Budaya takfiri semakin jarang disebutkan orang. Ia biasa muncul ketika musim pilihan raya sebagai modal UMNO menghentam PAS. Ada pihak tertentu mengapi-apikan pemimpin dan anggota PAS membudayakan budaya takfiri sebagai perangkap mereka menjatuhkan karekter pemimpin dan imej PAS. Tokoh yang seringkali dikaitkan dengan fenomena takfiri ialah Abdul Hadi Awang. Abdul Hadi Awang terkenal dengan tuduhan membangkitkan budaya takfiri dalam PAS melalui Amanah Haji Hadi. Adakah benar Abdul Hadi Awang pelopor budaya takfiri di Malaysia?.
Persoalan Takfiri
Fenomena takfir meliputi pihak yang mengkafir dan pihak yang menuduh pihak yang mengkafir. Fenomena takfir adalah fenomena mendunia bukannya di Malaysia sahaja. Dalam konteks Malaysia, ia sudah bermula agak lama termasuk ketika zaman konflik Kaum Tua dengan Kaum Muda.
Pada tahun 1970an, pemuda Islam dan mahasiswa Islam terpengaruh dengan pemikiran Sayyid Qutb. Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) antara pertubuhan belia yang dipengaruhi oleh pemikiran Sayyid Qutb. Mereka menonjolkan gagasan radikalisme dengan penggunaan istilah toghut dan jahiliah terhadap gejala modernisme dan sekularisme di Malaysia. Presiden ABIM, Anwar Ibrahim pernah menegaskan hanya dua golongan masyarakat sahaja yang ada iaitu Islam dan bukan Islam.
Tokoh ABIM yang menjadi pengarang majalah Risalah milik ABIM iaitu Siddiq Fadzil seringkali mengunakan perkataan toghut dalam penulisannya. Siddiq Fadzil juga pendamba tegar pemikiran Sayyid Qutb dalam penulisan dan ucapan beliau. ABIM mengurangkan pengungkapan pemikiran Sayyid Qutb apabila radikalisme merebak sehingga berlaku kafir mengkafir. Pemikiran Sayyid Qutb ditinggalkan oleh ABIM setelah Anwar Ibrahim masuk UMNO.
Kemuncak kepada fenomena takfir adalah Peristiwa Memali dan tersebarnya Amanah Haji Hadi. Amanat Haji Hadi mengemparkan negara apabila Abdul Hadi Awang didakwa mendakwa UMNO kafir. Fenomena sebegini berlaku apabila PAS diasak secara keras dan pemimpin pemerintah berucap yang boleh membawa kepada kekufuran.
Menurut Abdul Hadi Awang, menuduh seseorang Islam dengan kafir adalah jenayah berat dalam hukum Islam, dalam masa yang sama hendaklah menyedari bahawa kekufuran sememangnya berlaku di kalangan penganut Islam yang juga dikira jenayah berat yang tidak boleh dibiarkan.
Islam tidak memaksa orang bukan Islam memeluk agama Islam tetapi Islam mewajibkan iman seseorang Islam dikawal oleh tiap-tiap orang Islam, masyarakat dan pihak kerajaan Islam. Mereka wajib mempelajari perkara asas Iman dan Islam bahkan wajib mengetahui perkara yang membatalkan iman dan Islam. Dengan ilmu inilah kita boleh mengetahui batas antara iman dan kufur.
Menurut Syeikh Yusuf al Qaradhawi, antara sebab timbulnya fenomena takfir ialah
1. Kekufuran dan murtad secara terang-terangan dalam masyarakat
2. Terdapat sebahagian ulama mengabaikan tugas mereka terhadap kelompok yang benar-benar kufur
3. kelompok Islam yang mahu mengamalkan al Quran dan hadith ditindas
4. Pemuda Islam yang cetek ilmu agama.
Manakala Abdul Hadi Awang merumuskan sebab fenomena takfir berlaku iaitu [1] kebiadapan pemimpin terhadap Islam dan pendokongnya. [2] Kejahilan mereka yang cintakan Islam yang tidak dapat mengawal perasaan marah dan bersemangat begitu tinggi sehingga melenting dalam mempertahankan Islam. [3] Kejahilan terhadap hukum agama yang sempurna dan lengkap oleh pengaruh sekularisme menyebabkan mereka berani menafikan atau menghina ajaran Islam seperti menafikan system politik, social dan ekonomi Islam.
Dato Fadzil Noor pula menyatakan, ‘konteks semasa ketika itu’ apabila pemimpin UMNO nyaring mengatakan ‘politik suku, Islam suku’ yakni memisahkan Islam daripada perkara dunia. Ia juga dikenali sekularisme.
Ada yang mempersoalkan kenapa pemimpin PAS terutamanya Abdul Hadi Awang tidak menegur pemimpin atau pengikut yang mengkafirkan orang lain. Menurut Abdul Hadi Awang, PAS mentarbiyah ahlinya supaya memahami perkara ini agar tidak sewenang-wenangnya menghukum orang lain kafir. Tindakan keterlaluan segelintir pelampau PAS akhirnya menyebabkan mereka disingkirkan daripada PAS atau mereka melarikan diri daripada PAS.
Pemimpin dan anggota PAS yang mengikuti pentarbiyyahan PAS dengan faham dan ikhlas tidak akan terpengaruh dengan budaya takfiri
Jalan Penyelesaian
Jalan menyelesaikan fenomena ekstremisme seperti pemikiran takfiri boleh dikurangkan dengan beberapa jalan penyelesaian:
[1] Kata Mursyidul Aam Ikhwanul Muslimin, Mustafa al Masyhur menyatakan Imam Hassan al Banna berusaha menyatukan kaum muslimin dalam akidah yang benar dan sempurna serta pemahaman yang mendalam, teliti dan benar tentang Islam dari al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW.
[2] Pengajian Ilmu-ilmu Islam. Dengan ilmulah kita mengenali sifat-sifat seorang muslim, mukmin, murtad, munafik, jahil dan kafir. Antara kitab yang baik untuk mengetahui tentang batas-batas iman dan kufur ialah kitab Mustika Hadith terbitan Jabatan Perdana Menteri Malaysia dan kitab Muqadimmah Aqidah Muslimin, karangan Abdul Hadi Awang. Menurut Abdul Hadi Awang, PAS adalah parti Islam yang berjuang menyelamat aqidah umat Islam maka berkewajipanlah ia menyatakan batas-batas iman dan kufur secara ILMU dengan adab-adab berdakwah. PAS tetap istiqamah tidak menuduh sesiapa secara khusus sama ada individu atau kelompok tertentu.
[3] Jaga akhlak termasuk lisan dan tulisan.
[4] Mahkamah Allah SWT. Seseorang itu boleh mengkafir seseorang itu berdasarkan kadar ilmu miliknya dan keberanian beliau berhujah didepan Allah sebab dia menghukum orang itu sebagai kafir. Pilihan dan tanggungjawab itu terletak kepada seseorang yang baligh dan mukalaf. Menurut Abdul Hadi Awang, hukuman kafir hendaklah dibuat oleh orang yang berwibawa dari segi hukum Islam bagi menghebahkan kepada masyarakat Islam.
No comments:
Post a Comment