Saturday, May 27, 2017

Menuju Pilihan Raya Umum Ke 14: Memilih Antara PAS atau PAN


Oleh Khalil Jibril
Setiap individu mempunyai kebebasan memilih menyokong atau aktif dalam mana-mana parti. Masing-masing ada sebab-musabab tersendiri.
Antara ciri-ciri pemilihan seseorang ialah [1] perlembagaan parti, [2] siapa yang dicalonkan atau siapa pemimpin, [3] pendekatan yang digunakan oleh parti dan [4] manifesto parti.
Penulis adalah penyokong prinsip politik untuk akhirat, pra-syarat politik adalah ilmu dan akhlak, dan politik sebahagian daripada Islam. Kita menyokong mana-mana parti yang mahu mendaulatkan, menegakkan dan memperkasakan Islam. Islam bukan sekadar perjuangan PAS tetapi usaha secara kolektif semua elemen Islam merentasi organisasi dan individu termasuk dalam UMNO, Parti Amanah Negara(PAN) dan DAP. Islam mentadbir bukannya Islam ditadbir. Penulis meletakkan tanda aras politik kepartian dalam Islam  kepada [1] Termaktubnya Islam dalam perlembagaan parti dan sumbernya al-Quran, as Sunnah, Ijma’ Ulamak dan Qiyas., [2] pemimpinnya kalangan orang bertaqwa dan berakhlak. Keutamaannya adalah kepada para ulamak, [3] mewujudkan dan menegakkan masyarakat atau negara Islam secara syumul termasuklah didalamnya dilaksanakan perundangan Islam.
Sesetengah sahabat dalam kalangan Parti Amanah Negara (PAN) menyatakan paling utama ialah menghapuskan rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa. Kita WAJIB menyentuh isu-isu rakyat. Penulis tidak menafikan semua perkara tersebut. Cuma sahabat PAN mesti ingat, perjuangan menegakkan Islam itu sendiri merangkumi semua perkara tersebut dan meletakkan aqidah satu perkara mendasar dalam menyelesaikan semua masalah termasuk masalah tersebut. Apabila kita menyebutkan aqidah, ia melibatkan politik dan pemerintahan berasaskan pertimbangan Syurga atau Neraka, Pahala atau Dosa dan Halal atau Haram.
Di Malaysia, kita akui dan bersependapat dengan pandangan sahabat PAN bahawa kemenangan dalam pilihan raya memerlukan kerjasama parti lain terutamanya dengan parti bukan Melayu-Islam. Cuma, kini PAS berseteru dengan DAP dan sahabat PAN disebabkan beberapa faktor yang memakan masa untuk memaafkannya. Antaranya, pengkhianatan melarikan kerusi PAS dan melanggar baiah (PAN), mencampuri urusan pemilihan PAS (DAP), melanggar prinsip bersetuju apa yang tidak dipersetujui terutamanya dalam kes perundangan Islam (DAP) dan mencabar sensitiviti umat Islam (DAP). Dalam masa terdekat, PAS sukar berbaik dan memaafkan PAN dan DAP. Alternatifnya ialah sebagaimana PRU 2008, Pakatan Harapan tidak boleh menganggu kerusi pilihan raya yang ditandingi oleh PAS jika mahu UMNO-BN tumbang. Perkara ini agak sukar kerana DAP menganggap PAN sebagai ganti PAS.
Fungsi akhlak mesti diutamakan sama ada oleh anggota, penyokong dan simpatis PAS atau PAN. Akhlak datang daripada peribadi bukannya ditentukan oleh organisasi. Akhlak diasuh oleh keluarga, keyakinan seseorang (agama) dan latarbelakang seseorang. Manipulasi bahasa atau ucapan seringkali dimainkan oleh musuh politik sehingga melahirkan persepsi dan pentafsiran berbeza dalam kalangan anggota masyarakat. Paling bahaya menghasilkan fitnah dan pembunuhan karekter seseorang. Contohi kebaikan pemimpin kita dan sisihkan kelemahan mereka daripada diri kita. Ingat, pahala atau dosa kita bersifat individu akan diadili di mahkamah akhirat yang akan menentukan syurga atau neraka untuk kita.
Politik matang dan sejahtera adalah politik sepakat dan politik damai. Menyatu bukan memecah, membina bukan meruntuh. PAS membawa pendekatan mesra dan menasihat-menegur UMNO, kerjasama antara kerajaan dan kebersamaan dalam isu umat disamping pada waktu yang sama mengkritik UMNO dalam isu lain termasuk penyelewengan kuasa, rasuah dan lain-lain. Konsep UG dan Kerajaan Teknorat yang dicadangkan oleh PAS antara cadangan untuk menyelesaikan masalah yang berlaku di Malaysia dengan merapatkan jurang pertembungan dalam politik dengan konsep pengkongsian kuasa. Malang jika kita agungkan gagasan pemikiran Rashid Ghannousshi dan Abdullah Ben Bayyah tetapi menolak pendekatan kedua-dua tokoh yang dilihat menggunakan pendekatan toleransi dan mendekati pemerintah.
Penulis secara peribadi berpandangan penubuhan PAN adalah ijtihad sesetengah ulama yang progresif, pro-PR, walaun Anwar Ibrahim, agenda al-jamaah-IRC-JIM-IKRAM dan pro-DAP. Penubuhan PAN lebih kepada perubahan pemikiran dan pendekatan baru para pengasas dan pengikut mereka.Ia melibatkan perbezaan dalam memahami sesuatu perkara.  PAN jangan sesekali mengikut pendekatan Ikhwanul Muslimin Alami yang banyak melakukan tindakan merugikan umat Islam sedunia. Mereka campurtangan dalam politik tempatan tanpa memahami situasi dan konteks setempat. Mereka membawa pemikiran yang dicanang oleh orientalis Barat sehingga mengelirukan pemikiran para pendokong Islam.
PAS dengan jelas bermatlamat mewujudkan sebuah masyarakat Islam melalui konsep Negara Islam dan menegakkan perundangan Islam. Rujukan utama PAS ialah al-Quran, as-Sunnah, Ijma’Ulama dan Qiyas menjamin keaslian perjuangan Islam dalam kalangan pendokong PAS. Unsur-unsur pemikiran orientalis Barat dihalang masuk oleh sumber rujukan pemikiran PAS seperti di atas.
Sebahagian besar para pemimpin PAN bekerjasama dengan ulama muda PKR mengkhawarijkan PAS   dan menghidupkan kembali isu Takfir. Malangnya isu takfir ini menjadi program PAN. Ia mencontohi pendekatan UMNO-BN dan ABIM era Anwar Ibrahim dalam UMNO. Mengadili PAS berdasarkan perangai sesetengah pemimpin atau ahli PAS adalah tidak adil. Keahlian PAS hampir sejuta orang menghadirkan pelbagai perangai. Pandangan mereka bukanlah pendirian jemaah/PAS.
Kita mengalu-alukan keinsafan dan usaha Tun Dr. Mahathir ingin membetulkan kembali kelemahan dan kesilapan yang beliau lakukan dengan menentang pemerintahan UMNO-BN pada hari ini. Kita cuba bersangka baik dan memaafkan Tun Mahathir sebagaimana kita memaafkan Anwar Ibrahim dan pemimpin yang lain seperti Tan Sri Muhammad Taib. Tetapi sifat waspada perlu ada kerana tidak mahu keluar mulut harimau, masuk mulut buaya dan jangan terjerat dengan perangkap pihak yang berkepentingan. Tun Mahathir terkenal seorang politikus yang licik, pengamal prinsip matlamat menghalalkan cara dan pragmatis. Sejarah membuktikan siapa beliau. Jangan sampai kita masuk ke lubang perangkap beliau.
Tun Mahathir berkospirasi menurunkan Tunku Abdul Rahman, bagaimana Tun Mahathir mengenepikan Naib Presiden UMNO yang lain sehingga beliau berjaya mengantikan Tun Husein Onn sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri UMNO, beliau sanggup melihat UMNO diharamkan sehingga kewujudan UMNO Baru yang akhirnya mengeluarkan Tengku Razaleigh daripada UMNO, pemecatan Ketua Hakim Negara, beliau memecat Timbalan Perdana Menteri seperti Tan Sri Musa Hitam, Tun Ghaffar Baba dan Dato Seri Anwar Ibrahim, menyokong Tim Wawasan menguburkan kerjaya politik Tun Ghaffar Baba, memperkambing-hitamkan Tan Sri Musa Hitam dalam peristiwa Memali, membantai imuniti Raja-Raja Melayu, memecat Anwar Ibrahim dengan fitnah, menurunkan Tun Abdullah Badawi dan akhirnya cuba menurun Dato Seri Mohd Najib Tun Razak. Terkini, Tun Mahathir sedang cuba Memahathirkan Pakatan Harapan. Campurtangan beliau dalam kehakiman, perundangan, perlembagaan institusi diraja dan penyelewengan ekonomi cukup luar biasa. Tidak cukup buktikah menunjukkan Tun Mahathir seorang yang berbahaya dalam perjuangan rakyat?.
Dalam politik, mencari kesilapan dan kelemahan mudah sekali. Semua pihak termasuk PAS, DAP, PAN, PKR dan UMNO-BN mempunyai kesilapan dan kelemahan yang tersendiri. Paling kurang kita menyokong dan memilih pihak yang paling kurang mudharat daripada pihak yang banyak mudharat. Dari segi rekod, PAS paling minima dalam melakukan mudharat. Cari kes rasuah di Kelantan, umpamanya. UMNO-BN dan Tun Mahathir-PPBM sudah banyak terpalit dengan penyelewengan dan penyalah-gunaan kuasa. PKR dan DAP mempunyai masalah dalam pendirian terhadap Islam dan hak orang Melayu.  PAN hanya mengikut telunjuk DAP dan Anwar Ibrahim. PAN juga dari segi ideologi mudah berlaku pertembungan antara kelompok IRC dengan kelompok mantan aktivis PAS dan kelompok Husam Musa.

Masa depan dan harapan negara, rakyat dan umat Islam bersama PAS-Gagasan Sejahtera.

1 comment:

Taziah said...

Salam diucapkan kepada saudara, saya cukup gemar membaca tulisan saudara.. saya menyokong sepenuhnya pendapat saudara.. malang sekali, rakyat Malaysia hari ini terlampau dimainkan oleh persepsi yang dimainkan oleh media2 pro-PH, bahkan media UMNO/BN memainkan peranan memutarbelit ayat TGHH, dalam isu GST, TV3 memainkan peranannya.. saya berharap dalam pas, tidak ada lagi golongan2 ustaz, penyokong yang mengeluarkan statement seperti boleh dijadikan putar belit oleh musuh, dan juga statement Yang mengiyakan bahawa pas Khawarij, sememangnya dengan penulisan saudara ini, saya percaya pan,pkr,dap,umno bahkan pengundi atas pagar tuntas dan paham terhadap fikrah yang dibina oleh tg presiden.. teruskan menulis..

Sebab-Akibat

Sebab-akibat antara elemen penting dalam ilmu sejarah. Pemikiran sebab-akibat ini penting bagi mengelakkan kita membuat ramalan dan andaian ...