Friday, May 22, 2015

Rampasan Kuasa Di Universiti



Tindakan yang paling radikal dilakukan oleh gerakan mahasiswa di negara ini ialah merampas kuasa dan menawan kampus daripada pihak berkuasa dan pentadbir kampus. Dua peristiwa rampasan kuasa mengemparkan negara ialah rampasan kuasa di universiti Malaya ekoran peristiwa Tasek Utara dan rampasan kuasa di Institut Teknologi Mara(sekarang UiTM) kerana peraturan ketat.

Memahami Konsep Rampasan Kuasa

Secara umum, rampasan kuasa atau coup d’etat dimaknai sebagai satu usaha yang dilakukan dengan menggunakan kekerasan atau ugutan untuk menukar kerajaan demi perubahan pentadbiran dari peringkat akar umbi sehingga ke peringkat pusat.[1][1] Ia biasa dilakukan oleh pihak tentera.
Perkataan rampasan kuasa dipercayai digunakan mulai tahun 1811, setelah Napoleon merampas kuasa dalam Revolusi Perancis pada tahun 1799.

Pengkaji ketamadunan, Samuel P Huntinton membahagikan rampasan kuasa kepada beberapa jenis. Pertama Breakthrough coup d’ etat iaitu rampasan kuasa yang hanya berlaku sekali dan membawa satu ideologi yang mahu dikembangkan. Contoh revolusi China yang meruntuh kerajaan beraja, Dinasti Manchu.

Kedua, guardian coup d’etat iaitu rampasan kuasa yang dilakukan untuk menjaga keamanan dan kepentingan matlamat  untuk memulihkan serta mepertingkatkan kehendak rakyat.  Rampasan ini juga cuba menghapuskan korupsi, nepotisme dan kronisme. Ia bertujuan menwujudkan kerajaan yang lebih baik. Sebagai contoh, kebangkitan Reformasi di Indonesia menjatuhkan Presiden Suharto.
Ketiga, veto coup d’etat yang dilakukan oleh tentera membatalkan penyertaan masyarakat dan mobilasasi tentera dalam kerajaan. Contoh, tentera Chile menjatuhkan Presiden Salvador Allende Gossens yang dipilih oleh rakyat.

Jenis terakhir, bloodless coup d’etat yang bertunjangkan kepada perjuangan tanpa kekerasan. Menubuhkan kerajaan tanpa penentangan. Contoh rampasan kuasa tentera Thai terhadap Perdana Menteri Thaksin Shinawatra.

Dalam konteks gerakan mahasiswa, hemat saya mengariskan rampasan kuasa di universiti ialah satu rampasan kuasa menjatuhkan pentadbiran universiti menyebabkan campurtangan kerajaan, dimana kawalan kampus di bawah kekuasaan gerakan mahasiswa. Kampus dikawal oleh gerakan mahasiswa, pergerakan dalam kampus dikawal, pintu pagar dijaga dan dikuasai oleh mahasiswa. Suasana ini menimbulkan ketegangan antara gerakan mahasiswa dengan kerajaan.

Dalam sesebuah rampasan kuasa kampus, ketokohan pemimpin mahasiswa, kerjasama anggota ketumbukan mahasiswa dan mood mahasiswa di kampus banyak mempengaruhi rampasan ini.

Rampasan Kuasa di Universiti Malaya pada tahun 1974

Dalam peristiwa setinggan Tasek Utara, pimpinan pelajar seperti Hishamuddin Rais, Abu Zer Ali, Yunus Ali dan Adi Satria telah ditangkap bersama pimpinan Parti Sosialis Rakyat Malaysia(PSRM) iaitu Setiausaha Agung PSRM Pusat, Syed Hamid Ali, Mohd Amin Ahmad(Setiusaha PSRM Johor) dan Majid Yaakob(pemimpin tempatan) pada 19 September 1974 atas alasan menganggu tugas pegawai kerajaan. 

Penangkapan itu menyebabkan PMUM berdemonstrasi selama 3 hari di depan Pejabat Perdana Menteri bagi mendesak kerajaan membebaskan sahabat mereka yang ditangkap. Perdana Menteri, Tun Abdul Razak enggan menemui wakil PMUM. FRU telah menyerang peserta demonstrasi menyebabkan pelajar melarikan diri.

Sekembali daripada demonstrasi, PMUM telah merampas kuasa dengan mengambil alih pentadbiran Universiti Malaya pada 21 September 1974. Di bawah pimpinan Presiden PMUM, Kamarazaman Yaakob bersama 2000 orang pelajar menyerbu bangunan Canselori, pintu masuk universiti dan tempat strategik yang lain. PMUM telah berbincang dengan Pemangku Naib Canselor, Ahmad Ibrahim dan Pengerusi Majlis Universiti, Syed Alwi Syed al Hadi agar menyerahkan kuasa pentadbiran sementara kepada PMUM. 

 PMUM mengadakan mesyuarat tergempar dengan Jawatan Kuasa Asrama dan badan gabungan PMUM. Presiden menerangkan matlamat rampasan kuasa itu ialah mengharapkan Canselor Permaisuri Agung berbincang dengan PMUM supaya membebaskan semua mereka yang ditangkapm dalam isu setinggan Tasek Utara. PBMUM dan PMIUM turut serta dalam mesyuarat itu tetapi menarik diri setelah mesyuarat tersebut bersetuju membentuk Majlis Tertinggi Sementara(MTS) PMUM. PMUM bercadang mengadakan majlis penerangan pada malam itu di Dewan Tunku Canselor(DTC).

Pada malam itu, suasana kecoh telah berlaku apabila sekumpulan mahasiswa yang menggelarkan diri mereka sebagai Majlis Tindakan Nasional (MTN) telah menyerbu Rumah Persatuan PMUM dan menangkap Presiden PMUM. MTN berjaya melakukan counter-rampasan pada jam 8.00 malam bagi membolehkan Universiti Malaya dibuka pada esoknya. MTNyang didokongi oleh kelompok nasionalis membahagikan tiga ketumbukan.  Objektif merek ialah merampas kuasa daripada golongan Sosialis sebelum jam 9.00 malam. Pada jam 8.45 malam, ketumbukan MTN menawan rumah persatuan dan pusat keselamatan. Ketumbukan lain menawan pintu masuk universiti

Menurut Kamarazaman Yaakob, Presiden PMUM sesi 1973/74, MTN bertindak ganas telah mengugut dan ‘menculik’ beliau dan ahli Majlis PMUM di rumah persatuan sebelum dibawa ke DTC. MTN menggunakan keris, pisau, rantai dan kayu berpaku bagi mengertak anggota MTS.Di DTC, Aziz Shamsudin, Presiden PBMUM mendesak Presiden PMUM menarik balik rampasan kuasa dan Ungku Aziz memainkan isu bahasa sehingga mencetuskan suasana tegang. Suasana tegang tersebut menyebabkan Presiden PMUM mengambil keputusan menarik balik rampasan kuasa.

Pada 22 September 1974, MTN telah menyerah kuasa pentadbiran kepada pihak pentadbir universiti. MTN mendapat sokongan PBMUM,  PMIUM dan Kelab Silat Gayung Universiti Malaya(KSGUM). Presiden MTN, Ahmad Abdul Latif dan timbalannya Hamzah Zainuddin menjelaskan counter-rampasan dilakukan bagi menghalang huru-hara di kampus apabila ditemui minit mesyuarat dan alatan untuk membuat molotov milik PMUM. Pengaruh kerajaan dalam MTN kelihatan apabila MTN mendapat sokongan penuh daripada kerajaan terutamanya Ghazali Shafie dan Dr. Mahathir. PBMUM pula menyokong MTN kerana tidak mahu MTS diperkudakan oleh pelajar sains yang ingin mengugurkan pelaksanaan Bahasa Melayu.

Suasana di kampus masih tidak stabil apabila pelajar di kolej-kolej tertentu masih lagi setia kepada pimpinan PMUM. Presiden Kolej kelima, Salehuddin Hashim dan pelajar kolej tersebut menghalau pihak MTN yang mengunjungi kolej mereka.  Bagi membasmi pengaruh PMUM, pihak pentadbiran telah bertindak tegas ke atas ahli Kelab Sosialis yang terlibat dalam rampasan kuasa itu. 

Tindakan susulan yang dahsyat oleh pihak pentadbiran universiti dengan mengantung PMUM pada 25 September 1974  di bawah Seksyen 16 Akta 30. Kerajaan menyokong tindakan Majlis Universiti mengantung PMUM  dan sebuah pertubuhan yang dikenali Badan Pemulihan Sementara diwujudkan bagi menjamin kebajikan pelajar. Namun, pada 26 September 1974, PMUM menghantar memorandum agar keputusan Majlis Universiti ditarik balik. Kamarazaman Yaakob menyatakan keputusan itu tidak sah kerana menyalahi Perkara 6 Ceraian 51 perlembagaan universiti.

Rampasan Kuasa Mahasiswa di Institut Teknologi Mara.

Selepas pindaan AUKU 1975, gerakan pelajar semakin permisive terhadap isu nasional dan kampus. Walau bagaimanapun, dunia pelajar digemparkan apabila pelajar ITM Shah Alam dan kampus Jalan Othman, Kuala Lumpur merampas kuasa pada 6 Januari 1976. Kejadian ini merupakan peristiwa pertama bagi gerakan pelajar menggugat kembali keabsahan kuasa AUKU. Rampasan ini berlaku apabila pelajar tidak berpuas hati terhadap pimpinan Dato Lokman Musa mengetatkan disiplin pelajar terutamanya etika pemakaian yang melarang pelajar berambut panjang.

Mulai 5 Januari 1976, peraturan tatatertib baru bagi pelajar ITM akan dikuatkuasakan. Ramai pelajar tidak bersetuju kerana bertentangan dengan hak asasi seseorang pelajar. Bagi pelajar lelaki, potongan rambut tidak melebihi kolar, dilarang memakai selipar dan baju panas semasa kuliah, dilarang memakai pakaian olahraga di dewan makan. Pelajar lelaki harus memakai tali pinggang hitam, baju kemeja dan kasut. Pelajar wanita tidak dibenarkan memakai pakaian menjolok mata seperti mini skirt, pakaian jarang atau terlalu ketat. Dato Lokman memberi amaran sesiapa yang ingkar akan dihukum seperti dilarang daftar, amaran, denda $200, gantung atau disingkir.

Cadangan Dato Lokman dikecam hebat oleh KSITM.  Pelajar mempersoalkan tindakan Dato Lokman kerana hanya golongan minoriti yang berambut panjang. Dato Lokman hanya mementingkan perkara remeh dan pemakaian seseorang padahal persoalan ini bukanlah penentu moralnya. Pemimpin KSITM, Rosman Abdul Hamid menegaskan KSITM telah melakukan perubahan drastik dengan mengharamkan judi, majlis tari menari pada tahun 1972. Mantan Presiden KSITM, Ibrahim Ali, menyatakan pihak pentadbir perlu menyeru dan menggalakkan pelajar mengikuti peraturan bukannya mengambil tindakan sekeras itu. Apa gunanya dilakukan di dalam kampus jika di luar kampus terdapat arak, rasuah dan tarian bogel di kelab malam masih dibenarkan.  Tindakan Dato Lokman dilihat tidak perlu kerana KSITM telah menubuhkan kumpulan dakwah bagi mengatasi gejala sosial. 

Kebebasan pelajar telah disekat dan pelajar telah menjadi remaja ke sekolah  telah menjatuhkan imej ITM sebagai institusi pengajian tinggi yang berasaskan kebebasan intelektual.

Pada 5 Januari 1976, ITM dibuka untuk penggal pertama, pelajar senior mula tunjuk perasaan bagi membantah cara pentadbir melaksanakan peraturan disiplin. Mereka bertindak tidak mendaftar diri untuk kuliah kecuali pentadbir menarik balik arahan sebagaimana dituntut KSITM.  Seramai 1000 orang pelajar terlibat dalam demonstrasi di dataran berhampiran Pejabat Pentadbiran ITM pada pukul 9.00 pagi. Presiden KSITM, Abdullah Baba menyatakan tindakan pentadbir ITM tidak berunding terlebih dahulu dengan KSITM menyebabkan protes tersebut. Sebaliknya peraturan tersebut diperbesarkan dalam media massa dan ia memberi gambaran buruk kepada pelajar dan KSITM.

KSITM telah memperjuangkan pemurnian akhlak dikalangan pelajar sejak tahun 1971. Perkara yang dituntut KSITM adalah;
a. denda $200 adalah keterlaluan sedangkan pelajar hanya menerima elaun $20
sebulan.
b. Jumlah wakil pelajar telah dikurangkan dalam jawatankuasa[56] tersebut
daripada 6 kepada 3 adalah tidak relevan
c. Jawatankuasa itu dipengerusi oleh Dato Lokman sendiri adalah sesuatu
yang tidak adil.

Menurut Syed Osman,  KSITM tidak menentang keseluruhan cadangan tersebut tetapi cara pelaksanaan kurang baik terutamanya ia diluluskan oleh pihak pentadbiran tanpa perbincangan dengan KSITM.

Pada 7 Januari 1976, ITM Kuala Lumpur telah ditutup apabila pelajar telah menguasai dan mengambil alih kampus di Shah Alam dan Jalan Othman di Petaling Jaya. Seramai 4000 hingga 5000 pelajar menguasai kampus. Dato Mansor sebagai Pemangku Pengerusi Majlis Pentadbir ITM menjelaskan tindakan itu disebabkan pelajar menggunakan ‘tindakan paksaan’ dalam proses pendaftaran pelajar senior selama dua hari.  Pelajar di dalam kampus kekurangan bekalan makanan dan pelajar yang ingin membeli makanan telah dihalang oleh pelajar senior. Para pemberita yang cuba mendekati pagar telah dikejar oleh pelajar.

KSITM telah menafikan keterlibatan mereka dalam penguasaan kampus itu. Presiden KSITM, Abdullah Baba menyatakan pihaknya tidak menghalang pelajar dan pensyarah balik ke kampus. Walau bagaimanapun, KSITM tidak mengiktiraf keputusan Dato Lokman berikutan sidang tergempar pada 6 Januari oleh Dewan Siswa KSITM.  KSITM kesal dan terperanjat apabila Dato Mansor menutup ITM. KSITM telah meminta Menteri Dalam Negeri, Dato Ghazali Shafie  tidak menggunakan badan beruniform dalam menyelesaikan isu ini. KSITM hanya bertindak sebagai pentadbir keselamatan dan kebajikan pelajar apabila pihak pentadbiran meninggal kampus jam 2.30 petang pada 6 Januari.

Pada 9 Januari, seramai 3000 orang pelajar telah keluar dari kampus jam 4 pagi tetapi pihak pentadbir masih tidak dibenarkan masuk. Pelajar yang meninggalkan kampus telah dicaci. Pihak pentadbir cuba memujuk pelajar yang belum meninggalkan kampus dan memberi amaran mereka tidak akan dibenarkan mendaftar diri bila kampus dibuka. KSITM telah menyerah kepada Dato Mansor bagi menyelesaikan isu ini setelah perbincangan selama 5 jam. Pelajar mengemukakan beberapa penyelewengan seperti masalah keciciran pelajar dan penggunaan duit pelajar mesyuarat pentadbiran di Bukit Fraser.

Pada 10 Januari 1976, perwakilan pelajar bersama Pemangku Presiden Majlis Belia Malaysia, Azaham dan Dato Lokman cuba memujuk pelajar. Dato Lokman merayu sebanyak dua kali agar 120 pelajar menyerah diri dan kedegilan mereka menyebabkan mereka disingkir. Semasa suasana tegang ini, polis menyerbu masuk ke dalam kampus terutamanya di asrama kedua iaitu pusat gerakan pelajar.

Dr Mahathir selaku Menteri Pelajaran mengelarkan pelajar tersebut Gestapo yang memakai kain kuning di kepala sebagai pengecut kerana cabut lari meninggalkan kumpulan dakwah dan wanita. Gestapo seramai 200 orang ini mengugut menelanjang dan mencincang perempuan. Gestapo ini adalah sekumpulan pelajar radikal dan militan. Perkara ini terbukti dengan penemuan senjata seperti kapak dan peluru.

Tindakan pelajar ITM merampas kuasa dengan isu rambut mengecewakan kerajaan kerana kerajaan kerugian $100,000 sehari. Tindakan pelajar itu dikecam oleh badan bukan kerajaan seperti PERTIWI dan Lembaga Kebajikan Perempuan Islam. Ketua Satu PERTIWI(Zakiah Hanum) sebagai contoh mengatakan pelajar berambut panjang tidak manis dan melanggar tatasusila orang Melayu. Kenyataan PERTIWI bersifat hipokrit kerana PERTIWI sendiri pernah mendesak kerajaan membatalkan arahan pemakaian tudung di sekolah kerana tidak praktikal dan mahal. PMIUPM turut mengkritik keras tindakan pelajar ITM. Setiausaha Agung PMIUPM, Zaki Ayoub menjelaskan tindakan pelajar ITM itu mempertahankan amalan menyimpan rambut panjang sebagai amalan jahiliah.

Walau bagaimanapun, PMIUM dam PMUKM telah menyokong tindakan pelajar ITM. PMIUM telah menyatakan tindakan pentadbir ITM sebagai mencabul hak kebebasan pelajar. Sokongan terbuka PMIUM dinyatakan dengan menghantar surat bantahan kepada akhbar tempatan dan pihak pentadbir ITM. PMIUM melihat krisis tersebut tidak mengancam keselamatan dan boleh diselesaikan dengan diplomasi. Penjelasan PMIUM disokong dengan kenyataan pengawal keselamatan yang menyatakan pelajar tidak melakukan perkara buruk dan pelajar hanya tidak menyukai Dato Lokman. Walaupun pos pengawal di pos bulatan, asrama 1 dan 2 diambil alih oleh pelajar, pengawal keselamatan tetap dibenarkan bertugas.

PMIUM menyokong usaha KSITM mendapat hak sebagai kesatuan yang mewakili pelajar ITM. PMIUM juga mendesak Dato Lokman meletakkan jawatan dan menerima pandangan KSITM yang tidak mengiktiraf kepimpinan Dato Lokman.  Sokongan PMIUM merupakan sokongan yang berterusan. PMIUM kesal penyingkiran 45 pelajar ITM pada 10 Februari 1976  yang disyaki perancang rampasan kuasa tersebut. Tindakan menemuduga semula pelajar adalah tidak adil dan bertujuan buruk yang jelas bertentangan dengan hak pelajar yang sah di sisi undang-undang perlu dihentikan.

Pada 9 Februari 1976, Menteri pelajaran telah menubuh Jawatankuasa Penyiasat Krisis ITM bagi menyiasat kejadian itu. PMIUM meragui ketelusan jawatankuasa ini sebagai badan bebas. PMIUM mengusulkan agar satu badan bebas yang dianggotai badan pelajar dan belia kerana golongan ini dilihat bersungguh-sungguh untuk mencari penyelesaian yang adil.




No comments:

Sebab-Akibat

Sebab-akibat antara elemen penting dalam ilmu sejarah. Pemikiran sebab-akibat ini penting bagi mengelakkan kita membuat ramalan dan andaian ...