Sepanjang tiga dekad yang lepas, negara kita pernah diselubungi dengan fenomena kebangkitan semula Islam yang cuba mengakari pemikiran dan kebudayaan masyarakat Malaysia . Fenomena kebangkitan semula Islam dianggap kemunculan kembali ajaran Islam untuk membersihkan kejahilan hasil penangan kerangka pemikiran dan gaya hidup penjajah Barat. Menurut Mohamad Abu Bakar, kebangkitan semula Islam membawa wagas [wawasan dan gagasan] yang berupaya menjadi penjana dan penyeri kepada pemugaran weltanchauung Malaysia, jika Islam yang terkandung itu terasas pada akidah yang kukuh, berupaya pengamalan berdasarkan ilmu yang baik dan bersifat keihsanan dari segi pelaksanaannya. Persoalannya, adakah kebangkitan ini mencapai cita-cita kesempurnaan Islam sebagai ad-din atau kebankrapan Islam pasca penjajah masih berterusan?.
Gelombang kebangkitan Islam pada awal tahun 1970an adalah gelombang ketiga hasil lanjutan daripada gelombang gerakan Islah-kaum muda dan gelombang ‘Gunung Semanggol-Hizbul Muslimin’ pada tahun 1948. Gelombang ketiga digerakkan oleh para Anwariyyun hasil gabungan gerakan belia-pelajar Islam melalui ABIM dan PKPIM. Revolusi Iran pada tahun 1979 telah membawa gelombang keempat dalam arus kebangkitan semula Islam di Malaysia. Kemenangan golongan Islamis membuktikan keupayaan Islam mengimplimentasikan konsep negara Islam yang dianggap teori oleh pihak tertentu. Dalam masa yang sama, golongan pemuda dan ulama [kebanyakannya tokoh ABIM] dalam Parti PAS telah berjaya merampas kuasa daripada kepimpinan nasionalis-Islami. Republik Islam Iran telah dianggap eksperimental bagi gerakan Islam merealisasikan konsep negara Islam dalam zaman moden.
Kemasukan Anwar Ibrahim ke dalam UMNO dan pelantikan Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri Malaysia dilihat telah membawa impak positif kepada kerajaan untuk menpertingkatkan tahap keIslaman dalam pemerintahan negara. Hasilnya, syiar Islam seperti Bank Islam, Universiti Islam dan Takaful Islam semakin berkembang pesat. Secara umumnya, kehidupan masyarakat Malaysia telah menyerlahkan perubahan dimana Islam semakin diperkenalkan sebagai satu cara hidup yang menyeluruh meliputi pemakaian, ibadat fardhu ain dan fardu kifayah, pengaulan, bermuamalat, pemerintahan dan politik kepartaian.
Walau bagaimanapun, kebangkitan semula Islam yang disifatkan menyeluruh ini dilihat tidak berjaya menghasilkan momentum yang kuat bagi melahirkan persekitaran Islami yang berterusan. Persekitaran Islami yang agak meningkat mula mengalami kesuraman pada akhir tahun 1990an dengan kembalinya pengulangan budaya sebelum tahun 1970an. Adakah ini dinamakan kitaran peradaban yang pernah disebut oleh Ibnu Khaldun?. Selama ini, pengamalan Islam yang dilihat menyeluruh hanyalah semangat ‘pepsi-cola’ yang sementara sifatnya. Pengamalan Islam yang dicita-citakan sebagai syumul hanyalah pengamalan tema-tema Islam yang terpisah berdasarkan kehendak diri Muslim sahaja. Mungkin pengamalan tema-tema Islam ini hanya untuk memenuhi trend semasa.
Menurut Mohamad Abu Bakar, momentum ini sewajarnya menjadi seperti taburan hujan yang semestinya bertemu dan berpusu menjadi arus perdana dan turun dengan lebat membanjiri bumi. Pengamalan tema-tema Islam yang terpisah oleh masyarakat Islam diharap dapat dikumpulkan untuk meledak dan membanjiri persekitaran masyarakat tetapi harapan ini hanyalah angan-angan kosong. Memang semakin ramai Muslim yang banyak melakukan ibadat dan memakai pakaian menutup aurat tetapi kenapa pula gerakan Islam terutamanya parti politik berasaskan Islam yang merupakan salah satu elemen kebangkitan semula Islam tidak mendapat sokongan dalam pilihanraya?. Pemakaian tudung sebagai contoh hanya dianggap untuk memenuhi budaya trendy sahaja padahal pakaian si pemakai masih menampak bentuk tubuh. Mereka tidak memahami Islam secara sahih dan syumul kerana diselimuti faham material dan kekeliruan pengilmuan yang mahu ternama, kaya dan berkuasa. Menurut Azyumardi Azra, Rektor Universitas Islam Negeri Jakarta, peningkatan kesolehan keagamaan umat Islam kini tidak berada dalam garis yang lurus. Kelurusan beragama hanya dapat dinilai dengan pengamalan Islam yang syumul dan sahih melalui petunjuk al Quran dan hadis.
Kebangkitan semula Islam boleh dilihat satu proses kesedaran beragama yang tidak dimantapkan dan tidak berupaya mengakari pemikiran, kebudayaan dan persekitaran masyarakat Islam secara berterusan. Peningkatan kesolehan berasaskan beribadat tanpa penguatan politik Islam akan menyebabkan Islam tidak berupaya mentadbir diri dan masyarakat Islam sendiri. Islam adalah agama yang memerintah bukannya agama diperintah untuk kepentingan pihak tertentu. Pemerintahan Islam berkiblatkan al Quran dan hadis. Jika Islam tidak dibenarkan berkuasa, proses kebangkitan semula Islam bakal menjadi fakta sejarah yang terselinap dalam buku teks sekolah.
Sebahagian daripada masyarakat Islam telah dipengaruhi dengan faham kemodenan sehingga meminggirkan kesyumulan Islam terutamanya ilmu tasawuf. Faham kemodenan dilabelkan dengan pelbagai istilah seperti Islam Plural, Islam Inklusif, Islam Liberal, Islam Progresif dan Islam Bertamadun untuk mengelabui mata masyarakat Islam dengan kabus faham kemodenan yang bersifat material. Golongan modenis Islam inilah yang melaberak rakyat dengan kefahaman yang tidak sahih dan sesat. Demi pembangunan dan kemajuan, asas-asas Islam telah dinodai. Islam Plural sebagai contoh telah berusaha menyamakan semua ajaran agama sehingga membelakangi keunggulan akidah Islam. Kekeliruan yang dicetuskan oleh golongan modenis ini akan menghalangi kebangkitan semula Islam yang sahih dan syumul.
Kebangkitan semula Islam sangat membimbangkan Barat, pemerintah dan intelektual sekular kerana Islam berupaya menyingkirkan ketamadunan Barat yang semakin rosak ditenggelami faham material dan kerosakan moral. Ketakutan paling utama golongan ini adalah kebangkitan semula politik Islam yang ingin merampas kuasa yang selama ini didominasi oleh anak didik penjajah. Dalam konteks dunia moden, kuasa politik adalah kunci segala perubahan terhadap sistem dalam sesebuah negara. Oleh sebab itu, kehadiran parti politik berasaskan Islam ditentang secara keras oleh pemerintah sekular. Di Algeria, kemenangan Barisan Penyelamat Islam [FIS] telah dimusnahkan oleh rampasan kuasa tentera manakala di Turki, Perdana Menteri pro-Islam, Necmetin Erbakan telah ditekan dan partinya diharamkan oleh mahkamah perlembagaan.
Hari-hari mendatang kelihatan kewibawaan Islam semakin tercabar. Kebangkitan semula Islam disangkakan semakin meningkat telah dicemari oleh virus jahiliah yang mengikis agama Islam dari dalam sistem masyarakat Islam sendiri. Pengislaman masyarakat kini ditenggelami oleh anasir dan unsur tidak bercorak keagamaan. Dalam akhir tahun 1990an dan awal tahun 2000 telah membuktikan hedonisme kembali mengganasi masyarakat Islam. Forum perdana semakin tidak diminati sementara Akademi Fantasia dan Malaysian Idiol menjadi kegilaan semua.
Masyarakat Malaysia kini mengalami tranformasi pemikiran dan kebudayaan yang cukup pantas selaras dengan perkembangan pembangunan nasional dan pengaruh globalisasi. Kewujudan teknologi maklumat dan komunikasi menyebabkan persekitaran masyarakat Islam dibanjiri oleh pemikiran dan kebudayaan Barat. Pengejaran material dan mandat keselesaan yang dimiliki oleh masyarakat Islam telah membenihkan kebejatan sosial di dalam masyarakat. Keruntuhan adab ini semakin parah apabila kepimpinan negara sendiri menganuti amalan-amalan mazmumah sehingga merebaknya gejala sosial seperti rasuah, politik wang dan kronisme. Justeru, suntikan regenerasi perlu dilakukan pada gelombang kebangkitan semula Islam bagi mengislah kembali amal-Islami melalui konvokesyen keintelektualan.
Para pendakwah perlu mendekati masyarakat dengan pendekatan baru. Pendekatan lama perlu diregenerasikan dengan idea-idea baru agar sesuai untuk mendepani permasalahan umat yang semakin matang dan canggih. Mohamad Abu Bakar mencadangkan agar kerajaan menyediakan suasana, struktur dan susulan yang mampu mengukuhkan perjalanan dakwah bukannya membiarkan pengIslaman digandingi oleh adegan-adegan yang merosak, memudar dan meruntuhkan segala pencapaian Islam. Jika kerajaan menyediakan kawalan syariat dengan mengawal media massa, pemberian lesen kelab disko dan judi, dan melaksanakan pengIslaman secara tegas dan berterusan di sekolah, proses pemugaran Islam pasti dapat direalisasikan.
Persekitaran dakwah dalam alaf baru mestilah bertunjangkan semangat dialog dan toleransi. Semangat dialog dan toleransi bukan bermakna kita tunduk atau menerima kebenaran agama lain, tetapi satu proses pencambahan minda dimana kita dapat berkomunikasi, memahami dan berfikir tentang elemen yang terdapat dalam agama masing-masing. Pemahaman beragama ini dapat diharapkan menelurkan hidayah dan menjernihkan tanggapan negatif yang cuba menodai agama Islam. Persoalan jihad sebagai contoh dikaitkan dengan teori keganasan dimana jihad dikatakan menggalakkan peperangan di kalangan orang Islam padahal jihad mempunyai konsep luas yang merentasi sempadan konsep peperangan. Oleh sebab itu, semangat dialog dan toleransi perlu diperluaskan oleh para pendakwah agar kemurnian agama Islam terus terpelihara daripada propaganda musuh.
Pendakwah juga harus menjadikan Islam bersifat alternatif bukannya destruktif bagi kehidupan manusia. Selama ini secara mudah, pendakwah dan ulama mengharamkan sesuatu yang bertentangan dengan pandangan mereka padahal perkara tersebut tidak mempunyai nas dalam al Quran secara mutlak. Bukanlah tujuan kita untuk menghalalkan yang haram atau mengharamkan yang halal tetapi biarlah solusi yang diputuskan dibincang secara syura oleh ulama dan pakar dalam bidang berkenaan. Ulama fekah dengan ulama usuluddin sendiri mempunyai pendapat yang berbeda dalam sesuatu usul agama apatah lagi dengan pakar ilmu-ilmu moden. Contoh penggunaan DNA sebagai bukti jenayah perlu diselesaikan oleh para ulama dan ahli perubatan.
Pendakwah dan ulama selalu disifatkan sebagai anti anak muda dan kaum hawa. Kesukaan anak muda dan suara kaum hawa selalu sahaja dipinggirkan. Akibatnya anak muda dan kaum hawa mula memberontak jiwa dan bersifat anti-ulama. Ulama dianggap kaum tua yang suka mengongkong dan berfikiran konservatif. Ulama dan pendakwah perlu mengambil langkah bijaksana dan berhikmah dalam melayani permintaan anak muda dan kaum hawa. Kegilaan anak muda dalam hiburan sebagai contoh perlu disediakan alternatif hiburan Islam bagi mereka. Lihatlah peranan Wali Songo yang berjaya mengislamisasikan muzik dan silat yang banyak berunsur khurafat dengan nur Islam.
Kebangkitan semula Islam di Malaysia adalah sebahagian daripada proses perjalanan menuju ke destinasi yang mempunyai persekitaran Islami. Dalam perjalanan ini, suntikan regenerasi perlu sentiasa dilakukan agar kebangkitan semula Islam berada dalam landasan yang betul iaitu mengikuti kefahaman yang sahih dan syumul berdasarkan al Quran dan hadis. Kebersamaan tema-tema Islam yang terpisah untuk bersatu dan beristiqamah bagi menjayakan gelombang kebangkitan semula Islam adalah jaminan kejayaannya. Tanpa kesatuan akidah Islam, usaha ini akan terjerumus ke arah kebankrapan.
No comments:
Post a Comment