Oleh: YB Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang
Tarikh: 28 Syawal 1437 / 2 Ogos 2016
Parti Islam Se-Malaysia (PAS) adalah
mata rantai Harakah Islah dan Tajdid, kumpulan Islam yang wajib
diwujudkan mengikut perintah Al-Quran dan wasiat Rasulullah SAW dengan
syarat, rukun dan ciri-ciri yang tetap teguh dan anjal bersama situasi
semasa dan setempat.
Keimanannya tetap bersama Islam yang
tidak mungkin dipadamkan cahayanya walaupun dihumban sehingga ke dasar
bumi. Maka, pendekatan PAS dalam politiknya dari aspek prinsip dan
matlamat Islamnya sama dengan semua kumpulan Islam yang ditubuhkan
daripada Gerakan Islah dan Tajdid di seluruh dunia Islam, namun terdapat
perbezaan masa, tempat, situasi dan realiti, menjadikannya mempunyai
perbezaan dengan kumpulan Islam yang ditubuhkan dengan semangat
semata-mata, bersama kejahilan tanpa “Tafaqquh Fid Din” sehingga
mencalarkan imej Islam yang sangat murni, yang sepatutnya membawa rahmat
ke seluruh alam.
Kehebatan Islam, bukan kerana senjata
dan peperangan tetapi kerana adil, hikmah dan kematangan yang membawa
sejahtera, rahmat, aman dan kematangan.
Berbeza dengan ideologi yang tidak
sempurna aspek fitrahnya, tanpa roh dan tidak berwawasan akhirat, tidak
seimbang di antara kepentingan individu dan masyarakat.
Tegasnya, parti yang dasarnya, teras dan
matlamatnya adalah Islam, tidak boleh menjadi penumpang dalam
perjalanannya tetapi menerima penumpang yang setia dan berakhlak.
Islam mencipta sejarah, ada negeri yang
didatangi Islam secara peperangan kerana dipaksa begitu dan rakyatnya
juga menjadi mangsa kezaliman kerajaanya sendiri, tetapi Islam diterima
rakyatnya menjadi penyelamat, bukannya musuh atau penjajah, kerana
peperangannya mengikut sempadan Fiqh Jihad.
Banyak negeri pula yang menerima Islam
kerana pendakwah dan para mujahidin yang mendalami ilmu agama. Hanya
dalam tempoh 80 tahun sahaja Islam menguasai sempadan sehingga
keperbatasan China meredah Asia Tengah, seterusnya turun Ke Asia
Tenggara. Mara ke Utara dan Tengah Afrika dan menyeberang ke Eropah
apabila pengaruhnya memerintah Andalusia (Sepanyol dan Portugal).
Adapun kedatangan Islam dirantau ini
melalui dakwah para pedagangnya, maka pendekatan dakwah dan politiknya
di rantau ini tidak sama dengan kumpulan Islam di negara lain.
Maka, PAS bukan seperti Ikhwan Muslimin
di negara Arab, bukan Jamaat Islami di Pakistan, bukan Jemaah Tabligh
India, bukan Parti Saadat dan Adalat Turki, jauh sekali seperti Al-Qaeda
atau Daish yang berjenamakan jihad tanpa ilmu dan bertafaqquh dalam
perkara Islam, sehingga menjadikan semua ajaran Islam itu disalah
faham, tidak dilihat murni dan mulia, tidak seperti zaman awalnya,
sangat dihormati sehingga masuk ke dalam akal manusia dengan cara yang
lebih berkesan dan tajam daripada senjata.
Bukannya mengisytiharkan perang dengan
fatwa takfirnya tanpa penjelasan dan hujah batas-batas iman dan kufur
yang sentiasa wajib berwaspada kerana konsepnya menyelamat manusia
seberapa banyaknya, bukannya berperang membunuh sebanyak mungkin, jauh
sekali berperang di tengah-tengah umat Islam yang tenggelam dalam
kejahilan dalam tanah air dan umatnya sendiri, mengebom tanah air dan
umatnya sendiri sehingga ke dalam masjid.
