Saturday, September 13, 2025

Tradisi Kepimpinan Ulama Dalam PAS


 

Dalam bab ini, kita dapat mengetahui

 

1. Sejarah penubuhan PAS

2. Keistimewaan Kepimpinan Ulama

 

Mengenali Akar Kepimpinan Ulama Dalam PAS

 

Parti Islam SeMalaysia (PAS) sebuah organisasi politik Islam telah dilahirkan atas kesedaran para ulama yang berada dalam UMNO. Teras kekuatan PAS adalah Islam, Ulama dan Melayu. Apabila PAS muncul sebagai entiti berasingan daripada UMNO, bekas pimpinan Hizbul Muslimin mula memperkukuhkan PAS. Antaranya adalah Ustaz Khaidir Khatib, Ustaz Osman Abdullah dan Ustaz Dato Mohd Asri Haji Muda.

 

Penubuhan PAS adalah satu proses evolusi daripada mesyuarat Jawatankuasa Agung UMNO pada 16 Julai 1949 bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Bahagian Agama yang dipimpin oleh Sheikh Abdullah Fahim. Beliau dibantu oleh Sheikh Abdul Jalil Hassan, Ustaz Salleh Osman, Tuan Guru Haji Mohamad bin Haji Hitam, Tuan Guru Ahmad Mahir, Tuan Guru Abdul Rahman Merbuk, Haji Mohamad Bin Sidin dan Haji Abdul Aziz bin Abdul Salam.

 

Pada tahun 1951, UMNO dikecohkan oleh kesanggupan Tunku Abdul Rahman menerima dana daripada hasil loteri.  Cadangan penambahan sumber kewangan UMNO melalui hasil loteri disokong kuat oleh Kesatuan Melayu Kedah dan Perikatan Melayu Perak cawangan Selama. Sheikh Abdullah Fahim, Ustaz Ahmad Badawi, Haji Fathullah Suhaimi dan Tuan Guru Ahmad Fuad menentang keras penerimaan tersebut.

 

Ketiadaan wadah Islam cukup dirasai oleh para ulama dalam UMNO. Jabatan Agama UMNO telah mencadangkan mengadakan Kongres Alim Ulama Pan Malaya pada bulan Ogos 1951. Dalam kongres, satu resolusi agar ditubuhkan sebuah organisasi ulama yang bebas daripada UMNO. Akhirnya, organisasi ulama tersebut dikenali sebagai Persatuan Ulama-ulama Se-Tanah Melayu. Antara pimpinan ulama yang terlibat ialah Tuan Guru Ahmad Fuad, Ustaz Ahmad Badawi(Naib Ketua Pemuda UMNO), Tuan Guru Tuan Husein dan Tuan Guru Ahmad Maliki.

 

Pensejarahan di atas menunjukkan PAS berasal daripada wadah ulama dan refleksi para ulama terhadap ‘maksiat’ yang dilakukan oleh UMNO. Para ulama daripada UMNO dan Hizbul Muslimin memperkuatkan PAS pada peringkat permulaan.

 

Naratif perubahan nama memperjelaskan bahawa PAS berasal daripada sebuah organisasi ulama. Perubahan istilah ulama kepada Islam dicadangkan oleh Ustaz Uthman Hamzah (bekas anggota Hizbul Muslimin) menunjukkan kesediaan para ulama memperluaskan keanggotaan organisasi kepada umat Islam bukan hanya kepada para ulama.

 

Tuan Haji Dr. Abbas Alias seorang doktor perubatan telah mengambil alih tampuk Yang Dipertua PAS setelah pengunduran Tuan Guru  Ahmad Fuad. Pengunduran beliau disebabkan oleh keputusan Muktamar Khas PAS yang memutuskan PAS menyokong National Convention (bersama UMNO dan MCA) yang bertentangan dengan pendapat beliau agar PAS menyertai National Confrence yang dianjurkan oleh sahabat beliau, Dato’ Onn Jaafar daripada Parti Negara. Kemudiannya, pada muktamar ketiga PAS memutuskan agar PAS bersendirian dan keluar daripada National Convention dengan sedia bergabung dengan parti lain dalam memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu.

 

Penerimaan Dr Abbas Alias menunjukkan PAS mempunyai keterbukaan memilih pimpinan walaupun bukan kalangan ulama. Setiap perubahan memerlukan ‘ketibaan waktunya’. PAS pernah menerima Dr Burhanuddin al Helmy seorang pemimpin Islam beraliran Nasionalis Islam kekirian sebagai Yang Dipertua Agung PAS setelah 11 hari menjadi ahli PAS. Pada tahun 2001, Majlis Syura Ulama pernah memutuskan pencalonan muslimat sebagai calon pilihanraya pada tahun 2001. Tuan Guru Nik Abdul Aziz pernah cuba mengangkat calon muslimat, YB Dr Mariah Mahmud (MP Kota Raja) sebagai Naib Presiden PAS tetapi gagal mendapat sokongan sidang muktamar.

 

Pengolakkan dalaman PAS sekarang juga berpunca daripada persoalan keterbukaan memilih pemimpin apabila berlaku pertentangan pendapat dalam persoalan ulama sebagai individu memimpin atau kolektif institusi ulama. Ia juga melibatkan persoalan antara tradisi atau mengikut Perlembagaan dalam soal pemilihan Presiden dan Timbalan dalam kalangan ulama atau bukan ulama. Tuan Guru Nik Abdul Aziz, Tuan Guru Fadzil Noor dan Ustaz Hassan Shukri umpamanya berpendapat ulama sebagai kolektif institusi ulama manakala sebahagian besar para ulama menganggap ulama sebagai individu memimpin.

 

Sekali lagi, keterbukaan memilih pemimpin dalam konteks pemimpin bukan kalangan ulama berkaitan dengan ‘ketibaan waktunya’. Ia sangat menguji kesabaran. Secara futuristik, PAS sudah tentu mahu pemimpin Profesional merangkap Ulama atau Profesional-Ustaz (PROTAZ). Jika tidak, para pemimpin semasa pemurnian kepimpinan ulama sudah tentu meletakkan syarat Presiden dan Timbalan Presiden perlu seorang ulama seiring pemindaan Perlembagaan PAS yang meletakkan Majlis Syura Ulama dan jawatan Mursyidul Aam.

 

Pengupayaan pemimpin PROTAZ  seperti ini belum tiba masanya walaupun sudah ada pemimpin yang layak. Tuan Guru Fadzil Noor menukilkan “…bukanlah mustahil PAS akan dipimpin oleh mereka yang awalnya bukan mendapat pengajian agama tetapi mereka berjaya melayakkan diri memahami dan menguasai ilmu-ilmu keIslaman dan mendapat kepercayaan sebagai pemimpin.”  Ia bergantung kepada kualiti/prestasi pemimpin, kehendak muktamar dan persepsi warga PAS.

 

Kegopohan pimpinan dalam meninggalkan PAS menjadi peristiwa duka dalam perjuangan politik Islam. Pertembungan pendapat antara Yang Dipertua PAS, Tuan Guru Ahmad Fuad dengan sidang Muktamar PAS dalam isu National Convention sangat memilukan. Pertama, Tuan Guru Ahmad Fuad setia dan mengikut sahabat beliau, Dato Onn Jaafar pemimpin utama Parti Negara. Kedua, ketidak-sabaran dan kegopohan beliau merugikan diri sendiri apabila kemudiannya sidang Muktamar PAS memilih keluar persendirian keluar daripada National Convention. ‘Baju Amanah’ perlu dipertahankan dan diserahkan kepada rakyat atau perwakilan untuk menentukan tuan punya yang baru bukannya akur atas desakan untuk meletak jawatan.

