Monday, October 13, 2008

TAMPAN 1

Tamrin Panjang: Satu Dokumentasi Di Luar Jamaah 1

cinabeng writes "Dokumentasi Tamrin Panjang(nama di Universiti Malaya ataupun Tamrin Jelas Fikrah di UTM dan sebagainya) tidak pernah dilakukan di luar lingkungan jamaah. Namun, jika ia wujud, ia pasti berada di bawah simpanan pihak keselamatan negara samada Polis ataupun Bahagian Keselamatan Negara. Di Peringkat Universiti, kemungkinan pihak Keselamatan mempunyai pengetahuan dan rekod tetapi tidak didedahkan di peringkat umum dan tidak dikongsi bersama dengan Hal Ehwal pelajar Universiti.


Tamrin Panjang ataupun selepas ini disebut sebagai TAMPAN adalah manifestasi langsung daripada penyertaan Anwar Ibrahim ke dalam UMNO yang meninggalkan vakum di dalam proses perkaderan mahasiswa kepada PAS dan pro-Islam. Lantas, PAS melalui Ketua Pemudanya di waktu itu Mustapha Ali mengisytiharkan perkaderan langsung mahasiswa di bawah sayap Pemuda.

Pada tahun 1983, di bawah Muhammad Hussin, Presiden PMI ketika itu, suatu mekanisme pentarbiyyahan khusus membentu kader PAS telah dirangka. TAMPAN diasaskan berdasarkan tamrin yang pernah dilaksanakan di sebuah sekolah ugama di Kelantan dan dijadikan model untuk penghasilan rekrut baru PAS.

Muhammad Hussin juga mengambil model tarbiyyah JIM/IRC yang diambil langsung dari pentarbiyyahan Ikhwan. Muhammad Hussin sebenarnya ketika itu dilatih dan ditarbiyyah oleh dua naqib dari IRC/JIM/Ikhwan iaitu Ustaz Alias Osman dan juga Ustaz Nik Ahmad Kamil.Oleh itu, TAMPAN dan tarbiyyah PMI juga berteraskan manhaj dan silibus Ikhwan tetapi dibina lebih untuk tujuan membina kader politik dan bukannya dai'e (perkara ini kemudiannya menimbukan polemik orang tarbiyyah dan siyasah dalam PMI kemudiannya).

TAMPAN tidak dilakukan secara "direct". Oleh itu, bakal-bakal kader PAS ini perlu dibina persiapan terlebih dahulu sebelum dihantar mengikuti TAMPAN. Oleh itu, takwim Jamaah Islam Kampus(JIK) [nama sirr ataupun underground PMI) dimulakan dengan OGG ataupun Operasi Gerak Gempur untuk menyambut mahasiswa baru.

OGG dimulakan sebelum dari bermulanya sesi pengajian. Sasarannya ialah untuk memastikan bahawa terdapat wakil untuk Pembantu Pelajar/Pembantu Mahasiswa dari kalangan ahli JIK yang sudah mengikuti TAMPAN. Mereka yang mempunyai posisi dan pengaruh di peringkat Kolej ini diarahkan untuk memohon sebagai Pembantu Pelajar/Mahasiswa.(PP/M) Biasanya, mereka yang memohon ini adalah ahli kepada Balai Islam ataupun dahulunya JKP yang menjaga hal ehwal agama/surau Kolej.

Ahli Kolej yang tidak berjaya ataupun tidak memohon sebagai PM/P akan bertugas sebagai samada penyambut di stesen-stesen Bas ataupun sebagai runner di rumah jamaah untuk mengumpul maklumat tentang perjalanan Minggu Haluansiswa/Orientasi. Mesyuarat dijalankan untuk mengenalpasti ancaman, peluang, kelemahan dan kekuatan (SWOT) setiap PM/P, Penyelia dan pengetua serta Kolej keseluruhannya bermula sebelum haluansiswa sehinggalah tamatnya haluansiswa.

Dari situ, PM/P JIK bertindak untuk menjaga ahli Jamaah (selepas ini akan disebut sebagai AU yakni singkatan untuk ahli Unit) dari Nilam Puri yang sudahpun dibai'ahkan serta mencari muka-muka baru dari kalangan Asasi, Matrikulasi ataupun STP yang berpotensi untuk direkrut sebagai AU.

Selepas tamat sahaja haluansiswa, usrah akan dijalankan. Majlis pelancaran usrah dilancarkan dan mereka yang turun ke surau menjadi sasaran utama kepada usrah ini. Usrah membawa maksud keluarga diketuai oleh Naqib. Naqib ini mestilah seorang yang sudah mengikuti TAMPAN.

Mereka yang berjaya diumpan mengikuti usrah akan dibahagi- bahagikan mengikut kumpulan mengikut kolej masing- masing.Malahan, di Universiti Malaya, kolej-kolej dibahagikan mengikut zon-zon, seperti kolej 3,4,7 diletakkan di bawah satu zon yang sama untuk memudahkan perjumpaan sebelum tamrin pertama dijalankan.

Silibus untuk usrah sebelum tamrin pertama dijalankan adalah ringan melibatkan perkara-perkara asas dalam Islam. Ini untuk mengelakkan syak wasangka di samping menyediakan asas kepada anak -anak usrah yang rendah asas agamanya kepada Islam.

Tamrin yang pertama bersifat relaks dan rekreasi. Tiada unsur politik diserapkan supaya anak usrah yang baru ini tidak takut kepada usrah dan tamrin. Kebanyakan pengisiannya adalah perkara asas agama. Tamrin ini biasanya diberi nama Kem Kefahaman Islam ataupun nama-nama lain untuk mengaburi pihak pentadbiran Universiti dan juga Kolej. Malahan, ada di antara tamrin-tamrin ini mendapat peruntukan Universiti kerana tidak disedari pihak pentadbir bahawa ia sebenarnya adalah proses perkaderan JIK/PMI. Lain ditulis di kertas kerja, lain pula implementasinya.

Terdapat beberapa tamrin yang dilaksanakan sebelum TAMPAN dijalankan. Usrah-usrah dan tamrin yang akhir sebelum TAMPAN barulah dimasukkan unsur-unsur politik terutamanya dalam kejelasan fikrah anak surah. Sebelum tamrin pra TAMPAN ini pun, anak-anak usrah diminta memilih jamaah yang benar dan tidak mengikuti jamaah-jamaah yang lain yang dianggap sebagai panggilan syaitan yang menyesatkan. Ketika ini, anak-anak usrah susah mengetahui bahawa mereka tidak sepatutnya keluar bersama Jamaah Tabligh di hujung minggu ataupun menyertai perkumpulan usrah JIM ataupun ABIM.

Di tamrin pra TAMPAN ini, anak-anak usrah akan mula dinilai samada mereka sesuai untuk dibawa ke TAMPAN ataupun tidak. Penilaian ini akan dibawa di peringkat Kolej dan Mas'ul Kolej(Wakil Amir/Presiden PMI) akan membawa senarai nama-nama untuk diputuskan samada sesuai untuk dibawa ke TAMPAN ataupun tidak oleh mesyuarat yang dikendalikan oleh Lajnah Tarbiyyah.

Kebiasannya, calon-calon akan dibawa melainkan terdapat syak yang besar seperti calon adalah perisik/SB ataupun tidak langsung ditarbiyyah ataupun tidak pernah langsung mengikuti usrah ataupun tamrin. Merit yang tinggi akan diberikan kepada anak usrah yang terang menyokong PAS dan mengikuti usrah serta tamrin dengan lengkap.

