Konflik kampus: Jika Hassan al-Banna masih hidup ....
Ali Bukhari Amir
Tue | Sep 25, 07 | 3:05:13 pm MYT
Dalam salah satu tulisannya atau mungkin dalam suatu ucapannya, Imam Hasan al-Banna telah menyebutkan sebuah hadis yang berbunyi lebih kurang: "Ketika aku sedang disakiti oleh kaum tua, aku telah dibantu oleh kaum muda ..."
Iklan
Hadis ini disebutkan tokoh itu demi membuktikan keprihatinan beliau terhadap golongan muda terpelajar, iaitu kaum mahasiswa. Malah, Hasan al-Banna telahpun membuat suatu pertemuan besar-besaran bersama mahasiswa dalam suatu muktamarnya.
Hasan al-Banna mengeluarkan suatu rumusan berhubung dua jenis pemuda dalam sebuah ucapannya. Pertama, pemuda yang dilahirkan dalam negara yang huru-hara dan keduanya anak muda yang lahir dalam negara yang senang dan aman.
Dalam konteks negara kita misalnya, mahasiswa yang lahir sekitar 1950-an hingga 70-an adalah golongan yang telah melalui era penjajahan dan mereka bangkit sebagai pimpinan setelah berhasil menempuh ranjau hidup yang panjang. Mereka melawan British dan Jepun.
Sebaliknya, mahasiswa yang lahir selepas tempoh tersebut kurang menyerlah kepimpinan mereka. Adalah tidak adil jika disebutkan mereka tidak punya upaya memimpin. Namun, yang lebih tepat ialah, kepimpinan yang tidak cukup kuat untuk menggalas perubahan.
Ini kerana, mereka yang biasa hidup susah biasanya akal mereka lebih kreatif dan matang lebih cepat berbanding pemuda yang lahir di dalam negara yang aman, demikian menurut Hasan al-Banna.
Prihatin dengan mahasiswa
Saya tak ingat hal ini dengan begitu tajam lantaran kurang rujukan. Tapi bagaimanapun, hal ini cukup membuktikan al-Banna amat prihatin dengan mahasiswa.
Ini kerana, mahasiswa adalah aset masa depan. Kalau kita boleh menyebut hal ini sebagai "sunnah" dalam madrasah pendidikan yang ditemui dalam segudang pemikiran Hasan al-Banna, maka sudah tentulah pimpinan Islam wajib mengikuti "sunnah" al-Banna ini.
Al-Banna bukannya nabi dan rasul yang boleh diiktirafkan perlakuannya sebagai sunnah. Tapi, dalam perbincangan ini, saya sebutkan juga sebagai "sunnah" bagi memudahkan hal perbualan. Ini kerana, sistem tarbiyah al-Banna digunakan oleh "gerila" setelah khilafah berkubur. "Gerila" muncul dalam bentuk usrah yang meledakkan ilmu, meletuskan iman.
Gerakan Ikhwan Muslimin ini bermula dari Mesir. Mungkin pancaran dakwah jenis ini telah bersinar ke Ismailiyah, Iskandariyah dengan pesatnya dan tempias cahayanya turut tumpah menyinggah di Universiti al-Azhar, tempat para mahasiswa sedunia berhimpun.
Silibus dan kurikulum dakwah al-Banna inilah yang telah dipunggah masuk dalam sistem dakwah jemaah-jemaah Islam di Malaysia pada hari ini. Jikalau mahu dibuat perumpaan, tidak keterlaluan jika dinisbahkan beliau sebagai bapa kepada urusan dakwah di abad ini seperti Nabi Ibrahim a.s yang diangkat sebagai bapa segala nabi.
Sekali lagi, bagi mengelakkan kekeliruan dan silap faham-al-Banna bukan nabi dan rasul. Sistem tarbiyyah yang disusunnya seperti usrah, bukannya "sunnah" yang diikuti oleh kalangan aktivis dakwah Islam sekarang ini. Semua ini cuma analogi perumpaan sahaja.
Namun, kiasan ini cuma dibangkitkan bagi menyedarkan kita terhadap suatu persoalan - sejauhmanakah kita telah mengikuti sunnah al-Banna ini? Adakah kita mengikuti sunnah beliau dalam membantu mahasiswa?
