Wednesday, November 02, 2016

29 Realiti Pendanaan Asing

ULASAN Isu pendanaan asing kembali lagi dengan pendedahan minit mesyuarat Open Society Foundation (OSF), iaitu sebuah promoter demokrasi berpengaruh di dunia.

Wujudnya corak yang menyarankan, isu ini akan mendapat tempat setiap kali BERSIH ingin mengadakan perhimpunan, bermula dari perhimpunan pertamanya pada 2007 sehinggalah yang terkini pada 19 November nanti.

Perkaitan ini adalah difahami mempertimbangkan pengaruh BERSIH sebagai sebuah gerakan sosial yang begitu mendapat perhatian.

Ia meletakkan konteks terhadap agenda pertukaran rejim yang seringkali dilemparkan pengkritik terhadap pertubuhan itu.

Walaupun isu dana asing (dan ancaman pihak asing) telah mendapat tempat sejak 1980-an lagi, ia didebatkan dalam intensiti yang lebih dramatik sejak 2011 mempertimbangkan kecairan politik Malaysia selepas pilihan raya umum (PRU) ke-12 pada 2008.

Memandangkan isu ini cenderung dibahaskan dalam kerangka yang picisan dan simplistik, telah tiba masanya pencerahan diberikan untuk meletakkan isu ini dalam jalur yang lebih tepat.


Sejak 2014, saya dan beberapa rakan penyelidik lain sedang menyiapkan kajian berhubung bantuan demokrasi di Malaysia.

Ia merupakan kajian pertama seumpamanya dijalankan di Malaysia dalam konteks bidang pendemokrasian dan masyarakat sivil.

Umumnya masyarakat, pemerintah dan sektor masyarakat sivil hanya memahami isu ini sebagai pendanaan asing dan tidak cuba mengaitkannya sebagai satu bentuk bantuan demokrasi – satu disiplin yang telah berkembang subur di peringkat antarabangsa selepas kejatuhan komunisme.
Namun di Malaysia, istilah bantuan demokrasi merupakan istilah yang agak asing termasuklah dalam kalangan organisasi masyarakat sivil (CSO) tempatan yang menerima dana dari promoter-promoter demokrasi antarabangsa.

Perlu dijelaskan yang bantuan demokrasi adalah satu bentuk pendanaan asing tetapi pendanaan asing tidak semestinya membawa maksud bantuan demokrasi kerana ia boleh disalurkan ke bidang-bidang lain seperti kesihatan, pendidikan, khidmat sosial dan sebagainya.
Memandangkan polemik isu ini telah sampai ke tahap yang “mengelirukan”, kami terpanggil untuk berkongsi dapatan preliminari kajian ini bagi mengarifkan lagi pemahaman umum mengenai subjek yang diperkatakan.
Walaupun kajian ini masih belum siap sepenuhnya dan mungkin hanya akan dibukukan pada hujung tahun hadapan, ia telah berada di peringkat akhir.

Kami juga dengan segala hormat menjemput Timbalan Perdana Menteri, YB Datuk Seri Zahid Hamidi untuk meneliti dapatan “kajian empirikal” ini seperti yang dicadangkannya.

Kami yakin sebagai seorang ahli politik yang berkelulusan PhD, beliau dapat meraikan sebuah kajian ilmiah.
1. Hak organisasi masyarakat sivil (CSO) mendapatkan sebarang bentuk dana adalah hak yang dijamin oleh PBB. Dokumen penting yang boleh dirujuk dalam hubungan ini ialah United Nations Human Rights Council (UNHRC) yang disediakan oleh United Nations Special Rapporteur on the Rights to Freedom of Peaceful Assembly and of Association, Maina Kai pada 2013.
2. Peningkatan bantuan demokrasi di Malaysia umumnya adalah cerminan dari kekurangan dana domestik untuk membiayai operasi mereka di Malaysia dan juga kekurangan budaya kedermawanan. Hal ini dapat menjelaskan mengapa promoter demokrasi dan yayasan-yayasan bebas seperti Ford Foundation dan OSF dijadikan antara sumber utama mereka. Namun kebanyakan promoter demokrasi sebenarnya mula mengurangkan penyaluran dana kerana Malaysia dianggap sebuah negara berpendapatan tinggi.
3. Bantuan demokrasi merupakan instrumen yang dijalankan dengan meluas di lebih 100 buah negara. Ia merupakan satu kaedah promosi demokrasi yang paling lazim dilakukan. Termasuk dalam soal ini ialah sokongan langsung (termasuklah insentif, campur tangan ketenteraan), sokongan tidak langsung (seperti menggalakkan pembangunan ekonomi) dan tekanan diplomatik untuk melakukan perubahan polisi (termasuklah retorik, ancaman sekatan dan perjumpaan dengan aktivis demokrasi).
4. Bantuan demokrasi ditakrifkan meliputi tiga bentuk utama. Pertama ialah proses politik iaitu bantuan pilihan raya dan pengupayaan parti politik. Bantuan ini dianggap paling kurang dijalankan kerana faktor prinsip kedaulatan melainkan oleh aktor penyumbang yang kuat seperti AS dan yayasan parti politik Jerman. Kedua ialah bantuan terhadap institusi pemerintahan (pengukuhan institusi polis, tentera, kehakiman, perlembagaan, kerajaan tempatan). Bantuan seperti ini umumnya berkait rapat dengan masalah pemusatan kuasa eksekutif. Bantuan seperti ini juga dianggap sebagai mempunyai pengaruh yang terbatas melainkan terdapatnya kemahuan politik elit negara berkenaan. Ketiga ialah bantuan kepada organisasi masyarakat sivil (media, NGO, kesatuan sekerja dan kumpulan pemikir). Bantuan ini merupakan strategi yang paling sedang berkembang dan dianggap paling mendominasi termasuklah di Malaysia.
5. Bantuan demokrasi umumnya menyasarkan kedua-dua pihak iaitu kerajaan/parti pemerintah dan juga parti pembangkang/masyarakat sivil. Hal ini dapat menjelaskan mengapa kerajaan Malaysia, parti-parti politik BN, institusi dan kumpulan pemikir berkaitan kerajaan turut merupakan penerima bantuan demokrasi. Program-program ini termasuklah latihan pilihan raya dan bantuan terhadap institusi pemerintahan (apa yang dianggap program serasi-rejim seperti pengukuhan kehakiman, latihan wartawan media, tadbir urus baik, isu wanita dan pendidikan sivik). Data-data ini ada direkodkan dalam berbagai laman sesawang rasmi milik AS dan juga promoter demokrasi lain.
6. Bantuan demokrasi bukan merupakan aktiviti berbentuk sulit, tertutup, dan subversif. Ia dijalankan secara terbuka bagi mengelakkan konflik dan bagi membolehkan mereka mendapat akses dalam menjalankan aktiviti mereka. Mereka umumnya mempublisiti dan mendokumentasikan kegiatan mereka termasuklah National Endowment Democracy (NED) yang mendedahkan ke masyarakat umum kesemua NGO yang menerima dana mereka. Kesemua penerima geran tertakluk pada peraturan kewangan yang rigid dan terperinci. Minit mesyuarat OSF yang didedahkan hanya merupakan sebahagian dari rutin biasa operasi mereka. Dalam era kemajuan teknologi maklumat, kesemua aktiviti dan data CSO menjadi lebih telus, boleh diberi penelitian (scrutinized) dan agak sukar disembunyikan. Pertambahan kewujudan badan whistle-blower turut tidak memungkinkan mana-mana promoter demokrasi dan penerima dana beroperasi dalam iklim yang tertutup dan dipenuhi kecurigaan.
