Friday, May 22, 2015

Mencari Presiden Baru PAS Sesi 2015-2017: Antara TGHH dengan TGAA.



PAS sebuah parti yang kaya dengan ratusan atau  ribuan sarjana-intelek-ulama didalamnya. Oleh sebab itu, PAS mempunyai banyak pilihan untuk mengantikan kepimpinan sedia ada dengan pemimpin yang baru jika mereka menghendakinya. Jawatan Presiden PAS bukanlah milik mutlak pemimpin tertentu atau kelompok tertentu. Justeru, kebijaksanaan para muktamirin berhak memilih sesiapa jua tokoh pemimpin yang diyakini layak untuk mengemudi PAS pada penggal seterusnya.

Secara peribadi, penulis lebih selesa jika PAS mengunakan ‘Syura Meletakkan kedudukan/posisi  seseorang pemimpin’ daripada ruang demokrasi-pertandingan. Kelemahan sistem demokrasi ialah ia membuka ruang perpecahan yang boleh meranapkan sesebuah jemaah Islam.  Pertandingan kebanyakannya menghasilkan dendam berpanjangan, gurisan hati yang cukup dalam dan mudah berlakukan krisis dalaman serta perpecahan sebuah organisasi. Cuba lihat bagaimana kes mencabar Presiden bakal berakhir dengan peristiwa yang sangat mendukacitakan. Umpamanya kes Tengku Razeligh Hamzah yang mencabar Tun Mahathir pada tahun 1987 sehingga menyebabkan UMNO berpecah kepada Parti Semangat 46.

Mencabar Presiden sedia ada mengambarkan Presiden tersebut lemah, tidak berguna dan perlu ditumbangkan serta tidak mampu menjadi faktor ‘wow’ dan faktor penyatu dalam organisasi.

PAS mempunyai perlembagaan yang berasaskan syarak yang ditunjangi oleh al Quran dan hadith. ‘Syura Meletak’ memberi ruang perundingan dalam menurunkan Presiden yang sedia ada dengan syarat penurunan itu menurut  hujah syarak. Pemimpin yang lemah perlu dibantu manakala pemimpin yang zalim perlu ditumbangkan. Adalah wajar kita melihat siapa pemimpin tersebut, lemah atau zalim.

Jika gagal melaksanakan syura meletak, PAS sebagai jemaah Islam wajar malu dengan jemaah Islam yang lain. Penulis  masih tertanya-tanya, bilakah Presiden JIM/IKRAM dicabar?. Adakah Dr Zawawi Ali atau Dr Alias Othman pernah mencabar Dr Shaikh Parid atau YB Ir Saari Sungip?. Adakah Dr Siddiq Fadzil pernah dicabar kedudukannya dalam ABIM dan WADAH?. Jarang sekali penulis mendengar atau membaca presiden jemaah Islam yang lain dicabar oleh anggota atau ahli mereka.

Saya menyarankan agar ‘Syura Meletak’ diperkuatkan dengan;

+ Memperkasakan Majlis Syura Ulama(MSU), dimana MSU berperanan memantau dan menapis perjalanan organisasi dan setiap mesyuarat AJK PAS Pusat setiap 4 bulan. Jika keputusannya melanggar syarak atau tidak relevan bagi jemaah, MSU akan melaporkan kepada Muktamar untuk diambil tindakan bersetuju atau tidak bersetuju. Anggota MSU tidak boleh memegang jawatan eksekutif dalam PAS. Selain itu, MSU perlu menghantar anggotanya ke negeri-negeri bagi lawatan muhibbah.


+ Mewujudkan Dewan Syura Nasional yang dianggotai oleh anggota senior PAS. DSN akan melantik ahlinya jika ada yang meninggal dunia. Keahlian tak mengira latarbelakang sama ada ulama atau tidak, Cuma ahlinya perlu mempunyai kepakaran dalam ilmu. Jika politikus dalam jemaah, usianya perlu melebihi 50 tahun. Usia keahlian bagi pintu keilmuan adalah usia 40 tahun ke atas. Jumlah keahlian 60% ulama manakala 20% kelompok intelektual manakala 20
% dalam kalangan anggota politik senior. Tugas mereka memilih anggota MSU dan mereka juga akan bersidang selama 3 hari setiap 4 bulan bagi memuhasabah PAS mengikuti keputusan muktamar atau MSU.

+ Komunikasi  antara pimpinan dengan perwakilan melalui 2 kali pertemuan iaitu muktamar  dan Konvensyen Nasional setiap tahun. Konvesyen Nasional lebih kepada pencambahan pendapat dengan pembentangan kertas kerja.

+ Mengehadkan tempoh perkhidmatan Presiden hanya 3 penggal atau lebih kurang 10 tahun sahaja. Jika mahu bertanding semula, perlu menunggu 2 penggal, baru boleh bertanding semula. Pengehadan ini penting bagi mengelakkan kelahiran diktator dalam organisasi.

+ memberi peluang kepada semua anggota PAS bagi memilih para pemimpin PAS bukannya diwakilkan lagi kepada perwakilan. Konsep 1 ahli, 1 undi.

Pemilihan Mencabar

Dalam sejarah PAS, hanya 3 kali berlakunya pertembungan antara calon Presiden atau YDP dengan pegangan jawatan atau jawatan yang dikosong. Prof. Dr. Zulkifli Mohamad bertanding mencabar Dr Burhanuddin al helmy sebanyak 2 kali iaitu tahun 1956 dan tahun 1959. Antara kemelut pada zaman tersebut ialah persaingan politik ideologi antara Nasionalisme-Islamisme dengan Islamisme.

Pada tahun 1973, Ustaz Abu Bakar Hamzah mencabar TS Mohd Asri Muda. Ia kemelut apabila PAS menyertai parti gabungan pemerintah. Ia lebih kepada konflik peribadi dalaman.

Tahun 2015, sekali lagi sejarah tercipta apabila Tuan Guru Haji Abdul Hadi dicabar oleh Tuan Guru Ahmad Awang. TGAA lebih kepada menyokong lebih kuat terhadap pendekatan PR. TGAA mendapat undi terendah dalam kelompok pencalonan Presiden. Kedudukan beliau nombor tiga selepas kedudukan pencalonan YB Dato Husam Musa.

Kita tidak wajar takut proses demokrasi-pertandingan (walaupun penulis lebih menyukai syura meletak) dalam PAS kerana ia sekitar ahli yang  mahukan perubahan PAS ke arah lebih baik. Bergantung kepada niat masing-masing dalam pertandingan. Ustaz Nasharudin Mat Isa semasa menjawat jawatan Timbalan Presiden PAS pernah dicabar pada tahun 2007  oleh Tuan Guru Harun Taib agar ustaz Nasharudin berperanan lebih berkesan sebagai Timbalan Presiden.

Era kepimpinan ulama adalah satu proses penjenamaan semula PAS sebagai jemaah Islam setelah kurang berjaya pada zaman Prof Dr. Zulkifli Mohamad. TGNA pernah berkata-tulis bahawa usrah, tamrin dan ceramah sangat giat berjalan pada tahun 1980an. ini menanda kehadiran grup Islamis dalam PAS. Mereka menganggap PAS sebuah jemaah Islam.

Bertahun-tahun TGHH menjadi Timbalan Presiden PAS, tidak pernah kedengaran beliau mencabar Tuan Guru Fadzil Noor dan Tuan Guru Yusuf Rawa walaupun beliau berpeluang semasa era mencanak tinggi fenomena Kaset Haji Hadi.

Penulis simpulkan nasihat TGYO dalam memilih ciri pemimpin PAS;

+  Pernah bergiat di peringkat bawah (lebih kepada pengalaman dalam PAS)
+ Masak dengan budaya kerja parti, tabiat orang PAS
+ Merasai perit jerih membina parti
+ Berilmu

Jika pemimpin PAS tiada mempunyai 4 elemen di atas, mereka biasanya akan;

Ø  Mudah kecewa
Ø  Tidak sayang kepada PAS

Melihat kepada inilah, generasi awal kepimpinan ulama tidak digalakkan mencabar mereka.

Antara pemimpin dalam kelompok awal inilah TGHH, Ustaz Nakhaie, TGYO, TGFN, Tuan Guru Harun Taib, Ustaz Abu Bakar Chik, YB Dato Husam Musa, Ustaz Hassan Shukri, Pak Subky Latif, YB Ir Khalid Samad, Dato Mustafa Ali, Dato Wan Mutalib, Syed Ibrahim, Tuan Haji Mohamad Sabu dan lain-lain.

Lanjut nasihat TGYO mengenai mengejar jawatan dalam  PAS,

             “ya akhi, bersihkan hati dari keinginan yang tersembunyi”

Budaya syura meletak perlu dibudayakan daripada budaya pertandingan walaupun budaya pertandingan-demokrasi tidak dinafikan kebaikan dan faedahnya. Penulis hanya berpendapat syura meletak itu lebih utama daripada ruang pertandingan.

Selepas ketiadaan Tuan Guru Fadzil Noor, PAS gagal menyediakan pembantu Presiden dalam kalangan ulama muda yang berpotensi dan berprestatif. Kebanyakan para ustaz muda ini lebih selesa dalam kelompok sendiri dan dibudayakan dengan ‘permainan selamat’.

Muda perlu dibasahi dengan aksi bukannya kering dimamah panas ketuaan.

Mencuri Wala’ Kepimpinan Ulama

Antara gejala berbahaya dalam jemaah Islam adalah

+ gagal wala’ kepada kepimpinan sedia ada tanpa hujah syarak. Mereka memburukkan konsep wala’ dikala mereka sendiri mencanduinya. Menurun atau menaikkan seseorang pemimpin perlukan hujah syarak.

+ mengejar keuntungan politik melebihi kepentingan dakwah. Dakwah menjadi sampingan.

+ Menganggap pemimpin sedia ada lemah, tak berguna dan tidak berprestatif

+ Menjadi proksi luar atau menubuhkan kem-kem dalam jemaah. Fenomena jemaah dalam jemaah akan membawa jemaah Islam ke lembah perpecahan. Jemaah dalam jemaah boleh dilihat apabila jemaah tersebut tidak berada dalam radar kawalan jemaah Islam.

Serangan Terakhir: Kemenangan Milik Perwakilan Bukannya Jumlah Pencalonan

TGHH dan Ustaz Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man jangan sesekali terpesona dengan jumlah pencalonan yang besar. Penulis pernah dikhabarkan semasa pertembungan di antara Ustaz Hassan Shukri dengan Ustaz Nasarudin Mat Isa bagi jawatan Timbalan Presiden PAS. Ustaz Nasharudin hanya mendapat 2 pencalonan berjaya mengalah Ustaz Hassan Shukri yang banyak berjasa itu.

Begitu juga dalam kes muktamar 1956 dimana Dr Burhanuddin al Helmy yang mendapat sedikit pencalonan berjaya mengalahkan Prof. Zulkifli Muhammad dengan jumlah 84 undi berbanding Prof Zulkifli mendapat hanya 12 undi.

Tanpa sistem satu undi, satu ahli, sistem pemilihan sekarang mudah dimanipulasi oleh sesetengah orang. Umpamanya jika undi ahli PAS yang beribu-ribu di Terengganu boleh ditewaskan oleh Johor yang ahlinya sedikit atas sebab kawasan di Johor lebih banyak daripada kawasan di Terengganu.

Pendapat peribadi penulis, TGHH seharusnya diberi peluang meneruskan kepimpinan sekali lagi atas faktor kestabilan parti. Ribuan ahli PAS di Utara dan Pantai Timur serta penguasaan kelompok penyokong TGHH dalam Dewan Ulama PAS Pusat, Dewan Pemuda PAS Pusat dan Majlis Syura Ulama bakal menyukarkan perjalanan organisasi PAS. Politik isu seringkali dikalahkan oleh politik ideologi.

PAS juga perlu menyediakan pemimpin pelapis kepada TGHH, umpamanya Ustaz Dato Tuan Ibrahim Tuan Man dan Ustaz YB Idris Ahmad. Penulis mengidamkan tokoh seumpama YB Ustaz Dr Mujahid Yusuf dikemukakan sebagai pemimpin masa depan dengan syarat beliau perlu mengelak  daripada menyokong mana-mana kem yang berkrisis. Sokongan terhadap kem-kem tertentu menyebabkan aura tokoh penyatu akan menipis. Transisi perlu dilakukan dengan teratur.

Tanpa menafikan kehebatan dan jasa pemimpin seperti Tuan Guru Ahmad Awang dan Tuan Haji Mohamad Sabu yang cukup besar.

 Tidak wajar kita memburukkan mereka.  Kenangilah mereka tokoh yang berjasa kepada Islam dan PAS serta negara. Tak sokong bukan tanda benci tetapi untuk melihat perubahan yang lebih baik(begitulah jua penyokong TGAA terhadap TGHH).

Akhir kalam, perwakilan boleh menaikkan seseorang pemimpin atau sesuatu gagasan, perwakilan juga boleh menurunkannya. Memilih kepimpinan hak perwakilan yang mengenali fiqh waqi’ zamannya dan mempunyai semangat zamannya.  Pilih pemimpin yang sesuai dengan zamanmu. Semuanya kembali kepada Allah.

Selamat bermuktamar.

No comments:

Sebelum Loceng PRU 15 Melolong

 Sebelum Loceng PRU 15 Melolong a. Kerajaan 1. Kita perlu memahami bahawa kerajaan persekutuan pada hari ini berdiri atas sokongan para ahli...