Monday, May 11, 2015

Mhairi Black: Mahasiswa Masuk Pilihanraya Bukan Sekadar Gimik



Ada kalangan kelompok mahasiswa menganggap mereka adalah sebuah gerakan yang tersendiri. Ada pula yang menganggap mereka adalah wakil kepada organisasi luar kampus.

Sememangnya, PMUM yang pernah dikuasai oleh kelompok sosialis banyak membantu parti pembangkang dalam pilihanraya. Kemuncaknya pilihanraya pada tahun 1969 dimana Perikatan-UMNO hampir tumbang.

Mahasiswa Malaysia dan pilihanraya setakat ini hanyalah gimik murahan. Ia belum lagi terjadi berikutan beberapa kekangan termasuk akta tertentu dan pihak pentadbiran universiti.

Dulu ada sebuah parti mahasiswa bernama Parti Mahasiswa Negara (PMN) kononnya bakal melawan Tun Abdullah Badawi di Parlimen Kepala Batas. Akhirnya menjadi gimik murahan.

Sebelum itu, Presiden PMUM Shamsudin Moner cuba melibatkan PMUM dalam pilihanraya kecil Bentong. Mereka mengeksploitasikan nama Timbalan Presiden PMUM, Azmi Tajudin dicadangkan bertanding tetapi pada akhir  pencalonan, tiada wakil PMUM menyertai pilihanraya tersebut.

Begitu pilihanraya 2013, dimana kelompok mahasiswa menubuhkan GM13[1] yang cuba mencalonkan tokoh PMIUM untuk melawan Dato Seri Mohd Najib Tun Razak di Parlimen Pekan tetapi sekali gimik murahan. Punbegitu  GM13 turun kempen bersama Pakatan Rakyat.

Sebenarnya, sudah lama gerakan mahasiswa membantu pembangkang di sebalik tabir. Cuma akhir-akhir ini mereka banyak melakukan gimik pilihanraya.


Di Malaysia, tahap mahasiswa menyertai pilihanraya hanyalah gimik murahan.

Dalam pilihanraya Britain(2015), Mhairi Black seorang wanita yang berusia 24 tahun telah memecahkan rekod dengan menjadi anggota parlimen yang paling muda sejak tahun 1660 di Britain. Anak muda ini masih belajar dalam jurusan sains politik menang di kerusi Parlimen Paisley and  South Renfrewshire.  Menariknya beliau mengalahkan calon Menteri Luar Britain daripada Parti Buruh iaitu Douglas Alexander iaitu penyandang kerusi parlimen tersebut yang merupakan kubu kuat Parti Buruh sejak 70 tahun lepas.

Adakah pemimpin dan gerakan mahasiswa berani sebagai jalur ketiga (alternatif) kepada parti pembangkang atau parti pemerintah dikala rakyat tiada pilihan?

Rujukan 
Berita Harian, 11/5/2015


[1] Riuh pekikkan dan sorakan anggota GM13 semasa proses pencalonan pilihanraya Parlimen Pekan

Sunday, May 10, 2015

Orang Melayu Dan Budaya Tak Apa

Melayu dan sikap 'tak apa la'
Kata sahabat, orang Melayu ini penuh dengan sikap 'tak apa la'..
tak apa la, hanya dua billion je.
tak apa la, beli pun nak selamat tanah orang Melayu di tengah kota raya. ( Nak selamat orang Melayu apa kalau beli dengan harga yang mahal dan nak bina kondonium yang kita boleh agak siapa yang mampu membelinya)
Melayu, selagi orang tak bakar rumah dia, tak halau dia daripada tanah dia, mereka akan bersikap tak apa la..

Bertaut Kembali

PAS, PKR dan DAP kena ingat kalian tidak kuat, zaman politik kepartian dan politik ideologi hampir berakhir. Rakyat boleh merentasi kepartian berdasarkan prestasi kalian, kualiti kalian.
Rakyat sekarang bermasalah dengan UMNO-BN tetapi rakyat tiada keyakinan dengan kalian kerana tidurmu sebantal tetapi mimpi kalian lain-lain. Rakyat akan mengekalkan yang stabil(walaupun haru biru) daripada kalian yang belum terjamin kestabilan.
Ayuh berubah!

Kekuasaan Korup

Kekuasaan sama dengan kebebasan bersuara. Ia ada batasannya.
Batasan kekuasaan adalah dengan mengehadkan kekuasaannya.
Begitulah sistem menjaga agar diktator dan KKN(Korupsi, Kronisme dan Nepotisme) tidak dilahirkan.
Baik parti politik atau organisasi lain, ia tertakluk kepada kekuasaan yang dihadkan
Tabung Haji, FGV dan lain-lain perlu dihadkan tempoh masa para pemimpin dan anggota lembaganya..
cukup dengan tempoh tiga tahun.

Siapa Merajainya Selepas Kemenangan?

"semangat dan sokongan bagaikan nak menang esok hari"

Arus perubahan datang daripada bandar. Daripada masyarakat berpendidikan, kelompok feudal yang berkesedaran, masyarakat urban yang terkena tempias kemelaratan.
Arus itu boleh membawa tsunami kebangkitan rakyat.
Persoalan yang timbul, siapa yang bakal memenangi arus kebangkitan itu?
Di Tanah Melayu, gelombang awal digerakkan oleh kelompok kiri dan agama. Fasa kedua, barulah nasionalis muncul bahkan mengambil peluang merajainya setelah British mengisytiharkan darurat.
Reformasi akhir 1990an di Indonesia, Dr Amien Rais diangkat pimpinan utama bahkan beliaulah dikatakan layak menjadi Presiden Indonesia. Tetapi arus kebangkitan itu hanya kuat dalam kalangan masyarakat urban. Akhirnya, masyarakat luar bandar majoritinya memilih Abdul rahman Wahib yang mempunyai kekuatan massa daripada Nahdatul Ulama.
Di Afghanistan, puak-puak Mujahidin yang menumbangkan Soviet Union dan Najibullah (ingat Najibullah bukan selainnya) akhir berpecah setelah berkuasa. Puak terkuat, Hizbi Islami dengan jamiati Islami bertempur sesama sendiri sehingga datangnya angin Kandahar, Taliban.

Siapa yang merajainya selepas kemenangan?

 

Bangkit Daripada Manifesto Cardoba



Sejarah Gerakan Mahasiswa Antarabangsa: Bangkit Daripada Manifesto Cardoba

Menurut Ausaf Ali faktor-faktor penting penyebab kebangkitan rakyat dan reformasi ialah pertama, munculnya kritikkan  terhadap realiti dan kehidupan sosial yang ada telah dilakukan oleh golongan reformis. Kedua, adanya paradigma baru nilai-nilai, norma dan sistem yang menjelaskan perbezaan; dan ketiga, penyertaan sosial yang disertai mereka yang cenderung dengan golongan reformis  tersebut dalam mentransformasikan masyarakat.

Menurut penelitian Adi Usman Musa, gerakan mahasiswa yang pertama dikesan pada tahun 1918 dimana gerakan mahasiswa di Argentina telah mendeklarasikan Manifesto Cordoba.  Walaubagaimanapun Lipset menyatakan eleman aktivis mahasiswa sudah ada semasa revolusi Jerman dan Austria pada tahun 1848.

Mahasiswa Amerika Latin telah memulakan langkah mahasiswa turun ke lapangan demonstrasi. Kebangkitan ini berpunca daripada struktur politik masyarakat dan uiniversiti. Reformasi pendidikan universiti di Amerika Latin lahir dari Manifesto Cordoba, ketika mahasiswa Cordoba di Argentina mengeluarkan sebuah manifesto yang menuntut autonomi universiti dan keterlibatan mahasiswa dalam pentadbiran universiti. Istilah yang terkenal dalam kelibatan mahasiswa dalam pentadbiran university ialah  cogobierno (kawalan bersama).

Manifesto ini dimurnikan setelah pertemuan diantara pimpinan mahasiswa seluruh Argentina. Atas persetujuan bersama, para pimpinan mahasiswa mahu reformasikan university dengan tuntutan, iaitu pertama, pilihanraya; kedua, penghapusan rasis dalam pemilihan pensyarah; ketiga, biasiswa mahasiswa; keempat, orientasi social university di university sendiri; kelima, pendemokrasian system organisasi university.

Dalam tempo 20 tahun, tuntutan mahasiswa Argentina ini menyebar ke seluruh Amerika Latin. Di Peru tahun 1919; di Chili tahun 1920; Columbia tahun 1924; Paraguay tahun 1927; di Brazil dan Bolivia tahun 1928; Mexico tahun 1929; dan Costarika tahun 1930, dengan keberhasilan yang berbeza-beza. Dunia telah digemparkan apabila dictator Venezella telah digulingkan pada tahun 1966. Mahasiswa telah mempertahankan university sehingga pasukan kereta kebal merempuh dan menyerbu kampus. Pengulingan sesebuah kerajaan diktaktor bagi membolehkan perubahan social dilakukan.

Pada pertengahan tahun 1960an, kelompok mahasiswa pro Mao Tse Tung telah melakukan demonstrasi[1] dalam menentang Presiden China, Liu Shao Chi. Mereka juga mengkritik pensyarah Universiti Beijing.  Pasukan Liu Shao Chi telah bertempur dengan mahasiswa yang dipimpin oleh Kuai Da Fu. Kuai da Fu berjaya ditangkap. Semasa dalam penjara, Kuai Da Fu telah dibebaskan dengan perancangan sulit Mao Tse Tung. Kumpulan kecil Revolusi Kebudayaan telah mengarahkan Kuai Da Fu[2] memimpin Red Guards yang terdiri daripada 5000 orang mahasiswa  berarak keliling Beijing dengan slogan ‘hapuskan Liu Shao chi’. Atas muslihat desakan rakyat ini, Mao Tse Tung memecat Liu Shao Chi sebagai Presiden China.

Bantahan menentang pemerintahan komunis China tahun 1989 berlaku di Medan Tiananmen mengorbankan lebih 10000 orang.  Semenjak tahun 1978, Deng Xiaoping telah memperkenalkan pembaharuan ekonomi dan social sehingga berlaku ketidak-puasan hati dalam kalangan rakyat. Pada awal tahun 1989. Dua kelompok utama penentang kerajaan iaitu pertama,  mahasiswa dan cendikiawan kerana pembaharuan hanya dalam kalangan petani dan pekerjaan sahaja. Mereka mahu  liberalisasi politik glasnost yang dilakukan oleh Mikhail Gorbachev. Kedua, kelompok pekerja industry yang mengatakan hala tuju ekonomi Deng tersasar.

Demonstrasi bermula sejak 15 April dan berakhir pada 4 Jun 1989. Pada awalnya protes mahasiswa ini kerana ketidakstabilan ekonomi, rasuah dan situasi politik[3].  Setelah 7 minggu berhimpun, kereta tentera China mula mara dan merempuh para penunjuk perasaan, memukul dan menembak secara melulu. Akibanya, ramai yang mati ditembak.

Gerakan mahasiswa Sepanyol bekerjasama dengan gerakan sekerja. Kempen kebebasan berpersatuan telah menjadi isu politik. Isu juga diperjuangan oleh gerakan pekerja Pada bulan Februari 1967 di Madrid, mahasiswa berdemonstrasi secara khusus menuntut perwakilan gerakan sekerja berada dalam suruhanjaya membahas undang-undang pertubuhan sekerja. Selama tiga hari (1-3 Mei 1968) mereka berdemonstrasi. Penangkapan tokoh gerakan sekerja dan mahasiswa melemahkan kebangkitan tersebut.


[1]  Antara peristiwa demonstrasi besar ialah Pergerakan Empat Mei dalam tahun 1919 semasa penjajahan Jepundan Pergerakan Lima April pada tahun 1976 semasa menjatuhkan Kumpulan 4. Selain itu, lingkungan tahun 1986-1987 ada juga perhimpunan pro demokrasi.

[2] Kuai Da Fu berasal dari wilayah Hebei, berusia 20 tahun ketika itu. Beliau minat politik daripada usia 13 tahun lagi apabila melihat kebuluran dan penyalahgunaan kuasa pegawai kerajaan menindas rakyat. Beliau bertindak menghantar surat bantahan ke Ibupejabat Parti Komunis China di Beijing.
[3] Situasi politik yang dimaksudkan ialah kematian Hu Yaobang, Setiausaha Agungl PKC yang telah meletak jawatan. Hu dipandang sebagai seorang yang berpemikiran liberal dan dipaksa meletak jawatan dari posisinya oleh Deng.
Kebanyakkan rakyat terutamanya kelompok intelektual,menganggap ini sebagai sebuah perlakuan yang tidak adil.

Antara Memimpin Tarbiah kampus atau Memimpin Politik demonstrasi?





Sesetengah  pihak menyatakan mahasiswa atau gerakan mahasiswa tidak usah menyertai politik luar ( dari segi kepimpinan bukannya penyertaan atau penglibatan) tetapi bergiat dalam politik kampus dan tarbiah kampus sahaja.

Tuan Guru Harun Taib tidak mengalakkan para pimpinan mahasiswa melakukan atau memimpin demonstrasi dalam kampus atau luar kampus kerana ia boleh memudaratkan pimpinan mahasiswa sendiri dan tumpuan utama seorang mahasiswa dan gerakan mahasiswa Islam adalah menuntut ilmu dan tarbiah rakan sekampus.

Aktif tetapi jangan aktif dalam aktiviti yang memudaratkan masa depan yang merugikan jemaah dan diri sendiri. Penyertaan dan penglibatan dibenarkan tetapi jangan memimpin demonstrasi.

Peluang di universiti sebaik mungkin menambah kemantapan keilmuan seorang pemimpin mahasiswa. Ilmu ini adalah kunci dalam mengerakkan pimpinan mahasiswa sebagai pemimpin jemaah setelah habis belajar nanti.

Selain itu, pimpinan mahasiswa Islam lebih wajar memberi tumpuan kepada gerakan tarbiah kampus dan gerakan kesedaran politik di kampus. Pembinaan watak pemimpin dan penyebaran pengaruh dapat dilakukan dalam proses pentarbiahan.

Kepimpinan mahasiswa peringkat kampus lebih tepat kepada proses latihan bukannya pemain utama. Mereka tidak perlu menonjolkan diri.

Menariknya, pemimpin yang aktif politik demonstrasi tidak aktif pula dalam gerakan politik setelah tamat  zaman kampus bahkan lebih menarik ada sebilangan mereka melompat meninggalkan jemaah masuk menyertai puak sekularis, nasionalis dan liberalis.

Wednesday, April 22, 2015

Kelompok Gopoh

Dalam perjuangan, ada juga kelompok yang tidak tahan sabar sehingga mereka bertindak secara gopoh. Apabila seseorang yang gopoh mengetahui bahawa Ketua mereka akan berbincang dengan pihak musuh.. Kelompok gopoh ini bertindak mencampuri urusan ketua mereka yang belum tentu membuat apa-apa keputusan jika berlaku perbincangan. Mereka juga kononnya menjadi penyelamat tetapi menggunakan pendekatan yang salah

Monday, December 19, 2011

Gerakan Mahasiswa UiTM , AUKU dan Dr. Mahathir (1)




Mahasiswa UiTM dikatakan antara mahasiswa yang tumpul aktivisme dalam gerakan mahasiswa. Mereka bagaikan hanyut dalam keseronokkan dunia remaja. Sebalik ketumpulan dan kejambuan mahasiswa ITM itulah mereka maju menjadi mahasiswa yang pertama menerjah AUKU.

Sejarah membuktikan bahawa mahasiswa UiTM(dulu ITM) antara jaguh utama dalam gerakan mahasiswa. Mereka berani bangkit menggugat pemerintah yang dilihat melanggari hak bersuara dan hak berhimpun. Mereka Berjaya melahirkan pemimpin seperti Ibrahim Ali, Mohamad Sabu dan Khalid Jaafar.

Pada 9 Mac 1975, Kesatuan Mahasiswa Institut Teknologi Mara(KSITM) membantah pelantikan Dato Dr Arshad Ayub sebagai Timbalan Gabenor Bank Negara tanpa perbincangan dengan KSITM dan staf akademik. Dr Arshad sangat berjasa pada ITM, ketiadaannya dapat menjejaskan rancangan pembangunan ITM. Setiausaha Agung KSITM, saudara Alias Anuar Bin Abdul, mahasiswa ITM tidak bersedia melepaskan Dr Arshad Ayub.