 

 

Istimewanya PAS pada Tradisi Kepimpinan Ulama

 

Keistimewanya PAS paling besar adalah martabat ulama dalam PAS itu sendiri.

Menurut Dr Hammam Said, mantan Muraqib Ikhwanul Muslimin Jordan, kekuatan PAS ialah

“Kewujudan para ulama pada peringkat tertinggi adalah jaminan paling besar bagi parti ini. Kerana hubungan umat dengan para ulama adalah satu hubungan yang kuat. Apabila terdapat ulama di situ, maka kepimpinan tersebut berjalan di atas dasar al-Kitab (al-Quran) dan sunnah Rasulullah s.a.w. Ini menjadikan orang ramai berasa tenteram dan selesa dengan kepimpinan tersebut.”

 

“Jika kepimpinan itu hanya semata-mata bersifat politik, pragmatisme dan urusan politiknya datang dari luar (rujukan) Islam, luar dari al-Kitab dan as-Sunnah… akhirnya orang ramai tidak lagi bersatu di bawah kepimpinan sebegitu.”

 

Kekuatan PAS yang seterusnya ialah istiqamahnya mahu menegakkan Undang-undang Islam. Menurut  Imam Hassan al Banna, ubat umat ini terletaknya kepada kembalinya dia kepada hidayah Islam di dalam segala urusan dan urusan yang pertama itu ialah undang-undang. Tuan Guru Dato Harun Taib menjelaskan negara Islam dilahirkan oleh undang-undang bukan negara yang melahirkan  undang-undang.

 

Pelaksanaan ini dapat dilihat dalam tulisan Syeikh Dr Yusuf al Qaradhawi

“Ia tidak ada pilihan dalam berkewajipan mengikuti perlembagaan ataupun undang-undang ini (hukum Allah)”

 

Menurut Imam Hassan al Banna lagi, orang ragu-ragu (penulis: beralasan) terhadap syariat  sentiasa berkata;

1. Kedapatan unsur-unsur tidak Islam (adanya orang Bukan Islam)

2. Kebanyakan syariat dan perundangan Islam tidak praktikal

3. Kita melaksanakan syariat Islam di dalam memotong tangan pencuri, merejam orang yang berzina dan seterusnya, kita membawa umat ini kembali undur ke belakang (ke zaman tidak bertamadun)

4. Kebanyakan ahli perundangan Islam tidak pandai menyusun perundangan yang kemas dan rapi.

 

 

Pelaksanaan perundangan hanya sebahagian program pelaksanaan Islam oleh kerajaan Islam yang bersifat syumul. Ia dijadikan tanda aras dalam membuktikan bahawa sesebuah gerakan Islam yang tulen dan bersifat syumul akan memperjuangkan pelaksanaan perundangan Islam.

 

Kekuatan PAS yang seterusnya, kewujudan masyarakat Islam dan Negara Islam. Kewujudan Negara Islam sangat ditekan oleh Dr Yusuf al Qaradhawi seperti di bawah

 

“sesungguhnya perkara pertama yang diperlukan oleh dakwah Islam pada zaman ini ialah berdirinya Darul Islam ataupun Daulah al Islam mendokong risalah Islam...”

 

Pembahagian negara pada hari ini boleh dipecahkan kepada tiga

 

1. Negara Islam

2. Negara Umat Islam dimana penghayatan Islam telah diseleweng

3. Negara Kafir.

 

Syarat dalam menentukan Islam atau tidak sesebuah negara ialah

 

1. Dasar negara adalah Islam [Fasal 3]

2. Hukum Tertinggi sekali adalah al Quran dan Hadith serta ijmak ulama dan qias [Fasal 7(1)]

3. Masyarakat dan pemerintahan terlaksana didalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukumnya(hukum Islam). [Fasal 5 (1)]

4. Memperjuangkan Islam [Fasal 6 (2)]

5. al amru bil  ma’ruf wan nahyu ‘anil munkar (muqaddimah)

6. Pemimpin berakhlak dan bertaqwa

7. Persaudaraan dalam negeri dan luar negeri mengutamakan hubungan berasaskan aqidah dan ukhwah Islamiyyah.

 

Semua fasal di atas dirujuk dalam Perlembagaan PAS. Perlembagaan PAS sendiri mengambarkan keinginan mewujudkan masyarakat, pemerintahan dan negara Islam.