Padahal, Al-Quran dan Sunnah mengharamkan melampau terhadap musuh:
وَقَٰتِلُواْ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ ٱلَّذِينَ يُقَٰتِلُونَكُمۡ وَلَا تَعۡتَدُوٓاْۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ ٱلۡمُعۡتَدِينَ
(١٩٠ ، البقرة)
(١٩٠ ، البقرة)
“Dan perangilah di jalan Allah
orang-orang yang memerangi kamu, (tetapi) janganlah kamu melampaui
batas, kerena sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang
melampaui batas. (Al-Baqarah: ayat 190)
PAS berada di bumi Malaysia di mana umat
Islamnya masih terkesan dengan warisan penjajahan, bersama masyarakat
majmuk bersama bukan Islam yang semuanya menjadi mangsa penjajahan.
PAS yang ditubuhkan dengan asas akidah
Islam dan konsep syariatnya yang sempurna wajib meneruskan pendekatannya
mengikut mukjizat ilmu Al-Quran dan kebijaksanaan Rasulullah SAW dengan
istiqamah bersama akidah dan kaedah yang matang, berdakwah dan
berijtihad dalam isu semasa yang berbeza dan berubah dengan mengetahui
pendekatan yang boleh diubah, serta ketegasan dalam perkara dasar,
matlamat dunia dan wawasan akhirat yang tetap, haram diubah.
Oleh itu, PAS dengan Islamnya mampu
menghadapi adanya perbezaan tempat, keadaan dan masa. Maka, PAS tidak
boleh terpengaruh dengan apa-apa sahaja yang tidak selaras dengan
situasi dan realiti daripada luarnya dan terus beristiqamah bersama
Islamnya. Menjadikan PAS tidak terpesona dengan Revolusi Mesir 1952 dan
terkini ‘Arab Spring’ yang hampir menenggelamkan Ikhwan, PAS juga tidak
terpengaruh dengan Revolusi Iran menghadapi kediktatoran Shah Iran yang
mengganas dan Mazhab Syiah Imamiyyah majoriti rakyatnya, PAS tidak
terpengaruh dengan keadaan di Turki kerana tenteranya dijadikan
pelindung sekularisme yang hanya menentang Islam sahaja supaya memerangi
rakyat Turki yang berhasrat menjadikan agama Islam berdaulat di
negaranya.
Namun, hubungan perpaduan ummah tetap
diteguhkan dengan pangkalan yang berbeza. PAS berada di Malaysia yang
masih wujud demokrasinya walaupun menipu dan salah laku yang mewajibkan
kebijaksanaan dan kesabaran.
Perlembagaan Malaysia menjadikan Islam
agama negara tanpa tafsiran, namun membolehkan perubahan kepada Islam
dengan mendapat kuasa politik. Mengamalkan konsep demokrasi yang tetap
wujud, bermakna memberi ruang kepada umat Islam menafsirkannya sendiri,
bukannya meneruskan tafsiran warisan penjajah, atau mengikut kehendak
bukan Islam.
PAS mampu menghadapi semua cabaran,
berpengalaman di zaman penjajah, selepas merdeka sanggup menjadi
pembangkang, pernah pula di awal 60-an menerima hakikat kemerdekaan
serta penubuhan Malaysia dengan berbeza konsep dengan Parti Perikatan
yang memerintah dan mengadakan tahaluf siyasi dengan Parti Negara,
Sosialis dan lain lagi.
Namun PAS tidak boleh diheret bersama
Sukarno bersama Komunis di Indonesia, walaupun pemimpin utamanya Dr
Burhanuddin menjadi mangsa tahanan ISA sehingga meninggal dunia.
PAS pernah bersendirian dalam pilihan
raya negeri 1959 dan 1960. Bertahaluf bersama Parti Negara di Terengganu
1960 dalam kerajaan negeri dan pilihan raya parlimen dan menyertai
Kerajaan Campuran bersama Umno selepas peristiwa 13 Mei 1969, setelah
bersendirian dalam PRU, mengadakan kerjasama dengan pihak lain sehingga
merungkai gabungan Perikatan kepada bersama menubuhkan Barisan Nasional
pada tahun 1974 sehingga 1979.
PAS kemudiannya bersendirian, dan
seterusnya bertahaluf bersama Parti Melayu Semangat 46 pada tahun 1990
dan Barisan Alternatif 1999 dan Pakatan Rakyat 2004.
Dalam semua langkah, PAS tetap
beristiqamah di atas Islamnya yang tetap menjadi sempadan yang haram
dilangkah tanpa perhitungan akidah, syariat dan akhlaknya.