TAMPAN berbeza dengan tamrin yang disebut sebelum ini kerana ia melibatkan:

1) Masa yang "panjang" iaitu lebih kurang seminggu
2) Bai'ah, tamrin biasa tidak mempunyai bai'ah dan anak usrah tiada ikatan dengan PMI
3) Sesi Ta'ruf ataupun sesi viva/soal jawab dengan bekas-bekas JIK yang diketahui "hebat" seperti pernah memegang jawatan dalam PMI/JIK
4)Unsur paksaan dan tekanan psikologi kepada ahli

Biasanya TAMPAN akan diadakan pada cuti panjang semester yakni di semester 1 dan 2 ataupun antara sesi. Anak usrah yang "berjaya" ke TAMPAN diminta menghadiri kem semasa cuti. Mereka juga tidak diberitahu destinasi kem ataupun tamrin tersebut dan diminta menipu ibu bapa mereka tentang perjalanan mereka. Anak-anak usrah ini akan dikumpulkan dan dihantar ke destinasi menaiki bas ataupun dihantar sendiri oleh Naqib mereka ke destinasi TAMPAN.

TAMPAN pernah diadakan di markaz PAS seperti di Taman Melewar. Anak-anak usrah yang malang ini tidak dibenarkan untuk memberitahu pengisian, lokasi dan suasana di dalam TAMPAN kepada ibu bapa mereka jikalau mereka dibenarkan berkomunikasi melalui telefon awam. Telefon bimbit dirampas sehinggalah program tamat untuk keselamatan program TAMPAN.

Kehadzaran ataupun sifat awasan/berhati-hati adalah perkara yang dititikberatkan oleh urusetia TAMPAN untuk memastikan program ini tidak dikesan oleh pihak Universiti terutamanya Keselamatan, HEP dan juga Polis. Urusetia juga dipastikan tidak membocorkan rahsia terutamanya orang luar yang mungkin disangkakan sebagai SB dan sebagainya.

TAMPAN mendapat sumber kewangannya dari Pemuda PAS, alumni-alumni PMI serta kewangan Jemaah sendiri. Kewangan ini penting untuk pengangkutan seperti bas dan kereta sewa, serta makanan peserta. Makanan peserta disediakan secara talam dan peserta dibiasakan dengan perkara ini sejak tamrin pertama lagi.

Namun, makanannya adalah sangat asas iaitu kadangkala hanya melibatkan air teh, nasi dan ikan kering untuk makan tengah hari dan makan malam. Biskut kering dan air teh diberikan sebelum tidur. Makanan ini lebih teruk dari makanan di dalam penjara. Peserta juga diberikan tidur yang minima kerana pengisian dan sesi ta'ruf sehingga 12 malam dan dikehendaki bangun untuk qiamullail dan perkara ini berterusan sehinggalah bai'ah dilakukan.

Sebelum TAMPAN dimulakan, peserta dikehendaki mengisi borang soal jawab yang bertanyakan soalan peribadi dari asal negeri sehinggalah pemimpin kegemaran. Borang soal jawab ini dinamakan borang ta'ruf dan ia akan digunakan untuk sesi ta'ruf.

Sesi ta'ruf merupakan manifestasi kedua terpenting selain dari bai'ah. Di dalam sesi ini, urusetia TAMPAN akan menjemput seorang ataupun dua orang samada bekas ahli JIK yang dipercayai(thiqah) samada bekas pimpinan ataupun kepimpinan JIK yang masih ada di dalam kampus.

Tugas pena'ruf ini adalah untuk membersihkan fikrah peserta TAMPAN supaya menyokong PAS dan beriltizam dengan jamaah. Sesi ini adalah sesi brainwash dan juga peserta akan ditanya oleh pena'ruf tadi seperti polis menyoalsiasat penjenayah di hadapan peserta lainnya. Ia merupakan sesi yang paling digeruni peserta dan peserta yang tidak dapat memberikan jawapan mengikut "skema" akan dimalukan dan "dibetulkan" fikrahnya oleh pena'ruf tadi. Pena'ruf-pena'ruf yang popular biasanya adalah bekas-bekas Presiden PMI ataupun bekas-bekas pemegang jawatan dalam PMI/PMU.

Antara unsur menakut-nakutkan peserta adalah dengan urusetia Disiplin yang menjaga disiplin peserta dengan watak ganas dan tegas. Selain itu, peserta ditakutkan dengan gimik seperti SB dan polis untuk menambahkan unsur ketakutan kepada mereka.

Selain dari itu, di dalam TAMPAN ini juga pemimpin-pemimpin PAS akan dijemput untuk memberi ceramah. Pimpinan PAS dari peringkat Pemuda sehinggalah Presiden PAS akan dijemput atas alasan bertemu mahasiswa. Biasanya, kunjungan ataupun ceramah ini diberikan bersesuaian dengan jadual oleh pimpinan PAS ini ke markaz yang dilawati. Oleh itu, pengetahuan mereka tentang TAMPAN tidak dinafikan, anya, mekasnisme perlaksanaannya mungkin agak kabur bagi pimpinan yang bukan dari Dewan Pemuda.

TAMPAN berakhir dengan bai'ah. Kebiasaannya, kesemua peserta setuju untuk dibai'ahkan. Jika terdapat peserta yang masih kurang jelas fikrah, dia akan diasingkan dan dibrainwashkan oleh Pengarah TAMPAN ataupun Urusetia Disiplin sehinggalah dia bersedia diTAMPANKAN. Terdapat juga kes-kes peserta yang dihantar pulang tetapi terlalu sedikit.

Majlis Bai'ah adalah majlis yang besar dan menjemput ahli jamaah yang berkesempatan terutamanya Naqib-naqib yang tidak menyertai urusetia TAMPAN dan juga pimpinan di setiap peringkat Jamaah Kampus. Bai'ah dilakukan oleh peserta-peserta TAMPAN dengan dihadiri oleh Murabbi Kampus(dari ex-PMI, kebiasannya pensyarah Universiti contohnya, Prof. Zulkifli Yusof ataupun Prof, Madya Ishak SUlaiman), ahli mesyuarat kampus dari mas'ul-mas'ul kampus, amir dan amir serta ahli majlis tertinggi jamaah dan exo-exconya berhadapan dengan peserta.

Di dalam majlis ini, peserta berbai'ah untuk bersama dengan Jamaah dengan disaksikan oleh ALlah SWT dan juga makhluk-makhluknya. Dan mereka diminta untuk dilaknat jikalau mereka melanggar bai'ah demikian. Oleh itu, satu bai'ah telah dimetrai oleh peserta TAMPAN dengan jamaah. Ini merupakan kemuncak kepada pentarbiyyahan JIK /PMI terhadap anak usrah mereka.

Kemudiannya, mereka akan dibahagikan kepada unit masing-masing. Jika siswa, diberikan unit TAMPAN, dan siswi pula dibahagikan kepada Bina' iaitu siswi Akademi Pengajian Islam serta Islah iaitu yang non-API. Sebelum pengenalan unit TAMPAN, unit ini dikenali sebagai Syabab ataupun Pemuda.

Selepas majlis bai'ah, mereka yang mengikuti majlis ini akan dihidangkan dengan makanan yang istimewa oleh urusetia dan masing-masing terutamanya peserta dan pengarah serta urusetia disiplin akan memohon maaf dan minta halal-menghalalkan di antara satu sama lain. Peserta-peserta yang sudah diTAMPANkan ini dibenarkan pulang dan diminta untuk merahsiakan program ini dari pengetahuan ibu bapa ataupun saudara mereka setelah pulang di kampung halaman masing-masing.

Maharaja Zhou

sumber;kampus negara

1 comment:

Unknown said...

Jadinya sebagai seorang mahasiswa, wajar atau tidak wajar untuk mengikuti sesi tamrin baiah ini?

Sebab-Akibat

Sebab-akibat antara elemen penting dalam ilmu sejarah. Pemikiran sebab-akibat ini penting bagi mengelakkan kita membuat ramalan dan andaian ...