7. Bantuan demokrasi terbahagi kepada dua pendekatan iaitu pendekatan politik (yang sering dikaitkan dengan AS dan Jerman) dan pendekatan pembangunan (dikaitkan dengan negara-negara Eropah yang menekankan demokrasi sebagai proses jangka panjang dan pertautan konstruktif). Antara promoter demokrasi lain yang turut menyalurkan bantuan demokrasi di Malaysia selain AS dan Jerman ialah European Commission, Norway, Sweden, Finland, Belanda, United Kingdom/Ireland dan like-minded group seperti Australia, Kanada, Jepun, Taiwan dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Promoter-promoter seperti ini turut mempertauti kedua-dua pihak dan merupakan rakan baik Malaysia. Pelaksanaan aktiviti berprofil tinggi dilihat tidak produktif berikutan kepentingan ekonomi mereka di Malaysia.
8. Pengkritik seringkali melihat Indonesia sebagai model terdekat mengenai pertukaran rejim yang dibantu oleh dana asing dan membimbangi Malaysia akan menerima nasib yang sama. Bantuan demokrasi terhadap kelompok masyarakat sivil di Indonesia tidak menyumbang secara langsung dan bukan merupakan faktor terpenting kepada pertukaran rejim pada tahun 1998. Walaupun bantuan seperti itu wujud, tetapi ia hanya diberikan kepada NGO yang lebih memilih pendekatan sederhana dan selamat dalam berhadapan dengan rejim Orde Baru yang berfahaman tentera. Bagaimanapun, bantuan demokrasi memainkan peranan penting dalam transisi Indonesia ke pendemokrasian sehingga membolehkan Indonesia kini muncul sebagai promoter demokrasi baru.
9. OSF diakui merupakan antara promoter demokrasi yang paling kontroversi berikutan sentimen anti-Soros yang meluas. Namun ia merupakan promoter yang paling tidak birokratik dari segi permohonan dan pelaporan berbanding promoter lain. Harus dijelaskan yang Soros menentang pendekatan radikal pentadbiran Bush yang melancarkan perang menentang keganasan. Di Malaysia, OSF tidak menjalankan kegiatan yang aktif berbanding promoter demokrasi lain. Selain Malaysiakini, antara bantuan-bantuan demokrasi OSF yang dapat dikesan ialah Malaysian Project Offers Legal Literacy Training, klinik guaman komuniti di Sarawak dan hak asasi pekerja migran. Ibrahim Suffian yang hadir dalam mesyuarat OSF merupakan nama berpengaruh dalam program bantuan demokrasi di Malaysia. Kepakaran beliau banyak dirundingi bukan sahaja oleh promoter demokrasi antarabangsa tetapi juga parti-parti politik tempatan dari kedua-dua belah pihak. Pelantikan Merdeka Centre sebagai antara pemantau domestik untuk PRU-13 oleh SPR dapat dianggap sebagai pengiktirafan penting mengenai kebebasannya.
10. Berbeza dengan pandangan yang melihat yayasan parti politik Jerman menyalurkan dana ke program berprofil tinggi, Jerman merupakan promoter demokrasi yang dianggap paling profesional dan mempunyai polisi untuk tidak terlibat dalam aktiviti yang mencampuri urusan negara asing. Pendekatan ini dapat menerangkan mengapa sebahagian besar bantuan demokrasi Jerman di Malaysia pergi ke program-program berkaitan undang-undang dan kehakiman serta wanita. Aktiviti mereka di Malaysia juga dilihat sejajar dengan strategi mereka di negara semi-demokrasi iaitu melibatkan kerajaan di dalam dialog mengenai demokrasi bagi merangsang pendemokrasian dan menyalurkan bantuan kepada segmen masyarakat sivil yang dilihat boleh menjadi agen liberalisasi.
11. Tidak semua CSO yang kritikal dengan kerajaan menerima bantuan demokrasi. Terdapat CSO yang tidak mengambil dana dari promoter yang berprofil tinggi seperti AS dan ada dari mereka sememangnya bersikap berhati-hati dengan setiap dana yang diberikan.
12. CSO dan parti-parti politik yang terlibat dalam lingkaran bantuan demokrasi sememangnya berhubungan dengan pesat dalam jaringan antarabangsa. Tiada apa yang konspiratorial mengenai hubungan ini kerana ia merupakan proses biasa dalam konteks jaringan transnasionalisme dan pengantarabangsaan. Justeru, jika seseorang cuba menghubungkan titik-titik ini dengan begitu teliti, pastinya perkaitan dan jalinan ini akan pergi sejauh yang mungkin. Hal ini memandangkan agak sukar untuk menemui mana-mana individu atau CSO yang tidak mempunyai sebarang hubungan bertindan baik dengan CSO yang lain, CSO antarabangsa, promoter-promoter demokrasi dan mahu pun parti politik.