Dr. Arshad Ayub telah membangunkan ITM sehingga wujud 52 kursus. KSITM mendakwa ketiadaan beliau menjejaskan rancangan pembangunan kampus cawangan kerana kepimpinan yang baru tidak memahami program tersebut.

Pada 20 Mac 1975, Menteri Pelajaran, Dr Mahathir Mohamad telah mengesahkan Dato Dr Arshad sebagai Timbalan Gabenor Bank Negara di ITM, Shah Alam. Seramai 300 orang mahasiswa telah turut berdemonstrasi di depan Mahathir. Sesiapa yang terlibat dalam demonstrasi, biasiswa akan ditarik balik.

Pada 28 Mac 1975, Dr Mahathir telah diboo oleh mahasiswa ITM dalam forum yang bertajuk Sistem Pelajaran dan Peranan Membentuk Sebuah Masyarakat Progresif. Antara panel yang lain ialah Prof Syed Naquib al Attas dan Hussein Abdul Rahman, Penasihat KSITM.

Dalam sesi soal jawab, Dr Mahathir menyindir mahasiswa

kita fikirkan misalnya yang paling senang sekali. Adakah boo mula-mula tadi menunjukkan kita berdisiplin”

Pada 8 April, dalam sesi pembentangan AUKU 1975, Dr Mahathir mendakwa mahasiswa telah bergabung dengan anasir komunis untuk membuat kacau di kampus apabila sesi 1975/1976 bermula.

Suara bantahan telah dikemukakan oleh YB Lim Kit Siang, Parlimen Kota Melaka yang mengusulkan AUKU ditangguh. Usul ini disokong oleh Fan Yew Teng daripada PEKEMAS bersama 9 anggota DAP dan seorang PEKEMAS kerana undang-undang ini memberikan kelebihan kuasa kepada menteri.

Lim Kit Siang mencadangkan AUKU ditangguh selama 6 bulan dan satu Jawatankuasa Peringkat Parlimen ditubuhkan. AUKU boleh memundurkan Negara kerana lunas-lunas demokrasi semakin tertutup.

Dr Mahathir menolak usul Lim Kit Siang kerana jika mahasiswa terganggu kerana mahasiswa baru dihalang oleh mahasiswa lama, kerajaan akan kerugian sebanyak 100 juta bagi setiap university. Kerajaan tidak sanggup membazir.

Nasihat Dr Mahathir:

“undang2 ini bukan menjadikan para pelajar sebagai robot yang tidak boleh berfikir”[10 April 1975]

Dr Mahathir pernah mendakwa[3 Mac 1975] pemimpim mahasiswa sedang merancang menyusun kumpulan dan memperalatkan mahasiswa dan pelajar sekolah berasrama penuh. Matlamat mereka mewujudkan kuasa pelajar bagi menekan kerajaan menghasilkan semua permintaan mereka dan akhirnya mengulingkan kerajaan.

Rancangan ini disampaikan melalui kursus agama, politik dan kuliah subuh yang diharapkan mengubah pemikiran mahasiswa. Kesannya, mahasiswa menyangka “Islam itu memakai baju kurung”.

Dr Mahathir berkata mahasiswa boleh menyalurkan pendapat melalui forum, memorandum dan dialog bukannya demonstrasi. Mahasiswa perlu mengambil berat tentang politik tetapi bukan bertindak tanpa sekatan dan kajian mendalam serta terkeluar daripada batas tertentu.


Pada tahun 2008 melalui blog chedet, Tun Mahathir menulis “Jika hari ini penuntut lebih dewasa dan bertanggungjawab batalkan sahaja AUKU”.

Thursday, December 08, 2011

Prof al Attas: Hang Nadim Moden yang Kerap Tersingkir.



Ketika sedang melakukan program 5S di rumah[r membuang dan membakar risalah yang disimpan], saya terjumpa catatan tentang penyingkiran Prof Syed Muhammad Naquib al Attas dalam pelantikan jawatan Pengarah Institut Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu Universiti Kebangsaan Malaysia.

Prof al Attas diibarat ‘Hang Nadim Moden’ dimana beliau seorang cerdik pandai yang hebat dan tersohor, cuma kerap tersingkir di bumi sendiri. Islamisasi tajaan beliau ditenggelami Islamisasi tajaan Prof Ismail al Faruqi. Di UKM beliau disingkir dan di ISTAC pun beliau dikatakan disingkirkan. Bak kata orang kanan Anwar Ibrahim, kerenah Prof al Attas banyak memeningkan Anwar. Mungkin inilah yang dihadapi orang dalam melayani kerenah Prof al Attas. Apapun karya Prof al Attas memang hebat dan kualiti tinggi serta beliau seorang yang berprinsip.

Sebagaimana yang kita ketahui, Prof al Attas antara pengasas UKM dan intelek tersohor dalam dunia Islam. Dalam proses pemilihan pengarah yang baru, pemangku NC UKM, Prof Mohd Ghazali bin Abdul Rahman telah mengisytiharkan Prof Muhammad Haji Salleh sebagai Pengarah IBKKM UKM yang baru.

Pelantikan ini dilakukan secara pengundian oleh Majlis Universiti dan mematuhi statut ke 7 Fakulti dan statut ke 14 institut, dekan dan pengarah UKM.

Pada 24 Februari 1975, PMUKM telah mendesak agar pihak pentadbiran mengadakan dialog terbuka. PMUKM telah mendakwa Prof al Attas tidak dicalonkan sebagai Pengarah Institut Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu UKM kerana krisis peribadi beliau dengan pensyarah yang lain.

Pihak pentadbiran menyatakan dialog dengan mahasiswa tidak perlu kerana pelantikan itu sah dan mengikut perlembagaan. Pihak pentadbiran menolak permintaan mahasiswa. Pemilihan Muhammad Haji Salleh dan Siti Hawa selaras dengan Perlembagaan UKM Statut XIV yang telah diluluskan pada 1 April 1974 [Prof al Attas sendiri terlibat dalam pengubalannya] menurut Seksyen 26(1). Mereka yang dipilih dalam kalangan staf akademik untuk satu penggal selama 3 tahun.

Difahamkan, ada staf mencalonkan nama Prof al Attas tetapi beliau sendiri tidak menandatangani kertas pencalonan.

Pada 25 Februari 1975, mahasiswa telah mengadakan demonstrasi di sudut pidato. Patung Muhammad Haji Salleh dan Siti Hawa dibakar.

Pada 26 Februari, mahasiswa tidak dapat menerima penolakkan prof al Attas. Mereka percaya IBKKM tidak akan mendapat kepercayaan di peringkat antarabangsa dan tempatan jika pimpinan bertukar tangan. Ini kerana IBKKM terlalu muda untuk melahirkan siswazah pertama.

PMUKM telah menghantar memorandum agar Prof Muhammad Haji Salleh dan timbalannya Siti Hawa Salleh mengundur diri daripada jawatan tersebut. PMUKM juga kesal dengan kenyataan pemangku pegawai Perhubungan Awam UKM, Encik Salleh Yusuf yang mengatakan bahawa Prof al Attas bukan disingkir tetapi tidak dicalonkan.

Pada 27 Februari , Muhammad Haji Salleh tidak akan mengundur diri daripada jawatan tersebut dan bersedia menghadapi perseteruan dengan mahasiswa. Beliau cuba mengangkatkan imej IBKKM. Perseteruan mahasiswa ini hanya dilakukan oleh 40-60 orang mahasiswa sahaja.

Meraikan demokrasi dalam pemilihan kepimpinan kampus.

Pemilihan secara terbuka dan bebas menjadi bualan mantan pimpinan dan sebahagian ahli Jemaah kampus apabila berlaku kontroversi dalam pemilihan Presiden GAMIS sesi 2011/2012, Ustaz Akram Ikrami Taib Azamudin. Pemilihan dilakukan secara syura dimana secara tradisi pemimpin dipilih dengan persetujuan senior atau mantan pimpinan serta mendapat lampu hijau daripada parti tertentu.

Mantan Pengerusi Majlis Politik Nasional GAMIS dan Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia, Ahmad Syukri Razak telah memberi respon negative cara pemilihan kepimpinan GAMIS.

Mari kita singkap sejarah pemilihan Ikhwanul Muslimin pada zaman Imam Hassan al Hudaybi ke zaman Dr Muhammad Badie[sebelum kejatuhan Husni Mubarak], pemilihan IM secara tertutup. Penindasan menyebabkan suasana ini berlaku.

Persoalan yang timbul, adakah perlu Jemaah Islam kampus seperti GAMIS dan PMI mengamalkan pemilihan secara tertutup?

Dalam sesebuah organisasi, perlembagaan adalah rujukan utama dalam setiap tingkah laku berorganisasi dan perwakilan atau ahli menjadi penentu kepada perubahan perlembagaan atau kepimpinan.

PAS antara Jemaah Islam tersohor di Negara ini mengamalkan tradisi pemilihan secara syura dimana pimpinan yang mendapat pencalonan akan berbincang, jika keputusan tidak dapat dicapai secara sepakat, pertandingan akan diadakan. Sebagai contoh dalam pertandingan Timbalan Presiden PAS, Dato Mustafa Ali telah menentang Ustaz Hassan Syukri manakala Ustaz Nasharudin Mat Isa beberapa kali dicabar dan akhirnya tewas.

Murabbi PAS, Ustaz Yahya Othman pernah menyatakan pemilihan perlu diadakan mengikut perlembagaan. Ustaz Hassan Syukr, pemilihan PAS mesti mengikut perlembagaan, walaubagaimanapun secara tradisi PAS mengamalkan kaedah syura[tradisi ini semakin lapuk dan terhakis].

Keterbukaan dalam pemilihan PAS sangat penting kerana keterbukaan inilah yang menyebabkan kemungkaran dan penyelewengan dalam Jemaah dapat ditumbangkan. Kebangkitan golongan ulama dalam PAS melalui pemilihan secara terbuka.

Kebangkitan pengaruh mahasiswa pro ulama[baca:PAS] dalam PMIUM berlaku setelah mereka menang menewaskan calon mahasiswa PKPIM.

Dalam pemilihan, setiap calon perlu berani bersaing, rela dicabar dengan perasaan terbuka dan professional, tidak merajuk dan membuka ruang untuk pertandingan secara adil kepada para pencabar. Sebahagian sifat-sifat ini dilihat oleh para pimpinan Dewan Muslimat PAS Pusat.

Sebagai cadangan, saya menyarankan:

1. Pemilihan dilakukan untuk memilih Dewan Perwakilan Nasional GAMIS. DPN GAMIS akan memilih jawatan kuasa pusat GAMIS. DPN berhak melantik dan memecat pimpinan. Atau diadakan pemilihan mengikut jawatan ala UMNO atau PAS.
2. Majlis Gabungan GAMIS Negeri menghantar 20 orang wakil, gabungan PMI setiap kampus menghantar 15 orang wakil manakala jawatankuasa yang ada menghantar 15 orang wakil mereka muktamar senawi GAMIS.[senior diberi peluang memilih bersama anggota lain]
3. Setiap calon ada manifesto dan diadakan debat atau pidato bakal pimpinan.

Tradisi pemilihan secara syura wajar dikaji semula. Kehadiran tokoh atau aliran baru dalam GAMIS atau PMI harus ditentang melalui pemilihan yang adil.

Diharapkan ada perubahan dalam pemilihan kepimpinan pada masa depan.

Hapuskan Kasta Keahlian Dalam PMI: Kembali kepada Perlembagaan.

“Ini bukan zaman Ustaz Sayyid Qutb, bro!!”

Zaman Wikileaks, zaman tanpa rahsia dan pembocoran maklumat rahsia berleluasa. Setiap maklumat yang cuba disembunyi, akhir diketahui ramai. Jika kita masih mengamalkan budaya takutkan rahsia dibocorkan, awas maklumat tersebut bakal dibocorkan.

Program pentarbiahan kampus bukanlah rahsia bagi peminat gerakan mahasiswa. Mantan pemimpin mahasiswa GMI yang menyertai pihak pemerintah kerap kali mendedahkan corak tarbiah rahsia GMI. Dalam laman web, idealis mahasiswa dan tulisan Maharaja Zhou, banyak didedahkan. Manakala saudara Fathi Aris Omar turut mendedahkannya.

Beberapa tradisi lapuk yang ada dalam GMI perlu dihapuskan. Antaranya dihapuskan kasta keahlian antara ahli luar dengan ahli dalaman yang dikenali Ahli Unit(AU). Ahli dalaman ditarbiah secara rahsia dan diberi keistimewaan untuk memimpin.

Adakah tradisi lapuk keahlian dalaman ini mengikut kehendak perlembagaan sesebuah PMI?

PMI dan GMI, kembalilah kepada perlembagaan


Friday, July 08, 2011

Kuningkan Kuala Lumpur..

Esok,
Tanggal 9 Julai 2011,
Tarikh bersejarah dan keramat,
Apabila Kuala Lumpur kota terlarang
dihadang oleh pelacur demokrasi,
menghalang perarakan rakyat berbaju kuning
menunjuk rasa.

Ugutan, sekatan, cacian tidak mematikan rasa,
Apatah lagi mematahkan semangat.

Pelacur demokrasi
Jangan sesekali menganjingkan polis yang
mulia tugasnya.
Jangan sesekali menglembukan kakitangan awam yang
Setia-taat kepada negara.
Mereka warga merdeka dan berakal bukannya hamba feudalis.

Ayuh rakyat!
Munculkan diri dari celah-celah kota
kuningkan kota terlarang
BERSIHkan ia dari debu-debu kezaliman.

Ayuh rakyat!
baluti tubuhmu dengan baju kuning terlarang
yang mengigau pelacur demokrasi.

Marilah kita bina jiwa merdeka
Bebas daripada pembodohan dan kongkongan akal
Bebas daripada kezaliman dan korupsi
Dan hidupkan demokrasi
merdeka akal..

Thursday, June 23, 2011

Gabungkan PAS Dengan PKR: Demokrat Liberal?



1. Kalau betul mahukan PAS lebih liberal, gabungkan sahaja PAS dengan PKR. Sebetulnya, saranan pengabungan PKR dengan PAS pernah dikemukakan oleh Ustaz Harun Din, Timbalan Mursyidul Aam PAS suatu ketika dulu.

2. PAS tidak perlu mentaksubi faham liberal ala PKR. PAS tidak perlu menjadi AKP. Pada pendapat penulis, anggota PAS perlu bersikap seperti mantan anggota Parti Refah atau penyokong Erbakan yang menyokong AKP. Dari segi PRINSIP adalah SAADET tetapi PENDEKATAN adalah AKP. Maknanya hanya pendekatan lebih liberal tetapi prinsip pemerintahan Islam masih dalam hati atau masih menjadi tunjang pemikiran mantan anggota Parti Refah.

3. Pendekatan ‘liberal’ ala PAS boleh dikenali sebagai pendekatan politik HIKMAH atau politik MADANI yang diakar-umbikan oleh hujah al Quran dan hadith wajar digemblengkan.

Sunday, June 19, 2011

Seruan Pemuda-Anwar




Generasi muda ada semangat dan ilmu tetapi kekurangan pengalaman. Hormati orang berpengalaman dan beradab itu adalah pemuda budiman.

Buang Negara Islam Dalam Mendepani Realiti Zaman?




1. Muammar Ghadafi, Saddam Husein, Mustafa Kamal, Gamal Nasser dan Hafiz Assad merupakan tokoh revolusi, tokoh perubahan dan tokoh rakyat pada awalnya. Rakyat terkhayal dengan agenda perubahan mereka. Tetapi mereka menjadi sang diktator pada kemuncak pemerintahan mereka. Oleh itu berhati-hati dengan agenda perubahan yang boleh merosakkan masa depan.

2. Perubahan sistem atau pendekatan harus diwacana atau dilakukan secara terancang bukannya spontan.. Kaedah spontan secara revolusi boleh membawa organisasi atau negara ke dalam kancah konflik yang lebih kritikal.

3. Pada abad ini, kewujudan sistem khalifah atau negara Islam dilihat tidak relevan dalam konteks realiti semasa[mungkin satu hari nanti suasana berubah]. Oleh itu, banyak gerakan Islam memilih pendekatan penyertaan dalam sistem dan Islamisasi dalam sistem yang ada. Suasana ini sangat berkaitan dengan sejarah, pembikin sejarah kenegaraan sesebuah negara berjaya menghasilkan sistem termasuk penyusunan sosiopolitik masyarakat dan perlembagaan dalam menghadapi cabaran politik anak bangsa terutamanya gerakan Islam.

4. Latarbelakang sejarah dan pendidikan juga telah mencorak kerangka pemikiran generasi baru umat Islam sekarang terutamanya para anak muda. Mereka lebih liberal dalam mendepani sebarang isu. Imej demokrat liberal mula dijenamakan dan diraikan.

5. Politik Negara Islam atau khalifah yang diperjuangkan boleh meruntuhkan imej Islam sendiri. Perkara ini terjadi semasa Daulah Uthmaniyyah. Pemerintah yang korup atas nama khalifah Islam telah menjatuhkan imej Islam. Oleh itu, generasi sekarang mementing penyertaan parti politik dalam kerajaan untuk mengurus-tadbir negara dengan nilai-nilai atau etika Islam bukannya mengubah menjadi negara Islam. Jika parti politik itu gagal, rakyat boleh menjatuhkan mereka dalam pilihanraya tanpa mengaitkan ia dengan kelemahan sistem Islam.

6. Kebangkitan rakyat Iran menentang Kerajaan Republik Islam Iran dilihat seakan-akan menentang kerajaan Islam.Adakah Pemerintahan Islam yang salah?. Kita mengakui pemerintah Iran juga mempunyai elemen negatif seumpama penyekatan hak kebebasan media. Kesalahan ini memburukkan imej Islam kerana kerajaan Iran berpakaian Islam. Oleh itu, pemuka pendekatan baru politik Islam mahu kerajaan sesebuah negara tidak menamakan kerajaan mereka sebagai kerajaan Islam. Ini membolehkan rakyat menumbang mereka sebagai kerajaan demokratik bukannya kerajaan Islam.

7. Kesalahan pentadbir-ahli politik tidak boleh dibentengi dengan nama Islam. Para ahli politik Islam todak boleh menghalalkan cara atas nama Islam.

8. Dalam persoalan parti politik, perkaitan Islam dengan sesebuah parti politik juga boleh mencemarkan imej Islam. Bayangkan jika ahli parti politik Islam terlibat dalam rasuah, menonton bahan pornografi. Ini semua merosakkan imej Islam. Oleh itu, gerakan Islam telah menyoroti real politik dimana mereka mula berani menjuzuk-bedakan antara jemaah Islam dan parti politik. Di Turki, AKP membuang terus nuasa Islam secara rasmi daripada dasar rasmi mereka manakala Ikhwanul Muslimin Mesir menubuhkan parti baru tajaan mereka. Jelas, mereka tak nak imej Islam diburukkan oleh politik kepartaian dan ahli-ahli parti.

9. Ada juga yang terus dengan jemaah Islam merangkap parti politik seperti PAS dan PKS sedang proses tranformasi dalam mendepani realiti semasa. Cuma beda antara PAS dengan PKS ialah keberanian mereka untuk bertranformasi. Disini dilihat PAS dari segi pelaksanaannya lambat dalam proses tranformasinya kerana kefahaman ahli dan jentera pengurusan yang kurang berupaya.









Saturday, June 18, 2011

Timbalan Presiden: Pembantu atau Penganti Presiden?



1. Timbalan Presiden adalah jawatan dua dalam satu iaitu pembantu dan penganti presiden. Persoalannya, mana lebih utama fungsi pembantu atau penganti presiden?. Ini menimbulkan dua mazhab dalam pemilihan seseorang timbalan presiden.

2. Sebenarnya, tugas pembantu Presiden tidak memerlukan kita menjadi Timbalan Presiden. Anda atau saya boleh menjadi pembantu Presiden. Pada pandangan penulis, timbalan presiden adalah penganti presiden. Oleh itu, pemilihannya adalah lakaran kepimpinan masa depan sesebuah organisasi.

3. Jika kita memilih timbalan presiden berasaskan hendak membantu Presiden, kelak nanti kita akan memperolehi Presiden yang tidak berpengaruh sekaligus menjejaskan kestabilan politik berorganisasi. Bayangkan setiap kali pemilihan ada orang mencabar jawatan Presiden. Kekerapan pertukaran presiden menyebabkan organisasi akan berpuak dan berpecah. Zaman ini agak sukar mencari politik kejujuran, politik sepakat, politik ukhwah dan politik adik beradik.

Friday, June 10, 2011

Wajah PAS Pasca PRU 13: Tersungkur Di Pintu Putrajaya?



[artikel terakhir penulis tentang politik kepartaian, penulis akan beruzalh dari politik]

Dato Asri Muda memang tidak bernasib apabila pro perubahan[anak muda reformis dan kaum ulama] tidak memberi sokongan moral walaupun beliau memenangi jawatan Yang Dipertua PAS tanpa bertanding. Pada peringkat awalnya, khabarnya beliau akan dicabar oleh seorang ulama profesional yang pro perubahan iaitu Tuan Guru Yusof Rawa. Tetapi TGYR telah membatalkan hasratnya dan bertanding jawatan Timbalan DYP PAS. Dikeliling oleh kaum pro perubahan membuatkan Dato Asri keseorangan mengekalkan tradisi ‘Islam nasionalisme’nya. Akhirnya, beliau melepaskan jawatan.

Kini kisah Tuan Guru Haji Hadi agak berlainan apabila beliau gembira dengan suasana PAS pra PRU 13 walaupun dikuasai oleh kelompok progresif liberal(PROLIB). Prolib menguasai kepimpinan utama PAS melalui AJK Kerja PAS Pusat dan Dewan Muslimat. TGHH mengharapkan keberadaan kelompok ini dapat menjayakan misi PAS dalam usaha menghadapi PRU 13. Kekuatan kelompok ini diharapkan memberi suntikan semangat bagi jentera PAS menghadapi BN dan merapatkan hubungan dalam pakatan rakyat. Tiada lagi alasan tiada sinergi dan ruang-peluang.

Persoalan yang timbul, adakah TGHH berupaya menghadapi pemikiran dan pendekatan kelompok ini yang berada biasanya di luar lingkungan tradisi PAS?. Apapun tunjang sokongan TGHH iaitu Dewan Ulama[kelompok pengasas] dan Dewan Pemuda yang dikuasai oleh kelompok neo tradsionalis. Kedua-dua dewan ini sukar diceroboh oleh kelompok prolib. Prollib tidak menyediakan alternatif untuk menguasai dewan-dewan ini padahal mereka ada calon yang berkebolehan untuk mencabar kelompok pengasas dan neo tradisionalis. Antaranya yang diingati ialah TG Ahmad Awang dan saudara Abdullah Karim.

[Label diberi berasaskan kelompok pemikiran/pendekatan bukannya atas dasar ulama atau profesional]

Penulis melihat ramai blogger yang menyokong kelompok prolib bangga dan puas hati. Tiada lagi kecaman terhadap pimpinan utama bahkan mereka mula memuji dan memuja pemimpin PAS termasuk TGHH yang dulunya dikatakan lemah. Kini, misi kritikan dan hentaman mereka kelihatan bakal tertumpu kepada Dewan Pemuda dan Dewan Ulama.
Dulunya penulis ada terbaca, ada dalam kalangan mereka memang suka TGHH memegang jawatan Presiden PAS dengan anggapan kekalahan PAS pada PRU 13 sebagai modal mendesak TGHH meletakkan jawatan sebagaimana jatuhnya Dato Asri. Kejatuhan TGHH membuka ruang agar Presiden bukan lagi daripada golongan ulama. Kemenangan Muhammad Sabu dilihat membuka satu langkah ke arah itu apabila perwakilan memecah tradisi kepimpinan ulama tanpa mendengar ‘fatwa’ TG Haron Taib dan TG Harun Din. Mungkin ini yang tidak disenangi oleh Pak Subky Latif, TG Haron Din dan TG Haron Taib.

Perlembagaan PAS menyatakan” Jika sekiranya Presiden berhenti atau diberhentikan atau dengan apa-apa jua sebab yang menjadikan ia terhalang daripada memegang jawatannya itu, maka Timbalan Presiden dengan sendirinya memangku jawatan Presiden sehingga Presiden itu dapat dipilih semula, atau dapat memegang jawatannya semula.”. Ini jelas penganti Presiden adalah Timbalan Presiden bukanlah calon Majlis Syura Ulama.

Sebahagian daripada kelompok pengasas risau ahli muda melupakan sejarah kenapa PAS beralih kepada kepimpinan ulama dan konflik dalaman pentarbiahan. Mereka juga risau tradisi kepimpinan ulama terus diruntuhkan dengan Presiden bukan lagi dalam kalangan ulama. Sebenarnya, ahli PAS tidak perlu risau jika Majlis Syura Ulama bergiat aktif memantau dan mengaudit[cadangan Muhammad Sabu] badan eksekutif parti. Ulama dalam PAS bukan setakat pemimpinnya adalah ulama tetapi institusi kepimpinan ulama yang diurus tadbir secara kolektif melalui MSU.

Muhammad Sabu sendiri adalah aktivis pendokong ulama tegar. Beliau sangat menghormati ulama. Muhammad Sabu tidak mahu orang bertenggek atas nama kepimpinan ulama atau mempunyai sijil kelulusan agama sahaja tanpa berbuat kerja. Beliau mahu ulama sejati yang berilmu, membina masyarakat, memberi ilmu dan berjuang serta berjihad. Dalam PAS, lebih ramai aktivis merasai penjara dan semburan ‘air syaitan’ FRU berbanding kelompok ulama. Ulama mesti berjuang dan berjihad.

PAS terutamanya Dewan Ulama dijangka akan kehilangan pengaruh dengan kebanjiran ahli-ahli PAS termasuk golongan agamawan yang terpengaruh dengan faham liberal, faham material, faham demokrasi-sekular dan faham waham. Agamawan muda turut terpalit dengan faham-faham ini. Dewan Ulama perlu membuka ruang ijtihad dan pendekatan baru mendekatkan silibus tarbiah kepada golongan muda. Dewan Ulama juga harus mengawal agar pemikiran liberal ala Barat yang sudah masuk ke dalam Nahdatul Ulama dan Muhamadiyyah tidak menguasai pemikiran ahli muda PAS.

Jika Dewan Pemuda dan Dewan Ulama malas dan tidak bekerja kuat, suatu hari nanti wajah PAS akan berubah ke arah konsep kepartian sekular. Dewan Ulama perlu kuat bekerja dan membuktikan kualiti hasil kerja mereka. Jika mereka malas dan tidak mahu berubah, satu hari nanti perwakilan akan menolak kepimpinan ulama. Tiada lagi hujah-hujah al Quran dan hadith daripada mulut Presiden. Ketika itu, Presiden akan bercakap nilai kemanusiaan dan politik sahaja. Risau juga jika Tuan Presiden PAS menyatakan ‘semua agama sama sahaja’ atau ‘murtad itu antara ciri kebebasan beragama’..

Penguasaan kelompok PROLIB dilihat anjakan pemikiran dan pendekatan dalam memperkasakan PAS. Cuma bersama kelompok ini ada pemuja liberal ala Barat. Perkara ini perlu diteliti agar tidak terpedaya oleh musuh. Dewan Pemuda dan Dewan Ulama PAS perlu mendekati kelompok anak muda reformis yang jiwanya memberontak, mahu pembaharuan, bersemangat, tergesa-gesa dan ‘mabuk’ wacana dan retorika hujjah dan ceramah, dan pemuja terhadap tokoh-tokoh sehingga membuta arah tujuan perjuangan jemaah dan melupakan sejarah.

Akhirnya, wajah PAS berubah kerana kehendak perwakilan PAS. Muktamar berhak mengubah PAS. Pemimpin atau kelompok pemikiran/pendekatan mampu bertahan dengan sokongan perwakilan muktamar.

Thursday, June 09, 2011

wawancara menarik

Dari Rosalyn penulis buku Kristian kepada Ruqaiyyah penulis buku Islam



Menyebut nama Rosalyn Rushbrook, masyarakat Inggeris pasti akan segera mengingati buku-buku pengetahuan dasar Kristian. Penerima gelaran sarjana teologi di Hull University ini memang aktif menulis buku-buku bertema Kristian untuk beberapa penerbitan utama. Malah, beberapa bukunya dicadangkan untuk pengajaran banyak sekolah di England.

Wanita yang lahir pada tahun 1942 ini berkahwin dengan penyair George Morris Kendrick pada tahun 1964 dan kemudian mendapat dua orang anak. Perkahwinan mereka berakhir setelah suaminya berpindah menganut agama Scientologis tahun 1986.

Akhir tahun 1986, beliau mendapat hidayah dan memeluk Islam dan menggantikan namanya menjadi Ruqaiyyah.

Pada tahun 1990 beliau berkahwin dengan seorang lelaki kelahiran Pakistan, Waris Maqsood Ali. Namun sembilan tahun kemudian mereka bercerai kerana Waris berkahwin dengan sepupunya yang masih muda di Pakistan, demi membolehkan status isteri barunya menjadi rakyat England.

Setelah menjadi Muslim, beliau aktif menulis buku-buku keislaman. Ia menjawat jawatan sebagai Ketua Pengajian Keagamaan di William Gee High School, Hull, England. Ia telah menulis lebih dari empat puluh buku tentang berbagai aspek agama, bertumpu pada antara lain indahnya menganut Islam dan pedoman bagi para mualaf.

Banyak dari buku-bukunya diterbitkan oleh Goodword Press dari New Delhi, termasuk Living Islam, The Muslim Prayer Encyclopedia, dan buku-buku konsultasi bagi remaja. Dia pernah diundang oleh Hodder Headlines untuk menulis buku Islam dalam bab World Faiths dalam siri buku popular di seluruh dunia, Teach Yourself

Dia juga telah menciptakan program yang membolehkan mahasiswa untuk mempelajari Islam. Buku berjudul Islam ini diterbitkan oleh Heinemann Press pada tahun 1986 dan terus diulang cetakan, dan Do-it-Yourself Coursebook yang diterbitkan oleh IPCI.

Buku ini telah digunakan secara meluas di sekolah-sekolah England selama lebih dari 20 tahun, dan Pengajian DIY kini telah diambil oleh banyak orang mahasiswa, dan kumpulan swasta bukan hanya di Englad tapi di beberapa negara.

Dia ada di antara Muslim England pertama yang menerima penghargaan Muslim News Awards for Excellence pada tahun 2001, dan Muhammad Iqbal Award untuk Kreativiti dalam pemikiran Islam.

Berikut petikan wawancaranya dengan BBC soal keislamannya:

Bagaimana menjadi mualaf di mata anda?

Tidak ada yang lebih mudah dari berhijrah menjadi Muslim - ketika kita menyedari dengan sungguh-sungguh bahawa Allah itu memang ada, dan seorang lelaki kelahiran Arab bernama Muhammad adalah utusan-Nya. Kemudian kita bersyahadat. Ini langkah pertama kita menjadi Muslim. Bertakwa, kemudian hati menjadi ihsan.

Dari segi sosial, Islam harus menjadi sebahagian dari gaya hidup anda. Bagi mualaf perempuan, maka ertinya ada pertaruhan besar berkait pembangunan kepercayaan diri. Tidak hanya kerana cara berpakaian juga berubah -- yang pasti akan disertai perubahan sikap keluarga dan orang-orang terdekat -- juga anda harus bersiap tidak disapa seorang lelaki pun di masjid manapun yang anda masuki (ia menyampaikannya dengan sedikit bercanda).

Bagimana makna menerima keyakinan Islam?

Menjadi Muslim, ertinya mendapatkan keyakinan universal. Kita tak perlu berpura-pura menjadi orang Arab atau Pakistan, untuk merasa memiliki dan dimiliki oleh Islam.

Kita sekarang tahu ada Muslim di setiap tempat di dunia, dari Eskimo hingga Aborigin.

Kita mungkin mengambil nama Arab, atau kita dapat memilih untuk menjaga nama lama kita, itu tidak terlalu penting.


Ada kekecewaan setelah menjadi Muslim?

Kita telah menjadi cukup dewasa untuk menyedari bahawa tidak setiap Muslim adalah orang suci. Mereka adalah juga manusia biasa dan kebanyakan dari kita jauh dari sempurna.

Kita mungkin akan mendapatkan kekecewaan menemui bahawa tidak setiap Muslim hidup dengan cara muslim. Tapi perkara ini tidak membuat kami menyerah atau menuduh mereka sebagai munafik, kita hanya melakukan yang terbaik untuk hidup kita sendiri dengan cara terbaik yang kita boleh.

Beberapa Muslim sangat spiritual dalam erti Islam benar-benar menjadi tuntutan hidupnya, sementara beberapa hanya ritualistik dalam menganut Islam.

Tapi kami para Muslim 'pendatang' semakin merasa kita dapat mengambil tempat bersama yang lain dalam perakara ini umat yang luas atau keluarga, dan selama kita melakukan yang terbaik, Allah akan memberikan balasan atas niat baik kita.

Sumber: BBC, Islam for Today
Posted by Tulahan

Monday, June 06, 2011

KERJA, FATWA dan POPULARITI



Hasil kerja, kompentensi dan prestasi kerja antara elemen penting dalam pengurusan organisasi pada zaman sekarang. Aspek keilmuan dan akhlaq bukan lagi pilihan utama. Pada pandangan saya, semua pimpinan organisasi bekerja, cuma hasil dan prestasi berbeza. Begitu juga tahap elemen komunikasi dan media adalah berbeza.

Ada orang bekerja dalam diam dan ada pula yang mewar-warkan. Penggunaan media massa dalam mewar-warkan kerja dapat membuka mata ahli komuniti bahawa mereka sedang bekerja. Pemasaran ‘diri’ dan produk pada zaman ini cukup penting. Ini bukan lagi zaman ‘ikhlas dan tawaduk’, ini zaman komersial dan populariti. Jika tiada nilai komersial-pengiklanan dan populariti, seorang atau sesebuah organisasi akan berada dalam kegelapan. Oleh itu, kita seharusnya bijak mengunakan ruang untuk menonjolkan hasil kerja secara terancang.

Artis dan politikus menjadikan diri mereka sebagai produk yang dipopularkan oleh media massa. Sama ada hasil kerja atau kenyataan mereka akan menghasilkan sesuatu bahan bicara kepada komuniti sehingga dapat mengangkat popularitinya.

“ini zaman prestatif bukannya zaman FATWA sang lebai”

Fatwa yang mengikat dan menjumud pemikiran masyarakat semakin dihakis oleh faham liberal, faham material dan faham demokrasi dalam sesebuah organisasi. Para ulama yang suka berfatwa tanpa menuruni ke medan masyarakat dan berprestasi lemah tidak akan dipilih dan tidak disenangi oleh anggota komuniti. Ulama perlu mengubah corak pemikiran dan pendekatan. Jiwa perubahan dengan pembukaan pintu ijtihad perlu disemati dalam jiwa dan pemikiran ulama.

Kemerosotan sokongan terhadap kelompok pengasas kepimpinan ulama dalam muktamar PAS yang baru berlangsung sewajarnya memberi kesedaran kepada para ulama dalam PAS terutamanya dalam MSU dan Dewan Ulama agar kuat bekerja dan berprestatif. Masa untuk asyik berfatwa sudah berlalu. Berfatwa dan berkerja itulah jawapannya.

Populariti datang dari media massa. Media massa yang mengangkat populariti. Dalam PAS, populariti dimulakan dengan penamaan atau penarafan ‘jawatan’ atau sistem pemberian nama (nomenclature). Ustaz Hadi dan Ustaz Nik Aziz ditokgurukan. Retorik, kenyataan dan permainan isu antara suntikan yang membolehkan seseorang popular. Selain itu, medium yang digunakan antara penyebab seseorang itu populariti. Ustaz Azhar Idrus menggunakan youtube, CD dan facebook.

Dan ada juga populariti itu datang dari bakat, ilmu, harta dan pangkat.
Populariti juga hasil kebijakkan seseorang meletakkan subjek[diri, isu] menepati kehendak semasa disamping memainkan subjek dalam masyarakat.

Ahli komuniti perlu membezakan populariti dengan kompentennya hasil kerja seseorang. Adakah memimpin demonstrasi dan kebolehan pidato berapi dan humor itu dijadikan indek dalam menilai kompentensi kerja seseorang? Ahli komuniti perlu prihatin dan bijak. Jangan kebaikan dan kemesraan mereka membutakan penilaian kita terhadap kualiti kerja atau kebenaran yang dimiliki mereka.

Saturday, June 04, 2011

Pilih Realiti Semasa dan Paling Afdal

Kata Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah dalam kitabnya al-Siyasah al-Syar'iyyah fi Islah al-Ra'iy wa al-Ra'iyyah: "Apabila dua orang, salah seorangnya lebih amanah dan seorang lagi lebih kuat (mampu) maka hendaklah didahulukan yang lebih bermanfaat untuk jawatan berkenaaan dan paling kurang mudharatnya bagi jawatan tersebut. Maka dalam mengepalai peperangan, yang kuat dan berani -walaupun padanya ada kejahatan- diutamakan dari lelaki yang lemah dan tidak berkemampuan walaupun dia seorang yang amanah. Ini seperti yang ditanya kepada al-Imam Ahmad: Mengenai dua lelaki yang menjadi ketua di dalam peperangan, salah seorangnya kuat tetapi jahat dan seorang lagi soleh tetapi lemah, siapakah yang layak berperang? Jawab al-Imam Ahmad: "Yang kuat dan jahat. Ini kerana kekuatanya untuk kepentingan orang Islam, kejahatannya untuk dirinya sendiri . Adapun yang solih tetapi lemah maka kesolihannya untuk dirinya tetapi kelemahannya merugikan orang Islam". Maka berperang bersama yang kuat dan jahat.”.RasululLah s.a.w juga pernah bersabda:
إِنَّ اللَّهَ يُؤَيِّدُ الدِّينَ بِالرَّجُلِ الْفَاجِرِ
“Sesungguhnya Allah menguatkan agama ini dengan lelaki yang jahat” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

(DrMAZA.com)

salin dari fuad

Friday, June 03, 2011

Muhammad Sabu: Jalan Ketiga Yang Berselekoh?



Penguasaan kelompok progresif liberal(prolib) dalam muktamar PAS 2011 memberi isyarat perwakilan mahu perubahan besar dalam hala tuju PAS. Perwakilan mahukan gerak kerja, pendekatan dan pemikiran kelompok progresif liberal dijadikan landasan baru dalam menghadapi cabaran UMNO-BN mengantikan pendekatan dan pemikiran tradisi kelompok pengasas kepimpinan ulama PAS.

Kejayaan kelompok liberal menggugat tradisi-tradisi garapan kelompok pengasas menandakan perwakilan dan ahli mahu perubahan dalam ‘tabu’ kepimpinan PAS. Kelompok progresif liberal dilihat bukan bertujuan meruntuh kepimpinan ulama tetapi meregenerasikan kepimpinan ulama dengan gagasan/cara yang baru. Majlis Syura Ulama, Dewan Pemuda, Dewan Ulama dan Presiden PAS perlu memberi ruang dan peluang kepada kelompok ini merealisasikan eksperimen mereka. Jawatan penting dalam parti seperti SUA(YB Nizar-cadangan), Pengarah piliharaya(Dr Dzukifli-cdag), Ketua Penerangan(YB Ir Saari Sungip atau Hanipa Maidin-cdg) dan Jabatan Penyelidikan (Dr Mujahid cdg) perlu diberi kepada kelompok ini. Sesi ini, tugasan Presiden memantau perjalanan organisasi dan penyatu kelompok-kelompok dalam PAS.

Dewan Ulama dan Dewan Pemuda yang dikuasai oleh kelompok pengasas dan Neo Tradisional akan memberi keseimbangan kepada pendekatan kelompok progresif liberal. Keseimbangan ini akan dapat menambah nilai ‘produk’ PAS kepada masyarakat. Selain mengkritik, DU dan DPPP perlu sedia ‘bersahabat’ dengan idea dan pendekatan kelompok progresif liberal.

Kelompok progresif liberal memberi sokongan kepada calon alternatif iaitu Muhammad Sabu. Muhammad Sabu dari segi pemikiran bukanlah tergolong dalam kelompok ini tetapi pendekatan yang digunakan oleh Muhammad Sabu dianggap mendekati pendekatan kelompok progresif liberal. Sokongan populis peminat tegar dan kelompok prolib memberi kelebihan undi kepada Muhammad Sabu.

Muhammad Sabu dilihat Timbalan Presiden Khas yang bertujuan menjayakan misi PRU 13. Muhammad Sabu seorang pro ulama, pro pakatan dan non Anwaris, beliau mempunyai kelebihan dalam mendekati massa terutamanya non muslim, anak muda, NGO, aliran pemikiran kiri dan rakan Pakatan Rakyat dalam memperjuangkan sesuatu isu. Pengalaman dan gerak kerja beliau dijadikan azimat berguna kepada PAS dalam menghadapi PRU 13 bahkan menghadapi Anwar sendiri jika Anwar bermasalah.

Adakah Muhammad Sabu menjadi Presiden PAS pada masa depan?. Jawapannya kemungkinan tidak, kecuali presiden PAS meninggal dunia. Muhammad Sabu dilihat Timbalan Presiden Sepenggal yang istimewa dalam menangani PRU 13. Dari segi politik dalaman, Muhammad Sabu akan terus dicabar oleh kelompok pengasas kepimpinan ulama bahkan kemenangan Muhammad Sabu membuka ruang agar kelompok progresif liberal menggugat jawatan Presiden dan Timbalan Presiden pada masa depan. Tiada lagi tradisi bahawa timbalan presiden adalah ulama. Cerita untuk ulama ditulis sebagai Presiden dan Timbalan dalam perlembagaan sudah basi.

Kemenangan Muhammad Sabu juga merencatkan kekukuhan pelapis baru[sebagai Presiden] pasca TGHH. Dari segi keupayaan politik TGHH masih boleh bertahan(dengan izin Allah) dalam dua penggal lagi. Dalam dua penggal akan datang, PAS perlu melatih seorang calon Presiden PAS. Antara pemimpin tersebut ialah Tuan Guru Tuan Ibrahim dan ustaz nasha bagi kelompok pengasas dan Dato Husam dan YB Solahuddin bagi kelompok progresif liberal. Ustaz Tuan Ibrahim dilihat kurang berpengalaman dalam organisasi dan kurang pengaruh diperingkat antarabangsa. Oleh itu saya sarankan, Ustaz Tuan Ibrahim dilantik Setiausaha Agung PAS[jika Presiden menolak kelompok PROLIB bagi jawatan ini} yang baru manakala Ustaz Nasha dilantik Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan. Kelemahan ustaz nasha ialah tiada bukti prestasinya dan tiada tapak politik akar umbi.

Ustaz Nasha dan Ustaz Tuan Ibrahim tiada isu menarik tentang mereka kecuali mitos rapat dengan UMNO. Perjuangan Muhammad Sabu selama ini membuka ruang media massa arus perdana mengungkit kembali isu lama terutamanya isu syiah. Seperti Anwar, Muhammad Sabu bakal menghadapi cabaran dalam usaha membunuh karekternya. Oleh itu, Muhammad Sabu perlu bersedia dan menjaga diri agar tidak terpalit dengan isu-isu peribadi yang boleh menjatuhkan imej PAS.

Saya mengharapkan Muhammad Sabu dan kelompok PROLIB menggunakan peluang ini membuktikan laungan pemikiran dan hujjah mereka bukan tin kosong atau retorik ala Anwar. Saya juga mengharapkan kelompok pengasas dan neo tradisionalis tidak menganggu jalan kelompok PROLIB dalam merealisasikan cara mereka. Ini masa mereka, kalian bantu mereka sebagaimana selama ini mereka membantu kalian. Takziah dan taniah kepada Muhammad Sabu dan kelompok PROLIB dan selamat berjuang. Kepada generasi pengasas, terus istiqamah dan muhasabah diri agar kalian dapat mengubah cara berfikir dan bertindak. Kalian juga perlu membuktikan hasil kerja kalian dalam Dewan Ulama dan Dewan Pemuda.

Perubahan Oh Perubahan

Perubahan
“...memerlukan perubahan dan mempastikan sentiasa dalam proses perubahan seperti air mengalir dari gunung ke bukit dan seterusnya ke sungai, ia mengalir dan bersih serta boleh dimanfaatkan. Tetapi air yang bertakung, tidak mengalir dan tidak berubah adalah kotor dan tidak boleh digunakan kerana ia memudarat”

Begitu ucapan dasar TG Fadzil Noor tentang perubahan. Saya memahami perubahan yang dimaksudkan perubahan positif. Perubahan boleh diakibatkan dua keadaan iaitu positif dan negatif. Perubahan positif sesuai dengan konsep hijrah.

Sistem dan organisasi serta pemainnya mesti berada dalam proses perubahan agar ia sesuai dengan realiti semasa dan menepati kehendak zaman. Keupayaan kita berubah tanpa menghilangkan asas-asas matlamat dengan pendekatan menepati zaman membolehkan kita terus relevan.

Dalam dunia sekarang, pengurusan, pemasaran ‘produk’ dan komunikasi antara elemen penting yang perlu berada dalam sesebuah organisasi. Perubahan minda, sikap serta kehendak ‘masyarakat pengguna’ perlu disantuni dengan cermat dan berhikmah.

Orang mengatakan perubahan dapat dilakukan dengan perubahan kepimpinan. Pemimpin merupakan pemain perubahan. Walaubagaimanapun, perubahan adalah hasil kolektif keseluruhan struktur organisasi dan sistem. Maknanya, pengantungan perubahan dilakukan oleh seseorang pemimpin hanya sedikit peratusannya.

Di Malaysia, proses perubahan sangat perlahan. Kita takut untuk berubah, takut bereksperimen, takut kegagalan. Proses perubahan di negara kita gagal kerana pemain utamanya mempunyai kepentingan peribadi, kronisme, rasuah, kemalasan dan tidak disokong oleh sistem dan khalayak pelaksana.

Dalam gerakan Islam di Malaysia, saya kecewa apabila ramai orang melihat perubahan hanya pada perubahan kepimpinan. Saya tidak nafi pentingnya perubahan kepimpinan tetapi ada lagi yang lebih penting iaitu perubahan sistem, pendekatan dan perlembagaan organisasi.

Ikhwanul Muslimin Mesir terus memisahkan peranan jemaah dengan parti politik. Kebiasaannya, politik kepartaian merosakkan imej jemaah dalam persoalan perebutan kuasa. Manakala Partai Keadilan Sejahtera mengasingkan pentadbir kerajaan dengan ahli parti mereka agar imej ahli yang bermasalah tidak terpalit pada PKS. Ini satu perubahan yang berani. Adakah, jemaah Islam di Malaysia berani membuat eksperimen seperti ini?. Memperkasakan Majlis Syura Ulama pun kelihatan lembap.

Sekian lama PAS bergelumang dengan kepimpinan ulama, isu profesional vs ulama masih bergema setiap kali muktamar pemilihan. Beranikah perwakilan mewajibkan Presiden dan timbalannya daripada golongan ulama ditulis dalam perlembagaan?. PAS melalui MSU harus mengemukakan pelan jangka panjang wajah PAS pada masa depan yang hendak kita ukirkan dan pelan ini diserahkan kepada konvesyen, kemudian diusulkan ke muktamar. Sedih apabila kita jadikan muktamar pentas menghentam UMNO, sedangkan muktamar adalah wasilah untuk melakukan perubahan dalam PAS.

Oleh itu, perubahan senantiasa perlu agar hasil lebih berkualiti, lebih berjaya dan lebih positif. Kesegaran organisasi datang daripada proses perubahan yang istiqamah. Orang sekarang melihat kualiti ‘produk’. Jika tidak mahu berubah, kelak nanti kita akan rebah.