Tuesday, May 16, 2017

Krisis Dalaman Madrasah Aliran Deobandi

Krisis tidak dapat lari daripada manusia. Ia qada' dan qadar yang mesti ditempuhi. Ia ujian bagi manusia yang mahu memperolehi kehidupan yang lebih baik di akhirat.

Aliran pengajian deobandi antara aliran pengajian tersohor di dunia juga turut mengalami krisis. Ia berpunca tusukan politik daripada pihak berkepentingan.

Kita ikuti tulisan Maulana Zube al-Kilawi


1982 - KRISIS TERBURUK DALAM SEJARAH DARUL ULOOM DEOBAND 
Zube Al-Kilawi

Bagi sesiapa sahaja yang pernah menziarahi Jamia Darul Uloom Deoband di Uttar Pradesh India, pastilah dapat menyedari, seolah-olah terdapat dua Jamiah yang bernama Darul Uloom di kota Deoband. Kedua-dua jamia ini hanya dipisahkan oleh sebuah masjid besar yang bernama Masjid Rasheed. Cuma bezanya jamiah yang berhadapan dengan Masjid Rasheed ini menggunakan nama Jamia Darul Uloom Deoband Waqf, iaitu ada tambahan perkataan Waqf di akhir namanya.
Adapun Jamia yang berada di belakang Masjid Rasheed pula masih menggunakan nama Jamia Darul Uloom Deoband sahaja. Perkara yang sama juga dapat kita lihat di Jamia Mazahirul Uloom di kota Shahranpur. Di sana juga ada dua Jamia bernama Mazahirul Uloom, yang pertamanya di sebelah kiri jalan utama, dengan nama Jamia Mazahirul Uloom waqf (qadim). Dan yang keduanya masuk sedikit ke simpang kanan dengan nama Jamia Mazahirul Uloom (jadid).
Perpecahan dua jamia ini adalah natijah daripada krisis besar yang melanda Jamia Darul Uloom Deoband pada tahun 1982. Krisis ini disifatkan sebagai yang terburuk yang pernah dilalui oleh Jamia ini. Namun mereka-mereka yang terlibat dalam krisis ini berjaya untuk menjaga perkara ini sebagai sebuah rahsia peribadi. Sehingga ramai pelajar-pelajar yang sudah bermukim selama bertahun-tahun di Jamia ini pun, tidak tahu tentang sejarah mengapa dan bagaimana terpecahnya jamia ini?
Bukanlah maksud saya untuk membuka rahsia ini kepada umum, tetapi oleh kerana krisis ini secara rasminya telah berjaya diselesaikan pada tahun 2006 yang lalu, apabila muhtamim kedua-dua jamia ini iaitu, Hazrat Maulana Muhammad Salim Qasmi dan Hazrat Maulana Sayyid As’ad Madani berjaya mencari kata sama kepada krisis yang membelenggu jamia ini selama lebih 24 tahun. Maka saya merasakan bahawa perkara ini perlu diceritakan supaya dapat menjadi pengajaran kepada kita semua.
Api daripada krisis ini mula terpercik pada tahun 1980, apabila Jamia Darul Uloom Deoband telah mengadakan majlis gilang-gemilang semperna 100 tahun berdirinya Jamia Darul Uloom Deoband. Siapa sangka majlis besar-besaran yang dihadiri oleh lebih 2 juta umat islam ini, ternyata memberi impak nagetif kepada jamia ini. Sebelum bermulanya majlis ini Hakimul Ummah Maulana Qari Muhammad Thoyyib telah menyeru seluruh umat islam untuk berkumpul menghadiri majlis ini.
Tanpa diduga, seruan ini telah mendapat sambutan hangat daripada seluruh umat islam di India. Melihatkan pengaruh dan penghormatan tinggi yang diberikan oleh umat islam ketika itu kepada Maulana Qari Muhammad Thoyyib, maka ketua-ketua pergerakan islam yang kebanyakannya daripada golongan haraki telah mengusulkan supaya Maulana Qari Muhammad Thoyyib diangkat sebagai ameer (ketua) kepada seluruh umat islam di India dibawah parti All India Muslim Personal Law Board.
Jauh hari sebelumnya, Maulana Qari Muhammad Thoyyib pernah mengusulkan kepada kerajaan hindu India, supaya umat islam diberikan kebebasan untuk menjalankan hukum-hukum islam termasuk hudud dan lain-lainnya, sebagai satu kemistian, hanya kepada orang islam di India. Namun usulan Maulana Qari Muhammad Thoyyib ini telah ditolak mentah-mentah oleh kerajaan India. Maka pengangkatan Maulana Qari Muhammad Thoyyib sebagai ameer ketika itu dilihat akan menjayakan usulan yang telah dibuat oleh Maulana sebelumnya.
Namun cadangan perlantikan ameer ini telah ditolak oleh Maulana Qari Muhammad Thoyyib, kerana ini secara automatik akan menarik Jamia Darul Uloom Deoband dan Maulana Qari Muhammad Thoyyib sendiri ke dalam kancah politik India. Seperti yang diketahui, Maulana Qari Muhammad Thoyyib adalah seorang yang tidak menyukali politik gaya demokrasi yang diamalkan oleh kerajaan India. Penolakan Maulana ini telah memicu kemarahan pihak-pihak berkepentingan, maka mereka mula meracuni beberapa pembesar Jamia untuk membawa masuk idealogi mereka ke dalam Jamia Darul Uloom Deoband.
Racun ini mula menular kepada ramai asatizah dan para pelajar Jamia ini, maka berlakulah perdebatan demi perdebatan tentang isu ini dikalangan penghuni jamia. Perkara ini menjadi tidak terkawal apabila beberapa orang ahli Majlis Syura Jamia Darul Uloom Deoband juga turut terpedaya dengan niat jahat ahli-ahli politik yang berkepentingan itu, lalu bertindak menentang Maulana Qari Muhammad Thoyyib. Keadaan ini telah memaksa beliau untuk membubarkan ahli Majlis Syura Jamia Darul Uloom Deoband, pada awal tahun 1982.
Tanpa beliau sedari, sebenarnya keputusan beliau ini telah memarakkan lagi krisis ini...

