Pemikiran dan pendekatan Barat datang
daripada Kebudayaan Barat. Apa jua pemikiran yang pelbagai nama mempunyai sifat
asasi yang sama dengan pemikiran-pemikiran Barat yang lain walaupun kelihatan
berlawanan antara satu lain.
Muslim Demokrat sebagaimana
Masyarakat Madani(Sivil) atau Pasca Islamisme suatu ketika dahulu hanya sebuah
faham yang dijana sesuai dengan semangat zaman ini. Pemikiran Muslim Demokrat
bertunjang akar Kebudayaan Barat yang disaluti dengan unsur-unsur yang kelihatan
Islamik. Ia satu percubaan mengelabui penglihatan ‘tauhidik’ umat Islam agar
terpengaruh dengan kefahaman ini.
Menurut Tan Sri Prof. Dr. Syed
Muhammad Naquib al-Attas, istilah ‘Barat’ bukan hanya merujuk kepada tempat
atau bangsa tetapi merujuk kepada suatu pandangan alam. Pandangan alam ialah
apa yang ditanggap dalam renungan akal fikri mengenai alam semesta. Kebudayaan
Barat diadun daripada tradisi Kebudayaan Kristian-Yahudi, tradisi Kebudayaan
Yunani Kuno-Romawi Purba dan diserapi oleh kebudayaan Kaum Biadap Eropah
seperti Gaul, Teuton dan lain-lain.
Asasl Usul Kebudayaan Barat
Asas Kebudayaan Barat: Yunani Kuno-Romawi Purba dan Yahudi-Kristian
Pelbagai pandangan para sarjana
tentang asal-usul Kebudayaan Barat. Sesetengah sarjana menyatakan asal-usul kebudayaan
Barat terletak kepada tahap ilmu. Tahap keilmuan inilah yang menerbitkan
pelbagai aktiviti sosial, perekonomian, budaya dan politik.
Pada asalnya, Kebudayaan
Barat berteraskan Agama Kristian dan Yahudi tetapi penyelewengan pihak gereja
menyebabkan masyarakat Eropah memungkiri agama Kristian dan Yahudi. Raja-raja
dan intelektual mereka mula menentang penguasaan pihak gereja sehingga agama
Kristian dipenjara di dalam gereja sebagai urusan keagamaan sahaja.
Penggerak Kebudayaan Barat
terbahagi kepada kumpulan iaitu pemerintah-raja, kelompok intelektual-sarjana,
ahli falsafah dan saintis, kumpulan pedagang–kapitalis, perkembangan teknologi
dan tentera mereka. Masyarakat Eropah memungkiri agama Kristian dan memilih
Kebudayaan Yunani Kuno dan Kebudayaan Romawi sebagai teras Kebudayaan Barat.
Perkembangan paling penting
dalam Kebudayaan Yunani Kuno adalah keintelektualan- falsafah, kesenian dan
kesusasteraan. Tiga elemen ini menjadi asas Kebudayaan Barat. Pelbagai falsafah
digagaskan pada zaman Yunani kuno seperti aliran Ionia, Platonisme, Stoikisme
dan Aristotlelianisme. Dunia diterangkan berdasarkan material-kebendaan, sebab
musabab dan hukum hakam.
Contohnya, aliran pemikiran
Platonisme bersumberkan kepada tiga teras iaitu (1) sebab utama, (2) akal dan
(3) Ruhul Kudus [Roh Umum atau Roh Dunia).
Platonisme dianggap sebagai cara hidup ketika itu dengan nada keagamaan
dan tafakur.
Faham humanisme menjalar
dalam pemikiran dan kehidupan Bangsa Yunani. Mereka melakukan pemujaan terhadap
akal, kehebatan-kejayaan dan bentuk badan manusia. Upacara ‘agama’ mereka
melalui pertandingan, perlawanan dan tari menari yang berasaskan mistik.
Contoh, ‘Sukan Olimpik’, pertandingan sukan tanpa baju.
Sumbangan Kebudayaan Romawi
lebih kepada disiplin, organisasi dan kepahlawanan. Mereka sangat memuja
kepahlawanan. Terdapat Sukan Romawi yang melambangkan ciri-ciri iaitu (1) memuaskan
hawa nafsu indera, (2) merendah martabat keperibadian individu, (3) mengalak
rakyat menyukai keganasan. Di Rom, terdapat juga penyair terkenal umpamanya
Virgil dan Horace.
