Thursday, November 24, 2016

MEMEKAR CITA-CITA DALAM ALAM TULIS



Oleh Mohamad Ridhwan Alias

“Tanpa berlengah-lengah saya membuat keputusan bahawa sumbangan yang abadi yang dapat diberikan oleh seseorang dalam keadaan seumpama ini ialah menulis sebuah buku; kerana buku dapat kekal lama, selepas kerajaan, manusia, negara, catatan pemikiran dan tindakan manusia lupus.”- Syed Muhammad Naquib al Attas

Pemula Kata

Tahun 2016, usia berbaki yang ada menghampiri umur 40 tahun didoakan sebagai tahun penjelasan dan penegasan kepada pandangan alam (worldview) bahawa Islam sebagai satu cara hidup yang menjadi tunjang kepada pemikiran dan tindakan kita. Islam yang kita pelajari melalui pembacaan, belajar-berguru dan mengkaji sendiri berdasarkan sumber ilmu yang benar iaitu al Quran dan hadith sahih. Dalam mentafsirkan Islam dalam kehidupan kita, kita mestilah mengikut kehendak al Quran dan hadith sahih bukannya kehendak akal dan nafsu kita dan manusia yang lain.

Guru yang terbaik ialah guru yang berada sekitar sebelum 300 tahun selepas munculnya Islam [pengembalian semula Islam]. Kita mengambil ilmu, tauladan dan kebaikan daripada para ulama dan tokoh Islam, dan mengenepikan perbalahan  di antara mereka serta menolak akhlak buruk mereka dalam berkhilaf. Kita memperjuangkan Islam merentasi politik kepartian, kaum, aliran pemikiran dan kumpulan kita. Kedamaian dicari bukannya perbalahan. Kepentingan umat Islam didahulukan daripada kepentingan peribadi, keluarga, parti, kumpulan, aliran pemikiran dan puak.

Kebanyakan lulusan agama atau agamawan mempunyai kepentingan dan menggunakan hujah agama untuk menghalalkan atau mempertahankan kepentingan mereka. Justeru, kita perlu menyediakan 3 hingga 10 hujah melalui hasil bacaan atau pendapat beberapa guru [ulama rabbani] yang berdalilkan al Quran dan hadith, kemudian kita pilih satu pendapat yang mudah dan sesuai dengan kemampuan dan realiti hidup kita.

Kita tidak menolak pemikiran manusia bersumberkan akal dan pengalaman manusia selagi tidak mengatasi dan menyalahi sumber pertama nan agung iaitu wahyu. Dan sejauh mana pula kalian yang bertanya mengakuri kehendak sumber pertama nan agung tersebut?. Kita boleh mengambil kebaikan daripada pemikiran manusia selagi tidak menyalahi aqidah dan syariat Islam serta tidak mengenepikan syariat itu sendiri.

Perbalahan dan konflik berlaku kerana manusia hilang kepimpinan. Manusia memerlukan pemimpin yang dihormati. Selepas zaman Khalifah Saidina Uthman, konflik perbalahan  sesama umat Islam semakin menjadi-jadi. Perang Jamal antara kelompok pimpinan Saidatina Aishah – Zubair al Awwam – Talhah Ubaidullah dengan Khalifah Saidina Ali Abi Talib. Mereka semua manusia agung yang terkenal kesalehan juga terbabit dengan perbalahan dan konflik ekoran keputusan ijtihad yang berbeza dalam menangani sesuatu isu. Ia juga dipengaruhi oleh watak-sifat peribadi para sahabat –garang, tegas dan lain-lain. Justeru, jadilah pihak pendamai-neutral dalam perbalahan dan konflik dalaman dengan terus istiqamah dalam organisasi dan terus bersabar mendepani karenah para sahabat yang mempunyai pelbagai tahap keimanan.

Cerita Bermula

Lebih kurang 15 tahun yang lepas di Universiti Malaya, penulis menemui satu kenyataan Tan Sri Prof Dr Syed Muhammad Naquib al Attas  seperti di atas yang banyak mempengaruhi diri penulis agar terus menulis tanpa jemu. Walaupun belum mencapai tahap menulis sebuah buku sendiri, proses pembelajaran dan penajaman tulisan terus dilakukan. Tulisan tersebut disimpan dalam fail peribadi terletak di dalam komputer dan blog. Menulis buku pada zaman ledakan maklumat dan gajet ini lebih mudah kerana kita boleh menulis buku secara maya/pdf dan menyebarkannya secara online tanpa sebagai kos pengurusan. Cuma ruang masa dan komitmen tertentu menjadi sedikit kekangan.

Tanpa sebuah buku, segala hasil pembacaan tidak dapat dituangkan untuk diabadikan dalam usaha menyedarkan dan memandaikan orang lain. Seorang berPhD tanpa buku-buku yang dihasilkan bagaikan ada kunci tanpa kenderaan. Penulisan bersifat abadi daripada usia manusia sebagaimana pernyataan Abdullah al Qari, ‘Tulisan akan terus kekal sesudah perginya penulis; Sementara penulisnya beristirahat di bawah bumi’.

Secara fitrah, manusia suka menyampaikan maklumat. Zaman purbakala, mereka melukis pada dinding gua. Kemudian manusia mencipta tulisan yang akhirnya tulisan menjadi salah satu ciri tamadun. Ia dalam bentuk simbol mnemonik dan sistem ideografis yang ditemui di tapak bersejarah Mesopotamia (3200 SM) dan Mesoamerika dipercayai sekitar tahun 600 SM. Pelbagai jenis ‘tulisan’ ditemui oleh para arkeologis seperti alfabet, hieroglif dan piktograf.

Sejarah kertas bermula di Tamadun Mesir dikenali sebagai papirus.  Dalam Tamadun China pula, Tsai Lun yang menemui kertas yang diperbuat daripada bahan berasaskan buluh pada tahun 101 Masehi. Teknologi pembuatan kertas dipindah kepada Daulah Islam [Abbasiyyah] di Timur Tengah dan Asia Tengah. Pada tahun 1799, Nicholas Louis Robert menginovasikan mesin pemprosesan kertas dikenali sebagai mesin Fourdrinier. Tradisi menyalin buku telah berubah kepada pencetakan kertas setelah Johannes Gutenberg mencipta mesin cetak pada tahun 1450.

Dalam tradisi Islam, sahabat-sahabat Rasulullah menulis pada pelepah tamar dan  belulang kulit kambing. Peradaban Islam berteraskan ilmu. Pada Abad ke 10 Masihi, perkembangan ilmu sangat pesat. Peradaban Islam memiliki ramai warraq yang berperanan menyalin dan memperbanyakkan kitab-kitab yang dihasilkan oleh para sarjana Islam.

Peradaban Islam terkenal dengan perkembangan ilmu pengetahuan. Dinasti Abbasiyyah berpusat di Baghdad mempunyai banyak perpustakaan yang besar. Antaranya Perpustakaan Baghdad yang mempunyai koleksi buku berjumlah 400 hingga 500 ribu jilid buku.

Al Quran dan Penulisan

Dalam al Quran terdapat beberapa ayat yang berkaitan dengan penulisan iaitu

1. Surah al Qalam: 1-2
2. Surah al Alaq: 1-2
3. Surah Luqman: 27
4. Surah al Baqarah: 79

Tujuan Penulisan: Sebuah Pandangan Alam [Worldview]

Kehidupan ini umpama medan ujian atau peperiksaan. Contoh ini seringkali dibawa oleh pendakwah terkenal doktor Zakir Naik. Setiap orang yang mengambil ujian atau peperiksaan mempunyai tujuan mereka mengambil ujian.

Setiap orang yang mengambil ujian mesti mahu lulus. Markah minima untuk lulus dalam sesuatu ujian adalah 40 markah. Markah minima ini adalah mengungkapkan kalimah syahadat dan melakukan solat iaitu asas kepada agama Islam.

Kalimah syahadat ialah percaya kepada Allah Yang Esa atau hanya satu tuhan sahaja. Tuhan tidak boleh digambarkan melalui imiginasi manusia melalui gambar atau patung. Dan mengakui Nabi Muhammad SAW utusan Allah SWT.

Kenapa penting sangat kalimah syahadat dan solat, sedangkan kita dapat melihat ramai orang baik (seperti orang Jepun dan Barat) mengamalkan amalan berdasarkan kehendak Islam (al Quran dan al Sunnah) tetapi tidak mengucapkan kalimah syahadat (tidak menganuti Islam)?. Manakala orang yang bersyahadat mempunyai amalan yang teruk?. Kalimah syahadat umpama kunci, tiket dan minyak bagi sesebuah kenderaan. Tanpa kunci, tiket (bagi pengangkutan awam) dan minyak, kenderaan yang baik tiada berguna untuk perjalanan menuju ke destinasi (baca: akhirat).

Untuk ke Syurga, bersyahadat adalah syarat. Tetapi ia tidak cukup. Ada empat peringkat manusia yang beruntung berdasarkan surah al ‘Ashr;

1. Orang beriman
2. Mengerjakan amal soleh
3. Menasihati supaya mentaati kebenaran
4. Menasihati dengan kesabaran

Empat peringkat ini boleh dijadikan KPI atau tanda aras kita dalam kehidupan.

Sudah tentu, setiap orang tidak mahu mendapat markah minima sahaja dalam ujian. Semua orang mahukan markah maksima- paling tinggi. Markah maksima adalah keimanan yang tertinggi atau berTAQWA kepada Allah SWT. Usaha ke arah mendapat markah maksima ialah USAHA mendekatkan diri kepada Allah SWT melalui memperbanyakan amalan yang sahih dan benar mengikut kehendak al Quran dan al Sunnah.

Untuk berjaya dalam ujian, seseorang perlu mengikut skema jawapan yang diajarkan oleh guru. Kejayaan dalam kehidupan memerlukan seseorang mengikut dengan bersungguh-sungguh dan yakin skema jawapan daripada al Quran dan hadith sahih. Tiada cara lain untuk mendapat markah maksima kecuali mengikut skema jawapan ini. Guru adalah ulama rabbani iaitu ulama yang berilmu, beramal dengan ilmu, istiqamah dalam beramal, berakhlak mulia, berhikmah dalam dakwah, memperjuangkan Islam sebagai satu cara hidup mencakupi politik, sosial dan ekonomi tanpa menjuzukkannya, cara berfikir dan bertindak mengikut kehendak al Quran dan hadith yang sahih, dan bersih daripada amalan yang bukan amalan Rasulullah SAW. Ulama yang mengajar mengikut kehendak al Quran dan hadith bukannya kehendak akal dan nafsu mereka.

Intisari hujah Zakir Naik di atas ialah tujuan hidup asasi dan sumber ilmu asasi kehidupan seseorang manusia. Setiap penulisan perlu berlandaskan tujuan hidup asasi dan sumber ilmu asasi bagi seseorang manusia bukannya berdasarkan kehendak akal-nafsu seseorang penulis.

Sesebuah tulisan sudah tentu mempunyai tujuan. Tujuan dihasilkan daripada dorongan dalaman dan luaran seseorang penulis. Menurut Abdullah al Qari, beliau terdorong untuk menulis daripada satu ayat suci al Quran, Surah Ash Shaff: 11. Makna dorongan seorang penulis bernuasa Islam ‘ialah daripada Allah sendiri’. Penulis-penulis Islam berslogankan ‘berkarya untuk Allah’ dan ‘ Seni untuk Allah’. Slogan ini menolak slogan penulis lain yang berslogan ‘seni untuk seni’.

Anwar al Jundi, seorang penulis-pemikir Islam menyatakan 3 sasaran beliau dalam penulisan iaitu;

1. Menghadapi suasana (pincang) yang telah berlaku dalam kalangan umat Islam; keadaan beku, ditindas dan penyebaran buku-buku yang menyeleweng

2. Menghadapi serangan pemikiran iaitu usaha pembaratan dan faham kebangsaan yang sempit

3. Menghadapi kekalahan jiwa (semangat) dalam menghadapi faham kebebasan dan pemodenan.

Dalam satu kertas kerja yang dihasilkan oleh Abdul Ghani Samsudin, beliau menukilkan pendapat Syams al Din al Babibli yang menyatakan seseorang itu tidak digalakkan menulis kecuali dalam merealisasikan tujuh tujuan iaitu

1. Menulis perkara yang belum ditulis oleh orang.

2. Menyempurnakan sesuatu yang masih kurang dan belum sempurna.

3. Menulis untuk menjelaskan sesuatu yang sukar difahami.

4. Menulis untuk meringkaskan perkara yang panjang tanpa mengabai faktor-faktor penting.

5. Menulis untuk menampilkan sesuatu yang sebelum ini tidak teratur supaya lebih teratur dengan urutan dan kaedah yang betul.

6. Menulis untuk membetulkan kesilapan penulis terdahulu.

7. Menulis untuk mencantumkan sesuatu yang sebelum ini bercerai berai.

Penulisan hendak bersifat membina dan mengislah bukannya meruntuhkan. Penulisan juga untuk menambahkan pahala bukannya menambahkan dosa. Penulisan itu satu perkara yang berkaitan dengan amanah dan tanggungjawab. Amanah dan tanggungjawab dalam penulisan inilah yang akan menghantar kita ke syurga atau neraka di akhirat nanti. Abdul Ghani Samsudin menukilkan pendapat ‘Ali Jirisyah, ‘penulis Muslim hendaklah menguasai kerangka berfikir secara Islam atau dawabit al fikr al Islami. Kerangka dan kriteria berfikir secara Islam ini berkaitan dengan persoalan manhaj atau metodelogi. Ia berkaitan wasilah (means), akhlak dan keinsafan mengenai peranan manusia itu sendiri dalam masyarakat’.


Siapa Penulis?

‘Sasterawan itu kedudukannya lebih rendah daripada tukang kayu’- Plato

‘Kau mencipta malam dan aku mencipta lampu
Kau menjadikan tanah liat, aku membentuk cawan
Kau mencipta hutan, padang dan bukit
Dan aku membuat batas bunga, halaman dan taman’ - Iqbal

Mohd Affandi Hassan dalam Novel Pujangga Melayu membahagikan penulis kepada dua kelompok iaitu Sasterawan dan Pengarang. Pengarang terlibat dalam persuratan manakala Sasterawan terlibat dalam bidang sastera. Asas perbezaan kedua-dua bidang ini dapat dilihat pada falsafah sastera dan falsafah persuratan.

Asas Falsafah Sastera ialah perasaan, khayalan, emosi dan imiginasi. Ia digerakkan oleh daya kreatif untuk mencipta sesuatu yang kaya dengan perasaan, emosi, khayalan dan imiginasi. Falsafah sastera mengiktiraf yang tinggi kepada kelainan dalam aspek bahasa, , tema, teknik, perwatakan dan sebagainya. Sasterawa diberi kebebasan sepenuhnya dan sewenang-wenangnya untuk mengunakan imiginasi, emosi dan sebagainya dalam mencipta hasil karya mereka. Kebebasan ini tidak terbatas selagi tidak menyalahi undang-undang negara, adat setempat dan politik.

Apabila sasterawan menulis dengan berani tentang roh, hari kiamat, alam kubur dan agama, mereka tidak tahu tetapi mengambarkan dengan imiginasi mereka berdasarkan khayalan akal mereka sendiri. Kebenaran bukanlah tujuan utama seseorang sasterawan. Tujuan sasterawan ialah menarik perhatian dan minat pembaca sahaja. Sasterawan akan dipandang tinggi jika mereka menghasilkan karya yang luar biasa dari segi tema, watak, teknik, latarbelakang dan dialog. Yang dinilai adalah keluarbiasaan bukannya kebenaran.

Kita dapat melihat sasterawan menokohkan pelacur, pembunuh, pemimpin jahat dalam karya mereka tanpa penghitungan akhlak-adab dan kebenaran. Falsafah Sastera menjadikan manusia sebagai ukuran dan meletakkan manusia sebagai teragung dan menjadikan daya kreatif sebagai landasan kepada ukuran tersebut. Falsafah Sastera adalah salah satu humanisme yang berlandaskan hedonisme atau keseronokan semata-mata. Semua sistem pemikiran manusia tidak berasaskan wahyu meletakkan manusia sebagai tonggak sistem nilai, oleh itu maksud ‘mengembalikan menjadi manusia’ itu dihuraikan daripada perspektif manusia sendiri dengan memberi kebebasan mutlak kepada akal untuk menentukannya.

Falsafah Persuratan berlandaskan akal dan logik bukannya khayalan dan emosi. Akal dan logik sebagai asas, maka ilmu menjadi peranan utama dalam falsafah persuratan. Matlamat Falsafah Persuratan ialah kebenaran berdasarkan pendidikan, akhlak, nilai dan adab. Bahkan dalam konteks Islam, kebenarannya berdasarkan iman dan taqwa.

Sistem pemikiran berlandaskan wahyu, nilai ditentukan oleh Allah SWT dan manusia bertindak sebagai pelaku atau pelaksana mengikut penentuan yang ditetapkan oleh Allah SWT. Epistemologi ajaran wahyu, manusia mempunyai tiga sumber ilmu iaitu wahyu, akal dan pengalaman. Untuk kembali menjadi manusia, seseorang perlu mengunakan ketiga-tiga sumber ilmu tersebut dalam mentafsirkan ‘kembali menjadi manusia’ sebagai kembali kepada TAKLIF ertinya kembali kepada hakikat asal usul manusia iaitu sebagai khalifah Allah dan hamba Allah. Inilah asas Falsafah Persuratan.

Seorang pengarang perlu kerangka berfikir secara Islam yang berdasarkan nilai ajaran al Quran, hadith, ijma’ dan qiyas. Pola pemikiran perlu berpasak tauhid, batasan syarak dan kepastian fiqh dalam batas ghalib al zan [Abdul Ghani Samsudin]. Kerangka berfikir yang perlu ada pada seseorang pengarang ialah

1. Aqliah penulisan muslim hendaklah menurut retorika yang betul.

2. Tidak mudah menerima sesuatu tanpa dalil yang munasabah.

3. Tidak berfikir berdasarkan prasangka.

4. Tidak berfikir berdasarkan sentimen semata-mata.

5. Tidak statik.

6. Cenderung untuk pengamatan yang mendalam dan cerdik.

7. Mengambil manfaat daripada dapatan ilmiyah yang tahan uji serta daripada pengalaman orang lain yang berguna.

Apa Yang Mahu Ditulis?

Menulis apa sahaja asalkan berfaedah dan memandaikan serta menyedarkan orang lain atau umat. Penulisan terbaik adalah penulisan yang membawa pembaca mendekatkan diri dengan Allah SWT, meluruskan iman-aqidah, memperelokkan akhlak dan memberi kefahaman yang jernih serta tindakan yang sederhana dan berhikmah. Penulisan yang berkesan ialah penulisan yang berimpak tinggi dan berpengaruh dalam masyarakat di dunia.

Karya pemikir-penulis Barat seperti William Shakespeare, Alexis de Tocqueville, Karl Marx, John Locke menjadi karya berpengaruh di dunia Barat dan Timur selagi mana seseorang itu berotak Barat. Jika kita meneliti karya-karya ulama terdahulu seperti Syeikh Daud Bin Abdullah al Fathani melalui karyanya, Munyatul Mushalli berusia 105 tahun mengikut cetakan Mathbah al Miriyah, Mekah masih berlegar dipelajari dan ditekuni sekaligus menjadi amalan para pelajar sama ada ada di pondok dan masjid. Tak terhitung jumlah pahala jika dilihat dengan tahun kitab ini dihasilkan.

Hasil karya yang dihasil mestilah berupaya menghasilkan impak tinggi sebagaimana karya Syeikh Daud Abdullah al Fathani dengan pengislahan dan memandaikan masyarakat. Slogan ‘penulisan untuk perubahan’ masyarakat seharusnya dijadikan azimat mengiringi hasil penulisan kita.

Mohd Affandi Hassan menggagaskan Gagasan Persuratan Baru sebagai kerangka penulisan yang Islami. Gagasan Persuratan Baru membahagikan karya kreatif kepada tiga kategori iaitu

1. Karya Persuratan – bersandarkan kepada konsep ilmu yang benar dan mengutamakan wacana daripada cerita.

2. Karya Sastera – mengutamakan cerita yang diasaskan kepada emosi, imiginasi dan khayalan.

3. Karya erotik/picisan/lucah – menjadikan seks dan hawa nafsu dalam pengucapan kreatif.

Akhir-akhir ini, penerbit buku indie telah menjadi pemain utama dalam ‘industri’ buku negara. Kemunculan penerbit indie dengan pelbagai nama mencetuskan satu fenomena baru dimana karya indie telah diarus-perdanakan dalam khalayak masyarakat awam. Jika dulu, karya indie disebarkan melalui zine atau samizat, sekarang melalui buku sebagaimana penerbit-penerbit arus perdana.

Berdasarkan penglihatan secara kasar, lebih kurang 80% hasil penerbitan karya indie memenuhi kategori karya sastera dan karya erotik/picisan/lucah sebagaimana diutarakan oleh Mohd Affandi Hassan. Karya kategori [2] dan [3] hanya memenuhi selera akal dan nafsu anak muda yang mengarahkan kepada imiginasi, emosi dan perasaan yang tidak stabil dari segi tauhidik dan akhlakiah.

Setiap hasil penulisan perlu memenuhi kategori [1] agar karya kita berguna dan berfaedah untuk diri penulis di dunia dan akhirat.

Menulis dan Sumber Rujukan

Sumber ilmu dalam Islam ialah wahyu, akal dan pengalaman. Wahyu terdiri daripada al Quran dan disokong oleh hadith sahih. Akal dan pengalaman  penulis boleh digunakan dalam hasil penulisan selagi tidak melanggari aqidah dan syariat Islam.

Sumber ilmu dalam Islam sangat berautoriti dan dijaga agar tidak terpesong dan tersesat. Mengikut para ulama, terdapat dua jenis kebenaran dan autoriti sumber ilmu iaitu [1] kebenaran yang dirujuk terus kepada al Quran, hadith dan sunnah rasul. [2] Kebenaran yang diriwayatkan oleh peribadi-peribadi berwibawa. Peribadi berwibawa mempunyai sifat rasul iaitu bercakap benar, menyampaikan, cerdik dan amanah. Proses pemeliharaan sumber ilmu ini terbukti paling berkesan dengan adanya ilmu hadith.

Sebagai penulis, pemikir dan pembaca, kita perlu menapis unsur-unsur Sekularisme, Pluralisme dan Liberalisme (SEPILIS) daripada penerimaan maklumat kita agar ia tidak menjadi pandangan alam kita dalam kehidupan. SEPILIS merebak pesat dalam bidang keilmuan, media massa, penulisan dan pentadbiran di negara ini. Jika di Indonesia, kelompok SEPILIS sudah berpengaruh besar dalam Nahdatul Ulama, Muhammadiyyah, dalam Majelis Ulama Indonesia, universiti dan parti politik.

Dalam penulisan non fiksyen, kita dalam mengesani unsur SEPILIS dalam karya-karya penulis tertentu. Karya penulis berkenaan terdapat unsur penerapan kebebasan secara mutlak, politik berasaskan manusiawi bukan berpaksakan tauhid, penolakan agama dalam urusan negara, perjuangan hak asasi dan wanita secara melampau dan sokongan terhadap LGBT. Secara solusinya, penulis kalangan berfahaman SEPILIS menolak kebenaran abadi dalam agama dan menonjolkan kenisbian dalam pemikiran dan budaya melalui hasil karya mereka.

Dalam penulisan fiksyen, unsur SEPILIS dapat dilihat dalam usaha mengangkat tema LGBT, anti agama dan ulama, menolak politik dan perundangan Islam, murtad dan ateis. Karya mereka berasaskan kekosongan jiwa atau nihilisme. Karya berunsur SEPILIS mengangkat feminisme, keseksian dan seks, pasca modenisme, pemujaan terhadap kebeliaan dan memartabatkan manusia sebagai tunjang segala urusan dunia sehingga mengenepikan Tuhan.

Buku dan Komersial

Menulis bukan kerna nama
Menulis bukan mencari keuntungan royalti
Menulis untuk menyebarkan kebahagiaan dan memandaikan umat.

