Saturday, September 27, 2025

Pemerintah Dunia (1)

 Jika kita melihat kepada isu antarabangsa,, ramai selesa menyokong berdasarkan

1. Agama/seiman/satu aqidah
2. Bangsa.
3. Ideologi
4. kemanusiaan
Isu Gaza, kebanyakan rakyat biasa yang terbanyak melihat dari (1) agama Islam (saudara seiman), (2) bangsa, (3) ideologi dan (4) kemanusiaan.
Elit politik yang memerintah kerajaan tidak melihat dari segi semua itu. Geopolitik dunia dan sejarah mempengaruhi pemikiran elit politik. Sehebat Jepun pun terpaksa mengikut pandangan AS menjadi pro Israel
Dalam Isu Azerbaijan vs Armenia. Rusia berpihak kepada Armenia. Azerbaijan disokong oleh Turki, Iran dan Israel. Pada waktu yang sama, Rusia adalah sekutu utama Iran. Geopolitik Dunia sebegini, kita akan lihat tikam-menikam demi kelangsungan hidup dan kepentingan agenda sendiri. Akhir sekali, akan ada kambing hitam untuk dikorbankan. Ini yang berlaku pada HAMAS.

Sunday, September 21, 2025

Maklumat dan Ilmu

 Kita tertarik dengan kenyataan Dr Wan Ji. Beza ilmu ketimbang maklumat. Ilmu mempunyai metodelogi dan manhaj. Jika tiada metodelogi dan manhaj, itu hanyalah maklumat.

Dari segi teori ilmu sememangnya begitu.

Istilah maklumat atau ilmu, jauh lebih ialah

1. Bagaimana kita memahami ilmu

2. Beramal dengan ilmu/maklumat secara berterusan

3. Sejauhmana maklumat dan ilmu itu memberi manfaat kepada diri dan orang lain.

II

Kualiti atau darjah iman-taqwa

Kenapa seorang ustaz yang mengajar murid sanggup merogol atau melakukan amang seksual terhadap muridnya?

Pada masa yang masa, ustaz itu beristeri 3 orang dan ramai anaknya.

Logiknya, ilmu yang difahami akan meningkatkan kualiti/darjah iman-taqwa seseorang. Apabila perkara sebegini berlaku, ini bermakna ustaz itu belum memahami sebenar-sebenar ilmu yang dia pelajari. Ilmu yang tidak menambah iman-taqwa (keyakinan berTuhan). 

Begitu juga Orientalis yang tinggi ilmu sehingga menghafaz al Quran tetapi  masih kafir. Ini bermakna ilmu yang tinggi tidak memberi kefahaman kepada dia sendiri.

III

Jalan Hidayah

Orang hebat seperti Greta Thurberg sangat hebat dalam amal kebajikan, hak asasi dan alam sekitar. Usaha beliau mengatasi usaha aktivis dan pemimpin kalangan umat Islam.

Perbuatan beliau kita kagumi dan kita doakan orang Baik dalam kalangan bukan Islam mendapat hidayah

IV

Ingkar Ilmu

Tahu tetapi kita tak amal dan ikut ilmu yang kita tahu. Itulah ingkar ilmu. Ilmu perlu disertakan doa  agar ilmu itu ada sentuhan hidayah.


Beza Ilmu ketimbang Maklumat


Sumber : Dr Wan Ji

 Apabila dikaitkan dengan ilmu, ia mesti ada metodologi dan manhaj.

Seseorang yang bergelar sebagai ulama, penguasaannya mesti terikat dengan metodologi dan manhaj.
Kalau tidak tahu manhaj dan metodologi, itu bukan ilmu. Itu sekadar maklumat.

Qutbis ke Liberalis Kembali Kepada Tradisionalis-Sufi: Taubat Seorang Ulil Abshar Abdalla

Zaman Muda adalah anyaman daripada idealistik, semangat melangit, suka memberontak-melawan, anti-penguasa, penegak keadilan, jurubicara rakyat, pendek akal-bodoh dan ‘gila-gila’-berbuat baru berfikir. Kita muda teruja dan kagum tokoh-tokoh yang hebat pidato dan kaya pengetahuan. Kita mudah diasyik dan dikhayalikan oleh ideologi dan aliran pemikiran.  Kita aktif dalam pelbagai aktiviti, program dan organisasi.

 

Ulil Abshar Abdalla salah seorang sosok Islam Liberal yang terkenal. Anak muda NU ini pernah mengidap penyakit Qutbisme pada zaman mudanya. Dia terpengaruh dengan buku Sayyid Qutb, ‘Ma’alim fi al-Thariq’ yang ditulis dalam bahasa Arab yang indah. Ketika itu, Ulil berusia 19 tahun. Buku ini mendorong anak muda menjadi fundamentalis-radikal dan terpengaruh dengan gejala takfir (mudah mengkafir orang lain).

 

Dalam beberapa  saat membaca buku Sayyid Qutb, Ulil akan tenggelam dalam kemabukan denganmengatakan masyarakat disekeliling dia adalah jahiliah yang berada dalam kegelapan akidah. Kita sahaja yang betul dan akidah paling benar. Ia membawa kepada totaliter--kemutlakan. Ulil bernasib baik kerana ia hanya merasa dan tidak pernah mengutarakan secara lisan dan tindakan.

 

Ulil juga menulis bahawa dia juga terpengaruh dengan pemikiran santisme melalui buku-buku Richard Dawkins, Lawrence Krauss, Stephen Hawking, Carl Sagan, Richard Feynman, Steven Weinberg, E. O. Wilson, Steven Pinker, Peter Atkins, Victor Stenger. Jebakan kegelapan ini diubati oleh pemikiran Cak Nur dan Gus Dur.

 

 

Ulil Abshar Abdalla sebagai koordinator Jaringan Islam Liberal. Jaringan Islam Liberal merupakan penjenamaan semula liberalisme sebelum itu. JIL awalnya digerakkan oleh intelektual muda dari ISAI (Institut Studi Arus Informasi;.. Pertemuan pertama, mereka telah mewacanakan tajuk Akar-Akar Liberalisme Islam: Pengalaman Timur Tengah (The Roots of Islamic Liberalism: The Middle East Experience) yang dibentangkan oleh intelektual muda progresif, Luthfi Assyaukanie (pensyarah Universiti Paramadina (diasaskan oleh Cak Nur) dan penyelidik di Freedom Institute. Luthfi lulusan Universiti Jordan, MA (ISTAC UIA) dan Phd University of MelbourneAustralia.

 

Nama JIL meletup apabila  Ulil Abshar Abdalla menulis artikel Menyegarkan Kembali Pemahaman Islam.(Kompas, 18 November 2002). Idea Islam Liberal mencabar pemikiran Islam tradisional.

 

Pada tahun 2007, Ulil menyambung MA di Boston University. Pada tahun 2010, dia sedang menyambung PhD. Ketika itu dia masuk bertanding jawatan Pengerusi UN semasa Muktamar NU di Makasar tetapi tewas. Setelah gagal masuk ke dalam kelompok elit NU, dia aktif dalam Parti Demokrat sekitar tahun 2010 hingga 2015. Dia tidak sekses dalam dunia politik.

 

Kejutan berlaku pada tahun 2016, dia kembali menjadi tradisonalis-Sufi dengan meneliti, menekuni dan mengajar kitab Ihya Ulumiddin karya Imam al Ghazali. Ia bagaikan mengulangi fasa kehidupan Abu Al-Hasan Al-Asyari daripada muktazillah kepada ASWJ. Begitu Pak Harun Nasution kembali kepada Sufisme.

 

II

 

Tarbiyyah dan asuhan daripada latar belakang keluarga beragama, persekitaran Islam dan proses pentarbiyyahan atau kaderisasi Jemaah Islam yang KERAS akhirnya melahirkan sebilangan anak-anak muda yang ANTI-TESIS--memberontak, mahu bebas bukan terikat atau dikawal oleh kelompok tua dalam jemaah, cabar ideologi atau pemikiran lama. Ini adalah lumrah dalam perkembangan mencari makna kehidupan dan identiti diri seorang anak muda.

 

Ulil Abshar Abdalla, dari tradisionalis NU--Qutbisme--Liberalisme-Politik-Tradisonalisme+Sufisme. Ramai lagi anak muda senasib dengan Ulil Abshar Abadalla.

 

III

 

Lazimnya, tradisionalisme yang menang. Akarnya ialah institusi pendidikan (madrasah dan pondok), institusi masjid dan institusi kekuasaan dipegang oleh kelompok tradisional. Di Malaysia, Institusi Raja dan Institusi Birokrat Agama dipegang oleh tradisionalis.

Akhlak Sebelum ILMU

Kita biasa dengar atau baca ayat, “adab sebelum ilmu”. “Kehilangan Adab”- al-Attas. “Hati yang baik lebih berharga daripada ribuan kepala yang penuh ilmu”--Plato. “Ilmu tanpa hati yang baik ibarat pisau tajam tanpa pegangan”.

 

Akhlak dan Rasulullah SAW’. Ada yang bertanya, “Apakah itu agama?” Sabda Rasulullah SAW, “Akhlak yang mulia” . Sabda Rasulullah SAW, “sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan akhlak yang mulia”. Saidatina Aisyah pernah berkata, “akhlaknya (Rasulullah) adalah al-Quran”

 

Impak iman dan ilmu itu pada akhlak. Secara mudah, akhlak ialah budi pekerti, tabiat, perangai atau kelakuan seseorang yang sebati dengan jiwa yang mudah melakukan kebaikan dan bermanfaat kepada diri dan orang lain. Hati (jiwa) yang baik datang daripada iman, ilmu dan fitrah kemanusiaan dicerminkan dalam lisan, tulisan, keputusan dan tindakan. Manusia Tanpa akhlak bermakna seseorang itu ingkar iman dan ilmu.

 

Berakhlak adalah Orang Baik. Orang Baik ialah orang mempunyai (1) hubungan baik dengan Allah, (2) sesama manusia dan (3) alam. Terbaik ialah memiliki 1, 2 dan 3.

 

Manusia Barat seperti Greta Thunberg memiliki perkara 2 dan 3. Berjuang dalam isu kemanusiaan dan alam sekitar.

 

Perosak kepada akhlak yang baik ialah penyakit dengki, sifat melampau, buruk sangka, sombong dan tamak.

 

II

 

Islam adalah jalan penyelesaian masalah. Soalnya, bagaimana Islam menyelesaikan masalah?

Untuk menyelesaikan masalah, ia bukan sahaja terletak kepada ideologi, keyakinan, agama, strategi, pendekatan, kaedah atau sistem. Jauh lebih penting ialah tentang SIAPA?

 

Jawapannya ialah Orang BAIK yang LAYAK. ORANG BAIK yang LAYAK yang terbaik perlu diutamakan sudah tentu kalangan orang  beriman daan bertaqwa (jika mereka ada). Ingat, orang baik yang layak tidak semestinya orang Islam.

 

 

III

 

Perubahan pemikiran dan pendekatan-strategi adalah satu proses perkembangan diri kita. Paling penting pengakhiran hidup yang baik.

 

Fasa awal , seseorang anak muda sudah tentu memiliki semangat berlebihan , tenaga-idea, sifat memberontak, keras dan mahu mengubah ‘dunia’. Anak muda dalam proses mencari indentiti dan jati-diri. Menyukai kepelbagaian, persamaan kelas dan gender, keadilan sosial dan menentang arus perdana/status quo serta anti-pemerintah.  Maka, anak muda akan lebih mudah teruja dan kagum dengan pemikiran dan gaya pimpinan--berpidato dam retorik  seperti Sayyid Qutb, Che Guevara, Sukarno, TGHH dan Anwar Ibrahim . Atau ideologi dan kumpulan seperti Komunisme, Sosialisme, Progresif, Hizbut Tahrir, EZLN, Ikhwanul Muslimin dan bagai.

 

Kemudian, ramai kalangan anak muda berubah teruja dan kagum dengan tokoh yang lebih intelektual dan moderat melalui pengaulan dan pembacaan (contoh, kes gerakan Islam tempatan) seperti Buya HAMKA, Muhammad Natsir dan Syed Muhammad Naquib al Attas. Ulil Abshar Abdalla seorang Qutbis mabuk dengan pemikiran Sayyid Qutb dillunak oleh pemikiran Gus Dur dan Cak Nur. Pemikiran ABIM daripada Sayyid Qutb kepada Muhammad Natsir.

 

Fasa seterus adalah ujian. Kita diuji dengan apa yang kita dokong. Kelangsungan hidup--kuasa, wang, popular, selesa, mewah, jawatan, kroni---kawan2, keuntungan/agenda peribadi,  wanita dan anak-anak mempengaruhi kita. Disinilah, ramai yang tersangkut, terbabas dan tertewas serta ingkar ilmu dengan melanggar keyakinan, pegangan dan kepercayaan sendiri. Wirawan-Hero Rakyat setelah menjadi penguasa, menzalimi rakyat sebagaimana apa yang mereka lawan dahulu. Sosialis bertukar menjadi kapitalis-taikun besar  yang menindas dengan manipulasi dan eksploitasi ke atas rakyat. (Nota: Tun Daim dan Tun Abdul Razak adalah sosialis ketika zaman muda)

 

Fasa ujian ini juga, adakah kita melaksanakan apa yang kita yakin, pegang dan dokong dalam posisi yang kita ada ada? Adakah idea kita sekadar pembacaan yang khayal dan palsu yang menyedapkan akal dan jiwa kemudian modal mengkritik dan menghentam orang lain dengan lagak terlebih suci, terlebih tahu dan terlebih bijak daripada orang lain? Bangga dengan wacana ilmu dan pengetahuan yang banyak. Akhirnya kita ada seminar, forum, pondcast dan Kuliah Umum yang mengasyik, utopia dan berkelas tinggi yang palsu dan tak berimpak kepada lingkaran diri dan realiti di lapangan.

 

Kematangan usia, keluasan dalam pengaulan, perkembangan ilmu (membaca) dan pengalaman mendewasakan kita tentang sesuatu. Baru kita kenal realiti sebenar, keutamaan dan kemampuan kita dalam mendepani kehidupan.. Baru kita kenal siapa kita.

 

IV

 

Ada pendapatan besar, kaya, ada jawatan, popular, berpendidikan tinggi, banyak membaca tidak berguna jika tidak beraklak. Kekuasaan dan tanggungjawab adalah ujian sebenarnya. Tulis-baca-wacana hanyalah berfungsi memberi kesedaran dan bersifat ideal.  Akhlak menentukan siapa kita. Fungsi Akhlak dalam lingkaran kehidupan seharian--pesekitaran hidup kita sangat penting.

 

Kita tak mampu ubah dunia tetapi kita mampu ubah diri kita sendiri. Kemudian ubah keluarga dan persekitaran kerja serta masyarakat sekeliling kita. Ubah berdasarkan kemampuan, kekuasaan dan pengaruh yang kita ada. Kita sebagai ayah, guru, ketua keluarga dan pemimpin masyarakat setempat.

Kelas Sosial

Persamaan kelas sosial, hak asasi manusia, sama rata dan keadilan (dalam konsep Barat) adalah satu utopia.

 

Rasulullah SAW dalam pelaksanaan ibadah HAJI memberi personafikasi persamaan kelas  sosial, hak asasi manusia, sama rata dan keadilan dalam Islam. Malangnya, masa kini elemen-elemen tersebut menjadi tumpul dalam pelaksanaan ibadah HAJI.

 

Orang berkuasa dan kaya mendapat hotel-hotel berhampiran Masjidil Haram, orang berpengaruh dapat masuk dalam Kaabah, tawaf dikeliling pegawai keselamatan, kemudahan selesa (bahkan mewah) dan dekat tempat melontar di Mina dan berkhemah berhampiran Jabal Rahmah di ketika Wuquf. Ini antara  perkara yang mewujudkan ‘kelas sosial’ dalam ibadah haji masa kini. Ia lebih siapa ‘berpengaruh’ dan kaya.

 

Hakikat sebenarnya, suka atau tidak, persamaan kelas sosial, sama rata dan keadilan disisi manusia adalah utopia dan palsu. Ia kekal WUJUD dan  terlalu IDEAL yang perlu kita semua menghadapinya terutamanya masyarakat masa kini.

 

Komunisme dan Sosialisme cuba mewujudkan keadilan sosial dan persamaan kelas sosial. Tetapi gagal.

 

Dalam Islam, kelas sosial itu ada pada sifat TAQWA. Islam membezakan ahli BADAR dengan orang biasa. 10 sahabat ahli syurga dengan sahabat yang lain. Tingkat dan pintu Syurga. Generasi terbaik (sahabat, tabi’in dan Tabi’unt Tabi’in) dengan generasi kemudian.

 

Maka, pertentangan kelas sosial perlu dinilai dari sudut positif ialah sentiasa berusaha meningkatkan kelas sosial. Perihal akhirat memerlukan iman yang benar usaha dan amal berterusan. Dan perihal dunia melalui PENDIDIKAN, DISIPLIN dan KERAJINAN.

Gurau Kasar

Bertemu teman satu kelas, satu sekolah, satu rumah sewa, satu asrama bahkan satu kampung, kita lupa bahawa kita sedang berada fasa dewasa. Maka, memori dan kenangan zaman remaja atau kanak-kanak merobek seketika tembok kedewasaan sehingga nampak kekasaran dan ketidaksopanan serta kenakalan zaman dahulu.