 

PAS tidak menafikan kekuatan individu bertaqwa dan berakhlak sebagai pemimpin. Kekuatan individu adalah bonus.

 

Perlembagaan PAS, perundangan Islam dan kewujudan Negara Islam menjadi tonggak pengukuhan PAS dalam menghadapi cabaran politik pada hari ini dan pada masa akan datng. Pemimpin boleh pergi meninggalkan PAS tetapi ketiga-tiga unsur lagi tetap menjadi kekuatan PAS.

PAS dan Pemikiran Ikhwanul Muslimin

 PAS bukanlah cawangan Ikhwanul Muslimin. PAS hanyalah salah satu mata rantai gerakan Islam dalam dunia. Kebersamaan PAS dengan Ikhwanul Muslimin atas dasar Islam dan pengaruh tokoh yang pernah ditarbiah dalam Ikhwanul Muslimin kemudian aktif dalam PAS. Pengaruh Ikhwanul Muslimin dapat dikesan dalam beberapa peringkat;

 

1. Kehadiran Prof Dr. Zulkifli Mohamad sebagai Timbalan Yang Dipertua PAS. Beliau pernah mendapat pendedahan pemikiran Ikhwan semasa belajar di Mesir.

2. Antara tokoh paling awal menerima pentarbiahan Ikhwan ialah Ustaz Jais Anwar, Menurut Ustaz Jais, beliau mendapat pentarbiahan pelarian politik dari Mesir yang bernama Sheikh Taqiyuddin. Syeikh Taqiyuddin telah mentarbiah keder-kader dakwah dalam kalangan pelajar sekolah agama melalui usrah di Kedah pada tahun 1957.

3. Tuan Guru Yusuf Rawa menyebar pemikiran Ikhwan melalui majalah al-Islam. Beliau mendapat pengaruh ikhwan melalui pembacaan buku-buku karangan tokoh Ikhwan. Penerbitan majalah al Islam oleh Tuan Guru Yusuf Rawa banyak mempengaruhi pemikiran pelajar Malaysia di Indonesia seperti Wan Mustafa Rusdi dan Ustaz Omar Muhammad.

4. Peranan Ustaz Dato  Mohd Asri Muda yang mempunyai hubungan baik dengan tokoh gerakan Islam di Mesir dan Indonesia. Hubungan baik inilah yang membolehkan 10 pelajar Malaysia belajar di Iraq dan seorang tokoh Ikhwan Mesir memperkenalkan Tuan Yahya Othman kepadanya.

5. Peranan 10 orang pelajar Malaysia yang belajar di Iraq. Mereka mendapat tarbiah daripada Ikhwan Iraq. Antara mereka ialah Ustaz Hassan Shukri (PAS), Ustaz Mohamad Daud Iraqi (PAS) dan Ustaz Dahlan Muhammad Zain (ABIM Perlis-KUSDA-HALUAN Malaysia).

6. Kepulangan tokoh-tokoh pelajar Islam yang mendapat didikan daripada luar negara seperti Mesir, UK dan Amerika Syarikat. Mereka mendapat tarbiah daripada Ikhwan secara langsung (pengkaderan) atau tidak langsung termasuk melalui pembacaan.

7. Kemasukkan tokoh-tokoh ABIM yang dieksport ke dalam PAS. Tokoh ABIM mendapat pengaruh Ikhwan daripada pembacaan dan hubungan mereka dengan pertubuhan Islam antarabangsa.

8. Lebih kurang 7 gelombang utama pemikiran Ikhwan mempengaruhi PAS. Secara realitinya PAS hampir sama daripada pemikiran dan pendekatan Ikhwan berdasarkan kesesuaian dengan situasi Malaysia.

 

Ustaz Jais Anwar merupakan penggerak penting Dewan Pemuda PAS antara tahun 1956-1958. Beliau kemudiannya dilantik sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat pada sesi 1968-1970. Dua tempoh kemuncak keaktifan Ustaz Jais Anwar dalam PAS menandakan pengaruh Ikhwan telah diterapkan dalam PAS. Ustaz Jais Anwar melancarkan 3 program yang terkenal iaitu Gerakan Insaf, Gerakan Syuhada dan Gerakan SPEM. Gerakan Insaf bertujuan memupuk kesedaran pemuda Islam terhadap cita-cita Islam PAS manakala Gerakan SPEM bertujuan melahirkan anggota teras yang mendukung Dewan Pemuda PAS. Dalam Geraka SPEM memunculkan istilah lima perkara yang dititik beratkan oleh Ikhwan iaitu Allah Matlamat Kami, Rasulullah Pimpinan Kami, Al Quran Perlembagaan Kami, Jihad jalan kami dan mati syahid cita-cita kami. Usaha Ustaz Jais Anwar diteruskan oleh Ustaz Hassan Shukri yang mendapat pengaruh Ikhwan Iraq.

 

Kehadiran pimpinan muda ABIM dalam PAS adalah kemuncak pengaruh Ikhwan dalam PAS.

 

 

Hubungan ABIM dengan PAS

 

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) kesinambungan legasi Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM). Peranan PKPIM dulunya adalah gabungan persatuan mahasiswa Islam di kampus-kampus. Peranan PKPIM telah dimansuh setelah AUKU 1975 dilaksanakan. PKPIM dan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) bernasib baik masih wujud sebagai  sebuah organisasi bersifat kebangsaan berbanding dengan Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia (PKPM) yang terpaksa dibubarkan.

 

Secara realitinya, hubungan PAS dengan gerakan Islam seperti ABIM, HALUAN dan IKRAM adalah dingin ekoran bagasi sejarah yang dibawa sejak berzaman. ABIM sebagai contoh jarang sekali mengiktiraf peranan Tuan Guru Fadzil Noor yang menjadi Timbalan Presiden ABIM agak lama iaitu daripada tahun 1974 hingga 1978.

 

Dalam melihat hubungan ABIM dengan PAS, penyaluran pimpinan ABIM daripada tahun 1978 bukanlah proses pencurian ahli. Ia adalah keputusan jemaah dan bersifat ‘kembali aktif bersama PAS’. Kembali aktif bersama PAS bermaksud wadah asal anggota ABIM tersebut adalah PAS tetapi tidak aktif kerana aktif dalam ABIM. Sekitar tahun 1974, terdapat 8000 orang anggota PAS dalam ABIM.

 

Tindakan pemimpin tersebut bukanlah keluar jemaah atau lompat serta mengkhianati jemaah kerana ia tindakan mengikut keputusan jemaah.

 

Kehadiran anggota jemaah Islam lain dalam ABIM ada beberapa sebab

Penyertaan PAS dalam Kerajaan Campuran dan Barisan Nasional yang mendokong sekularisme dan nasionalisme menyebabkan ramai pimpinan dan ahli PAS bertawaquf dan sebahagian besar anak muda aktif dalam ABIM.

ABIM adalah alat penyatuan Tanzim-tanzim jemaah Islam terutamanya  Tanzim Ikhwanul Muslimin. Oleh kerana tanzim Ikhwanul Muslimin di Malaysia pelbagai aliran bergantung kepada tempat mereka belajar, mereka sukar menubuhkan organisasi  bahkan tidak mahu menonjolkan identiti sebenar menyebabkan mereka berkumpul dalam ABIM. Tanzim Alami Mesir, Tanzim Ikhwan Iraq antaranya. Kehadiran Tuan Guru Abdul Hadi Awang sendiri dalam ABIM turut cuba menguasai ABIM tetapi tidak berjaya.

 

ABIM merupakan NGO Islamik yang popular. ABIM mendekati pemikiran jemaah Islam seperti Ikhwanul Muslimin dan Jamaah Islami.

 

Kelebihan pimpinan ABIM dan projek-projek ABIM terutamanya projek pendidikan Maahad Ikhwan, Institut SOFAR dan Yayasan ANDA Akademik.

 

Kenapa Krisis Boleh Berlaku?

 Wabak krisis dalaman dalam sesebuah gerakan Islam dapat dilihat apabila ciri-ciri di bawah muncul dan membiak dalam gerakan Islam:

 

1. Politik bertujuan dunia bukannya akhirat. Pahala atau dosa dan syurga atau neraka bukanlah lagi pertimbangan penting kecuali kemenangan dalam pilihanraya dan memerintah. Bahkan ia bukan lagi politik untuk parti tetapi politik untuk kepentingan diri sendiri.

2. Banyak dipengaruhi oleh pemikiran dan ideologi ciptaan manusia. Hujah al Quran dan hadith semakin berkurangan. Antaranya Post Islamisme, Pragmatisme, Muslim Demokrat, liberal dan pluralism. Ini dinamakan penularan elemen sekular dalam jamaah Islam.

3. Matlamat menghalalkan cara.

4. Tidak memberi wala’ kepada kepimpinan dan Jemaah. Melanggar arahan syura dan mengikut arahan luar.

5. Akhlak Jamaie semakin terhakis. Tidak beradab dengan pemimpin, teguran tidak melalui saluran, membuat kenyataan terbuka mengunakan  bahasa yang tidak sopan.

6. Kerahsiaan mula menghilang.

7. Jihad dan Syahid bukan lagi dicita-citakan

8. Jawatan, harta dan kuasa dibangga-bangga dan menjadi rebutan

9. Perundangan Islam dan penegakkan Negara Islam bukan lagi keutamaan

 

Ulama mula dipinggir dan diperlekehkan. Tulis Tuan Guru Fadzil Noor ‘….seolah-olah ulamak tidak diberi peranan utama dalam PAS”.

 

Wabak yang ke 10 di atas bersesuaian dengan pendapat Ibrahim Al-Hudhaibi (2009),  “Ancaman terbesar yang sedang mengelilingi Ikhwan bukanlah dari pihak keselamatan (Mesir). Kerana Pihak Keselamatan Mesir tidak akan mampu mempengaruhi pemikiran dan manhajnya (Ikhwan). Akan tetapi ancaman terbesar terhadap Ikhwan ialah yang datang dari dalam, yakni saat anggota jemaah Ikhwan sudah menjadi kesetiaan kepada diri sendiri dan tidak mahu menerima pendapat para Ulama, kecuali yang sesuai dengan agendanya."

 

“Pada akhirnya, agenda-agenda itu akan menjadi dasar sedangkan para Ulama hanya alat untuk melayani agenda-agenda itu. Saat itulah Ikhwan sebenarnya  seperti yang diungkapkan musuh-musuhnya sebagai memperalat agama untuk melayani politik, bukan sebaliknya. Semoga hal itu tidak terjadi.”

 

Antara Jemaah, Keluarga dan Sahabat

 

Jika ketiga-tiga berkonflik, mana satu pilihan yang mahu kita bersetia?..

 

Keguguran dalam perjuangan adalah ketakdiran Allah. Moga kita dijauhi. Kalau kita lihat hubungan Ustaz Jais Anwar (PAS ) menantu Tan Sri Mohd Asri Muda (HAMIM), Muhammad Nasir (BERJASA)  mertua kepada Ustaz Mohamed Daud al Iraqi  (PAS), Sharir Samad (UMNO) abang kepada Khalid Samad (PAS kepada Amanah), Saifuddin Nasution (PKR) adik kepada Sahlan (UMNO). Hubungan ini adalah hubungan unik.

 

Kita wajar belajar dengan Tuan Guru Yahya Othman yang terpaksa memilih jemaah berbanding sahabat dan pemimpin yang beliau sayangi, Tan Sri Mohd Asri Muda. Satu pilihan yang pahit terpaksa dilakukan.

 

Pemimpin seperti Ustaz Hassan Shukri, jika nak ikut kecewa beliau boleh memilih meninggalkan PAS. Tetapi beliau kekal sehingga penghujung usia. Begitu juga yang dialami oleh Tuan Guru Yahya Othman, kalau ikut dengan apa yang tidak dipersetujui, nescaya beliau keluar parti tetapi beliau kekal dalam PAS.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz kalau diikutkan tak bersetuju, beliau akan bertanding lawan Presiden setelah dicalonkan oleh perwakilan.

 

Dalam perjuangan mesti berjiwa besar, jangan mudah kecewa dan sabar. Berjuang dengan sabar, jangan sesekali tewas dengan tidak sabar.

 

Dalam mana-mana organisasi, sifat tidak puas hati, difitnah, dikata dan dicaci oleh sesama sendiri akan tetap berlaku. Ujian ini menguji cara kita bertindak dan berfikir. Ujian yang mencari siapa yang benar-benar beriman. Firman Allah S.W.T;

“Alif, Laam, Miim. Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman," sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? “Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahui-Nya tentang orang-orang yang berdusta.” (Al-‘Ankabut: 1-3)

 

Firman Allah S.W.T lagi

“Allah tidak sekali-kali akan membiarkan orang-orang yang beriman dalam keadaan yang kamu ada seorang (bercampur aduk mukmin dan munafik, bahkan ia tetap menguji kamu) sehingga ia memisahkan yang buruk (munafik) daripada yang baik (beriman). Dan Allah tidak sekali-kali akan memperlihatkan kepada kamu perkara-perkara yang ghaib akan tetapi Allah memilih dari Rasul-Nya sesiapa yang dikehendaki-Nya (untuk memperlihatkan kepadanya perkara-perkara yang ghaib). Oleh itu berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-rasul-Nya; dan kamu beriman dan bertaqwa, maka kamu akan beroleh pahala yang besar.” (Ali-Imran: 179)

 

Kemasukkan anggota ABIM ke dalam PAS melahirkan tidak puas hati dalam kalangan pimpinan PAS. Pelbagai tuduhan termasuk yang mendakwa adanya proses ‘mullahkrasi’ dalam PAS. Pimpinan PAS tersebut terus mara sehingga kalangan mereka melahirkan Presiden PAS.

 

Dalam perjuangan, tiada sesiapa yang tidak menderita dan kecewa akibat tindakan sahabat-sahabat perjuangan yang kita percayai.  Tuan Guru Yusuf Rawa dan Pak Subky Latif pernah cuba meletak jawatan tetapi berjaya dihalang oleh Tuan Guru Fadzil Noor dengan alasan tiada ruang meletak jawatan dalam Islam.

 

Nasihat Tuan Guru Yahya Othman pada saat hadapi krisis:

1. Jangan pendek nafas dan sesak nafas dalam menghadapi fenomena ini

2. Mengetahui kewajipan bersama-sama jemaah

3. Mengetahui adab-adab berjemaah dengan akhlaknya sekali

4. Mengetahui tanggungjawab kita kepada jemaah

5. Tidak membenarkan keluar daripada jemaah Islam atas apa alasan sekalipun.

 

Jangan hirau perangai orang lain dan jangan ikut cara mereka. Bersihkan niat, jalan terus!!.

 

Pembersihan Dalam Gerakan Islam

 

Gerakan Islam menghadapi pelbagai cabaran dan dugaan. Dalam perjuangan ini, ada yang terkorban menyertai pihak lawan, ada tergugur mengundur diri daripada perjuangan dan ada yang istiqamah menuju kemenangan dunia dan akhirat. Kita tidak boleh menghalau anggota gerakan Islam keluar daripada jemaah selagi mereka tidak ada kesalahan syarak dan masalah disiplin. Kita hanya mampu menasihat dan menegur serta berdoa agar perbuatan mereka berubah ke arah lebih baik.

 

PAS tidak gentar dengan konflik dalaman kerana dasar PAS  sangat kukuh, dasar PAS akan menjadi penapis memilih siapa yang lebih istiqamah dalam perjuangan Islam.  Tuan Guru Dato Seri Abdul Hadi Awang dilaporkan pernah berkata

“Yang paling besar, perlembagaan parti kita sangat kukuh. Al-Quran, Hadis, Ijmak Ulama dan Qiyas, di mana sifat kesabaran kita dan kebijaksanaan kita dipandu oleh petunjuk Islam. Ini yang paling menyelamatkan kita. Dengan sebab itu dalam semua krisis di sepanjang zaman, PAS tetap selamat, mereka yang tidak istiqamah tidak selamat, sama ada dia dipecat dari parti atau pun dia akan terkeluar dengan sendiri, tidak mengira sama ada dia Presiden parti atau pun ahli biasa. Pernah Presiden parti keluar parti, pernah dipecat, bukan sahaja ahli biasa yang dipecat, dalam keadaan PAS terus teguh dan kuat. Yang penting mereka istiqamah dengan perjuangan. Siapa yang istiqamah, dia selamat, yang tak istiqamah walaupun siapapun dia tidak selamat.”

 

 

Sabar telah mati! Kisah orang kecewa, merajuk dan gopoh

 

Suatu hari seorang pengikut Ikhwan bertanya kepada Ustaz Muhammad Hamed Abdul Nasir, Mursyidul Aam;

 

Si A : “Berikan aku nasihat 

 

Ustaz menjawab ,  “Bersabarlah dan toleransilah sesama Ikhwanmu 

 

Kemudian pengikut Ikhwan tersebut menyambung pertanyaan, “walaupun jika berlaku kekacauan? ”

 

Beliau menjawab ‘ya’. Kemudian menyambung “ jikalau aku berbuat sebagaimana yang dibuat oleh sebahagian dari Ikhwan, dan aku tidak bersabar dan bertoleransi , maka aku tidak akan menyelesaikan kekusutan yang berlaku dalam dakwah ini , dan aku tidak mungkin menjadi seorang Mursyidu Aam. Kerana aku selalu mengingati firman Allah s.w.t : dan bersabarlah engkau (Muhammad) bersama orang orang yang menyeru tuhannya pada pagi dan senja hari dengan mengharap keredhaan Nya, dan janganlah memalingkan kedua matamu dari mereka kerana mengharapkan keindahan dunia , al Kahf : 28. Aku sentiasa meletakkan di hadapan pandanganku : dan demi tuhanmu bersabarlah , al Mudathir : 7. Sabarlah saudaraku, dan bertolak ansurlah dengan Ikhwanmu

 

Kesabaran menjadi tanda aras dalam usaha kita melawan nafsu. Jika kita hilang sabar, nafsu telah mengalahkan iman kita. Konflik dalaman memerlukan kesabaran dan toleransi(bertolak ansur) yang tinggi untuk menanganinya. Dalam sebuah organisasi, kadar ilmu dan iman itu berbeza-beza. Akibatnya ia melahirkan kehendak hati yang banyak. Kehendak hati ini melahirkan kehebatan dan keegoan diri yang mengagumi jasa dan akal sendiri.

 

Kisah Mursyidul Aam Ikhwan di atas wajar menjadi pengajaran.

No comments: