Friday, May 15, 2015

Celaru Fikrah: Ke Mana Pimpinan Mahasiswa Selepas Alam Kampus?



“Dia pemimpin mahasiswa yang celaru fikrah kerana menyertai PKR”

“Menyertai UMNO menunjukkan ia pemimpin yang khianat dan celaru fikrah”

Kita perlu melihat latarbelakang pimpinan dan anggota gerakan mahasiswa Islam di kampus dalam menentukan keputusan masa depan mereka sama ada menyertai PAS atau tidak.

Latarbelakang yang boleh mempengaruhi keputusan masa depan mahasiswa Islam ialah

+ Dididik dalam keluarga totok PAS
+ Berasal daripada keluarga UMNO
+ Berasal daripada keluarga yang berpendidikan yang lebih liberal

Ada sesetengah pimpinan mahasiswa aktif di kampus kerana mereka adalah PAS. Pengaruh keluarga sangat mencorak pemikiran mahasiswa seumpama ini. Cuma mereka seringkali bertentangan dengan pimpinan mahasiswa yang pro mahasiswa sebagai entiti sendiri bukannya di bawah kongkongan PAS.

Faktor semasa yang biasanya mempengaruhi keputusan masa depan pimpinan mahasiswa pula ialah

+  kem dalam gerakan mahasiswa Islam atau di luar yang disertai termasuk corak pemikiran.
+ Buku yang dibaca
+ Pendirian sama ada gerakan mahasiswa Islam adalah wakil PAS atau gerakan merdeka daripada pengaruh luar.
+ Pengalaman negatif berjemaah yang tak seindah disangka dan pertembungan akal dengan tafsiran firman. Ini termasuk unsur kekerasan dalam tamrin.

Pengalaman negatif  berjemaah menyebabkan kelompok genius dan intelektual muda dalam jemaah Islam Kampus (JIK) akan mengundur diri sehingga membentuk pasukan ‘pemberontak’ dalam JIK.

Aliran pemikiran mereka semakin menipis. Daripada pemikiran Imam Hassan al Banna kepada pemikiran ulama seperti Dr Yusuf al Qaradhawi dan Syeikh Muhammad al Ghazali kepada intelektual Islam seperti Dr Tariq Ramadhan dan Dr Thaha Jabir al Alwani kepada pemikiran orientalis.

Aliran kecelaruan fikrah ini menyebabkan mereka lebih plural dan liberal tanpa melihat kefahaman nas al Quran, sejarah dan realiti semasa.

Faktor selepas kampus ialah kepentingan peribadi pimpinan mahasiswa terutamanya kerjaya.

Perjuangan jemaah perlu dilihat sebagai perjuangan Islam bukannya perjuangan PAS atau jemaah-jemaah yang lain. Paling penting kita menjadi elemen Islam yang memberi manfaat kepada manusia dan Islam. Tak kiralah kita sebagai anggota jemaah Islam atau tidak.

Suasana kemelut yang menipiskan ukhwah menyebabkan kader dakwah kampus tidak berminat menyertai PAS. Mereka selesa menjadi simpatis daripada anggota aktif.

Politik Islam pada masa depan tidak boleh lagi dilihat pada sesebuah jemaah Islam atau parti Islam seperti PAS. Umat Islam perlu melihat manifesto yang ditawarkan, dasar, akhlak pemimpin dan prestasi semasa jemaah. Ini bermakna kita boleh menumbangkan parti yang korup walaupun ia parti Islam.

Zaman monopoli politik Islam dan zaman jemaah aku sahaja yang benar sudah hampir berakhir.

Adakah aku juga celaru fikrah atau kalian semua?

No comments:

Sebab-Akibat

Sebab-akibat antara elemen penting dalam ilmu sejarah. Pemikiran sebab-akibat ini penting bagi mengelakkan kita membuat ramalan dan andaian ...