 

II

 

Ramas kote, usik lelaki berbadan gempal (sentuh tetek) dan ucapan dua makna (ada unsur lucah). Ini antara gurauan kasar sesama lelaki. Ia biasa berlaku antara kawan dan antara guru dengan murid. Jika salah seorang tak berapa suka, ia boleh menjadi kesalahan seksual. Maka, waspadalah ketika bergurau.

 

Ramas kote adalah gurau kasar orang tertentu. Biasanya generasi lama.

DARI LIBERALISME KE ISLAM LIBERAL: SATU SOROTAN

 


Dr Zulkifli Mohamad al Bakri

Dewasa ini, masyarakat Islam di seluruh dunia mulai sedar akan wujudnya gerakan-gerakan yang membawa fahaman liberal, liberalisme dan Islam liberal. Masyarakat mulai menyebut-nyebut dan berbincang tentang gerakan liberalisme dan Islam liberal. Namun dalam masa yang sama, masih terdapat banyak salah faham dan ketidakjelasan maklumat akan apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan istilah-istilah ini, hatta disisi para pendakwah, asatizah dan para ilmuwan.

Satu kaedah fiqh yang masyhur ada menyebut:

الحكمُ على الشَّيءِ فَرعٌ عَنْ تَصَوُّرِهِ
Maksudnya: Hukum ke atas suatu perkara memerlukan gambaran yang jelas berkenaannya.

Imam al-Ghazzali menekankan peri pentingnya bagi seorang ilmuwan itu untuk memahami hakikat sebenar perkara yang dibahaskan sebelum itu layak untuk mengkritik atau menerimanya. Beliau menegaskan seseorang yang mengkritik sesuatu perkara tanpa terlebih dahulu memahaminya dengan mendalam adalah ibarat orang yang memanah dengan mata yang tertutup. (Rujuk Al-Munqiz min al-Dhalal, hal. 578)

Perbahasan berkenaan liberal, liberalisme dan Islam liberal merupakan satu perbincangan yang amat panjang. Menyedari hakikat ini, kami akan menjelaskan secara ringkas definisi perkataan liberal dari sudut bahasa, sejarah ringkas gerakan liberalisme dan seterusnya membataskan perbahasan Syarak mengenai gerakan Islam liberal, dengan fokus terhadap pemikiran Jaringan Islam Liberal (JIL) di Indonesia sebagai salah satu gerakan Islam liberal yang paling berpengaruh.

Definisi Liberal
Dari sudut etimologi, perkataan liberal berasal daripada bahasa Latin liberalis yang antara lain bermaksud kebebasan dan sifat seorang yang merdeka, atau daripada perkataan liber yang membawa makna bebas dan tidak terikat atau terkongkong. Sewaktu kurun ke 16 dan 17, liberal digunakan merujuk kepada kebebasan daripada sebarang kekangan dalam pengucapan dan tindakan. Zaman Pencerahan (Enlightenment) pula mengertikannya dari sudut positif (ijabiyyah) sebagai kebebasan daripada sikap prejudis, jumud dan taasub, serta seruan ke arah toleransi.

Dalam konteks sekarang, seorang yang liberal itu secara umumnya merujuk kepada sesiapa yang menghormati kepelbagaian kepercayaan dan sikap. Manakala dari konteks politik, sebuah parti yang liberal ialah yang memperjuangkan ke arah kebebasan individu dan pembangunan ke arah pengagihan kekayaan negara dan kuasa yang lebih adil dalam kalangan masyarakat.

Contoh penggunaan perkataan liberal dapat dilihat dalam beberapa bidang dan lapangan. Misalnya dalam Rukun Negara, jelas dinyatakan bahawa antara cita-cita yang perlu dicapai sebagai sebuah negara ialah:

“Menjamin satu cara yang liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaaannya yang kaya dan berbagai-bagai corak”.

Jelas bahawa yang dimaksudkan di sini adalah sikap terbuka yang diamalkan di Malaysia bagi menjamin perpaduan rakyat yang berbilang kaum dan budaya, dan tidak sama sekali memberi gambaran bahawa Malaysia menerima liberalisme sebagai ideologi politik mahupun sebagai falsafah negara. Perkataan liberal dalam konteks ini tidak membawa sebarang konotasi negatif, kerana ia terlepas daripada ideologi dan worldview ideologi liberalisme yang mewarnai penggunaannya dalam sejarah. (Rujuk Khalif Muammar dalam Islam dan Liberalisme: Antara Maslahah dan Mafsadah, Jurnal Afkar Jilid. 20 Isu 2 (2018), hal. 7-8)

Dalam bidang ekonomi pula, kita sering mendengar istilah liberalisasi ekonomi yang membawa maksud suatu polisi yang mengurangkan regulasi dan campur tangan kerajaan dalam ekonomi sesebuah negara, bagi menarik penglibatan yang lebih aktif dalam pembangunan ekonomi oleh sektor swasta. Ia juga boleh membawa maksud polisi ekonomi yang lebih mesra kepada pelaburan asing dalam sesebuah negara.

Begitu juga dalam bidang pendidikan, dimana terdapat satu bidang pendidikan yang dinamakan sebagai pendidikan liberal (liberal arts education). Ia berasal daripada perkataan latin artes liberales, iaitu pelajaran tujuh subjek yang lebih menjurus ke arah meluaskan ufuk intelektual, berbanding kemahiran praktikal. Pengajian liberal arts dibahagikan kepada dua kategori, iaitu trivium (tatabahasa, logik dan seni retorik) dan quadrivium (aritmetik, geometri, muzik dan astronomi). Pengajian mata pelajaran ini dipanggil sebagai pendidikan liberal, kerana ia membebaskan minda daripada kejumudan tradisi dan keegoan diri.

Dalam tradisi Rom, pendidikan liberal dipelajari oleh golongan merdeka dan kelas tinggi, manakala lawannya pula ialah servile arts, yang lebih bertumpu ke arah skil-skil pekerjaan seperti pertukangan dan pembuatan.

Perkataan liberal juga didapati dalam bidang sukan, di mana salah satu posisi bagi sukan bola tampar dinamakan sebagai libero yang berasal dari perkataan Itali yang bermaksud bebas, iaitu satu posisi pertahanan yang bebas untuk keluar dan masuk menggantikan pemain di barisan belakang tanpa perlu meminta kebenaran daripada pengadil.

Beberapa ketika yang lalu juga, timbul istilah ‘super liberal’ yang sering diulang oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim, yang beliau tujukan kepada sesetengah kelompok liberal yang disifatkan sebagai angkuh dan memaksa orang lain mengiktiraf dan memenuhi permintaan mereka, khasnya dalam isu-isu sensitif seperti LGBT, keistimewaan orang Melayu dan kedudukan agama Islam di negara ini.

Liberalisme sebagai satu ideologi ekonomi dan politik
Liberalisme merupakan antara falsafah yang terpenting dalam mencorakkan peradaban barat pada hari ini, di samping fahaman-fahaman lain seperti humanisme, sekularisme dan pluralisme.

Sebenarnya tidak ada satu definisi yang disepakati bersama akan apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan liberalisme. Kami bawakan beberapa definisi yang diberikan oleh beberapa badan berautoriti dan para sarjana:

Ensiklopedia Britannica mendefinisikan liberalisme sebagai satu doktrin politik yang menjadikan perlindungan dan pengembangan kebebasan individu sebagai fokus utama dalam bidang politik.

Liberalisme lahir daripada fokus tamadun barat yang amat mementingkan individualiti, berbanding tamadun lain yang mengambil berat soal status, kasta dan tradisi. Liberalisme juga amat sensitif dengan perubahan zaman dan konteks, yang menatijahkan pengamalan liberalisme yang berbeza di setiap negara dan setiap zaman.

Liberalisme dalam sejarahnya menginginkan wujudnya kepelbagaian dalam gaya hidup dengan cara melindungi hak dan kepentingan golongan kelas menengah, kelompok minoriti agama, kelas pekerja, orang miskin, minoriti kaum, wanita, LGBT dan kelompok kurang upaya.

Sebagaimana lazimnya, suatu fahaman dan aliran pemikiran tidak lahir dalam ruang vakum. Demikian juga liberalisme, ia lahir sebagai tindak balas terhadap pemerintahan kuku besi, feudalisme dan teokrasi yang menjadi pengalaman pahit masyarakat Barat selama lebih kurang seribu tahun. (Rujuk Khalif Muammar dalam Islam dan Liberalisme: Antara Maslahah dan Mafsadah, Jurnal Afkar Jilid. 20 Isu 2 (2018), hal. 2-3)

Menurut Liberal International– satu persekutuan yang menghimpunkan parti-parti politik liberal sedunia- terdapat beberapa teras utama yang menjadi tunjang perjuangan golongan liberal, antaranya ialah:

– mewujudkan masyarakat yang bebas, terbuka dan saksama, dimana nilai kebebasan mesti diimbangi dengan nilai kesetaraan
– hak asasi manusia
– ekonomi pasaran sosial, perdagangan bebas dan pembangunan

Menurut Milton Friedman, kebebasan politik ialah tidak wujudnya paksaan seseorang ke atas seseorang yang lain. Ancaman terbesar terhadap kebebasan ialah kuasa paksaan, sama ada kuasa tersebut ada pada tangan raja monarki, diktator, oligarki atau pihak majoriti. (Rujuk makalah bertajuk The Basic Principles of Liberalism karangan Milton Friedman)

Menurut Oxford Islamic Studies pula, liberalisme merupakan satu idelogi yang merangkumi kepercayaan terhadap demokrasi pilihanraya, hak-hak sibil, kesetaraan jantina, kemajuan manusia dan penghapusan hierarki sosial pra-kemodenan. Ia diperkenalkan ke dunia Islam pada abad ke-19 oleh orang Eropah.

John Stuart Mill, salah seorang pemikir liberal terpenting menggariskan beberapa kaedah asas dalam pemikiran liberalisme berkenaan hubungan individu dan masyarakat:

i. Tindak-tanduk seorang individu itu pada asalnya tidak perlu dipertanggungjawabkan dihadapan masyarakat, selagi mana tindakannya itu hanya berkaitan dengan dirinya sendiri sahaja.
ii. Masyarakat hanya boleh memberi nasihat, tunjuk ajar, memujuk dan menjauhkan diri daripada individu tersebut jika mereka tidak selesa atau tidak bersetuju dengan perbuatannya.
iii. Jika tindakan individu memberi kesan kepada kemaslahatan pihak lain, maka dia boleh dikenakan hukuman undang-undang atau sosial jika masyarakat merasa adanya keperluan ke arah itu.
iv. Pada asasnya, sebarang mafsadah yang menimpa orang lain akibat tindakan seorang individu, tidaklah memestikan campur tangan masyarakat terhadap individu tersebut. Hal ini kerana dalam banyak hal, tindakan seorang individu untuk mencapai sebarang objektif akan memberi kesan negatif kepada orang lain.

Ringkasnya, pemikiran liberalisme memberi penekanan yang mendalam terhadap kebebasan individu, sikap keterbukaan, meraikan kepelbagaian dan dalam masa yang sama menekankan konsep kesetaraan dan kesaksamaan.

Islam Liberal
Menurut Charles Kurzman, Muslim pertama yang mencadangkan nama “liberal Islam” ialah Asaf Ali Ashgar Fyzee, seorang modenis kelahiran India. Asaf Ali menulis:

“a newer ‘protestant’ Islam will be born in conformity with conditions of life in the twentieth century, cutting away the dead wood of the past and looking hopefully at the future. We need not bother about nomenclature, but if some name has to be given to it, let us call ‘Liberal Islam’…”

Greg Barton, seorang tokoh yang mendokong Islam Liberal di Indonesia menyatakan bahawa terdapat empat rukun asas bagi ajaran Islam liberal ini, iaitu:
i. Kepentingan kontekstualisasi ijtihad
ii. Komitmen terhadap rasionaliti dan pembaharuan (agama)
iii. Penerimaan terhadap pluralisme sosial dan agama
iv. Pemisahan agama dari politik (Rujuk Atas Nama Kebenaran: Tanggapan Kritis Terhadap Wacana Islam Liberal, hlm. 179)

Dalam mengupas tentang ajaran Islam Liberal ini, kami bataskan perbahasan hanya sekitar penulisan dan pemikiran tokoh-tokoh Jaringan Islam Liberal (JIL) yang berpusat di Indonesia, memandangkan mereka sendiri menamakan kumpulan mereka dengan nama Islam liberal. Jika kami membahaskan pemikiran tokoh-tokoh tertentu yang lain yang mempunyai unsur Islam liberal, dibimbangi akan berlaku ketidakadilan, kesalahfahaman dan tohmahan melulu jika mereka sendiri tidak menamakan diri mereka sebagai pendokong dan pembawa ajaran Islam liberal. Pun begitu, tidak dinafikan bahawa pemikiran sebegini boleh sahaja wujud di negara ini jika tidak ditangani dengan bijaksana.

Penulis-penulis JIL yang masyhur, antaranya Ulil Absar Abdalla dan Luthfi Assyaukanie banyak mengemukakan pandangan-pandangan mereka lewat penulisan-penulisan mereka di laman web rasmi JIL.

Tema utama pemikiran Islam Liberal
Menurut Ulil Absar Abdalla, gerakan Islam Liberal muncul untuk menjadi neraca bagi menyeimbangkan wacana kewajipan dan kebebasan dalam Islam. Hal ini kerana menurut beliau, diskusi berkenaan Islam terlalu dipenuhi dan didominasi subjek fiqh, yang lebih memberi penekanan pada soal kewajipan dan halal haram, sehingga mengecilkan ruang bagi perbincangan tentang hak asasi dan kebebasan.

Beliau turut menyanggah konsep penciptaan manusia untuk menyembah dan mengabdikan diri kepada Tuhan, kerana konsep ini dianggap memberikan konotasi bahawa manusia dan Tuhan itu adalah berseteru antara satu sama lain, maka manusia mesti ditundukkan. Beliau menyatakan bahawa tujuan tertinggi penurunan agama ialah bagi mengangkat martabat kemanusiaan, kerana fokus pertama dalam agama ialah manusia itu sendiri, bukan semata-mata Tuhan.

Sementara itu menurut Luthfi Assyaukanie, sebagai sebuah gerakan pembaharuan pemikiran keagamaan, Islam liberal mempunyai dua musuh: pemikiran konservatif agama dan fundamentalisme. Konservatif agama dalam erti kata suatu pemahaman sempit terhadap agama yang selalu skeptik dan menolak sebarang pembaharuan, manakala fundamentalisme ialah satu sikap pemaksaan pandangan terhadap kelompok lain dengan cara kekerasan.

Bagi beliau, kedua-dua aliran konservatif dan fundamentalis ini merupakan ‘antitesis’ kepada gerakan Islam liberal yang amat menitikberatkan kepelbagaian pandangan, pembukaan pintu ijtihad, hak asasi manusia, kebebasan dan lain-lain nilai yang menjadi rukun kepada aliran liberal.

Tambah beliau lagi, gerakan Islam liberal bukanlah satu fenomena baharu, namun ia telahpun wujud sejak zaman pembaharuan pada awal abad ke-19. Ia merupakan satu gerakan untuk membebaskan umat Islam daripada belenggu kejumudan dan keterbelakangan yang diakibatkan oleh fahaman konservatisme dan fundamentalisme agama.

Charles Kurzman pula telah menulis sebuah buku antologi bertajuk Liberal Islam yang menghimpunkan hasil tulisan 32 tokoh Muslim yang mempunyai persamaan dengan wacana-wacana dan idea-idea yang dibincangkan dalam pemikiran liberalisme barat seperti demokrasi, hak minoriti dan kebebasan. Antara tokoh yang dipetik termasuklah ‘Allamah Muhammad Iqbal, Syeikh Yusuf al-Qaradhawi dan Syeikh Rachid Ghannouchi, selain tokoh-tokoh liberal seperti Fatima Mernissi, Amina Wadud, Nurcholis Majid dan Mohamed Arkoun. Perlu diberi perhatian bahawa tokoh terkemuka seperti Syeikh Yusuf Qaradhawi dan Rachid Ghannouchi tidak berpegang dengan ajaran liberal, dan Charles Kurzman hanya memasukkan mereka ke dalam senarai tokoh liberal kerana sebahagian pandangan mereka yang sesuai dengan ajaran Islam liberal.

Fenomena anti-autoriti dan disiplin dalam memahami agama
Luthfi Assyaukani telah menulis:
“Andai aku seorang Muslim liberal, maka aku akan melepaskan segenap keyakinan-keislamanku dari segala bentuk otoritas tafsir atas Islam yang tidak sesuai dengan akalku, termasuk otoritas keulamaan. Namun, aku akan menerima tafsir-otoritatif dari siapapun, dalam arti otoritas itu bersumber pada bukti-bukti yang meyakinkan secara rasional dan berdasar pada prinsip-prinsip ilmiah yang aku yakininya kebenarannya.

Syarat-syarat klasik yang biasanya menjadi kualifikasi terberat dalam melakukan ijtihad sudah seharusnya ditinjau ulang. Karena, syarat-syarat itu, selain tidak masuk akal, hanya akan membatasi kemajuan kaum muslim. Argumen utama kaum liberal adalah bahwa manusia diciptakan oleh Allah dalam keadaan bebas. Dan kebabasan adalah anugerah terpenting yang diberikan Tuhan kepada manusia. Kebabasan berpendapat, selain itu, juga merupakan hak individu yang tak seorangpun berhak mencegahnya.”

Malah, penulis pergi lebih jauh dengan menyatakan bahawa “…dalam sebuah ayat Alquran, Tuhan pun tak mampu mencegah makhluknya untuk berpendapat (QS. 2:30)”. Ini merupakan satu bentuk pengagungan yang melampau terhadap kebebasan dan kehendak manusia, hingga ke tahap meletakkan satu sifat kelemahan dan ketidakmampuan

Sementara Ulil Absar Abdalla pula menempelak kebergantungan umat Islam terhadap fatwa dan pandangan ulama:

“Kenapa gerangan tampaknya umat Islam harus menunggu fatwa terlebih dahulu sebelum melakukan sesuatu? Apakah tidak cukup mereka memakai nalar (akal rasional) saja untuk mengetahui hal-hal yang sederhana? Bukankah memakai nalar/akal merupakan kebajikan yang diperintahkan oleh agama?”

Islam menggariskan syarat-syarat yang ketat sebelum seseorang itu mampu mencapai tahap kemampuan untuk berijtihad. Imam al-Syatibi menetapkan bahawa seorang yang ingin berijtihad mestilah memahami Maqasid Syari’ah secara sempurna dan mampu untuk mengistinbatkan hukum syara’ daripada dalil-dalilnya. (Rujuk Al-Muwafaqat, 4/105-106)

Almarhum Dr Wahbah al-Zuhaily pula sewaktu menyimpulkan syarat-syarat ijtihad yang dibahaskan oleh Imam al-Amidi dan Imam al-Baidhawi menyenaraikan butiran-butiran berikut:

1. Pengetahuan mendalam tentang ayat-ayat hukum daripada al-Quran, samada dari sudut bahasa mahupun syarak.
2. Pengetahuan mendalam tentang hadith-hadith hukum, samada dari sudut bahasa mahupun syarak
3. Pengetahuan mendalam berkenaan nasikh dan mansukh dalam al-Quran dan al-Sunnah.
4. Pengetahuan mendalam terhadap perkara-perkara yang diijma’kan oleh ulama.
5. Pengetahuan mendalam tentang qiyas dan kaedah pengaplikasiannya.
6. Pengetahuan mendalam tentang bahasa Arab, samada ilmu nabu, sorof dan balaghah.
7. Kepakaran dalam bidang usul al-fiqh. (Rujuk Usul al-Fiqh al-Islamiy 2/1072-1076)

Melihatkan syarat-syarat yang sebegini ketat, adalah amat menakjubkan bagi mereka-mereka yang bermudah-mudah menceburkan diri dalam arena ijtihad. Pintu ijtihad tidak pernah tertutup, dan Islam membuka pintu ijtihad terutamanya bagi menyelesaikan permasalahan-permasalahan baharu, namun ia mestilah dilakukan oleh mereka yang benar-benar berkelayakan sahaja, dan bukannya bebas untuk sesiapa sahaja seperti yang dimahukan oleh golongan liberal Muslim.

Cubaan menghalalkan LGBT atas nama ijtihad baharu
Antara pandangan-pandangan baharu yang dikeluarkan atas nama ijtihad dan penafsiran semula al-Quran ialah berkenaan isu homoseksual dan LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender).

Beberapa penulis di laman web Islam liberal Indonesia, Khoirul Anwar dan Khoirul Anam secara terang menyebut bahawa tiada satupun ayat dalam al-Quran yang secara eksplisit (terang dan nyata) yang menolak LGBT, mahupun yang menerimanya. Maka, menurut penulis tersebut, setiap orang bebas mengemukakan tafsiran masing-masing.

Hal ini pastinya bercanggah dengan firman Allah SWT yang secara jelas menempelak umat Nabi Luth A.S yang mengadakan hubungan seks sesama lelaki:
أَتَأْتُونَ الذُّكْرَانَ مِنَ الْعَالَمِينَ ﴿١٦٥﴾ وَتَذَرُونَ مَا خَلَقَ لَكُمْ رَبُّكُم مِّنْ أَزْوَاجِكُم ۚ بَلْ أَنتُمْ قَوْمٌ عَادُونَ ﴿١٦٦﴾
Maksudnya: Patutkah kamu melakukan hubungan jenis dengan lelaki dari kalangan manusia, (165) Dan kamu tinggalkan apa yang diciptakan oleh Tuhan kamu untuk kamu (melakukan hubungan yang halal) dari badan isteri-isteri kamu? (Kamu orang-orang yang bersalah) bahkan kamu adalah kaum yang melampaui batas!
Surah al-Syu’ara (166)

Sebahagian mereka berhujah bahawa yang diharamkan ialah hubungan seks secara paksa (non-consensual sex), dan bukannya perilaku homoseksual itu sendiri, berdasarkan perlakuan rakus kaum Nabi Luth yang mendesak Baginda menyerahkan dua tetamu tampan (yang sebenarnya malaikat utusan Allah SWT) untuk memenuhi nafsu songsang mereka. Namun hujahan mereka ini jelas ditolak melalui ayat ini yang secara terang menempelak perlakuan homoseksual itu sendiri.

Lebih menghairankan, mereka turut menjadikan riwayat-riwayat sejarah tentang adanya pemimpin kerajaan Muslim yang berorientasi homoseksual dan kewujudan syair-syair Arab yang berunsur homoseksual sebagai dalil bahawa LGBT itu merupakan sebahagian ciptaan Allah SWT yang mesti dipertahankan kewujudan mereka atas dasar kepelbagaian.

Menurut Dr. Khalif Muammar, ijtihad telah dijadikan alasan dalam mengeluarkan pendapat-pendapat baru yang kelihatannya amat jauh daripada kefahaman muktabar. Golongan Islam liberal berusaha untuk mengubah tafsiran Islam agar selaras dengan keadaan manusia. Perbuatan memahami teks wahyu dalam kerangka duniawi, adalah bersalahan dengan sikap Muslim yang sepatutnya terhadap wahyu. Muslim sepatutnya menurut panduan wahyu sepenuhnya, bukan berusaha mengubah fahaman wahyu agar selaras dengan perspektif manusiawi dan duniawi. (Rujuk Atas Nama Kebenaran: Tanggapan Kritis Terhadap Wacana Islam Liberal hlm. 43-45)

Kecenderungan ke arah pentafsiran semula ayat-ayat al-Quran berkenaan isu LGBT ini juga kesan daripada perubahan sikap tamadun Barat terhadap kelompok ini. Kami percaya jika masyarakat Barat pada hari ini tidak mengangkat dan memperjuangkan hak LGBT, nescaya kalangan Muslim liberal tidak akan membangkitkan isu ini.

Rumusan dan kesimpulan
Tuntasnya, ideologi liberalisme muncul atas asas kebebasan individu sebagai tindak balas terhadap pemerintahan kuku besi, feudalisme dan teokrasi yang menjadi pengalaman pahit masyarakat Barat selama lebih kurang seribu tahun. Fahaman ini memberi penekanan yang mendalam terhadap kebebasan individu, sikap keterbukaan, meraikan kepelbagaian dan dalam masa yang sama menekankan konsep kesetaraan dan kesaksamaan.

Gerakan Islam Liberal yang terinspirasi daripada ideologi liberalisme pula diwujudkan atas asas untuk membebaskan umat Islam daripada belenggu kejumudan dan keterbelakangan yang diakibatkan oleh fahaman konservatisme dan fundamentalisme agama, melalui penghargaan terhadap kepelbagaian pandangan, pembukaan pintu ijtihad, perjuangan hak asasi manusia serta mempertahankan kebebasan.

Kesemua cita-cita yang digariskan ini sebenarnya bertepatan dengan ajaran Islam. Namun ia dilakukan dengan cara menyanggah dan meruntuhkan tradisi keilmuan para ulama yang telah diwariskan sejak zaman-berzaman. Pintu ijtihad dibuka seluas-luasnya kepada sesiapa sahaja, dan perkara-perkara yang sudah disepakati oleh para ulama sejak zaman-berzaman (ijma’) juga cuba dirungkai, atas nama ijtihad. Justeru, apa yang telah dijelaskan dalam artikel ini, jua yang adalah merujuk kepada konteks ini dan bukanlah memaksudkan secara terus kepada classical liberalism, political liberalism, neoclassical liberalism atau apa jua faham yang boleh dibahaskan secara ilmiah.

Faham kebebasan dan hak asasi yang diperjuangkan pula nampaknya hanya mencedok daripada teori-teori Barat. Sementara Islam mengiktiraf hikmah dan mengambil manfaat produk yang baik daripada mana-mana tamadun, Islam juga mengajar agar kita menyaring terlebih dahulu pemikiran-pemikiran Barat dan memastikan ia benar-benar selari dengan pandangan alam (worldview) Islam. Telah sekian ramai pemikir-pemikir Islam yang menghasilkan buah fikiran yang tuntas dalam isu kebebasan dan hak asasi manusia, antaranya Syeikh Muhammad al-Ghazali, Syeikh Rachid Ghannouchi, Dr. Yusuf al-Qaradhawi, Dr. Ahmad al-Raisouni dan Prof Muhammad ‘Immarah yang pastinya perlu ditelaah dalam memformulasi teori kebebasan yang selaras dengan ajaran Islam.

Oleh yang demikian, menjadi tanggungjawab bagi setiap Muslim untuk berhati-hati daripada terjebak dengan pemikiran Islam liberal ini, lebih-lebih lagi Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia yang bersidang buat kali ke-74 pada 25-27 Julai 2006 telah memutuskan pemikiran Islam Liberal adalah sesat dan menyeleweng daripada syariat Islam, antaranya berdasarkan aspek-aspek berikut:

• Mempersoalkan metodologi pentafsiran al-Quran dan al-Hadith
• Kesilapan pada menempatkan peranan akal bukan pada tempatnya
• Menilai semula konsep hukum-hakam qath’ie dan zhanni yang telah disepakati para ulama

Wallahu a’lam.

KRITIK KERAS SYED MUHAMMAD NAQUIB AL-ATTAS TERHADAP GERAKAN SALAFIYYAH MODERN

Sumber: Institute of Traditional Islamic Studies

Syed Muhammad Naquib al-Attas merupakan salah seorang ilmuwan Muslim yang telah diakui keilmuan-nya tidak hanya di dunia Islam namun juga di negara² Barat. Beliau menjadi tokoh sentral bagi berbagai ilmuwan Muslim di dunia khususnya di Asia Tenggara kerana sikap-nya yang gigih dan sangat kritik terhadap pemikiran sekular-liberal Barat.
Ilmuwan besar dari keluarga habaib ini memandang worldview peradaban Barat yang sekarang diusahakan menjadi ideologi global menjadi sebab eksternal utama kemunduran Islam.
Selain itu, menurut Al-Attas, faktor dalaman yang menjadi penyebab serius kemunduran Islam di dunia adalah penyakit hilangnya adab (loss of adab). “Mengenai sebab dalaman dilemma yang kita hadapi sekarang bagi saya, masalah dasar dapat disimpulkan pada suatu krisis yang jelas saya sebut sebagai kehilangan ADAB (the loss of adab).” (Syed Muhammad Naquib Al-Attas, Islam dan Sekularisme, 2011, hal.129)
Ramai kalangan yang menggunakan dasar pemikiran Syed Naquib al-Attas ini sebagai perspektif untuk mengkritik cendekiawan Muslim yang membiuskan pemikiran sekular-liberal Barat di tengah² ummat. Al-Attas mengkritik mereka telah kehilangan adab kerana miskin pemahaman Islam dari sumber² Islam terpercaya sendiri dan malah menggunakan faham² Barat sebagai pisau analisis memahami Islam. Dalam buku-nya berjudul "Risalah untuk Kaum Muslimin", Syed Muhammad Naquib al-Attas menulis:
“Golongan sarjana sekular serta cerdik pandai di kalangan kaum Muslimin memperoleh ilham tentang cara-gaya dan pemikirannya hampir pada keseluruhannya dari Barat… yang kebanyakan dari golongan sarjana sekular dan cerdik-pandai ini tiada memiliki kebakatan akali dan ruhani dan kebolehan bahasa yang mensyaratkan penguasaan ilmu² Islamiah, mahupun kebolehan cara-gaya pendekatan serta faham ilmu yang Islam… Di kalangan mereka yang menghidapi penyakit keruntuhan adab, golongan sarjana sekular dan cerdik-pandai inilah yang paling gegabah kurang-ajar.” (Syed Muhammad Naquib al-Attas, "Risalah untuk Kaum Muslimin", hlm. 178)
Akan tetapi, di dalam buku yang sama, Syed Muhammad Naquib al-Attas juga melancarkan kritik keras terhadap tokoh dan kelompok yang mengaku sebagai pembaharu Islam seperti Ibn Taimiyyah, Muhammad bin Abdul Wahhab, Jamaluddin al-Afghani, Muhammad Abduh, dan para pengikut-nya yang seringkali lebih ekstrim dari guru-nya. Beliau mengemukakan kritik-nya yang tajam sekaligus memberikan pandangan yang tepat sesuai tingkat keruntuhan adab yang dilakukan masing².
Kaum Salafi TIDAK SAH Menolak al-Madzahib’l-Arba’ah
Al-Attas menetapkan bahawa gerakan pembaharuan salafi-modern di atas telah kemasukan faham² Barat yang telah dipupuk ke dalam pemikiran-nya dan semakin menjadi-jadi pada pemikiran para pengikut-nya. Diantara yang beliau sebutkan adalah:
(1) faham keutamaman akal hayawani (ratio) yang menimbulkan:
(2) faham kebebasan untuk menentukan nasib-nya sendiri (freedom) yang erat dengan:
(3) hak² asasi manusia (human rights) yang semakin mengukuh-nya (1) dan (2). Kemudian:
(4) kesamaan taraf manusia (equality) dalam undang² buatan manusia. Faham² ini menimbulkan penerimaan:
(5) faham evolusi manusia, sejarah, dan dunia-nya (evolution) yakni perubahan tanpa batas, ditambah:
(6) faham sosialisme dan demokrasi yang disalahartikan sama dengan faham kemasyarakatan dan politik Islam. (Risalah untuk Kaum Muslimin, hlm. 158-159)
Syed Naquib al-Attas menyebutkan tentang bagaimana para pengikut Ibn Taimiyyah dan Muhammad bin Abdul Wahhab (Wahabi) telah menyimpang jauh dari dua kiblat ajaran-nya tersebut kerana melarang faham bermazhab yang menjadi kebiasaan majoriti ummat Islam Ahlus-Sunnah wal-Jama’ah. Beliau menulis:
“Meskipun dapat diakui benar bahawa ulama² penggugat seperti ibn Taimiyyah dan beberapa ratus kemudiannya, ibn ‘Abd al-Wahhab, yang bawaan-nya gemar mencabar kewibawaan yang sah dan menyamaratakan darjat yang cukup sempurna ke taraf yang kurang sempurna, dalam ajaran-nya masing² tiada menganjurkan perpisahan dari faham bermazhab. Bahkan mereka tetap mengisbatkan ajaran para Imam dalam gelanggang Ahlu’l-Sunnah wa’l-Jama’ah, yang berpegang kepada ajaran Sunnah dan para Sahabat dan Tabi'īn dan para pengikut Tabi'īn. Akan tetapi kita lihat bagaimana perkembangan pengaruhnya di negeri Arab lebih kurang dua ratus tahun ini, dan dengan timbulnya aliran baru di Mesir akibat ajaran al-Afghani dan Muhammad Abduh, maka semakin terjadi deras aliran yang menganjurkan perpisahan dari ajaran² ulama lama yang merupakan pelbagai pelita agung yang telah menerangi suasana ummat Islam berabad². Dengan ajaran al-Afghani dan Abduh mulai menyeludup masuk pengaruh² dari jurusan luar yang merupakan sebab² tambahan yang membawa akibat keruntuhan adab di kalangan kita.” (Risalah untuk Kaum Muslimin, hlm. 158)
Lanjutnya, “Tanpa berpandukan ajaran ulama lama dan para Imam mujtahidin, tanpa merujuk kepada hasil pemikiran-nya dan mengamalkan tafsiran agungnya -yang semuanya berdasarkan penerokan akali dan naqali terhadap Al-Qur'an dan Sunnah- maka golongan yang beraliran dari Ibn Taimiyyah, yang terbahagi ke dalam golongan ulama yang kurang sempurna kewibawaannya, dan golongan pembaharu yang dipelopori oleh yang menyeludupkan faham² asing ke dalam Islam, sesungguhnya tiada berkemampuan untuk menafikan sah-nya pelbagai mazhab yang sah, dan mendirikan mazhab baru yang berdasarkan faham sendiri merujuk terus kepada kedua Sumber Agung Islam itu… Mereka asyik dalam mempersoalkan perkara² remeh, yang menganggapnya seolah² para Imam mujtahidin itulah yang mempersoalkan keremehan -padahal kekecilan pandangan dan tanggapan mereka sendirilah yang memperlihatkan pada fahaman-nya bahawa yang kecil itu besar sehingga yang benar besar itu tiada terlihat langsung. Mereka telah melakukan jauh lebih banyak kesilapan² yang besar pula- dari kesilapan² yang terdapat pada yang lama.” (Risalah untuk Kaum Muslimin, hlm. 160-161)
RasuluLlah Hanyalah Manusia Biasa?
Selanjutnya, Al-Attas mengkritik pemikiran kaum Salafi-Wahabi-Modernis yang mendakwahkan pemikiran bahawa Nabi Muhammad ﷺ hanya seorang manusia biasa sama seperti lainnya, sehingga mereka mengharamkan dan membid’ahkan acara penghormatan dan perenungan kemuliaan dan keagungan baginda ﷺ di atas seluruh makhluk.
“Mereka dan pengikut-nya yang sudah menjadi tebal-muka serta lebih takbur daripada guru²-nya, telah melakukan suatu perbuatan janggal yang tiada pernah dilakukan oleh sebarang golongan atau mazhab, dan yang tiada terlintas pun pada renungan Muslimin dahulu. Perbuatan janggal yang dimaksudkan itu iaitu penyebaran faham kepada pengertian awam bahawa RasuluLlahu ﷺ tiadalah lebih dari manusia biasa seperti tiap orang lain… Sayugia golongan pembaharu aliran naqali diingatkan bahawa bagi para Mu’minin dan Muslimin ALlah, ﷻ, memberitahukan bahawa Rasulu’Llah ﷺ itu Mohor Para Anbiya; Pesuruh ALlah yang Terakhir bagi Alam Semesta dan bagi Bangsa Insani; Pelita Agung yang menyebarkan Cahaya Murni; Rahmat Ilahi bagi Makhluk Jelata; Teragung Murni sifat khuluqiahnya sebagai Ukuran bagi menilai Insan; Tauladan serta Contoh terbaik bagi Anak Adam-dan banyak lagi sepertinya… Maka sifat² kelebihan yang terjelma pada diri RasuluLlah ﷺ, inilah semua yang seharusnya dititik-berat serta diingat²-kan kepada Kaum Muslimin lelaki dan perempuan, tua dan muda.” (Risalah untuk Kaum Muslimin, hlm. 164)
Al-Attas melihat bahawa kaum Salafi telah salah mendiagnosa kekeliruan dan penyimpangan yang terjadi di tengah² ummat Islam dalam masalah ini. “Kekeliruan iman yang berlaku di kalangan sebahagian besar kaum Muslimin tiada kena-mengena dengan kefahaman serta tanggapan hati-nya, atau berkisar di sekitar kepercayaan-nya, terhadap sifat makhluk serta kemanusiaan Baginda RasuluLlah ﷺ. Sebab kekeliruan itu bukannya terletak pada kesilapan mengenai perkara seperti itu, akan tetapi berpunca pada kejahilan mengenai tawhid, dan mengenai rukun² iman dan Islam, dan lain² dasar kepercayaan, yang semuanya telah dijelaskan di sini sebagai terumus dalam bahagian ilmu berjenis fardhu ain.” (Risalah untuk Kaum Muslimin, hlm. 165)
Kesenangan Salafi Merendahkan Ulama Pendahulunya
Al-Attas juga mengkritik sikap kaum Salafi (baik Wahabi ataupun Modernis-Mesir) yang menonjolkan sikap angkuh dan merendahkan martabat para ulama pendahulu yang sejatinya melebihi mereka.
“Adab ini pengenalan serta pengakuan adanya cahaya² seperti itu di kalangan bangsa insani: dan pengakuan adanya yang demikian itu mensyaratkan adanya suatu sikap pada diri yang mengakuinya, yakni sikap hormat tawaduk, kasih-patuh, rendah-diri yang ikhlas-sejati; bagi diri itu mengenali makam yang wajar bagi-nya bernisbah kepada yang menyorotkan cahaya seperti itu. Akan tetapi ulama golongan pembaharu aliran naqali zaman kita, walaupun merupakan hanya pelbagai kandil kecil sahaja, jauh mengurangi pelita² agung zaman lampau; walaupun cahayanya justeru hilang langsung apabila dilawankan dengan kilauan cahaya lama, beria-ia sangat memainkan lakonan ‘pembaharuan’ kepada penonton yang keliru, yang tiada berdaya menilai dengan sempurna kemurnian mutu ‘pembaharuan’ yang ditanggapkan kepada-nya, melainkan dengan ukuran nilaian yang suntuk seperti yang lazim berlaku dalam suasana kekeliruan.” (Risalah untuk Kaum Muslimin, hlm. 162-163)
Lanjut Al-Attas: “Maka keadaan demikian menggalakkan golongan pembaharu, yang modernis dan yang beraliran naqali, dan yang mengekorinya, untuk melabrak para mujtahidin yang dihasut-nya dengan tuduhan palsu sebagai yang salah. Dengan ini mereka telah menggasir merosakkan dasar kewibawaan yang sah, dan memburukkan faham serta pengesahan hidup bermazhab dalam Islam… Kesibukannya senantiasa melanjutkan penekanan masalah² palsu dan yang remeh telah membawa kepada pengabaian masalah pokok yang sebenarnya, iaitu masalah pendidikan dan penyusunan sistemnya yang sempurna. Mereka berpuas-hati sahaja membiarkan pendidikan asasi Muslim dalam ilmu fardhu ain itu mandek pada peringkat kanak², sedangkan sepanjang hayatnya si-Muslim itu dibiarkan pula memperkembangkan menambah pencapaian ilmu fardhu kifayah dengan berkali-kali ganda lebihnya dari yang fardhu ain.” (Risalah untuk Kaum Muslimin, hlm. 167)
Ambisi Negara Islam, Lupa Ilmu Fardhu 'Ain
Syed Muhammad Naquib al-Attas juga mengkritik beberapa tokoh dan golongan yang sangat menggebu² dalam usaha-nya mendirikan negara Islam akan tetapi lupa dengan masalah pendidikan ilmu² fardhu ain. Menurut beliau, hal tersebut tidak akan mencerabut akar permasalahan utama ummat Islam yang semakin jauh dari ajaran Islam yang benar kerana pendidikan tidak dikelola dengan baik. Semua hanya ingin masuk dalam ranah politik yang masuk wilayah ilmu fardhu kifayah.
“Kesibukan di zaman kita perihal hasrat terhadap mendirikan negara Islam dan menjelmakan ummat Islam-seperti juga yang terbayang di zaman lampau pada golongan ulama yang kurang sempurna kewibawaan-nya dan pada pengikut-nya yang berlebih kurang kesempurnaan itu -memang merupakan suatu ciri yang jelas tentang keutamaan melampau yang diberikan kepada pencapaian ilmu fardhu kifayah, yang memang lazim berlaku pada masa kekeliruan serta kehidupan yang tegang mendesak Kaum Muslimin dari semua jurusan.” (Risalah untuk Kaum Muslimin, hlm. 167)
Al-Attas menambahkan, kecenderungan ummat Islam yang tidak berimbang dalam mendudukkan ilmu fardhu kifayah di atas ilmu fardhu ain tersebut menjadikan mereka mudah terbawa arus penyamarataan manusia sebagai manusia (sosialisme) dan masyarakat awam sebagai penentu hukum bukan ulama (demokrasi).
“Merujuk kepada kedudukan istimewa yang diberikan kepada ilmu fardhu kifayah itu juga, maka yang menagih perhatian penuh melampaui hak tuntutan ilmu fardhu ain dan secara yang tiada berpatutan sehingga menawan nilaian hidup serta kesedaran kita adalah ilmu² kemasyarakatan, politik, dan hukum dan undang². Dalam suasana demikian maka mudah sekali pelbagai peristiwa kehidupan serta pandangan hidup Muslim terbawa ke arah ‘pensosialisasian’ Islam-yakni pemahaman serta pengalaman Islam sebagai suatu falsafah dan rencana-bentuk politik yang mengutamakan masyarakat dan golongan awam; dan penyamarataan RasuluLlah ﷺ, ke taraf yang sama serupa dengan orang awam hanyalah merupakan akibat nisbi pensosialisasian itu jua. Berturut serta dengan peristiwa pensosialisasian maka cara-gaya ‘rasionalisme’ -yakni dengan maksud pengertian yang difahamkan oleh pemikiran Barat…- berkuat-kuasa menepis nilaian hidup dan kesedaran-mu.” (Risalah untuk Kaum Muslimin, hlm. 168)
Akibat terbius secara tidak sadar oleh sosialisme, demokrasi, dan rasionalisme di atas, menjadikan sebahagian golongan berani membuat penafsiran baru terhadap Al-Qur'an yang sejalan dengan tiga faham di atas. Tentu saja, selain sebagai kritik pedas terhadap penafsiran kaum sekular-liberal, Al-Attas ingin menunjukkan bahawa kasus ini terjadi pada beberapa tokoh pembesar yang berfahaman salafiyah modern abad ini seperti teori ‘cacar’ yang menimpa pasukan Abrahah oleh Muhammad Abduh, penafsiran jin sebagai mikroba dan Malaikat sebagai daya spiritual manusia oleh Rasyid Ridha, dan teori ‘teriakan demokrasi Malaikat’ oleh Jamaluddin al-Afghani. (lihat lebih detail: Syaikh Muhammad Najih, al-Tahdzir al-Mubin, hlm. 182-202)
