Thursday, November 10, 2016

AKP dan UMNO: Dari Taqiyah Politik ke Puncak Wawasan




Oleh Lebai Surau Biru

“Bertaklid buta itu dikeji oleh agama dan oleh sekalian orang berakal kerana banyak mudaratnya dan kuat kemungkinannya boleh membawa tersimpang kepada jalan yang tiada betul dengan tiada kita perasan”- Pendeta Za’ba

"Jika dulu kita mempunyai mentor, belum tentu kita ikut jejak mentor kita. Mentor hanya mendidik perihal jalan perjuangan, kitalah yang memilih jalan kita sendiri" Hoca Musa Ansari

“Perjuangan kita bukan perjuangan berdasarkan pemimpin tertentu. Perjuangan kita berdalil sahih dan benar serta mahu mencapai kebenaran” – Hoca Musa Ansari


Turki ingin menjadi negara ulung di dunia pada tahun 2023 melalui Turki Baru manakala Malaysia mahu mencapai Wawasan 2020 sebagai negara maju pada tahun 2020. Kedua-dua wawasan ini digagaskan oleh dua tokoh politik umat Islam yang terunggul iaitu Recep Tayyip Erdogan dan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Kedua-dua tokoh ini dibantu oleh pembantu yang unggul iaitu Dato Seri Anwar Ibrahim membantu Mahathir melalui jawatan Timbalan Perdana Menteri, Menteri Pendidikan dan Menteri Kewangan manakala Erdogan dibantu oleh Abdullah Gul melalui  jawatan Menteri Luar.

Turki mengamalkan sekularisme yang totok dan ektrem manakala Malaysia mengamalkan sekularisme yang sederhana dimana agama diterima dalam pemerintahan.

Suasana dan sistem politik di Turki dengan Malaysia sangat berbeza. Oleh itu, pendekatan politik gerakan Islam dan elemen Islam turut berbeza berdasarkan waqi’ masing-masing.


Persoalan Asasi

Dalam membicarakan Islam dan politik, Islam dan pemerintahan, Islam dan perundangan, kita perlu kembali kepada persoalan asasi perjuangan Islam iaitu

1.                  Islam adalah Addin (cara hidup) bukan sekadar agama. Disinilah letaknya aqidah kita dalam setiap perkara termasuk pemikiran dan tindakan kita
2.                  Islam adalah Syumul (Keseluruhan) mencakupi keseluruhan kehidupan manusia secara kebersamaan dan holistik sama ada melalui individu, dalam keluarga, masyarakat dan negara.
3.                  Islam adalah rahmat kepada alam dan manusia.
4.                  Islam adalah kekuatan dalil , hujah dan sumber hujah. Dalil dan hujah Islam bersumber al Quran dan al Sunnah diikuti dengan ijtihad ulama yang muktabar.
5.                  Islam adalah kesederhanaan (wasatiyyah) bukannya kezaliman dan penindasan
6.                  Islam adalah mudah sesuai mengikut kemampuan seseorang manusia. Islam mensejahterakan rakyat dan negara tanpa mengira darjat, agama dan kaum.
7.                  Islam adalah suri teladan daripada Rasulullah SAW. Tiada taksub kepada para ulama atau sarjana Islam terutamanya yang masih hidup kerana hati manusia sentiasa berbolak balik.
8.                  Islam adalah Islah. Membaiki diri, keluarga, masyarakat dan negara ke arah lebih baik dan beraqidah.
9.                  Islam adalah keadilan dan samarata serta sama taraf. Tiada kasta dalam Islam.
10.              Islam adalah relevan sepanjang zaman dan sepanjang masa serta dimana sahaja.
11.              Islam bernegara dengan bersumberkan kemahuan rakyat. Kedaulatan Tuhan berdasarkan ketuanan Rakyat. Oleh itu, kehendak majoriti rakyat, sejarah dan situasi semasa sangat penting dalam kewujudan sebuah Negara Islam.

Persoalan asasi inilah yang perlu diterapkan dalam pemikiran para pendokong Islam agar mereka tidak terlarut dalam khayali pemikiran ciptaan para pemikir Barat dan Timur yang bertentangan dengan Islam.


Persoalan Pendekatan

Selain persoalan asasi, pendokong Islam juga dipengaruhi oleh persoalan pendekatan. Persoalan pendekatan inilah yang seringkali menjadi wacana dalam kalangan pendokong Islam. Dalam persoalan wacana, kita akui bahawa realiti setempat, realiti semasa dan situasi ketika itu menjadi pertimbangan utama dalam bertindak. Walaubagaimanapun, paling penting kita kembalilah merujuk kepada sumber Islam iaitu al Quran dan al Sunnah sebelum berijtihad dalam memilih pendekatan yang sesuai.

Persoalan pendekatan banyak dipengaruhi oleh elemen di bawah

1.      Bahasa Politik – Alasannya berhujah berdasarkan tahap pemikiran audien. Di Kota Bharu berdalilkan al Quran dan di negara Barat atau Kuala Lumpur dengan hujah pemikir Barat atau bershakespeare.
2.      Masyarakat Bukan Islam
3.      Masyarakat Moden dan berpendidikan
4.      Hubungan Luar Negara
5.      Prinsip dan nilai bukannya bentuk
6.      Terpengaruh dengan wacana pemikiran pemikir Barat dan Timur.

Persoalan pendekatan banyak kali menjerumuskan para pendokong Islam ke lembah kekeliruan, kejahilan, mengikut nafsu, menguntungkan musuh Islam dan ada yang terherot aqidah. Justeru, dalam memilih pendekatan semestinya persoalan asasi perlu menjadi pertimbangan utama agar pilihan kita itu bukannya hanya untuk kemenangan dunia tetapi turut mendapat keredhaan Allah SWT.



Politik Pembangunan

Asalkan Bukan UMNO (ABU) telah menyatukan semua pihak pembangkang dan NGO dalam usaha menumbangkan UMNO-BN. Sebenarnya, ia sangat berjaya dalam membawa kemenangan Pakatan Rakyat pada pilihanraya tahun 2013. Sebelum zaman internet, UMNO-BN berkuasa tanpa dicabar. Apabila berlaku kemajuan dalam bidang komunikasi, teknologi maklumat dan bertambah kadar rakyat berpendidikan, status quo pemerintah tergugat kerana rakyat boleh menilai prestasi rakyat dan tahu maklumat dengan pantas.

Rakyat pada hari ini sudah mampu menyokong dan mengundi tanpa melihat bendera parti dan slogan apa yang sesebuah parti laungkan jika mereka mahu dan mampu mewujudkan good governance, ekonomi yang kukuh dan pembahagian kekayaan dengan adil, tiada rasuah dan penyelewengan kuasa.

Perkara di atas telah dilakukan oleh UMNO-Barisan Nasional zaman Tun Mahathir Mohamad yang secara umumnya mempunyai pengurusan yang baik dari segi ekonomi yang begitu kukuh menyebabkan semua kaum di Malaysia menyokong UMNO-BN. Bahkan Tun Mahathir dengan berani dan menyakinkan telah mengisytiharkan Malaysia sebuah negara Islam dalam Perhimpunan Agung Parti GERAKAN. Mahathir pada awal pemerintahannya memperkenalkan Budaya Bersih, Cekap dan Amanah dan Kepimpinan Melalui Tauldan yang dilihat memenuhi istilah good governance.

Penulis memang setuju bahawa kaum lain akan menyokong sebuah parti yang menganjurkan good governance, ekonomi yang kukuh, pembahagian kekayaan  dengan adil, tiada penyelewengan, tiada korupsi, kronisme dan nepotisme (KKN) dan tiada peningkatan kes jenayah daripada ideologi panutan sesebuah parti.

Sebenarnya, perkara di atas boleh ditemui dimana-mana sahaja pemerintah yang mempunyai berpandangan jauh, kualiti kerja yang tinggi, akhlak yang baik, pro rakyat, sederhana, berdisiplin dan tegas. Jose Mujica dari segi kesederhanaan mengatasi hampir semua pemimpin umat Islam. Kerajaan di Barat banyak mempunyai urus tadbir yang baik, integriti yang tinggi dan tahap hak asasi manusia yang terbaik berbanding negara umat Islam.

Dalam politik Islam, ia bukan sekadar kemenangan, kualiti pemimpin dan prestasi kerajaan atau parti, ia melibatkan  aqidah diikuti dengan Islamisasi pentadbiran dan pemerintahan, dan menegakkan Islam mentadbir segala urusan pemerintahan negara. Ia boleh disifatkan sebagai Islamic Governance atau Pemerintahan secara Islami.

Di Kelantan, Kerajaan PAS mempunyai Dasar Membangun Bersama Islam berpaksikan ubudiah, mas’uliah dan itqan (UMI). PAS tidak terpengaruh dengan cara AKP yang bersifat ‘halimunan’ dalam obejektif politik. Suasana Malaysia membolehkan PAS menyatakan secara terang dan jelas matlamat politik Islam mereka.  Secara demokrasi, rakyat telah memilih PAS untuk memerintah secara Islam. Atas sumber kekuasaan rakyat ini, Islam perlu ditegakkan dalam pemerintahan Kelantan. PAS telah menanam Enakmen Syariah ke dalam perundangan negeri Kelantan. Rakyat juga diberi penerangan dan pendidikan serta kempen agar Islam boleh dilaksanakan.

Islam dan AKP

Ada yang berpendapat AKP telah berjaya melaksanakan bahagian besar daripada syariah, di saat yang lain masih membahaskan perkara-perkara remeh. Ia sepatutnya menjadi teladan untuk gerakan islam dalam arena siyasah. Apakah perkara yang dimaksudkan remeh? adakah hukum hudud? adakah konsep negara Islam?.

Ya, kita perlu membawa Islam dalam konteks kontemporari yang sesuai dengan situasi dan zaman. Kita perlu membawa Islam sebagai penyelesai masalah manusia; hak asasi, kebebasan bersuara; masyarakat sivil dan lain-lain.

Kita gembira atas kemenangan AKP kerana kemenangan AKP sebuah parti beraspirasi Islam, pemimpin yang mempunyai fikrah Islam dan sebuah parti yang mengekang ketotokan sekularisme di Turki. Punbegitu AKP bukanlah sempurna dalam konteks addin dan kesyumulan Islam. Mereka digerakkan oleh kelompok pemimpin yang mempunyai aspirasi Islam dalam sebuah parti beraspirasi Islam yang tidak berpegang dasar Islam. Aspirasi Islam dengan maksud berpegang kepada pengisian prinsip dan nilai Islam bukannya fokus kepada bentuk Islam.

Dalam konteks negara Turki, pengalaman membuktikan bahawa kelompok Islam memerlukan pendekatan sebagaimana AKP dalam menerapkan Islam dalam pemerintahan. Parti Refah pernah menguasai Turki, Erbakan seorang yang tegar dengan keIslaman yang syumul dan addin telah dijatuhkan melalui kudeta tentera. Tentera Turki, birokrat dan badan kehakiman adalah pengawal sekularisme totok Artturk. Justeru, pendekatan AKP adalah tindakan yang sesuai dalam konteks Turki.

Janggal kita nak banding antara Turki dengan Malaysia. Kebangkitan Islam di Malaysia telah menular pada tahun 1980an lagi. Kebangkitan kepimpinan ulama dalam PAS, pelantikan Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri dan kemasukkan Anwar Ibrahim ke dalam UMNO telah berjaya melakukan peningkatan dalam pemahaman dan pengamalan Islam dalam pemerintahan negara, ekonomi dan sosial. Kita boleh lihat aliran pemakaian semakin menutup aurat pada tahun 1980an hingga hujung tahun 1990an. Begitu juga kesukaan ibubapa menghantar anak-anak mereka ke sekolah aliran agama.

Perjuangan ala AKP tidak sesuai di Malaysia kerana pemahaman dan pengamalan begitu sudah lama berlaku di Malaysia. Ia telah dilakukan oleh UMNO dan desakan PAS. Kemuncaknya, Mahathir Mohamad telah mengisytiharkan Malaysia sebuah negara Islam dalam Perhimpunan Agung Parti GERAKAN. Pengisytiharan ini mendesakkan PAS mengemukakan Dokumen Negara Islam. Kemudian Abdullah Badawi cuba mengendurkan tekanan dengan memperkenalkan gagasan Islam Hadhari. Perjuangan dan perkembangan Islam di Malaysia adalah persaingan siapa lebih Islam. Oleh itu, Islam di Malaysia sudah sampai masanya ke fasa merealisasikan bentuk Islam melalui pemerintahan, ekonomi dan sosial. Dalam bidang pemerintahan dan sosial, hukum hudud sudah diperkenalkan di Malaysia.

AKP dan UMNO: Sama Tapi Tak Serupa.

UMNO mengalami kemantapan Islam semasa zaman Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Dato Seri Anwar Ibrahim. Apabila Mahathir menjadi Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim berjaya dipujuk untuk menyertai kerajaan dan UMNO. Mahathir telah memperkenalkan Dasar Penerapan Nilai-nilai Islam dalam pentadbiran negara. Anwar Ibrahim bukannya masuk UMNO dan kerajaan dengan tangan kosong. Beliau membawa bersamanya ABIM, rakan, sarjana, ulama, gerakan Islam antarabangsa dan idea-idea pro Islam.

UMNO dan AKP memang berlainan pemikiran, aspirasi, pendekatan, dan situasi. Pun begitu, UMNO mempunyai persamaan dengan AKP terutamanya ketika UMNO di bawah  Mahathir dan Anwar  Ibrahim sebelum trajedi tahun 1998 dimana Anwar Ibrahim telah dipecat daripada UMNO dan kerajaan.

UMNO dan AKP memperkenalkan syiar bukan syariat Islam dalam membangunkan Islam di tempat masing-masing. UMNO telah mewujudkan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), ISTAC, UIA, Bank Islam dan pelbagai lagi. AKP pula berjaya melonggarkan perkara-perkara yang diharamkan oleh rejim sekular seperti kemunculan kembali madrasah Imam Khatib, pemakaian tudung dan pelbagai lagi.

UMNO dan AKP mengutamakan isi, nilai dan prinsip Islam daripada bentuk Islam. Perkara selari dengan kehendak pemikiran seperti pasca Islamisme. Kata Mahathir “ ..malangnya, ada orang yang amat mengutamakan bentuk dan tidak begitu peduli tentang keadilan. Asalkan bentuknya dicapai maka penekanan Islam terhadap hal keadilan langsung tidak diberikan perhatian”. [i]Suatu kenyataan yang benar tetapi pengamalan dan tujuan bathil. Kenyataan seumpama ini dilihat bermaqasid syariah tetapi tujuan bathil kerana tidak menegakkan hukum Allah dengan banyak alasan. Islam datang seiring isi dan bentuknya.

Anwar Ibrahim banyak dipengaruhi oleh pemikiran Syed Muhammad Naquib al Attas (kemudian ISTAC) dan IIIT (kenali dengan pendekatan yang digelar Islam Amerika atau Islam tanpa syariat) serta sarjana Barat. Kerajaan (dan UMNO) ketika Anwar Ibrahim menjadi Menteri Belia dan Sukan, Menteri Pendidikan, Menteri Kewangan dan Timbalan Perdana Menteri banyak melakukan Islamisasi dalam kerajaan dan mengubah pemikiran dan pendekatan kerajaan. Syed Muhammad Naquib al Attas telah bertanggungjawab “memberi aspirasi kepada Anwar Ibrahim dan ABIM lebih mementingkan pendidikan daripada politik, penciptaan masyarakat daripada negara atau undang-undang Islam.”[ii] ABIM ketika Anwar Ibrahim dalam UMNO dan kerajaan mendapat signifikan baru politik Islam dengan gagasan partner in nation building dan pendekatan politik Manhaj Malizie untuk menyaingi gerakan Islam yang agak keras.

Anwar Ibrahim dalam kerajaan dan UMNO telah mengemukakan banyak istilah dan pemikiran Islam dalam ucapan beliau.[iii] Beliau mempunyai sahabat dalam kalangan pimpinan gerakan Islam seluruh dunia, mempunyai hubungan baik dengan ulama dan sarjana Islam di dalam dan di luar negara. Antara gagasan pemikiran Anwar Ibrahim ialah gagasan Masyarakat Madani dan Kebangkitan Asia atau Nahdah Asia.

Legasi pengembangan Islam dalam pemerintahan dan pentadbiran negara Malaysia diteruskan oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi dengan gagasan Islam Hadhari. Islam Hadhari dilihat sebagai anti tesis kepada Islam versi keras dan radikal. Islam Hadhari adalah manhaj. Menurut Dr Syed Ali Tawfik al Attas, Islam Hadhari satu frasa yang dicadangkan ditakrifkan sebagai pemahaman mengenai zaman kontemporari mengikut pandangan Islam. Hasilnya ialah suatu bentuk Islamisasi.[iv] Terdapat 10 prinsip Islam hadhari yang bertujuan mengadakan ruang bersama untuk rakyat Malaysia dengan asas prinsip toleransi, keadilan dan ekuiti. Tetapi sayang, pegawai kerajaan dan pengikut tidak memahami hasrat beliau agar mengutamakan pengisian bukannya fokus kepada bentuk.[v] Inilah yang membawa kepada kegagalan gagasan ini.


UMNO dan AKP dalam kejayaan pembangunan dan ekonomi negara. UMNO semasa gandingan Mahathir-Anwar Ibrahim berada pada tahap terbaik. Pembangunan dan ekonomi Malaysia meningkat sehingga  boleh dianggap Harimau Asia. Penghujung 1996, KDNK tumbuh pada tahap hampir 8.5 peratus setahun selama 10 tahun berturut-turut. Menjelang tahun 1997, jumlah dagangan luar mencecah AS$157 billion menjadikan Malaysia negara pengekspor ke 18 terbesar di dunia. Kejayaan Erdogan dalam ekonomi dan pembangunan cukup banyak. Antaranya, gaji dan upah meningkat mencapai 300%. Jumlah penggangur menurun dari 38% menjadi 2%. Erdogan menutupi defisit anggaran yang mencapai 47 million dolar.


UMNO dan AKP bersifat pragmatisme. 'Pragmatisme ' bererti fahaman pragmatik atau pengamalan sesuatu praktik bagi faedah untuk keadaan semasa. Pragmatisme adalah aliran pemikiran yang memandang bahawa benar tidaknya suatu ucapan, dalil, atau teori, semata-mata bergantung kepada berfaedah atau tidaknya ucapan, dalil, atau teori tersebut bagi manusia untuk bertindak dalam kehidupannya. Dengan kata lain, pragmatisme tidak berpegang kepada dalil dan hujah apatah lagi mengambil berat tentang kebenaran dan kesahihan sumber. Bermulanya perjuangan AKP melalui sifat pragmatik apabila Erdogan, Abdullah Gul dan sebahagian anggota Parti Refah telah keluar membentuk AKP dan meninggalkan pemikiran, pendekatan dan ajaran murabbi-mentor mereka, Necmettin Erbakan. Perkara yang sama berlaku kepada Anwar Ibrahim mengambil sifat pragmatik meninggalkan gerakan Islam, ABIM (dan membawa ABIM menyokong UMNO) dan PAS (ditawar untuk mengetuai PAS) sehingga menyebabkan perpecahan yang besar dalam gerakan Islam di Malaysia.

UMNO dan AKP ditakluki oleh nasionalisme. Mengikut K.R. Minogue, nasionalisme adalah satu aliran idea ataupun satu bentuk tindakan sendiri yang mengandungi sejenis perasaan politik yang tertentu dan boleh dialirkan daripada segolongan elit kepada orang kebanyakkan. Hans Kohn telah mentakrifkan nasionalisme sebagai satu keadaan fikiran yang menyerap masuk ke dalam jiwa sebahagian besar rakyat dan mengiktiraf negara bangsa sebagai bentuk organisasi politik yang unggul dan bangsa sebagai punca bagi segala kehidupan budaya yang membina dan punca kesejahteraan ekonomi. Menurutnya lagi, nasionalisme merupakan satu tenaga idea yang memenuhi hati dan otak seseorang dengan pemikiran dan semangat yang baru dan mendorong untuk melahirkan kesedaran dalam bentuk tindakan-tindakan yang tersusun.

Orang Turki mempunyai sifat nasionalis yang tinggi. AKP mengeksplotasikan nasionalisme untuk kepentingan politik Islam. Tanpa nama dan simbol Islam, nasionalisme digerakkan untuk penyatuan negara dan perjuangan bangsa Turki. Umpamanya memainkan gagasan Pan Turki dengan menjalinkan negara-negara yang mempunyai hubungan dengan bangsa Turki meliputi dari Turki ke  Barat China (dari Barat ke Timur) dan dari Selatan Rusia, Balkan menganjur ke sempadan Afghanistan. UMNO merupakan parti nasionalis orang Melayu. Sentimen perkauman seringkali digunakan untuk menyatukan kaum Melayu untuk memenangi pilihanraya.

Setelah beberapa hujah, jelas AKP dan UMNO (terutama ketika Anwar Ibrahim bersama UMNO) mempunya banyak persamaan. Tanpa menafikan bahawa ideologi, pendekatan, pemikiran dan aspirasi politikus AKP dan UMNO berbeza, namun boleh juga dirumuskan bahawa AKP menghampiri UMNO zaman Anwar Ibrahim. Tidak janggal ada pendapat mengatakan AKP adalah UMNO di Turki!.


Taqiyah dan Tauriah Dalam Politik

Taqiyah adalah sikap yang ditunjukkan oleh seseorang tetapi berbeza dengan apa yang disembunyikan dalam hati dengan cara berselindung dan menyesuaikan diri dengan persekitaran supaya dapat melindungi jiwa, harta dan kehormatan. Konsep taqiyah popular dalam kalangan pengamal mazhab syiah.

Tauriah pula suka tidak bercakap benar. Suatu pencakapan yang beralasan dan berbelit-belit dalam menyembunyikan kebenaran. Tauriah biasanya diamalkan oleh kelompok yang menggunakan pendekatan penyusupan dalam sesebuah organisasi.

Ada tiga jenis taqiyah politik iaitu

1)      Secara individu. Kemasukkan secara individu memudahkan pemimpin Islam tersebut larut dalam organisasi tidak berwajah Islam tersebut. Ada yang dah mengenepikan imej Islam demi keterbukaan dan tidak jumud. Antara perbuatan yang dilakukan ialah bersalam dengan perempuan, bersukan dengan seluar pendek dan berkawan dengan tauke-tauke termasuk tauke judi.
2)      Secara berkumpulan memasuki organisasi tak berwajah Islam. Mereka cuba menguasai organisasi tersebut. Mereka telah mewujudkan fenomena jemaah dalam jemaah. Fenomena ini boleh menjejaskan kestabilan organisasi. Kebanyakan mereka disingkirkan apabila organisasi tersebut mengetahui tujuan mereka.
3)      Menubuhkan kumpulan sendiri yang berimej sekular dan tidak mengunakan simbol Islam. Pendekatan AKP.


Anwar Ibrahim dikatakan antara tokoh Islam yang terlibat dengan taqiyah secara individu setelah masuk ke dalam UMNO. Orang tua seringkali membualkan bahawa Anwar dihantar ke dalam UMNO dengan tujuan suatu hari nanti bergabung dengan PAS. Kemasukkan Anwar Ibrahim ke dalam UMNO mencetuskan huru-hara dalam gerakan Islam di Malaysia. Imej dan pemikiran Anwar Ibrahim dengan sokongan Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia sangat mengambil berat tentang pengislahan Islam di Malaysia. Mahathir telah mewujudkan Dasar Penerapan Islam. Anwar Ibrahim ada tokoh yang mengerakkan penubuhan UIA dan Bank Islam.


JIM dan IKRAM pula menjalankan penyusupan anggota mereka ke dalam parti politik dan gerakan masyarakat sivil. Mereka lebih selesa menggunakan istilah ‘melepaskan’. Ramai pemimpin JIM-IKRAM dihantar ke dalam Parti Keadilan Nasional-Parti Keadilan Rakyat sampai ke hari ini. JIM-IKRAM juga melepaskan pemimpin mereka berjuang dan aktif dalam gerakan masyarakat sivil seperti MAFREL, BERSIH dan Negara-Ku.

Jenis taqiyah ketiga digunakan oleh AKP setelah mengkaji bagaimana gerakan Islam Turki gagal dalam pemerintahan dan politik Turki. ‘Ideologi’ Islam dilihat mengancam sekularisme Turki. Dalam menghilangkan ancaman terhadap gerakan Islam, Erdogan ketika itu pemimpin pemuda parti Refah bertindak berhijrah menubuhkan parti baru iaitu AKP yang bersifat sekular dan membuang ideologi Islam yang dianuti mereka dalam medan terbuka. Mereka hanya menjadi aspirasi Islam dalam perjuangan individu dan secara dalaman didalam pemerintahan negara Turki dan dalaman AKP.

Tauriah politik berlaku apabila berlaku penyusupan sebuah organisasi ke dalam sesebuah organisasi yang lain. Tauriah digunakan untuk mencipta alasan agar agenda tersembunyi. Pencakapan mereka betul tetapi tidak betul dimana mereka juga memutar-belitkan fakta dengan pelbagai alasan yang betul. ‘Cara betul tetapi matlamatnya batil’ itu ungkapan mudah dalam mengambarkan tauriah politik.

Pendekatan taqiyah, tauriah dan penyusupan tidak sesuai di Malaysia. Suasana Malaysia memerlukan kepercayaan dan kejujuran serta kejelasan dalam menyatakan matlamat perjuangan sesebuah parti. Taqiyah, tauriah dan penyusupan kebanyakan diakhiri dengan kegagalan.

Islam dan Kediktatoran

Islam melarang kediktatoran dan penindasan serta kezaliman. Islam juga melarang pemimpin dan umat Islam  bersikap monopoli kuasa. Islam tidak mengajar pemimpin Islam menjadi diktator.

Masalah utama seorang manusia ialah nafsu dan iman kita boleh berbolak-balik. Keselesaan dan kemewahan serta terlalu lama memerintah menyebabkan penyelewengan kuasa, korupsi, kronisme dan nepotisme muncul dalam kerajaan. Ini diikuti apabila anak-pinak sudah membesar menceburi kehidupan sehingga kepentingan peribadi mengatasi kepentingan ummah.

Perkara ini akan membawa negara ke arah kediktatoran. Alangkah malang jika diktator itu merupakan parti beraspirasikan Islam. Dan teramat malang jika parti itu  mempunyai dasar Islam berdasarkan al Quran, al Sunnah dan ijtihad ulama.

Kita boleh melakukan beberapa usaha untuk menghalang penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa dalam mengelak kediktatoran. Antaranya

1.      Menghadkan tempoh Menteri Besar atau Perdana Menteri selama 2 penggal atau 10 tahun. Bekas PM akan dilantik sebagai Menteri Mentor atau Menteri Kanan bertindak sebagai penasihat dalam kabinet.
2.      EXCO dan Menteri hanya dibenar memegang jawatan selama dua atau tiga penggal.
3.      Setiap ahli parlimen atau ADUN hanya 3 penggal atau 15 tahun sahaja pada setiap kawasan.
4.      Pemimpin parti yang dilantik ke dalam jawatan kerajaan umpamanya jawatan Perdana Menteri perlu meletakkan jawatan dalam parti.
5.      Budaya politik monopoli perlu diubah dalam kalangan rakyat. Jangan sampai sesebuah parti terlalu berkuasa dan terlalu lama memerintah.
6.      Penubuhan Suruhanjaya Hisbah yang dianggotai oleh wakil Majlis Raja-Raja, Mufti dan bekas pegawai kerajaan.
7.      Pengisytiharan harta
8.      Tender terbuka
9.      Mahkamah Rakyat dimana rakyat boleh mengemukakan aduan dan akan diselesaikan oleh Mahkamah Rakyat.
10.  Rakyat mesti bijak memilih parti dan pemimpin yang berintegriti.


Solusi

AKP dan UMNO adalah sama tak serupa. Sebahagian besar wajah AKP bersamaan dengan wajah UMNO zaman Anwar Ibrahim.

Taqiyah, tauriah dan penyusupan suatu kaedah yang perlu ditolak dalam politik Islam di malaysia. Kejujuran, kepercayaan dan kejelasan  itu penting dalam politik Malaysia.

Kita mengalami zaman yang komitmen Islam semakin berkurangan. Perjuangan Islam memerlukan kesabaran dan semangat yang tinggi.

Politik pada zaman ini tidak mementingkan ideologi dan Islam. Mereka mementingkan kekenyangan perut, urus tadbir yang baik, amanah, kadar jenayah yang kurang, peluang pekerjaan yang banyak, ekonomi yang stabil dan lain-lain. Politik Islam berasaskan aqidah dan akhlak serta muamalat Islam semakin ditinggalkan.

Gerakan Islam memerlukan pembaharuan dalam pendekatan untuk terus relevan dalam perjuangan politik masa kini.





[i] Mahathir Mohamad, ‘Undang-undang Islam Dalam Dunia Semasa’ dlm. Ensiklopedia Dr Mahathir Mohamad Jilid 1, KL:Dar al Kitab, 2005.
[ii] Wan Mohd Nor Wan Daud, Falsafah dan Amalan Pendidikan Syed Muhammad Naquib al Attas, KL:UM, 2013.
[iii]  Antara penulis ucapan Anwar Ibrahim ialah Dr Munawar Ahmad Anes, intelektual muslim berasal daripada Pakistan. Dalam penulisan dan ucapan Anwar Ibrahim, kita dapat membaca lenggoknya berdasarkan siapa yang memimpin Institut Kajian Dasar (IKD) badan pemikir Anwar Ibrahim. Antaranya  pernh memimpin IKD ialah Dato Kamarudin Jaafar, Dr Siddiq Fadzil dan Khalid Jaafar. Ia hanya tanggapan penulis sahaja.
[iv] Wan Mohd Nor Wan Daud, Masyarakat Islam Hadhari, KL: DBP, 2006.
[v] Bridget Welsh, Awakening: The Abdullah Badawi Years in Malaysia (terj), PJ: SIRD, 2014.

No comments:

Sebab-Akibat

Sebab-akibat antara elemen penting dalam ilmu sejarah. Pemikiran sebab-akibat ini penting bagi mengelakkan kita membuat ramalan dan andaian ...