Sunday, September 21, 2025

Bagaimana Imam al-Bukhari Meninggal Dunia?

 Sumber: FB Herjunot Ali (Dr Wan Ji)

Imam al-Bukhari menghadapi tekanan dan penganiayaan yang berat pada akhir hayatnya daripada para penguasa di beberapa kota di Timur dunia Islam, khususnya di Naisabur, Bukhara, dan Samarkand.
Antara sebabnya ialah:
1. Beliau enggan mengajar anak-anak penguasa di istana mereka.
Imam al-Bukhari menolak untuk pergi ke istana sultan dan berkata:
“Ilmu itu didatangi, bukan ia yang dibawa ke pintu-pintu istana.”
2. Ada yang dengki terhadap kemasyhuran dan kedudukannya.
Serta beberapa sebab lain.
Ketika Imam al-Bukhari berusia 62 tahun, pemerintah Naisabur mengeluarkan arahan supaya beliau meninggalkan kota itu kerana dianggap tidak lagi diingini di sana. Lalu beliau keluar dan menuju ke kampung halamannya, Bukhara. Ketibaan beliau disambut oleh penduduk kota dengan penuh gembira; mereka menaburkan wang dan gula sebagai tanda penghormatan.
Namun, tidak lama selepas itu, pemerintah Bukhara pula berasa tergugat dengan kemasyhurannya. Ditambah pula dengan surat dari pemerintah Naisabur yang menuntut supaya Imam al-Bukhari diusir dari Bukhara juga, sebagaimana yang berlaku di Naisabur.
Utusan pemerintah pun datang ke rumah Imam al-Bukhari dengan perintah segera: beliau mesti meninggalkan kota itu pada saat itu juga, tanpa diberi peluang untuk mengemas buku-bukunya. Lalu beliau keluar dan tinggal di khemah di pinggir kota selama tiga hari, sibuk menyusun kitab-kitabnya, dalam keadaan tidak tahu ke mana hendak dituju.
Selepas itu, Imam al-Bukhari bergerak menuju ke Samarkand. Tetapi beliau tidak masuk ke kota itu, sebaliknya menuju ke sebuah kampung bernama Khartank untuk menumpang di rumah sanak saudaranya, ditemani oleh Ibrahim bin Ma‘qal.
Tidak lama kemudian, utusan pemerintah Samarkand pula tiba dengan arahan baru: Imam al-Bukhari mesti diusir dari wilayah Samarkand dan perkampungannya juga.
Ketika itu adalah malam Aidilfitri, namun arahan tetap sama: beliau mesti keluar serta-merta, tidak boleh ditangguhkan selepas raya. Imam al-Bukhari bimbang akan membahayakan tuan rumah yang telah memuliakannya, lalu Ibrahim bin Ma‘qal segera menyiapkan buku-bukunya di atas seekor kuda dan menyediakan kenderaan lain untuk beliau tunggangi.
Ibrahim membawa keluar Imam al-Bukhari, yang pada waktu itu kelihatan lemah dan terpaksa dipapah. Mereka berjalan kira-kira 20 langkah menuju ke kenderaan, lalu Imam al-Bukhari merasa semakin lemah dan berkata kepada Ibrahim:
"Biarkan aku duduk sebentar untuk berehat."
Beliau pun duduk di tepi jalan dan tertidur. Beberapa minit kemudian, ketika Ibrahim cuba mengejutkannya, didapati roh Imam al-Bukhari telah kembali kepada Allah
Imam al-Bukhari wafat pada malam Aidilfitri, 1 Syawal 256H, di usia 62 tahun lebih, dalam keadaan diusir dari satu kota ke kota lain. Beliau menghadap Allah dengan penuh sabar, reda dan mengharap ganjaran daripada-Nya.

No comments: