Followers

Wednesday, November 02, 2016

TAHALUF SIYASI, DAP DAN GERAKAN ISLAM




“Allah SWT tidak akan mengizinkan musuh-musuh dari luar menghancurkan Islam dan kekuatan umatnya, tetapi gerakan Islam itu akan dihancurkan sendiri oleh ancaman dari dalam diri mereka”
Fadzil Mohd Noor

Oleh Hantu Raya TKP

Tahaluf Siyasi adalah kerjasama politik atas kesepakatan bersama.  Para ulama Islam mempunyai dua pendapat menyokong atau membantah tahaluf siyasi. Punbegitu hukumnya harus.

Perkara yang paling penting dalam bertahaluf ialah garis panduan yang meliputi dalil, syarat dan sebab  dalam mengeluarkan hukum berkenaan tahaluf siyasi dalam suasana politik semasa.

Kita boleh belajar dan mengkaji tahaluf siyasi yang dilakukan pada zaman Rasulullah SAW. Antara tahaluf siyasi tersebut ialah;

1.    Perjanjian Rasulullah SAW bersama Abu Talib,
2.    Kisah perlindungan orang kafir kepada sahabat Nabi SAW,
3.    Perjanjian Half-al-Fudhul,
4.    Perjanjian Mutayyibin,
5.    Perjanjian Rasulullah SAW dengan Muth’im bin ‘Adi dan Abdullah Bin Uraiqith,
6.    Perjanjian Bai’atul ‘Aqabah
7.    Perjanjian Rasulullah SAW bersama Bani Khuza’ah
8.    Tahaluf siyasi telah berlaku antara kerajaan Madinah dan beberapa puak serta kabilah yang lain seperti Muhajirin dan Ansar, bangsa Quraish dan puak Yahudi.




Pendapat Membantah Konsep Tahaluf Siyasi

Imam Hassan al Banna dan Sayyid Qutb antara tokoh Islam yang tidak bersetuju dengan konsep tahaluf siyasi berdasarkan konteks zaman dan realiti semasa ketika itu. Hassan al Banna menyatakan

“Ikhwan al Muslimin yakin idea persefahaman antara parti-parti tidak mendatangkan apa apa kebaikan. Ikhwan yakin cara ini hanyalah bersifat sementara bukannya penyelesai masalah sebenar. Lambat laun parti-parti yang menjalinkan persefahaman ini akan berpecah semula. Malah persengketaan mereka akan bertambah sengit lebih buruk daripada persefahaman diwujudkan[1]

Di Malaysia, PAS gagal dan tidak pernah serik melakukan tahaluf siyasi dalam kerajaan campuran, Barisan Nasional, Angkatan Perpaduan Ummah, Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat. Abdul Hadi Awang, Presiden PAS pernah mencadangkan Kerajaan Perpaduan iaitu kerajaan tanpa pembangkang antara usaha tahaluf siyasi.

Pengalaman PAS yang tidak pernah serik dalam tahaluf siyasi sangat mengagumkan. Hassan al Banna telah memberitahu bahawa tahaluf siyasi dengan pihak yang jelas menentang Islam bukanlah satu penyelesaian masalah sebenar. Ia akan menghasilkan perpecahan yang berulang-ulang.

Pendapat Menyokong Konsep tahaluf Siyasi

Syeikh Dr Yusuf al Qaradhawi menyatakan pengharaman tolong menolong dengan orang berbuat zalim merupakan hukum asas atau prinsip umum.  Dalam keadaan tertentu menyebabkan terkeluar dari hukum asas ini melalui pertimbangan yang masih diakui oleh syarat. Antara pertimbangan tersebut ialah;

1.    Tuntutan meminimunkan kejahatan dan kezaliman menurut kesanggupan.
2.    Melakukan mudarat yang paling ringan
3.    Melepaskan nilai paling tinggi lalu turun ke realiti paling rendah.
4.    Bertahap

Menurut Syeikh Muhammad Munir al Ghatban, prinsip-prinsip tahaluf siyasi ialah
1.    Tidak berkompromi dalam perkara akidah dan prinsip
2.    Menjamin kemaslahatan ummah
3.    Harakah Islam berada dalam keadaan kuat
4.    Kepimpinan dan ahli jamaah kuat
5.    Bertahaluf dengan pihak yang boleh bagi manfaat kepada jamaah Islam
6.    Menjamin kebebasan dakwah
7.    Tidak berkrompomi dalam perkara batil
8.    Perjanjian yang sesuai dengan Islam boleh dilaksanakan

Pada pendapat Mustafa Tahan, ciri-ciri penting yang dipertahankan oleh Rasulullah SAW dalam pelaksanaan tahaluf siyasi;
1.    Melindungi kepentingan komuniti muslim.
2.    Mengeratkan ukhwah sesama Islam.
3.    Kekuatan maksima pemimpin gerakan Islam
4.    Kebebasan dakwah
5.    Tidak bekerjasama dengan pemimpin zalim.

