Thursday, November 24, 2016

Manifesto Diri




Oleh Mohamad Ridhwan Bin Alias

Kita dimatangkan oleh pengalaman dan usia kita. Mazhab diri ialah ilmu, kasih sayang dan beradab.

1. Manusia dinilai secara individu bukannya secara institusi. Kebenaran dan kebaikan bergantung kepada diri seseorang. Kebenaran seseorang sangat berkaitan dengan taqwa-iman, ilmu dan adab-akhlak seseorang. Seseorang perlu membebaskan diri mereka daripada syirik luaran dan dalaman-hati, kemudian mengamalkan Islam secara keseluruhan berpandukan al Quran dan al sunnah.

Kebaikan pada diri manusia berdasarkan sikap dan tindakan semasa seseorang. Keburukan saat ini belum tentu buruk sepanjang masa. Kebaikan pada diri manusia terdapat pada seseorang yang berada dimana-mana jua organisasi/institusi dan kalangan bukan Islam.

Berada dalam organisasi Islam, belum tentu seseorang itu Islamik. Perlembagaan Organisasi Islam menjaga luaran diri agar mengawasi diri seseorang berada dalam kawalan syariat. Tetapi hakikat sebenar ialah iman kita. Iman/keyakinan kita perlu mengikuti syariat dengan sebenar-benarnya. Begitulah sebaliknya dalam organisasi bukan Islamik.


2. Tidak taksub kepada individu-tokoh dan institusi, kebenaran kepada sumber ilmu. Kehidupan bukan bergantung kepada seseorang individu dan sesebuah organisasi. Pegangan kita adalah mazhab ilmu iaitu berpegang kepada kebenaran sumber ilmu iaitu al Quran dan al Sunnah.

Para ulama hanya penyusun ilmu dan penyebar maklumat tentang Islam. Kita mesti menghormati dan beradab dengan mereka. Punbegitu kita tidak boleh taksub kepada mereka. Untuk mengelakkan ketaksuban, kita pelbagaikan para guru kita dan pandangan muktamad adalah al Quran dan al Sunnah bukannya kata-kata guru kita tanpa nas.

3. Menjauhi kritikan. Kritikan hanya kepada zahir kesalahan bukannya pada orangnya. Kita jangan mengkritik atau menolak kebaikan walaupun kebaikan itu dilakukan oleh musuh dan orang yang kita benci.

Walaupun kebaikan itu disyaki beragenda tertentu, kita serahkan muslihat itu kepada Allah sebab hati seseorang tidak dapat dibaca.

Seseorang yang dikritik pada hari ini belum tentu menjadi bertambah teruk. Hati manusia boleh berbolak balik imannya. Maka berdoalah untuk hidayah seseorang dan moga hati kita ditetapkan iman oleh Allah SWT.

4. Mementingkan praktikal ilmu bukan sekadar wacana dan diskusi ilmu sahaja. Usia 20-an cukup seronok dengan wacana dan perbincangan. Usia 30 an, wacana dan perbincangan menjadi hambar dan hampa tanpa amalan. Mencari ilmu untuk beramal dan bermanfaat pada diri dan masyarakat setempat. Jadikanlah mengingati MATI dan Hari Akhirat sebagai motivasi diri untuk beramal bukan setakat menjadi bijak dan genius sahaja.

5. Meraikan perbezaan dengan menghormati. Perbezaan perlu disikapi dalam konteks ilmu dan adab. Tanpa konteks ilmu dan adab, kita akan menjadi biadap.

Kita tidak mengira ketinggian ilmu dan pakaian ulama kamu, kami mengira adab-pengamalan Islami kamu. Adab-akhlak-pengamalan Islami pangkal hujung kepada ilmu.

6. Kebenaran mutlak adalah bersumberkan al Quran dan al Sunnah. Jangan hanya ikut ulama, jika tidak kita akan kecewa dengan kelemahan, kekurangan dan kesilapan ulama. Ikut al Quran dan al Sunnah teruskan kepada kitab al Quran, kitab hadith dan syarah para ulama muktabar. Kita mesti belajar ilmu agama Islam untuk mendekati diri kepada Allah bukannya mengharapkan pada ulama sahaja.

7. Islam perlu diterima secara syumul atau holistik. Kita menolak Islam diterima secara selektif atau sebahagian sahaja. Islam bukan sekadar kebudayaan tetapi addin satu peraturan kehidupan.

Islam itu mudah dan mengikut kemampuan tetapi tidak boleh bermudah-mudahan dengan Islam tanpa  mengetahui kaedah ilmu yang betul.
Pada akhir zaman, hukum perundangan Islam dan pemerintahan Islam menjadi titik noktah sama ada kita Islam secara keseluruhan atau Islam sebahagian sahaja.

8. ‘Aqal memerlukan syariat dan syariat berhajat kepada aqal tetapi aqal tidak boleh mengatasi syariat. Aqal dengan syariat dapat mengenal Allah. Aqal dengan syariat membolehkan manusia lebih berdisiplin.

9. Menerima ideologi, pemikiran dan kebudayaan bukan Islam bagaikan menolak ajaran Islam. Mencampur aduk Islam dengan ideologi, pemikiran dan kebudayaan bukan Islam boleh menenggelamkan tujuan Islam ke dalam lumpur kehendak akal-nafsu manusia yang batil.

Islam perlu diterima mengikut kehendak al Quran dan al Sunnah bukannya kehendak akal-nafsu manusia.

Islam perlu dinilai berdasarkan kacamata al Quran dan al Sunnah bukannya pandangan akal-nafsu manusia semata-mata.

10. Pada akhir zaman, perbalahan sesama Islam berleluasa. Ulama bertembung sesama ulama. Orang awam menjadi keliru pihak mana yang lebih benar.

Orang awam kena pertingkat iman dan ilmu Islam mereka dalam menghadapi zaman akhir zaman. Pegang pandangan al Quran dan al Sunnah dengan sebenar-benarnya dengan ilmu yang dipelajari, dengan akhlak terpuji dan dengan tujuan yang benar bukan batil.

Jangan terjerumus dalam pihak yang dikatakan kelompok perubahan yang tersilau dengan pemikiran orientalis dan kelompok agama yang tersilau dengan material dan kekuasaan politik.

Jaga iman dan akhlak dengan ilmu yang benar.

Moga kedaifan diri dalam ilmu dan amal, kemampuan dan iman, akhlak dan istiqamah dapat diislahkan pada akhir hidup kita.

No comments:

Sebab-Akibat

Sebab-akibat antara elemen penting dalam ilmu sejarah. Pemikiran sebab-akibat ini penting bagi mengelakkan kita membuat ramalan dan andaian ...