Thursday, October 09, 2008

Tentang Al-Attas

Entri kali ini saya tulis untuk jawab persoalan-persoalan yang ditimbulkan oleh mamat.com

Saya akan bicara perihal Prof. al-Attas atas tiket pandangan peribadi.

Pertama kali saya dengar nama Prof.Syed Muhammad Naquib al-Attas sewaktu belajar mata pelajaran Sejarah KBSM Tingkatan 4. Saya tidak boleh lupa berkenaan teori kedatangan Islam ke Asia Tenggara yang dimuatkan ke dalam buku teks sejarah tersebut. Sudah tentu pada waktu itu, saya bukan begini. Hanya seoarang pelajar sekolah biasa. Maka tiada kesan yang abnormal berlaku ke atas diri ini apabila membaca buku teks tersebut.

Karya pertama al-Attas yang saya miliki adalah “Islam and Secularism”. Saya membelinya pada Disember 2007 dari kedai buku Kinokuniya KLCC.

Pertama kali berkunjung ke bangunan ISTAC lama pada awal Januari untuk menghadiri persidangan berkenaan Sains Islam. Bacaan lanjut boleh rujuk catatan saya disini.

Sepanjang persidangan tersebut saya masih tidak tahu yang al-Attas sudah ditendang keluar dari ISTAC. Malah saya tak faham apa-apa yang diperkatakan oleh para penceramah persidangan tersebut. Yang saya tahu, saya kagum dengan seni reka bangunan ISTAC. Itu sahaja.

Saya tidak pernah berjumpa dengan Prof. al-Attas mahupun berkomunikasi dengan beliau melalui sebarang medium perhubungan. Saya hanya banyak berjumpa dengan anak murid ulung beliau iaitu Prof. Wan Mohd Nor Wan Daud.

Setakat ini saya sudah miliki beberapa buah karya al-Attas. Antaranya:

1) Islam and Secularism
2) Prolegomena to the Metaphysics of Islam
3) Risalah untuk Kaum Muslimin
4) The Correct date of the Terengganu Inscription
5) Comments on the Re-examination of Al-Raniri’s Hujjatul-Siddiq: A Refutation
6) Some aspects of Sufism as understood and pracised among the Malays
7) The Concept of Education in Islam.
8) The ICLIF Leadership Competency Model: An Islamic Alternative
9) The Origin of the Malay Shair
10) Concluding postscript to the origin of the Malay Shair
11) Ma’na Kebahagiaan dan Pengalamannya dalam Islam
12) Proceeding of the Inaugural symposium on Islam and the Challenge of Modernity.


Saya juga memiliki beberapa buah jurnal ISTAC sewaktu dibawah kelolaan Prof. al-Attas (selepas ini akan dirujuk sebagai ISTAC lama) :

1) 6 edisi jurnal Al-Shajarah (Inggeris)
2) 8 edisi jurnal Al-Hikmah (Bahasa Melayu)

Saya turut sama memiliki beberapa buah karya terbitan ISTAC lama yang ditulis oleh Prof. Wan Mohd Nor Wan Daud, Prof. Alparslan Acikgenc, Yasin Ceylan etc.

Setakat ini saya dah pernah jumpa atau membaca atau mendengar bicara ilmu daripada beberapa orang anak murid beliau. Antaranya adalah:

1) Prof. Wan Mohd Nor Wan Daud (rujukan utama saya)
2) Prof. Alparslan Acikgenc
3) Prof. Cemil Akdogan
4) Dr. Zainiy Uthman
5) Dr. Zaidi Ismail
6) Dr. Sani Badron
7) Dr. Adi Setia
8) Dr. Syamsuddin Ariff
9) Dr. Farid Shahran
10) Dr. Hamid Fahmy Zarkasyi
11) Dr. Ugi Suharto
12) Dr. Khalif Muammar
13) Dato’ Dr. Syed Tawfiq Ali al-Attas.
14) Ustaz Asham
15) Ustaz Adian Husaini


Sebelum itu mari kita renungi kata-kata hikmah daripada Saidina Ali r.a:

“Janganlah engkau menilai kebenaran itu dari orangnya,tetapi kenalilah kebenaran itu, maka engkau akan mengenal orang yang menyampaikannnya.”


Cerita bagaimana saya boleh ‘tersangkut’ dengan idea-idea Prof. al-Attas ini sangat panjang dan kompleks.

Saya mengkaji Prof. al-Attas melalui senarai buku-buku, jurnal, kertas kerja yang saya miliki.

Saya juga mengkaji Prof. al-Attas melalui ceramah-ceramah, buku dan penulisan yang disampaikan, ditulis oleh anak-anak muridnya terutamanya daripada Prof. Wan Mohd Nor Wan Daud (saya miliki hampir kesemua karya mainstream beliau).

Pendek kata basis penilaian saya terhadap Prof. al-Attas adalah berteraskan isi (substances) dan produk akhir yang dihasilkan oleh Prof. al-Attas yakni anak-anak muridnya sendiri.

Saya juga melakukan timbang tara (compare and contrast) idea-idea al-Attas dengan ilmuan Islam yang lain seperti S. H Nasr, al-Faruqi, Al-Qaradawi etc. terutamanya berkenaan projek Islamisasi ilmu kontemporari ( Islamization of contemporary knowledge).


Sebelum itu harus diingat bahawa saya merupakan seorang aktivis. Bukan seorang pemikir apatah lagi seorang pelajar jurusan agama.

Seperti yang tertera pada blog lama saya Jiwa Muda:

“Seorang aktivis muda yang memperjuangkan keadilan sosial.Menyokong gerakan pemulihan sosial dan percaya kepada rakyat sebagai pemangkin tamadun. Sedang mengkaji titik persamaan Marxisme dan Islam sebagai alat kebangkitan umat berlandaskan pemikiran Dr. Ali Syariati. Gemar mengkaji permasalahan globalisasi ekonomi, budaya dan ketidak adilan sistem di dunia. Bidang khas aktivisme bersangkut paut dengan konsumeris me dan perdagangan.”

Itu diri saya sekitar tahun 2007.

Berdasarkan profil yang tertera pada laman Jiwa Muda tersebut jelas sekali saya tiada sedikit pun pengaruh berkenaan al-Attas pada waktu itu. Boleh dikatakan saya baru sahaja mengenali beliau circa awal 2008. Tak samapi setahun pun lagi.

Ini penting kerana saya ingin menggambarkan perjalanan dan pengalaman saya dalam memahami idea al-Attas.

Circa 2007, disamping tarbiyah harakah Islamiyah daripada Gamis, saya sangat dipengaruhi oleh idea-idea intelektual Dunia Ketiga dan Eropah terutamanya dari kumpulan World Social Forum.

Saya sangat aktif dalam kegiatan anti-kapitalisme terutamanya yang melibatkan isu-isu globalisasi dan perdangangan antarabangsa. Secara khususnya isu Free Trade Agreement.


Ali Shariati merupakan ideolgoue saya yang utama dalam membina idealisme perjuangan mahasiswa. Itu pasti.

Sepanjang saya bergelumang dengan idea para pemikir Dunia Ketiga dan Eropah yang radikal ini, saya sangat tidak nampak satu penyelesaiaan yang betul-betul solid terutamanya dalam menjelaskan dan menyelesaikan masalah akar manusia moden pada hari ini.


Para pemikir Dunia Ketiga, dan Eropah ini sangat hebat dalam melakukan analisis sosial. Pelbagai teori dan framework yang diperkenalkan tetapi penyelesaiaan kurang memuaskan.

Pada masa yang sama saya berasa was-was untuk menerima idea dan pemikiran mereka bulat-bulat sebabnya kadang kala idea para pemikir Dunia Ketiga dan Eropah ini tidak selari dengan prinsip Islam terutamanya apabila dilihat dari sudut falsafah idea mereka.


Wacana masalah moden tersangatlah kurang dalam lingkungan ulama’ Islam. Saya sangat susah hendak menemui penjelasan yang baik lagi komprehensif dari ulama’ Islam yang ada pada hari ini berkenaan isu-isu yang berat. Kecuali seorang dua seperti Muhammad Assad. Rata-rata ulama’ di Malaysia kini lebih suka memilih menyelesaikan masalah ummah melalui jalur siasah.

Isu alam sekitar, konsumerisme, sains moden, globalisasi. Semua tema tersebut boleh dikatakan hampir tidak wujud dalam tradisi keilmuan Islam kontemporari.

Maka saya harus bergantung kepada idea dan pemikiran para intelektual Dunia Ketiga dan Eropah yang kita sendiri tahu banyak dipengaruhi oleh idea Zaman Pencerahan Renaissance.

Kenapa saya menggelabah sebegini?

Saya lihat pejuang Islam masa kini, secara tepatnya para reformis yang banyak dipengaruhi Imam Hassan Al-Banna, Syed Qutb ini lebih banyak berslogan daripada menjustifikasikan selengkap-lengkapnya butiran penyelesaiaan yang dicanang hebat melalaui tema seperti “Islam as the solution”


Itu semua berubah setelah saya mengenali idea-idea al-Attas.


Saya menjadi bertambah yakin dengan Islam malah saya jatuh cinta dengan tradisi keilmuan islam tradisional.

Idea-idea prof. al-Attas menjawab banyak persoalan-persoalan penting yang dialami oleh umat manusia pada abad ini. Saya menemui banyak jawapan dan penyelesaiaan berkenaan masalah-masalah tersebut dengan menelaah karya-karya Prof. al-Attas serta karya-karya anak muridnya.

Kenapa boleh jadi begitu sekali?

Ini kerana Prof. al-Attas menjawab persoalan dan masalah kita dari konteks akar permasalahannya. Bila mana kita boleh nampak, dan faham masalah yang ada pada sudut akarnya kita boleh cantas hampir ke semua masalah yang berlegar-legar ini dengan mudah kerana akarnya sudah dicantas.

Disinilah kekuatan Prof. al-Attas. Membuat analisa, renungan yang tajam, mengikat idea-idea penting serta merumuskan penyelesaiaan kepada hampir semua permasalahan tersebut. Dan ini banyak diterjemahkan dalam projek penting beliau iaitu Islamisasi ilmu kontemporari.

Pertama kali saya baca buku Islam and Secularism, saya terus jadi menyampah setelah membaca beberapa helai muka surat buku tersebut. Kenapa jadi begitu? Sebab saya tak faham langsung apa yang ditulis oleh beliau.

Setelah saya berjumpa dengan Prof. Wan Mohd Nor Wan Daud, berbincang dengan beliau berkali-kali barulah saya dapat menjiwai idea-idea Prof. al-Attas. Baru saya nampak dimana sebenarnya kehebatan Prof. al-Attas.

Beliau merupakan seorang ilmuan Islam yang cukup mendalam lagi kritikal.

Saya melihat sumbangan Prof. al-Attas sebagai cerminan kepada sumbangan Hujjatul Islam Imam al-Ghazali pada zamannya.

Masalah yang berbeza tetapi penyelesaiaannya dari sudut yang sama iaitu Ilmu.

Harus diingat bahawa kelemahan dan kemunduran umat Islam ini tidak bertitik tolak daripada kejatuhan Khilafah Turki Uthmaniyah semata-mata.

Setiap tamadun akan melalui zaman kemundurannya kemudian sama ada hancur ( tamadun Yunani, Romawi) atau berkubur sementara waktu (tamadun Islam).

Maka disini untuk semata-mata fokus kepada masalah politik umat Islam TANPA memahami dengan lebih mendalam realiti dan kebenaran yang wujud selepas umat Islam melalui zaman penjajahan dan kebangkitan Barat ( Renaissance, Revolusi Industri) hanya akan menjadikan kita lebih keliru.


Ini yang sedang berlaku ke atas umat Islam pada hari ini.

Kehilangan adab-->Berlakunya kekeliruan ilmu-->Lahirnya pemimpin yang salah

Maka berlakulah satu pusaran ganas (vicious cycle) antara ketiga-tiga juzuk masalah tersebut.

Adab yang dimaksudkan Prof. al-Attas bukanlah sesimplistik apa yang kita fahami pada hari ini tetapi seperti mana yang difahami pada zaman awal Islam

Ini memerlukan perbincangan semantik, metagrammatical dan metafizik Islam yang sudah tentu sangat sukar saya kupas disini kerana saya sendiri masih menelaah idea-idea tersebut.


Geniusnya Prof. Al-Attas ini bukanlah dengan idea yang entah dari mana datang tetapi merupakan satu rumusan, ikatan idea-idea yang wujud dalam tradisi keilmuan Islam yang disesuaikan dengan konteks dan permasalahan semasa.

Jikalau zaman al-Ghazali ada cabaran falsafah pada zaman ini sekularisme merupakan akar masalah seperti yang digariskan oleh Prof. al-Attas.

Menjawab beberapa kesamaran kefahaman berkenaan Prof. al-Attas

1) Ketidak’praktikal’an idea Prof. al-Attas

Ini merupakan antara kekeliruan pertama saya hadapi ketika berinteraksi dengan idea al-Attas. Sebenarnya sedar ataupun tidak hampir semua daripada kita umat Islam terkena wabak dualisme pemikiran. Yang paling ketara adalah berkenaan pemisahan antara teori dan praktikal. Rata-rata pejuang Islam mutakhir ini memandang enteng kepada disiplin ilmu pemikiran Islam kerana kekeliruan ini.

Dualisme yang paling-paling ketara adalah pemisahan antara fardhu ain dan fardhu kifayah.

Kita iktiraf kedua-duanya. Kita hantar anak-anak kecil ke sekolah agama rakyat untuk melengkapi ilmu fardhu ain tetapi hanya setakat itu. Setelah masuk ke sekolah menengah dan universiti, kita melupakan terus peranan ilmu fardhu ain dalam pembelajaran kita.

Lupa disini bukan bermaksud tak solat, tak baca Quran tapi ketidak mampuan melakukan integrasi dan kesepaduan antara ilmu fardhu ain dan fardhu kifayah.

Hakikat yang sebenar adalah TIADA pemisahan antara aspek teori dan praktikal. Kedua-duanya perlu berjalan seiring.

TIADA pemisahan antara ilmu dan amal.

Selalu Prof. al-Attas dan anak muridnya dipandang remeh oleh ahli gerakan Islam (baik dalam PAS, ABIM, GAMIS, PKPIM) kerana selalu dicemuh sebagai sekadar berteori.

Itu sangatlah salah. Saya juga tidak beranggapan begitu.

Apa yang mereka buat adalah kerja praktikal juga. Adakah mengubah minda, pemikiran dan kefahaman manusia satu kerja tidak praktikal?

Terdapat satu kata kerja yang melambangkan ke’praktikal’an disitu iaitu mengubah.

Buku-buku yang dikarang mereka bukan sekadar teori tetapi sebagai satu AGEN PERUBAHAN.

Mengubah minda dan pandangan alam manusia bukan boleh saji dengan ceramah politik semata-mata.

Perlu ILMU yang membawa kepada AL-HAQQ (truth and reality).


2) Idea Prof. al-attas tidak mendapat tempat dalam masyarakat.

Terpulang bagaimana anda menilai perjuangan Islam itu. Bagi Prof. al-Attas, apa yang hendak dibangunkan bukan sekadar sebuah Negara Islam, Khilafah Islam tetapi sebuah Tamadun Islam!

Boleh rujuk dalam Islam and Secularism bagiamana beliau mengupas perkataan din dalam hubung kaitnya dengan ketamadunan.


Usaha untuk membina tamadun ini bukan seperti bina rumah. Tamadun seharusnya menggambarkan satu bangunan yang cukup besar, gagah dan tinggi.

Untuk itu, kita perlukan satu foundation yang cukup kuat dan dalam. Foundation inilah yang dipanggil Ilmu. Dengan ilmu baru dapat beramal. Dan ia akan senantiasa berjalan seiring selagi mana sesebuah tamadun itu bernyawa.

Ini yang berlaku dalam Tamadun Islam dari zaman Nabi Muhammad S.A.W dengan sirah Baginda di Madinah hinggalah wujudnya kerajaan Islam Turki Uthmaniyah yang berumur ratusan tahun.

Tidak menjadi masalah untuk idea Prof. al-Attas tidak mendapat tempat dalam masyarakat kita pada waktu ini.

Perkara ini berlaku pada zaman Imam al-Ghazali juga.

Baghdad lumat dicincang Mongol.

Palestin bermandi darah pancungan tentera Salib.

Apa yang Imam al-Ghazali buat?

Tulis Ihya Ulumuddin ( The Revival of Religious Science).

Tak ada sedikit pun perkara dalam Ihya yang membincangkan masalah serangan Mongol serta tentera Salib.

Ihya sarat dengan persoalan mendasar dan asasi yang sangat signifikan.


Idea Imam al-Ghazali terbang keawang-awangan selama berpuluh-puluh tahun.

Selepas itu baru lahir Salahuddin Ayubi.

Bilamana Salahuddin Ayubi memanggil untuk berjihad, umat Islam di ceruk mana pada waktu itu akan bersatu dengan mudah sekali.

Inilah hasil sumbangan Imam al-Ghazali. Mencabut akar permasalah dan melahirkan pandangan alam Islam kembali.

Boleh rujuk buku Dr. Majid Irsan Kilani kalau hendak tahu sejarah kebangkitan umat Islam pada waktu Salahuddin dan perkaitannya dengan Imam al-Ghazali.

Mungkin nampak abstrak dan tidak ‘praktikal’ tetapi itulah hakikatnya.

Imam al-Ghazali pun dikecam dengan hebat oleh pelbagai ulama’.


What next for Prof. al-Attas?

Saya rasa persoalan ini harus ditujukan kepada kita.

Diri saya ini sangat terkesan dengan idea Rausyanfikir yang ditonjolkan oleh Ali Shariati. Maka saya nekad untuk berada dalam jalan ini kelak selepas melangkah keluar dari menara gading.

Prof. al-Attas sudah lakukan kerja-kerjanya. Orientalis, liberalis, plagariat, modenis, reformis Muslim semuanya telah diberi garis panduan untuk mencari dan memperbaiki kesalahan berfikir.

Karya-karyanya sudah menjadi basis untuk kita pelajari dan fahami agar dapat zahirkan menjadi penyelesaiaan konkrit.

Bukan mudah untuk analisa masalah dan rumuskan penyelesaiaan.

Kefahaman idea Prof. al-Attas ini akan bertambah kemas jikalau kita kenal siapa seteru sebenar kita yakni Tamadun Barat.

Kalau kita tidak biasa agak kekok sebab tak nampak kerelevenannya.

Ini kerana ancaman Tamadun Barat datang sebagai satu program falsafah yang menyelinap masuk dalam medium keilmuan.

Saya akui terdapat kelemahan dan kekurangan yang wujud dalam lingkungan manusia yang membawa pemikiran al-Attas.

Saya harap anak-anak murid Prof. al-Attas menjadi lebih aktif dalam membantu menyelesaikan masalah umat. INSIST sudah menampakkan hasilnya.

Kita berharap anak-anak muridnya di Malaysia ini menurut jejak langkah yang sama dengan INSIST.


Wallahualam.

sumber. sosialis kanan

No comments:

Sebab-Akibat

Sebab-akibat antara elemen penting dalam ilmu sejarah. Pemikiran sebab-akibat ini penting bagi mengelakkan kita membuat ramalan dan andaian ...