Wednesday, May 03, 2017

Anwar Ibrahim dan Muslim Demokrat


Musuh sebenar dan paling besar pada diri kita adalah diri kita sendiri,
Kerna kita menzalimi diri sendiri,
Kita tahu tetapi tidak beramal,
Kita beramal tetapi tidak ikhlas

Kita ikut kehendak aqal dan nafsu
untuk memenuhi agenda diri
menurut jalan matlamat menghalalkan cara-PRAGMATIS.

Ilmu
Bukan mencari kebenaran tetapi mencari pembenaran
Dalam berhujah dan berbahas.

Ingatlah kemenangan dan kejayaan duniawi itu hanya fana
Tidak bermakna tanpa redha Allah.

Dalam penulisan ini, penulis cuba meneroka pemikiran Dato Seri Anwar Ibrahim yang berusaha merapatkan hubungan Timur (baca: Islam) dengan Barat. Produk pemikiran mutakhir (2016) yang menjadi dokongan Anwar Ibrahim ialah Muslim Demokrat. Adakah mampu Anwar Ibrahim dan kelompok reformis merapatkan hubungan Islam dengan Barat yang dilihat pertembungan hakiki sampai Hari Kiamat?
Hubungan Islam dengan Barat
Dato Seri Anwar Ibrahim menyatakan tiga sikap cendikiawan Timur terhadap Barat. Pertama, mereka taksub dengan tradisi dan menolak saja sesuatu yang datang dari Barat. Kedua, kelompok yang terpesona dengan sinar gemilang peradaban Barat menjadikan mereka seperti si Tanggang derhaka kepada jati diri dan budaya sendiri. Ketiga, kelompok yang cuba mencari jalan tengah untuk mengadun unsur-unsur terbaik antara Timur dan Barat. Mereka yakin bahawa bangsa Timur akan muncul kuat kembali dengan menimba ilmu dan pengalaman Barat ketika yang sama mempertahankan keperibadian bangsa.

Persoalan yang besar antara Timur dan Barat ini ialah Barat datang ke Timur membawa agenda imperialisme, Kristianisasi, pembaratan, kolonialisasi dan merkantilisme (mengumpul kekayaan, menambah kekuasaan). Akibatnya, berlakunya pertembungan di antara Timur dengan Barat. Dalam konteks hubungan Islam dengan Barat, semangat penerusan perang Salib dalam kalangan penjajah Barat mencetuskan pertembungan yang sukar dimaafkan.
Penulis merumuskan peringkat-peringkat pertembungan Islam dengan Barat ialah:
1. Pertembungan hakiki Islam dengan Kebudayaan Barat (Yunani Kuno-Romawi Purba-Kristian-Yahudi-Kaum Biadap). Pertembungan ini antara pandangan alam Islam dengan pandangan alam Barat. Batasan bedanya pertembungan ini ialah antara iman dan kufur.
2. Pertembungan Perang Salib antara Kerajaan Islam dengan Kerajaan Barat.
3. Pertembungan Kerajaan dan Pejuang Islam Tempatan dengan Kolonial dan Imperialis Barat
4. Pertembungan Gerakan Islam dengan Barat dan anak didik Barat.
Secara umumnya, ramai sarjana mengakui bahawa kebangkitan semula Islam semakin menyerlah dengan kemunculan Ikhwanul Muslimin di Mesir. Kemunculan Ikhwan bersama-sama pakej bukan sekadar kesedaran Islam tetapi meliputi politik dan undang-undang, jihad dan ekonomi, pendidikan dan rekreasi. Ia meliputi Islam sebagai addin yang bersifat syumul dan Islam sebagai Jalan Penyelesaian dalam semua masalah akhirat dan duniawi.
Kebangkitan semula Islam bersekali dengan jihad menentang penjajahan imperialis Barat  sangat menakutkan sehingga berlakunya pertembungan antara Islam dengan Barat. Imperialis Barat menyerahkan tampuk pemerintahan kepada kelompok pro-Barat dalam kalangan bangsawan dan nasionalis asuhan mereka. Kebangkitan semula Islam mengancam pemerintahan anak didik Barat, akhirnya sebahagian pemimpin gerakan Islam diancam dengan kekerasan sehingga pemimpin Islam melarikan diri ke luar negara dan menjadi pelarian termasuk di negara Barat sendiri.

Kehidupan di Barat banyak mempengaruhi pemikiran pemimpin gerakan Islam tadi bahawa pertembungan yang tidak berkesudahan merugikan umat Islam dan Barat sendiri. Antara kerugian tersebut kemunculan kelompok radikal dan ekstrem dalam gerakan Islam yang mencetuskan huru-hara di negara umat Islam. Pertembungan yang berterusan dan memenatkan ini telah menghasilkan kelompok yang cuba merapatkan hubungan antara Islam dengan Barat.
Dalam konteks gerakan Islam, ia mula dilakukan oleh para senior gerakan Islam terutamanya para pemimpin Ikhwanul Muslimin yang melarikan diri ke Barat dan menjadi pelarian di sana merasakan bahawa gerakan Islam perlu mencari pendekatan baru dalam mendepani Barat iaitu cuba berbaik-baik dan berdialog dengan Barat dalam membina dunia yang lebih baik dan makmur. Ia dikatakan bermula pada tahun 1980-an dan semakin meluas pada tahun 1990an.
Walau bagaimanapun, pemikiran kelompok ini masih baru dan tidak diterima secara meluas dalam kalangan gerakan Islam di seluruh dunia. Jumlah mereka juga tidak ramai. Oleh sebab itu, tumpuan utama kelompok reformis ini pada tahun 1980an dan 1990an ialah kepada bidang pendidikan dan pengkaderan.  Ada sesetengah mereka masih kekal dalam gerakan Islam. Ada juga yang bergerak secara individu atau tidak terikat dengan gerakan Islam.
Kehadiran kelompok reformis dalam sesebuah gerakan Islam menghasilkan pertembungan dalaman sehingga mencetuskan konflik. Sebagai contoh, kemuncak konflik antara kelompok dalam Ikhwan Mesir ialah parti tahun 1996 dimana sebahagian pemimpin kelompok reformis keluar Ikhwan menubuhkan Parti Wasat.
Lingkungan tahun 1997 hingga awal tahun 2000an (sekitar 2001-2003), kelompok reformis mula menonjolkan diri sebagai satu tenaga-idea baru dalam gerakan Islam dan membentuk Gerakan Islam Generasi Kedua yang sedia berpisah dengan Gerakan Islam Generasi Pertama dengan membentuk NGO atau parti Islam generasi baru. Dalam tahun 2003 sehingga tahun 2016, hampir setiap negara umat Islam mempunyai dua organisasi Islam yang berpisah dan bertembung sesama mereka yang diwakili Gerakan Islam Generasi Pertama(Gen 1.0) dan Gerakan Islam Generasi Kedua (Gen 2.0). Bezanya kedua-keduanya lebih kepada pendekatan menyelesaikan isu.
Pada pandangan penulis, Anwar Ibrahim adalah model kepimpinan gerakan Islam generasi kedua. Anwar Ibrahim merupakan mantan pemimpin belia Islam yang aktif dalam WAMY yang digerakkan oleh aktivis belia gerakan Islam sedunia terutamanya dari Ikhwanul Muslimin dan Jamaati Islami serta ditaja oleh Arab Saudi. Pengaulan dalam WAMY  (World Assembly of Muslim Youth)  ini melahirkan satu pemikiran baru dalam gerakan Islam agar pendekatan dialog dengan Barat. WAMY melahirkan sekelompok pemimpin muda yang progresif dalam gerakan Islam masing-masing.
Para pimpinan WAMY bermuafakat mewujudkan IIIT (The International Institute for Islamic Thought), berpengkalan di Herndon Virginia yang ditubuhkan pada tahun 1980 oleh para pimpinan WAMY seperti Dato Seri Anwar Ibrahim, Dr. Jamal Barzinji, Dr. Abdul Hamid Abu Sulayman (Setiausaha Pertama WAMY), Dr. Ahmad al-Haj Totonji (pegawai WAMY dikatakan membantu penubuhan ABIM pada tahun 1970) dan Dr. Ismail R. Faruqi (Intelek yang menghubungkan antara Anwar Ibrahim dengan Dr. Mahathir Mohamad) berasal daripada kepimpinan WAMY yang berpusat di Arab Saudi. IIIT direstui oleh para pemimpin gerakan Islam terutamanya Ikhwanul Muslimin Antarabangsa dan Dr. Yusuf al-Qaradhawi sebagaimana yang diiputuskan mereka di Lugano, Switzerland pada akhir tahun 1970an.
Pada akhir tahun 1970an, ABIM dan Anwar Ibrahim mula menjarakkan diri mereka daripada pemikiran Sayyid Qutb. Mereka mula mendekati pemikiran Muhammad Natsir (buku fiqhul dakwah) dan Malek Bennabi. Ia lebih ketara selepas Anwar Ibrahim dibebaskan daripada tahanan ISA pada tahun 1976. Pada tahun 1976 juga, Anwar Ibrahim mengemukakan formula perpaduan kaum di Seminar Dakwah Belia Islam Asia Pasifik. Pada tahun 1979, Anwar Ibrahim mempromosikan pelaksanaan Karamah Insan dalam konteks Malaysia pelbagai kaum dan agama dalam Muktamar Senawi ABIM ke 8.
IIIT, satu entiti yang bertujuan untuk memberikan asas intelektual kepada gerakan Islam di Barat. Gagasan ‘Islamisasi Pengetahuan’ (Islamization of Knowledge), satu konsep yang menuntut semakan semula terhadap semua pengajaran dan teks pandangan dunia Islam (world view).

Kemuncak eksperimen ialah Anwar Ibrahim secara rasminya menyertai UMNO-BN.
Selepas Anwar Ibrahim menyertai UMNO yang dikatakan melalui pengaruh Dr. Ismail al-Faruqi dengan Tun Mahathir, Presiden UMNO ketika itu, Universiti Islam Antarabangsa ditubuhkan. UIA telah menjadi kubu kuat dimana mantan pimpinan gerakan Islam seperti Ikhwan dan WAMU dilantik sebagai tenaga pengajar. Anwar Ibrahim dan Tan Sri Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas telah menubuhkan ISTAC yang dilihat kembar IIIT dalam usaha Islamisasi.
Dr. Taha Jabir al Alwani (pemimpin IIIT) adalah Presiden Cordoba Universiti Amerika Syarikat yang giat mempromosi persefahaman diantara Muslim-Christian telah berkerjasama Washington Theological Consortium. Usaha-usaha ‘Muslim-Christian Understanding’ mendapat tajaan penuh daripada Carnegie Corporation. Pada tahun 1993, John Esposito (teman rapat Dr. Ismail al-Faruqi dan Anwar Ibrahim- Pengarah CMCU) dan John Voll (Pensyarah Sejarah di CMCU) telah membangunkan the Center for Muslim-Christian Understanding (CMCU), Universiti Georgetown Amerika Syarikat.
CMCU dibina melalui dana projek pluralisme agama iaitu Fondation pour L'Entente entre Chretiens et Musulmans dan the Pluralism Project. Projek Pluralisme Amerika ini berpengkalan Harvard University mendapat tajaan beberapa yayasan Amerika iaitu The Ford Foundation, The Henry Luce Foundation, The Lilly Endowment, Inc., The Massachusetts Endowment for the Humanities, The Milton Fund, The National Endowment for the Humanities, The North Star Fund, The Pew Charitable Trusts, The Rockefeller Foundation, The Templeton Foundation dan sebagainya. Pendekatan dialog antara agama digunakan.
Usaha mempromosi persefahaman Islam dengan Barat dalam melahirkan kehidupan lebih baik dan aman diteruskan lagi dengan penubuhan Center for the Study of Islam and Democracy (CSID) pada tahun 1999. Pada awal penubuhan CSID, Ahli Lembaga Pengarah CSID terdiri daripada: Ali A. Mazrui (Pengerusi); John L. Esposito (Naib Pengerusi); Sana Abed-Kotob; Abdulwahab Alkebsi; Taha Jaber Alalwani (IIIT); Laila Al-Marayati; Jamal Barzanji(IIIT); Charles Butterworth; Louis Cantori; John Entelis; Muqtedar Khan; Radwan Masmoudi; Ali Memon; Fathi Osman dan Tamara Sonn.
Manakala Ahli Jawatankuasa eksekutif terdiri daripada Radwan A. Masmoudi (Pengarah Eksekutif); Ismail Obeidallah (koodinator program); Svend White (Setiausaha); Mahir Haroun (Bendahari) dan Maher Kharma (Koodinator Keahlian). CSID ditaja oleh yayasan dan organisasi dari Amerika Syarikat seperti NED (National Endowment for Democracy) dan dari yayasan dan NGO negara Arab Saudi.
Selain mempromosi persefahaman agama, CSID  ingin melahirkan kader-kader Muslim Moderat/ Islam Liberal seluruh dunia. Muslim Demokrat satu produk yang ber-evolusi daripada pemikiran Muslim Moderat. CSID Tunisia memainkan peranan besar di sebalik parti Nahdah di Tunisia.
IIIT, CMCU dan CSID membuktikan ada kelompok senior Ikhwanul Muslimin terutamanya yang aktif dalam WAMY ingin merapatkan hubungan Islam dengan Barat melalui pendekatan berdialog dan bersama-sama membina kehidupan yang lebih baik. Bahkan ada yang terjerumus ke dalam ‘Islam yang dimahukan oleh Barat’.

Jaringan Persahabatan Anwar Ibrahim
Dalam sejarah politik Malaysia Anwar Ibrahim merupakan tokoh yang punya paling banyak jaringan dan pandai membina jaringan dalam mengembangkan pengaruhi. Sifat ramah dan mudah mesra antara kelebihan beliau. Antara jaringan tersebut ialah jaringan ABIM, jaringan MCKK, jaringan BTN, jaringan media massa, jaringan gerakan Islam dan paling persahabatan dengan tokoh-tokoh berpengaruh di dunia Barat dan dunia Islam.
Antara jaringan yang berpengaruh dalam diri beliau ialah jaringan ABIM, jaringan organisasi antarabangsa dan jaringan gerakan Islam. Terkini, jaringan Muslim Demokrat yang dipeloporinya bersama-sama tokoh-tokoh ternama seperti Dr. Tariq Ramadhan, B.J. Habibibie, Abdullah Gul dan Syeikh Rashid Ghannousshi.

Fungsi jaringan ini ialah membina pengaruh melalui pengaulan, pertemuan dan bersifat saling bantu membantu antara satu sama lain. Ia juga mewujudkan impak yang lebih besar kepada gagasan pemikiran yang diutarakan.
Pada pertengahan tahun 1970an, Anwar Ibrahim juga salah seorang penggerak utama kepada gagasan masyarakat madani atau masyarakat sivil yang berkembang ke negara-negara umat Islam melalui jaringan-jaringan persahabatan Anwar Ibrahim.

Anwar Menyertai UMNO
‘Sejarah telah membuktikan betapa hebat dan kuatnya seseorang, jika berseorangan tanpa sahabat dan jemaah, kita mudah tergelincir dan hanyut dengan pengaruh disekeliling kita yang mencabar iman kita’
Anwar Ibrahim meninggalkan Angkatan Belia Islam Malaysia ( ABIM ) pada 29 Mac 1982 untuk menyertai UMNO.
Kemasukkan Anwar Ibrahim mencetuskan kekecohan kepada dunia gerakan Islam kerana  beliau adalah tokoh harapan dalam memimpin gerakan Islam berasaskan politik kepartian iaitu PAS. Ramai pemimpin dan aktivis gerakan Islam terutamanya ABIM dan PAS marah dan bersedih. Akhirnya, muncul gerakan yang anti kemasukkan Anwar Ibrahim ke dalam UMNO yang bertindak tidak aktif dalam ABIM dan kebanyakan mereka menyertai PAS.
Kemasukan Anwar Ibrahim dilihat melanggar dan mengkhinati perjuangan gerakan Islam. Mengikut perancangan awal, pemimpin-pemimpin ABIM perlu disalurkan ke dalam PAS untuk memperkuatkan PAS sebagaimana saranan tokoh MASYUMI, Muhammad Natsir dimana rancangan itu telah berjalan. Pemimpin ABIM seperti Ustaz Fadzil Noor (Timbalan Presiden ABIM), Ustaz Abdul Hadi Awang (Ketua ABIM Terengganu), Syed Ibrahim, Ustaz Nakhaie Ahmad dan beberapa pemimpin lain telah diserapkan ke dalam PAS.
Anwar Ibrahim menemui Dr. Mahathir Mohammad, Perdana Menteri Malaysia secara sulit. Syura ABIM telah menolak hujah-hujah dan alasan Anwar Ibrahim menyertai UMNO. Malangnya yang berlaku apabila Jawatankuasa Kerja Pusat ABIM atau EXCO ABIM telah membuat kenyataan akhbar dengan ‘melepaskan’ Anwar Ibrahim bekecimpung dalam politik kepartian.
Melihat penglibatan dan sokongan Dr. Yusuf al-Qaradhawi dan Dr Ismail Raji’ al-Faruqi, penulis mempunyai persepsi dan tesis bahawa kemasukan Anwar Ibrahim ke dalam UMNO boleh dibahagikan kepada dua sebab:
1. Habuan yang dijanjikan oleh  Dr. Mahathir Mohammad kepada Anwar Ibrahim ialah penganti beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia. Lonjakan pantas beliau dalam politik UMNO dan Malaysia adalah luar biasa. Beliau dapat memintas pemimpin-pemimpin senior UMNO.
2. Anwar Ibrahim disokong oleh para pemimpin gerakan Islam antarabangsa terutamanya para senior Ikhwanul Muslimin yang berada di Barat (terutamanya dari IIIT) dan Ikhwanul Muslimin Antarabangsa (terutamanya WAMY).

Tokoh-Tokoh yang Mempengaruhi Pemikiran Anwar Ibrahim
Setiap tokoh mempunyai jalur pemikiran yang tersendiri berdasarkan latar-belakang kehidupan mereka, tempat belajar, siapa guru mereka, organisasi yang mereka sertai, pembacaan mereka, pengaulan, persahabatan, badan pemikir/penasihat, para penasihat dan siapa penulis ucapan mereka.
Kepandaian Anwar Ibrahim bergaul dan bersahabat dengan para intelektual, tokoh berpengaruh dan minat membaca banyak membantu beliau menggagaskan pemikiran beliau. Melalui gerakan Islam, Anwar Ibrahim mengenali ramai tokoh-tokoh Islam seperti Dr. Yusof al-Qaradhawi, Sheikh Taha Jabir al-Elwani, Muhammad Natsir, Dr. Kurshid Ahmad, Ziauddin Sardar dan ramai lagi. Anwar Ibrahim bukan setakat mengenali mereka tetapi ‘berguru’ secara tidak langsung dan melakukan pencapahan pemikiran dengan tokoh-tokoh tersebut.

Antara penulis ucapan beliau yang terkenal dan berpengaruh tahun 1990an ialah Munawar Anees. Pemikiran Anwar Ibrahim juga mendapat dokongan badan seperti Institut Kajian Dasar (IKD) yang dibawah pimpinan Dato Kamarudin Jaafar dan Dr. Siddiq Fadzil kemudian diteruskan oleh Khalid Jaafar. Pada akhir tahun 1990an, pengaruh Khalid Jaafar dalam mempengaruhi pemikiran Anwar Ibrahim sangat besar. Mutakhir ini, Khalid Jaafar dan pasukannya merupakan elemen berpengaruh dalam menentukan pemikiran Dato Seri Mohammed Azmin Ali.
Penulis berpandangan, tokoh yang banyak mempengaruhi pemikiran Anwar Ibrahim ialah Tan Sri Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas, Malik Bennabi (pemikir Ibnu Khaldun dari Algeria) dan Prof. Dr. John Esposito (Pengarah Center for Muslim-Christian Understanding, Universiti Georgetown).
Anwar Ibrahim antara murid kepercayaan Prof al-Attas dilantik sebagai tutor mengajar subjek 'Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu’ di UKM. Buah pemikiran Anwar Ibrahim diasuh-didik oleh Prof. al-Attas melalui usrah dan perbincangan peribadi. Dalam perjuangan Anwar Ibrahim dalam ABIM dan gerakan mahasiswa Islam (PMIUM, PKPIM dan PBMUM), pemikiran Prof. al Attas digabung-jalinkan dengan pemikiran tokoh-tokoh haraki seperti Hassan al-Banna, Sayyid Qutb, Maulana Abul Ala’ al-Maududdi dan lain-lain. Maknanya, perjuangan Anwar Ibrahim mempunyai unsur keilmuan dan intelektualisme bukan setakat politik semata-mata. Prof. Al-Attas merupakan salah seorang dari tokoh tersebut. Beliau memberikan Anwar Ibrahim bimbingan dan pendedahan dalam pelbagai aspek keilmuan terutamanya sebagai mahasiswa di UM dan semasa Anwar Ibrahim berkhidmat sebagai tutor di UKM. Bahkan dalam bidang falsafah pengaruh beliau terhadap generasi kami begitu mendalam. Prof. Al-Attas bukan sahaja sedia mencurahkan ilmu tetapi sebagai seorang sahabat setia turut memberikan dorongan serta semangat dalam ketika dan saat genting.
Pemikiran Malik Bennabi merupakan pemikiran yang paling berpengaruh dalam pemikiran Anwar Ibrahim. Menurut Khalid Jaafar, siapa yang mahu setia dengan perjuangan Anwar Ibrahim perlu mengunyah pemikiran Malik Bennabi. Dan tulisan-tulisan pemikir itu keras, sukar dikunyah. Pandangan dan falsafah pemikirannya banyak dipengaruhi oleh Ibn Khaldun dan Étienne Bonnot de Condillac (1714-1780, filsuf dari Perancis aliran empirisme dan pro-John Locke). Tema pemikiran Malik Bennabi kisar kepada teori peradaban, pemikiran islah dan tajdid dengan formula: Manusia (Insan)+Tanah (Turab)+Waktu (Waqt)=Peradaban (Hadarah). Persamaan ini memerlukan AGAMA untuk berfungsi.
Prof. Dr. John Esposito adalah anak murid dan sahabat Prof. Dr. Ismail al-Faruqi, tokoh ternama IIIT. Esposito banyak menulis buku-buku tentang Islam. Esposito merupakan pengerak dan pemikir utama dalam dialog peradaban antara Islam dengan Barat dan mengusahakan hubungan lebih rapat antara Islam dengan Barat. Sesetengah pihak menggelarkan beliau sebagai Abu Thalib, sempena nama bapa saudara Rasulullah SAW yang banyak membantu Islam walaupun akhirnya mati sebagai bukan Islam. Antara bukunya yang berpengaruh ialah ‘Islam and Democracy’ yang ditulis pada tahun 1996. Ramai yang mempercayai gagasan Muslim Moderat yang ber-evolusi kepada gagasan Muslim Demokrat berasal daripada gagasan pemikiran Esposito.

Pemikiran Anwar Ibrahim.
Suka atau tidak, Anwar Ibrahim antara pemimpin Islam bertaraf dunia. Kita boleh mengklasifikasikan pemikiran beliau beberapa tahap iaitu: 1. Tahap kampus; 2. Tahap Belia Islam; 3. Tahap Nasionalis Islam dan Islamisasi; dan 4. Tahap Demokrat Liberal dan Muslim Demokrat.
Secara keseluruhan, penulis berpandangan pemikiran Anwar Ibrahim boleh dirumuskan kepada 5 teras pemikiran:
Teras pemikiran 1:  Pluralisme dan Liberalisme. Golongan-golongan agama tertentu yang menganggap hanya satu ajaran asasi tertentu (fundamental doctrines) sahaja yang membawa ke jalan keselamatan/syurga (salvation) adalah pandangan yang silap dan tertutup. Agama-agama lain juga benar. Maka Pluralisme Agama adalah jalan penyelesaian terbaik untuk mengelakkan perpecahan tersebut.
Teras pemikiran 2: Hubungan Jalin Pemikiran Timur-Barat. Hubungan ini dijalin dengan dialog. Dialog merupakan satu cara untuk kita menukar persepsi kita dan mendapatkan perspektif yang lebih jelas mengenai isu-isu ini dari pelbagai sudut agar kita dapat mencapai kefahaman yang lebih baik. Dialog adalah sangat di perlukan di dunia muktakhir ini. Negara-negara Membangun atau Dunia Ketiga harus berusaha mencapai persefahaman dengan Barat serta memahami kesilapan kedua-dua belah pihak. Anwar Ibrahim menegaskan, dialog adalah suatu cara untuk kita memartabatkan agenda mengenai hak asasi manusia, demokrasi, pembasmian kemiskinan, keadilan sosial dan masyarakat sivil diseluruh dunia. Langkah ini bukanlah bermaksud untuk membenarkan sebelah pihak sahaja yang menguasai atau mempengaruhi pihak yang lain. Sebaliknya, kita semua harus menumpukan pemikiran kepada nilai-nilai asas, manakala nilai-nilai ini juga merupakan nilai-nilai asas dalam Islam yang kita sanjungi.
Teras pemikiran 3: Humanistik. Menurut Khalid Jaafar, Anwar Ibrahim membaca buku-buku tentang sejarah, sastera dan sejarah falsafah dan idea bukannya terbatas kepada buku-buku karangan tokoh-tokoh haraki dan tarbiyyah sahaja. Pembacaan beliau tidak terhadap penulisan tokoh Islam sahaja tetapi meliputi tokoh-tokoh silam dan moden dari Timur dan Barat. Antara novel yang menjadi pilihan Anwar Ibrahim hasil karya Umberto Eco, Primo Levi dan Italo Calvino. Jika Anwar Ibrahim berbicara tentang ekonomi, ia bukan persoalan ekonomi tetapi menjangkaui persoalan kehidupan manusia dan alam sekitar.
Teras pemikiran 4: Demokrasi. Demokrasi yang tulen di Asia Tenggara akan menjana penilaian politik kreatif yang diperlukan untuk merangkul kemodenan dan kosmopolitanisme. Kestabilan politik melalui demokrasi adalah tapak kemunculan masyarakat madani. Seorang demokrat atau demokrasi perlu mempunyai nilai kebebasan, hak asasi manusia, ekonomi pasaran bebas, urus tadbir kerajaan yang baik dan ketelusan.
Teras pemikiran 5: Masyarakat Sivil. Anwar Ibrahim pengamal budaya masyarakat sivil daripada zaman muda lagi. PBMUM, PKPIM, ABIM, WAMY, MBM dan Yayasan ANDA Akademik antara kegiatan masyarakat sivil yang digerakkan oleh beliau. Beliau cuba membawa konsep masyarakat sivil bercitrakan Islam yang dikenali sebagai konsep masyarakat madani. Masyarakat madani adalah sistem sosial yang subur berdasarkan prinsip moral yang menjamin keseimbangan antara kebebasan individu untuk kestabilan masyarakat.
Beberapa pengamatan penulis terhadap produk pemikiran Dato Seri Anwar Ibrahim dapat disimpulkan ialah:
1. Faham Co-Existence atau fiqh al-ta`ayush: Dalam pengertian tata aturan hidup berdampingan yang harmonis dan penuh semangat kesalingan dalam kalangan warga pelbagai agama dan budaya
2.Karamah insan: Menurut Anwar Ibrahim, ‘mendekati kembali fitrah insaniah dan melihat manusia sebagai satu keluarga besar yang menembusi tembok dan batasan kaum, kelas dan agama
3. Fiqh Pluraliti atau Fiqh al-ta`addudiyyah: Meliputi persoalan hak kebebasan beragama, hak asasi manusia, prinsip keadilan, nilai-nilai kemanusiaan sejagat dan seterusnya tata susila  kesantunan hidup berdampingan dalam masyarakat pelbagai kaum dan agama
4. Gagasan Pendidikan Kerakyatan dan Liberatif: Menurut Dato Dr. Siddiq Fadzil, Anwar Ibrahim mengadun pemikiran Paolo Freire dari Brazil dengan pemikiran ‘Abd al-Rahman al-Kawakibiy dari Syria untuk menggagaskan pendidikan pembebasan dan pemberdayaan. Anwar dan para aktivis ABIM telah menubuhkan Yayasan Anda Akademik  sebagai wadah untuk rakyat yang tersisih menerus pendidikan. Perjuangan kebebasan dan keterbukaan di kampus-kampus.
5. Pendidikan demokrasi: Meningkatkan kefahaman dan amalan sebenar demokrasi supaya ada integriti proses, ketelusan, membenteras rasuah politik. Faktor ini juga menghasilkan produk Muslim Demokrat.
6. Ekonomi Manusiawi: Bukan sekadar ekonomi semata-mata tetapi perlu menangani persoalan kehidupan manusia yang rumit dalam mengangkat martabat manusia.
7. Masyarakat Madani: Menurut Anwar Ibrahim, masyarakat madani ialah sistem sosial yang subur yang diasaskan kepada prinsip moral yang menjamin keseimbangan antara kebebasan perseorangan dengan kestabilan masyarakat.
8. Manusia Nahdah (mutafannin): Mereka yang menjiwai ilmu-ilmu kemanusiaan, studia humanitatis.
9. Convivencia Sejagat: Masyarakat manusia pelbagai bangsa yang dibangunkan dengan semangat dialog peradaban iaitu atas kesedaran dan keinsafan terhadap wujudnya ‘orang lain’.
10. Ketuanan Rakyat: Menurut Anwar Ibrahim, “Ketuanan rakyat yang kita maksudkan adalah demokrasi yang matang di bawah naungan raja beperlembagaan. Demokrasi yang matang adalah demokrasi dimana rakyatnya perkasa, jiwanya merdeka, akalnya pintar, tindakannya dipandu oleh prinsip moral dan idealisme. Demokrasi inilah yang kita perjuangkan. Pohon demokrasi ini akan kita suburkan dengan pembinaan institusi-institusi masyarakat madani, media yang bebas serta bertanggjung jawab dan perlaksanaan undang-udang dengan seadilnya.”
11. Muslim Demokrat: Anwar Ibrahim sebagai seorang demokrat Muslim tanpa ragu dalam memburu dengan kritis perubahan tulen, tuntutan Islam dan konteks semasa adalah agenda koheren dengan tujuan dan objektif yang jelas; iaitu pilihanraya bebas dan adil, akses terbuka dan inklusif bagi partisipasi dan libat serta semua lapisan masyarakat, penggantian kuasa aman dan tatakelola  teliti dengan akauntabiliti. Menurut Dr. Siddiq Fadzil, Muslim Demokrat adalah suatu gemblengan kekuatan politik, intelektual dan professional untuk memperjuangkan aspirasi kebebasan, demokrasi dan keadilan.
12. Nahdah Asia: Anwar Ibrahim menyatakan Nahdah Asia berlandaskan agama dan tradisi yang digilap semula agar sinar kerohanian dan ajaran akhlaknya tampak jelas dan bertenaga.

Asal-Usul Muslim Demokrat
Secara mudahnya, Muslim Moderat adalah golongan yang menolak keganasan dan teokrasi; mengislahkan persatuan-persatuan mereka berdasarkan nilai-nilai Islam keadilan, persamaan, dan kebertanggungjawaban. Ringkasnya, mereka mahu membentuk demokratik selaras nilai-nilai Islam. Pergerakan Islam Moderat hari ini telah berkembang di Turki melalui AKP (Parti Keadilan dan Pembangunan) dan Parti al-Nahdah di Tunisia. Muslim Demokrat adalah evolusi kepada Muslim Moderat.
'World Forum Demokrat Islam' (WFDI) ditubuhkan pada tahun 2014 atas inisiatif Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kemudiannya dilantik sebagai Pengerusi WFDI bersama-sama Yayasan Keamanan Sasakawa (SPF), Pusat Habibie (THC, Indonesia), Institut Kajian Dasar (IKD, Malaysia) dan Yayasan Politik, Ekonomi dan Penyelidikan sosial (SETA, Turki) telah secara bersama melancarkan gerakan untuk menggalakkan "Demokrat Islam". WFMI bertujuan mewujudkan satu platform bagi pemimpin, intelektual, dan profesional dari akidah Islam, bersama-sama dengan rakan-rakan mereka dari agama dan kepercayaan lain, untuk menyatakan dengan jelas pandangan progresif mereka mengenai perkara-perkara yang berkaitan dengan kebebasan, demokrasi, keadilan, dan pembangunan.
WFDI mentakrifkan Demokrat Islam seperti, antara lain, seorang Muslim yang menghargai keamanan dan demokrasi, kebebasan dan maruah, toleransi dan inklusif tanpa mengira perbezaan bangsa, politik, sosial dan budaya.
Penulis berpandangan istilah Muslim Demokrat berasal daripada konsep Muslim Moderat yang dicanang oleh Rand Corp. dan CSID yang akhirnya dimoderasikan sebagai Muslim Demokrat. John Esposito dalam bukunya Islam dan Demokrasi mula menyatakan demokrasi Islam pada tahun 1996. Dalam satu wawancara pada tahun 2004, Khalid Jaafar yang dikatakan pemikir besar disebalik tabir pemikiran Anwar Ibrahim menyatakan tentang Islam Demokrasi yang disebut ‘Saya Islam, tetapi saya adalah Islam demokrat’.

Kritikan Terhadap Pemikiran Dato Seri Anwar Ibrahim
Antara isu yang kontroversi berkaitan pemikiran Anwar Ibrahim ialah unsur-unsur pluralisme agama dan liberal yang terdapat dalam pemikiran beliau. Sebenarnya, Anwar Ibrahim tidak menafikan dan sedia mengakurinya jika beliau bercanggah dengan al-Quran dan as Sunnah, jelas beliau, “Para pengkritik saya menuduh saya terlalu liberal dan plural. Tetapi intipati, hakikat dan rujukan masih Qur’an dan Sunnah. Jika sesuatu itu jelas bercanggah dengan rujukan pedoman asasi ini, kita akur dan menerimanya”.
Penulis berpandangan intipati, hakikat dan rujukan masih al-Quran dan as-Sunnah yang dimaksudkan oleh Anwar Ibrahim ialah nilai-nilai sejagat yang ada dalam al-Quran dan as-Sunnah seperti nilai keadilan, amanah dan lain-lain. Nilai-nilai sejagat ini didefinisikan dengan pelbagai pandangan manusia sehingga hilang pendefinisiannya daripada kacamata Islam. Nilai-nilai sejagat ini perlu dinampakkan sebagai Nilai Islam bukannya sebagai Nilai Anwar Ibrahim apatah lagi nilai yang difahami daripada kacamata Barat. Penghujahan sebagaimana Anwar Ibrahim menampakkan bahawa darjah keyakinan kita terhadap hujah dan dalil nas al-Quran dan as-Sunnah rendah.
Adunan pemikiran Anwar Ibrahim yang bercampur-aduk dan rencam menghasilkan satu pemikiran yang terkeliru. Kehebatan pidato, sikap lelucon, kepelbagaian pandangan inteletual bertaraf dunia dan kaya dari Timur dan Barat dengan pelbagai istilah-konsep bombastik menjadikan pidato dan tulisan Anwar Ibrahim menarik perhatian orang ramai. Namun, jika sesiapa yang pernah membaca dan mendengar retorik Anwar Ibrahim sejak tahun 1970an, pemikiran Anwar Ibrahim sangat mengelirukan. Oleh sebab itu, kita tidak hairan kenapa Anwar Ibrahim boleh masuk UMNO, terlibat dengan kelompok SEPILIS dan mengamalkan politik kebinatangan. Jujurnya, Anwar Ibrahim ditewaskan oleh beberapa: pertama, nafsu yang menerbitkan sifat pragmatis sehingga melahirkan matlamat menghalalkan cara; kedua, pengaulan dengan kelompok SEPILIS yang mengucar-kacirkan pemikiran dan pendirian Islami beliau;  ketiga, beliau sendiri terpesona, hanyut dan lena dalam pelukan Barat; dan keempat, cita-cita besar dalam politik kekuasaan.
Kita lihat sahaja tentang konsep pluraliti yang dihujahkan secara baik akhirnya menjadi pluralisme agama. Perkara digambarkan melalui ucapan dan penulisan Anwar Ibrahim sebagaimana ucapan yang terkenal di London School of Economics pada 2010 yang dikatakan menyama-ratakan agama sebagaimana pluralisme agama ala John Hick.
Dalam pelaksanaan dan tindakan politik, Anwar Ibrahim dilihat bersikap pragmatis sehingga mengatasi nas-nas syarak. Dalam kes Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dan kes 16 September, jelas kelihatan sikap pragmatis yang melanggar prinsip keadilan. Kegopohan menurunkan Khalid Ibrahim dengan peletakan ADUN Kajang untuk menobatkan Anwar Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor melalui Langkah Kajang adalah satu tindakan yang kurang demokratik dan memperbodohkan rakyat. Begitu juga adegan yang mahu membawa ahli parlimen Barisan Nasional melompat parti ke dalam parti pembangkang nampak jelas satu tindakan tidak beretika dan tidak bermoral.
Gagasan Pendidikan Liberatif: Anwar Ibrahim tidak menghapuskan AUKU bahkan meneruskannya sebagaimana dilakukan oleh Tun Mahathir walaupun ketika Anwar Ibrahim menjawat jawatan Menteri Pendidikan. Apa yang Anwar Ibrahim buat ialah memperkuatkan proksi beliau di kampus melalui PKPIM-ABIM, kalangan pensyarah dan pentadbir universiti dalam kalangan orang beliau. Di peringkat pilihan raya kampus, berlaku pertembungan gerakan mahasiswa Islam pro PAS dengan gerakan mahasiswa Islam pro-Anwar Ibrahim. Pada awal Anwar ibrahim masuk UMNO, gerakan mahasiswa Islam huru-hara bercakaran sesama sendiri.
Anwar Ibrahim bergantung kepada penasihat yang berjaya mengepung beliau. Pada zaman ABIM, Anwar Ibrahim dikepung dan dikeliling oleh pemikir pro-Islam kalangan ustaz, ulama dan sarjana Islam. Sejak Khalid Jaafar bersama Anwar Ibrahim, kepungan kelompok pro-Islam semakin longgar diambil alih oleh kelompok Liberal. Khalid Jaafar merupakan Setiausaha Akhbar kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dari tahun 1988 sehingga 1998 semasa Datuk Seri Anwar Ibrahim menjawat jawatan sebagai Mentari Pelajaran, Menteri Kewangan dan Timbalan Perdana Menteri Malaysia sehinggalah Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat dari semua jawatannya di dalam kerajaan dan akhirnya dilantik Pengarah Eksekutif Institut Kajian Dasar (IKD) badan pemikir Anwar Ibrahim.

Adakah Hubungan Islam dengan Barat dapat dirapati dan dijalin?
Kita boleh menjalinkan hubungan dengan orang Barat secara hubungan sosial dan diplomatik serta individu. Dari segi kebersamaan dalam pandangan alam, pemikiran dan kebudayaan adalah agak mustahil kerana pertembungan ini adalah pertembungan hakiki sejak azali.
Kita juga sudah tahu bahawa Kebudayaan Barat berdasarkan gabung-jalin Kebudayaan Yunani Kuno, Romawi Purba, Yahudi, Kristian dan Kaum Biadap-Gasar di Eropah. Gabung-jalin ini menghasilkan sifat-sifat asasi Kebudayaan Barat yang dilihat amat sukar mendekatkan Islam dengan Barat.
Di Barat, mereka bukan mengutamakan kebenaran. Mereka mengutamakan pembenaran dalam berhujah. Pembenaran dalam berhujah daripada kebenaran. Islam menyakini kebenaran mutlak bukannya kebenaran relatif. Hakikat kebenaran ialah keyakinan dalam pegangan atau pendirian.
Rumusan daripada sifat-sifat asasi Kebudayaan Barat ialah:
1. Kebudayaan Barat berdasarkan falsafah dan bukan agama.
2. Falsafah yang menjelmakan sifatnya sebagai humanism, mengikrarkan faham penduaan (dualisme) yang mutlak dan bukan kesatuan sebagai nilai serta kebenaran hakikat semesta.
3. Kebudayaan Barat berdasarkan pandangan hidup yang Tragic iaitu mereka menerima pengalaman ‘kesengsaraan hidup’ sebagai suatu kepercayaan yang mutlak yang mempengaruhi peranan manusia dalam dunia.
Dari segi tauhid, Kebudayaan Barat menganggap Islam sebagai Islam sebagai seterunya yang mutlak dan kesejahteraannya hanya akan terjamin dengan kemenangannya ke atas Islam dalam perjuangan yang berterusan dan bermati-matian. Mereka bersetuju dengan umat Islam jika umat Islam mengikut kehendak mereka [Surah al-Baqarah: 120]. Hakikat sebenarnya, Kebudayaan Barat adalah musuh Islam. Dalam masa yang sama, ‘musuh’ ini perlu diperkenalkan Islam dan dilayan dengan baik selagi mereka tidak memerangi Islam dan umat Islam.
Penjajah Barat datang ke Timur dengan sifat deskruktif bukan konskruktif. Mereka menakluki dan menjarah Kerajaan-Kerajaan Timur termasuk Kerajaan Islam. Kuman-kuman penjajahan yang diwarisi daripada Kaum Biadap Eropah dikembang pada zaman Renaissance dengan gambaran-gambaran perseteruan sengit yang membawa kepada pertumpahan darah.
Pada zaman dahulu, agama Kristian dan Perang Salib menjadi alasan untuk menyerang dan menakluki wilayah-wilayah Islam. Mutakhir mereka menjadikan alasan ‘atas nama memerangi keganasan’ dan demokrasi untuk memerangi dan menyerang wilayah Islam. Jika dikaji lebih lanjut, para diktator, kumpulan radikal (seperti Taliban) dan kumpulan ekstremis (seperti daesh dan al-Qaeda) dicipta oleh Barat sendiri. Media massa, bantuan senjata, bantuan kewangan, konkraktor tentera dan pelbagai sokongan diberikan untuk mewujudkan suasana tidak stabil sehingga memberi peluang Barat menyerang negara umat Islam tersebut.
Pendokong Kebudayaan Barat akan bermati-matian menentang Islam. Tidak dinafikan ada yang cuba menjalinkan hubungan ‘mesra’ dengan Islam tetapi ia bukanlah sifat majoriti pemimpin, sarjana dan anak didik mereka. Bahkan, pihak yang ‘mesra’ Islam juga menggagaskan pemikiran yang cuba menghakis tauhidik umat Islam dengan aspirasi dan agenda yang mengikut kehendak Barat.