Pada akhir Abad Pertengahan,
pengaruh agama Kristian mulai merosot dalam Kebudayaan Barat. Kemunculan Zaman
Renaisans menjadi permulaan bahawa Kebudayaan Yunani Kuno dan Kebudayaan Romawi
mula mendapat tempat dalam Kebudayaan Barat. Sejak tahun 1397, Manuel
Chysoloras, John Bessarion dan Jonus Lascaris dari Constantinople (Rom Timur),
pakar dalam Kebudayaan Yunani datang ke Florence untuk mengajar. Sekitar tahun 1438 hingga 1439, Council of Florence telah membawa ramai
ilmuwan Yunani untuk mengkaji kajian klasik Kebudayaan Yunani Kuno dan
Kebudayaan Romawi. Mereka yang mengkaji Kebudayaan Yunani Kuno dan Romawi
dikenali sebagai humanis.
Kejatuhan Constantinople pada
tahun 1453 di tangan Daulah Uthamaniyyah telah membawa masuk lebih ramai
pelarian daripada Rom Timur (Byzantium)
ke Itali. Mereka mengajar, meniru dan menyalin serta menerjemahkan
buku-buku hasil daripada Kebudayaan Yunani Kuno. Kelompok humanis inilah banyak berjasa
membentuk semula Kebudayaan Barat berdasarkan Kebudayaan Yunani Kuno dan
Kebudayaan Romawi.
Asas Kebudayaan Barat: Zaman Renains
Renaisans adalah gerakan intelektual
yang berkembang di Selatan Eropah pada abad ke 14 hingga Abad ke 16. Secara
mudahnya, renaisans bermaksud kelahiran semula. Kelahiran semula Kebudayaan
Yunani Kuno dan Kebudayaan Romawi yang menjadi teras kepada Kebudayaan Barat.
Ciri-ciri Renaisans ialah
pengkajian semula Kebudayaan Yunani Kuno dan Kebudayaan Romawi, humanisme,
individualisme, sekularisme dan sifat kritikal.
Pengkajian semula Kebudayaan
Yunani Kuno dan Kebudayaan Romawi Purba menunjukkan mereka kembali kepada
tradisi. Mereka yang membuat kajian ini dinamakan golongan humanis.
Golongan humanis adalah ahli
akademik yang mengkaji manusia, idea-idea agung dan kesenian klasik/kuno.
Mereka mementingkan hal ehwal orang ramai dan kebahagiaan di dunia. Humanisme
menekankan peranan akal, budi pekerti, keintelektualan dan kehendak manusia
dalam menyelesaikan segala masalah di dunia ini.
Individualisme iaitu
usaha-usaha individu dalam melakukan sesuatu untuk membaiki taraf hidup diri
serta masyarakatnya tanpa disekat atau diikat oleh sesiapa.
Sekularisme mengasingkan atau
memisahkan usaha dan urusan duniawi dengan ajaran agama dan kawalan gereja. Masyarakat
tidak lagi mementingkan keagamaan dalam bidang duniawi tetapi mereka menggunakan
pendekatan sainstifik, logik dan akal-budi mereka dalam menentukan sesuatu.
Sifat kritikal ialah
membandingkan satu sumber dengan sumber yang lain dengan mengkritik
sumber-sumber tersebut termasuk sumber-sumber ilmu agama Kristian.
Asas Kebudayaan Barat: Zaman Reformasi
Gerakan Reformasi dipimpin oleh
Martin Luther bertujuan untuk membersihkan gereja Katolik daripada kepincangan
dan membebaskan diri daripada kongkongan Pope dan gereja katolik di Rom.
Martin Luther mempersoalkan
doktrin agama yang tidak ada dalam Bible seperti penyembahan patung Mary dan
Saint yang dianggap menyeleweng daripada agama. Beliau juga mempersoalkan
konsep paderi sebagai orang perantaraan Tuhan dengan manusia. Beliau juga
berjuang agar Bible diterjemahkan kepada bahasa tempatan.
Penjualan surat pengampunan
dianggap perbuatan menjual agama dan paderi dilihat seumpama Tuhan kerana boleh
mengampuni kesalahan pesalah.
Menjelang tahun 1600, agama
Kristian terbahagi kepada tiga iaitu Katolik, Protestan (termasuk Anglican, Lutheran
dan sebagainya) dan Ortodoks.
Peperangan antara penganut
agama Kristian hampir 1 Abad lamanya sekitar abad ke 16 dan ke 17 Masihi.
Antara nama peperangan itu ialah The Wars of Religion (1546-1648), The Thirty Year’s War (1618-1648) dan Sectarian Wars. Dalam kes The Thirty Year’s War, Maharaja
Ferdinand II memburu pengikut Calvinisme dan Lutheranisme.
Di Sepanyol, Mahkamah
Penyiasatan wujud selama 375 tahun (1478-1834) ini bertujuan membanteras orang
Islam dan Yahudi digunakan untuk membanteras orang Protestan. Penyiasat
Sepanyol, Torquemada telah membakar 2000 orang hidup-hidup.
Zaman Reformasi kepada
kekejaman gereja dan gerakan penentangan terhadap teokrasi. Malangnya yang
berlaku apabila sesetengah orang Islam menyandarkan kekecohan zaman Reformasi
dengan perubahan ajaran Islam, institusi dan gerakan Islam.
Walaupun politik terkandung
dalam Islam, Islam bukanlah teokrasi atau pemerintahan agama. Islam bergerak
sebagai penasihat kepada diri; ahli keluarga; sahabat; kejiranan; masyarakat;
negara dan empayar. Nasihat atas agama Islam bukannya mengikuti ideologi
ciptaan manusia atau akal fikiran sendiri kerana ia bersumber dari al-Quran dan
as-Sunnah.
Asas Kebudayaan Barat: Zaman Pencerahan
Pencerahan (enlightenment) adalah satu gerakan intelektual yang berlaku sekitar
tahun 1650 hingga 1800. Zaman ini melahirkan pemikiran liberal dan moden.
Perintis gerakan intelektual ialah kalangan ahli falsafah. Lebih tepat lagi
mereka adalah rasionalis atau kelompok rasional. Mereka mempunyai jiwa
renaisans iaitu sifat kritikal terhadap sumber. Walaupun pendapat mereka
bercanggah tetapi mereka mempunyai asas pemikiran yang sama
Asas pemikiran mereka ialah
membebaskan pemikiran manusia daripada mitos, fantasi dan kepercayaan bahawa
kebenaran boleh didapati secara mistisisme. Mereka menolak penerangan teologi
dan cuba menghapuskan pemikiran kolot dan lama. Mereka cenderung mengasingkan
agama daripada ilmu pengetahuan dan menekankan pencapaian dunia melalui ilmu
pengetahuan bukannya agama. Mereka menolak pentafsiran alam semesta berdasarkan
kitab suci.
Walaupun kelompok rasional
ini tidak menolak semua tentang agama tetapi mereka cenderung menolak
kemutlakan agama dan supernaturalisme yang terkandung dalam agama kerana ia
merupakan penghalang kepada toleransi, kebebasan dan penemuan ilmiah.
Kelompok rasionalis berpegang
kepada keyakinan kepada tingkat rasional daripada alam dan pada hukum-hukum
ilmiah. Mereka merasakan diri mereka berkuasa penuh dalam memilih dan
menentukan sesuatu perkara. Mereka mengupas persoalan ghaib atau ketuhanan
berdasarkan akal mereka bukannya merujuk kepada kitab suci.
Kelompok rasionalis juga
sangat yakin dengan diri mereka sendiri dan optimistik. Mereka merasakan
kemampuan akal mereka dapat mengatasi semua permasalahan termasuk perkara ghaib.
Kebenaran Islam Adalah Mutlak
Nabi Muhammad SAW adalah nabi dan
rasul terakhir yang menjadi penutup sekalian nabi telah diberi WAHYU oleh Allah sebagaimana para nabi
yang lain (Surah an-Nisa’: 163). Tugas utama seorang rasul ialah pembawa berita
gembira dan pemberi ingatan agar tiada alasan untuk manusia membantah kepada
Allah (Surah an-Nisa’: 165) dengan mengatakan risalah Islam belum sampai kepada
mereka. Nabi Muhammad membawa kebenaran dari Allah (al-Quran), dan Allah
menyuruh kita semua beriman kepadanya (Surah an-Nisa’: 170). Allah menjadi
saksi atas al-Quran yang diturunkan-Nya kepada Nabi Muhammad (surah an-Nisa’:
166). Kesaksian ini jelas membuktikan keabsahan Nabi Muhammad sebagai Rasul dan
al-Quran sebagai sumber kebenaran mutlak umat Islam dan manusia.
Kebenaran mutlak Islam
terletak kepada al-Quran. Al-Quran ditanzilkan oleh Allah SWT kepada Nabi
Muhammad SAW melalui Malaikat Jibril. Tanzil bukan ilham, ‘ru’yat’ atau kasyaf. Tanzil adalah Kata Tuhan yang Maha Esa
mengenai hakikat Diri-Nya; mengenai makhluk-Nya; mengenai penisbahan makhlukNya
dengan DiriNya; mengenai Jalan Benar bagi insan menyelamat diri mereka; memberi
khabar gembira dan peringatan; syurga atau neraka; membawa titah dan larangan
yang diberitahu kepada Nabi atau Rasul-Nya. Kata Tuhan yang Maha Esa bukanlah
berjenis suara atau huruf.[al-Attas]
Al-Quran menjadi sumber rujukan utama
seorang muslim dalam semua aspek kehidupan. Al-Quran menerangkan setiap suatu
perkara (Surah al-Nahl: 89), petunjuk jalan yang benar (Surah al-Isra’: 9) dan
bertindak sebagai hakim dalam menyelesaikan permasalahan manusia (Surah
an-Nisa’:59 dan Surah al An’naam: 114). Al-Quran bertindak membebaskan dan
membersihkan aqidah daripada dinodai oleh noda-noda syirik dan memberi didikan
kepada manusia agar menjadikan keEsaan Allah sebagai pusat dan tujuan hidup
manusia.
Agama tanzil yang benar-benar asli
ialah ISLAM dan umat yang
menganutinya dipuji-puji oleh Allah(Surah Ali ‘Imran: 110 dan 104). Islam
adalah agama yang diredhai oleh Allah SWT (Surah al-Maidah: 3). Islam maksudnya
penyerahan diri kepada Allah SWT (Surah Luqman: 22). Satu ketundukan DIRI (zahir-batin dan aqal-nafsu)
dengan penuh kesedaran kepada Allah SWT.
Islam adalah sistem hidup yang syumul
mencakupi seluruh fenomena kehidupan. Menyerah
diri bermakna kita menyerahkan kehidupan kita kepada Allah SWT melalui taat akan
perintahNya dan larangan-Nya (Surah Ali Imran: 83 dan 85). IDEOLOGI cuba mengantikan Islam dalam kehidupan seseorang muslim
boleh membawa kepada perkara SYIRIK. Ideologi bukan sekadar pemikiran, ia
adalah satu GAYA HIDUP manusia.
Jauhi IDEOLOGI, kembali kepada ISLAM sebagai satu pandangan alam
seorang mukmin.
Kebanjiran ilmu dan maklumat serta
pandangan sarjana Islam atau Barat mesti ditapis dengan al-Quran dan as-Sunnah.
Pandangan yang berlawanan dengan al-Quran dan as-Sunnah WAJIB ditolak. Perkara yang membawa FITNAH dan kerugian kepada umat Islam MESTI ditolak. Pencampuran antara pemikiran Quranik (pandangan
al-Quran dan as-Sunnah) dengan pemikiran Barat dalam kalangan sarjana dan
pemimpin Islam WAJIB ditolak. Jangan
sampai pemikiran manusia diagung dan dimartabat sehingga melangkaui pandangan
al-Quran dan As-Sunnah.
Pertembungan Hakiki Antara Islam dengan Kebudayaan Barat.
Islam mengiktiraf kewujudan dan
perbezaan antara kaum dan agama (pluraliti) terakam dalam surah surah al-Hajj:
40, Surah al Kafirun: 1-6, Surah al Baqarah: 62 dan Surah al-Hujurat 13 tetapi
Islam tidak mengiktiraf kebenaran agama-agama lain.
Kita boleh menjalinkan
hubungan dengan orang Barat secara hubungan sosial dan diplomatik serta
individu. Dari segi kebersamaan dalam pandangan alam, pemikiran dan kebudayaan
adalah agak mustahil kerana pertembungan ini adalah pertembungan hakiki sejak
azali.
Kita juga sudah tahu bahawa
Kebudayaan Barat berdasarkan gabung-jalin Kebudayaan Yunani Kuno, Romawi Purba,
Yahudi, Kristian dan Kaum Biadap-Gasar di Eropah. Gabung-jalin ini menghasilkan
sifat-sifat asasi Kebudayaan Barat yang dilihat amat sukar mendekatkan Islam
dengan Barat.
Kebudayaan Barat menganggap
Islam sebagai Islam sebagai seterunya yang mutlak dan kesejahteraannya hanya
akan terjamin dengan kemenangannya ke atas Islam dalam perjuangan yang berterusan
dan bermati-matian. Mereka bersetuju dengan umat Islam jika umat Islam mengikut
kehendak mereka [Surah al-Baqarah: 120]. Jangan kita diperbodohkan dengan
mengikuti pandangan alam Barat melalui pelbagai usaha mereka termasuk ideologi,
sains, sukan, hiburan dan lain-lain.