Menurut pengkajian dan perbandingan, Syeikh Muhammad Ahmad ar Rasyid menyatakan agak sukar tahaluf siyasi boleh dilakukan pada zaman ini. Beliau menyatakan tidak mustahil tetapi untuk memenuhi syarat-syaratnya adalah terlalu jarang dan kecil kebarangkaliannya boleh terlaksana.

Syeikh Muhammad Ahmad ar Rasyid menyatakan syarat tahaluf siyasi ialah

1.    Hukum Islam lebih dominan, syaukah (mempunyai dokongan kuat daripada bangsa sendiri yang boleh mempertahankan kuasa mereka) Islam lebih jelas dan nyata.
2.    Dakwah Islam melepasi fasa ta’asis dan bina, sekarang menuju fasa kemajuan.
3.    Anggota terlibat dalam tahaluf mestilah pemimpin-pemimpin yang mempunyai kedudukan yang sama tinggi dengan barisan pemimpin dakwah.
4.    Tahaluf itu benar-benar diperlukan dalam situasi untuk menguatkan barisan pendakwah bukannya lambang semata-mata.
5.    Pihak yang menerima tahaluf adalah boleh dipercayaai.
6.    Mengambil kira kadar negatif yang mungkin berlaku ketika tahaluf.

Pengalaman PAS dalam Tahaluf Siyasi

1.    Konvensi Nasional

2.    Kerajaan Campuran (Perikatan-PAS)

3.    Barisan Nasional

4.    Kerjasama PAS-CCC

5.    Angkatan Perpaduan Ummah

6.    Barisan Alternatif

7.    Pakatan Rakyat
Perbalahan, Kerjasama dan Perbalahan: Di mana Kesudahan Tahaluf Siyasi?

Permisahan atas pengolakkan dalam sebuah gabungan bukanlah bersifat mutlak. Kerjasama politik atas kesepakatan bersama datang daripada kebijaksanaan politikus dan parti dalam usaha menangani permasalahan semasa bergantung kepada situasi, persetujuan bersama dan kepentingan rakyat serta kesejahteraan negara.

Pengalaman tahaluf siyasi di Malaysia, perbalahan bersifat sementara ekoran pertembungan pendekatan dan dasar serta peribadi antara parti dalam gabungan. Akhirnya, ia membawa kepada ‘penceraian’. Penceraian yang bukan bersifat mutlak dan selamanya, ia bersifat sementara untuk ‘merawat’ emosi. Keberangkalian untuk bersama kembali cukup tinggi apabila melibatkan kepentingan negara dan rakyat.

Apabila DAP keluar daripada Barisan Alternatif, Nik Abdul Aziz melaporkan berkata ‘Saya tak nampak hubungan kami akan renggang dengan DAP pada masa depan’.[2] Kenyataan ini dibuktikan apabila DAP kembali bersama PAS dan PKR dalam Pakatan Rakyat pada tahun 2008.

Dalam politik, kepentingan semasa berlatarbelakangkan situasi akan mengatasi prinsip dan dasar sesebuah parti terutamanya apabila melibatkan kepentingan rakyat dan negara.

Pemimpin politik muda perlu mencari nafas panjang menghadapi situasi politik yang kacau bilau, keliru dan celaru ini. Melihat, merenung dan mengelakkan diri daripada pengolakkan lebih baik untuk memberi nafas yang panjang bagi seseorang politikus.


Isu Penubuhan Negara Islam dan DAP keluar Barisan Alternatif pada tahun 2001.

DAP keluar Barisan Alternatif (BA) pada 21 September 2001 disebabkan oleh isu penubuhan negara Islam. Isu ini disemarak apabila dunia ketika itu sangat terkesan dengan Peristiwa WTC yang dilanggar oleh pesawat. Peristiwa ini mengemparkan dunia dan menyemarakkan Islamfobia.

Orang Cina menekan DAP agar PAS menggugurkan perjuangan penubuhan sebuah negara Islam. PAS terus bertegas dengan prinsip menolak saranan DAP atas dasar menghormati dasar yang tak dipersetujui secara bersama.

PAS[3] yang diwakili oleh Nik Abdul Aziz (Mursyidul Aam), Abdul Hadi Awang (Timbalan Presiden) dan Nasarudin Mat Isa (SUA) bermesyuarat selama dua jam dengan DAP bagi berbincang isu penubuhan negara Islam. Setelah kegagalan mesyuarat tersebut, DAP mengadakan mesyuarat tergempar dan akhirnya memutuskan penarikkan diri dari BA.[4]

Setiausaha Agung DAP Kerk Kim Hock  menyatakan"Melihat kepada kegagalan DAP dan PAS dalam menyelesaikan isu penubuhan negara Islam, CEC memutuskan bahawa tidak ada lagi keperluan untuk DAP terus bersama BA”.[5]

Dalam perbincangan dengan PAS, DAP telah mengemukakan lima formula untuk menyelesaikan permasalahan. Menurut Malaysiakini, hanya dua sahaja formula tersebut dipersetujui. Lima formula itu ialah

Pertama "Sebarang usaha oleh mana-mana parti komponen untuk mengejar pengwujudan sebuah negara Islam, negara Buddhist atau negara Kristian adalah bertentangan dengan Manifesto BA."

Kedua: "Suatu pengulangan yang jelas bahawa di bawah Manifesto BA, undi untuk BA adalah undi untuk demokrasi, keadilan dan pemerintahan baik dan bukan untuk sebuah negara Islam - dan PAS mestilah bersetuju sepanjang tempoh BA, akan berganding bahu dengan parti BA lain pada semua peringkat ke arah Malaysia yang adil dan bukan sebuah negara Islam."

Ketiga: "Majlis BA harus diberi notis terdahulu tentang apa-apa enakmen atau langkah cadangan negara negeri Kelantan dan Terengganu yang mungkin menyinggung perasaan agama, masyarakat dan parti politik yang berbeza supaya membenarkan perundingan dan persetujuan sepenuhnya."

Keempat: "Suatu jawatankuasa BA khas harus ditubuhkan untuk memastikan bahawa pengumuman dan kenyataan keagamaan yang kontroversi atau sensitif terhadap manifesto BA dibuat hanya selepas perundingan terdahulu dan untuk menangani kes-kes perlanggaran."

Kelima: "Walaupun PAS memegang kepada prinsip negara Islam tetapi PAS sedia menerima hakikat bahawa di dalam sebuah negara yang majmuk, penubuhan negara Islam tidak sesuai dan tidak praktikal bagi Malaysia."

Menurut Nik Abdul Aziz, isu penubuhan negara Islam tidak berjaya ditangani dalam dalaman DAP. ``Ia berpunca daripada ketidakupayaan dan tekanan yang dihadapi oleh pucuk pimpinan DAP dalam menjawab segala persoalan yang dibangkitkan oleh penyokongnya berhubung isu negara Islam”.[6]

Penulis melihat DAP keluar BA pada 21 September 2001 ada beberapa sebab iaitu

1.    Aliran progresif dalam DAP yang mengkritik kepimpinan Lim Kit Siang dalam Kongres Kebangsaan DAP ke-13 telah berlangsung pada 18-19 Ogos 2001. Dalam kongres ini, ketua pemuda DAP Teng Chang Khim yang secara terbuka meminta Lim Kit Siang menolak pencalonan semula sebagai ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) bagi membuka jalan kepada pemimpin pelapis parti DAP.[7] Satu resolusi juga mencadangkan supaya jawatan Setiausaha Agung dan Pengerusi parti dihadkan kepada tiga penggal atau sembilan tahun saja. Tetapi resolusi ini tidak dibahas. Resolusi dilihat dituju kepada Kit Siang, yang telah menerajui DAP selama 32 tahun.
2.    Pengaruh DAP Sarawak mengatasi DAP Pusat. Pengerusi DAP Sarawak, Richard Wong Hong Leng juga telah mengumumkan pakatan pembangkang tidak wujud di Sarawak. DAP Sarawak lebih awal keluar BA Sarawak daripada DAP Pusat.
3.    Isu penubuhan Negara Islam.
4.    Islamfobia ekoran Peristiwa Pelanggaran WTC.
5.    Pilihanraya Negeri Sarawak
6.    Kes ‘pencurian’ atau penghijrahan ahli ke dalam sekutu BA. Bekas ahli DAP seperti Low Chee Chong, Sim Kwang Yang, Teoh Teik Huat, Gooi Hock Seng dan Dominic Ng telah diterima masuk oleh Keadilan, malahan diberikan layanan 'permaidani merah'. Begitu juga dengan penyertaan SK Soong ke PRM.[8]
7.    Matlamat tak sama. Jika pada pilihanraya umum 1999, PAS, Keadilan dan PRM bercita-cita besar untuk menumbangkan BN di peringkat parlimen, tetapi cita-cita DAP hanyalah untuk menafikan majoriti dua pertiga BN. Walaupun, kedua-dua cita-cita itu gagal, namun ternyata cita-cita DAP lebih berpijak di bumi yang nyata.[9]




Krisis Kerajaan Kelantan 1978[10]

Krisis 1978 merupakan krisis paling besar dan paling rumit yang pernah dialami oleh PAS kerana ia melibatkan rakyat, parti, antara parti dan kerajaan.

Dato Muhammad Nasir dikatakan dilantik sebagai Menteri Besar Kelantan atas restu Tun Abdul Razak, Perdana Menteri ketika itu[11]. Ia menimbulkan ketidakpuasan hati beberapa pihak dalam PAS. Usaha menyingkirkan Dato Muhammad Nasir pada bulan September 1977. Kumpulan 20 yang terdiri daripada ADUN memberi dua pilihan kepada Nasir sama ada meletak jawatan atau menghadapi undi tidak percaya dalam sidang DUN bulan Oktober 1977.

Dewan Ulama PAS Kelantan mengalami kemelut apabila Ustaz Mahmud Zuhdi, setiausaha Dewan Ulama Kelantan menyokong Nasir[12] manakala Naib Ketuanya Zakaria Ismail menafikan kenyataan Mahmud Zuhdi. Nasir semakin kuat apabila rakyat Kelantan berada teguh dibelakang kepimpinan beliau. Persatuan Pengajian Tinggi Nilam Puri, Badan Pengembangan Kebudayaan Malaysia (BABAK), mahasiswa Kelantan UKM (PERDANA) menyokong Nasir. Pada 24 September 1977, lebih 80000 orang berhimpun di Padang Merdeka untuk menyatakan sokongan kepada Nasir.

Nasir dipecat daripada PAS pada 29 September 1977 oleh Jawatankuasa Agung PAS.  Lapan yang menyokong pemecatan Nasir ialah Nik Abdul Aziz (Ketua Dewan Ulama PAS Pusat), Wan Ismail Wan Ibrahim (Timbalan Menteri Besar Kelantan), Zahari Awang, Khaidir Khatib, Sakinah Junid (Ketua Dewan Muslimat), Jamal Idris, Daud Samad, Hakim Abdullah dan Asri Muda (Yang Dipertua PAS Pusat). Mereka yang menentang pemecatan ialah Ali Taib dan Baharuddin Latiff.  Kelompok yang mengundi agar pemecatan tersebut ditangguhkan ialah Mustafa Ali (Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat),  Salmah Husein, Ishak Rejab, Harun Din, Hassan Shukri (SUA PAS Pusat), Daeng Sanusi (Naib YDP), Wahab Yunus dan Suffian Mohamad. Walau bagaimanapun, keputusan ini dianggap ‘kesilapan teknik’ yang diumumkan pada 4 Oktober 1977. Satu rombongan telah dibawa ke Kelantan untuk memohon maaf kepada Nasir.

Pada 10 Oktober 1977, sekali lagi sidang Jawatankuasa Agung PAS Pusat memutuskan pemecatan Nasir. Mohd Asri Muda berkecuali dalam mesyuarat ini. Kelompok menyokong pemecatan ialah Abu Bakar Omar (Naib YDP),  Nik Abdul Aziz, Sakinah Junid, Wahab Yunus, Zahari Awang, Salmah Husein, Daud Abdul Samad, Wan Ismail Wan Ibrahim, Tengku Kamaruzaman Tengku Hamid, Khaidir Khatib, Zabidi Ali, Jamahir Idris dan Abdul Hakim Muhammad. Kelompok menentang pemecatan ialah Hassan Adli (Timbalan YDP PAS Pusat), Hassan Shukri (SUA Agung), Harun Din, Ishak Rejab, Abbas Alias (mantan YDP/AJK), Baharuddin Latiff dan Sufian Mohammad. Mustafa Ali dan Daeng Sanusi berkecuali.

Pada 15 Oktober 1977, dalam Dewan Undangan Negeri, kumpulan 20 telah mengadakan undi tidak percaya terhadap Menteri Besar, Dato  Muhamad Nasir dan usul berkenaan diluluskan. Kerajaan Kelantan pimpinan Nasir digulingkan. Seramai 13 ADUN UMNO dan seorang anggota MCA serta Nasir meninggalkan DUN semasa pengundian diadakan.

Kemuncak pada 19 Oktober 1977, kacau bilau dan rusuhan melanda Kota Bharu. Beberapa siri rusuhan berlaku di Kelantan. Perintah berkurung 24 jam diadakan bagi menjamin keselamatan dan keamanan. Pada 8 November 1977, Rang Undang-undang Kuasa-kuasa Darurat dibentang dan diluluskan setelah 8 jam dibahaskan. PAS dan DAP menentang rang tersebut. Seramai 118 anggota Parlimen termasuk daripada PAS (Hassan Adli) manakala 18 menentang.

Kelulusan rang ini membawa krisis antara BN dengan PAS apabila PAS melalui Asri, dua timbalan menteri dan dua setiausaha parlimen daripada PAS meletak jawatan dalam kerajaan. Hassan Adli (Timbalan YDP PAS Pusat) ingkar arahan dan tidak mahu meletak jawatan akhirnya dipecat daripada PAS.

Darurat selama 95 hari. Nasir masih dikekalkan sebagai Menteri Besar tanpa kuasa. Pengarah Kerajaan berkuasa. Kerajaan ini dinamakan kerajaan MAGERAN.

Pada 5 Disember 1977, Dewan Majlis Tertinggi BN telah bersidang, 9 parti dalam BN mengundi PAS dipecat daripada BN, PPP berkecuali dan PAS menentang. Maka, tamatlah riwayat PAS dalam BN.

Nasir telah menubuhkan parti baru ialah Barisan Jamaah Islamiyyah SeMalaysia (BERJASA) pada  25 September 1977. Pada awalnya, Nasir nak menamakan parti baru sebagai Parti Progresif Islam atau Parti Tindakan Islam. Menurut sesetengah penulis politik, kelahiran BERJASA mempunyai kaitan dengan UMNO dalam menumbangkan PAS sebagaimana kelahiran BERJAYA menumbangkan USNO di Sabah.

Dalam BERJASA,  antara tokoh ternama dalamnya ialah Nasir (YDP), Ali Taib (Timbalan YDP), Hassan Adli (Naib YDP), Abu Bakar Hamzah (Naib YDP), Wan Hashim Wan Ahmad (AJK), Mahmud Zuhdi (SUA), Ibrahim Ali (Ketua Pemuda) dan Mohamad Che Wook (Ketua Dewan Ulama). Pada pilihanraya Umum 1978, BERJASA berjaya mendapat 11 kerusi manakala BN mendapat 23 kerusi.

Konvensi Nasional vs Konferensi Nasional

Di bawah kepimpinan Tuan Haji Ahmad Fuad juga,  PAS telah dijemput untuk menghadiri dua persidangan yang dianggap penting pada negara ketika itu, iaitu persidangan yang dikenali sebagai National Conference (Konferensi Nasional) yang ditaja oleh Datuk Onn Jaafar  bersama tujuh orang Menteri Besar dan National Convention (Konvensi Nasional) yang ditaja oleh Tuanku Abdul Rahman Putra al-Haj (UMNO – MCA).

Tujuan persidangan ini diadakan ialah untuk menyelaraskan usaha bagi mencapai kemerdekaan negara serta mencari satu formula dalam menyelesaikan beberapa perkara berbangkit seperti status kerakyatan, hak untuk mengundi dan sebagainya.

Ekoran daripada itu, satu Mesyuarat Agung Khas PAS telah diadakan di Tanah Liat, Bukit Mertajam pada 23hb. September 1953 bagi menentukan sikap PAS dalam menghadapi kehendak-kehendak Ahli Jawatankuasa Agung pada masa itu yang berbeza-beza di antara yang menyokong National Convention dengan yang menyokong National Conference.

Hasil daripada mesyuarat tersebut, PAS telah menerima saranan yang dikemukakan oleh PAS Pasir Mas menerusi wakilnya Amaluddin Darus. Cadangan PAS Pasir Mas itu ialah mengambil sikap menyokong National Convention,  tetapi tidak terikat kepadanya sekiranya langkah-langkah National Convention itu pada pendapat PAS akan merugikan bangsa Melayu amnya dan umat Islam khasnya. PAS telah menolak gagasan yang ditaja oleh Datuk Onn itu kerana pada pandangan PAS ia mengiktiraf kerakyatan dan persamaan hak bagi seluruh kaum yang ada di negara ini pada waktu itu.

Dengan itu, PAS bertegas tidak akan menyertai persidangan National Conference yang ditaja oleh Datuk Onn, tetapi akan menghadiri dan menyatakan pendapat di dalam persidangan National Convention yang ditaja oleh UMNO-MCA (Tunku Abdul Rahman).

Mesyuarat Agung Khas pada 23hb. September 1953 itu juga telah bersetuju untuk membebaskan PAS daripada dipengaruhi oleh mana-mana pihak  dengan mengekalkan PAS sebagai sebuah organisasi yang bebas dan berdikari. Dengan itu, undang-undang tubuh PAS telah dicadangkan supaya dipinda bagi menentukan tidak ada orang yang menjadi anggota parti politik lain dibolehkan untuk dipilih sebagai Ahli Jawatankuasa Agung PAS atau pegawai-pegawai yang mengendalikan urusan PAS.

Semasa di bawah kepimpinan Tuan Haji Ahmad Fuad Hassan, PAS masih berada pada tahap lemah dan kekurangan dari segenap segi. Tuan Haji Ahmad Fuad Hassan adalah merupakan rakan dan penyokong kuat kepada Datuk Onn Jaafar. Krisis UMNO-IMP (Independence of Malaya Party) sedikit sebanyak telah menjejaskan kepimpinan beliau di dalam PAS. Percubaan beliau untuk membawa PAS bekerjasama dengan IMP telah ditolak oleh ahlinya - menyebabkan kepimpinan beliau telah mula dipersoalkan dan dengan demikian juga telah memberi kesan terhadap perjuangan politik PAS.

Ekoran kegagalan beliau membawa PAS untuk bersama-sama dengan IMP pimpinan Datuk Onn Jaafar, Tuan Haji Ahmad Fuad Hassan telah meninggalkan perjuangan politik PAS secara rasmi pada 26hb. September 1953 - seterusnya beliau menyertai IMP dan Parti Negara apabila IMP dibubarkan.

Krisis Dalam Angkatan Perpaduan Ummah.

Tengku Razaleigh Hamzah putera diraja Kelantan adalah tokoh politik Kelantan yang seringkali dinobatkan sebagai Perdana Menteri dalam pembikinan.  Beliau dan kumpulan beliau telah tewas kepada Dr Mahathir Mohamad dalam perebutan jawatan Presiden UMNO pada tahun 1987. Kekalahan ini menyebabkan beliau dan bersama kumpulan beliau menubuhkan Parti Semangat 46.






Dalam menewaskan UMNO-BN, Tengku Razaleigh dan Nik Abdul Aziz Nik Mat telah sedia membentuk perikatan politik baru yang dikenali sebagai  Angkatan Perpaduan Ummah terdiri daripada PAS, Semangat 46, HAMIM, Berjasa, KIMMA (Kongres India Muslim Malaysia). Parti Semangat 46 menubuhkan  GAGASAN RAKYAT yang terdiri daripada DAP, PRM, Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Barisan Progresif India (IPF). Penyelarasan, penyesuaian dan pengimbangan antara dua gabungan yang bertentangan fahaman berjaya disatukan oleh Parti Semangat 46.

Masalah dalam pentadbiran, sentimen istana dan monopoli kuasa oleh PAS menyebabkan perpecahan APU. Gerakan pemisahan mula dikesan pada tahun 1991 apabila YB Ibrahim Ali tidak puas atas penguasaan PAS dalam kerajaan Negeri Kelantan.

Pada 2 Jan 1996, keretakan hubungan PAS-S46 semakin ketara apabila enam anggota S46 memulaukan upacara mengangkat sumpah sebagai anggota MajlisPerbandaran Kota Baharu kerana tidak berpuas hati dengan pembahagian kerusi.

Pada 7 Feb 1996 , Ketua Penerangan S46 Ahmad Shabery Chik berkata
partinya sedia menyertai perayaan ulangtahun ke-50 Umno pada bulan Mei 1996 dan diikuti dengan kenyataan Tengku Razaleigh pada 10 Februari 1996.

Kemuncaknya apabila Datuk Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat mengumumkan cadangan kerajaan negeri meminda Perlembagaan Negeri bagi menghadkan kuasa-kuasa Sultan dan mengelak campurtangan Istana dalam pentadbiran negeri. Parti Semangat 46 segera membantah cadangan itu. Pada 26 April 1996, Dr Mahathir mengesahkan telah bertemu Tengku Razaleigh. Sebagai reaksi Nik Aziz berkata pertemuan bagi membincangkan kemasukan semula Tengku Razaleigh ke dalam Umno itu bererti S46 telah berkubur.

APU gagal apabila Parti Semangat 46 kehilangan sinergi sehingga akur kehendak Dr Mahathir yang menyeru ke arah penyatuan Orang Melayu. Pada 6 Oktober 1996, Parti Semangat 46 dibubarkan menandakan mereka telah meninggalkan APU.





Krisis Dalam Pakatan Rakyat

Krisis dalaman Pakatan Rakyat berpunca daripada krisis dalaman PAS, Langkah Kajang oleh Yang Berhormat Rafizi dan campurtangan DAP dalam urusan kepimpinan PAS.

Menurut Lim Sian See, PR berkrisis disebabkan oleh

1) tiada keputusan konsensus pakatan dalam kes Langkah Kajang. PAS tidak bersetuju dan tidak dibawa berunding.

2) fitnah terhadap bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim.

3) PAS percaya PKR & DAP telah ‘mencuri’ 2 orang ADUN PAS.

4) PAS percaya PKR & DAP telah mungkir janji & tidak menghormati keputusan konsensus untuk membenarkan pas melaksanakan kerajaan islam serta hudud.



PAS menyatakan sikap DAP yang campur tangan dalam pemilihan Muktamar PAS menjadi punca perpecahan PR manakala DAP menyalahkan kepimpinan PAS terututamanya Presiden PAS.

Menurut YB Ir Khalid Samad, punca perpecahan dalaman PAS ialah

1.    ‘ketidak selesaan’ pimpinan utama PAS
2.    September 16 dan konsep UG
3.    menangani ‘masalah’ pemimpin dan ahli ‘terlalu’ pro-PR

Perpecahan dalaman PR memberi impak kepada pembangkang apabila kalah teruk dalam Pilihanraya Negeri Sarawak dan kalah dalam PRK di Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Panduan dalam menghadapi kemelut dalam tahaluf siyasi.

Tahaluf Siyasi dengan Parti Semangat 46 dan Penubuhan Angkatan Perpaduan Ummah.

Penulis tertarik pemikiran, pendekatan dan keberanian Fadzil Mohd Noor dalam cubaan mengatasi kemelut isu penubuhan Negara Islam yang ditentang oleh DAP. Fadzil Mohd Noor telah mengemukakan panduan yang baik dalam menyelesaikan krisis dalam bertahaluf.

 Fadzil Mohd Noor menegaskan:

PAS bersetuju Manifesto Bersama BA 1999 itu menjadi satu dokumen perjanjian yang patut dipatuhi oleh semua parti terbabit.

PAS bersetuju untuk menggugurkan idealisme penubuhan negara Islam dalam konteks pakatan BA kerana:

1. Tidak berbangkit soal negara Islam dalam Manifesto;
2. Tidak boleh memaksa ideologi PAS ke atas rakan dalam pakatan;
3. Dalam komposisi rakyat negara ini, tidak ada parti boleh memerintah secara bersendirian;
 4. PAS perlu berkerjasama dengan rakan pakatan BA atas perkara- perkara yang sudah dipersetujui.

Dalam kes PR, Majlis Syura Ulama bertindak memberi beberapa garis  panduan dalam tahaluf siyasi Pakatan Rakyat yang perlu diikuti oleh pemimpin dan anggota PAS iaitu

1.    Tahaluf mestilah dijadikan wasilah untuk menegakkan Islam, memperkukuhkan kedudukan umat Islam serta membuka ruang untuk perlaksanaan Islam.
2.    Tahaluf mestilah dipastikan dasar-dasar Islam dapat dipertahankan.
3.     Intima’ hendaklah diberikan kepada kepimpinan Parti Islam Se-Malaysia (PAS), bukan kepada Pakatan Tahaluf.
4.    Tahaluf hendaklah dijadikan ruang dan medan menyampaikan dakwah.
5.    Matlamat kemenangan Islam tidak boleh menghalalkan Tahaluf secara mutlak.
6.    Majlis Syura Ulamak mempunyai kuasa membuat keputusan mengenai kesinambungan tahaluf siyasi berdasarkan kepada maslahah dan mafsadah syar'iyyah dari semasa ke semasa.

Tahaluf Siyasi: Saranan Kepada PAS Pada Masa Depan.

Tahaluf Siyasi berpandukan ta’awun ala birri wa al takwa (kerjasama atas kebaikan dan takwa).  Di Malaysia, PAS menghadapi kesukaran untuk kerjasama atas dasar takwa kerana sifat Islam PAS yang mahu penubuhan Negara Islam dan pelaksanaan hukum Hudud. Realiti politik Malaysia berteraskan perkauman menyukar perpaduan kebangsaan dan pada masa yang sama  perpaduan kaum atau permuafakatan kaum itu sendiri adalah realiti politik Malaysia. Jika PAS mahu memerintah Malaysia, mereka perlu melakukan tahaluf siyasi dengan kaum lain. Pengalaman kerjasama dengan BN, DAP dan APU telah banyak memberi pengajaran kepada PAS. Sejauhmanakah tahaluf siyasi dapat bertahan?. Dan isu apa yang menyebabkan tahaluf siyasi gagal bertahan?.

PAS perlu terus melakukan hubungan atau kerjasama longgar dengan parti pembangkang dan kaum lain. Kerjasama pada masa akan datang tidaklah memerlukan PAS menganggotai pakatan pembangkang tetapi menjalinkan hubungan atas dasar dibawah;

1.    Kesepakatan bersama menumbangkan UMNO-BN yang banyak menyeleweng kuasa, rasuah, kronisme, nepotisme dan korup.
2.    Hubungan longgar dalam pilihanraya untuk mengelakkan pertembungan sesama pembangkang dengan formula satu lawan satu.
3.    Memberi peluang  kerusi majoriti dan bersedia melantik PAS menjadi Menteri Besar di Kelantan, Terengganu, Perlis, Pahang dan Kedah. Manakala DAP berkuasa di Pulau Pinang. PKR di Sabah, Selangor dan  Sarawak. Parti Amanah di Melaka, Johor, Negeri Sembilan dan Perak. 

Formula Selamatkan Malaysia ini berasaskan hubungan longgar Pakatan Harapan + PAS. Dalam pembahagian jawatan peringkat Kerajaan Persekutuan, PAS boleh membuat dua pilihan iaitu menduduki beberapa Kementerian atau berada di luar Kerajaan Persekutuan atau Pusat. Berada di luar kerajaan membolehkan PAS bertindak sebagai pembangkang dalam kerajaan dengan menubuhkan Jawatankuasa Hisbah Kebangsaan yang memantau integriti Kerajaan Pakatan Harapan.

Syarat utamanya ialah pengekalan jumlah kerusi yang sama dalam pilihanraya yang lepas. Kerusi yang ditandingi oleh PAS tidak boleh diganggu-gugat. PKR dan DAP perlu memberi kerusi mereka kepada Parti Amanah Nasional (AMANAH).

Di peringkat negeri, PAS perlu menunjukkan mereka adalah model kerajaan yang bakal menguasai negara dengan dasar PAS dan peribadi pemimpin yang berakhlak dan kompeten.


Kesimpulan

UMNO-BN perlu ditumbangkan untuk menyelamatkan negara. Rakyat tanpa mengira kaum, agama dan faham politik bakal menyikapi Asal Bukan UMNO dalam menyelamatkan negara ini daripada UMNO-BN. Isu rakyat menghasilkan kuasa rakyat yang merentasi politik kepartian.

PAS perlu bekerjasama dengan Pakatan Harapan untuk menumbangkan UMNO-BN demi rakyat dan negara.

PAS tak semestinya menguasai kerajaan tetapi bertindak sebuah badan berpengaruh yang menentukan kerajaan.





[1] Ucapan Dasar Muktamar Kelima.
[2] Utusan Malaysia, 24.9.2001
[3] Fadzil Mohd Noor tidak hadir kerana sakit.
[4] usul penarikkan diri diputuskan dengan 13 undi menyokong usul tersebut, 2 menentang dan 3 undi berkecuali
[5] Malaysiakini, 22.9.2001.
[6] Utusan Malaysia, 24.9.2001.
[7] Blog Lee Ban Chen, 27.8.2001.
[8] Malaysiakini, 10.10.2001.
[9] Ibid.
[10] Lebih jelas dalam buku Halim Mahmood, Gelora Politik Kelantan, KL: FS, tanpa tahun.
[11] Selepas PRU 1974, PAS mahu Wan Ismail dilantik sebagai Menteri Besar Kelantan manakala UMNO mahukan Muhammad Nasir. Bagi menjaga perpaduan Barisan Nasional, PAS mengalah kepada kehendak UMNO.
[12] Nasir mendakwa kemelut berlaku akibat kes pembalakan dan tanah.

No comments:

Nota Diri

Nama: Mohamad Ridhwan Bin Alias

Pendidikan

+ Mendapat pendidikan dalam Ijazah Sarjana Muda Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya (Major: Sejarah, Minor: Antropologi dan Sosiologi)

+ Diploma Pendidikan, MPTAA

Fokus Penulisan

+ Sejarah dan politik terutamanya di Malaysia, Timur Tengah, Gerakan Islam dan Gerakan Mahasiswa/Anak Muda.

Penafian

+ Penulis bukan ustaz
+ Penulis bukan pakar
+Segala pembacaan perlu dibuat lebih lanjut untuk pemurnian fakta.
+ Segala penulisan adalah pendapat peribadi.