Dunia yang penuh materialistik dan mahu popular menjadikan buku sebagai komoditi yang menguntungkan. Kehendak mahu keuntungan akan mengatasi iman, prinsip dan ideologi-aliran pemikiran kita. Kita boleh mengejar keuntungan tetapi  tidak perlu mempertuhankan keuntungan adalah segalanya secara mutlak.

Pada hari ini, penerbit baru dan kecil tumbuh bak cendawan selepas turunnya hujan. Ada juga penulis membuat pilihan untuk menerbitkan sendiri buku mereka.

Menulis pada hari ini memerlukan nama. Nama tersebut mesti popular dan dikenali ramai agar nilai komersial sesebuah buku semakin meningkatkan. Kewibawaan dalam ilmu tidak diambil kira jika tiada nama. Nama menghasilkan populariti sehingga penulis menjadi selebriti. Dalam menghasilkan nama yang gah dan hebat, ia diperolehi melalui pengaulan dan isu popular yang dicetuskan oleh penulis. Jika penulis bergiat dalam politik, gerakan mahasiswa, pernah ditangkap atau dipenjara, ada usaha berkebajikan, berjaya dalam perniagaan, seorang yang unik, petah bercakap di forum/debat dan cemerlang dalam pembelajaran dan penyelidikan, nama seseorang penulis semakin berharga. Nama yang berharga ini bernilai komersial yang boleh menghasilkan keuntungan dalam industri buku.

Ada sebahagian buku yang dihasilkan pada tahap picisan, sedikit ayat dan banyak gambar berwarna laku laris ekoran penulisnya adalah seorang yang unik melalui lawak-lawaknya dalam media sosial.

Apabila buku diindustrikan dan dikomersial, roh ilmu semakin terhakis ekoran daripada mendahului keuntungan daripada penyebaran ilmu dan isi kandungan buku itu sendiri. Buku bukanlah lagi sumber ilmu tetapi bahan hiburan untuk santai.

Konsep IQRA: Dari Pengilmuan Kepada Ketundukan Kepada-Nya

Membaca, menulis dan mengajar-3M saling berkaitan antara satu sama lain. Ia juga boleh dikatakan maqam dalam kelimuan dimana maqam mengajar paling atas sesudah membaca dan menulis.

Kunci Ilmu Pengetahuan

1. Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan.

2. Dia menciptakan manusia daripada segumpal darah.

3. Bacalah dan Tuhanmu Yang Maha Mulia

4. Yang mengajar (manusia) dengan pena

5. Dia mengajar manusia apa yang tidak diketahuinya.

Punca Kejahatan Manusia

6. Tidak sama sekali! Sesungguhnya manusia itu benar-benar melampaui batas.

7. Apabila dia melihat dirinya serba cukup.

8. Sesungguhnya hanya kepada Tuhanmu tempat kembali(mu)

9. Bagaimanakah pendapatmu tentang orang yang melarang (Abu Jahal).

10. Seorang hamba ketika dia mengerjakan solat.

11. Bagaimanakah pendapatmu jika dia (yang dilarang solat itu) berada atas kebenaran (petunjuk)

12. Atau dia menyuruh bertaqwa (kepada Allah)?.

13. Bagaimanakah pendapatmu jika dia (yang melarang) itu mendustakan dan berpaling?

14. Tidakkah dia mengetahui bahawa sesungguhnya Allah itu memerhatikan (segala perbuatannya)?.

15. Tidak sama sekali! sesungguhnya jika dia tidak berhenti (berbuat demikian) pasti Kami tarik ubun-ubunnya.

16. (iaitu) ubun-ubun orang yang mendustakan dan menderhaka.