“Tetapi golongan modernis, yang menuturi tauladan guru²-nya pada penghujung abad yang kesembilan-belas, dengan tiada memahami benar faham² Islam dan Barat yang diperolehkan-nya, dan dengan tiada firasat akan timbulnya kekeliruan besar di masa hadapannya akibat penyebaran serta penerapan faham perolahan mereka itu pada pemikiran Muslim kini, dengan giat sekali menyadurkan faham ratio serta cara ‘rasionalisme’ itu-tanpa disesuaikan dengan faham akal dan pemikiran Islam. Dan lebih mengagumkan lagi mereka terus mengenakan cara rasionalisme itu pada ‘mentafsirkan’ Al-Qur’an’l-Karim…. Dan anehnya orang² inilah yang rebut menuntut ijitihad sedangkan sebenarnya tiada menunaikan syarat² bagi seorang mujtahid!” (Risalah untuk Kaum Muslimin, hlm. 169)
Tasawuf Biang Keladi Kemunduran Ummat?
Penolakan kaum Salafiyah baik Wahabi dan Modernis terhadap tasawuf juga menjadi perhatian Al-Attas. Beliau mengkritik mereka kerana tidak memiliki pemahaman yang memadai tentang tasawuf, dengan mengatakan bahawa tasawuf itu bukan istilah Islam dan asing bagi Islam.
“Meskipun golongan pembaharu aliran naqali tiada semestinya bersetuju dengan golongan modenis dalam segala hal mengenai perkara² yang difikirkan dan dikatakan dan dianjurkan-nya, namun demikian mereka juga terpengaruh olehnya dan sama terjangkit menghidap penyakit memperdewakan masyarakat dan awam, menghilangkan unsur² ruhaniah dalam Islam dan menyamaratakan semua Muslim. Dengan itu maka mereka secara yang mungkin tiada disedarinya membantu gerak-daya mensekularkan Islam dengan daya usaha-nya menindas unsur² akali dan ruhani dalam Islam itu. Mereka bersama dengan golongan modernis menyalah-tuduhkan tasawuf khususnya sebagai sebab tunggal yang mengakibatkan kemerosotan kaum Muslimin. Sebenarnya mereka tiada memiliki daya akli mahupun pandangan ruhani untuk memahami tasawuf; dan apa yang tiada difahami-nya dituduh-nya… Mereka buta terhadap hakikat bahawa tasawuf itu suatu bahagian penting Islam yang tiada dapat diasingkan dari-nya; bahawa sebagaimana hakikat semesta dan kebenaran itu mempunyai kenyataan zahir-batinnya, begitulah tasawuf merupakan luasan kenyataan batin Islam.” (Risalah untuk Kaum Muslimin, hlm.171)
Beliau menjelaskan bahawa yang salah bukan tasawuf-nya, akan tetapi perilaku sebahagian orang yang tidak memahami dan mengamalkan tasawuf dengan benar sehingga menimbulkan kekeliruan dan penyimpangan dalam Islam. Kerana itu, kaum Salafi salah diagnosa kerana memukul rata seluruh tasawuf keliru dan menolaknya secara keseluruhan.
“Sanya sesungguhnya kuman² kemunduran dan kemerosotan bukannya terkandung dalam tasawuf, dan jauh lagi dalam sumber² agungnya, akan tetapi kuman² kemunduran dan kemerosotan itu terkandung dalam akal-pengertian yang jahil, yang menyalah-fahami dan menyalah-kena dan menyalah-amalkannya sehingga membawa kepada pelbagai macam kekeliruan dan kerosakan dan keterlaluan dan penyelewengan dari ajaran sebenarnya dan dari Islam… Serangan yang telah mereka lontarkan terhadap tasawuf itu sesungguhnya difahamkan sebagai akibat-balas dari pengaruh buruk ajaran² keterlaluan setengah golongan tariqat yang membawa faham² yang menyeleweng dari ajaran Islam. Akan tetapi bagaimanapun, serangan-balas golongan ulama yang ku maksudkan di atas itu juga bersifat keterlaluan jua, sebab mereka tiada memandangkan benar-palsunya dengan teliti ajaran² yang menjadi asa faham yang menimbulkan serta mengembangkan tariqat itu di dalam Islam.” (Risalah untuk Kaum Muslimin, hlm. 172-173)
Lanjut Al-Attas: “Sebaliknya pula serangan mereka terhadap ilmu tasawuf dan para awliya telah membawa akibat kemerosotan dalam amalan Islam yang mengisbatkan unsur² ruhaniah seperti zikir dan muraqabah dan musyahadah dan solat sunnah dan nawafil dan sebagainya, yang semuanya memimpin seorang Muslim sejati ke arah pencapaian peringkat budipekerti ruhani yang merupakan makam ihsan. Sebagaimana yang telah disentuh tadi, gugatan serta kecaman terhadap para pemimpin agung ulama lama kita itu kebanyakannya berlandaskan pemencilan penilikan terhadap kesilapan² kecil yang dibesar²-kan justeru kerana kekecilan pandangan yang menggugat dan mengecam, yang melihat yang kecil itu besar dan yang besar itu tiada terlihat langsung oleh-nya!” (Risalah untuk Kaum Muslimin, hlm. 174)
Kaum Salafi Gemar Takfir dan Permusuhan
Syed Muhammad Naquib al-Attas mengkritik keras golongan Salafi-Wahabi-Modernis yang gemar menyematkan tuduhan bid’ah dan kafir serta menebar permusuhan di antara kaum Muslimin. Setelah mereka merosak ajaran Islam dengan mengabaikan ilmu² ulama pendahulu, tindakan takfir yang membabi-buta dan serampang semakin menjerumuskan ummat Islam dalam kemerosotan. Beliau menyamakan kaum Salafi dengan Timur Lenk yang pernah membuat kekacauan wilayah kekuasaan Islam.
“Seperti juga ulama² palsu gemarkan pertelingkahan dan pertentangan faham yang tiada berputusan, saling-melontarkan tuduhan takfir satu sama lain, begitulah yang memerintah gemarkan pertikaian peperangan berpanjangan yang merosak bagi kita semua. Suatu contoh yang senantiasa mengagumkan adalah riwayat Timur (Lenk, red.), misalnya, yang perkasa pada zaman-nya dan mampu boleh menaklukkan Rusia dan China, yang jikalau dilakukannya penaklukkan itu tentu akan merubah aliran sejarah dunia sehingga mungkin membawa kepada keadaan yang lebih baik kini, memandangkan peranan Rusia dan China dewasa ini dalam menyebarkan ketegangan. Akan tetapi bukannya Rusia dan China yang diserang ditaklukkannya; bahkan tanpa sebab yang sah yang diserang dihancurkannya tiada melainkan Farsi dan Turki dan Mesir sesama Muslim jua.” (Risalah untuk Kaum Muslimin, hlm. 177)
Kaum Wahabi-Salafi Modernis selama ini selalu mengklaim diri-nya sebagai penerus golongan Salafiyyah, dengan jargon mengembalikan ummat Islam pada akidah dan amalan kaum Salaf. Namun, kerana tindakan mereka yang merendahkan martabat ulama² pendahulu, Al-Attas tahu bahawa jargon mereka tersebut hanyalah menjadi slogan tanpa isi.
“Keduanya juga mendakwa berhasrat memulihkan pentafsiran Islam dalam faham dan cara dan amal kepada yang difaham serta di-cara dan di-amalkan oleh golongan salafiyyah-meskipun sebenarnya mereka tiada menghampiri hasrat yang mulia itu.” (Risalah untuk Kaum Muslimin, hlm. 175)
Namun, meski begitu banyak penyimpangan dan kekeliruan yang dilakukan oleh kaum Salafi-Wahabi-Modernis ini, Al-Attas tetap berpandangan adil bahawa golongan ini memainkan peranan dalam mengingatkan ummat Islam akan kekacauan ilmu dan iman ummat Islam sekarang di tengah ombang-ambing peradaban Barat.
“Maka dalam keadaan demikian sekurang²-nya kedua golongan itu merupakan tumpuan kewaspadaan Ummah akan kesedaran tugasnya di waktu genting agar supaya jangan bertempiaran (baca: berpecah-belah); dalam keadaan di waktu keturunan anak zaman kehilangan haluan dan memerlukan bimbingan, sekurang²-nya mereka menyedarkan semula keinsafan kepercayaan terhadap kebolehan diri mengatasi cabaran zama sambil tetap setia kepada Islam. Dan walaupun kesilapannya menggugat zaman lampau itu memang besar, namun demikian tiada pula mereka memisahkan diri daripada sumber² lampau dan keyakinannya terhadap keagungan serta keluhuran dan ketunggalan kebenaran Islam itu menanamkan dalam hati harapan sebagai ganti kekecewaan. (Risalah untuk Kaum Muslimin, hlm. 178) [*]