Akhir-akhir ini kedengaran beberapa
istilah-konsep mengiringi kehadiran parti Islam kedua di Malaysia. Kehadiran
parti Islam serpihan atau mengusirkan ‘peranan Islam dan dakwah’ dalam gerakan
Islam menjadi satu fenomena di seluruh dunia Islam.
Nota ini menjengah secara
ringkas tentang persoalan kehadiran Muslim Demokrat dan Pemikiran Politik
Gerakan Islam Generasi Kedua yang boleh dianggap sebagai bacaan pemula.
Merapat Hubungan Islam dengan Dunia Barat
Fenomena Muslim Demokrat
semakin mendapat tempat dalam gerakan Islam seantero dunia. Fenomena ini
berkembang pesat setelah Rasid Tayyib Erdogan dan Abdullah Gul telah mengemudi
Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) Turki memerintah Turki tanpa menamakan
program pembangunan, perubahan dan pemurnian mereka dengan ‘jenama’ dan slogan
Islam. Mereka telah melakukan reformasi politik sehingga berjaya meletakkan
Abdullah Gul dan Erdogan sebagai Presiden Turki dan mengurangkan pengaruh
tentera, birokrat dan hakim yang tegar-totok sekularisme dalam politik Turki.
Kejayaan AKP telah
mempengaruhi ramai pemimpin Islam melaksanakan perubahan dalaman dalam gerakan
Islam. Di Tunisia, pemimpin senior dalam Ikhwanul Muslimin yang disebut calon
pengganti Presiden Kesatuan Ulama Muslim Sedunia (Syeikh Dr. Yusuf
al-Qaradhawi), Syeikh Rasid Ghannousshi cuba mengaplikasikan pendekatan AKP
dalam parti An-Nahdah Tunisia. Akhirnya, Islam tercabut secara rasmi daripada
Parti An-Nahdah pada tahun 2016. Di kebanyakan negara seperti Malaysia dan
Jordan, gerakan Islam mengalami perpecahan ekoran pertembungan kelompok reformis
dengan kelompok konservatif dalam gerakan Islam. Lebih teruk, perpecahan ini
menghasilkan parti-parti baru Islam yang tidak menjenamakan diri mereka sebagai
parti Islam atau tidak mengunakan slogan Islam.
Pemimpin Ikhwanul Muslimin
yang menjadi pelarian di Barat telah mengerakkan Ikhwan yang sesuai dengan
iklim Barat. Menantu Imam Hassan al-Banna, Said Ramadhan telah membina Pusat
Islam Geneva pada tahun 1961. Said Ramadhan mempunyai dua anak yang terkenal
iaitu Prof. Dr. Tariq Ramadhan, tokoh yang mempromosikan hubungan baik Islam
dengan Barat dan Dr. Hani Ramadhan pengasas Islamic
Relief, sebuah organisasi kebajikan Islam antarabangsa yang diasaskan pada
tahun 1984.
Tapak transformasi pemikiran
politik Gerakan Islam ialah di Barat terutamanya di London dan Munich. Pemimpin
gerakan Islam yang menjadi pelarian politik berkumpul di Barat dalam meneruskan
misi perjuangan mereka. Pada tahun 1981, Ikhwanul Muslimin menubuhkan Tanzim
Ikhwanul Muslimin Antarabangsa yang digerakkan oleh Mustafa Masyhur di Jerman.
Mustafa Masyhur dibantu oleh Muhammad Mahdi Akef turut tinggal di sana. Para
pemimpin Ikhwanul Muslimin yang berada di Barat berpandangan Ikhwan perlu
mengunakan pendekatan damai dengan Barat melalui dialog dan bersama-sama Barat
membentuk dunia yang lebih damai dan baik.
Di Jerman, Ikhwanul Muslimin
berselindung dalam Islamische
Gemeinschaft in Deutschland, IGD yang dipimpin oleh Ibrahim al-Zayat
manakala gerakan Islam Turki berselindung disebalik gerakan Milli Gorus
pimpinan sepupu Nehmettin Erbakan, Mehmet Sabri Erbakan. Ibrahim
al Zayat juga adalah pemimpin WAMY. Ibrahim al Zayat mengahwini Sabiha Erbakan, kakak Mehmet
Sabri Erbakan dalam mengeratkan hubungan antara kedua-dua organisasi. Pemikiran
politik kemajmukkan Ibrahim al-Zayat lebih konservatif, liberal dan Kristian demokratik.
Kemuncaknya ialah penubuhan
IIIT pada tahun 1980an yang berperanan mendekatkan Islam dengan Barat. IIIT
mendapat restu Ikhwanul Muslimin yang kepimpinan IIIT dibarisi oleh para senior
Ikhwan. IIIT turut mendapat sokongan Dr Yusuf al-Qaradhawi. Penglibatan tokoh
utama IIIT, Dr. Ismail al-Faruqi dalam isu kemasukan Dato Seri Anwar Ibrahim ke
dalam UMNO dilihat satu eksperimen kelompok aliran baru dalam Ikhwan ini. Anwar
Ibrahim juga adalah model pembina jambatan hubungan antara Islam dengan Barat.
Seperti yang kita tahu, Anwar Ibrahim adalah pemimpin muda berbakat besar yang
aktif dalam WAMY, pertubuhan belia Islam yang menempatkan para pemuda ikhwan.
Pada dekad 1990an, para pemimpin
gerakan Islam menganjak kepada pemikiran politik yang lebih mesra Barat. Mereka
melihat satu keperluan, ‘aliran’ pemikiran baru yang menjauhkan Islam daripada
sifat radikal dan ekstrem perlu diwujudkan. Antara pemimpin tersebut ialah
Rasid Ghannousshi, Said Ferjani (Tunisia), Ahmed Yousef (seorang ulama dan
pemimpin Hamas di Semenanjung Gaza), Saadeddine Othmani (seorang ulama Maghribi
dan ahli politik), Ali Sadreddine Bayanouni (pemimpin Syria Ikhwan), Abdul
Latif Arabiyat (seorang pemimpin Islam dari Jordan) dan Abdelilah Benkirane
(Maghribi). Pemimpin gerakan Islam ini juga mempunyai anak didik yang ramai di
serata dunia melalui saluran pengkaderan dan pentarbiyyahan Ikhwanul Muslimin
Antarabangsa.
Pada pandangan penulis,
transformasi pemikiran politik gerakan Islam lebih awal dilakukan oleh Anwar
Ibrahim dan Dr. Hassan Turabi. Di Malaysia, Anwar Ibrahim salah seorang
pemimpin Belia Islam dunia (WAMY) yang rapat dengan Ikhwanul Muslimin dan
kelompok reformis Ikhwan di IIIT telah menyertai parti pemerintah, UMNO. Anwar
Ibrahim banyak membina jambatan antara Islam dengan Barat. Kita boleh melihat
pengaulan, persahabatan, pemikiran, bahan bacaan, penulisan, ucapan, penyertaan
dalam organisasi dan program dan dana kepada pertubuhan yang direstui oleh
beliau. Kita akan dapat mengesani usaha Anwar Ibrahim membina jambatan antara
Barat dan Islam melalui pelbagai forum atau organisasi seperti melalui IIIT.
Penulis berpandangan Anwar Ibrahim adalah contoh pemimpin paling tepat kepada
model Muslim Demokrat yang unggul (beliau dilantik pengerusi pertubuhan Muslim
Demokrat peringkat dunia) dan tokoh utama pemikiran politik gerakan Islam
generasi kedua.
Pada pertengahan tahun 1990, Parti
Wasat ditubuhkan di Mesir oleh anak muda Ikhwan bernama
Aboul-Ela Maadi. Ia cuba mendamaikan antara demokrasi dan Islam, mengisytiharkan sokongan
kepada pilihanraya untuk peralihan kuasa, menghargai perbezaan pendapat dan bersedia
melakukan pakatan dengan parti bukan Islam. Pemikiran politik yang asing dalam
kalangan Ikhwanul Muslimin Mesir yang dikuasai oleh pemikiran politik Sayyid
Qutb menyebabkan kelompok muda Maadi menubuhkan parti baru. Ada pendapat parti
ini direstui oleh Mustafa Masyhur.
Parti ini menjadi wadah
perubahan atau reformis yang sesuai dengan saranan Carnegie Endowment for
International Peace, "berusaha untuk
menafsirkan prinsip-prinsip syariah Islam dengan cara yang konsisten dengan
nilai-nilai sistem demokrasi liberal. Walaupun al-Wasat pendukung sistem
politik yang kuat berpegang dalam hukum Islam, namun mereka juga memandang
prinsip syariah sebagai fleksibel dan kompatibel sepenuhnya dengan
prinsip-prinsip pluralisme dan hak-hak kewarganegaraan yang sama. "
Pada tahun 1997, Majlis
Penyelidikan dan Fatwa Eropah ditubuhkan dibawah pimpin Dr. Yusuf al-Qaradhawi
dalam memberi fatwa tentang fiqh minoriti masyarakat Islam di Eropah.
Kewujudan pelbagai NGO dan
institusi pemikiran Islam dilihat sebagai usaha gerakan Islam dunia merapatkan
jurang perbezaan mereka dengan Barat. Hubungan ini mempunyai pro dan kontra.
Islam Amerika: Antara Nahdah, AKP dan UMNO
Tanpa rasuah, KKN (Kronisme,
Korupsi dan Nepotisme) dan penyelewengan kuasa, UMNO adalah sama dengan AKP.
Tanpa rasuah, KKN dan penyelewengan kuasa, tiada apa yang membezakan UMNO dan
AKP yang dilakukan dalam pemerintahan. UMNO dan AKP meletakkan Islam sebagai
syiar dan pada tahap minima dalam pemerintahan. Tanpa baju Islam, Parti An
Nahdah adalah UMNO di Tunisia. Pemimpin UMNO dan Parti an-Nahdah adalah Islam
yang nasionalis dan sekularis tanpa bezanya.
Sebab itu gerakan Islam mesti
bertegas dan berprinsip, pemerintahan Islam bukan setakat syiar Islam, urus
tadbir kerajaan yang baik, mencegah rasuah, membebas negara daripada
penyelewengan, bebas KKN, adil, telus, integriti tetapi meletakkan Al-Quran,
As-Sunnah, Ijma’ Ulama dan Qiyas paling tinggi dalam pemerintahan dan kunci
kejayaannya ialah pelaksanaan perundangan Islam. Gerakan Islam mengunakan
demokrasi, penyertaan pilihanraya dan pendekatan yang menepati perlembagaan
negara dalam mencapai matlamat gerakan Islam yang cukup jelas tujuannya tanpa
matlamat tersirat.
Rakyat boleh mengunakan
demokrasi untuk menaikkan atau menurunkan gerakan Islam berdasarkan prestasi
dan polisi semasa gerakan Islam.
Teras Pemikiran Muslim Demokrat
Muslim Demokrat sebagaimana
Pasca Islamisme tidak mempunyai definisi dan konsep yang jelas. Pada pandangan
penulis, Muslim Demokrat lahir daripada kandungan SEPILIS. Dato Seri Mohamed
Azmin Ali menyatakan Muslim Demokrat memperjuangkan demokrasi mempunyai nilai
sejagat (seperti keadilan dan kebebasan) diusung bersama nilai tempatan
(persoalan identiti, kebudayaan dan kenegaraan). Persoalan yang timbul, pertama
definisi-konsep nilai-nilai sejagat mengikut Timur, Barat atau Islam?. Kedua,
jika nilai-nilai sejagat dan nilai-nilai bertentangan dengan Islam, adakah
definisi al-Quran ditolak?.
Antara sifat asasi Muslim
Demokrat ialah sekularisme, demokrasi, modenisme, pragmatisme, inklusif,
pluraliti, liberalisme, toleran, rasional, progresif, nilai hak sivil, reformisme,
populisme dan prinsip maqasid syariah. Di kebanyakan negara, kelompok Muslim
Demokrat atau Islamis Demokrat ini mengunakan slogan Islam Rahmat Untuk Semua
atau Islam rahmatan lil’alalmin.
Sekularisme
Pemisahan antara peranan
jemaah Islam dengan parti politik mengambarkan sifat sekularisme yang ada dalam
pemikiran pimpinan kelompok Muslim Demokrat.
Menurut Prof. Dr. Wan Mohd
Nor Wan Daud, kerangka atau prinsip-prinsip utama worlview sekular berdasarkan rumusan sarjana Barat dan seperti yang
terbukti dari pengalaman kebudayaan dan tamadun (peradaban) mereka:
Pertama, alam jagat atau
sarwajagat atau sejagat iaitu universe
adalah satu-satu alam yang ada. Dalam pandangan mereka, alam jagat ini juga
tidak mempunyai kewujudan dan makna rohani. Tidak ada alam rohani, alam arwah,
alam malakut atau jabarut. Tidak ada syurga atau neraka. Prinsip-prinsip lain
dalam pandangan alam mereka, semua terlahir daripada yang pertama ini.
Kedua, dalam pandangan alam
sekular, semua nilai dianggap tidak memiliki watak sakral, suci, dan kekal
abadi.
Ketiga, kegiatan dan tujuan
politik hanya terbatas kepada kepentingan kehidupan dalam dunia ini, tiada
tujuan akhirat. Malah kegiatan keagamaan dibenarkan dan dikembangkan untuk
men-capai kesejahteraan dan kejayaan duniawi sahaja.
Keempat, alat bagi mencapai
kesejahteraan dalam hidup duniawi ini hanyalah akal fikiran manusia dan saling
membantu diantara mereka. Dalam konteks ini, ilmu sains, perekonomian, perubatan
dan teknologi adalah yang paling diperlukan.
Muslim Demokrat adalah produk
yang dilahirkan daripada rahim sekularisme. Sewajarnya, ia ditolak. Menurut Syed
Ali Tawfiq al-Attas, sekularisme adalah produk worldview Barat yang tidak cocok dengan Islam sama sekali. Sebab worldview Barat dan Islam kenyataannya
memang sangat berbeda.
Modenisme
Perkembangan modenisme
bermula dengan sejarah penentangan terhadap penguasaan institusi gereja yang
memonopoli dan mentafsir agama Kristian. Institusi gereja menentu kebenaran
yang perlu diikuti oleh penganut agama Kristian. Modenisme adalah satu
kepercayaan bahawa untuk mencapai kemajuan dalam kehidupan, masyarakat perlu
dibebaskan daripada kongkongan tradisi.
Pragmatisme
Pragmatisme politik, mereka
hanya melihat kepentingan jangka pendek yang menguntungkan diri dan
kelompoknya. Jika faedahnya sudah berkurangan, mereka akan mencari manfaat yang
lain. Oleh sebab itu, pragmatisme ini hanya menguntungkan sebahagian kecil
kelompok elitis berbanding rakyat dan anggota parti. Kalau kes Parti Islam
umpamanya, ia perlu mengorbankan idealism Islam demi kepentingan kekuasaan.
Seseorang yang pragmatis sanggup mengorbankan pandangan alam Islam mereka untuk
mencapai kemenangan dalam politik kekuasaan dan pilihan raya.
Demokrasi
Muslim Demokrat kononnya cuba
memdemokrasikan ekonomi, sosial dam politik. Walaupun kita mengakui kelebihan
dan kebaikan demokrasi, sistem demokrasi bukanlah segala-galanya. Gerakan Islam
hanya mengunakan demokrasi untuk menegakkan Islam (lebih tepat: ruang
menyuarakan Islam). Barat mengunakan demokrasi untuk menjarah negara lain.
Lebih teruk atas nama prinsip demokrasi, muslim didorong untuk mengakui
kebenaran agama lain sebagaimana pandangan Dr Wan Mohd Nor Wan Daud.
Antara ciri-ciri politik
dalam demokrasi ialah: pengasingan kuasa; kekuasaan rakyat; perwakilan; pilihan
raya; warganegara adalah sama. Manakala syarat-syarat demokrasi pula
ialah: persamaan; kebebasan (bersuara,
berpersatuan); perlembagaan yang demokrasi (cita-cita rakyat dan kehendak
rakyat menjadi perhatian); semakin berpendidikan; masyarakat yang setara;
pengagihan harta benda; dan sikap
toleransi.
Dalam ‘politik’ Islam, sistem
politik bukanlah keutamaan. Paling penting dan utama ialah individu yang memimpin
atau pemimpin (atau pentadbir). Asal unsur kepimpinan Islam melalui sistem
syura berdasarkan wahyu (kedaulatan Allah) dan kekuasaan rakyat. Sistem syura
ini diupayakan oleh maqasid al-Quran.
Perbezaan sistem demokrasi dengan sistem syura ialah pertama, sistem
syura berpandukan Wahyu. Kedua, demokrasi Barat menekankan persoalan hak-hak
manusia atas nama hak. Sedangkan persoalan hak-hak manusia dalam Islam disertai
dengan sifat amanah. Ketiga, demokrasi Barat menekankan tentang kebebasan
sedangkan sistem syura dalam menekan
tentang kebebasan disertai dengan sifat tanggungjawab.
Khutbah terakhir di Arafah
menjadi contoh dimana hak-hak manusia perlu disertai dengan sifat amanah dan
tanggungjawab bukan sekadar hak-hak manusia sahaja.
Antara Pluraliti dan Pluralisme
Penulis sangat bersetuju
kemajmukan atau pluraliti sebagaimana dinyatakan oleh Dato Dr. Siddiq Fadzil
sebagai ‘fiqh al-ta`addudiyyah (fiqh
pluraliti) yang meliputi persoalan hak kebebasan beragama, hak asasi manusia,
prinsip keadilan, nilai-nilai
kemanusiaan sejagat dan seterusnya tata susila
kesantunan hidup berdampingan dalam masyarakat pelbagai kaum dan
agama. Kemajmukan masyarakat Malaysia
adalah lahan paling subur untuk menumbuhkan fiqh al-ta`ayush atau fiqh co-existence dalam pengertian tata aturan hidup
berdampingan yang harmonis dan penuh semangat kesalingan dalam kalangan warga
pelbagai agama dan budaya.’
Malaysia yang memiliki
masyarakat majmuk semestinya menghadapi cabaran pluraliti. Cabaran pluraliti
tidak cukup dengan retorik-retorik dan istilah bombastik. Pada pandangan
penulis, ia bermula dengan pendidikan dimana penghapusan sekolah vernakular
berdasarkan bahasa ibunda. Sebelum kewujudan sistem pendidikan vernakular,
masyarakat bukan Melayu yang tinggal di Tanah Melayu perlu menguasai Bahasa
Melayu dalam interaksi dengan majoriti rakyat berbangsa Melayu. Tanpa
penguasaan Bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat bukan Melayu, cabaran
pluraliti hanyalah sembang kencang.
Cabaran pluraliti seterusnya
taat setia kepada Raja-raja Melayu dalam kalangan masyarakat bukan Melayu
semakin merosot. Jika dulu, masyarakat bukan Melayu bersedia berada di bawah
naungan Raja-raja Melayu. Mereka tidak campur tangan dalam politik Melayu. Jika
masyarakat bukan Melayu mula berani mencampuri politik Melayu, suasana politik
negara akan menjadi tidak stabil. Kita semua perlu mengakui bahawa rahsia
kemakmuran dan kesejahteraan negara Malaysia terletak pada kestabilan politik
orang Melayu-Bumiputera.
Kita mahu hidup dalam suasana
yang harmonis bersama-sama sebagai satu Masyarakat Malaysia. Terasnya politik
Melayu-Bumiputera, satu sistem pendidikan kebangsaan dan Bahasa Melayu.
Sebahagian daripada Orang
Melayu teruja dengan undi bukan Melayu sehingga menyembunyi kebenaran Islam
atas nama pluraliti dalam memperjuangkan Islam. Malah, ada yang lebih berani
berhujah, bercakap dan menulis melampaui batas keimanan dan kekufuran atas nama
pluraliti sehingga menjadi pluralisme agama. Kita boleh melihat dalam kes
kalimah Allah dan kes tiada paksaan menganut Islam.
Pluralisme agama dikatakan
pluraliti. Kebenaran agama lain turut diakui. Semua agama adalah sama kerana
semua menuju jalan kebenaran. Pluralisme agama adalah asas perjuangan kepada Interfaith Council atau Interfaith Commission(IFC) dan COMANGO yang
pernah mengemparkan negara. Menariknya para aktivis yang mendokong pemikiran
SEPILIS termasuk pluralisme agama berkampung dalam PKR dan DAP.
Fiqh al Muwatanah (Fiqh Kewarganegaraan)
Fiqh kewarganegaraan menjadi
isu penting dalam gerakan Islam Ikhwanul Muslimin. Tidak hairan Ikatan Muslimin
Malaysia (ISMA) melalui Majlis Ulama ISMA (MUIS) dalam Muzakarah Ulama Fiqh
Muwatanah pada 2 April 2016 dan Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) mengemukakan
kertas kerja di NUNJI 15 tentangnya.
‘Dalam Nadwah Ulama Nahdhah
Jadidah (NUNJI ‘15), Ustaz Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad, Presiden Pertubuhan
IKRAM Malaysia (IKRAM) telah membentang satu kertas kerja bertajuk “Fiqh al-Muwatanah: Satu Perkongsian dalam
Membangun Negara”.’
‘Konsep Fiqh al-Muwatanah
(Fiqh Kewarganegaraan) iaitu fiqh tentang isu-isu berkaitan warga sesebuah
negara dan hubungannya dengan negara tersebut menurut perspektif Islam dan
syariah.’
‘Menurut Mohd Parid, Fiqh
Kewarganegaraan lahir daripada ikatan sosial antara warga sesebuah negara dan
negara tersebut, hubungan kesetiaan, perkongsian dan pertanggungjawaban antara
satu sama lain dalam semua suasana. Berdasarkan Fiqh al-Muwatanah, setiap orang
yang dianggap warganegara dalam sesebuah negara Islam mempunyai hak yang sama
rata, sama ada mereka itu Muslim atau bukan Muslim, dan tidak ada warganegara
kelas kedua atau kelas ketiga. Malahan, kaum Yahudi pada zaman Rasulullah s.a.w
juga dianggap sebagai warganegara dan sebahagian daripada umat oleh Rasulullah
s.a.w.’
‘Setiap warga sesebuah
negara diberi hak yang sama rata, namun
hak yang sama rata juga datang dengan tanggungjawab yang sama yang mesti
dipikul oleh warganegara tersebut, yang mengambil salah satu prinsip yang
menjadi asas fiqh kewarganegaraan iaitu:
“Memberi mereka hak seperti hak bagi umat Islam dan ke atas
mereka tanggungjawab seperti tanggungjawab atas umat Islam.”
‘Dalam konteks Malaysia yang
berbilang etnik, agama dan budaya sedang majoriti rakyatnya orang-orang Islam,
maka Fiqh al-Muwatanah (فقه المواطنة) menjadi amat penting, yang
menyentuh dan menjawab kedudukan seluruh warganya, Muslim dan bukan Muslim, hak
dan tanggungjawab mereka kepada negara dan sesama mereka.’
‘Menurut Mohd Parid, secara
prinsip, semua warganegara adalah sama. Namun, jika terdapat perbezaan dalam
mendapatkan hak, perbezaan itu adalah berdasarkan keperluan individu kerana
faktor fizikal, keupayaan, sosio-ekonomi dan juga geografi. Namun, kelebihan
yang diberikan mestilah tidak mengambil hak warganegara yang lain. Setiap
warganegara berhak mendapatkan hak dalam pendidikan, ekonomi, kesihatan, dan
politik yang sama berdasarkan polisi-polisi kerajaan.’
Dalam konteks Malaysia, Fiqh
Kewarganegaraan bukanlah suatu keutamaan untuk dibincangkan. Sebahagian mereka
cuba mere-definisikan konsep kewarganegaraan dalam pemerintahan yang terikat
dengan konsep Islam, Kafir Zimmi dan Kafir Harbi.
Fiqh kewarganegaraan menjadi
satu elemen penting dalam mengharungi cabaran pluraliti. mengutarakan beberapa
konsep yang perlu dijadikan dasar dan tasawwur dakwah sama ada di negara majoriti
penduduk Islam dan juga di mana orang Islam adalah minoriti. Konsep ‘al Ukhuwat al Muwatanah’, ‘al Ukhuwat al Insaniyyah’ dan ‘Dar al Da’wah’ yang dianjurkan oleh
pendakwah kontemporari seperti Yusuf al Qaradhawi, Tariq Ramadhan, Fahmi
Huwaidiy, Jasser Auda, Muhammad Fathi Uthman dan Rasid al-Ghannoushi perlu
dijadikan topik perbincangan dan diberikan ruang yang sewajarnya untuk
dijadikan satu pendekatan dakwah yang lebih segar dan berkesan khususnya dalam
mengolah semula konsep ukhuwah dan hubungan dengan bukan Islam. Sebagaimana
ditegaskan oleh Menteri Besar Selangor, Dato Seri Mohamed Azmin Ali, ‘keadilan itu harus dituntaskan bukan sahaja
kepada warganegara yang beragama Islam tetapi turut wajib dipelihara hak-hak
warganegara yang bukan Islam’[Sinar Harian, 10 Disember 2016].
Kemunculan Pemikiran Politik Gerakan Islam Generasi Kedua
(Gen-2)
Di Malaysia, Parti Keadilan
Rakyat (PKR), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan sebahagian pemimpin Parti
Amanah Negara (AMANAH) yang berbicara tentang konsep Muslim Demokrat. Gerakan
Islam seperti IKRAM Malaysia dan ABIM turut membicarakan tentang konsep ini.
Oleh kerana konsep Muslim Demokrat mengunakan istilah Barat, Jalur Pemikiran
Politik Gerakan Islam Generasi Kedua (Gen 2), pendekatan maqasid syariah dan slogan
Islam rahmatan lil’alalmin lebih
dipopularkan.