**
Tindakan Maulana Qari Muhammad Thoyyib membubarkan Majlis Syura Jamia Darul Uloom Deoband itu, telah membawa krisis ini kepada 'climax'nya. Mereka yang pada mulanya hanya menentang tindakan Maulana dibelakang beliau, telah berani menentangnya secara terbuka. Mereka membuat fintah, bahawa keputusan Maulana Qari Muhammad Thoyyib membubarkan Majlis Syura ini adalah untuk mengangkat anaknya iaitu Maulana Muhammad Salim Qasmi untuk dijadikan muhtamim jamia secara veto.
Maka keadaan menjadi semakin kacau, rusuhan demi rusuhan telah berlaku di dalam Jamia. Sehingga menghentikan kegiatan belajar dan mengajar di dalam jamia selama hampir 5 bulan. Akhirnya, Maulana Qari Muhammad Thoyyib telah mengeluarkan keputusan bahawa untuk meredakan krisis ini, Jamia Darul Uloom Deoband dicutikan buat sementara waktu. Semua pelajar diarahkan untuk pulang ke kampung halaman masing-masing sehinggalah panggilan semua oleh pihak Jamia.
Mendengarkan keputusan ini, golongan munafik yang berkepentingan itu mula tidak senang duduk. Maka pada tengah malam 23 march 1982, mereka semua telah menyeru orang ramai supaya berkumpul di bagunan utama Jamiah Darul Uloom Deoband, pada malam itu mereka telah mengumumkan bahawa Maulana Qari Muhammad Thoyyib telah melepaskam jawatannya sebagai Muhtamim Jamia, dan Majlis Syura akan melantik Muhtamim yang baru. Sedangkan keputusan itu bukanlah dari Maulana Qari Muhammad Thoyyib.
Mendengar penguguman itu ramai diantara para pembesar Jamia termasuk Hazrat Maulana Sayyid Anzar Shah Kashmiri (ra), Hazrat Maulana Muhammad Na’eem Sahab Deobandi (ra), Hazrat Maulana Khursheed Alam Sahab (ra), Hazrat Maulana Khalid Balyawi, Maulana Mufti Shakeel Sitapuri, Maulana Muhammad Abdul Haq Ghazipuri, Maulana Qari Muhammad Abdullah Saleem dan termasuk juga 150 orang asatizah lainnya, bersama ribuan pelajar, telah menentang keputusan itu. Mereka memilih untuk tetap bersama Maulana Qari Muhammad Thoyyib, dan akan tetap taat kepada apa sahaja keputusan yang dibuat oleh Maulana.
Kerana rasa tanggungjawab serta amanah beliau kepada jamia yang telah diwariskan oleh para pendahulu beliau, Maulana Qari Muhammad Thoyyib bersama semua yang menyokong beliau telah berpindah ke Jama' Masjid Deoband untuk menubuhkan Jamia Darul Uloom yang baru. Maka beliau telah menambahkan perkataan Waqf diakhirnya untuk mengajar para pewarisnya, bahawa Jamia ini adalah Waqf untuk Allah swt, maka ianya tidak boleh dipergunakan untuk kepentingan golongan-golongan tertentu.
Krisis ini juga telah memberi kesan kepada Jamia Mazahirul Uloom Shahranpur kerana rapatnya hubungan diantara 2 jamia ini, bolehlah dikatakan bahawa Jamia Mazahirul Uloom adalah anak sulung kepada Jamia Darul Uloom Deoband. Oleh kerana itu, pada tahun 1983, setahun selepas berpecahnya Jamia Darul Uloom Deoband, Jamia Mazahirul Uloom juga telah terpecah kepada dua Jamiah. Mereka yang menyokong Maulana Qari Muhammad Thoyyib telah tetap tinggal di Jamia Mazahirul Uloom (waqf) yang lama, dan yang tidak bersetuju telah berpindah ke Jamia Mazahirul Uloom (jadid). (Namun bersama itu ada beberapa isu yang lain, insyaallah saya akan tuliskan detailnya pada tulisan yang lain.)
Ketika menghadapi krisis ini, Maulana Qari Muhammad Thoyyib selalu berpesan kepada para muridnya, "Ikhtilaf itu hanya sebatas percakapan, tetapi mua'radah@pergaduhan itu pula melibatkan keperibadian. Krisis yang menimpa Darul Uloom Deoband ini sebenarnya adalah ikhtilaf, tetapi kerana keperibadian orang-orang tertentu telah menjadikan ianya seperti pergaduhan. Walau apa pun, ini semuanya adalah lipatan takdir. Memanjang-manjangkan perkara yang sudah pun berlaku adalah tindakan yang tidak beretika. Tumpuan perlu diberikan kepada usaha memgembalikan kegemilangan yang telah hilang dan menyatukan kumpulan-kumpulan.
Maka akhirnya ditangan Maulana Muhammad Salim Qasmi krisis ini berjaya ditamatkan pada 2006 yang lalu. Kedua-dua Akabir Jamia Darul Uloom Deoband dan Darul Uloom Deoband Waqf telah bersetuju bahawa segala yang terjadi adalah takdir dan ketentuan Allah swt, tiada siapa yang perlu dipersalahkan dalam krisis ini. Sekarang bukanlah masa menunding jari mencari siapa yang bersalah, sekarang adalah masa untuk kita semua mengambil pengajaran daripada apa yang berlaku. Satu hakikat yang harus ditelan, krisis ini telah membantutkan segala pencapaian Jamia Darul Uloom Deoband, yang sebelumnya gilang-gemilang. Serta merugikan seluruh umat islam, khasnya di India.
Sehingga kini, dua jamia ini tetap menjalankan kegiatan taklim wa ta'llum seperti biasa, dan telah melupakan segala persengketaan yang telah berlaku, pengajian Dras-Nizami dijalankan secara perasingan di kedua-dua jamia, dari Ibtidaiyyah sehinggalah ke Daurah al-Hadis. Namun silibus, Darul ifta, program Takhasus, maktabah, dan beberapa keperluan umum yang lain untuk kedua-dua jamia ini diuruskan dibawah satu pengurusan.
Ustaz Zaharuddin Nawi salah seorang pelajar Malaysia yang terakhir menuntut di Jamia Darul Uloom Deoband, menuliskan ketika menyentuh tentang krisis ini, "Lipatan sejarah menunjukakan kepada kita bahawa setiap yang pernah bersatu lama-kelamaan akan merekah juga dan selepas itu akan terpecah dua, pecah tiga...kuatnya perpecahan tentunya mengikut nisbah kuatnya hasutan musuh, nafsu dan syaitan. Semoga Allah memelihara umat Islam daripada perpecahan yang merugikan. Semoga perpecahan ini ada hikmah yg tersembunyi disebaliknya. Hikmah yang menguntungkan orang-orang yg beriman".
Sumber,
1) http://dud.edu.in/index.php/ur?id=93
2) http://ihyaaturaathina.blogspot.my/…/pelajar-malaysia-di-de…
3) Soal jawab penulis bersama beberapa pelajar Jamia Darul Uloom Deoband
Wallahuaklam.


No comments:

Sebab-Akibat

Sebab-akibat antara elemen penting dalam ilmu sejarah. Pemikiran sebab-akibat ini penting bagi mengelakkan kita membuat ramalan dan andaian ...