Orientalis dan Institusi Pemikiran Menghakis Aqidah Islam
Pandangan alam Islam yang mantap berasal daripada kerangka pemikiran berpasakkan tauhidik. Individu yang memiliki  pandangan alam Islam seperti ini sukar dipengaruhi oleh Kebudayaan Barat.
Orientalisme ialah ilmu atau fahaman tentang Timur atau ehwal ketimuran termasuk dalam bahasa, budaya, pemikiran, geografi, sejarah dan lain-lain. Pada awalnya, orientalisme dipelopori oleh para paderi Kristian untuk dakyah. Kedatangan mereka seiring imperialism kerajaan Barat. Antara tokoh yang mempopularkan orientalisme ialah Roger Bacon dan Raymond Lull.
Jikalau kita meninjau pendekatan para orientalis, mereka cuba memajukan dan menubuhkan institusi pendidikan ala Barat di negara yang dijajah. Jangan hairan jika Universiti Of American ditubuhkan di Lebanon dan Mesir. Mereka juga menubuhkan yayasan untuk mendanai pengajian, penyebaran dan kegiatan dalam membumikan orientalisme dalam kalangan pemimpin dan rakyat sesebuah negara. Contoh, Yayasan Ford menaja Richard Mitchell untuk mengkaji Ikhwan Muslimin manakala Yayasan Asia menaja Cak Nur.
Masyarakat Timur seringkali memartabatkan Barat dengan cara pandang kekaguman terhadap Barat. Pertama, masyarakat tempatan memiliki persepsi bahawa Barat mempunyai simbol kemajuan dan ketamadunan.
Kedua, kelompok terpelajar masyarakat tempatan pula menganggap Barat simbol kehebatan dan keunggulan metodelogi pengkajian, pendekatan dan pemikiran. Dalam kalangan muslim, mereka ini disifatkan oleh Cheryl Bernard sebagai muslim modenis dan sekularis. Mereka paling rapat bersahabat dengan nilai, norma, pemikiran dan jiwa masyarakat Barat moden yang demokratik. Jadi, kita jangan hairan 25 mantan pegawai tinggi kerajaan dan kelompok terpelajar mengeluarkan pandangan tentang hudud yang bertentangan (baca;  meragui dan tidak yakin) dengan kehendak Islam.
Ketiga, kelompok yang melihat Barat sebagai penjajah yang perlu ditolak segala yang berasal dari Barat. Mereka menganggap Islam sudah lengkap. Kelompok ini dianggap sebagai Muslim fundamentalis. Keempat, kelompok yang melihat Barat secara kritis dan objektif iaitu Barat adalah peradaban asing yang berbeza daripada Islam. Tidak semua datang dari Barat itu baik dan tidak semuanya buruk. Barat perlu dikaji dari akar-akar kewujudan pemikiran, budaya dan ketamadunan mereka.
Antara peranan para orientalis selama ini ialah
1.         Melemahkan bahasa Arab fushah untuk diganti dengan bahasa arab amiyyah
2.         Menjalan kajian terhadap kumpulan - kumpulan Islam. Mereka menyebar ketidaksamaan mereka. Ada kajian terhadap kumpulan sesat sebagai contoh Ahmadiah, Qadiani dan Druze.
3.         Cuba merosakkan asas-asas Islam terutamanya hadith dan perselisihan mazhab dengan menyebarkan perbezaan mereka.
4.         Memejamkan mata terhadap fakta kebenaran dan kehebatan tamadun Islam. Mereka menonjolkan pemerintahan dan tokoh yang tak mengikut ajaran Islam yang sebenarnya.
5.         Menggunakan ukuran kebendaan.
6.         Mentafsirkan Islam mengikut pandangan alam mereka.
7.         Menyemarak kemarahan orang bukan Islam kepada orang Islam.
8.         Mengkaji Islam dan mengemukakan alternatif berdasarkan pemikiran mereka.
9.         Menggunakan orang Islam untuk mengkritik Islam
10.       Mempopolarkan idealism dalam kalangan anak muda melalui pengkaderan mereka
11.       Menggerakkan hak asasi dan Islam tanpa syariat dalam kelompok Islam
12.       Penggunaan akal dan nafsu melebihi hujah al Quran
Antara pemasalahan para ilmuwan atau pejuang idealism Barat dalam kalangan Muslim ialah menjadikan pengalaman diri mereka sebagai ‘agama’. Kegagalan mereka beragama secara lurus menyebabkan kesesatan mereka. Ramai dalam kalangan mereka berpandangan bahawa Islam dikongkong kerana disalah tafsir oleh para ulama.
Disini ada sedikit kesilapan, walaupun dilihat seakan-akan ulama mentafsirkan Islam tetapi ukuran pentafsiran itu adalah al Quran dan hadith. Jika kita ada ilmu yang boleh menjadi syarat mentafsir Islam, kita boleh mentafsirkan Islam. Sebelum mentafsir Islam, pasti hati kita ikhlas dan  diri mesti dibebas daripada kehendak nafsu serta berakhlak Islami. Jika ketiga-tiga elemen ini tiada, kita belum mampu membuat ijtihad untuk orang lain. Kalau ada ijtihad untuk diri sendiri, tidak berakhlak jika menyebarluaskannya.
Pendokong pemikiran Barat dalam kalangan anak tempatan berada dalam institusi kerajaan dan institusi persendirian tajaan yayasan-yayasan yang berasal daripada Barat. Di Mesir, ada sebuah institusi diberi nama al Islahud Dini iaitu suatu kumpulan diwujudkan kononnya untuk menjalankan usaha membaiki (reformasi, renaisance, tranformasi) agama. Antara seruan mereka ialah Islam yang lebih sederhana, Islam tanpa syariat, pentafsiran semula al Quran, mempertikai ulama-ulama muktabar seperti Imam al Bukhari, pendapat ulama terdahulu sudah tidak relevan.
Ada kalangan mereka cuba menaikkan pemikiran ulama atau tokoh Islam seperti Muhammad Asad, Suhrawardi dan Syeikh Muhammad Abduh.
Ada juga kalangan yang berani mendokong buah pemikiran Barat seperti pasca Islamisme, Islam Inklusif, Islam Liberal dan Islam Plural.
Orang non Muslim perlu berhati-hati dalam menerima pendapat daripada mereka kerana hujah mereka berdasarkan teori Barat dan hujahan akal bukannya berdalil al Quran dan al Sunnah.
Paling mengelirukan apabila mereka menggunakan hujah-hujah al Quran dan al Sunnah serta kerangka pemikiran Islam seperti fiqh Maqasid, Fiqh Keutamaan dan lain-lain. Dalam keadaan ini, hujah mereka benar tetapi tujuan mereka batil. Kita perlu melihat pengaulan dan pemikiran mereka sebelum menerima hujah-hujah mereka.

Kesimpulan
Adakah apa yang kita bincangkan di atas Anwar Ibrahim dan para pendokong Muslim Demokrat tidak tahu?. Sebenarnya, mereka lebih tahu. Orang seperti Anwar Ibrahim, Abdul Rahman Wahib dan Nucholish Madjid lebih tahu dan pakar tentang perbincangan di atas. Cuma kita kembali kepada ayat ‘tahu tak beramal, beramal tak ikhlas’. Justeru, kita berlepas diri, serah pada Allah SWT menilai niat pendokong Muslim Demokrat, kita kembali segala niat dan usaha pendokong Muslim Demokrat mendapat ganjaran setimpa dengan mereka usahakan.
Kita tahu siapa musuh kita,
Kita tidak mahu berwaspada

Kita tahu perancangan musuh kita,
Kita tidak ambil peduli.


Kita hanya banyak TAHU.

No comments:

Sebab-Akibat

Sebab-akibat antara elemen penting dalam ilmu sejarah. Pemikiran sebab-akibat ini penting bagi mengelakkan kita membuat ramalan dan andaian ...