Agama Kristian merupakan
unsur penting dalam Kebudayaan Barat. Agama Kristian hasil evolusi daripada
ajaran Nabi Isa AS. Setiap agama samawi sebelum Islam sama ada Yahudi dan
Nasrani bertujuan mengislah masyarakat sendiri bukannya untuk disebarkan kepada
umat manusia [Surah Ali Imran: 49]. Nabi Isa AS bukan ditugaskan untuk
menjelmakan sebuah ‘agama baru’ tetapi ditugaskan membaiki penyelewengan dalam
masyarakat bani Israel dengan mengesah semula kitab Taurat dan memberi khabar
gembira kedatangan Nabi akhir zaman bernama Ahmad [Surah al-Saff: 6].
Sesetengah murid dan pengikut murid Nabi Isa mendirikan asas-asas utama ‘agama
baru’ bertanya kenyataan yang disampaikan oleh Nabi Isa AS tentang Islam dan
Nabi Muhammad. Akhirnya, lahirkan agama Kristian yang bertujuan menyangkal
kedatangan Islam yang mengandungi sifat persamaan dengan agama Islam. Mereka
cuba menggagalkan Islam yang akan terbit kelak dengan cara mendahului
kezahirannya agar supaya meniru sifatnya. [Sila Rujuk Syed Muhammad Naquib al
Attas, Risalah Untuk Kaum Muslimin]
Menurut al-Attas, agama
Kristian yang berasal dari Asia Barat ini adalah satu-satunya agama yang telah berpindah
dari pusat aslinya, iaitu dari Darussalam Palestin ke Rom, Itali atau lebih
tepat Bandar Vatican. Perpindahan ini pada hakikatnya adalah suatu bentuk
pembaratan (westernization) dan
penyerapan unsur-unsur Barat secara berangsur-angsur dan berturut-turut ke
dalam Kristian.
Tauhid adalah dasar kebenaran
agama Islam. Tauhid bukan sahaja menekan kepada sifat keEsaan Allah dan terhad
dalam ibadah sahaja tetapi mempengaruhi segala aspek kehidupan seorang muslim
termasuk pandangan alam, pemikiran, lisan, ucapan dan tindakan. Ayat-ayat
mengenai tauhid dalam al-Quran seperti Surah Muhammad: 17, Surah al-Ikhlas:
1-4, Surah al-Isra: 23.
Allah SWT sendiri menegaskan
dalam Surah al-Maidah: 3,
‘Pada hari ini telah Aku sempurnakan agamamu untukmu dan
telah Aku cukupkan nikmat-nikmatKu bagimu dan telah Aku redhai ISLAM sebagai
agamamu’.
Penegasan Allah SWT ini luar
biasa dan paling unggul kerana Allah SWT sendiri mengabsahkan dan mengakui
kesempurnaan Islam dan seterusnya Allah sendiri meredhai Islam sebagai agama
manusia. Perkara ini menjelaskan jika kita memilih selain daripada Islam, kita
memilih sesuatu yang tidak sempurna dan tidak diredhai oleh Allah SWT. Tiada
alasan untuk menolak Islam. Ayat ini telah membuktikan Islam menolak segala
anjuran Kebudayaan Barat yang bertentangan dengan al-Quran dan as-Sunnah.
Islam menolak orang Islam
mencampur-aduk iman mereka dengan
kezaliman (syirik). [Surah al-An’am:82]. Sesetengah pemimpin umat Islam dan
sarjana Islam mudah terpesona dengan hujah-hujah pemikir daripada Barat. Mereka
mencampur-adukkan pandangan alam Islam dengan pandangan alam Barat. Akhirnya,
pandangan alam mereka keliru. Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat antara tokoh
yang giat mengeratkan hubungan antara Orang Islam dengan Orang Bukan Islam
mengunakan hujah al-Quran, hadith, sirah dan perumpamaan untuk menjentik hati
Orang Bukan Islam bukannya bertolak ansur sehingga mengabaikan nas syarak demi
perpaduan kaum.
Dalam menjalinkan hubungan
Islam dengan Barat, banyak keadaan sarjana dan pemimpin umat Islam terpaksa
mengalah dengan pandangan Barat. Sarjana Islam lebih mengikut kehendak
pandangan Barat. Gagasan Muslim Demokrat sebagai contoh, kelihatan jelas
dipengaruhi oleh pandangan alam Barat. Jangan kita merasakan orang kafir itu
lebih benar jalannya daripada orang beriman [Surah al-Nisa’: 51-52]. Pemimpin
Islam dan sarjana Islam mesti tegas menolak pandangan alam Barat [Surah
al-Nisa’: 60].
Islam tidak memusuhi orang
bukan Islam. Musuh Islam ialah penentang agama Islam secara terbuka, mengancam
dan menyerang (menceroboh) wilayah umat Islam (al Baqarah: 216). Tiada masalah menolak Islam dengan cara
tertutup atau tersembunyi, dalam hati dan dengan hujah melalui forum, buku dan
seminar dengan syarat tanpa emosi dan tidak mengancam serta tidak menfitnah
Islam. Tiada paksaan kepada orang Bukan Islam menganuti Islam (al Baqarah: 256),
Islam menghormati dan mengiktiraf Orang Bukan Islam mengamalkan agama mereka
(al-Kafirun: 6).
Islam telah mengariskan
beberapa perkara yang perlu waspada dalam menjalin hubungan dengan Kebudayaan
Barat. Ia bukan bersifat memusuhi tetapi berwaspada. Dalil-dalil al Quran yang
menerangkan tentang jalinan hubungan antara Umat Islam dengan Orang Kafir.
Jangan taat kepada orang
kafir kerana itu akan membawa kita ke arah kekufuran (Ali Imran: 149:150).
Pengaulan yang membawa ketaatan kepada individu atau organisasi yang jelas
kekufuran mesti dijauhi agar tidak menjerumus kita ke lembah kekafiran dan
fitnah.
Kebencian terhadap Islam
dapat dilihat pada pertuturan dan tindakan musuh Islam. Berhati-hati memilih
teman seperjuangan termasuk bukan Islam dan proksi mereka sebagai orang yang
dipercayai (Ali Imran: 118). Kita terlalu mudah percaya kepada kelompok bukan
Islam yang membantu dan mendanai perjuangan kita sehingga termakan budi mereka.
Islam melarang kita melakukan
perkara yang salah (Ali Imran: 110) termasuk menerima ideologi ciptaan manusia.
Kelompok Yahudi dan Nasrani
tidak sesekali akan bersetuju atau suka kepada Umat Islam selagi Umat Islam
tidak menurut agama mereka (al Baqarah:
120).
Jangan menjadikan kelompok
Yahudi dan Nasrani sebagai teman rapat umat Islam. (al Maidah: 51-52, an Nisa:
144). Bersahabat dengan sifat waspada dan berhati-hati.
Kemenangan hak mutlak Allah
(Ali Imran:160). Jangan sangka kemenangan berpunca daripada Umat Islam
bersekutu dengan Bukan Islam. Kemenangan dengan izin Allah.
Orang kafir saling bantu
membantu sesama orang kafir (Al Anfal: 73). Walaupun musuh kelihatan berbeza
dan saling benci membenci antara satu sama lain. Pemusuhan dengan Islam dapat
menyatukan mereka. Lihat Perang Salib
dan peperangan di Syria (2015) dimana Rusia dan Amerika menyerang musuh yang
sama (ISIS) walaupun mereka pihak yang bertentangan.
Jangan sampai menjadi fasik
apabila menjadikan orang kafir dan musyrik sebagai teman rapat umat Islam (al
Maidah: 80-81). Ekoran terlebih bertoleransi yang melampaui batas iman dan
kufur dengan Bukan Islam, akhirnya menjerumus Umat Islam ke lembah kefasikkan.
Sesetengah umat Islam muda tergoda dengan pemikiran dan watak orang kafir. Baik
itu tidak semestinya benar. Liberalisme dan Pluralisme semakin mendominasi pemikiran
kelompok terpelajar umat Islam terutamanya pemimpin negara dan sarjana. Antara
punca utamanya ialah pengaulan yang tidak dibatasi oleh kesalehan dan iman.
Jangan mengambil orang yang
menjadikan agama Islam sebagai ejekan dan permainan mereka sebagai teman rapat
dan penolong umat Islam (al Maidah: 57). Orang Bukan Islam dan sesetengah orang
Islam suka menjadikan Islam sebagai
bahan ejekan dan permainan mereka, jangan jadikan mereka sebagai sahabat,
sekutu dan pembantu. Para orientalis dan anak didik mereka sering
memperolok-olokkan sumber ilmu Islam, kerangka pemikiran dan pandangan ulama
Islam.
Kedengkian ahli Kitab (Yahudi
dan Nasrani) terhadap umat Islam menyebabkan mereka suka Umat Islam
meninggalkan agama Islam (al Baqarah: 109). Kedengkian mereka terhadap
Rasulullah SAW dan bangsa Arab kerana Nabi Akhir Zaman dipilih dalam kalangan
bangsa Arab.
Kesukaran akan berlaku
apabila Umat Islam membuat perjanjian dengan orang kafir dan musyrik kerana
mereka tak menghormati hubungan kerabat dan perjanjian setianya. Mereka hanya
menyukakan umat Islam dengan kata-kata yang manis sedangkan hati mereka menolak
Islam (at Taubah: 8).
Orang kafir sanggup
membelanjakan harta mereka untuk menghalang manusia dari jalan Allah (al Anfal:
36).
Jangan jadikan ahli keluarga
sebagai pendamping jika mereka memilih kufur (at Taubah: 23). Persoalan
pengaulan kita seharian sangat penting kerana sahabat dan alam sekeliling kita
banyak mempengaruhi pemikiran kita. Kebanyakan tokoh-tokoh besar Islam yang
celaru pemikiran apabila mereka tidak menjagas batasan pengaulan dengan orang
kafir dan mencampur-adukkan pemikiran Islam dan Barat. Tidak segan bergaul
dengan ulama dan orang saleh tetapi bergelak-ketawa dengan sarjana dan pemimpin
Barat.
Jangan sesekali Umat Islam
mengambil musuh Allah dan musuh Umat Islam sebagai teman rapat dengan cara
menyampaikan maklumat-makulmat rahsia kepada mereka. (al Mumtahinah: 1).
Sifat Asasi Kebudayaan Barat
1. Falsafah bukannya agama:
Kebudayaan Barat dipengaruhi oleh falsafah bukannya agama. Dalam pengalaman
beragama, mereka tidak ada keyakinan yang tetap. Pendirian mereka berdasarkan
kemungkinan.
2. Humanisme: Pemujaan terlampau
tinggi terhadap diri manusia: Akal, badan, kebolehan dan psikologi.
3. Pragmatisme. Satu pemikiran dan
tindakan yang melangkaui nas-nas syarak dengan prinsip matlamat menghalalkan
cara.
4. Dualisme dan Dikotomi dalam
pemikiran: Faham penduaan (dualisme) yang mutlak dan bukan kesatuan sebagai
nilai serta kebenaran hakikat semesta [surah al-An’am: 82]. Contoh, sekularisme
dimana berlakunya penolakkan kehadiran Tuhan dan campurtangan agama dalam
urusan kehidupan manusia seharian [Ekonomi, Politik dan Sosial].
5. Materialistik atau kebendaan.
6. Individualistik
8. Kesatuan, Persamaan dan Samarata
9. Sainstifik: Tiada kemutlakkan dengan ragu-meragu,
duga-menduga, berubah-ubah, sentiasa berhipotesis, sentiasa berwacana tanpa
jawapan dan hilang ketetapan. [Surah Taubah: 45]
10. Tragedi dalam mencari kebahagiaan. Manusia
Barat menyakini bahawa kehidupan manusia adalah sebuah episod-episod tragedi
yang harus dilalui. Bahkan mereka berkeyakinan bahawa nasib terburuk bagi
manusia adalah dilahirkan. Manusia membawa dosa warisan. Kehampaan hati dari
nilai-nilai spiritual yang kemudian diisi oleh perasaan tragis ini menganjurkan
manusia Barat mencari jawaban dari persoalan-persoalan hidup, untuk giat
berusaha menyelidiki, mengkaji dan mereka-reka teori baru, dan mengemukakan
masalah asal-usul alam semesta dan manusia.
11. Kesejagatan atau Universalisme.
Nilai-nilai seperti keadilan, amanah dan lain-lain sememangnya bersifat sejagat
dan diimani oleh kebanyakan manusia. Persoalan sekarang ialah nilai itu menurut
kacamata Islam atau kacamata Barat/Bukan Islam. Para pendokong kesejagatan atau
globalis biasanya menganuti pluralisme yang mencampur-aduk pemikiran Barat dan
Timur sehingga nilai Islam yang diambil itu tenggelam dengan pandangan manusia.
[Surah al-An’am: 82]
Sifat Asasi Kebudayaan Barat (baca:
Pemikiran) mempunyai unsur kesejagatan. Malangnya yang berlaku ialah konsep-nilai kesejagatan yang diusung berasal
dari Barat dan pro-Barat. Konsep kesejagatan Kebudayaan Barat terdapat dalam
pemikiran atau ideologi yang dicanang oleh para orientalis mereka. Konsep ini
dibawa bersama melalui globalisasi.
Nilai sejagat perlu dijalinkan dengan
nilai-nilai tempatan agar mudah diterima oleh rakyat tempatan. Dalam perihal
Muslim Demokrat, Dato Seri Mohamed Azmin Ali menegaskan Muslim Demokrat perlu memperjuangkan
demokrasi mempunyai nilai sejagat (seperti keadilan dan kebebasan) diusung
bersama nilai tempatan (persoalan identiti, kebudayaan dan kenegaraan).
Ustaz Dato’ Dr. Nasharudin Mat Isa
menyatakan, ‘nilai yang bersifat sejagat
ini turut memuatkan elemen peniadakan agama dan kontekstual tempatan lantas
menjadi bentuk agama baharu’.
Diabolisme Intelektual
Diabolos adalah Iblis dalam bahasa Yunani Kuno. Kesalahan Iblis
kepada Allah SWT bukannya dia meragui Allah, mengingkari wujudnya Allah, tidak
berilmu dan tidak mengenali Allah. Kesalahan Iblis kerana ingkar kepada suruhan
Allah SWT agar sujud kepada Adam dan bangga-sombong dengan kehebatan diri.
Jika kita temui ulama yang terpesong,
penghafaz al-Quran menentang al-Quran, sarjana Islam terperangkap dengan
pandangan alam Barat dan pemimpin palsu. Mereka mengalami diabolisme yakni
ingkar kepada ilmu yang mereka tahu dan sombong-angkuh dengan kehebatan diri
mereka. Mereka merasakan diri mereka paling pandai mengatasi orang lain. Mereka
terjerumus dengan pesona diri yang palsu.
Anak didik Barat dan tokoh yang
mengambil aspirasi dari Barat seringkali cuba merenggang dan memisahkan umat
Islam daripada prinsip dan pendirian Islam yang sebenar. Penulis tertarik
dengan istilah ‘plotisme’ yang
diutarakan oleh Ustaz Abdullah Zaik Abd. Rahman, Presiden Ikatan Muslimin
Malaysia (ISMA). Kaedah “plotisme”
iaitu dengan merenggang hubungan pegangan umat Islam dengan sumber tradisi
pengajian Islam seperti Al-Quran, As-Sunnah dan pendapat ulamak muktabar dan
mengapungkannya supaya boleh dimuatkan dengan ajaran baru yang berasaskan
liberalisme, pluralisme dan hak asasi manusia yang dianggap progresif.
Dalam sejarah pendidikan Tanah
Melayu, R.O Winstedt mencadangkan pemansuhan mata pelajaran pengajian al-Quran daripada sistem pendidikan di
sekolah-sekolah Melayu pada tahun 1917. Dan Tan Sri Khir Johari memansuhkan
tulisan Jawi dalam pendidikan negara kita.
Kesimpulan
Penolakan Islam terhadap Kebudayaan
Barat yang menyalahi aqidah Islam adalah jelas dan nyata. Penolakan ini bukan
bermakna kita bermusuhan dengan mereka secara fizikal tetapi berkhilaf dengan
tegas dan tanpa kompromi dalam persoalan pemikiran-pandangan alam yang
bertentangan dengan Islam. Kita masih
menghormati hak mereka mengamalkan Kebudayaan dan Pandangan Alam mereka selagi
tidak mengancam aqidah dan keselamatan
umat Islam.
Generasi 2.0 Gerakan Islam atau Gen
2.0 terpengaruh dengan gagasan dialog
peradaban yang terbuka dan menghargai Barat sehingga menganak-tirikan gerakan
Islam dan pandangan alam Islam. Keterpesonaan dan keterujaan mereka kepada
Barat sehingga mereka hanyut dengan Kebudayaan Barat-Pandangan Alam Barat yang
memisahkan antara agama Islam-ketuhanan dengan duniawi.
Gen 2.0 serasi dan seapirasi dengan
kehendak Kebudayaan Barat bahkan secara terancang mengikut agenda yang disusun
atur oleh Kebudayaan Barat. Mereka terbuai dengan mimpi palsu bahawa Barat
bukan musuh Islam dan umat Islam perlu mengislah diri mereka sendiri dengan
berbaik-baik dengan Barat.
Gen 2.0 tidak menolak Islam
sekaligus. Ia dimulakan dengan bahawa mereka bukanlah kelompok radikal. Mereka
tidak menolak Islam tetapi boleh berbaik dengan musuh Islam dan
pemikiran-Kebudayaan Barat. Kemudian, mereka menyisih dan menghakis Islam
daripada batang tubuh mereka. Islam hanya agama bukannya cara hidup atau adden. Akhirnya, mereka menentang Islam
walaupun tidak murtad.
Kelompok
sesat bukannya kafir.
No comments:
Post a Comment