuk jawatan Perdana Menteri.
Dewan Negara perlu diperkasa dan dimartabatkan semula dengan memberi
kuasa kepada Dewan Negara untuk membatalkan keputusan Dewan Rakyat. Dewan
Negara dianggotai oleh 2 wakil kerajaan negeri dalam Persekutuan Malaysia dan
seorang wakil Pihak Berkuasa Tempatan [daerah atau bahagian] serta bekas
pimpinan utama negara. Kerajaan Persekutuan hanya dikehendaki memilih 30 orang
pemimpin sebagai anggota Dewan Negara. Bekas pimpinan utama dipilih kalangan
bekas Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri yang berkuasa selama 2
penggal atau 10 tahun. Keahliannya secara automatik.
Jabatan atau agensi kerajaan tertentu seperti Jabatan Peguam Negara,
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan
pelbagai suruhanjaya diletak di bawah kuasa Parlimen.
Setiap anggota ADUN atau Ahli Parlimen dihadkan memegang kuasa hanya 3
penggal atau 15 tahun. Manakala jawatan Menteri hanya 3 penggal atau 15 tahun.
Pemegang jawatan Lembaga Pengarah dalam Syarikat kerajaan atau GLC
hanya dihadkan kepada 5 tahun sahaja.
Sistem pilihanraya berdasarkan peratusan undi bukannya jumlah kerusi
seperti hari ini [2016].[3]
Kesimpulan
Islam menolak sifat individualistik tetapi tujuan pendidikan Islam
ialah menanam kebaikan ataupun keadilan dalam diri manusia sebagai seorang
manusia dan individu.[4]
Individu yang beriman dan bertaqwa mengikut ajaran al Quran dan al Sunnah.
Justeru, setiap ahli politik mewakili diri mereka melebihi organisasi yang
mereka wakili. Dengan maksud, jika organisasi tidak benar, ahli politik boleh
menolak pandangan organisasi secara penuh beradab. Perbuatan buruk dan
pendekatan yang tidak berakhlak jangan diikuti.
Kehidupan politik seorang politikus Islam perlu memenuhi kehendak
syarak. Syarak bukan sahaja panduan tetapi pengawas bagi diri agar tidak
melakukan perkara yang bertentangan dengan Islam.
Hormati pemimpin utama dan kritikan secara beradab melalui saluran yang
dibenarkan. Setelah krtitik tetapi pihak atasan masih berdegil, tanggungjawab
sebagai pemimpin sudah kita tunaikan. Kita doakan agar ijtihad pemimpin atasan
betul. Jika ijtihad pemimpin atasan salah, jangan sesekali memburukkan mereka
kerana ia adalah keputusan kolektif para pemimpin.
Dalam politik, jangan harap diri kita penting. Utamakan kemenangan
Islam daripada kemenangan politik. Guna pendekatan yang betul bukannya
pendekatan matlamat menghalalkan cara. Utamakan perbincangan, kerjasama dan
permuafakatan walaupun dengan pihak musuh politik walaupun kelihatan tidak
bijak. Kesejahteraan rakyat lebih utama daripada kemenangan parti.
No comments:
Post a Comment