Wednesday, November 02, 2016

Relevankah Konsep/Istilah Muslim Demokrat di Malaysia?



Politik suatu barang yang dinamik dan fleksibel. Ia memerlukan hikmah dan ketepatan masa bertindak dalam menanganinya. Sedikit kealpaan dan kesilapan boleh membawa padah yang besar. Ramai berwatak futuristik belum tentu berjaya jika tiada ketepatan pada saatnya.
 
Fenomena Radikalisme Dalam Gerakan Islam

Kita menolak bahawa Islam agama yang ekstremisme dan mengalakkan keganasan. Islam mengutamakan uslub atau pendekatan lemah-lembut dalam berdakwah. Islam tidak mengajar umatnya menyerang atau berperang jika tidak diserang. Punbegitu kita mengakui bahawa ada segelintir umat Islam yang terpesong kefahaman dan tindakan dalam memahami konsep dalam Islam terutamanya konsep jihad. Proses radikalisasi dalam masyarakat Islam perlu diteliti dengan jelas untuk memahami penyebab kehadiran radikalisme dalam masyarakat dan gerakan Islam.

Radikalisme dalam gerakan Islam berpunca daripada tindakan musuh yang menzalimi dan kemunculan neo-jahiliah dalam kalangan umat Islam. Islam menyuruh umatnya berSABAR tetapi akibat kezaliman yang melampau, bangkitlah fenomena radikalisme yang dibenarkan disisi Islam dan dilarang disisi Islam.

Fenomena radikalisme yang dibenar disisi Islam berlaku untuk mempertahankan Islam dengan batas-batas yang dibenarkan oleh Islam. Istilah kafir walaupun sangat tidak digalakkan pengunaannya boleh digunakan jika yang dikafirkan itu melampaui batas dan cukup syarat untuk dikafirkan. Manakala fenomena radikalisme yang tidak dibenarkan disisi Islam ialah mereka melampaui batas dalam kefahaman dan tindakan mereka sebagai kelompok muktazilah, syiah, jemaah al-Takfir wal Hijrah dan ISIS di Syria.

Dalam politik Malaysia, radikalisme dalam gerakan Islam dapat dikesan apabila isu takfir dibangkit oleh ulama tersohor Syeikh Abdul Qadir Bin Abdul Mutalib al-Mandili, Ketua PAS Cawangan Mekah. Beliau mengarang kitab Islam Agama dan Kedaulatan dilihat mengancam Kerajaan Perikatan.

Semasa PAS dalam Barisan Nasional (BN), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengalami fenomena radikalisme. Istilah toghut dan jahiliah digunakan secara berleluasa. Antara tokoh yang terkenal dalam pengunaan istilah seperti di atas ialah Timbalan Presiden ABIM dan penulis akhbar rasmi ABIM, Risalah iaitu Siddiq Fadzil. Beliau ketika itu adalah pengikut tegar pemikiran Sayyid Qutb. Suara Islam dan IRC juga sefikrah dengan ABIM ketika itu.

Setelah PAS ditendang daripada BN, tokoh-tokoh muda terutamanya daripada ABIM membanjiri PAS. Radikalisme mula bertapak kembali dalam PAS. Kemuncaknya kemunculan Amanat Haji Hadi dan Peristiwa Memali.

Mempelbagaikan Pendekatan Dalam Politik  Islam

Politik ialah medan kebijaksanaan ijtihad. Ada sesetengah pendapat ia berada dalam bidang muamalat bukannya aqidah. Pada pandangan penulis, setiap perkara dalam Islam tunjangnya aqidah. Jika kita dalam urusan muamalat, tunjangnya juga adalah aqidah. Tidak dapat lari Islam sebagai satu cara hidup selain bertunjangkan aqidah.

PAS adalah mata rantai gerakan Islam di dunia banyak mendahului dalam pendekatan politiknya. Eksperimen politik PAS cukup dinamis dan fleksibel berbanding dengan gerakan Islam lain yang mahu bertatih dalam politik demokrasi-pilihanraya.
1.            Konvensi Nasional
2.            Kerajaan Campuran (Perikatan-PAS)
3.            Barisan Nasional
4.            Kerjasama PAS-CCC
5.            Angkatan Perpaduan Ummah
6.            Barisan Alternatif
7.            Pakatan Rakyat
8.            Gagasan Sejahtera

Sebuah gerakan Islam, syarat keaslian sebuah gerakan Islam ialah kewujudan masyarakat Islam yang disering dipopularkan konsep Negara Islam dan pelaksanakan perundangan Islam yang seringkali dimomokkan hukum hudud. Menyatakan secara terang atau tidak, matlamat tertinggi sebuah gerakan Islam ke arah kedua-dua perkara tersebut.