13. Bantuan demokrasi yang disalurkan ke CSO Malaysia antara 2005 hingga 2014 adalah begitu kecil. Berdasarkan data OECD, ia hanya merekodkan anggaran AS$21 juta sahaja dari keseluruhan 11 negara penyumbang. Adalah tidak meyakinkan yang jumlah sekecil ini boleh mengakibatkan ketidakstabilan dan seterusnya pertukaran rejim. Dalam kes Ukraine yang merupakan contoh klasik pertukaran rejim yang dibantu oleh pelbagai promoter demokrasi antarabangsa, Amerika Syarikat (US) membelanjakan USD5 bilion antara tempoh 1991 hingga 2013.
14. Cubaan mengaitkan teori konspirasi Yahudi dalam bantuan demokrasi yang disalurkan adalah picisan dan sempit. Ia merupakan lanjutan dari pengembangan pasaran konspirasi Yahudi yang kini menjadi hujah yang begitu simplistik untuk disogok ke domain umum.
15. Anwar Ibrahim diakui berperanan penting dalam lingkaran demokrasi global dan bantuan demokrasi di Malaysia. Namun hubungan ini telah berlaku lama sewaktu beliau berada dalam kerajaan lagi. Sikap pengkritik yang seringkali “mengimaginasi” ancaman yang akan datang dari Anwar kesan dari hubungannya dengan promoter demokrasi seperti AS dan Jerman telah “mencipta” reputasi yang sebenarnya tidak dimiliki secara “real” oleh Anwar. Dengan kata lain, walaupun sememangnya Anwar merupakan seorang yang disenangi dan berpengaruh dalam kalangan elit politik AS dan antarabangsa, pengaruhnya sebagai aktor bukan negara masih terbatas dan seseorang harus membezakan “gambaran sebenar” dengan “gambaran yang diperbesarkan” sama ada oleh pengkritik, oleh AS atau oleh Anwar sendiri. Jika seseorang membaca memoir beberapa pemegang jawatan politik utama AS sejak tempoh pemecatan Anwar pada 1998 seperti Bill Clinton, Madeline Albright, George W. Bush, Condolezza Rice dan Hillary Clinton, tidak ada satu pun sebutan atau ulasan mengenai Anwar ada dikemukakan dalam karya-karya ini. Malah, Malaysia secara umumnya tidak diberikan liputan dan jika ada, hanya diberikan sepintas lalu dan kebanyakannya pula bukan dalam konteks demokrasi. Petunjuk ini dalam takat yang tertentu dapat memberi gambaran mengenai kedudukan sebenar Anwar Ibrahim dalam lingkungan elit politik AS dan sikap sebenar AS terhadap Malaysia.
16. Kongres adakalanya bertindak lebih agresif dalam soal promosi demokrasi berbanding eksekutif yang diwakili Presiden. Kongres yang memberikan dana kepada pertubuhan seperti NED lebih cenderung melihat program berbentuk konfrontasi dan visible. Malah beberapa promoter demokrasi seperti IRI dan NDI pernah diusir keluar oleh kedutaan AS sendiri kerana menyulitkan hubungan dengan hos tempatan. Hal ini dapat menerangkan mengapa Presiden Obama secara keseluruhannya mengambil sikap yang agak dingin mengenai isu Anwar sehinggakan beliau dikritik keras oleh promoter demokrasi dan penyokong Anwar di Washington.
17. Walaupun bukti-bukti yang ada menyarankan bahawa sebahagian besar bantuan demokrasi yang disalurkan ke parti politik pembangkang dan CSO Malaysia bersifat tidak-serasi rejim (program pilihan raya, parti politik, media, hak asasi manusia, penyelidikan, kesatuan sekerja dan anak muda), keberkesanannya masih boleh dipersoal. Sehingga kini, parti politik pembangkang berada dalam keadaan tidak terorganisasi dan lemah dari segi struktur dalaman. Terkini, pakatan pembangkang bukan sahaja berpecah, tetapi juga bersaing sesama sendiri seperti yang berlaku dalam PRN Sarawak 2016. Hal ini sejajar dengan pemerhatian bahawa setelah 30 tahun dijalankan, bantuan demokrasi kepada parti politik hanya menghasilkan kemajuan yang kecil dan bukan berbentuk transformatif. Impak yang wujud sekadar berkisar kepada perkara-perkara mikro dan tidak berbentuk substantif atau fundamental. Hal ini berlaku kerana parti politik seringkali menentang perubahan dan elit akan menggunakan apa sahaja kaedah untuk mempertahankan kuasa dan kepentingan yang dipunyainya.
18. Bantuan demokrasi tidak melibatkan penyaluran wang ke parti politik. Kesemua CSO menerima wang dalam bentuk geran. Bantuan parti umpamanya hanya melibatkan bantuan berbentuk seminar, bengkel, persidangan, lawatan belajar, perundingan informal, aktivisme parti, calon dan parlimen. Malah dalam kes Ukraine yang menyaksikan bantuan demokrasi disalurkan dengan begitu besar, tidak ada sebarang bukti penyaluran wang tunai secara terus ada dilakukan. Dakwaan penyaluran wang tunai mengabaikan fakta bahawa promoter demokrasi (yang umumnya terdiri dari negara-negara maju) terikat dengan peraturan kewangan yang ketat dan bertanggungjawab terhadap pembayar cukai.
19. Keupayaan promoter demokrasi mempengaruhi trajektori dan bentuk politik sesuatu negara adalah terhad dan banyak kajian merumuskan bahawa bantuan demokrasi menghasilkan impak yang terbatas. Sememangnya diakui bahawa bantuan demokrasi yang bersifat konfrontasi mempunyai korelasi dengan pertukaran rejim dan berjaya mengalahkan penyandang kuasa seperti yang dibuktikan di Portugal, Sepanyol dan Chile pada 1970-an, Kenya (2002), Macedonia (2002), Iran (2005 dan 2006), Haiti (2006) dan di negara-negara bekas jajahan Soviet khususnya Ukraine pada 2004. Biarpun begitu, ia tidaklah boleh digeneralisasikan sebagai membayangkan yang bantuan demokrasi akan semestinya berakhir dengan pertukaran rejim. Banyak kajian bersetuju bahawa proses pendemokrasian yang dikenakan aktor luar ataupun antarabangsa hanya memainkan peranan marginal dan tidak signifikan. Selain kesukaran menentukan kesan penyebab (causal effect) sesuatu bantuan demokrasi yang kompleks, pembolehubah yang lebih penting ialah peranan unsur-unsur domestik itu sendiri.
20. Malaysia bukan menjadi negara tumpuan dalam program bantuan demokrasi. Promoter demokrasi hanya mula memberi lebih tumpuan ke Malaysia bermula era Abdullah Badawi yang mula melaksanakan kelonggaran politik. Sehingga kini juga dan di sebalik kempen dan gesaan untuk mengetatkan penyaluran dana asing, masih tidak ada satu undang-undang yang digubal pemerintah Malaysia berbanding negara-negara lain (termasuk Indonesia). Hal ini juga menyarankan yang penyaluran bantuan demokrasi masih dilihat tidak mengugat pemerintah.
21. Malaysia merupakan penerima terbesar program diplomasi kebudayaan AS seperti program Fulbright dan Young Southeast Asian Young Leaders Initiative (YSEALI). Walaupun program seperti ini tidak termasuk dalam takrifan bantuan demokrasi yang eksplisit, ia dianggap menimbal usaha bantuan demokrasi yang lebih khusus berikutan andaian “all good things go together” yang menjadi panduan am promoter demokrasi AS.
22. Komponen bantuan demokrasi terbesar dalam konteks bantuan kepada institusi pemerintah di Malaysia ialah kerjasama keselamatan dan ketenteraan yang dihulurkan oleh negara-negara seperti AS, Kanada, Jepun dan Australia. Pengkritik di Malaysia seringkali gagal melihat bahawa kerjasama ketenteraan merupakan satu bentuk bantuan demokrasi. Hal ini terbit dari tanggapan bahawa isu-isu keselamatan dan kestabilan menyumbang pada kemajuan demokrasi secara keseluruhan. Malah, kerjasama ketenteraan antara AS dan Malaysia ini telah berlaku dalam suasana yang cukup intim sejak era Mahathir lagi.
23. Beberapa penerbitan, laporan dan manual berkaitan pilihan raya yang boleh diakses secara bebas di laman sesawang beberapa promoter demokrasi bukanlah “kitab untuk menggulingkan kerajaan”. Ia merupakan manual biasa yang boleh diakses oleh sesiapa sahaja. Modul dan manual ini malah digunakan oleh parti-parti politik BN dan promoter demokrasi tidak menggunakan modul yang berbeza dalam memberikan latihan kepada parti politik yang berlainan. Buku sebenar yang paling banyak dirujuk oleh aktivis demokrasi global ialah buku Gene Sharp, From Dictatorship to Democracy: A Conceptual Framework for Liberation (1993) yang disebarkan secara meluas oleh promoter demokrasi dalam kempen di Ukraine dan juga sewaktu Arab Spring.
24. Umumnya, kebanyakan informan yang ditemubual dalam kajian ini tidak melihat ada agenda tertentu yang datang dengan bantuan demokrasi yang dihulurkan. Malah, terdapat beberapa keadaan di mana penerima bantuan boleh berbincang dan mengambil jalan tengah jika sesuatu isu atau program didapati kurang sesuai untuk dilaksanakan.
25. Penyebaran program “liberalisme, pluralisme dan LBGT” bukan merupakan tumpuan utama promoter demokrasi di Malaysia. Ia hanya mewakili cebisan yang begitu kecil kecil dari dana keseluruhan yang diperuntukkan. Promoter demokrasi sememangnya memahami kekangan ini dan berhati-hati untuk tidak mengabaikan konteks tempatan.
26. Isu-isu berkaitan hak asasi dan pengupayaan gender merupakan antara sektor terbesar yang menerima bantuan demokrasi dari yayasan-yayasan bebas AS.
27. AS memang ingin mempromosikan demokrasi tetapi mereka juga dibatasi oleh kepentingan lain berbanding seperti keperluan untuk menguatkan hubungan dengan sekutu termasuklah dengan negara-negara authoritarian. Walaupun menyedari kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara semi-demokrasi, AS menumpukan kepada usaha menyaksikan Malaysia mencapai pembangunan ekonomi yang diyakini akan memberikan kesan berantai kepada pembangunan demokrasi. Hal ini dapat menjelaskan mengapa hubungan Malaysia dan AS berada dalam tahap yang paling konstruktif dan Malaysia bukan sebahagian dari keperluan AS untuk melakukan pertukaran rejim.
28, Ketika pengkritik memperbesar-besarkan ancaman yang datang dari CSO yang menerima bantuan demokrasi di Malaysia, sebahagian dari kritikan-kritikan ini timbul kerana ia dilorongkan sendiri oleh kelemahan-kelemahan yang wujud dalam lingkaran penerima bantuan demokrasi tempatan. Dengan kata lain, berlakunya faktor penarik dan penolak yang menyumbang kepada keadaan ini. Enam sisi kritikal yang perlu diberi perhatian oleh CSO Malaysia dalam konteks bantuan demokrasi (seperti yang berlaku di kebanyakan negara lain) ialah pengabaian terhadap pendedahan umum dan tadbir urus, penggantungan berlebihan terhadap dana luar, kerapatan berlebihan dengan promoter demokrasi, pengabaian konteks tempatan dan pendekatan pertautan, aktiviti yang tidak membumi dan pengabaian aktivisme intelektual, serta elitisme dan menjadi jentera sempit kepada parti politik.
29. Pada akhirnya, dalam sebuah negara semi-demokrasi seperti Malaysia, bantuan demokrasi di Malaysia hanya bertujuan membuka ruang liberalisasi dan menyebarkan idea-idea demokrasi. Ia beroperasi dalam mod balancing the act. Dalam mana promoter demokrasi khususnya AS menginginkan kemajuan demokrasi yang lebih luas di Malaysia, mereka juga tidak cuba pergi lebih jauh dengan menjentik sensitiviti pemerintah. Kedudukan dan kepentingan Malaysia di peringkat antarabangsa menjadikan promoter demokrasi secara umumnya mengambil pendirian yang terkawal dan berhati-hati.

Berdasarkan dapatan dan hujah-hujah ini, adalah munasabah untuk dirumuskan terdapatnya kesenjangan yang besar antara realiti dan fantasi seperti yang telah dipolemikkan oleh sesetengah pihak dalam isu bantuan demokrasi.
Kami berharap masyarakat dan pengkritik boleh melihat isu ini secara lebih rasional dan seimbang agar peranan, fungsi dan impak sebenar yang dicetuskan oleh program bantuan demokrasi dapat dikontekskan sebaiknya.
Penting bahawa trajektori politik Malaysia harus hanya ditentukan oleh rakyat Malaysia sendiri, kita tidak harus menjadi paranoid dan melatah dengan isu yang hanya berbentuk pinggiran.

PROF MADYA DR MUHAMAD TAKIYUDDIN ISMAIL tenaga akademik di program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).





Sumber
http://www.malaysiakini.com/news/361322

No comments:

Sebab-Akibat

Sebab-akibat antara elemen penting dalam ilmu sejarah. Pemikiran sebab-akibat ini penting bagi mengelakkan kita membuat ramalan dan andaian ...