Friday, January 02, 2026

Polemik Keutamaan Fikrah Tanpa Tanzim

 Polemik keutamaan antara fikrah dan tanzim seringkali berlaku dalam gerakan Islam.

Bagaimanakah kita mahu mengenali Ikhwanul Muslimin? Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Abdullah Zaik menyatakan “kata al-Banna sendiri dan disebut-sebut dalam pengajarannya diukur pada kadar iltizam dengan manhaj fikri dan amalinya.

Dari segi manhaj fikri, lihat pada manhaj tarbiah yang dipakai oleh satu-satu jamaah.

Dari segi amali, lihat pada gerak kerjanya sama ada mengikut maratib amal atau tidak?

Adakah dia laksanakan risalah taklim (dari segi faham, maratib amal dan sebagainya) sepenuhnya atau tidak?

Menurut Ustaz Abdullah Zaik lagi, “keahlian ikhwan bukan dilihat dari segi daftar ahlinya dengan isi borang tetapi sejauhmana orang itu iltizam dengan fikrah ikhwan iaitu islam sebagaimana yang diterangkan oleh Al Banna dalam usul 20.

Sejauhmana seseorang faham, beramal, berkorban dan memuliakan fikrahnya sejauh itu kedudukannya dari segi kenggotaan dalam tanzim.”

Ustaz Abdullah Zaik menjelaskan, “Setelah menjelaskan sepuluh rukun baiah dan 38 wajibat akh amil Hasan al Banna menyebut;

Aku beriktiqad bahawa jika anda mengerjakannya (rukun baiah dan wajibat) dan menjadikannya cita-cita dan matlamat hidup anda, anda akan mendapat kemuliaan dan kemenangan di dunia dan kebaikan dan keridhaan di akhirat, anda daripada kami dan kami dari anda, dan jika anda berpaling dan tidak mengamalkannya maka tidak ada hubungan antara kami dengan anda, walaupun anda mengepalai majlis kami, membawa gelaran yang paling hebat dan tampil dengan penampilan yang paling hebat. Allah akan muhasabah anda kerana itu dengan hisab yang paling sukar. Pilihlah untuk diri anda apa yang sesuai, kami berdoa kepada Allah untuk kami dan anda hidayah dan taufiq”.

Kemudian beliau menyebut ayat 10-14 surat as sof yang bermaksud;

“wahai orang yang beriman! mahukah aku tunjukkan kepada kamu satu perniagaan yang menyelamatkan kamu dari azab yang pedih?. Kamu beriman kepada Allah dan Rasul serta berjihad dijalan Allah dengan harta dan jiwa raga. itu lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui. …..sehingga akhirnya”.

Imam al Banna memperingatkan kita kepada hakikat intima’ yang sebenarnya iaitu dengan melakukan kepatuhan kepada Allah s.w.t bukan berbangga dengan rasmiyyah dan jawatan semata-mata.

Jawatan dinilai dengan sejauhmana mengamalkan tuntutan dan intipati dakwah (rukun baiah dan 38 wajibat).

IMAM AL BANNA MENGIKAT KEMENANGAN DAN KEMULIAAN DENGAN AMAL BUKAN DENGAN SYAKLIYAH IDARIYAH SAMA SEKALI. ini bezanya Ikhwan dengan organisasi lain, intimaknya ialah intima’ fikri dan aqidi bukan syakli idari”.

Ustaz Sharipudin bin Ab Kadir menyatakan,

Dalam mana-mana gerakan atau harakah Islam, tanzim adalah peraturan yang perlu dipatuhi. Mentaati tanzim kerana kefahaman bukan kerana paksaan atau peraturan semata-mata. Ketaatan adalah kerana kefahaman terhadap fikrah yang mereka dokong. Amat malang jika satu-satu jemaah yang berorganisasi tapi tanzimnya berlaku kecelaruan kerana tiada ketaatan kepada pimpinan dan siapa yang seharusnya membuat keputusan untuk menentukan hala tuju jemaah. Dakwah Ikhwan Muslimin amat mengambil berat masalah tanzim dan menjadikan tanzim yang tersusun antara ciri-ciri dakwahnya”.

Membenarkan dan memposisikan para pemimpin jemaah Islam ke dalam organisasi Sekularisme, Pluralisme dan Liberalisme (SEPILIS) adalah satu ijtihad yang merugikan umat Islam kerana menjuruskan kepada fitnah dan mudharat yang lebih besar. Ia bukan sahaja memerangkap mereka kepada agenda SEPILIS tetapi melarutkan pemimpin Islam ke dalam SEPILIS. Inilah yang berlaku pada Anwar Ibrahim, Hassan Turabi dan Cak Nur. Dalam konteks Malaysia, IRC-IKRAM kerap memposisikan dan menyeludup pemimpin mereka ke dalam organisasi lain termasuk organisasi SEPILIS seperti Negaraku.

Fikrah Islam tanpa tanzim tiada timbul masalah selagi menyokong atau bersimpati dengan perjuangan tanzim dan tidak mendokong perjuangan SEPILIS. Sukar untuk seorang yang tidak berdisiplin berada dalam sesebuah organisasi yang memerlukan wala’. Ramai yang memilih fikrah tanpa tanzim.

Tujuan Kepimpinan

Tujuan kepimpinan (qiyadah) dalam Islam ialah berkhidmat semata-mata kerana agama (khidmah diniyah). Segala arahan yang diberi adalah dalam rangka menyusun strategi bagi melaksanakan syarak. Jauh daripada bersifat untuk memerintah atau mencari kepentingan duniawi, mencari kemegahan, pujian dan sesuatu yang akan hilang. Semuanya adalah dalam rangka menjalankan perintah Allah Subhanahuwata’ala.

Kepimpinan (qiyadah) yang berwibawa dalam sebuah jamaah merupakan unsur terpenting yang akan menggerakkan  sesebuah organisasi.

Hak dan fungsi strategik kepimpinan (qiyadah) di antaranya ialah :

1. Fungsi koordinatif (mengatur).

2. Fungsi imperatif (memaksa).

3. Fungsi pembuat keputusan (terutama dalam situasi darurat).

Kepimpinan (qiyadah) dipilih untuk ditaati.

Walaupun seseorang pemimpin mempunyai hak dalam membuat sesuatu keputusan. Keputusan yang terbaik dari segi Islam ialah keputusan syura. Khalifah Umar Al Khattab berkata, “Tidak ada kebaikan pada urusan yang diputuskan tanpa syura”.

Syura bermaksud, “Berbincang, berbahas dan meneliti pandangan-pandangan dalam semua urusan terutama yang melibatkan kepentingan umat. Pandangan-pandangan itu diteliti dan ditapis oleh para pemikir, pakar, ulama’ dan ahli-ahli mesyuarat bagi mendapatkan keputusan yang paling sahih dan betul”.

Syura ada dua jenis iaitu [1] ‘Syura mulzim’ bererti pemimpin terikat dengan keputusan syura. [2] ‘Syura mu’lim’ iaitu pemimpin berbincang dengan ahli-ahli mesyuarat atau sesiapa yang layak, tetapi diakhir perbincangan pemimpin tersebut tidak terikat dengan pandangan-pandangan mereka dan ia boleh mengambil pandangan yang dikiranya baik selama mana tidak bertentangan dengan nas dan garis panduan yang telah sedia ada di dalam mengambil keputusan

Pada permulaan dakwah, Imam Hasan Al-Banna berpegang kepada syura yang 'mu'lim', tetapi pada akhir hayatnya beliau telah menegaskan prinsip syura 'mulzim'. Perkara ini dapat dilihat apabila al-Imam al Banna mewujudkan satu lajnah yang diketuai oleh Al-Imam sendiri telah merangka satu draf'undang-undang jamaah. Antara yang menganggotai lajnah tersebut ialah Abdul Hakim Abidin, Tahir al-Khasyab dan Soleh al-Esymawi. Undang-undang itu telah diterima pakai pada 1948 iaitu setahun sebelum Imam Hasan Al Banna syahid.

No comments: