Wednesday, October 15, 2008

TAMPAN 3

Tamrin Panjang:Satu Dokumentasi di Luar Jamaah 111

Membicarakan Tamrin Panjang (TAMPAN) tidak akan lengkap tanpa membicarakannya dari sudut hukum-hakam dan nas tentang apa yang dipercayai oleh Ahli-ahli Unit (AU). Penulis menyimpulkan jikalau TAMPAN dianggap sebagai perkakasan (hardware) maka bai'ah (janji setia atau angkat sumpah) dan hukum-hakam yang terkandung di dalamnya adalah umpama perisian (software) [penulis ingin memanjangkan lagi bahawa semasa upacara ta'aruf yakni brainwash di dalam TAMPAN adalah seumpama proses "delete and format"].

Tetapi, penulis merasakan adalah perlu bagi pembaca terlebih dahulu (dalam dokumentasi 1 dan 11) memahami proses TAMPAN secara mekanikal dan juga kesannya terhadap mahasiswa dan persekitarannya kerana ia lebih tampak dan mudah difahami. Aspek "perisiannya" secara umumnya seolah-olah tidak lagi rahsia apatah lagi wujud blog-blog, laman malahan di dalam Harakah versi bercetak yang menceritakan tentang wala', bai'ah dan tarbiyyah. Namun, jikalau dirangkumkan kesemua aspek yang disebutkan tadi, barulah boleh difahami betapa dalamnya kesan(dibaca: bahaya) TAMPAN dan bai'ah kepada mahasiswa (samada telah berbai'ah mahupun tidak) dan masyarakat di luar terhadap JIK/PMI/PAS.

Kita perlu memahami bahawa PAS hanya menjadi "jamaah" apabila kepimpinan Dato' Asri sebagai Presiden ditumbangkan. Ia adalah entiti politik yang tulen samalah seperti UMNO, DAP, PKR, Semangat 46 dan lain-lain. Sejak 24 November 1951 yakni 30 tahun, PAS tidak mempunyai manhaj gerakan Islam dan tidak mengenali usrah, tamrin dan perkaderan. Namun, semenjak pulangnya golongan muda yang mendapat tarbiyyah Ikhwan seperti Datuk Seri Abdul Hadi, ditambah pula dengan kemasukan Anwar ke dalam UMNO, transformasi PAS sebagai parti siasah kepada sebuah jamaah haraki berjalan dengan pantas.

Namun, PAS masih lagi parti politik dan masih tetap mendahulukan siasah dari dakwah dan juga tarbiyyah. Maka, adaptasi tarbiyyah Ikhwan mempunyai matlamat pengakhirannya iaitu ke arah untuk mendapatkan kuasa politik bagi PAS. Oleh itu, setiap agenda tarbiyyah PAS perlu disaluti dengan unsur-unsur agama dan dalil yang menghalalkan perlaksanaan tarbiyyah tersebut di atas nama agama, Nabi dan Allah Taala.

TAMPAN tidak terkecuali dari perkara yang disebutkan tadi. TAMPAN pada hakikatnya adalah suatu "tarbiyyah" yang jikalau difikirkan adalah tidak masuk akal. Machiavellisme dimulakan pada hari diisytiharkan layak anak usrah itu memasuki TAMPAN. Tipu daya dan pujuk rayu dihalalkan walaupun di sepanjang TAMPAN pesertanya diingatkan tentang matlamat tidak menghalalkan cara dan machiavellisme (merujuk kepada tindakan Anwar Ibrahim menyertai UMNO yang dikiaskan sebagai membersihkan tong najis dari dalam).

Oleh itu, apakah dalil kepada perlaksanaan TAMPAN ini? Dari manakah sumber hukum yang digunakan oleh pewaris-pewaris Muhammad Hussin (sekarang Ahli Parlimen Pasir Putih, Presiden PMIUM yang mengasaskan TAMPAN pada 1983)? Penulis difahamkan bahawa program TAMPAN diasaskan kononnya berdasarkan hukuman Rasulullah terhadap tiga orang sahabatnya iaitu Ka'ab Bin Malik, Murarah bin Rabi'ah Al-Amiri dan Hilal bin Umayah Al-Waqifi yang tidak menyertai Rasulullah semasa Perang Tabuk tanpa sebarang keuzuran. Tiga sahabat ini telah diboikot oleh umat Islam ketika itu sehingga 50 hari dan isteri-isteri mereka juga turut diarahkan memboikot mereka (kecuali isteri Hilal bin Umayah Al-Waqifi kerana, beliau sudah tua). Pemboikotan ini tamat apabila turunnya ayat 118 surah At Taubah yang menyatakan penerimaan taubat mereka oleh ALlah.

Ini adalah kes di mana terdapat unsur hukuman Rasulullah terhadap para sahabat tetapi aparat JIK/PMI ingin mengqiaskan hukum ini terhadap peserta TAMPAN. Peserta TAMPAN terutamanya dari kalangan API dicabar oleh urusetia-urusetia TAMPAN untuk menyatakan ketidak syari'ean TAMPAN (sudah tentu tidak munasabah kerana mereka sekarang berada di TAMPAN seperti hamba tawanan). Dan mereka menggunakan kisah Perang Tabuk tadi sebagai alasan untuk mendera mental dan fizikal TAMPAN seolah-olah mereka melakukan kesalahan terhadap JIK/PMI. Namun, mereka tidak melakukan apa-apa kesalahan, dan mereka hanyalah peserta yang tidak tahu apa-apa.

Usaha mengqiaskan TAMPAN dengan kisah Perang Tabuk adalah mungkar. Ini kerana Perang Tabuk menukilkan kesalahan tiga orang sahabat yang tidak menyertai kempen Rasulullah ke Tabuk. Penulis boleh menerima jikalau hukuman ini dikenakan kepada ahli JIK/PMI yang tidak menyertai demonstrasi, piket ataupun penyerahan memorandum tetapi jikalau hendak diqiaskan hukum kepada TAMPAN dan pesertanya adalah tidak tepat dan membawa fitnah kepada Islam dan Rasulullah. Ini sesuai dengan hadith Nabi yang berbunyi:

Dari Abi Hurairah, ia berkata. Telah bersabda Rasulullah SAW "Barang siapa yang berdusta atasku (yakni atas namaku) dengan sengaja, maka hendaklah ia mengambil tempat duduknya (yakni tempat tinggalnya) di neraka". Hadits shahih dikeluarkan oleh Imam Bukhari (1/36) dan Muslim (1/8)

Kita boleh melihat bahawa Rasulullah tidak pernah menggunakan paksaan terhadap orang lain untuk memeluk Islam. Malahan, TAMPAN sepatutnya melihat bagaimana perlakuan dan tindakan Rasulullah terhadap golongan Ansar yang datang ke Makkah sewaktu peristiwa Bai'ah Aqabah Pertama dan Kedua. Rasulullah tidak menAMPANkan sahabat-sahabat tersebut walaupun tentu sahaja ramai sahabat yang mampu menjadi Urusetia Disiplin seperti Saidina Umar RA dan Saidina Hamzah RA ataupun Urusetia Kebajikan seperti Saidina Uthman RA. Oleh itu, perbuatan mengqiaskan TAMPAN dengan mana-mana peristiwa dalam sirah Rasulullah adalah perbuatan bid'ah, mungkar dan tidak bertanggungjawab.

Jikalau TAMPAN adalah metodologi dakwah, siasah ataupun strategi terbaik membina sahabat, sudah tentu Rasulullah telah menggunakan aplikasi TAMPAN terhadap sahabat-sahabatnya, tetapi Rasulullah dalam banyak hal amat lembut terhadap mad'u (sasaran dakwah) dan juga sahabat-sahabatnya, tidak seperti yang didakwa ( dan dilakukan terhadap mad'u) oleh aparat PAS melalui TAMPAN.

Namun, perkara ini didiamkan kerana TAMPAN dianggap sebagai upacara keramat dan suci yang disahihkan oleh orang-orang yang dianggap sah tidak akan mati jahiliyyah jika dibandingkan dengan mufti-mufti, ulama'-ulama' dan orang-orang 'alim yang tidak pernah berbai'ah yang berkemungkinan akan mati jahiliyyah kerana tidak berbai'ah kepada pimpinan Islam terutamanya pimpinan JIK/PMI/PAS. Oleh itu, TAMPAN dan upacaranya tidak terusik walaupun jika ada hujah dari orang luar yang lebih faqih dalam ugama berkenaan isu bai'ah.

Bai'ah di dalam TAMPAN hanyalah ditujukan kepada pimpinan JIK/PMI/PAS. Namun, tumpuan wala' lebih bersifat setempat yakni kepada pimpinan PMI Universiti. Dengan alasan PAS adalah "jamaah Islam yang pertama di Malaysia" maka, tempat ketaatan dan wala' AU hanyalah kepada Amir JIK, Murabbi Kampus dan pimpinan PAS serta wakil-wakil mereka.

