Saturday, September 13, 2025

Mengenali Pemikiran Sayyid Qutb

 Sesiapa juga termasuk para ulama sudah tentu ada kelebihan dan kekurangan, pandangan yang kita setuju dan tidak bersetuju. Itu lumrah.

 Kita perlu melihat Sayyid Qutb dari segi

 1.Fasa-fasa kehidupan Sayyid Qutb

 2.Penulisan dan pemikiran Seorang sasterawan daripada segi pemilihan istilah dan kedalaman makna.

 3.Konteks zaman iaitu penentangan terhadap ideologi dan pemikiran Barat. Anti-Barat dan penjajah. Sekularisme-Nasionalisme.

4.Situasi yang beliau hadapi iaitu dizalimi, didera dan diseksaoleh pemerintah

5. Keperibadian -- dalam lembut ada ketegasan. Pendirian yang keras. 

 Tindakan seseorang adalah pilihan seseorang terhadap apa yang mereka faham dan yakini. Pilihan dan tindakan tersebut adalah tanggungjawab individu itu sendiri bukannya orang lain. Ramai sahaja pengkagum Sayyid Qutb yang tidak radikal dan ekstrem. Usia muda, konteks, semangat berlebihan dan dizalimi mempengaruhi pengkagum Sayyid Qutb. Kita boleh melihat pengkagum tegar Sayyid Qutb, Dr Siddiq Fadzil berbeza zaman muda (1970an) ketimbang zaman beliau sebagai Presiden ABIM-WADAH. Bersetuju dengan Sayyid Qutb bukan bermakna kita sebagai pendokong takfiri dan khawarij. Itu tidak betul dan tidak adil.

 Setiap ulama ada pandangan menyokong atau menolak pandangan Sayyid Qutb. Ulama lebih pandai dalam lingkungan ilmu sedangkan Sayyid Qutb berada dalam proses menentang pemikiran sekularisme-nasionalisme. Kalau kita berhadapan dengan orang mengaku Islam tetapi jelas menunjukkan ciri-ciri melanggar batas iman dan kafir, apa teguran yang harus kita buat kepada mereka? Pada masa yang sama, mereka menzalimi dan menyeksa si penegur.

 Meletak seseorang yang menyatakan masyarakat jahiliah (pengkagum Sayyid Qutb) sebagai kelompok takfiri adalah meletak diri pelabel sebagai penghukum orang sebagai khawarij sama dengan kelompok yang dikatakan takfiri itu sendiri.

Di Malaysia bahkan di dunia, takfiri bukan bermula zaman Ikhwanul Muslimin dan Sayyid Qutb.

 Sayyid Qutb terkenal dengan keindahan sastera dan kedalaman makna istilah. Kita tafsir sebagai takfiri. Kita buat tanggapan sendiri yang mungkin bukan itu makna si penulis. ini kesilapan kita. Dulu ada kontroversi ‘Tuhan Mencarut’ dan ‘Tuhan Samseng’. Adakah Tuhan itu samseng dan mencarut? Tangan Tuhan, adakah sama Tangan Tuhan sama dengan tangan manusia atau ada mempunyai kefahaman yang lain?

No comments: