Saturday, March 04, 2017

Muslim Demokrat dan Pemikiran Politik Gerakan Islam Generasi Kedua



Oleh Abdullah al-Helmy

Akhir-akhir ini kedengaran beberapa istilah-konsep mengiringi kehadiran parti Islam kedua di Malaysia. Kehadiran parti Islam serpihan atau mengusirkan ‘peranan Islam dan dakwah’ dalam gerakan Islam menjadi satu fenomena di seluruh dunia Islam.

Nota ini menjengah secara ringkas tentang persoalan kehadiran Muslim Demokrat dan Pemikiran Politik Gerakan Islam Generasi Kedua yang boleh dianggap sebagai bacaan pemula.

Merapat Hubungan Islam dengan Dunia Barat
Fenomena Muslim Demokrat semakin mendapat tempat dalam gerakan Islam seantero dunia. Fenomena ini berkembang pesat setelah Rasid Tayyib Erdogan dan Abdullah Gul telah mengemudi Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) Turki memerintah Turki tanpa menamakan program pembangunan, perubahan dan pemurnian mereka dengan ‘jenama’ dan slogan Islam. Mereka telah melakukan reformasi politik sehingga berjaya meletakkan Abdullah Gul dan Erdogan sebagai Presiden Turki dan mengurangkan pengaruh tentera, birokrat dan hakim yang tegar-totok sekularisme dalam politik Turki.

Kejayaan AKP telah mempengaruhi ramai pemimpin Islam melaksanakan perubahan dalaman dalam gerakan Islam. Di Tunisia, pemimpin senior dalam Ikhwanul Muslimin yang disebut calon pengganti Presiden Kesatuan Ulama Muslim Sedunia (Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi), Syeikh Rasid Ghannousshi cuba mengaplikasikan pendekatan AKP dalam parti An-Nahdah Tunisia. Akhirnya, Islam tercabut secara rasmi daripada Parti An-Nahdah pada tahun 2016. Di kebanyakan negara seperti Malaysia dan Jordan, gerakan Islam mengalami perpecahan ekoran pertembungan kelompok reformis dengan kelompok konservatif dalam gerakan Islam. Lebih teruk, perpecahan ini menghasilkan parti-parti baru Islam yang tidak menjenamakan diri mereka sebagai parti Islam atau tidak mengunakan slogan Islam.

Pemimpin Ikhwanul Muslimin yang menjadi pelarian di Barat telah mengerakkan Ikhwan yang sesuai dengan iklim Barat. Menantu Imam Hassan al-Banna, Said Ramadhan telah membina Pusat Islam Geneva pada tahun 1961. Said Ramadhan mempunyai dua anak yang terkenal iaitu Prof. Dr. Tariq Ramadhan, tokoh yang mempromosikan hubungan baik Islam dengan Barat dan Dr. Hani Ramadhan pengasas Islamic Relief, sebuah organisasi kebajikan Islam antarabangsa yang diasaskan pada tahun 1984.

Tapak transformasi pemikiran politik Gerakan Islam ialah di Barat terutamanya di London dan Munich. Pemimpin gerakan Islam yang menjadi pelarian politik berkumpul di Barat dalam meneruskan misi perjuangan mereka. Pada tahun 1981, Ikhwanul Muslimin menubuhkan Tanzim Ikhwanul Muslimin Antarabangsa yang digerakkan oleh Mustafa Masyhur di Jerman. Mustafa Masyhur dibantu oleh Muhammad Mahdi Akef turut tinggal di sana. Para pemimpin Ikhwanul Muslimin yang berada di Barat berpandangan Ikhwan perlu mengunakan pendekatan damai dengan Barat melalui dialog dan bersama-sama Barat membentuk dunia yang lebih damai dan baik.

Di Jerman, Ikhwanul Muslimin berselindung dalam Islamische Gemeinschaft in Deutschland, IGD yang dipimpin oleh Ibrahim al-Zayat manakala gerakan Islam Turki berselindung disebalik gerakan Milli Gorus pimpinan sepupu Nehmettin Erbakan, Mehmet Sabri Erbakan. Ibrahim al Zayat juga adalah pemimpin WAMY.  Ibrahim al Zayat mengahwini Sabiha Erbakan, kakak Mehmet Sabri Erbakan dalam mengeratkan hubungan antara kedua-dua organisasi. Pemikiran politik kemajmukkan Ibrahim al-Zayat lebih konservatif, liberal dan  Kristian demokratik.

Kemuncaknya ialah penubuhan IIIT pada tahun 1980an yang berperanan mendekatkan Islam dengan Barat. IIIT mendapat restu Ikhwanul Muslimin yang kepimpinan IIIT dibarisi oleh para senior Ikhwan. IIIT turut mendapat sokongan Dr Yusuf al-Qaradhawi. Penglibatan tokoh utama IIIT, Dr. Ismail al-Faruqi dalam isu kemasukan Dato Seri Anwar Ibrahim ke dalam UMNO dilihat satu eksperimen kelompok aliran baru dalam Ikhwan ini. Anwar Ibrahim juga adalah model pembina jambatan hubungan antara Islam dengan Barat. Seperti yang kita tahu, Anwar Ibrahim adalah pemimpin muda berbakat besar yang aktif dalam WAMY, pertubuhan belia Islam yang menempatkan para pemuda ikhwan.

Pada dekad 1990an, para pemimpin gerakan Islam menganjak kepada pemikiran politik yang lebih mesra Barat. Mereka melihat satu keperluan, ‘aliran’ pemikiran baru yang menjauhkan Islam daripada sifat radikal dan ekstrem perlu diwujudkan. Antara pemimpin tersebut ialah Rasid Ghannousshi, Said Ferjani (Tunisia), Ahmed Yousef (seorang ulama dan pemimpin Hamas di Semenanjung Gaza), Saadeddine Othmani (seorang ulama Maghribi dan ahli politik), Ali Sadreddine Bayanouni (pemimpin Syria Ikhwan), Abdul Latif Arabiyat (seorang pemimpin Islam dari Jordan) dan Abdelilah Benkirane (Maghribi). Pemimpin gerakan Islam ini juga mempunyai anak didik yang ramai di serata dunia melalui saluran pengkaderan dan pentarbiyyahan Ikhwanul Muslimin Antarabangsa.

Pada pandangan penulis, transformasi pemikiran politik gerakan Islam lebih awal dilakukan oleh Anwar Ibrahim dan Dr. Hassan Turabi. Di Malaysia, Anwar Ibrahim salah seorang pemimpin Belia Islam dunia (WAMY) yang rapat dengan Ikhwanul Muslimin dan kelompok reformis Ikhwan di IIIT telah menyertai parti pemerintah, UMNO. Anwar Ibrahim banyak membina jambatan antara Islam dengan Barat. Kita boleh melihat pengaulan, persahabatan, pemikiran, bahan bacaan, penulisan, ucapan, penyertaan dalam organisasi dan program dan dana kepada pertubuhan yang direstui oleh beliau. Kita akan dapat mengesani usaha Anwar Ibrahim membina jambatan antara Barat dan Islam melalui pelbagai forum atau organisasi seperti melalui IIIT. Penulis berpandangan Anwar Ibrahim adalah contoh pemimpin paling tepat kepada model Muslim Demokrat yang unggul (beliau dilantik pengerusi pertubuhan Muslim Demokrat peringkat dunia) dan tokoh utama pemikiran politik gerakan Islam generasi kedua.

Pada pertengahan tahun 1990, Parti Wasat ditubuhkan di Mesir oleh anak muda Ikhwan bernama Aboul-Ela Maadi. Ia cuba mendamaikan antara demokrasi dan Islam, mengisytiharkan sokongan kepada pilihanraya untuk peralihan kuasa, menghargai perbezaan pendapat dan bersedia melakukan pakatan dengan parti bukan Islam. Pemikiran politik yang asing dalam kalangan Ikhwanul Muslimin Mesir yang dikuasai oleh pemikiran politik Sayyid Qutb menyebabkan kelompok muda Maadi menubuhkan parti baru. Ada pendapat parti ini direstui oleh Mustafa Masyhur.

Parti ini menjadi wadah perubahan atau reformis yang sesuai dengan saranan Carnegie Endowment for International Peace, "berusaha untuk menafsirkan prinsip-prinsip syariah Islam dengan cara yang konsisten dengan nilai-nilai sistem demokrasi liberal. Walaupun al-Wasat pendukung sistem politik yang kuat berpegang dalam hukum Islam, namun mereka juga memandang prinsip syariah sebagai fleksibel dan kompatibel sepenuhnya dengan prinsip-prinsip pluralisme dan hak-hak kewarganegaraan yang sama. "

Pada tahun 1997, Majlis Penyelidikan dan Fatwa Eropah ditubuhkan dibawah pimpin Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam memberi fatwa tentang fiqh minoriti masyarakat Islam di Eropah.

Kewujudan pelbagai NGO dan institusi pemikiran Islam dilihat sebagai usaha gerakan Islam dunia merapatkan jurang perbezaan mereka dengan Barat. Hubungan ini mempunyai pro dan kontra.

Islam Amerika: Antara Nahdah, AKP dan UMNO
Tanpa rasuah, KKN (Kronisme, Korupsi dan Nepotisme) dan penyelewengan kuasa, UMNO adalah sama dengan AKP. Tanpa rasuah, KKN dan penyelewengan kuasa, tiada apa yang membezakan UMNO dan AKP yang dilakukan dalam pemerintahan. UMNO dan AKP meletakkan Islam sebagai syiar dan pada tahap minima dalam pemerintahan. Tanpa baju Islam, Parti An Nahdah adalah UMNO di Tunisia. Pemimpin UMNO dan Parti an-Nahdah adalah Islam yang nasionalis dan sekularis tanpa bezanya.

Sebab itu gerakan Islam mesti bertegas dan berprinsip, pemerintahan Islam bukan setakat syiar Islam, urus tadbir kerajaan yang baik, mencegah rasuah, membebas negara daripada penyelewengan, bebas KKN, adil, telus, integriti tetapi meletakkan Al-Quran, As-Sunnah, Ijma’ Ulama dan Qiyas paling tinggi dalam pemerintahan dan kunci kejayaannya ialah pelaksanaan perundangan Islam. Gerakan Islam mengunakan demokrasi, penyertaan pilihanraya dan pendekatan yang menepati perlembagaan negara dalam mencapai matlamat gerakan Islam yang cukup jelas tujuannya tanpa matlamat tersirat.

Rakyat boleh mengunakan demokrasi untuk menaikkan atau menurunkan gerakan Islam berdasarkan prestasi dan polisi semasa gerakan Islam.

Teras Pemikiran Muslim Demokrat
Muslim Demokrat sebagaimana Pasca Islamisme tidak mempunyai definisi dan konsep yang jelas. Pada pandangan penulis, Muslim Demokrat lahir daripada kandungan SEPILIS. Dato Seri Mohamed Azmin Ali menyatakan Muslim Demokrat memperjuangkan demokrasi mempunyai nilai sejagat (seperti keadilan dan kebebasan) diusung bersama nilai tempatan (persoalan identiti, kebudayaan dan kenegaraan). Persoalan yang timbul, pertama definisi-konsep nilai-nilai sejagat mengikut Timur, Barat atau Islam?. Kedua, jika nilai-nilai sejagat dan nilai-nilai bertentangan dengan Islam, adakah definisi al-Quran ditolak?.

Antara sifat asasi Muslim Demokrat ialah sekularisme, demokrasi, modenisme, pragmatisme, inklusif, pluraliti, liberalisme, toleran, rasional, progresif, nilai hak sivil, reformisme, populisme dan prinsip maqasid syariah. Di kebanyakan negara, kelompok Muslim Demokrat atau Islamis Demokrat ini mengunakan slogan Islam Rahmat Untuk Semua atau Islam rahmatan lil’alalmin.


Sekularisme
Pemisahan antara peranan jemaah Islam dengan parti politik mengambarkan sifat sekularisme yang ada dalam pemikiran pimpinan kelompok Muslim Demokrat.

Menurut Prof. Dr. Wan Mohd Nor Wan Daud, kerangka atau prinsip-prinsip utama worlview sekular berdasarkan rumusan sarjana Barat dan seperti yang terbukti dari pengalaman kebudayaan dan tamadun (peradaban) mereka:

Pertama, alam jagat atau sarwajagat atau sejagat iaitu universe adalah satu-satu alam yang ada. Dalam pandangan mereka, alam jagat ini juga tidak mempunyai kewujudan dan makna rohani. Tidak ada alam rohani, alam arwah, alam malakut atau jabarut. Tidak ada syurga atau neraka. Prinsip-prinsip lain dalam pandangan alam mereka, semua terlahir daripada yang pertama ini.

Kedua, dalam pandangan alam sekular, semua nilai dianggap tidak memiliki watak sakral, suci, dan kekal abadi.

Ketiga, kegiatan dan tujuan politik hanya terbatas kepada kepentingan kehidupan dalam dunia ini, tiada tujuan akhirat. Malah kegiatan keagamaan dibenarkan dan dikembangkan untuk men-capai kesejahteraan dan kejayaan duniawi sahaja.

Keempat, alat bagi mencapai kesejahteraan dalam hidup duniawi ini hanyalah akal fikiran manusia dan saling membantu diantara mereka. Dalam konteks ini, ilmu sains, perekonomian, perubatan dan teknologi adalah yang paling diperlukan.

Muslim Demokrat adalah produk yang dilahirkan daripada rahim sekularisme. Sewajarnya, ia ditolak. Menurut Syed Ali Tawfiq al-Attas, sekularisme adalah produk worldview Barat yang tidak cocok dengan Islam sama sekali. Sebab worldview Barat dan Islam kenyataannya memang sangat berbeda.

Modenisme
Perkembangan modenisme bermula dengan sejarah penentangan terhadap penguasaan institusi gereja yang memonopoli dan mentafsir agama Kristian. Institusi gereja menentu kebenaran yang perlu diikuti oleh penganut agama Kristian. Modenisme adalah satu kepercayaan bahawa untuk mencapai kemajuan dalam kehidupan, masyarakat perlu dibebaskan daripada kongkongan tradisi.

Pragmatisme
Pragmatisme politik, mereka hanya melihat kepentingan jangka pendek yang menguntungkan diri dan kelompoknya. Jika faedahnya sudah berkurangan, mereka akan mencari manfaat yang lain. Oleh sebab itu, pragmatisme ini hanya menguntungkan sebahagian kecil kelompok elitis berbanding rakyat dan anggota parti. Kalau kes Parti Islam umpamanya, ia perlu mengorbankan idealism Islam demi kepentingan kekuasaan. Seseorang yang pragmatis sanggup mengorbankan pandangan alam Islam mereka untuk mencapai kemenangan dalam politik kekuasaan dan pilihan raya.


Demokrasi
Muslim Demokrat kononnya cuba memdemokrasikan ekonomi, sosial dam politik. Walaupun kita mengakui kelebihan dan kebaikan demokrasi, sistem demokrasi bukanlah segala-galanya. Gerakan Islam hanya mengunakan demokrasi untuk menegakkan Islam (lebih tepat: ruang menyuarakan Islam). Barat mengunakan demokrasi untuk menjarah negara lain. Lebih teruk atas nama prinsip demokrasi, muslim didorong untuk mengakui kebenaran agama lain sebagaimana pandangan Dr Wan Mohd Nor Wan Daud.

Antara ciri-ciri politik dalam demokrasi ialah: pengasingan kuasa; kekuasaan rakyat; perwakilan; pilihan raya; warganegara adalah sama. Manakala syarat-syarat demokrasi pula ialah:  persamaan; kebebasan (bersuara, berpersatuan); perlembagaan yang demokrasi (cita-cita rakyat dan kehendak rakyat menjadi perhatian); semakin berpendidikan; masyarakat yang setara; pengagihan harta benda; dan sikap  toleransi.

Dalam ‘politik’ Islam, sistem politik bukanlah keutamaan. Paling penting dan utama ialah individu yang memimpin atau pemimpin (atau pentadbir). Asal unsur kepimpinan Islam melalui sistem syura berdasarkan wahyu (kedaulatan Allah) dan kekuasaan rakyat. Sistem syura ini diupayakan oleh maqasid al-Quran.  Perbezaan sistem demokrasi dengan sistem syura ialah pertama, sistem syura berpandukan Wahyu. Kedua, demokrasi Barat menekankan persoalan hak-hak manusia atas nama hak. Sedangkan persoalan hak-hak manusia dalam Islam disertai dengan sifat amanah. Ketiga, demokrasi Barat menekankan tentang kebebasan sedangkan sistem syura  dalam menekan tentang kebebasan disertai dengan sifat tanggungjawab.

Khutbah terakhir di Arafah menjadi contoh dimana hak-hak manusia perlu disertai dengan sifat amanah dan tanggungjawab bukan sekadar hak-hak manusia sahaja.

Antara Pluraliti dan Pluralisme
Penulis sangat bersetuju kemajmukan atau pluraliti sebagaimana dinyatakan oleh Dato Dr. Siddiq Fadzil sebagai ‘fiqh al-ta`addudiyyah (fiqh pluraliti) yang meliputi persoalan hak kebebasan beragama, hak asasi manusia, prinsip keadilan,  nilai-nilai kemanusiaan sejagat dan seterusnya tata susila  kesantunan hidup berdampingan dalam masyarakat pelbagai kaum dan agama.  Kemajmukan masyarakat Malaysia adalah lahan paling subur untuk menumbuhkan fiqh al-ta`ayush atau fiqh co-existence   dalam pengertian tata aturan hidup berdampingan yang harmonis dan penuh semangat kesalingan dalam kalangan warga pelbagai agama dan budaya.’ 

Malaysia yang memiliki masyarakat majmuk semestinya menghadapi cabaran pluraliti. Cabaran pluraliti tidak cukup dengan retorik-retorik dan istilah bombastik. Pada pandangan penulis, ia bermula dengan pendidikan dimana penghapusan sekolah vernakular berdasarkan bahasa ibunda. Sebelum kewujudan sistem pendidikan vernakular, masyarakat bukan Melayu yang tinggal di Tanah Melayu perlu menguasai Bahasa Melayu dalam interaksi dengan majoriti rakyat berbangsa Melayu. Tanpa penguasaan Bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat bukan Melayu, cabaran pluraliti hanyalah sembang kencang.

Cabaran pluraliti seterusnya taat setia kepada Raja-raja Melayu dalam kalangan masyarakat bukan Melayu semakin merosot. Jika dulu, masyarakat bukan Melayu bersedia berada di bawah naungan Raja-raja Melayu. Mereka tidak campur tangan dalam politik Melayu. Jika masyarakat bukan Melayu mula berani mencampuri politik Melayu, suasana politik negara akan menjadi tidak stabil. Kita semua perlu mengakui bahawa rahsia kemakmuran dan kesejahteraan negara Malaysia terletak pada kestabilan politik orang Melayu-Bumiputera.

Kita mahu hidup dalam suasana yang harmonis bersama-sama sebagai satu Masyarakat Malaysia. Terasnya politik Melayu-Bumiputera, satu sistem pendidikan kebangsaan dan Bahasa Melayu.

Sebahagian daripada Orang Melayu teruja dengan undi bukan Melayu sehingga menyembunyi kebenaran Islam atas nama pluraliti dalam memperjuangkan Islam. Malah, ada yang lebih berani berhujah, bercakap dan menulis melampaui batas keimanan dan kekufuran atas nama pluraliti sehingga menjadi pluralisme agama. Kita boleh melihat dalam kes kalimah Allah dan kes tiada paksaan menganut Islam.

Pluralisme agama dikatakan pluraliti. Kebenaran agama lain turut diakui. Semua agama adalah sama kerana semua menuju jalan kebenaran. Pluralisme agama adalah asas perjuangan kepada Interfaith Council atau Interfaith Commission(IFC) dan COMANGO yang pernah mengemparkan negara. Menariknya para aktivis yang mendokong pemikiran SEPILIS termasuk pluralisme agama berkampung dalam PKR dan DAP.


Fiqh al Muwatanah (Fiqh Kewarganegaraan)
Fiqh kewarganegaraan menjadi isu penting dalam gerakan Islam Ikhwanul Muslimin. Tidak hairan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) melalui Majlis Ulama ISMA (MUIS) dalam Muzakarah Ulama Fiqh Muwatanah pada 2 April 2016 dan Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) mengemukakan kertas kerja di NUNJI 15 tentangnya.

‘Dalam Nadwah Ulama Nahdhah Jadidah (NUNJI ‘15), Ustaz Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad, Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) telah membentang satu kertas kerja bertajuk “Fiqh al-Muwatanah: Satu Perkongsian dalam Membangun Negara”.’

‘Konsep Fiqh al-Muwatanah (Fiqh Kewarganegaraan) iaitu fiqh tentang isu-isu berkaitan warga sesebuah negara dan hubungannya dengan negara tersebut menurut perspektif Islam dan syariah.’

‘Menurut Mohd Parid, Fiqh Kewarganegaraan lahir daripada ikatan sosial antara warga sesebuah negara dan negara tersebut, hubungan kesetiaan, perkongsian dan pertanggungjawaban antara satu sama lain dalam semua suasana. Berdasarkan Fiqh al-Muwatanah, setiap orang yang dianggap warganegara dalam sesebuah negara Islam mempunyai hak yang sama rata, sama ada mereka itu Muslim atau bukan Muslim, dan tidak ada warganegara kelas kedua atau kelas ketiga. Malahan, kaum Yahudi pada zaman Rasulullah s.a.w juga dianggap sebagai warganegara dan sebahagian daripada umat oleh Rasulullah s.a.w.’

‘Setiap warga sesebuah negara  diberi hak yang sama rata, namun hak yang sama rata juga datang dengan tanggungjawab yang sama yang mesti dipikul oleh warganegara tersebut, yang mengambil salah satu prinsip yang menjadi asas fiqh kewarganegaraan iaitu:

“Memberi mereka hak seperti hak bagi umat Islam dan ke atas mereka tanggungjawab seperti tanggungjawab atas umat Islam.”

‘Dalam konteks Malaysia yang berbilang etnik, agama dan budaya sedang majoriti rakyatnya orang-orang Islam, maka Fiqh al-Muwatanah (فقه المواطنة) menjadi amat penting, yang menyentuh dan menjawab kedudukan seluruh warganya, Muslim dan bukan Muslim, hak dan tanggungjawab mereka kepada negara dan sesama mereka.’

‘Menurut Mohd Parid, secara prinsip, semua warganegara adalah sama. Namun, jika terdapat perbezaan dalam mendapatkan hak, perbezaan itu adalah berdasarkan keperluan individu kerana faktor fizikal, keupayaan, sosio-ekonomi dan juga geografi. Namun, kelebihan yang diberikan mestilah tidak mengambil hak warganegara yang lain. Setiap warganegara berhak mendapatkan hak dalam pendidikan, ekonomi, kesihatan, dan politik yang sama berdasarkan polisi-polisi kerajaan.’

Dalam konteks Malaysia, Fiqh Kewarganegaraan bukanlah suatu keutamaan untuk dibincangkan. Sebahagian mereka cuba mere-definisikan konsep kewarganegaraan dalam pemerintahan yang terikat dengan konsep Islam, Kafir Zimmi dan Kafir Harbi.

Fiqh kewarganegaraan menjadi satu elemen penting dalam mengharungi cabaran pluraliti. mengutarakan beberapa konsep yang perlu dijadikan dasar dan tasawwur dakwah sama ada di negara majoriti penduduk Islam dan juga di mana orang Islam adalah minoriti. Konsep ‘al Ukhuwat al Muwatanah’, ‘al Ukhuwat al Insaniyyah’ dan ‘Dar al Da’wah’ yang dianjurkan oleh pendakwah kontemporari seperti Yusuf al Qaradhawi, Tariq Ramadhan, Fahmi Huwaidiy, Jasser Auda, Muhammad Fathi Uthman dan Rasid al-Ghannoushi perlu dijadikan topik perbincangan dan diberikan ruang yang sewajarnya untuk dijadikan satu pendekatan dakwah yang lebih segar dan berkesan khususnya dalam mengolah semula konsep ukhuwah dan hubungan dengan bukan Islam. Sebagaimana ditegaskan oleh Menteri Besar Selangor, Dato Seri Mohamed Azmin Ali, ‘keadilan itu harus dituntaskan bukan sahaja kepada warganegara yang beragama Islam tetapi turut wajib dipelihara hak-hak warganegara yang bukan Islam’[Sinar Harian, 10 Disember 2016].


Kemunculan Pemikiran Politik Gerakan Islam Generasi Kedua (Gen-2)
Di Malaysia, Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan sebahagian pemimpin Parti Amanah Negara (AMANAH) yang berbicara tentang konsep Muslim Demokrat. Gerakan Islam seperti IKRAM Malaysia dan ABIM turut membicarakan tentang konsep ini. Oleh kerana konsep Muslim Demokrat mengunakan istilah Barat, Jalur Pemikiran Politik Gerakan Islam Generasi Kedua (Gen 2), pendekatan maqasid syariah dan slogan Islam rahmatan lil’alalmin lebih dipopularkan.

Dr. Dzulkefly Ahmad mendefinisikan bukan sahaja dari segi gagasan pemikiran dan idea tetapi bersekali ‘satu penampilan baru entiti politik’ yang mengalami evolusi hasil interaksi dengan dinamika sosio politik  negara masing-masing. Ia dilakarkan dengan anjakan generasi dalam pemikiran dan pengurusan idea yang melahirkan gerak kerja yang mempunyai kelainan dan berbeza dengan yang lama. Hakikatnya terbit dari kelainan pengolahan pemikiran dan dasar, cita-cita dan penghayatan perjuangan mendepani realiti baru.

Ciri-ciri Generasi Kedua Politikal Islam ialah:
1. Negara yang bersifat sivil dan tidak kudus, mengiktiraf kedaulatan rakyat berbanding hakimiyyah lillah.
2. Negara yang bersifat sivil dimana segala sesuatu akan diundang-undangkan melalui perbahasan di parlimen. Tiada yang layak mewakili Tuhan atau bercakap atas nama Tuhan. Tiada amalan teokrasi.
3.Undang-undang boleh yang dibahaskan di perlimen boleh ditolak walaupun bersandarkan nas dan dalil syarak kerana wujud pelbagai interprestasi dan fahaman tentang kesesuaian, ketepatan, pelaksanaan dan keberkesanan penyelesaian.
4. Mengiktiraf mesyuarat sebagai kaedah membuat keputusan serta menerima keputusan pilihanraya dalam mengangkat sebuah kerajaan.
5. Peranan agama dalam konstruk politik lebih jelas suatu yang bersifat sivil dan demokratik serta berpaksi ijtihad bukan bersandar hak kudus yang dimainkan oleh para ulama sahaja.
6. Memahami dan menerima pluralisme politik dalam amalan sistem multi parti.
7.  Mengungkap ayat al-Quran dan hadith atau pandangan ulama dari kitab turath yang sesuai dengan konteks dan relevan dengan realiti dan keperluan rakyat masa kini.
8. Mampu menerima kritikan walaupun mengunakan sumber perundangan Tuhan dan tidak mendakwa mewakili ‘kebenaran’.
9. Mengutamakan kepentingan urus tadbir yang baik
10. Pengasingan kuasa
11. Menolak retorik anti-barat dan sedia berdialog serta wacana dengan Barat.

Daripada 11 ciri yang disenaraikan di atas, tiada bezanya pendekatan yang dilakukan oleh PAS pada hari ini.

Gen-1 mempunyai cabaran yang perlu ditangani dalam kerajaan dan parti mereka. Antara cabaran tersebut ialah:
1. Gagal memacu pembangunan dan ekonomi sebagaimana yang diingini oleh pengundi dan rakyat.
2. Gagal menaikkan kedudukan keseluruhan indeks kesejahteraan hidup rakyat dan umat Islam
3.  Gagal menampilkan kebolehan dan ketrampilan untuk memberi program responsif dan polisi penyelesaian yang berkesan terhadap pelbagai dan seaneka permasalahan dan kemelut rakyat bersabit perihal ekonomi dan aspek sosio politikal dalam isu-isu bermasyarakat dan bernegara.
4. Gagal bersifat mesra dengan golongan minoriti bukan Islam.
5. Membawa slogan-slogan dan retorik yang berorientasikan anti-Barat secara borong dan sangat tajam pertentangan terhadap golongan sekular yang dianggap anti agama
6. Sukar untuk merentasi  pengaruh dan sokongan pengundi dalam sebuah masyarakat yang berbilang agama, kaum, etnik, budaya serta menganut pelbagai kefahaman politik, ideologi dan mempamerkan amalan pluralisme politik dalam sebuah konstruk sistem multi parti
7. Kegagalan menyelesaikan konflik dalaman yang ketidakselesaian.

Dalam perkara [1], [2] dan [3], pemerintahan sebuah kerajaan negeri banyak bergantung kepada sumber-sumber ekonomi yang mereka perolehi. Kepimpinan yang baik sahaja tidak mencukupi.

Dalam perkara [4] dan [6], usaha-usaha merapati orang bukan Islam dilakukan pada pertengahan tahun 1980an lagi.
Dalam perkara [5], ini satu dakwaan yang aneh. Umat Islam perlu kritikal terhadap pemikiran Barat dan perlu mencari penyelesaian berdasarkan sumber ilmu Islam. Anehnya,  kelompok baru inilah yang menjadi pemuja kepada istilah-konsep yang dibawa daripada Barat sebagaimana istilah-konsep Muslim Demokrat.

Dalam perkara [7], keluarnya pemimpin yang kalah adalah jalan penyelesaian konflik yang paling baik kerana sidang muktamar menolak mereka. Malangnya mereka merajuk dengan keputusan keluar jemaah Islam.

Dr. Dzulkefly menyatakan Gen 2 perlu buat:
1. Berani membuat ijtihad dan keluar daripada kekakuan ungkapan perjuangan atau kelumpuhan intelek.
2. Memahami tuntutan zaman serta logika semasa keperluan umat dan rakyat di segi permintaan untuk menyambung kelangsungan bahkan meningkatkan kesejahteraan manusia.
3. Pemikiran politik tahap tinggi yang menekankan proses melakukan diagnosis penyakit, memahami penyakit dari sudut penyebab-penyebabnya yang bersifat pelbagai dan hubungkaitnya dalam mencetus gejala dan angkara dalam masyarakat dan negara. Penyelesaian berdasarkan nas dan dalil syarak atau ijtihad.
4. Memahami konteks realiti politik dan naratif sejarah kemerdekaan negara.
5. Memperkayakan pencernaan dasar-dasar dan polisi daripada Maqasid Syariah

Masalah Melanda Gerakan Islam
Perpecahan yang dialami oleh kebanyakan gerakan Islam di seluruh dunia disebabkan oleh [1] perubahan pandangan alam, [2] perbezaan pendekatan, [3] perkembangan teknologi maklumat begitu pantas (maklumat dihujung jari) dan perubahan budaya manusia (contoh setiap orang boleh bersuara dan didengari melalui viral). Pahala atau dosa, syurga atau neraka, azab kubur dan azab neraka, kewujudan dan pemerhatian Allah SWT sudah tidak dipedulikan lagi. Kehidupan bertuhan dan beragama semakin longgar. Gerakan Islam mendapat tempias lebih hebat apabila budaya berjemaah termasuk wala’ dihakis dengan budaya kebebasan bersuara tanpa batasan.

1. Keherotan Dalam pembinaan Kerangka Pemikiran dan  Pandangan Alam
Muslim Demokrat mengalami kecelaruan identiti kerana terperangkap dengan agenda musuh Islam yang menyusupi kerangka pemikiran dan pandangan alam mereka. Keghairahan mengejar kemenangan dalam pilihanraya menyebabkan mereka mengadai perkara yang paling berharga iaitu kerangka pemikiran dan pandangan alam berdasarkan tauhidk dan quranik. Mereka hilang ketegasan dalam mempertahankan prinsip demi sesuap undi manusia yang entah ke mana membawa iman seorang muslim.

Definisi Pandangan hidup atau pandangan alam atau pandangan sarwajagat (worldview) dalam Islam ialah:

Menurut Maulana Abul Ala’ al-Maududi, Islami Nazariyat (worldview) pandangan hidup yang dimulai dari konsep keesaan Tuhan (kalimah syahadah) yang berimplikasi pada keseluruhan kegiatan kehidupan manusia di dunia. Sebab kalimah syahadah adalah pernyataan moral yang mendorong manusia untuk melaksanakannya dalam kehidupannya secara menyeluruh.

Menurut Sayyid Qutb, al-tasawwur al-Islami (worldview), sebagai akumulasi dari keyakinan asasi yang terbentuk dalam fikiran dan hati setiap Muslim yang memberi gambaran khusus tentang wujud dan apa-apa yang terdapat disebalik itu.

Menurut Syed Muhammad Naquib al-Attas,  pandangan alam (worldview) adalah pandangan Islam tentang wujud (ru’yaat al-Islam lil-wujud). Pandangan alam Islam tentang realiti dan kebenaran yang nampak oleh mata hati kita dan yang menjelaskan hakikat wujud; oleh kerana itu apa yang dipancarkan oleh Islam adalah wujud yang tuntas.

Secara rumusannya, pandangan alam Islam ialah satu pandangan yang berasal daripada hakikat keimanan dan tauhidik (iaitu bertunjangkan kalimah syahadah dan kewujudan Allah) yang mengupayakan pandangan dan tindakan terhadap realiti.

Pandangan alam dibina daripada kerangka pemikiran yang distrukturkan oleh akumulasi konsep-konsep yang diperolehi daripada pengaktifan aqal sama ada melalui pancaindera: pembacaan, dengar, bercakap dan melihat, pengalaman hidup dan pengaulan sepanjang kehidupan mereka termasuklah lintasan idea dan perasaan. Kerangka pemikiran dapat menentukan tahap kefahaman seseorang individu dalam sesuatu perkara sehingga individu tersebut membuat sesuatu keputusan.

Bagaimanakah Muslim Demokrat difahami?. Muslim ialah seorang yang beriman dan Islam yang belum tentu sejauhmanakah istiqamah dalam kehidupan beragama. Ia berlainan dengan definisi mukmin. Demokrat adalah orang yang mengerakkan demokrasi.

Muslim Demokrat boleh juga dikaitkan dengan Muslim yang mempraktiskan demokrasi atau Muslim Pro-Demokrasi. Apakah aliran demokrasi yang mahu dianuti oleh seorang Muslim Demokrat?. Demokrasi Liberal atau demokrasi sosial?. Atau mungkin Muslim Demokrat mempunyai identiti khas yang tersendiri.

Gerakan Islam dan Islamis menyertai mengunakan demokrasi untuk menghidupkan dan menegakkan Islam sebagai satu cara hidup dan satu penyelesaian bukannya demokrat mengunakan Islam untuk menghidupkan dan menegakkan demokrasi. Gerakan Islam mengunakan demokrasi atas sifat menerima mudharat kecil daripada menerima mudharat yang lebih besar.

Pandangan alam seseorang individu boleh berbolak-balik sebagaimana berbolak-baliknya iman. Kadangkala penulis tidak percaya tokoh-tokoh hebat yang ditarbiyyah boleh me-nyahkan pandangan alam Islamnya. Lihat sejarah, bagaimana Qarun tersesat?. Lihat juga kenapa pemimpin-pemimpin gerakan Islam meninggalkan perjuangan mereka.  Ada disebabkan kuasa, harta, pangkat-jawatan, habuan dunia, perempuan, sifat pragmatis, masalah peribadi, masalah kepimpinan dan paling malangnya terpengaruh dengan pandangan alam yang keliru, sesat dan keluar daripada Islam. Tidak hairan graduan agama boleh terjebak dengan ajaran sesat Ayah Pin dan Syiah.

Pandangan alam Islam dalam ‘politik’(lebih tepat: siasah) mengariskan kualiti kepimpinan Islam, kewujudan masyarakat dan pemerintahan Islam. Asasnya pandangan alam Islam pada individu yang memimpin atau pada seorang pemimpin. Pemimpin yang mempunyai pandangan alam Islam inilah yang membawa penghayatan Islam dalam sesebuah organisasi, masyarakat dan negara yang diperintahnya. Penulis berpendapat, keherotan pandangan alam Islam dalam kalangan pemimpin Islam yang ditarbiyyah disebabkan oleh sifat pragmatis mereka yang mahu undi dan kemenangan dalam pilihanraya.

Penulis tertarik dengan pengalaman dan pandangan Dr. Khalif Muammar yang menyatakan “seorang salafi dan Islamis, tetapi di masa tua ia menjadi modenis dan liberal. Ada dua kemungkinan mengapa hal ini berlaku:

Pertama, ia menjadi salafi/Islamis semata-mata kerana pengaruh persekitaran dan sebenarnya tidak yakin dengan apa yang diwacanakan. Kedua, ia faham dan yakin dengan wacana tersebut tetapi tuntutan zaman merubah fikirannya untuk lebih pragmatik dan mementingkan survival diri. Dalam kedua-dua situasi ini ia gagal memiliki kerangka berfikir yang teguh dan mantap yang diinginkan oleh Islam.

Hal ini menunjukkan begitu besar pengaruh dan mudahnya merebak pemikiran liberal kepada masyarakat Muslim. Di sinilah pentingnya kita mempersiapkan diri dengan pandangan alam (worldview) Islam supaya kita dapat memelihara diri kita daripada terpengaruh dengan pandangan alam yang boleh merosakkan Aqidah dan jati diri kita.”[Facebook Khalif Muammar: 5/1/17]

2. Perbezaan Pendekatan
Asal matlamat semua gerakan Islam adalah sama iaitu menegakkan Islam dalam masyarakat dan pemerintahan Islam sama ada meletakkan individu mukmin sebagai pemimpin atau mengubah sistem. Menurut Dr. Dzulkefly Ahmad, ‘Kaedah dan strategi daripada kebanyakan gerakan Islamis mungkin berbeza dalam rangka waktu dan tempat, tetapi matlamatnya kekal satu dan selari bagi semua’. Dr. Dzulkefly Ahmad membawa buah pemikiran Dr. Tariq Ramadhan menyatakan ‘Selaras dengan “perubahan pendekatan” atau “anjakan generasi” – generational shift’ sebagaimana PAS menganjak daripada Konsep Negara Islam kepada Konsep Negara Berkebajikan.

Perubahan pendekatan atau anjakan generasi bukanlah mengubah nama konsep Negara Islam atau mengenepikan perundangan Islam. Pendekatan terbaik yang perlu difikirkan ialah bagaimana mengatasi kejahilan masyarakat terhadap konsep Negara dan perundangan Islam.  Ia satu usaha yang berterusan. Syed Ali Tawfiq al Attas menyatakan, ‘kita seringkali salah faham bahwa begitu menyebut syariah yang terbenak dalam kepada kita hukum potong tangan, warisan, posisi wanita dan sebagainya. Padahal inti tujuan hukum Islam itu universal. Inti dari syariah dalam Islam adalah penjagaan nilai-nilai universal mengenai keadilan, kebebasan, kemanusiaan, persamaan hak, perlindungan diri, harta, nyawa dan sebagainya’. Gerakan Islam perlu jelaskan kebaikan inti syariah kepada rakyat tanpa berselindung atau bermuka-muka.

Penulis memang bersetuju dengan perubahan pendekatan dalam politik kerana politik bersifat dinamik dan wajar sesuai dengan semangat zaman. Cuma perubahan dalam pendekatan jangan sampai bersifat pragmatis dan matlamat menghalalkan cara. Dalam peristiwa Langkah Kajang atau Kajang Move, penulis membaca dua tulisan Dr. Dzulkefly Ahmad bersambungan demi mempertahankan dan menghalalkan Langkah Kajang dalam Harakah dan Suara Keadilan. Apa tujuan Langkah Kajang dan apa kesudahan Langkah Kajang?. Bagaimana nasib Setiausaha Agung PKR, Dato Saifuddin Nasution dalam kes mahkamahnya dan bagaimana pula nasib Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim ketika itu?. Langkah Kajang punca perpecahan Pakatan Rakyat mengakibatkan dua wakil rakyat PAS berpaling tadah. Suatu yang jarang berlaku dalam PAS yang dilakukan oleh individu yang bukan ditarbiah oleh PAS.

3. Konsep, Istilah, Laras bahasa dan Slogan yang digula-gula
Dr. Dzulkefly Ahmad menyatakan, ‘tentang keperluan meletakkan Matlamat-Matlamat dan Tujuan-Tujuan Syariah atau Maqasid al-Syari'ah sebagai dasar dan cita-cita perjuangan yang sepatutnya mendapat Keutamaan yang mendesak’.  PAS mempunyai Majlis Syura Ulama dan Dewan Ulama (peringkat pusat dan negeri) serta anggota terdiri ramai ulama dan lepasan agama. Unsur-unsur maqasid syariah dan fiqh keutamaan dalam politik sudah lama dipraktikkan tanpa menamakan konsep-konsep atau istilah yang bombastik. Lihat ijtihad PAS yang cukup dinamika dalam keputusan calon wanita dalam pilihanraya dan tahaluf siyasi dimana mendahului gerakan Islam yang lain.

Antara ciri-ciri jalur pemikiran politik gerakan Islam generasi kedua, Dr. Dzulkefly menyatakan ‘secara sedar meninggalkan doktrin serta penggunaan pengistilahan (mustalahat) atau laras bahasa (phraseology) Gen-1’. Laras bahasa politik kebanyakannya mainan retorik mengikut zaman. Permainan istilah atau laras bahasa politik adalah permainan lama PengABIMan UMNO suatu ketika dahulu. Slogan dan laras bahasa seperti Masyarakat Madani dan Manhaj Malaysia adalah sembang kencang sahaja. PAS pula terus relevan apabila istiqamah dalam perjuangan Negara Islam dan perundangan Islam (hudud) manakala gerakan Islam yang bermain-main dengan pelbagai konsep, istilah dan slogan terus hanyut tanpa pendirian yang kukuh.

Gen-2 dilihat satu proses sekularisasi gerakan Islam. Gerakan Islam yang memperjuangkan syiar Islam, istilah-istilah Islam, konsep-konsep Islam dan slogan Islam seperti konsep keadilan untuk semua tanpa mengimplementasi perundangan Islam hanya mengulangi usaha kelompok ABIM dalam UMNO dan ulama-ulama pro-pemerintah(UMNO). Ia akan meneruskan legasi pemerintahan BN yang sekular.

Sifat Gen 2  sangat digemari oleh Barat. Inilah kehendak Barat kerana Gen 2 membawa aspirasi Barat. Islam tanpa syariat. Islam mengikuti kehendak Amerika: Islam Amerika. Kelompok Gen 2 banyak mengunakan dan meminjam konsep, istilah dan slogan daripada Barat. Tidak cukupkah istilah, konsep dan slogan yang boleh dicerna daripada Al-Quran, As-Sunnah, Ijma’ ulama dan Qiyas.

Antara konsep, istilah dan slogan yang Islami biasa digunakan oleh kelompok Gen 2 ialah maqasid syariah dan Islam rahmatan lil’alalmin. Maqasid Syariah digunakan dengan cara yang salah apabila ia digunakan secara bermudah-mudahan dalam menangguh hukum sehingga DAP pun pandai bercakap tentang maqasid syariah. Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyatakan “mereka yang menimbulkan kekeliruan menggunakan Maqasid Syariah dengan tujuan menyingkirkan hukum Islam”. Umat Islam mesti menilai dari segi keutamaan sumber ilmu berdasarkan kedudukan pertama iaitu Al-Quran diikuti oleh As-Sunnah, ijma’ ulama , qiyas dan lain-lain. Kita mahu bermaqasid tetapi tidak mahu ber’al-Quran’. Menurut Dato Dr. Siddiq Fadzil, tiada Maqasid Syariah jika tiada Maqasid Al-Quran. Dahulukan al-Quran.

Di banyak negara seperti Indonesia, dari konsep, istilah dan slogan Islam rahmatan lil’alalmin digunakan untuk mengukuhkan syiar Islam dan Islam tanpa syariat. Islam rahmatan lil’alalmin menelurkan Islam yang ramah, Islam untuk semua, keadilan Islam untuk semua, Islam Nusantara, Fiqh Malaysia, Manhaj Malaysia, Fiqh Nusantara dan Negara Rahmah. Rumusannya, Islam rahmatan lil’alalmin digunakan untuk membuktikan bahawa penghayatan Islam berdasarkan pengaruh kawasan dan kebudayaan tempatan. Daripada inilah datangnya laungan membuang budaya kearaban, menolak jihad dan menangguh perundangan Islam.

Akhir-akhir ini, perjuangan kelompok Islah-reformasi, salafi dan kelompok SEPILIS kelihatan senada dan bahu-membahu antara satu sama lain. Hampir tiada kritikan sesama mereka dan mereka keras bersuara jika bahan kritikan itu adalah gerakan Islam.

4. Gagal Mengenali Musuh.
Gerakan Islam gagal mengenali musuh yang sebenar. Gen 2 menganggap ‘musuh’ sebagai rakan kongsi. Anak didik Rasid Ghannousshi dan pemimpin utama Parti An-Nahdah Tunisia, Said Ferjani menyatakan Barat adalah rakan kongsi bukannya musuh Islam. Dr. Dzulkefly Ahmad menekankan agar retorik dan slogan anti-Barat ditiadakan.

Musuh dalam Islam mengunakan pendekatan penentangan secara terbuka; pendekatan kekerasan; dan pendekatan bersembunyi.

Musuh-musuh Islam ialah
1. Iblis dan syaitan
2. Yahudi-Nasrani
3. Jelas menolak Allah dan Rasul-Nya.
4. Musuh yang menyerang atau menzalimi umat Islam secara kekerasan dan terbuka
5.Musuh yang menentang Islam secara tertutup atau pendekatan intelektualisme serta kristianisasi (keagamaan)
6. Orang Islam yang mengkhianati Islam dan umat Islam

Pada hari ini, musuh-musuh Islam telah mengkaderkan watak-watak hero kalangan umat Islam yang membawa aspirasi musuh Islam. Musuh-musuh Islam juga menyalurkan dana dan bantuan kepada NGO-NGO Islam untuk memperjuangkan aspirasi musuh sekaligus membawa agenda tersirat pihak musuh. Musuh-musuh Islam mengunakan media massa dan media sosial serta gajet dalam penyaluran maklumat dan hiburan yang mengubah cara berfikir dan budaya anak muda Islam.

Sesetengah ulama, sarjana dan pemimpin umat Islam terpengaruh dan terperangkap dengan aspirasi musuh Islam atas nama rakyat, demokrasi, pembaharuan, keadilan, toleransi, hak sivil, perubahan, persamaan, reformis, progresif, islah dan inklusif. Mereka mula mencampur-aduk pemikiran Islam dan pemikiran barat. Mereka memilih secara selektif hujah-hujah Islam yang memenuhi kehendak mereka dalam menghalalkan tindakan mereka.

Kita boleh mengesani diri mereka melalui sifat dibawah:
1. Menerima sebahagian hujah-hujah daripada al-Quran dan as-Sunnah yang menepati kehendak mereka dan menolak sebahagian yang lain.
2. Berhujah dengan secara selektif untuk kepentingan diri dan kumpulan mereka sahaja
3. Pengaulan baik mereka dengan kelompok-kelompok yang anti Islam
4. Mengelirukan umat Islam dengan mengangkat pemikiran dan pandangan minoriti-aneh dalam kalangan ulama.
5. Suka berdebat, berforum atau ceramah berbanding muzakarah.
6. Selesa dengan pandangan Barat. Jika berhujah melalui lisan atau tulisan, pandangan Barat seringkali diutamakan. Mereka gemar mencampur-adukkan pemikiran Islam dan pemikiran Barat.
7. Mengunakan istilah-konsep yang bombastik
8. Menjauhi ulama
9. Akhlak yang teruk.


Pemerkasaan Islam dan Gerakan Islam.
1. Mengurus Institusi dan Organisasi
Masalah mengurus institusi atau organisasi dimana gerakan Islam perlu berusaha membaikinya agar lebih cekap dan efisen.

Pengurusan institusi dan organisasi yang berkesan disebabkan oleh tenaga kerja yang ikhlas, profesional dan tidak dibebankan tugas oleh orang yang sama. Kedua, tugas dibantu secara berpasukan dan kolektif melalui sistem sokongan yang baik. Ketiga, sistem yang teratur melalui SOP. Keempat, mesyuarat yang berkualiti.

2. Mempertahankan Institusi Beraja
Institusi Beraja dan kedudukan Islam dalam Perlembagaan Malaysia mesti dipertahankan jika tidak mahu SEPILIS totok menguasai Malaysia. Pelbagai cubaan telah dilakukan untuk melemahkan institusi beraja dan kedudukan Islam dalam perlembagaan.

3. Penjenamaan Semula Imej Gerakan Islam
Persoalan penjenamaan semula imej gerakan Islam kepada masyarakat Malaysia mesti giat dilakukan. Kelompok reformis berpegang kepada pandangan Syeikh Abdullah Bin Bayyah, “Sebahagian maqasid syariah adalah menjaga kecantikan imej Islam”. Malangnya yang berlaku ialah kelompok reformis mengunakan maqasid syariah untuk menghakis kebenaran Islam dengan menyembunyikan Islam yang sebenarnya. Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang menegaskan, ‘PAS (pada pandangan penulis, secara amnya umat Islam keseluruhannya) tidak boleh menyembunyikan kebenaran Islam semata-mata ingin mengambil hati manusia’[Harakah, Bil 2205: Disember 2016].

PAS dalam mentransformasikan imej PAS dengan pendekatan dinamakan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS).

BPMS bermaksud sebuah budaya berpolitik yang berasaskan kepada kematangan dalam membuat keputusan dan tindakan, berlandaskan al Quran dan As-Sunnah, sesuai dengan realiti masyarakat, bermatlamat kesejahteraan rakyat, kemakmuran negara dan keredhaan Allah SWT.

Banyak kepentingan yang boleh diraih oleh gerakan Islam (baca: PAS) melalui amalan budaya politik matang dan sejahtera, paling menonjol ialah:
1.         Mengekang berlakunya ketidakadilan
2.         Mengelak penyalahgunaan kuasa
3.         Menghindari ketidakstabilan politik
4.         Menghindari kemelesetan ekonomi
5.         Menghindari keruntuhan sosial
6.         Menamatkan perselisihan rakyat
7.         Mengurangkan pembaziran masa
8.         Mengelakkan campurtangan asing
9.         Menggalakkan budaya politik ilmu
10.       Menyuburkan budaya politik fakta
11.       Mendidik rakyat buat keputusan berasaskan maklumat yang benar

Kriteria BPMS yang dicanang oleh PAS ialah
1. Bertunjangkan prinsip perjuangan PAS pasti sahaja berpaksi kepada al-Quran dan Sunnah. Justeru itu, apa jua keputusan PAS mestilah menepati syarak.

2. Politik dakwah. PAS berjuang dengan tiga method atau sistem gerakkerjanya secara seimbang dan sepadu iaitu :-
I.          Gerakan Tarbiyah (pembinaan dalaman)
II.         Gerakan Dakwah (pembinaan luaran)
III.        Gerakan Siasah (pembinaan sultah/kedaulatan)

Adapun situasi berdepan dengan sebuah pemerintahan yang tidak melaksanakan sistem pemerintahan Islam, PAS akan terus berjuang, berdakwah dan berperanan untuk memastikan Islam dapat didaulatkan. Peranan tersebut dinyatakan seperti berikut;
I.          Memberi nasihat dan bimbingan secara berterusan, bagaimana Islam itu boleh dilaksanakan dalam sistem pemerintahan dan pentadbiran negara.
II.         Berjuang menegakkan syariat (amar makruf) dalam apa jua kesempatan dan ruang yang boleh dilakukan oleh PAS pada tahap keupayaan yang dimiliki.
III.        Menegur, mengkritik, membantah dan mencegah kemungkaran (nahi mungkar) dan menentang kezaliman yang berlaku sama ada dalam aspek sosial, ekonomi mahupun politik. Sekalipun kemungkaran itu dilakukan oleh pemerintah, PAS tegas menyatakan kebenaran.
IV.        Menggerak agenda perubahan total (al-taghyir) ke arah mendaulatkan syariat Allah secara berterusan. Terutama apabila PAS berdepan dengan sebuah pemerintahan yang degil dan enggan melaksanakan Islam malah memusuhi Islam.

3. Amar Makruf Nahi Mungkar
4. Fokus Penyelesaian Islam
5. Pertentangan Dasar Bukan Pertentangan Fizikal

Penjenamaan Semula Imej PAS melalui BPMS lebih relevan kerana meningkat imej PAS dengan meningkat imej Islam tanpa merendahkan kepentingan rakyat secara kesleuruhannya. Keberanian dan ketegasan ini lebih terpuji.

4. Prestasi dan Budaya Kerja Berkualiti
Prestasi dan budaya kerja berkualiti pemimpin gerakan Islam. Berlaku pertembungan dengan pemimpin yang tidak berapa rajin dan tidak berprestasi baik tanpa dikawal dan dinasihat menyebabkan rakyat menilai negatif kepada gerakan Islam dan pemerintahan Islam.

Kita semua bebas dan boleh menilai, menegur dan mengkritik corak pemikiran, prestasi/kualiti kerja, corak kepimpinan, akhlak, kualiti pengurusan dan lain-lain selagi tidak menfitnah peribadi orangnya dan tidak memutuskan hubungan ukhwah sesama umat Islam.

Pemimpin memerlukan persiapan aqidah perjuangan, sahsiah berlandaskan aqidah dan pemikiran dibatasi dengan aqidah Islam. Pemikiran beraqidah menjadi penapis agar habuk-habuk sekularisme tidak terlekat pada perjuangan Islam. Aqidah penting dalam merangka pandangan alam seseorang pemimpin Islam. Aqidah pula mesti menepati aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Seseorang pemimpin memerlukan persiapan minda yang bersifat menyeluruh mencakupi kefahaman terhadap hukum-hukum Allah, mengetahui isu-isu semasa, memiliki 'bacaan politik' (qiraat as-siyasi) yang tajam, memahami keperluan melakukan perubahan, bersikap elastik dan juga keupayaan membaca serangan pemikiran (ghazwatul fikr) yang dilancarkan musuh. 

Tuan Guru Dato Mohd Fadzil Mohd Nor menyatakan, ‘anggota gerakan Islam perlu sentiasa mempertahankan asas perjuangan (usuliy), berkeupayaan untuk berijtihad, bertindak mengikut rentak kontemporari (mu'asir) dan memahami kesan futuristik (istiqbaliy)’.

Pemimpin juga perlu berkebolehan dalam komunikasi terutamanya penggunaan bahasa politik dalam penyampaian pendapat. Pengunaan bahasa politik tidak boleh melangkaui kehendak dan larangan al-Quran dan as Sunnah.

Pemimpin perlu turun padang dalam mengauli rakyat dan cakna segala permasalahan rakyat. Pemimpin perlu memahami hati nurani rakyat dengan memperbanyakkan dialog dan pertemuan dengan rakyat bawahan.

Pemimpin yang baik, mereka perlu banyak membaca dan berdialog dengan para ulama dan cerdik pandai dalam mendepani permasalahan yang berlaku. Rangkuman idea atau gagasan hasil perbincangan tadi dilontarkan dengan keberanian untuk hadir dalam debat, forum atau seminar dengan tema-tema tertentu.

Pemimpin yang baik juga memerlukan pengalaman dalam kesukarelawaan dan mempunyai jentera yang baik dalam mempromosikan kebajikan, kegeniusan dan kebaktian seseorang pemimpin sehingga menjadi pemimpin popular. Suka atau tidak, budaya popular atau selebriti sangat berpengaruh pada hari ini, pemimpin dengan tawaduk perlu menempatkan diri agar lebih dikenali demi Islam.

5. Laras bahasa politik.
Bahasa politik yang terbaik ialah tindakan/bekerja tanpa banyak bercakap, turun ke lapangan bersama rakyat, sentiasa dekat di hati nurani rakyat dan bijak meletakkan diri agar kehadiran diRASAI oleh masyarakat (bukan hadir tetapi bagaikan tidak hadir) dengan promosi diri.

Dalam memperjuangkan Konsep Negara Islam dan Perundangan Islam, kedua-dua konsep perlu dipertegaskan tanpa kompromi. Penerangan terhadap inti kedua-dua konsep perlu diperbanyakkan tanpa menyembunyi dan menolak kedua-dua konsep. Jangan mengunakan istilah dan slogan yang mengelirukan dalam cubaan menangguh dan menidakkan kedua-dua konsep kerana tindakan ini merugikan masa depan umat Islam.

6. Kemunculan Korupsi, Kronisme dan Nepotisme dalam kerajaan dan gerakan Islam.
Politik untuk hari akhirat, politik untuk kehidupan selepas mati, politik untuk syurga sudah jarang disebut oleh pemimpin yang memegang kuasa dan generasi muda. Bagi pemimpin yang berkuasa dan generasi muda, politik untuk kemenangan, politik kekuasaan, politik untuk ke Putrajaya. Akibatnya, pahala dan dosa, syurga dan neraka  bukan lagi menjadi prinsip penentuan dalam amal sehingga mereka sudah berani melakukan perbuatan yang melanggari peraturan dan perintah Allah SWT.

Segala amal itu bermula dengan niat. Jarang sekali gerakan Islam yang lemah dianggotai oleh individu yang bengkok niatnya. Niat yang bengkok apabila gerakan Islam semakin mewah dan berkuasa. Apabila sudah berkuasa, pemimpin gerakan Islam mula takut mati dan sayang dunia. Cabaran materialistik dan sayang jawatan-pangkat mula datang. Cabaran ingin membolot kemewahan seorang diri dan anggota keluarga serta sahabat sekepala mula timbul. Iman mula menipis, syaitan mula memanggil untuk dihanyutkan ke lautan dosa.

Begitu juga usia yang semakin lanjut sehingga melembutkan hati. Kasih sayang terhadap keluarga menjadi-jadi. Jawatan dan projek diagih sesama anggota keluarga.

Pada saat ini, anggota bawahan mesti berani memperingatkan para pimpinan agar kembali ke pangkal jalan melalui saluran yang ditetapkan oleh gerakan Islam. Suruhanjaya Hisbah yang dianggotai oleh mantan pimpinan parti yang berwibawa perlu diwujudkan untuk mengawal dan mengaudit kerajaan yang diperintah oleh gerakan Islam. Suruhanjaya Hisbah diletak dibawah Majlis Syura.

7. Penyalahgunaan etika dan nilai walaupun betul disisi perundangan dan peraturan.
Ada perkara mengikut lunas peraturan dan perundangan tetapi kurang bermoral dari segi etika dan kemanusiaan. Ia bergantung kepada siapa yang menilai.

Kebijaksanaan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat menyelesaikan kes menantu beliau, Ir. Arif Fahmi dalam Perbadanan Menteri Besar Kelantan boleh dicontohi dimana beliau menasihati menantu beliau supaya meletak jawatan dalam usaha mematikan fitnah dan kekeliruan sedangkan dari segi kelulusan, menantu beliau layak menduduki jawatan tersebut.

Bacaan politik yang betul, keberanian mengambil risiko, kepantasan membuat keputusan yang cepat dan tepat adalah seni politik yang jarang dimiliki oleh ramai politikus. Ia memerlukan seseorang politikus yang berpengalaman luas dan pembacaan yang banyak serta dinasihati oleh penasihat yang betul.

8. Orientasi undi yakni kemenangan dalam pilihanraya yang dipengaruhi oleh sentimen agama, kaum dan parti.
Dato' Onn Jaafar, Pengasas-Yang Dipertuan Pertama UMNO pernah menyatakan, "Ada dua tempat orang Melayu hendak bertenggek; pertama, kepada jiran-jiran mereka; Kedua, kepada musuh orang Melayu...kita tidak seharusnya memikirkan usaha untuk mendapatkan kedudukan sahaja dimasa yang sama kita menolak bangsa kita".[Syed Ali Tawfiq al-Attas] Tertenggek bukan sekadar duduk biasa tetapi duduk menyombong dengan kelebihan dan kekuatan jiran-jiran atau musuh orang Melayu sendiri.

Kerisauan yang berlaku akhir-akhir ini ialah [1] perpecahan undi orang Melayu kepada beberapa kumpulan [UMNO, PAS, PKR, AMANAH, BERSATU] yang mengancam kesinambungan kuasa orang Melayu dalam politik Malaysia dan [2] keterujaan sebahagian pemimpin Melayu yang ghairah untuk mendapat undi masyarakat bukan Melayu dengan melakukan perbuatan dan mengeluarkan pandangan merugikan orang Melayu dan Islam. Kerisauan timbul disebabkan oleh orang Melayu sendiri. Ia membenarkan kata Dato Onn Jaafar, "Sebelum ini saya merujuk kepada bahaya yang melingkungi orang-orang Melayu di Semenanjung ini tanpa perlu menyebut dari pihak mana [bahaya ini timbul. Sekarang saya katakan bahawa bahaya ini] timbul dari orang Melayu sendiri" [Syed Ali Tawfiq al-Attas].

Sememangnya DAP melaungkan mereka tidak mampu membentuk kerajaan tanpa sekutu-sekutu mereka jika dilihat jumlah kerusi DAP tandingi. Sebenarnya, DAP mampu menguasai kerajaan-kerajaan Melayu melalui proksi-proksi mereka. Krisis Menteri Besar Perak pasca Pilihan Raya ke 13 dan Krisis Menteri Besar Selangor-Kajang Move membuktikan percubaan DAP mendesak Raja-raja Melayu mengakuri keputusan mereka mengikut lunas-lunas perlembagaan dan secara perundangan. Kita juga boleh melihat penguasaan DAP dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Perak ketika di bawah Kerajaan Pakatan Rakyat pimpinan Dato Seri Mohamad Nizar. Kini, Parti Amanah dilihat sebagai proksi DAP dalam merebut kerusi-kerusi Orang Melayu yang ditandingi oleh PAS dan UMNO dalam Pilihan Raya Umum ke 14 nanti.

Kepentingan Melayu sebagai majoriti, Umat Islam dan majoriti rakyat perlu menjadi keutamaan kepada parti-parti yang didominasi oleh orang Melayu kerana kemakmuran dan kesejahteraan Negara Malaysia bergantung kepada kestabilan politik Melayu itu sendiri.

9. Gagalnya pendekatan dalam menangani fitnah dan mengurus persepsi.
Sabda Rasulullah sallallahua’laihi wasallam daripada Abu Hurairah Radhiallahu anhu;
 Bersegeralah dengan melakukan amalan-amalan soleh sebelum berlakunya fitnah seperti kepingan-kepingan malam yang gelap, (ketika itu) seorang lelaki beriman pada pagi harinya dan menjadi kufur pada petang harinya, dia beriman pada petang harinya dan menjadi kufur pada keesokan paginya, dia menjual agamanya dengan habuan dunia.” (Riwayat Muslim dan al-Tirmizi)

Hadith yang diriwayatkan oleh Abu Huzaifah al-Yamani;
 Aku (Abu Huzaifah) bertanya: Adakah selepas kebaikan itu akan datang pula keburukan: Sabda Rasulullah sallallahua’laihi wasallam: Ya, fitnah buta, penyeru kepada pintu-pintu api neraka. Sesiapa yang menyahut seruan mereka akan dicampakkan dalamnya. Kata Abu Huzaifah: Wahai Rasulullah, nyatakan sifat mereka kepada kami. Sabda Rasulullah sallallahua’laihi wasallam: Mereka dari kalangan bangsa kita dan bercakap menggunakan bahasa kita.” (Riwayat Abi Daud)

Kejahilan bermaharajalela ditengah-tengah maklumat berlimpah ruah dan ilmu dihujung jari,
Kekeliruan mengoncang iman dan membuka pintu fitnah,
Persepsi menjadi barang yang dipercayai,
Dosa dan pahala bercampur,
Akhirat bukan lagi tujuan
Mati itu dilupai
Ketakutan kepada Tuhan sudah tidak berkesan,
Manusia hilang malu dan takut
diulangi dosa dengan menzalimi diri sendiri
Mencari Tuhan di pelusuk dunia
Padahal Tuhan berada dalam rumah sendiri.

Kekeliruan dan fitnah membiak apabila kita gagal mengambil ketetapan dan neraca Allah SWT sebagai pertimbangan dalam membuat keputusan. Kita membuat keputusan berdasarkan pertimbangan aqal dan nafsu kita sehingga kepentingan diri mengatasi kepentingan Islam dan umat Islam.

Kekeliruan dan fitnah dapat dielak jika individu muslim berpegang kepada ajaran Al-Quran dan As-Sunnah. Surah al-Hujurat perlu menjadi kerangka pemikiran dalam bertindak menghadapi kekeliruan dan fitnah. Pertama, Jangan mendahului Allah dan Rasulullah SAW dalam sesuatu perkara [Surah al-Hujurat:1]. Kedua, berhati-hati dalam menerima berita. Siasat siapa yang yang menyebar berita atau maklumat. Orang Fasik seringkali menyampai berita bohong. Ketahuilah ciri-ciri seorang yang fasik [Surah al-Hujurat: 6]. Ketiga, jangan label-melabel atau kata-mengata sesama umat Islam[Surah al Hujurat: 11]. Keempat, jauhi buruk sangka sesama umat Islam [Surah al Hujurat: 12].

10. Kemahiran Mengalih ( divert ) Persoalan/Isu
Salah satu kemahiran seseorang pemimpin yang sangat berharga ialah kemahiran mengalih persoalan/isu. Dalam dunia komunikasi yang pantas bergerak ini, seseorang pemimpin akan dihujani dengan pelbagai soalan yang sukar dan perangkap.

Kesimpulan
Menerima istilah-konsep dan pandangan alam Barat menunjukkan diri seseorang individu teraspirasi dengan perangkap agenda Kebudayaan Barat yang jelas mahu menjatuhkan martabat Islam.

Kita tidak menafikan niat baik mereka yang mahu mendekatkan Islam dengan Barat tetapi tunduk kepada Kebudayaan Barat menunjukkan semangat jihad umat Islam semakin merosot dan aqidah semakin luntur. Tindakan mereka akhirnya akan merugikan Islam. Lihat sahaja Arab Springs yang telah gagal di Mesir, Syria, Yaman, Tunisia (kembali kelompok sekular memerintah Tunisia) dan Libya. Paling mampu bertahan hanyalah di Turki. Di Indonesia, PKS disaluti dengan pelbagai skandal. Disinilah adipentingnya kejelasan fikrah.


2 comments:

Azam Sufaat said...

Assalamualaikum, ana nak tanya, adakah perjuangan Islam itu sendiri boleh tertegak melalui demokrasi? Sedangkan kita tahu bahawa demokrasi itu sendiri berasal dari Barat? Syukran :)

hamba said...

Demokrasi antara ruang dan peluang yang ada. Guna sebaik mungkin untuk menegakkan Islam walaupun sekelumit.

Sebab-Akibat

Sebab-akibat antara elemen penting dalam ilmu sejarah. Pemikiran sebab-akibat ini penting bagi mengelakkan kita membuat ramalan dan andaian ...