Friday, June 10, 2011

Wajah PAS Pasca PRU 13: Tersungkur Di Pintu Putrajaya?



[artikel terakhir penulis tentang politik kepartaian, penulis akan beruzalh dari politik]

Dato Asri Muda memang tidak bernasib apabila pro perubahan[anak muda reformis dan kaum ulama] tidak memberi sokongan moral walaupun beliau memenangi jawatan Yang Dipertua PAS tanpa bertanding. Pada peringkat awalnya, khabarnya beliau akan dicabar oleh seorang ulama profesional yang pro perubahan iaitu Tuan Guru Yusof Rawa. Tetapi TGYR telah membatalkan hasratnya dan bertanding jawatan Timbalan DYP PAS. Dikeliling oleh kaum pro perubahan membuatkan Dato Asri keseorangan mengekalkan tradisi ‘Islam nasionalisme’nya. Akhirnya, beliau melepaskan jawatan.

Kini kisah Tuan Guru Haji Hadi agak berlainan apabila beliau gembira dengan suasana PAS pra PRU 13 walaupun dikuasai oleh kelompok progresif liberal(PROLIB). Prolib menguasai kepimpinan utama PAS melalui AJK Kerja PAS Pusat dan Dewan Muslimat. TGHH mengharapkan keberadaan kelompok ini dapat menjayakan misi PAS dalam usaha menghadapi PRU 13. Kekuatan kelompok ini diharapkan memberi suntikan semangat bagi jentera PAS menghadapi BN dan merapatkan hubungan dalam pakatan rakyat. Tiada lagi alasan tiada sinergi dan ruang-peluang.

Persoalan yang timbul, adakah TGHH berupaya menghadapi pemikiran dan pendekatan kelompok ini yang berada biasanya di luar lingkungan tradisi PAS?. Apapun tunjang sokongan TGHH iaitu Dewan Ulama[kelompok pengasas] dan Dewan Pemuda yang dikuasai oleh kelompok neo tradsionalis. Kedua-dua dewan ini sukar diceroboh oleh kelompok prolib. Prollib tidak menyediakan alternatif untuk menguasai dewan-dewan ini padahal mereka ada calon yang berkebolehan untuk mencabar kelompok pengasas dan neo tradisionalis. Antaranya yang diingati ialah TG Ahmad Awang dan saudara Abdullah Karim.

[Label diberi berasaskan kelompok pemikiran/pendekatan bukannya atas dasar ulama atau profesional]

Penulis melihat ramai blogger yang menyokong kelompok prolib bangga dan puas hati. Tiada lagi kecaman terhadap pimpinan utama bahkan mereka mula memuji dan memuja pemimpin PAS termasuk TGHH yang dulunya dikatakan lemah. Kini, misi kritikan dan hentaman mereka kelihatan bakal tertumpu kepada Dewan Pemuda dan Dewan Ulama.
Dulunya penulis ada terbaca, ada dalam kalangan mereka memang suka TGHH memegang jawatan Presiden PAS dengan anggapan kekalahan PAS pada PRU 13 sebagai modal mendesak TGHH meletakkan jawatan sebagaimana jatuhnya Dato Asri. Kejatuhan TGHH membuka ruang agar Presiden bukan lagi daripada golongan ulama. Kemenangan Muhammad Sabu dilihat membuka satu langkah ke arah itu apabila perwakilan memecah tradisi kepimpinan ulama tanpa mendengar ‘fatwa’ TG Haron Taib dan TG Harun Din. Mungkin ini yang tidak disenangi oleh Pak Subky Latif, TG Haron Din dan TG Haron Taib.

Perlembagaan PAS menyatakan” Jika sekiranya Presiden berhenti atau diberhentikan atau dengan apa-apa jua sebab yang menjadikan ia terhalang daripada memegang jawatannya itu, maka Timbalan Presiden dengan sendirinya memangku jawatan Presiden sehingga Presiden itu dapat dipilih semula, atau dapat memegang jawatannya semula.”. Ini jelas penganti Presiden adalah Timbalan Presiden bukanlah calon Majlis Syura Ulama.

