Islam Versi Siapa dan Islam Bagaimana?
Persoalan sebegini dimainkan untuk menghakis kewibawaan seseorang ulama dan cuba melemahkan institusi atau organisasi Islam.
Islam bukan agama yang dihasilkan oleh pentafsiran para ulama berdasarkan kehendak nafsu dan aqal mereka. Peranan ulama mengkaji, menyebar, mentafsir dan menyusun ilmu yang diperolehi daripada sumber-sumber yang berautoriti, berwibawa, sahih dan benar.
Islam suatu ‘agama’ yang bertunjangkan ilmu yang diperakui kesahihannya. Menurut Syeikh Muhammad Shaleh Bin Abdullah Mengkabauwi, asal amal (amalan dan tindakan) dan asal ma’rifah (mengenali Allah) itu (adalah) ilmu, dengan sebab itulah (kita) wajib menuntut ilmu.
Kesahihan ilmu dalam pengajian Islam bergantung kepada [1] sumber dan [2] kewibawaan ulama. Menurut Syeikh Muhammad Shaleh Bin Abdullah Mengkabauwi, bermula asal ilmu itu al-Quran. Jika ilmu tidak muafakat atau bertentangan dengan Al-Quran dan As-Sunnah, ilmu itu akan ditolak dan tidak perlu dipegangi.
Al-Quran ditanzilkan oleh Allah. Pentanzilan ini mewajibkan kita menerima tanpa alasan dan segala hujah yang ditentukan oleh Al-Quran. Konsep Tanzil ini wajib dipegang dan diimani dalam meningkatkan darjah keihsanan diri kita di sisi Allah SWT.
Kewibawaan ulama ditentukan dengan [1] ketaqwaan, [2] sanad ilmu, [3] kebolehpercayaan dan [4] jarak zaman mereka dengan zaman Rasulullah SAW dan zaman Sahabat. Dalam pengajian ilmu secara bersanad, kita mampu belajar dengan para guru yang bersambungan sanad mereka sehingga kepada penulis asal kitab. Keaslian dan kesahihan ilmu terjamin benar daripada penyelewengan.
Menjawab persoalan Islam versi siapa. Allah SWT menerangkan dalam Surah Al-Maidah ayat 3,
‘.... Pada hari ini, Aku sempurnakan agamamu untukmu dan telah Aku cukupkan nikmatku bagimu dan telah Aku redha Islam sebagai agamamu...’
Sudah cukup ayat ini mengambarkan bahawa Islam ini adalah sistem yang ditanzilkan oleh Allah SWT untuk manusia. Manusia mesti hidup dalam sistem yang ditentukan olehNya.
Para ulama dengan teliti menyusun ilmu-ilmu Islam dan kaedah ilmu. Mereka bukan mewujudkan sesuatu benda yang baru tetapi menyusun untuk lebih mudah dan sistematik untuk orang mempelajarinya.
Perbezaan pandangan antara ulama dan agamawan dibenarkan. Kita dibenarkan memilih pandangan ulama yang paling dekat dengan al-Quran dan as Sunnah. Pandangan ulama yang jauh daripada sumber al-Quran dan as Sunnah bukannya ditolak tetapi dihormati pandangan mereka.
Kita mengakui ada sesetengah ulama atau agamawan yang kurang beradab, ekstrem dan pelbagai kelemahan, kesilapan dan kekurangan. Kelemahan, kesilapan dan kekurangan itu disebabkan oleh diri mereka sendiri bukannya Islam. Kita diberi akal untuk memilih pandangan ulama, pemilihan itu dalam lingkungan syarak dan kaedah ilmu-ilmu Islam.
Dalam mencari Islam bagaimana, kita mesti meluruskan pandangan hidup kita tentang Islam, kita wajib menyakini apa yang diutarakan oleh Imam Hassan al-Banna seperti di bawah:
1. Hukum dan ajaran Islam lengkap mencakupi seluruh urusan dunia dan akhirat.
2. Intipati ajaran Islam ialah al Quran dan as Sunnah Rasulullah SAW.
3. Islam adalah agama yang lengkap menyentuh seluruh aspek kehidupan untuk semua bangsa pada bila-bila masa dan di mana sahaja tempatnya.
Islam tidak boleh dilaksanakan mengikut kehendak akal dan nafsu kita. Islam perlu dilaksanakan berdasarkan sumber-sumber dan kaedah ilmu-ilmu Islam. Justeru, kita mesti terus belajar tentang Islam. Jika kita sudah menguasai ilmu-ilmu Islam, kita boleh terus merujuk kepada sumber ilmu tanpa mengikuti hujah-hujah ulama.
Persoalan yang timbul sebenarnya bukanlah Islam siapa atau bagaimana?. Persoalan sebenarnya ialah sejauhmana kita menYAKINi al-Quran dan as Sunnah yang menjadi tunjang amalan kita dan sejauhmana kita mengAMALkan Islam yang kita belajar?.
No comments:
Post a Comment