Risalahnya ialah menyelamatkan manusia
bersama Islam yang memimpin dan memerintah negara, sama ada menganut
Islam tanpa paksaan atau wajib menerima Islam menjadi pemimpin dan
pemandu yang benar-benar menunaikan amanah dan berwawasan yang luas dan
jauh, daripada dunia sehingga akhirat, tegas menyampaikan rislahnya,
berpandukan arahan Allah:
وَقُلِ ٱلۡحَقُّ مِن رَّبِّكُمۡۖ فَمَن شَآءَ فَلۡيُؤۡمِن وَمَن شَآءَ فَلۡيَكۡفُرۡۚ
(٢٩ ، الكهف)
(٢٩ ، الكهف)
“Dan katakanlah (wahai Muhammad SAW)
kebenaran itu ialah yang datang dari Tuhan kamu, maka sesiapa yang mahu
beriman, hendaklah dia beriman dan sesiapa yang mahu kufur ingkar,
biarlah dia mengingkarinya. (Al-Kahfi: ayat 29)
Maka PAS akan boleh bersama dan
bekerjasama dengan semua pihak dengan syarat, menerima konsep Islam
memimpin dan memerintah, dan PAS juga tetap berpisah dengan semua pihak
yang tidak menghormati sempadan ini, walaupun betapa hebat cabarannya
dan jauh perjalanannya.
Mereka yang tidak bertahan dalam
menghadapi gelombang politik beristiqamah bersama konsep Islamnya, pasti
keluar atau dikeluarkan daripada bahtera PAS.
Sebabnya kerana ahli PAS yang setia mehukan dua kemenangan janji Allah:
يَغۡفِرۡ لَكُمۡ ذُنُوبَكُمۡ
وَيُدۡخِلۡكُمۡ جَنَّٰتٖ تَجۡرِي مِن تَحۡتِهَا ٱلۡأَنۡهَٰرُ وَمَسَٰكِنَ
طَيِّبَةٗ فِي جَنَّٰتِ عَدۡنٖۚ ذَٰلِكَ ٱلۡفَوۡزُ ٱلۡعَظِيم *
وَأُخۡرَىٰ تُحِبُّونَهَاۖ نَصۡرٞ مِّنَ ٱللَّهِ وَفَتۡحٞ قَرِيبٞۗ وَبَشِّرِ ٱلۡمُؤۡمِنِين
َ (١٢-١٣ ، الصف)
وَأُخۡرَىٰ تُحِبُّونَهَاۖ نَصۡرٞ مِّنَ ٱللَّهِ وَفَتۡحٞ قَرِيبٞۗ وَبَشِّرِ ٱلۡمُؤۡمِنِين
َ (١٢-١٣ ، الصف)
“(Dengan itu) Allah akan mengampunkan
dosa-dosa kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di
bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat
tinggal yang baik dalam Syurga “‘Adn”. Itulah kemenangan yang besar(di
alam akhirat). Dan ada lagi limpah kurnia yang kamu sukai, iaitu
pertolongan dari Allah dan kemenangan yang cepat (masa berlakunya di
alam dunia ini) dan sampaikanlah berita yang menggembirakan itu kepada
orang-orang yang beriman. (As-Saff: ayat 12-13)
Kedua-dua kemenangan yang dijanjikan ini
hanya kepada sesiapa yang beristiqamah memuliakan Islam mengatasi
segala yang lain. Dinyatakan dalam bai’ah dan perjuangan secara amali
oleh ahli jemaah Islam.
Adapun bertahaluf dengan pihak lain dengan berjanji seperti kenyataan seorang bukan Islam kepada Rasulullah SAW:
وَلَكنِّي أُعَاهِدُكَ أنْ لا أُقَاتِلَكَ ، وَلاَ أَكُونَ مَعَ قَومٍ يُقَاتِلُونَكَ .
رياض الصالحين للنووي.
(1/ 80)متفق عليه
رياض الصالحين للنووي.
(1/ 80)متفق عليه
“Aku tidak mahu menganut Islam), tetapi aku berjanji tidak menentang mu dan tidak bersama dengan kaum yang menentang mu).”
Terus beristiqamah menyampaikan risalah
Islam dengan bersama mereka yang menerima Islam atau tidak bermusuh
terhadap Islam, menarik manusia secara model yang ditegaskan Allah:
وَمَنۡ أَحۡسَنُ قَوۡلٗا مِّمَّن دَعَآ
إِلَى ٱللَّهِ وَعَمِلَ صَٰلِحٗا وَقَالَ إِنَّنِي مِنَ ٱلۡمُسۡلِمِينَ
وَلَا تَسۡتَوِي ٱلۡحَسَنَةُ وَلَا ٱلسَّيِّئَةُۚ ٱدۡفَعۡ بِٱلَّتِي هِيَ
أَحۡسَنُ فَإِذَا ٱلَّذِي بَيۡنَكَ وَبَيۡنَهُۥ عَدَٰوَةٞ كَأَنَّهُۥ
وَلِيٌّ حَمِيمٞ وَمَا يُلَقَّىٰهَآ إِلَّا ٱلَّذِينَ صَبَرُواْ وَمَا
يُلَقَّىٰهَآ إِلَّا ذُو حَظٍّ عَظِيمٖ * وَإِمَّا يَنزَغَنَّكَ مِنَ
ٱلشَّيۡطَٰنِ نَزۡغٞ فَٱسۡتَعِذۡ بِٱللَّهِۖ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلسَّمِيعُ
ٱلۡعَلِيمُ
(٣٣-٣٦ ، فصلت)
(٣٣-٣٦ ، فصلت)
“Dan tidak ada yang lebih baik
perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi
perintah) Allah, serta dia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil
berkata: Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah
bulat-bulat kepada Allah)! Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya)
perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang
ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku
demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan
serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib. Dan sifat
yang terpuji ini tidak dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh
orang-orang yang bersikap sabar dan tidak juga dapat diterima dan
diamalkan melainkan oleh orang yang mempunyai bahagian yang besar dari
kebahagiaan dunia dan akhirat. Dan jika engkau dihasut oleh sesuatu
hasutan dari syaitan, maka hendaklah engkau meminta perlindungan kepada
Allah. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
(Fussilat: ayat 33-36)
PAS wajib menjadikan Rasulullah SAW
contoh terbaik yang menafsirkan wahyu tersebut, apabila bersikap memaaf
dan mengampun musuhnya; khususnya apabila berkuasa mencapai kemenangan.
Caranya sangat berbeza dengan pihak lain yang menjadikan kemenangannya
untuk melepas geram dan membalas dendam, sehingga diisytiharkan
hasratnya yang melampau sebelum mencapai kemenangan.
Ingatkan diri dengan pesanan Allah:
وَسَارِعُوٓاْ إِلَىٰ مَغۡفِرَةٖ مِّن
رَّبِّكُمۡ وَجَنَّةٍ عَرۡضُهَا ٱلسَّمَٰوَٰتُ وَٱلۡأَرۡضُ أُعِدَّتۡ
لِلۡمُتَّقِينَ ٱلَّذِينَ يُنفِقُونَ فِي ٱلسَّرَّآءِ وَٱلضَّرَّآءِ
وَٱلۡكَٰظِمِينَ ٱلۡغَيۡظَ وَٱلۡعَافِينَ عَنِ ٱلنَّاسِۗ وَٱللَّهُ يُحِبُّ
ٱلۡمُحۡسِنِينَ وَٱلَّذِينَ إِذَا فَعَلُواْ فَٰحِشَةً أَوۡ ظَلَمُوٓاْ
أَنفُسَهُمۡ ذَكَرُواْ ٱللَّهَ فَٱسۡتَغۡفَرُواْ لِذُنُوبِهِمۡ وَمَن
يَغۡفِرُ ٱلذُّنُوبَ إِلَّا ٱللَّهُ وَلَمۡ يُصِرُّواْ عَلَىٰ مَا
فَعَلُواْ وَهُمۡ يَعۡلَمُونَ
(١٣٣-١٣٥، آل عمران)
(١٣٣-١٣٥، آل عمران)
“Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan
amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu dan
(mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang
disediakan bagi orang-orang yang bertakwa; Iaitu orang-orang yang
mendermakan hartanya pada masa senang dan susah dan orang-orang yang
menahan kemarahannya dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang dan
(ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara
yang baik; Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji
atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu
memohon ampun akan dosa mereka dan sememangnya tidak ada yang
mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah dan mereka juga tidak meneruskan
perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedangkan mereka
mengetahui (akan salahnya dan akibatnya).” (Ali-Imran: ayat 133-135)
Inilah objektif politik Islam yang matang dan sejahtera.
BERISTIQAMAH HINGGA KEMENANGAN
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Presiden PAS
No comments:
Post a Comment