Oleh Permata Dalam Cahaya
Beraqal mengambarkan kecerdikan, kebijakkan dan
kearifan seseorang. Perpatah Melayu menyatakan, ‘pemimpin arif pemimpin sejati, sempurna akal mulia pekerti’.
Hamka menyatakan, aqal ertinya ialah ikatan. Perpatah
Melayu juga menyatakan ‘mengikat binatang
dengan tali, mengikat manusia dengan aqalnya’. Pada istilahnya, aqal adalah
pengetahuan akan perkara yang mesti diketahui.
Tuan Guru Salleh Musa dari Sik dalam syarah kitab Bakurah Amani menyatakan, aqal ialah satu
sifat yang Tuhan bubuh (letak) dalam
hati sunubari dan bersambung kepada
otak kepala.
Hati sunubari -> Otak Kepala
Menurut Dr Syed Muhammad Naquib al Attas, aqal merujuk
‘suatu kejadian yang sedar lagi giat yang
mengikat dan menahan perkara-perkara yang diketahui itu dengan kata-kata atau
bentuk-bentuk simbolik’.
Menurut al Marbawi, aqal itu ialah memahami hakikat sesuatu. Dapat memahami
maksud. Pada pandangan Dr Muhammad Uthman el Muhammady, hakikat aqal ialah
merealisasikan atau menyedari sesungguhnya bahawa La ilaha illa’Llah iaitu mengetahui bahawa akhirnya Hakikat Yang
Mutlak itu adalah Esa-Nya jua.
Menurut Buya Hamka, aqal terbahagi dua iaitu [1] didapatkan dengan pancaindera
dan [2] permulaannya dari dalam hati sendiri.
Bahagian hukum aqal boleh dilihat dalam jadual di
bawah
Hukum Aqal
|
Penerangan
|
Penjelasan
|
Wajib ‘aqli
|
Perkara yang tiada diterima aqal
akan tiadanya, hakikatnya mesti menerima ada
|
Wajib ‘aqli Dhohuri
Menghukum sesuatu itu tetap adanya
dengan tiada berkehendak kepada bahasan dan mendirikan kenyataan
·
1 < 2
|
Wajib ‘Aqli Nazhori
Sesuatu perkara yang perlukan
seseorang itu untuk berfikir dan juga memerlukan dalil seperti kewujudan
Allah SWT.
Seseorang perlu berfikir dengan
aqal serta mengemukakan perbahasan-perbahasan yang kukuh bersertakan
dalil-dalilnya.
|
||
Mustahil ‘aqli
|
Perkara yang tiada diterima aqal
akan tiadanya, hakikatnya mesti tiada
|
Mustahil ‘Aqli Dhohuri
Menghukum sesuatu tetap tiada
dengan tiada berkehendak kepada bahasan dan mendirikan dalil
·
2< 1
|
Mustahil ‘Aqli Nazhori
Sesuatu perkara yang perlu
difikirkan dan mendirikan dalil-dalil
|
||
Harus ‘aqli
|
Perkara yang diterima aqal adanya
dan tiadanya dengan jalan berganti-ganti, maka hakikatnya boleh menerima ada
dan tiada.
|
Harus ‘Aqli Dhohuri
Menghukum sesuatu boleh terima ada
dan tiada secara berganti-ganti dengan tidak berkehendakkan bahasan dan
mendirikan dalil
|
Harus ‘Aqli Nazhori
Sesuatu perkara yang perlu
difikirkan dan mendirikan dalil
|
Aqal boleh menerima ilmu nazhariyyah yakni
pengetahuan yang berkehendakkan fikir dan boleh mentadbir segala
pekerjaan/perbuatan dan menyelesaikan persoalan/permasalahan pemikiran yang
sukar dan terpancar pelbagai manfaat dan bahagia kepada manusia.
Aqal tidak boleh bersendirian, jika tidak aqal sejahtera, aqal sihat dan aqal waras
tidak dapat dihasilkan. Aqal memerlukan undang-undang/peraturan syariat dan
syariat berhajat kepada aqal tetapi aqal itu sendiri tidak boleh mengatasi
undang-undang syariat dengan mengakuri dan mematuhinya.
Saluran ilmu Islam terbahagi 3 iaitu [1] pancaindera
yang sejahtera, [2] khabar yang benar dan [3] aqal yang sihat [ditambahi dengan
waras dan sejahtera].
Aqal mempunyai dua fungsi atau peranan yang boleh
bertindak sebagai [1] sumber ilmu dan [2] alat berfikir. Para ulama mengunakan
aqal dalam sumber perundangan Islam setelah tiada nas dalam perkara yang ingin
diselesaikan Antara sumber ilmu dan perundangan Islam berdasarkan aqal ini
dikenali sebagai Qiyas dan al Masalih al
Mursalah.
Dalam Islam, tiga perkara yang sangat penting sebelum
ada taklif bagi para mukallaf iaitu [1] niat, [2] baligh dan [3] beraqal. Tiga
syarat inilah mengabsahkan setiap amalan orang beriman.
Aqal sebagai alat ilmu atau alat berfikir. Buya Hamka
menyatakan, ‘aqallah alat untuk
berfikir, dialah hulu hikmat. Lantaran aqal, datanglah taklif perintah agama.
Aqal adalah alat untuk mengenal Tuhan. Aqal juga
membolehkan kita mengenal-bezakan perkara yang baik dan buruk, iman dan kufur.
Aqal juga digunakan untuk manusia mengkaji kejadian alam [untuk mengenal Allah
melalui kebesaran kejadian alam milik Allah] dan meningkatkan pembangunan
tamadun dan kesejahteraan manusia.
Ada sesetengah manusia menyalah-gunakan aqal. Dalam
faham Islam, istilah aqal itu membawa diri seseorang itu beriman dengan mengikat
diri orang tersebut dengan iman dan Islam.
Muhammad Uthman el Muhammady menyatakan Al Quran memanggil orang sesat
dalam Islam sebagai orang yang tidak dapat mengunakan aqal: la ya’qilun iaitu mereka yang tidak
dapat mengunakan aqal dengan cara yang sebenarnya. Dengan ini, manusia yang
beraqal ialah manusia yang mengikat diri mereka dengan simpulan tali iman
dengan kemas.
Kebudayaan Barat mengunakan istilah bahasa yang berasal daripada bahasa Latin. Istilah
bahasa mempengaruhi corak kefahaman dalam pandangan alam seseorang yang
menganuti Kebudayaan Barat atau mendapat pendidikan Barat. Antara perkataan itu
ialah intellectus (intelligence) dan ratio (reason). Intellectus berfungsi merenung hakikat rohani manakala ratio adalah alat memahami dan menguasai
alam zahir-tabii.
Berlaku pertembungan antara intellectus telah menindas
ratio berlaku pada abad ke 4 hingga 13 Masihi ekoran ajaran Augustine yang
terpengaruh dengan pemikiran Plato. Selepas abad ke 13, Aquinas telah memasukkan
pemikiran Aristotle dan pandangan alam Romawi ke dalam pandangan alam Kristian.
Ratio lebih kedepan dan diutamakan
berbanding intellectus.
Apabila mereka melakukan penduaan—memisahkan dua
hakikat dan kebenaran terhadap alam tabii dan alam rohani. Daya kebolehan intellectus dan ratio disangsikan. Akhirnya mereka menerima
dorongan daya-kasih atau love sebagai dasar
kepercayaan.
Selepas abad ke 13 Masihi, penggunaan ratio memberi cabaran besar apabila
muncul kelompok mencabar aqidah agama Kristian dengan memutuskan hubungan
dengan hakikat kerohanian termasuk mempersoalkan kewujudan Tuhan. Faham ini
dikenali rationalisme. Kemudian
muncul naturalisme atau faham alam
tabiie ke dalam pandangan alam Kristian mengakibatkan keruntuhan agama Kristian
Lama ekoran kemaraan Falsafah Sains dan kelompok sekular sehingga mewujudkan
agama Kristian Baru.
Sumber
Ismail Bin Abdul Qadir, Bakurah Amani
Abdul Ghani Yahya & Umar Yusuf, Risalah at Tauhid
Syed Muhammad Naquib al Attas, Risalah Untuk Kaum Muslimin
Muhammad Uthman el Muhammady, Peradaban Dalam Islam
Mohd Zaidi Ismail, Aqal
Dalam Islam
Hamka, Falsafah
Hidup
Tenas Effendy, Pemimpin Dalam Ungkapan Melayu
No comments:
Post a Comment