Dr. Dzulkefly Ahmad
mendefinisikan bukan sahaja dari segi gagasan pemikiran dan idea tetapi
bersekali ‘satu penampilan baru entiti
politik’ yang mengalami evolusi hasil interaksi dengan dinamika sosio
politik negara masing-masing. Ia
dilakarkan dengan anjakan generasi dalam pemikiran dan pengurusan idea yang
melahirkan gerak kerja yang mempunyai kelainan dan berbeza dengan yang lama.
Hakikatnya terbit dari kelainan pengolahan pemikiran dan dasar, cita-cita dan
penghayatan perjuangan mendepani realiti baru.
Ciri-ciri Generasi Kedua
Politikal Islam ialah:
1. Negara yang bersifat sivil
dan tidak kudus, mengiktiraf kedaulatan rakyat berbanding hakimiyyah lillah.
2. Negara yang bersifat sivil
dimana segala sesuatu akan diundang-undangkan melalui perbahasan di parlimen.
Tiada yang layak mewakili Tuhan atau bercakap atas nama Tuhan. Tiada amalan
teokrasi.
3.Undang-undang boleh yang
dibahaskan di perlimen boleh ditolak walaupun bersandarkan nas dan dalil syarak
kerana wujud pelbagai interprestasi dan fahaman tentang kesesuaian, ketepatan,
pelaksanaan dan keberkesanan penyelesaian.
4. Mengiktiraf mesyuarat
sebagai kaedah membuat keputusan serta menerima keputusan pilihanraya dalam
mengangkat sebuah kerajaan.
5. Peranan agama dalam
konstruk politik lebih jelas suatu yang bersifat sivil dan demokratik serta
berpaksi ijtihad bukan bersandar hak kudus yang dimainkan oleh para ulama
sahaja.
6. Memahami dan menerima
pluralisme politik dalam amalan sistem multi parti.
7. Mengungkap ayat al-Quran dan hadith atau
pandangan ulama dari kitab turath yang sesuai dengan konteks dan relevan dengan
realiti dan keperluan rakyat masa kini.
8. Mampu menerima kritikan
walaupun mengunakan sumber perundangan Tuhan dan tidak mendakwa mewakili
‘kebenaran’.
9. Mengutamakan kepentingan
urus tadbir yang baik
10. Pengasingan kuasa
11. Menolak retorik
anti-barat dan sedia berdialog serta wacana dengan Barat.
Daripada 11 ciri yang disenaraikan
di atas, tiada bezanya pendekatan yang dilakukan oleh PAS pada hari ini.
Gen-1 mempunyai cabaran yang
perlu ditangani dalam kerajaan dan parti mereka. Antara cabaran tersebut ialah:
1. Gagal memacu pembangunan
dan ekonomi sebagaimana yang diingini oleh pengundi dan rakyat.
2. Gagal menaikkan kedudukan
keseluruhan indeks kesejahteraan hidup rakyat dan umat Islam
3. Gagal menampilkan kebolehan dan ketrampilan
untuk memberi program responsif dan polisi penyelesaian yang berkesan terhadap
pelbagai dan seaneka permasalahan dan kemelut rakyat bersabit perihal ekonomi
dan aspek sosio politikal dalam isu-isu bermasyarakat dan bernegara.
4. Gagal bersifat mesra
dengan golongan minoriti bukan Islam.
5. Membawa slogan-slogan dan
retorik yang berorientasikan anti-Barat secara borong dan sangat tajam
pertentangan terhadap golongan sekular yang dianggap anti agama
6. Sukar untuk merentasi pengaruh dan sokongan pengundi dalam sebuah
masyarakat yang berbilang agama, kaum, etnik, budaya serta menganut pelbagai
kefahaman politik, ideologi dan mempamerkan amalan pluralisme politik dalam
sebuah konstruk sistem multi parti
7. Kegagalan menyelesaikan
konflik dalaman yang ketidakselesaian.
Dalam perkara [1], [2] dan
[3], pemerintahan sebuah kerajaan negeri banyak bergantung kepada sumber-sumber
ekonomi yang mereka perolehi. Kepimpinan yang baik sahaja tidak mencukupi.
Dalam perkara [4] dan [6],
usaha-usaha merapati orang bukan Islam dilakukan pada pertengahan tahun 1980an
lagi.
Dalam perkara [5], ini satu
dakwaan yang aneh. Umat Islam perlu kritikal terhadap pemikiran Barat dan perlu
mencari penyelesaian berdasarkan sumber ilmu Islam. Anehnya, kelompok baru inilah yang menjadi pemuja
kepada istilah-konsep yang dibawa daripada Barat sebagaimana istilah-konsep
Muslim Demokrat.
Dalam perkara [7], keluarnya
pemimpin yang kalah adalah jalan penyelesaian konflik yang paling baik kerana
sidang muktamar menolak mereka. Malangnya mereka merajuk dengan keputusan
keluar jemaah Islam.
Dr. Dzulkefly menyatakan Gen
2 perlu buat:
1. Berani membuat ijtihad dan
keluar daripada kekakuan ungkapan perjuangan atau kelumpuhan intelek.
2. Memahami tuntutan zaman
serta logika semasa keperluan umat dan rakyat di segi permintaan untuk
menyambung kelangsungan bahkan meningkatkan kesejahteraan manusia.
3. Pemikiran politik tahap
tinggi yang menekankan proses melakukan diagnosis penyakit, memahami penyakit
dari sudut penyebab-penyebabnya yang bersifat pelbagai dan hubungkaitnya dalam
mencetus gejala dan angkara dalam masyarakat dan negara. Penyelesaian
berdasarkan nas dan dalil syarak atau ijtihad.
4. Memahami konteks realiti
politik dan naratif sejarah kemerdekaan negara.
5. Memperkayakan pencernaan
dasar-dasar dan polisi daripada Maqasid Syariah
Masalah Melanda Gerakan Islam
Perpecahan yang dialami oleh
kebanyakan gerakan Islam di seluruh dunia disebabkan oleh [1] perubahan
pandangan alam, [2] perbezaan pendekatan, [3] perkembangan teknologi maklumat
begitu pantas (maklumat dihujung jari) dan perubahan budaya manusia (contoh setiap
orang boleh bersuara dan didengari melalui viral). Pahala atau dosa, syurga
atau neraka, azab kubur dan azab neraka, kewujudan dan pemerhatian Allah SWT
sudah tidak dipedulikan lagi. Kehidupan bertuhan dan beragama semakin longgar.
Gerakan Islam mendapat tempias lebih hebat apabila budaya berjemaah termasuk
wala’ dihakis dengan budaya kebebasan bersuara tanpa batasan.
1. Keherotan Dalam pembinaan Kerangka Pemikiran dan Pandangan Alam
Muslim Demokrat mengalami
kecelaruan identiti kerana terperangkap dengan agenda musuh Islam yang
menyusupi kerangka pemikiran dan pandangan alam mereka. Keghairahan mengejar
kemenangan dalam pilihanraya menyebabkan mereka mengadai perkara yang paling
berharga iaitu kerangka pemikiran dan pandangan alam berdasarkan tauhidk dan
quranik. Mereka hilang ketegasan dalam mempertahankan prinsip demi sesuap undi
manusia yang entah ke mana membawa iman seorang muslim.
Definisi Pandangan hidup atau
pandangan alam atau pandangan sarwajagat (worldview) dalam Islam ialah:
Menurut Maulana Abul Ala’
al-Maududi, Islami Nazariyat (worldview) pandangan hidup yang dimulai
dari konsep keesaan Tuhan (kalimah syahadah) yang berimplikasi pada keseluruhan
kegiatan kehidupan manusia di dunia. Sebab kalimah syahadah adalah pernyataan
moral yang mendorong manusia untuk melaksanakannya dalam kehidupannya secara
menyeluruh.
Menurut Sayyid Qutb, al-tasawwur al-Islami (worldview), sebagai akumulasi dari
keyakinan asasi yang terbentuk dalam fikiran dan hati setiap Muslim yang
memberi gambaran khusus tentang wujud dan apa-apa yang terdapat disebalik itu.
Menurut Syed Muhammad Naquib
al-Attas, pandangan alam (worldview) adalah pandangan Islam
tentang wujud (ru’yaat al-Islam
lil-wujud). Pandangan alam Islam tentang realiti dan kebenaran yang nampak
oleh mata hati kita dan yang menjelaskan hakikat wujud; oleh kerana itu apa
yang dipancarkan oleh Islam adalah wujud yang tuntas.
Secara rumusannya, pandangan
alam Islam ialah satu pandangan yang berasal daripada hakikat keimanan dan
tauhidik (iaitu bertunjangkan kalimah syahadah dan kewujudan Allah) yang
mengupayakan pandangan dan tindakan terhadap realiti.
Pandangan alam dibina
daripada kerangka pemikiran yang distrukturkan oleh akumulasi konsep-konsep
yang diperolehi daripada pengaktifan aqal sama ada melalui pancaindera:
pembacaan, dengar, bercakap dan melihat, pengalaman hidup dan pengaulan
sepanjang kehidupan mereka termasuklah lintasan idea dan perasaan. Kerangka
pemikiran dapat menentukan tahap kefahaman seseorang individu dalam sesuatu
perkara sehingga individu tersebut membuat sesuatu keputusan.
Bagaimanakah Muslim Demokrat
difahami?. Muslim ialah seorang yang beriman dan Islam yang belum tentu
sejauhmanakah istiqamah dalam kehidupan beragama. Ia berlainan dengan definisi
mukmin. Demokrat adalah orang yang mengerakkan demokrasi.
Muslim Demokrat boleh juga
dikaitkan dengan Muslim yang mempraktiskan demokrasi atau Muslim Pro-Demokrasi.
Apakah aliran demokrasi yang mahu dianuti oleh seorang Muslim Demokrat?.
Demokrasi Liberal atau demokrasi sosial?. Atau mungkin Muslim Demokrat
mempunyai identiti khas yang tersendiri.
Gerakan Islam dan Islamis
menyertai mengunakan demokrasi untuk menghidupkan dan menegakkan Islam sebagai
satu cara hidup dan satu penyelesaian bukannya demokrat mengunakan Islam untuk
menghidupkan dan menegakkan demokrasi. Gerakan Islam mengunakan demokrasi atas
sifat menerima mudharat kecil daripada menerima mudharat yang lebih besar.
Pandangan alam seseorang
individu boleh berbolak-balik sebagaimana berbolak-baliknya iman. Kadangkala
penulis tidak percaya tokoh-tokoh hebat yang ditarbiyyah boleh me-nyahkan
pandangan alam Islamnya. Lihat sejarah, bagaimana Qarun tersesat?. Lihat juga
kenapa pemimpin-pemimpin gerakan Islam meninggalkan perjuangan mereka. Ada disebabkan kuasa, harta, pangkat-jawatan,
habuan dunia, perempuan, sifat pragmatis, masalah peribadi, masalah kepimpinan
dan paling malangnya terpengaruh dengan pandangan alam yang keliru, sesat dan
keluar daripada Islam. Tidak hairan graduan agama boleh terjebak dengan ajaran
sesat Ayah Pin dan Syiah.
Pandangan alam Islam dalam ‘politik’(lebih
tepat: siasah) mengariskan kualiti kepimpinan Islam, kewujudan masyarakat dan
pemerintahan Islam. Asasnya pandangan alam Islam pada individu yang memimpin
atau pada seorang pemimpin. Pemimpin yang mempunyai pandangan alam Islam inilah
yang membawa penghayatan Islam dalam sesebuah organisasi, masyarakat dan negara
yang diperintahnya. Penulis berpendapat, keherotan pandangan alam Islam dalam
kalangan pemimpin Islam yang ditarbiyyah disebabkan oleh sifat pragmatis mereka
yang mahu undi dan kemenangan dalam pilihanraya.
Penulis tertarik dengan
pengalaman dan pandangan Dr. Khalif Muammar yang menyatakan “seorang salafi dan
Islamis, tetapi di masa tua ia menjadi modenis dan liberal. Ada dua kemungkinan
mengapa hal ini berlaku:
Pertama, ia menjadi
salafi/Islamis semata-mata kerana pengaruh persekitaran dan sebenarnya tidak
yakin dengan apa yang diwacanakan. Kedua, ia faham dan yakin dengan wacana
tersebut tetapi tuntutan zaman merubah fikirannya untuk lebih pragmatik dan
mementingkan survival diri. Dalam kedua-dua situasi ini ia gagal memiliki
kerangka berfikir yang teguh dan mantap yang diinginkan oleh Islam.
Hal ini menunjukkan begitu
besar pengaruh dan mudahnya merebak pemikiran liberal kepada masyarakat Muslim.
Di sinilah pentingnya kita mempersiapkan diri dengan pandangan alam (worldview)
Islam supaya kita dapat memelihara diri kita daripada terpengaruh dengan
pandangan alam yang boleh merosakkan Aqidah dan jati diri kita.”[Facebook
Khalif Muammar: 5/1/17]
2. Perbezaan Pendekatan
Asal matlamat semua gerakan
Islam adalah sama iaitu menegakkan Islam dalam masyarakat dan pemerintahan
Islam sama ada meletakkan individu mukmin sebagai pemimpin atau mengubah
sistem. Menurut Dr. Dzulkefly Ahmad, ‘Kaedah
dan strategi daripada kebanyakan gerakan Islamis mungkin berbeza dalam rangka
waktu dan tempat, tetapi matlamatnya kekal satu dan selari bagi semua’. Dr.
Dzulkefly Ahmad membawa buah pemikiran Dr. Tariq Ramadhan menyatakan ‘Selaras dengan “perubahan pendekatan” atau “anjakan generasi” – generational shift’ sebagaimana PAS
menganjak daripada Konsep Negara Islam kepada Konsep Negara Berkebajikan.
Perubahan pendekatan atau
anjakan generasi bukanlah mengubah nama konsep Negara Islam atau mengenepikan
perundangan Islam. Pendekatan terbaik yang perlu difikirkan ialah bagaimana
mengatasi kejahilan masyarakat terhadap konsep Negara dan perundangan Islam. Ia satu usaha yang berterusan. Syed Ali Tawfiq
al Attas menyatakan, ‘kita seringkali
salah faham bahwa begitu menyebut syariah yang terbenak dalam kepada kita hukum
potong tangan, warisan, posisi wanita dan sebagainya. Padahal inti tujuan hukum
Islam itu universal. Inti dari syariah dalam Islam adalah penjagaan nilai-nilai
universal mengenai keadilan, kebebasan, kemanusiaan, persamaan hak,
perlindungan diri, harta, nyawa dan sebagainya’. Gerakan Islam perlu
jelaskan kebaikan inti syariah kepada rakyat tanpa berselindung atau
bermuka-muka.
Penulis memang bersetuju
dengan perubahan pendekatan dalam politik kerana politik bersifat dinamik dan
wajar sesuai dengan semangat zaman. Cuma perubahan dalam pendekatan jangan
sampai bersifat pragmatis dan matlamat menghalalkan cara. Dalam peristiwa
Langkah Kajang atau Kajang Move, penulis membaca dua tulisan Dr. Dzulkefly
Ahmad bersambungan demi mempertahankan dan menghalalkan Langkah Kajang dalam
Harakah dan Suara Keadilan. Apa tujuan Langkah Kajang dan apa kesudahan Langkah
Kajang?. Bagaimana nasib Setiausaha Agung PKR, Dato Saifuddin Nasution dalam
kes mahkamahnya dan bagaimana pula nasib Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid
Ibrahim ketika itu?. Langkah Kajang punca perpecahan Pakatan Rakyat
mengakibatkan dua wakil rakyat PAS berpaling tadah. Suatu yang jarang berlaku
dalam PAS yang dilakukan oleh individu yang bukan ditarbiah oleh PAS.
3. Konsep, Istilah, Laras bahasa dan Slogan yang digula-gula
Dr. Dzulkefly Ahmad
menyatakan, ‘tentang keperluan meletakkan
Matlamat-Matlamat dan Tujuan-Tujuan Syariah atau Maqasid al-Syari'ah sebagai
dasar dan cita-cita perjuangan yang sepatutnya mendapat Keutamaan yang
mendesak’. PAS mempunyai Majlis
Syura Ulama dan Dewan Ulama (peringkat pusat dan negeri) serta anggota terdiri
ramai ulama dan lepasan agama. Unsur-unsur maqasid syariah dan fiqh keutamaan
dalam politik sudah lama dipraktikkan tanpa menamakan konsep-konsep atau
istilah yang bombastik. Lihat ijtihad PAS yang cukup dinamika dalam keputusan
calon wanita dalam pilihanraya dan tahaluf siyasi dimana mendahului gerakan
Islam yang lain.
Antara ciri-ciri jalur
pemikiran politik gerakan Islam generasi kedua, Dr. Dzulkefly menyatakan ‘secara sedar meninggalkan doktrin serta
penggunaan pengistilahan (mustalahat) atau laras bahasa (phraseology) Gen-1’.
Laras bahasa politik kebanyakannya mainan retorik mengikut zaman. Permainan
istilah atau laras bahasa politik adalah permainan lama PengABIMan UMNO suatu
ketika dahulu. Slogan dan laras bahasa seperti Masyarakat Madani dan Manhaj
Malaysia adalah sembang kencang sahaja. PAS pula terus relevan apabila
istiqamah dalam perjuangan Negara Islam dan perundangan Islam (hudud) manakala
gerakan Islam yang bermain-main dengan pelbagai konsep, istilah dan slogan
terus hanyut tanpa pendirian yang kukuh.
Gen-2 dilihat satu proses sekularisasi
gerakan Islam. Gerakan Islam yang memperjuangkan syiar Islam, istilah-istilah Islam,
konsep-konsep Islam dan slogan Islam seperti konsep keadilan untuk semua tanpa
mengimplementasi perundangan Islam hanya mengulangi usaha kelompok ABIM dalam
UMNO dan ulama-ulama pro-pemerintah(UMNO). Ia akan meneruskan legasi
pemerintahan BN yang sekular.
Sifat Gen 2 sangat digemari oleh Barat. Inilah kehendak
Barat kerana Gen 2 membawa aspirasi Barat. Islam tanpa syariat. Islam mengikuti
kehendak Amerika: Islam Amerika. Kelompok Gen 2 banyak mengunakan dan meminjam
konsep, istilah dan slogan daripada Barat. Tidak cukupkah istilah, konsep dan
slogan yang boleh dicerna daripada Al-Quran, As-Sunnah, Ijma’ ulama dan Qiyas.
Antara konsep, istilah dan
slogan yang Islami biasa digunakan oleh kelompok Gen 2 ialah maqasid syariah
dan Islam rahmatan lil’alalmin.
Maqasid Syariah digunakan dengan cara yang salah apabila ia digunakan secara
bermudah-mudahan dalam menangguh hukum sehingga DAP pun pandai bercakap tentang
maqasid syariah. Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyatakan “mereka yang menimbulkan kekeliruan menggunakan Maqasid Syariah dengan
tujuan menyingkirkan hukum Islam”. Umat Islam mesti menilai dari segi
keutamaan sumber ilmu berdasarkan kedudukan pertama iaitu Al-Quran diikuti oleh
As-Sunnah, ijma’ ulama , qiyas dan lain-lain. Kita mahu bermaqasid tetapi tidak
mahu ber’al-Quran’. Menurut Dato Dr. Siddiq Fadzil, tiada Maqasid Syariah jika
tiada Maqasid Al-Quran. Dahulukan al-Quran.
Di banyak negara seperti
Indonesia, dari konsep, istilah dan slogan Islam
rahmatan lil’alalmin digunakan untuk mengukuhkan syiar Islam dan Islam
tanpa syariat. Islam rahmatan lil’alalmin
menelurkan Islam yang ramah, Islam untuk semua, keadilan Islam untuk semua,
Islam Nusantara, Fiqh Malaysia, Manhaj Malaysia, Fiqh Nusantara dan Negara
Rahmah. Rumusannya, Islam rahmatan
lil’alalmin digunakan untuk membuktikan bahawa penghayatan Islam
berdasarkan pengaruh kawasan dan kebudayaan tempatan. Daripada inilah datangnya
laungan membuang budaya kearaban, menolak jihad dan menangguh perundangan
Islam.
Akhir-akhir ini, perjuangan
kelompok Islah-reformasi, salafi dan kelompok SEPILIS kelihatan senada dan
bahu-membahu antara satu sama lain. Hampir tiada kritikan sesama mereka dan
mereka keras bersuara jika bahan kritikan itu adalah gerakan Islam.
4. Gagal Mengenali Musuh.
Gerakan Islam gagal mengenali
musuh yang sebenar. Gen 2 menganggap ‘musuh’ sebagai rakan kongsi. Anak didik
Rasid Ghannousshi dan pemimpin utama Parti An-Nahdah Tunisia, Said Ferjani
menyatakan Barat adalah rakan kongsi bukannya musuh Islam. Dr. Dzulkefly Ahmad
menekankan agar retorik dan slogan anti-Barat ditiadakan.
Musuh dalam Islam mengunakan
pendekatan penentangan secara terbuka; pendekatan kekerasan; dan pendekatan
bersembunyi.
Musuh-musuh Islam ialah
1. Iblis dan syaitan
2. Yahudi-Nasrani
3. Jelas menolak Allah dan
Rasul-Nya.
4. Musuh yang menyerang atau
menzalimi umat Islam secara kekerasan dan terbuka
5.Musuh yang menentang Islam
secara tertutup atau pendekatan intelektualisme serta kristianisasi (keagamaan)
6. Orang Islam yang
mengkhianati Islam dan umat Islam
Pada hari ini, musuh-musuh
Islam telah mengkaderkan watak-watak hero kalangan umat Islam yang membawa
aspirasi musuh Islam. Musuh-musuh Islam juga menyalurkan dana dan bantuan
kepada NGO-NGO Islam untuk memperjuangkan aspirasi musuh sekaligus membawa
agenda tersirat pihak musuh. Musuh-musuh Islam mengunakan media massa dan media
sosial serta gajet dalam penyaluran maklumat dan hiburan yang mengubah cara
berfikir dan budaya anak muda Islam.
Sesetengah ulama, sarjana dan
pemimpin umat Islam terpengaruh dan terperangkap dengan aspirasi musuh Islam
atas nama rakyat, demokrasi, pembaharuan, keadilan, toleransi, hak sivil,
perubahan, persamaan, reformis, progresif, islah dan inklusif. Mereka mula
mencampur-aduk pemikiran Islam dan pemikiran barat. Mereka memilih secara
selektif hujah-hujah Islam yang memenuhi kehendak mereka dalam menghalalkan
tindakan mereka.
Kita boleh mengesani diri
mereka melalui sifat dibawah:
1. Menerima sebahagian
hujah-hujah daripada al-Quran dan as-Sunnah yang menepati kehendak mereka dan
menolak sebahagian yang lain.
2. Berhujah dengan secara
selektif untuk kepentingan diri dan kumpulan mereka sahaja
3. Pengaulan baik mereka
dengan kelompok-kelompok yang anti Islam
4. Mengelirukan umat Islam
dengan mengangkat pemikiran dan pandangan minoriti-aneh dalam kalangan ulama.
5. Suka berdebat, berforum
atau ceramah berbanding muzakarah.
6. Selesa dengan pandangan
Barat. Jika berhujah melalui lisan atau tulisan, pandangan Barat seringkali
diutamakan. Mereka gemar mencampur-adukkan pemikiran Islam dan pemikiran Barat.
7. Mengunakan istilah-konsep
yang bombastik
8. Menjauhi ulama
9. Akhlak yang teruk.
Pemerkasaan Islam dan Gerakan Islam.
1. Mengurus Institusi dan Organisasi
Masalah mengurus institusi
atau organisasi dimana gerakan Islam perlu berusaha membaikinya agar lebih
cekap dan efisen.
Pengurusan institusi dan
organisasi yang berkesan disebabkan oleh tenaga kerja yang ikhlas, profesional
dan tidak dibebankan tugas oleh orang yang sama. Kedua, tugas dibantu secara
berpasukan dan kolektif melalui sistem sokongan yang baik. Ketiga, sistem yang
teratur melalui SOP. Keempat, mesyuarat yang berkualiti.
2. Mempertahankan Institusi Beraja
Institusi Beraja dan
kedudukan Islam dalam Perlembagaan Malaysia mesti dipertahankan jika tidak mahu
SEPILIS totok menguasai Malaysia. Pelbagai cubaan telah dilakukan untuk
melemahkan institusi beraja dan kedudukan Islam dalam perlembagaan.
3. Penjenamaan Semula Imej Gerakan Islam
Persoalan penjenamaan semula
imej gerakan Islam kepada masyarakat Malaysia mesti giat dilakukan. Kelompok
reformis berpegang kepada pandangan Syeikh Abdullah Bin Bayyah, “Sebahagian maqasid syariah adalah menjaga
kecantikan imej Islam”. Malangnya yang berlaku ialah kelompok reformis
mengunakan maqasid syariah untuk menghakis kebenaran Islam dengan
menyembunyikan Islam yang sebenarnya. Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang
menegaskan, ‘PAS (pada pandangan penulis,
secara amnya umat Islam keseluruhannya) tidak boleh menyembunyikan kebenaran
Islam semata-mata ingin mengambil hati manusia’[Harakah, Bil 2205: Disember
2016].
PAS dalam mentransformasikan
imej PAS dengan pendekatan dinamakan Budaya Politik Matang dan Sejahtera
(BPMS).
BPMS bermaksud sebuah budaya berpolitik yang berasaskan
kepada kematangan dalam membuat keputusan dan tindakan, berlandaskan al Quran
dan As-Sunnah, sesuai dengan realiti masyarakat, bermatlamat kesejahteraan
rakyat, kemakmuran negara dan keredhaan Allah SWT.