PAS pernah mengenepikan atau menyimpan sementara hasrat perjuangannya yang asali semasa menyertai Kerajaan Campuran, Kerajaan Barisan Nasional, Angkatan Perpaduan Ummah-Semangat 46[i], Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat-Negara Berkebajikan dengan mendepankan isi-isi kandungan Negara Islam dan perundangan Islam seperti yang biasa kita lihat dalam sesebuah negara sivil tetapi tetap berprinsip Islam. Pada pandangan penulis, PAS telah mendahului Dr Tariq Ramadhan, Syeikh Rashid Ghannousshi, Parti an-Nahdah Tunisia dan AKP Turki dalam bab ‘reformisme’.

ABIM juga melakukan anjakan paradiqma lebih awal daripada gerakan Islam yang lain. Mereka telah membenarkan pemimpin agung mereka, Anwar Ibrahim masuk UMNO, parti sekular dan musuh sejati mereka. Anwar Ibrahim menjadi regu hebat Perdana Menteri Dato Seri Mahathir Mohamad. Anwar Ibrahim dalam kerajaan merancakkan lagi usaha Islamisasi kerajaan dengan penerapan nilai-nilai Islam dan memartabatkan syiar Islam seperti penubuhan ISTAC, UIA dan Bank Islam. ABIM pula memperkenalkan slogan Rakan Pembangunan Kerajaan dan Manhaj Malayzi.

Perlukah Konsep-Istilah Muslim Demokrat di Malaysia?

Kita masih boleh menerima jika Muslim Demokrat itu hanya pendekatan yang sesuai dipraktiskan di tempat-tempat tertentu seperti Tunisia dan Turki yang tegar sekularisme. Kita bersangka baik bahawa ia adalah satu ijtihad. Persoalan yang timbul, adakah ia sesuai dengan suasana di Malaysia?.

Di Turki, Mesir dan Tunisia, kelompok Islamis menghadapi kelompok sekularis tegar dan totok, justeru sesuailah mereka menamakan diri mereka kelompok Muslim Demokrat yang dilihat ‘sekularis yang berbaju sekularisme-demokrasi-liberalisme dan peradaban Barat tetapi masih berjiwa dan berprinsip Islam’. Formulanya, Islamis menghadapi Sekularisme = Muslim Demokrat.

Di Malaysia, perjuangan umat Islam bukanlah menjadi lebih sekular atau mahu menjadi sekular atau Muslim Demokrat. Perjuangan umat Islam di Malaysia sebenarnya siapa yang mahu menjadi lebih Islamik!. Formulanya, Islamis menghadapi Nasionalis-Syiar Islam = Lebih Islamik.

Dasar Penerapan Islam, Islamisasi dan memartabatkan syiar Islam regu Mahathir-Anwar, pengisytiharan Negara Islam (Apabila PAS mengemukakan Dokumen Negara Islam, Tun Mahathir terus mengisytiharkan Malaysia sebuah Negara Islam), Islam Hadhari oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi dan memartabatkan RUU 355- Akta Mahkamah Syariah-Tahfiz-Wasatiyyah (Dato Seri Mohd Najib) adalah mesej bahawa Islam masih bernyawa dan sekularisme Malaysia tidak setegar dan setotok Turki dan Tunisia. Jika UMNO-BN bersih daripada rasuah dan penyalahgunaan kuasa, Tun Mahathir, Tun Abdullah dan Dato Seri Mohd Najib adalah Muslim Demokrat yang lebih baik daripada Syeikh Rashid Ghannousshi dan Erdogan.


[i] Lihat New Strait Times, 13 Oktober 1990

No comments:

Sebelum Loceng PRU 15 Melolong

 Sebelum Loceng PRU 15 Melolong a. Kerajaan 1. Kita perlu memahami bahawa kerajaan persekutuan pada hari ini berdiri atas sokongan para ahli...