Friday, March 16, 2018

Terus Muhasabah Diri: Satu Pegangan


1. Kita perlu belajar dengan ramai guru/ulamak. Kita mesti menghormati dan beradab dengan mereka walaupun mereka banyak kelemahan dan kesilapan. Kita menghormati dan beradab dengan mereka kerana ketinggian ilmu, akhlak yang terpuji dan istiqamah beramal bukannya kita taksub kepada nama, batang tubuh orangnya, pemikiran, kepuakan/organisasi dan aliran pemikiran mereka. Kita mesti mengurangkan keterikatan  kita dengan hanya SEORANG guru/ulamak. Kita terikat pada ILMU yang bersumberkan al-Quran dan as Sunnah.

2. Kita kasih, sayang dan menolong semua pihak/NGO/organisasi/individu yang mahu menegakkan Islam dalam kehidupan tanpa mengira siapa dan pendekatan mereka. Paling penting ia tidak melanggar syariat Islam.

3. Jemaah Islam terbaik ialah Jemaah masjid di kawasan komuniti kita tinggal. Setelah mantap, barulah kita menabur jasa ke lapangan dakwah yang lebih besar. Setiap orang berjasa pada posisi masing-masing dan berdasarkan kemampuan masing-masing. Tidak perlu mempersoalkan jasa orang lain melainkan diri sendiri berusaha berjasa kepada Islam. Pilih gerakan Islam/organisasi yang disukai dan serasi dengan diri selagi tidak bertentangan dengan syariat dan tidak bermusuh dengan Islam yang syumul dan addin.

4. Ulamak, pemimpin institusi dan organisasi Islam pada waktu ini terdedah dengan unsur-unsur keuntungan diri sendiri, perniagaan dan puak sendiri. Mereka juga terdedah dengan penyusupan pihak musuh yang cuba merosak kehidupan mereka. Justeru, berwaspadalah dan berhati-hati menerima berita, maklumat dan pandangan yang kita perolehi. Berhati-hati dengan penunggang agama.

5. Kita percaya, Islam itu addin dan syumul. Islam jalan penyelesaian ke atas segala permasalahan dunia dan akhirat. Kita percaya Islam perlu ditegakkan dalam kehidupan kita meliputi ekonomi, sosial dan politik. Kita percaya Islam mesti ditegakkan  dalam diri sendiri terlebih dahulu. Negara Islam perlu ditegak dalam diri individu terlebih dahulu sebelum menubuhkan Negara Islam yang sebenar. Jalan Islam adalah jalan damai bukannya keganasan, permusuhan dan perbalahan.

6. Kita berpegang kepada al-Quran, as Sunnah, Ijma’ Ulamak dan Qiyas. Kita berpegang kepada pandangan sahabat Rasulullah SAW dan para ulama yang berada dalam lingkungan 300 tahun selepas kewafatan Rasulullah SAW. Pendekatan terbaik dalam belajar ialah kita menuntut ilmu secara berguru yang mempunyai sanad dan menambahkan ilmu dengan banyak membaca buku merentasi pelbagai bidang keilmuan. Kita berpegang kepada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dan bermazhab.

7. Kita menolak politik kepartian sempit. Walaupun kita seorang simpatis atau menyertai parti politik Islam, kebenaran lebih kita cintai. Kita boleh mempunyai pandangan sendiri tetapi perlu akur dengan keputusan bersama yang diputuskan dalam mesyuarat. Kita mesti menghormati keputusan syura dan kebijaksanaan seseorang Amir Jemaah. Jika khilaf terus berlaku, kita tawaquf tanpa keluar daripada perjuangan. Keluar daripada perjuangan Islam apabila dasar Islam dicabut daripada perlembagaan wadah/gerakan Islam/organisasi. Politik Islam mementingkan ukhwah, politik sepakat-muafakat: ta’awun siyasi dan tahaluf siyasi, politik yang memilih mudharat lebih kecil dengan menolak mudharat lebih besar. Kita sedia menerima gagasan politik seperti UG, Kerajaan Teknokrat, Selamat Malaysia dan Konsensus Nasional demi perpaduan ummah dan kestabilan politik negara. Kita menghormati setiap ijtihad yang dikeluar oleh ulamak dan pemimpin Islam daripada semua pihak walaupun kita tidak menyetujuinya.

8. Kita menolak pandangan berdasarkan persepsi, fitnah, andaian dan ramalan. Setiap suatu kesalahan memerlukan saksi yang jujur, bukti yang cukup, disiasat dan dibawa ke mahkamah. Kita menolak membuka aib orang dan menerima penafian seseorang dengan terbuka, kemudian segala urusan orang itu kita serahkan kepada Allah. Kita mengakui fitrah kemanusiaan seseorang tetapi kita menolak pemikiran/ideologi ciptaan akal-nafsu manusia yang bertentangan dengan Islam.

9. Kita tidak mengetahui tujuan atau niat seseorang. Kita hanya mampu menilai perkara zahir bukannya perkara yang tersembunyi dalam hati mereka. Kita percaya setiap wadah/gerakan Islam tidak sempurna kerana setiap anggota hanyalah makhluk Allah yang lemah dan imannya boleh berbolak-balik. Dalam setiap kumpulan sudah tentu ada pihak yang bermudah-mudahan dalam pendirian dan amalan Islam, pihak yang ekstrem dan pihak yang suka ambil kesempatan. Perkara seumpama ini mesti kita waspada.

10. Tiada berguna kita membenci seseorang. Kita hanya membenci sifat bukannya orangnya. Pupuk diri kita agar tidak membenci orang lain. Semaikan kasih sayang. Kita boleh mengkritik, kritik secara membina bukannya kritik memusnahkan. Jaga tulis-lisan kita, jaga akhlak kita.

No comments:

Sebab-Akibat

Sebab-akibat antara elemen penting dalam ilmu sejarah. Pemikiran sebab-akibat ini penting bagi mengelakkan kita membuat ramalan dan andaian ...