Banyak kepentingan yang boleh
diraih oleh gerakan Islam (baca: PAS) melalui amalan budaya politik matang dan
sejahtera, paling menonjol ialah:
1. Mengekang berlakunya ketidakadilan
2. Mengelak penyalahgunaan kuasa
3. Menghindari ketidakstabilan politik
4. Menghindari kemelesetan ekonomi
5. Menghindari keruntuhan sosial
6. Menamatkan perselisihan rakyat
7. Mengurangkan pembaziran masa
8. Mengelakkan campurtangan asing
9. Menggalakkan budaya politik ilmu
10. Menyuburkan budaya politik fakta
11. Mendidik rakyat buat keputusan berasaskan maklumat yang benar
Kriteria BPMS yang dicanang
oleh PAS ialah
1. Bertunjangkan prinsip
perjuangan PAS pasti sahaja berpaksi kepada al-Quran dan Sunnah. Justeru itu,
apa jua keputusan PAS mestilah menepati syarak.
2. Politik dakwah. PAS berjuang
dengan tiga method atau sistem gerakkerjanya secara seimbang dan sepadu iaitu
:-
I. Gerakan Tarbiyah (pembinaan dalaman)
II. Gerakan Dakwah (pembinaan luaran)
III. Gerakan Siasah (pembinaan sultah/kedaulatan)
Adapun situasi berdepan
dengan sebuah pemerintahan yang tidak melaksanakan sistem pemerintahan Islam,
PAS akan terus berjuang, berdakwah dan berperanan untuk memastikan Islam dapat
didaulatkan. Peranan tersebut dinyatakan seperti berikut;
I. Memberi nasihat dan bimbingan secara berterusan, bagaimana
Islam itu boleh dilaksanakan dalam sistem pemerintahan dan pentadbiran negara.
II. Berjuang menegakkan syariat (amar makruf) dalam apa jua
kesempatan dan ruang yang boleh dilakukan oleh PAS pada tahap keupayaan yang
dimiliki.
III. Menegur, mengkritik, membantah dan mencegah kemungkaran (nahi
mungkar) dan menentang kezaliman yang berlaku sama ada dalam aspek sosial,
ekonomi mahupun politik. Sekalipun kemungkaran itu dilakukan oleh pemerintah,
PAS tegas menyatakan kebenaran.
IV. Menggerak agenda perubahan total (al-taghyir) ke arah
mendaulatkan syariat Allah secara berterusan. Terutama apabila PAS berdepan
dengan sebuah pemerintahan yang degil dan enggan melaksanakan Islam malah
memusuhi Islam.
3. Amar Makruf Nahi Mungkar
4. Fokus Penyelesaian Islam
5. Pertentangan Dasar Bukan
Pertentangan Fizikal
Penjenamaan Semula Imej PAS
melalui BPMS lebih relevan kerana meningkat imej PAS dengan meningkat imej
Islam tanpa merendahkan kepentingan rakyat secara kesleuruhannya. Keberanian
dan ketegasan ini lebih terpuji.
4. Prestasi dan Budaya Kerja Berkualiti
Prestasi dan budaya kerja
berkualiti pemimpin gerakan Islam. Berlaku pertembungan dengan pemimpin yang
tidak berapa rajin dan tidak berprestasi baik tanpa dikawal dan dinasihat menyebabkan
rakyat menilai negatif kepada gerakan Islam dan pemerintahan Islam.
Kita semua bebas dan boleh
menilai, menegur dan mengkritik corak pemikiran, prestasi/kualiti kerja, corak
kepimpinan, akhlak, kualiti pengurusan dan lain-lain selagi tidak menfitnah
peribadi orangnya dan tidak memutuskan hubungan ukhwah sesama umat Islam.
Pemimpin memerlukan persiapan
aqidah perjuangan, sahsiah berlandaskan aqidah dan pemikiran dibatasi dengan
aqidah Islam. Pemikiran beraqidah menjadi penapis agar habuk-habuk sekularisme
tidak terlekat pada perjuangan Islam. Aqidah penting dalam merangka pandangan
alam seseorang pemimpin Islam. Aqidah pula mesti menepati aqidah Ahli Sunnah
Wal Jamaah.
Seseorang pemimpin memerlukan
persiapan minda yang bersifat menyeluruh mencakupi kefahaman terhadap hukum-hukum
Allah, mengetahui isu-isu semasa, memiliki 'bacaan politik' (qiraat as-siyasi) yang tajam, memahami
keperluan melakukan perubahan, bersikap elastik dan juga keupayaan membaca
serangan pemikiran (ghazwatul fikr)
yang dilancarkan musuh.
Tuan Guru Dato Mohd Fadzil
Mohd Nor menyatakan, ‘anggota gerakan
Islam perlu sentiasa mempertahankan asas perjuangan (usuliy), berkeupayaan untuk berijtihad, bertindak mengikut rentak
kontemporari (mu'asir) dan memahami
kesan futuristik (istiqbaliy)’.
Pemimpin juga perlu
berkebolehan dalam komunikasi terutamanya penggunaan bahasa politik dalam
penyampaian pendapat. Pengunaan bahasa politik tidak boleh melangkaui kehendak
dan larangan al-Quran dan as Sunnah.
Pemimpin perlu turun padang
dalam mengauli rakyat dan cakna segala permasalahan rakyat. Pemimpin perlu
memahami hati nurani rakyat dengan memperbanyakkan dialog dan pertemuan dengan
rakyat bawahan.
Pemimpin yang baik, mereka
perlu banyak membaca dan berdialog dengan para ulama dan cerdik pandai dalam
mendepani permasalahan yang berlaku. Rangkuman idea atau gagasan hasil
perbincangan tadi dilontarkan dengan keberanian untuk hadir dalam debat, forum
atau seminar dengan tema-tema tertentu.
Pemimpin yang baik juga
memerlukan pengalaman dalam kesukarelawaan dan mempunyai jentera yang baik
dalam mempromosikan kebajikan, kegeniusan dan kebaktian seseorang pemimpin
sehingga menjadi pemimpin popular. Suka atau tidak, budaya popular atau
selebriti sangat berpengaruh pada hari ini, pemimpin dengan tawaduk perlu
menempatkan diri agar lebih dikenali demi Islam.
5. Laras bahasa politik.
Bahasa politik yang terbaik
ialah tindakan/bekerja tanpa banyak bercakap, turun ke lapangan bersama rakyat,
sentiasa dekat di hati nurani rakyat dan bijak meletakkan diri agar kehadiran diRASAI
oleh masyarakat (bukan hadir tetapi bagaikan tidak hadir) dengan promosi diri.
Dalam memperjuangkan Konsep
Negara Islam dan Perundangan Islam, kedua-dua konsep perlu dipertegaskan tanpa
kompromi. Penerangan terhadap inti kedua-dua konsep perlu diperbanyakkan tanpa
menyembunyi dan menolak kedua-dua konsep. Jangan mengunakan istilah dan slogan
yang mengelirukan dalam cubaan menangguh dan menidakkan kedua-dua konsep kerana
tindakan ini merugikan masa depan umat Islam.
6. Kemunculan Korupsi, Kronisme dan Nepotisme dalam kerajaan
dan gerakan Islam.
Politik untuk hari akhirat,
politik untuk kehidupan selepas mati, politik untuk syurga sudah jarang disebut
oleh pemimpin yang memegang kuasa dan generasi muda. Bagi pemimpin yang
berkuasa dan generasi muda, politik untuk kemenangan, politik kekuasaan,
politik untuk ke Putrajaya. Akibatnya, pahala dan dosa, syurga dan neraka bukan lagi menjadi prinsip penentuan dalam
amal sehingga mereka sudah berani melakukan perbuatan yang melanggari peraturan
dan perintah Allah SWT.
Segala amal itu bermula
dengan niat. Jarang sekali gerakan Islam yang lemah dianggotai oleh individu
yang bengkok niatnya. Niat yang bengkok apabila gerakan Islam semakin mewah dan
berkuasa. Apabila sudah berkuasa, pemimpin gerakan Islam mula takut mati dan
sayang dunia. Cabaran materialistik dan sayang jawatan-pangkat mula datang.
Cabaran ingin membolot kemewahan seorang diri dan anggota keluarga serta
sahabat sekepala mula timbul. Iman mula menipis, syaitan mula memanggil untuk
dihanyutkan ke lautan dosa.
Begitu juga usia yang semakin
lanjut sehingga melembutkan hati. Kasih sayang terhadap keluarga menjadi-jadi.
Jawatan dan projek diagih sesama anggota keluarga.
Pada saat ini, anggota
bawahan mesti berani memperingatkan para pimpinan agar kembali ke pangkal jalan
melalui saluran yang ditetapkan oleh gerakan Islam. Suruhanjaya Hisbah yang
dianggotai oleh mantan pimpinan parti yang berwibawa perlu diwujudkan untuk
mengawal dan mengaudit kerajaan yang diperintah oleh gerakan Islam. Suruhanjaya
Hisbah diletak dibawah Majlis Syura.
7. Penyalahgunaan etika dan nilai walaupun betul disisi
perundangan dan peraturan.
Ada perkara mengikut lunas
peraturan dan perundangan tetapi kurang bermoral dari segi etika dan
kemanusiaan. Ia bergantung kepada siapa yang menilai.
Kebijaksanaan Tuan Guru Nik
Abdul Aziz Nik Mat menyelesaikan kes menantu beliau, Ir. Arif Fahmi dalam
Perbadanan Menteri Besar Kelantan boleh dicontohi dimana beliau menasihati
menantu beliau supaya meletak jawatan dalam usaha mematikan fitnah dan kekeliruan
sedangkan dari segi kelulusan, menantu beliau layak menduduki jawatan tersebut.
Bacaan politik yang betul,
keberanian mengambil risiko, kepantasan membuat keputusan yang cepat dan tepat
adalah seni politik yang jarang dimiliki oleh ramai politikus. Ia memerlukan
seseorang politikus yang berpengalaman luas dan pembacaan yang banyak serta
dinasihati oleh penasihat yang betul.
8. Orientasi undi yakni kemenangan dalam pilihanraya yang
dipengaruhi oleh sentimen agama, kaum dan parti.
Dato' Onn Jaafar,
Pengasas-Yang Dipertuan Pertama UMNO pernah menyatakan, "Ada dua tempat orang Melayu hendak
bertenggek; pertama, kepada jiran-jiran mereka; Kedua, kepada musuh orang
Melayu...kita tidak seharusnya memikirkan usaha untuk mendapatkan kedudukan
sahaja dimasa yang sama kita menolak bangsa kita".[Syed Ali Tawfiq
al-Attas] Tertenggek bukan sekadar duduk biasa tetapi duduk menyombong dengan
kelebihan dan kekuatan jiran-jiran atau musuh orang Melayu sendiri.
Kerisauan yang berlaku
akhir-akhir ini ialah [1] perpecahan undi orang Melayu kepada beberapa kumpulan
[UMNO, PAS, PKR, AMANAH, BERSATU] yang mengancam kesinambungan kuasa orang
Melayu dalam politik Malaysia dan [2] keterujaan sebahagian pemimpin Melayu
yang ghairah untuk mendapat undi masyarakat bukan Melayu dengan melakukan
perbuatan dan mengeluarkan pandangan merugikan orang Melayu dan Islam.
Kerisauan timbul disebabkan oleh orang Melayu sendiri. Ia membenarkan kata Dato
Onn Jaafar, "Sebelum ini saya
merujuk kepada bahaya yang melingkungi orang-orang Melayu di Semenanjung ini
tanpa perlu menyebut dari pihak mana [bahaya ini timbul. Sekarang saya katakan
bahawa bahaya ini] timbul dari orang
Melayu sendiri" [Syed Ali Tawfiq al-Attas].
Sememangnya DAP melaungkan
mereka tidak mampu membentuk kerajaan tanpa sekutu-sekutu mereka jika dilihat
jumlah kerusi DAP tandingi. Sebenarnya, DAP mampu menguasai kerajaan-kerajaan
Melayu melalui proksi-proksi mereka. Krisis Menteri Besar Perak pasca Pilihan
Raya ke 13 dan Krisis Menteri Besar Selangor-Kajang Move membuktikan percubaan
DAP mendesak Raja-raja Melayu mengakuri keputusan mereka mengikut lunas-lunas
perlembagaan dan secara perundangan. Kita juga boleh melihat penguasaan DAP
dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Perak ketika di bawah Kerajaan Pakatan Rakyat
pimpinan Dato Seri Mohamad Nizar. Kini, Parti Amanah dilihat sebagai proksi DAP
dalam merebut kerusi-kerusi Orang Melayu yang ditandingi oleh PAS dan UMNO
dalam Pilihan Raya Umum ke 14 nanti.
Kepentingan Melayu sebagai
majoriti, Umat Islam dan majoriti rakyat perlu menjadi keutamaan kepada
parti-parti yang didominasi oleh orang Melayu kerana kemakmuran dan
kesejahteraan Negara Malaysia bergantung kepada kestabilan politik Melayu itu
sendiri.
9. Gagalnya pendekatan dalam menangani fitnah dan mengurus
persepsi.
Sabda Rasulullah
sallallahua’laihi wasallam daripada Abu Hurairah Radhiallahu anhu;
“Bersegeralah
dengan melakukan amalan-amalan soleh sebelum berlakunya fitnah seperti
kepingan-kepingan malam yang gelap, (ketika itu) seorang lelaki beriman pada
pagi harinya dan menjadi kufur pada petang harinya, dia beriman pada petang
harinya dan menjadi kufur pada keesokan paginya, dia menjual agamanya dengan
habuan dunia.” (Riwayat Muslim dan al-Tirmizi)
Hadith yang diriwayatkan oleh
Abu Huzaifah al-Yamani;
“Aku (Abu
Huzaifah) bertanya: Adakah selepas kebaikan itu akan datang pula keburukan:
Sabda Rasulullah sallallahua’laihi wasallam: Ya, fitnah buta, penyeru kepada
pintu-pintu api neraka. Sesiapa yang menyahut seruan mereka akan dicampakkan
dalamnya. Kata Abu Huzaifah: Wahai Rasulullah, nyatakan sifat mereka kepada
kami. Sabda Rasulullah sallallahua’laihi wasallam: Mereka dari kalangan bangsa
kita dan bercakap menggunakan bahasa kita.” (Riwayat
Abi Daud)
Kejahilan bermaharajalela ditengah-tengah maklumat berlimpah
ruah dan ilmu dihujung jari,
Kekeliruan mengoncang iman dan membuka pintu fitnah,
Persepsi menjadi barang yang dipercayai,
Dosa dan pahala bercampur,
Akhirat bukan lagi tujuan
Mati itu dilupai
Ketakutan kepada Tuhan sudah tidak berkesan,
Manusia hilang malu dan takut
diulangi dosa dengan menzalimi diri sendiri
Mencari Tuhan di pelusuk dunia
Padahal Tuhan berada dalam rumah sendiri.
Kekeliruan dan fitnah membiak
apabila kita gagal mengambil ketetapan dan neraca Allah SWT sebagai
pertimbangan dalam membuat keputusan. Kita membuat keputusan berdasarkan
pertimbangan aqal dan nafsu kita sehingga kepentingan diri mengatasi
kepentingan Islam dan umat Islam.
Kekeliruan dan fitnah dapat
dielak jika individu muslim berpegang kepada ajaran Al-Quran dan As-Sunnah.
Surah al-Hujurat perlu menjadi kerangka pemikiran dalam bertindak menghadapi
kekeliruan dan fitnah. Pertama, Jangan mendahului Allah dan Rasulullah SAW
dalam sesuatu perkara [Surah al-Hujurat:1]. Kedua, berhati-hati dalam menerima
berita. Siasat siapa yang yang menyebar berita atau maklumat. Orang Fasik
seringkali menyampai berita bohong. Ketahuilah ciri-ciri seorang yang fasik
[Surah al-Hujurat: 6]. Ketiga, jangan label-melabel atau kata-mengata sesama
umat Islam[Surah al Hujurat: 11]. Keempat, jauhi buruk sangka sesama umat Islam
[Surah al Hujurat: 12].
10. Kemahiran Mengalih ( divert ) Persoalan/Isu
Salah satu kemahiran
seseorang pemimpin yang sangat berharga ialah kemahiran mengalih persoalan/isu.
Dalam dunia komunikasi yang pantas bergerak ini, seseorang pemimpin akan
dihujani dengan pelbagai soalan yang sukar dan perangkap.
Kesimpulan
Menerima istilah-konsep dan
pandangan alam Barat menunjukkan diri seseorang individu teraspirasi dengan
perangkap agenda Kebudayaan Barat yang jelas mahu menjatuhkan martabat Islam.
Kita tidak menafikan niat
baik mereka yang mahu mendekatkan Islam dengan Barat tetapi tunduk kepada
Kebudayaan Barat menunjukkan semangat jihad umat Islam semakin merosot dan
aqidah semakin luntur. Tindakan mereka akhirnya akan merugikan Islam. Lihat
sahaja Arab Springs yang telah gagal di Mesir, Syria, Yaman, Tunisia (kembali
kelompok sekular memerintah Tunisia) dan Libya. Paling mampu bertahan hanyalah
di Turki. Di Indonesia, PKS disaluti dengan pelbagai skandal. Disinilah
adipentingnya kejelasan fikrah.
No comments:
Post a Comment