Bai'ah penting dalam menentukan arah politik dan juga hidup sesuatu ahli jamaah (AU). Maka, kepentingan bai'ah dititikberatkan dalam pengisian-pengisian TAMPAN. Hadith-hadith yang digunakan untuk mengabsahkan bai'ah AU terhadap JIK/PMI/PAS adalah:

"Tiga golongan jangan engkau bertanya tentang mereka (kerana mereka termasuk dalam orang-orang yang bakal musnah) iaitu :


1. Orang yang berpisah dengan jamaah dan menderhakai imamnya serta mati dalam maksiat,


2. Hamba perempuan atau lelaki yang lari dari tuannya lalu menemui kematian,


3. Seorang perempuan yang suaminya keluar bermusafir dan telah dicukupinya biaya keduniaannya lalu ia bertabarruj sesudahnya (untuk menarik perhatian lelaki lain).


(Riwayat Imam at-Thabrani, al-Hakim dan al-Baihaqi dari Fadhalah bin 'Abid r.a.)



"Sesiapa yang merungkai ketaatannya (dari pemimpin yang adil), ia akan bertemu Allah di hari kiamat dengan tanpa hujjah baginya. Sesiapa yang mati dalam keadaan tiada bai'ah di tengkuknya, ia mati sebagai mati jahiliah".


Riwayat Imam Muslim dari Ibnu 'Umar r.a.



Maka, dengan menggunakan hadith-hadith ini, bai'ah adalah faktor yang kedua terpenting selepas dua kalimah shahadah untuk AU bagi mendapatkan keredhaan ALlah. Namun, penulis sengaja menggariskan "dari pemimpin yang adil" kerana ia bukanlah sebahagian daripada hadith tersebut tetapi tambahan dari golongan Ikhwanul Muslimin dan anti pemerintah sepanjang zaman semata-mata.



Dengan berdalilkan dua hadith ini (yang tentunya dengan penambahan syarah tersebut di dalam hadith), maka PAS dinobatkan sebagai satu-satunya jamaah yang wajib menerima bai'ah daripada rakyat Malaysia yang beragama Islam. Adalah haram ujar aparat-aparat JIK/PMI/PAS ini untuk berbai'ah selain daripada pimpinan PAS dan wakil-wakilnya kerana mereka adalah "golongan yang memperjuangkan Islam dan hukum-hakamnya" dan selainnya adalah pemanggil-pemanggil kepada seruan jahiliyyah.



Maka, apabila dilihat daripada brainwash daripada program TAMPAN, seolah-olah kesemuanya benar-benar berpandukan kepada syarak dan usaha melawan dan merungkainya adalah perbuatan dosa, mungkar dan fasiq. Oleh itu,apabila bai'ah sudah dilafazkan kepada PAS maka ia adalah janji yang tidak boleh dirungkai atau dilupus. Sebarang pelupusan balasannya adalah neraka jahanam dan kekal mereka di dalamnya.



Tetapi, harus diingat bahawa apakah benar jamaah yang disangkakan benar itu adalah PAS? Harus diingat bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda:



1) Dari Hudzaifah bin Yaman bahwa Rasulullah saw bersabda:

"Akan ada sepeninggalku para pemimpin yang tidak mengambil petunjuk dari petunjukku dan tidak mengambil sunnah dengan sunnahku. Akan muncul ditengah-tengah kalian pemimpin yang berhati syaitan dalam wujud manusia" Aku (Hudzaifah) bertanya: "Apa yang aku harus perbuat jika aku mendapatinya?" Hendaklah kalian mendengar dan taat kepada pemimpinmu meskipun ia memukul punggungmu dan merampas hartamu." (HR. Muslim no. 1847 (52)).

2) Dari Anas bin Malik, bahwa ia berkata: "Para pembesar melarang kami untuk menyelisihi Ulil Amri, mereka berkata: bahwa Rasulullah saw bersabda:

"Janganlah kalian mencela pemimpin-pemimpin kalian, janganlah kalian dengki kepada mereka dan janganlah membenci mereka, (tetapi) bertaqwalah kepada Allah dan bersabarlah, sesungguhnya perkara ini sudah dekat." (HR. Ibnu Abi 'Asyim, Hadits shahih)

Dan Imam Tahawi, salah seorang Imam besar dari Mazhab Hanafi juga menukilkan dalam Kitabnya Aqidah Tahawiyyah:

"Kita tidak boleh keluar dari para penguasa yang bertanggung jawab atas urusan kita, sekali pun mereka telah berbuat zhalim. Tidak boleh mendo'akan kejelekan bagi mereka dan tidak boleh melepas tangan dari ketaatan kepada mereka. Kita menganggap bahwa taat kepada penguasa muslim berarti taat kepada Allah yang wajib atas kita, kecuali mereka memerintahkan kemaksiatan kepada Allah. Kita juga mendo'akan mereka kebaikan dan kesejahteraan."

Oleh itu, sebenarnya adalah mungkar untuk memasukkan tanggapan kita di dalam hadith Rasulullah seperti contoh pemimpin yang adil tersebut di dalam dalil-dalil yang selalu diambil PMI. Maka, Rasulullah SAW berpesan bahawa ketaatan kepada pemimpin adalah wajib walaupun:

1) Tidak mengambil petunjuk sunnah dan mengikut sunnah

2) Berhati syaitan

3) Zalim yakni memukul dan merampas harta

Maka, jikalau kerajaan tersebut masih diperintah oleh seorang yang Islam tetapi tidak mengambil sunnah dan melakukan kezaliman, maka kewajipan untuk taat kepada mereka masih bersifat wajib melainkan terdapat kekufuran yang nyata yakni keluar mereka daripada Islam. Ini bersesuaian dengan hadith dari Riwayat Bukhari:

"Nabi SAW mengundang kami, lalu kami mengucapkan baiat kepada beliau dalam segala sesuatu yang diwajibkan kepada kami bahwa kami berbaiat kepada beliau untu selalu mendengarkan dan taat (kepada Allah dan Rasul-Nya), baik dalam kesenangan dan kebencian kami, kesulitan dan kemudahan kami dan beliau juga menandaskan kepada kami untuk tidak mencabut suatu urusan dari ahlinya kecuali jika kalian (kita) melihat kekufuran secara nyata (dan) memiliki
bukti yang kuat dari Allah." [HR. Bukhari].



Adakah bai'ah kepada JIK/PMI/PAS itu syari'e jikalau Rasulullah menyatakan bahawa jamaah itu adalah satu kepimpinan Islam setempat walaupun pemimpinnya itu zalim dan berhati syaitan selagi mana pemimpin itu adalah Muslim? Oleh itu, secara syaraknya, kepimpinan negara ini adalah wajib dipatuhi walaupun tidak melaksanakan hukum Islam sepenuhnya dan mereka masih lagi bersolat. Maka, jika ada usaha-usaha untuk menjalankan gerakan sirr/bawah tanah laksana gerakan Syiah terhadap Bani Umaiyah dan Bani Abbasiyyah terhadap kerajaan Malaysia yang sekarang masih diketuai oleh seorang Muslim maka hukumnya adalah haram.



Oleh itu, adaklah bai'ah AU tadi sah?



"Tidak boleh menepati nadzar dalam maksiat kepada Allah." (HR. Ahmad dari sahabat Jabir radhiyallahu 'anhu, lihat Shahihul Jami' no. 7574)



Setiap janji yang dilakukan untuk melakukan perkara yang Haram adalah tidak sah. Ini kerana menentang Imam atau kepimpinan umat sesuai dengan hadith-hadith tadi menyebabkan terungkainya ikatan bai'ah pada tengkuknya. Jikalau nadzar yang terus dengan ALlah tetapi bersandarkan kepada sesuatu maksiat dihukumkan sebagai tidak sah dan haram, maka apakah pula jikalau kita berbai'ah dengan perkumpulan yang mengajak kita untuk melawan satu hukum ALlah iaitu ketaatan kepada pimpinan umat Islam yang disetujui selama 51 tahun kemerdekaan negara kita? Ini tidak lebih dari janji setia seorang perompak dengan sekumpulan penyamun.



Maka, bai'ah yang dibuat oleh AU-AU semasa TAMPAN sebenarnya tidak sah dan haram hukumnya untuk ditaati dan diikuti oleh ahli jamaah. Jikalau bai'ah dilakukan adalah untuk menjalankan dakwah mengIslamkan orang yang bukan Islam, tidak khianat dalam menjalankan projek kemasyarakatan dan universiti serta jujur dalam meningkatkan ekonomi persatuan maka sebenarnya hukumnya adalah harus.



Oleh itu, penulis menyeru kepada AU-AU yang sudah mengetahui agar memuhasabah diri akan pegangan kalian semua buat selama ini. Apabila sudah mengetahui akan kebenaran, maka tinggallah dengan segera perkara yang batil iaitu TAMPAN dan bai'ah batilnya kerana ini melibatkan soal aqidah yang nyata.




Posted at 12:08 pm by maharaja_zhou

1 comment:

Rausyanfikir said...

Salam akh,

Superb writing.

Ana post dalam blog boleh? Benda ni patut disedarkan. Makin lama,makin mabuk mahasiswa ni.


Ana percaya kita dua tak benci PAS.

Dan perbualan sulit ana dgn Presiden GAMIS turut melontarkan pandangan yang sama: stop indoctrinating!


Jangan jadikan Islam ideologi.

Sebab-Akibat

Sebab-akibat antara elemen penting dalam ilmu sejarah. Pemikiran sebab-akibat ini penting bagi mengelakkan kita membuat ramalan dan andaian ...