Sebahagian daripada kelompok pengasas risau ahli muda melupakan sejarah kenapa PAS beralih kepada kepimpinan ulama dan konflik dalaman pentarbiahan. Mereka juga risau tradisi kepimpinan ulama terus diruntuhkan dengan Presiden bukan lagi dalam kalangan ulama. Sebenarnya, ahli PAS tidak perlu risau jika Majlis Syura Ulama bergiat aktif memantau dan mengaudit[cadangan Muhammad Sabu] badan eksekutif parti. Ulama dalam PAS bukan setakat pemimpinnya adalah ulama tetapi institusi kepimpinan ulama yang diurus tadbir secara kolektif melalui MSU.

Muhammad Sabu sendiri adalah aktivis pendokong ulama tegar. Beliau sangat menghormati ulama. Muhammad Sabu tidak mahu orang bertenggek atas nama kepimpinan ulama atau mempunyai sijil kelulusan agama sahaja tanpa berbuat kerja. Beliau mahu ulama sejati yang berilmu, membina masyarakat, memberi ilmu dan berjuang serta berjihad. Dalam PAS, lebih ramai aktivis merasai penjara dan semburan ‘air syaitan’ FRU berbanding kelompok ulama. Ulama mesti berjuang dan berjihad.

PAS terutamanya Dewan Ulama dijangka akan kehilangan pengaruh dengan kebanjiran ahli-ahli PAS termasuk golongan agamawan yang terpengaruh dengan faham liberal, faham material, faham demokrasi-sekular dan faham waham. Agamawan muda turut terpalit dengan faham-faham ini. Dewan Ulama perlu membuka ruang ijtihad dan pendekatan baru mendekatkan silibus tarbiah kepada golongan muda. Dewan Ulama juga harus mengawal agar pemikiran liberal ala Barat yang sudah masuk ke dalam Nahdatul Ulama dan Muhamadiyyah tidak menguasai pemikiran ahli muda PAS.

Jika Dewan Pemuda dan Dewan Ulama malas dan tidak bekerja kuat, suatu hari nanti wajah PAS akan berubah ke arah konsep kepartian sekular. Dewan Ulama perlu kuat bekerja dan membuktikan kualiti hasil kerja mereka. Jika mereka malas dan tidak mahu berubah, satu hari nanti perwakilan akan menolak kepimpinan ulama. Tiada lagi hujah-hujah al Quran dan hadith daripada mulut Presiden. Ketika itu, Presiden akan bercakap nilai kemanusiaan dan politik sahaja. Risau juga jika Tuan Presiden PAS menyatakan ‘semua agama sama sahaja’ atau ‘murtad itu antara ciri kebebasan beragama’..

Penguasaan kelompok PROLIB dilihat anjakan pemikiran dan pendekatan dalam memperkasakan PAS. Cuma bersama kelompok ini ada pemuja liberal ala Barat. Perkara ini perlu diteliti agar tidak terpedaya oleh musuh. Dewan Pemuda dan Dewan Ulama PAS perlu mendekati kelompok anak muda reformis yang jiwanya memberontak, mahu pembaharuan, bersemangat, tergesa-gesa dan ‘mabuk’ wacana dan retorika hujjah dan ceramah, dan pemuja terhadap tokoh-tokoh sehingga membuta arah tujuan perjuangan jemaah dan melupakan sejarah.

Akhirnya, wajah PAS berubah kerana kehendak perwakilan PAS. Muktamar berhak mengubah PAS. Pemimpin atau kelompok pemikiran/pendekatan mampu bertahan dengan sokongan perwakilan muktamar.

No comments:

Sebelum Loceng PRU 15 Melolong

 Sebelum Loceng PRU 15 Melolong a. Kerajaan 1. Kita perlu memahami bahawa kerajaan persekutuan pada hari ini berdiri atas sokongan para ahli...