Tuesday, May 09, 2017

Cabaran Anggota Gerakan Islam.


Dalam perjuangan gerakan Islam, hanya orang yang ikhlas, berdisiplin dan berjiwa besar sahaja yang mampu istiqamah sehingga mati.  Berjiwa besar iaitu mampu menghadapi tekanan dalaman seperti fitnah dan label. Berdisiplin pula mengikut peraturan gerakan Islam dan akur arahan pimpinan serta bertentangan atau berbeza  pandangan mengikut saluran yang dibenarkan dan beradab.
Suka atau tidak, gerakan Islam merupakan organisasi yang akan mengalami konflik dalaman. Ia disebabkan oleh [1] persaingan dalaman antara aliran pemikiran dan puak dalam gerakan Islam, [2] perbezaan pandangan atau pendekatan dalam sesuatu perkara dan [3] sikap, akhlak dan sifat anggota yang pelbagai.
Bibit perpecahan mula timbul apabila kita merasakan diri kita terpinggir dalam gerakan Islam disamping fitnah dan label menjalar ke atas seseorang atau kelompok. Kita merasakan kita lebih pandai, genius, suci dan betul daripada orang lain. Ini adalah penyakit buatan syaitan yang menguji iman kita. Bermula secara individu mula membarah apabila individu-individu tadi tampil sebagai satu kelompok yang senasib. Akhirnya, menentang kepimpinan dan paling malang keluar gerakan Islam.
Keluar gerakan Islam bermakna kita bermusuh dengan gerakan Islam tersebut. Itu kebiasaan pandangan majoriti anggota sesebuah gerakan Islam. ‘Musuh’ disini dalam kontek organisasi dan perjuangan tidak semestinya melarat kepada hubungan peribadi. Punbegitu, sikit atau besar akan tercuit juga dalam hubungan peribadi.
Jika kita mengalami fenomena ini, [1]kita berjalan terus bersama-sama dengan kepimpinan gerakan Islam. [2] Kita teruskan persaingan dalaman dalam gelanggang yang dibenarkan dalam saluran gerakan Islam seperti bertanding dalam muktamar pemilihan untuk menurunkan kepimpinan yang sedia ada dan bersedia berjiwa besar dalam menghadapi fitnah dan label. [3] Bertawaqquf daripada gerakan Islam. Ada yang mengambil peluang bergiat dalam dunia perniagaan, akademik, komitmen dalam kerjaya dan merantau ke luar negara.
Perbezaan wajar ditangani dengan bijak oleh para pimpinan seperti memperbanyakkan pertemuan, perbincangan dan mesyuarat. Anggota gerakan Islam mesti mengunakan saluran yang betul seperti mesyuarat, muktamar, dialog dan surat tertutup. Anggota gerakan Islam perlu percaya pandangan kita tak penting dan kejayaan gerakan Islam ini bukan daripada usaha dan jasa kita seorang.

Ikhlas, sabar, berjiwa besar dan berdisiplin adalah rahsia istiqamah dalam perjuangan. Kita boleh tersingkir dalam medan perjuangan jika tidak memiliki sifat ini. Kita boleh terkeluar daripada medan perjuangan apabila kita mempunyai agenda peribadi, kepentingan tertentu, bersekutu atau berpakat dengan pihak luar dan mengejar kejayaan dunia melebihi keredhaan Allah.

No comments:

Sebab-Akibat

Sebab-akibat antara elemen penting dalam ilmu sejarah. Pemikiran sebab-akibat ini penting bagi mengelakkan kita membuat ramalan dan andaian ...