Sistem tarbiyyah seperti usrah di universiti tidak hidup sekiranya idea-idea itu tidak diulang cetak oleh mahasiswa al-Azhar ke negara masing-masing. Usrah di universiti yang biasanya menetaskan kepimpinan jemaah, bukannya usrah-usrah desa.
Ertinya, mahasiswa yang paling ramai memainkan fungsinya guna menghidupkan pergerakan Islam dalam politik hari ini.
Inilah jasa buah pemikiran al-Banna di mana mahasiswa adalah mesin atau jenteranya.
Al-Banna amat bijak di dalam hal ini. Apabila beliau "menggunakan" mahasiswa sebagai jentera dakwah, maka beliau akan berusaha memperbaiki semangat dan jiwa pendakwah muda agar terus mantap. Permasalahan anak muda jadi keutamaan beliau.
Memecut berterusan
Mesin dan jentera dakwah bagaikan sebuah kereta yang perlu diperbaiki, diberikan servis secara berkala dan berjadual supaya dakwah itu dapat berjalan dan memecut berterusan. Pelajar itu janganlah hendaknya dijadikan kenderaan yang tidak diberikan servis. Apabila rosak, maka ditinggalkan pelajar itu begitu saja bagaikan bangkai kenderaan terbiar.
Al-Banna pemimpin umat-mujaddid yang menggariskan semula beberapa prinsip dakwah peninggalan Rasulullah s.a.w dalam cara yang mudah difahami masyarakat semasa. Juga, beliau berhempas pulas menemui orang-ramai yang beragam sifatnya demi Islam.
Diriwayatkan beliau tidak pernah keluh kesah apabila bertemu orang-ramai. Suatu ketika, selepas ceramah, ramai orang mahu berjabat tangan bersama beliau. Sahabat-sahabatnya telah menghalang orang-ramai berbuat demikian.
Apabila mendapat tahu hal itu, beliau berkata: "Tidakkah kalian tahu bahawa apabila aku bersalaman dengan mereka, maka sebahagian besar daripada keletihanku telah hilang?"
Seorang jurudakwah seperti al-Banna terpaksa menerima hakikat ini semuanya. Terpaksa mereka menemui pekerja kilang yang meminta mereka turun menyelesaikan masalah jika menjadi jurubicara umat.
Saya mendapat maklumat bahawa Ikhwan mempunyai puluhan, malah ratusan lembaga swadaya atau NGO seperti Persatuan Tukang Gunting, Teksi dan lain-lain. Ini semua ditubuhkan bagi memperjuangkan masalah dan hak kaum pekerja.
Apatah lagi masalah dunia akademik seperti pensyarah universiti dan masalah mahasiswa kita. Ini perlu menjadi perhatian pimpinan Muslim kerana pelajar adalah aset kepimpinan negara nanti. Diriwayatkan, nama Nabi Zulkifli sebenarnya bukan Zulkifli. Itu cuma gelar setelah dia bersedia menerima amanah kepimpinan dari raja yang mencari penggantinya.
Zulkifli ertinya yang sanggup memikul amanah dan tanggungjawab. Zulkifli serta Zulkarnain memiliki wazan timbangan nama gelaran yang sama. Kedua-duanya adalah raja. Zulkarnain pula adalah seorang raja yang menolong rakyat melawan penindasan penjajah Yakjuj Makjuj.
Adakah pembangkang sanggup dan sudi membebaskan mahasiswa dan pensyarah universiti daripada bahang penindasan Ya'juj Majuj yang menjelma dalam tubuh lembaga Umno-HEP-KPT. Walaupun berlainan bahasa antara Zulkarnain dengan kaum tertindas, tapi hal itu bukan alasan untuk tidak menghulurkan bantuan.
Ada hal lain yang tak kurang pentingnya apabila al-Banna merumuskan tiga rukun usrah-taaruf, tafahum, takaful. Untuk ringkaskan bualan, marilah kita tumpukan istilah takaful.
Akhir kepada matlamat usrah ialah takaful-saling bantu-membantu, tolong-menolong dan jamin-menjamin. Idea bagi menubuhkan usrah dalam konteks universiti di Malaysia pada hari ini tentunya datang daripada jemaah Islam dan bukannya universiti.
HEP jauh sekali akan berminat menaja usrah kecuali UIAM saja yang mewujudkan usrah sebagai salah satu kegiatan akademik bagi memenuhi syarat keperluan ijazah. Selebihnya itu, ahli jemaah Islam dalam kalangan pensyarah sahaja yang mewujudkan usrah tersebut.
Oleh itu perlulah wujud semacam sikap saling bantu-membantu antara pensyarah-pelajar-pimpinan jemaah pusat jika timbul kesulitan di mana-mana anggota jemaah. Nabi pernah bersabda, bahawa Muslimin itu bagaikan anggota tubuh, apabila cedera salah satu anggota maka yang lainnya akan turut menderita kesakitan dan demam.
Di dalam situasi USM saya cemburu kepada rakan sekuliah saya, Soh Sook Hwa. Ketika dia ditahan dibawah Auku, protes daripada PKR (Cina) tumpah membanjiri lembah tadahan ilmu itu. Apabila HEP tidak membenarkan pembangkang masuk kampus, protes demo melimpah keluar di luar pintu pagar utama di Sg Dua, Minden.
Demonstrasi dalam kampus
Soh terlibat dalam satu kempen di mana beliau menolong Tian Chua dalam kempennya. Dan sebagai usaha membantunya, pembangkang PKR (Cina) telah membuat demo dalam kampus.
Mereka turut mengusung protes itu sehingga ke Parlimen. Golongan Non-Muslim tak pernah terdedah dengan ratusan rencam konsep taaruf, tafahum dan takaful. Tapi, mereka bergerak dengan bermodalkan naluri fitrah dan kemanusiaan untuk menjelmakan kebenaran. Dan HEP pula, sudah tentulah menjadikan hal itu sebagai modal kutukan ke atas Soh.
Tapi, HEP tetaplah tertekan. Inilah cara melawan. Bak kata penyair Indonesia Wiji Tukul yang mati dibunuh-hilang dalam Reformasi 1998 - Hanya ada satu jalan, LAWAN! Jangan sesekali membiarkan HEP berasa senang. Jadikan dada HEP sentiasa berombak waspada terhadap gerakan-gerakan radikal sebegini.
Sebenarnya, inilah modal utama HEP-Umno-KPT menjelang pilihan raya umum. Mereka akan melakukan apa saja demi memastikan Aspirasi–Umno menang membentuk kerajaan mahasiswa, atau MPP. Ini sebenarnya modal untuk menang dalam PRU, iaitu dengan mula memenangkan Aspirasi dalam PRK.
Jika Aspirasi menang, parti pemerintah akan memberitahu rakyat: "Lihat ... dulu pelajar yang kritik kita, kini sokong kita. Mahasiswa sekarang sudah tak peduli lagi kepada pembangkang. Jika ada siswa pembangkang, mereka sikit saja. Jadi, kenapa tidak rakyat sokong saja kami?"
Ertinya, jika pembangkang benar-benar ingin menunjukkan bahawa kekuatan mereka itu masih wujud di universiti-universiti maka buktikanlah melalui PRK. Sokonglah pelajar di dalam universiti, atau jika tidak dibenarkan masuk dalam kampus, usunglah perarakan itu di luar pagar universiti. Rakyat akan melihat. Ambil peduli juga masalah pensyarah kita.
Jika Hasan al-Banna masih hidup pada saat ini, nescaya beliaulah antara orang yang amat prihatin dan terkesan dengan realiti kampus kita. Mungkin akan wujud muktamar khas bagi mereka. Ingatlah, situasi kampus dahulu berbeza dengan sekarang. Perbezaan ini tentu sekali menuntut perbezaan pendekatan dalam perjuangan.
Sekolah Pemikiran Kg Baru.
1:24 pagi, 22 September 2007_
harakahdaily
Friday, February 27, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Sebab-Akibat
Sebab-akibat antara elemen penting dalam ilmu sejarah. Pemikiran sebab-akibat ini penting bagi mengelakkan kita membuat ramalan dan andaian ...
-
Parti Islah Yaman ditubuhkan pada tahun 1990 setahun selepas penyatuan Yaman Utara dengan Yaman Selatan. Kongres Rakyat Umum (GPC) dari U...
-
BAB 2: ROH PERJUANGAN GMI ‘Islam bukan agama teori dan ritual sahaja tetapi Islam adalah agama praktikal yang perlu diterjemah sebagai satu ...
-
Tak sangka, Jemaah Tabligh (JT) yang suci itu juga mengalami krisis. Itulah qada’ dan qadar yang ditentukan oleh Allah SWT yang mempunyai...
No comments:
Post a Comment