Friday, March 10, 2017

Menzalimi Diri Sendiri



Permulaan perjalanan dinamakan fitrah. Akhir perjalanan dinamai Islam. Fitrah, mereka senantiasa mencari hubungan dengan Yang Menjadikannya; sampai dia berjumpa, sampai dia menyerah [Islam]’ – Buya Hamka, Falsafah Ketuhanan.

Manusia tidak puas mencari identiti diri melalui pengembaraan spritual dan pengalaman hidup mereka. Mereka mengembara mengeliling dunia untuk mencari ‘apa’, ‘bila’, ‘bagaimana’, ‘kenapa-mengapa’ dan ‘siapa’. Mereka belajar sampai ke peringkat tertinggi-PhD untuk mencari ‘apa’ dan ‘mengapa-kenapa’. Pencarian memerlukan titik akhir untuk berhenti membuat keputusan iaitu tunduk dan menyerah kepada Allah, Tuhan Yang Hak melalui  Islam yang bersumberkan al Quran dan Sunnah Rasul-Nya.

Manusia memerlukan Tuhan. Jika mereka tidak bertuhan, mereka akan mempertuhankan diri mereka sendiri yakni mengikuti kehendak akal-nafsu mereka sendiri. Fitrahnya manusia tidak boleh menjadi Tuhan kerana diri mereka penuh keraguan, kelemahan-sakit dan mati, pertimbangan tidak selaras-pragmatik, mengikut sesuka hati dan berdasarkan kefahaman sendiri. Manusia menjadi Tuhan diibarat cerita mitos Yunani-Greek, cerita para Dewa mereka yang hidup sebagaimana manusia di bumi –ada konflik, percintaan dan lain-lain. Oleh itu mereka perlu mencari tuhan sama ada mencari Tuhan yang baru atau Tuhan yang dibakai dan dipusakai oleh ibubapa mereka kepada mereka. Mencari Tuhan sewajarnya dengan ilmu dan berdasarkan sumber ilmu yang benar dan jelas.

Pencarian Tuhan melalui ilmu mengambil masa yang panjang, maka bersabarlah. Penulis mencadangkan pengkajian al Quran yang mempunyai rahsia ketuhanan perlu dilakukan. TIADA TUHAN SELAIN ALLAH adalah kunci utama untuk seseorang manusia bertemu Tuhan Yang Hak dengan secepat mungkin. [Surah al Hashr: 22. Surah al Baqarah: 255. Surah al An’am: 59. Surah al Mulk: 2-3. Surah al Fatihah: 1-7. Surah al Ikhlas: 1-4. Surah Luqman: 29-30].

Menzalimi Diri Sendiri

Manusia gagal memahami faham keadilan yang sebenar sehingga menyebabkan mereka menzalimi diri mereka sendiri. Mereka terlalu sombong, buruk sangka, dengki, angkuh dan ego untuk menerima ilmu yang diperintahkan oleh Allah SWT sebagaimana sombong, angkuh dan egonya Iblis untuk tunduk kepada Adam. Iblis tahu kebenaran tetapi sifat mazmumah menguasi dirinya sehingga menolak printah Allah.

Kebudayaan Barat melihat keadilan menjadi dasar akhlak dan budipekerti berpunca daripada negara dan masyarakat. Syed Muhammad Naquib al Attas menyatakan, bagi Islam keadilan yang pertama sekali berpunca pada diri sendiri: seseorang melakukan keadilan atau kezaliman terhadap diri mereka sendiri.

Faham keadilan dalam diri seseorang berpunca daripada ayat Surah al A’raf: ayat 172 dimana berlakunya Perjanjian Fitrah [Sayyid Qutb] atau Perjanjian Asali [al Attas] atau seringkali diperbincangkan dalam Tauhid Rububiyyah. Seorang manusia telah mengangkat saksi sebelum dizahirkan[1] sebagai insan agar terikat dan akur dengan Perjanjian Fitrah di alam ghaib tersebut. Jika seseorang manusia mungkir janji perjanjian di Alam Roh tersebut, ini bermakna manusia tersebut menzalimi diri sendiri.

Manusia pertama mengunakan perkataan ‘zalim’ ialah Nabi Adam AS dan Siti Hawa. Mereka telah menzalimi diri mereka sendiri [Surah al A’raf: 23]. Pengikut-pengikut Nabi-Rasul terdahulu juga ramai menzalimi diri [Surah al Baqarah: 54] apabila ingkar arahan Allah SWT.

Al Quran menyifatkan orang jahat, kafir dan salah sebagai orang yang zalim terhadap diri sendiri. Manakala orang yang benar dan baik yang beriman ialah orang yang adil terhadap dirinya.


[1] Allah SWT mencipta manusia dengan fitrah mengiktiraf Rububiyyah Allah SWT. Fitrah manusia sudah mentauhidkan Allah.

No comments:

Sebab-Akibat

Sebab-akibat antara elemen penting dalam ilmu sejarah. Pemikiran sebab-akibat ini penting bagi mengelakkan kita membuat ramalan dan andaian ...