Suatu petang di Damansara Perdana
Fahri Abdullah al-Masri
Harakahdaily
Sat | Feb 07, 09 | 11:57:39 pm MYT
Pulang daripada Damansara Perdana petang tadi, melewati terowong Penchala Link, hati digerak ke Masjid Wilayah Persekutuan di Jalan Duta. Kebiasaannya begitulah, saya akan selalu mengikut gerak lintasan hati. Terkadang, motor kita dengan sendirinya masuk ke suatu lorong, lalu di sana kita akan bertembung pelajaran-pelajaran baru.
Adapun pelajaran-pelajaran baru yang dikutip tadi bolehlah dipecahkan kepada dua bahagian, iaitu kuliah Agama dan kuliah Politik Kampus. Dalam nota kuliah kali ini, saya mungkin meringkaskan beberapa perkara yang boleh dikembangkan lagi di dalam nota-nota kuliah berikutnya.
Kuliah Agama
Di suatu ruang legar masjid, saya menemui beberapa orang pemuda yang menjual buku-buku agama bercorak tasawuf tarekat atau tasawuf falsafah. Tasawuf falsafah agak tinggi dan jika silap perhitungan, seseorang itu tersesat dan disesatkan dan dengan sebab itulah juga, sesetengah pihak mendakwa pengetahuan ini mendorong ke arah kesesatan.
Tak perlu ulas panjang-panjang dalam hal ini. Ilmu Tuhan sangat luas dan tidak terbatas. Mungkin kita boleh kembangkan dalam ruangan yang lain pula, insya Allah.
Buku yang dibeli dengan harga RM5 itu berjudul Meneroka Rahsia Diri, di mana penulis itu adalah seorang mudir di sebuah madrasah di Kg. Pulau Manis, Kuala Terengganu.
Nama Pulau Manis ini membawa kenangan sentimental dan pengalaman nostalgia ketika masih belajar di sekolah menengah. Antara banyak-banyak kitab tasawuf yang membuka pencerahan dalam ruh ialah Al-Hikam, karangan Syekh Ibnu 'Atha'illah al-Askandari.
Masjid Akar Peluru atau Masjid Al-Ghufran, yang terletak di Jalan Pegawai, Alur Setar adalah tempat di mana saya mula meneliti dan membaca mutiara hikmah al-Askandari di dalam bidang tasawuf ini. Pada saya, susunannya sungguh romantik tatkala menjelaskan hubungan kemanusiaan dengan Ketuhanan.
Dan..siapakah yang bertanggungjawab menterjemahkan Al-Hikam dalam bahasa Arab itu ke dalam bahasa Melayu? Insan itu bernama Tok Pulau Manis atau nama sebenarnya Syeikh Abdul Malik yang dilahirkan Kampung Pauh, Hulu Terengganu.
Syeikh Abdul Malik sangat meminati al-Hikam ini, dan beliau diminta oleh para sahabat untuk menterjemahkan isi kandungan kitab tersebut:-
"(Dan) sanya telah meminta akan daku setengah saudaraku yang salik bahawa menterjemakan aku akan dia dengan bahasa Jawi supaya memberi manfaat dengan dia segala orang yang mubtadi, maka kuperkenankan atas yang demikian itu dengan sekira-kira yang difahamkan Allah Taala akan daku (dan) adalah aku memanjangkan sedikit perkataannya kerana aku memasukkan perkataan sharahnya dengan sekadar kifayah bagi orang mubtadi mengetahui dia.."
Syahadan, dengan sebab itulah Hikam Melayu diangkat sebagai sebuah kitab tasawuf yang terbesar dan terawal yang ditulis dalam bahasa Melayu di Alam Melayu ini. Sekali gus, semua ini membuktikan bahawa bahasa Melayu diangkat sebagai bahasa ilmu.
Keturunan mereka inilah yang telah membebaskan Trengganu daripada cengkaman kuasa British. Diriwayatkan bahawa, ketika British mahu berunding dengan ulamak Trengganu ini, mereka disindir dengan perkataan..
"Jika tuan-tuan mahu ambil tanah Terengganu, ambillah seberapa banyak guni sekali pun, tapi kalau mahu ambil pemerintahan, tak bolehlah.." kata mereka. Lebih kurang begitulah yang saya ingat. Tapi, yang paling penting, sikap mereka dilingkungi karamah.
British amat marah dengan sindiran itu. Dengan takdir Allah, ketika mereka ingin bangun dari kerusi itu, maka punggung mereka terlekat kepada kerusi itu.
Sekali lagi British terkena sindiran, "Lihat betapa tamaknya British itu. Bukan saja tanah kita mahu diambil, kerusi kita pun mahu diambilnya!"
Ulama-ulama perjuangan ini adalah ulama sufi juga. British juga yang bertanggungjawab menyerahkan Palestin kepada Yahudi Zionis pada 1948 setelah sekian lama tanah-tanah Palestin dijual kepada kapitalis Yahudi. Kalau kita tidak berhati-hati, tanah di Johor pun akan diangkut oleh Yahudi melalui Singapura. Sejarah akan berulang.
Setelah berbual banyak perkara dengan anak-anak muda di masjid itu berhubung tasawuf dan persoalan tentang hakikat diri, saya menyedari kelibat seorang lelaki yang semenjak tadi seperti ingin berbual-bual dengan saya.
Tamat ringkasan kuliah agama..
Kuliah Politik Kampus
Perlahan-lahan dia mendekati setelah habis bualan mengenali tajuk tasawuf itu. Sejak tadi dia tumpang mendengar dan mengikuti bualan saya dan para pemuda di masjid itu.
"Memang suka tasawuf ke?" tanya beliau. Saya mengangguk-angguk. Saya memang suka tapi ia sekadar teori dan sentiasa wujud halangan untuk melangkah masuk ke dalam pintu gerbang tasawuf secara serius. Risau dan gementar bergaul di dalam dada.
Kami berjalan perlahan-lahan mencari tempat yang sesuai berbual. Langkah kami terhenti di gigi tangga. Dan, akhirnya bualan itu terarah ke ruang politik kampus.
Biar saya namakan pemuda ini sebagai Hamdan. Dia mengaku bahawa dia aktif Umno di UM. Kini, dia makin menjauhkan diri daripada Umno kerana parti itu dikotori wang.
"Dengan PMI pun saya kawan, dengan Umno pun saya kawan," kata Hamdan. "Jadi, dua pihak ini berusaha nak tarik saya. Akhirnya, saya masuk Umno. Tapi, akhirnya saya lihat, ramai pula kawan-kawan Pas dulu akhirnya masuk Umno selepas tamat berkuliah."
"Sebab apa pelajar Pas masuk Umno?" tanya saya kerana didera rasa ingin tahu.
"Terus-terang mereka cakap.. mereka nak cari makan," katanya lagi. "Dalam Umno, saya sebenarnya boleh buat duit. Tapi, tak tahanlah.. kotor sangat."
Hamdan pernah ditangkap atau pun hampir-hampir ditahan di bawah ISA di Pagoh. Atas sebab apa, biarlah rahsia.. Tapi, memang biasalah mahasiswa UM ditahan ISA pada masa Reformasi 1998 itu. Memang ganas betul gerakan pelajar ketika itu.
Paling menarik, Hamdan meriwayatkan mengenai sikap Umno terhadap pelajar ini.
"Sebenarnya, Umno mendengar juga pandangan pelajar. Banyak kali kami diundang juga untuk mendengar pandangan kami. Tak keterlaluan jika dikatakan, ada dasar-dasar yang diperkenalkan kerajaan adalah hasil perbincangan tak rasmi bersama pelajar."
Saya terdiam sebentar.. Teringat pula bahawa saya pernah dijemput oleh PKPIM tatkala Idris Harun mahu bentangkan idea berhubung pindaan Auku. Jadi, memang ada kalangan menteri yang bertemu pelajar-pelajar ini secara diam-diam.
Bagaimanapun pertemuan saya bersama rakan-rakan PKPIM dengan Idris Harun itu tidak berlaku. Apa sebabnya, tidaklah saya ketahui pula.
"Tapi," sambung Hamdan, "Umno mudah ugut pelajar-pelajar universiti yang aktif dalam kampus atas nama Umno. Saya antara yang diugut untuk menyertai Umno selepas tamat belajar di universiti. Kalau tidak, saya sudah boleh bersenang-lenang."
Kata-kata Hamdan inilah yang menyebabkan saya teringat beberapa kenalan yang telah berkhidmat sebagai setiausaha sulit di kementerian-kementerian tertentu. Bukan saya tak kenal mereka. Mereka ini pun barangkali mengenali saya.
Alangkah mudah kehidupan ini bagi mereka yang mudah mengangguk serta mengiyakan segala-galanya. Dan Hamdan berterusan meriwayatkan kisah-kisahnya yang lalu. Hampir 80 peratus ceritanya terasa asing dalam pengetahuan saya.
"Cubalah tulis buku, novel kisah anda di kampus," saran saya. Kecewa juga kerana ramai aktivis kampus era Reformasi tidak meriwayatkan kisah-kisah mereka dahulu. Ekoran itu, tunas-tunas muda di universiti kini tidak tahu apakah yang berlaku dahulu.
Sirah amat penting. Dan, ketika tukang catatnya pupus, bererti pupuslah perjuangan.
11:00 p.m, 7 Februari
Sekolah Pemikiran Kg Baru
Pandangan dan maklumbalas boleh dimajukan lewat mel-e ibnuamir@yahoo.com.Alamat email ini telah dilindungi dari spam bots, anda perlukan Javascript enabled untuk melihatnya _
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Sebab-Akibat
Sebab-akibat antara elemen penting dalam ilmu sejarah. Pemikiran sebab-akibat ini penting bagi mengelakkan kita membuat ramalan dan andaian ...
-
Parti Islah Yaman ditubuhkan pada tahun 1990 setahun selepas penyatuan Yaman Utara dengan Yaman Selatan. Kongres Rakyat Umum (GPC) dari U...
-
BAB 2: ROH PERJUANGAN GMI ‘Islam bukan agama teori dan ritual sahaja tetapi Islam adalah agama praktikal yang perlu diterjemah sebagai satu ...
-
Tak sangka, Jemaah Tabligh (JT) yang suci itu juga mengalami krisis. Itulah qada’ dan qadar yang ditentukan oleh Allah SWT yang mempunyai...
No comments:
Post a Comment