17. Maka biarlah dia memanggil golongannya (menolongnya).

18. Kelak Kami akan memanggil malaikat Zabaniyyah

19. Jangan sekali-kali! Janganlah engkau patuh padanya dan sujudlah serta dekatkanlah (dirimu kepada Allah).


Surah al Alaq adalah surah yang membicarakan tentang ilmu dan ketundukan kepada Allah SWT. Istilah ‘Baca’ menghasilkan tahu-yakni ilmu dan pengetahuan. Ilmu-Pengetahuan datang dengan kehendak Allah. Ilmu pengetahuan datang dengan Nama Allah yang menjelaskan hakikat keimanan iaitu dalam setiap urusan, setiap gerak langkah, cara fikir dan setiap tindakan hendaklah dimulakan dengan Nama Allah dan untuk Allah. Kegiatan hidup Rasulullah SAW adalah dipengaruhi dengan arahan Ilahi daripada bangun tidur sehingga tidur kembali dan dari detik terima wahyu sehingga baginda meninggal dunia. Arahan Ilahi menjadi tapak kefahaman keimanan baginda. Ilmu pengetahuan dinyatakan dengan salah satu sifat Allah iaitu Mencipta dan memulakan penciptaan [1].

Kehebatan Allah SWT mencipta manusia dari segumpal darah. Manusia boleh merenung dan berfikir tentang kehebatan Allah mencipta manusia. Kenyataan Allah SWT ini adalah kenyataan ‘saintifik’ dalam pengkajian biologi. Ia sekaligus menolak darwinisme [2].

Hakikat peranan pena sangat penting dalam peradaban manusia. Pena adalah alat mengajar paling penting dan paling dalam kesannya kepada manusia [4].

Antara sebab manusia melampaui batas ialah ketika mereka merasakan diri mereka sudah serba cukup dari segi kekuasaan, kekayaan, pangkat, kemegahan, kemasyhuran dan ketinggian ilmu. Sikap serba cukup inilah yang menyebabkan sesetengah mereka cuba mencabar Tuhan sebagaimana Firaun [6-7].

Dalam konteks penulisan ini, kehebatan seseorang dalam keilmuan perlu disusuli dengan sifat tawaduk bukannya merasakan diri serba hebat sehingga menolak dan mengenepikan segala arahan dan kehendak al Quran dan Al Sunnah.

Kita yakin kepada Tuhan,
Kita yakin kepada Islam,
Kita yakin dengan lidah dan hati

Tetapi kita gagal yakin dalam pelaksanaan Islam menuruti
wahyu secara praktik dalam kehidupan kita.

Budaya Menerjemah

Rahsia pembinaan sesebuah tamadun ialah perkembangan budaya ilmu yang digerakkan oleh budaya menerjemah karya-karya agung daripada sebuah tamadun ke tamadun yang lain. Tamadun Islam menerjemah karya-karya daripada Tamadun Yunani dan Romawi. Tamadun Barat menerjemahkan banyak karya dari tamadun Islam.

Istilah ‘Terjemahan’ berasal daripada Bahasa Arab, tarjama yang bermaksud perpindahan kata-kata daripada satu bahasa ke bahasa yang lain.

Kegiatan terjemahan sangat pesat ketika pemerintahan Dinasti Abbasiyyah. Di bawah pemerintahan Khalifah Harun al Rasyid umpamanya aktiviti terjemahan sangat digalakkan.

Kita mempunyai ramai siswazah lepasan luar negara. Siswazah luar negara seharusnya mengambil peluang menyertai kursus asas penterjemahan dan menerjemah buku-buku yang dihasilkan di tempat mereka belajar. Jika tidak mampu, mereka boleh menerjemah buku secara berpasukan. Aktiviti penerjemahan ini boleh merancakkan lagi budaya ilmu di negara ini sekaligus menambahkan lagi khazanah ilmu negara kita.

Akhir Tulis

Membaca tanpa menulis dan amal menghilangkan ‘bisa’ (impak) ilmu. Penulisan menjadi alat penyebaran segala yang dibaca. Penulisan juga adalah rumusan apa yang dibaca. Menulis tidak semestinya menghasilkan sebuah buku. Menulis adalah nota pemikiran untuk mengoreksi diri dan menajam renung fikir terhadap apa yang dibaca.

Tulislah dengan penamu’

Siap sepenuh pada 2/3/2016 jam 10.45 malam.

No comments:

Sebab-Akibat

Sebab-akibat antara elemen penting dalam ilmu sejarah. Pemikiran sebab-akibat ini penting bagi mengelakkan kita membuat ramalan dan andaian ...