Sejauhmana kesan gerakan dakwah di kampus?
Ali Bukhari Amir
Thu | Feb 26, 09 | 11:06:44 pm MYT
harakahdaily
Hassan al-Banna barangkali adalah batu asas pertama yang memberikan nafas, penunjuk arah kepada bagaimana seharusnya gerakan dakwah Islamiyyah itu harus memainkan peranannya.
Iklan
Pada zaman moden, tak salah jika kita katakan bahawa mujahid dakwah ini telah meletakkan asas-asas kepada gerakan Islam. Buah fikir dakwahnya benar-benar jauh menjelajah di mana-mana belahan dunia Islam dan mempengaruhi gerakan Islam yang tumbuh kemudiannya.
Berdiri daripada hakikat ini, maka kita boleh mengiktiraf kedudukan dahwah dan tarbiyyah Ikhwan Muslimin pimpinan beliau sebagai induk kepada dakwah di seluruh dunia ketika Rasulullah tiada lagi di sisi kita.
Keunikan Hasan al-Banna menurut tanggapan peribadi saya, terletak kepada kekuatan dan kesungguhan beliau melihat potensi mahasiswa di universiti sehingga wujud suatu acara yang benar-benar menumpukan kepada usaha membangun potensi mahasiswa itu sehingga berada pada tempatnya yang sebenar.
Selain al-Banna, al-Maududi juga adalah sosok mujahid dakwah yang turut menyatakan keprihatinannya berhubung gerakan mahasiswa ini. (Lihat pautan di bawah tulisan ini..)
Namun, sehingga kini saya masih tercari-cari adakah al-Banna, al-Maududi pernah mengarang kepada pensyarah universiti, menyusun saranan-saranan dan langkah-langkah yang menuju ke arah pembangunan intelektual para pensyarah?
Akhirnya, saya menarik kesimpulan awal bahawa, sekurang-kurangnya ada tiga sosok yang memainkan peranan penting dalam dakwah kampus universiti sejak dahulu.
Selain teks, nota panduan Hasan al-Banna, dan tulisan al-Maududi, maka pendapat Dr. Ali Shariati turut dirujuk sebagai antara buah fikiran yang berpengaruh di kampus.
Ini kerana, seruan dan semboyan Shariati lebih banyak menumpukan kepada slogan Rausyan Fikir (Ahli Fikir). Barangkali, Malek Ben Nabi juga boleh kita masukkan dalam golongan ini.
Kelemahan siswa atau pensyarah?
Alkisahnya, baru-baru ini, saya berkesempatan berbual dengan seorang pensyarah. Sejak pertemuan yang lalu, ada sedikit perbezaan antara saya dengan beliau mengenai isu gerakan intelektual yang kering dan lembap di kampus.
Saya lebih banyak melihat punca kelembapan ini bermuara daripada mahasiswa, sebaliknya beliau lebih banyak menyalahkan pensyarah universiti. Perbezaan pandangan ini bukanlah terlalu meruncing, malah ia berjalan dengan sihat.
"Mereka pergi ke luar negeri, membentangkan satu kertas kajian, tapi dikongsi bersama empat orang," kata pensyarah itu ketika bercerita mengenai beberapa masalah kajian akademik di universiti.
Turut dibangkitkan tentang isu dana, geran penyelidikan yang sukar didapati. Dan, ada kalangan pensyarah yang terpaksa menukar tajuk kajiannya untuk mendapatkan dana geran penyelidikan itu diputuskan oleh pihak atasan.
Lalu, politik kampus ini bukanlah semata-mata pertarungan membabitkan pelajar dan HEP seperti yang berlaku baru-baru ini di Universiti Utara Malaysia.
Kes terbaru, melibatkan seorang pelajar tahun tiga yang membuat bantahan ke atas harga tambang bas di universiti. Bantahan itu dibuat melalui internet.
Maklumat terakhir yang saya tahu, perbicaraan itu ditunda kepada tarikh yang berikutnya. Mungkinkan kerana wujud suatu tekanan besar-besaran di akhbar, maka pihak UUM akhirnya menunda perbicaraan tersebut. Hal itu masih samar-samar lagi buat masa ini.
walaupun kelihatan mahasiswa ditekan dengan hebat, pensyarah pun tak kurang hebat tekanannya. Pensyarah pula mestilah berhati-hati kerana pekerjaannya itu adalah rezekinya.
Pelajar pada kebiasaannya akan 'mengganas' ketika mereka berada di tahun terakhir. Mereka ada setahun atau satu semester saja untuk tonjolkan diri kepada parti-parti politik.
Demikianlah saya difahamkan oleh rakan-rakan mengenai kaedah melonjakkan nama dalam parti-parti tertentu. Ada kalangan mereka yang berjaya menggunakan teknik ini. Selebihnya, hilang entah ke mana.
Mana-mana yang masih terlekat dalam kegiatan kepartian, ertinya mereka ada kualiti. Yang tertinggal jauh ke belakang, akhirnya perlahan-lahan malap dan suram dengan sendirinya.
Yang paling penting bagi seseorang pemimpin pelajar itu bukanlah kehebatannya berpidato dan mutu penulisannya sangat. Tetapi, sejauhmanakah dia mampu mempertahan prinsipnya. Di situlah terletaknya maruah perjuangannya.
Mereka mungkin memiliki seni berpidato yang baik. Tapi, setelah ditahan, akhirnya mengalah, mengelak dan kemudian cuba berdalih dengan menyatakan penulisan itu bukan miliknya dan lain-lain lagi.
Ada juga yang ditangkap buat kali pertama dan akhirnya terus tidak menulis dan berpidato lagi setelah dikenakan hukuman itu.
"Saya tak salahkan pelajar sangat," begitu kata pensyarah, teman saya ketika bertukar-tukar fikiran itu, dan semua itu membidas pandangan asal saya. "Malah, pensyarah itulah yang perlu bertanggungjawab sepenuhnya."
Pensyarah, menurut beliau, sudah tidak berani lagi merangsang pemikiran mahasiswa untuk kembali berfikir mengenai niat matlamat sebenar mereka tiba di universiti ini.
"Apa yang penting bagi pensyarah ini, mereka datang ke kuliah, mengajar lebih kurang dan kemudian apabila tibanya masa peperiksaan, pensyarah ini akan berikan soalan-soalan ramalan untuk menjawab peperiksaan," kata beliau.
Mas'ul tidak berperanan?
Pendapat itu mungkin ada kebenarannya juga. Mas'ul dalam kalangan pensyarah sendiri kadang-kadang tidak mempertahankan pendirian anak-anak usrahnya. Semua ini akhirnya mematikan semangat juang para pelajar tersebut. Hal ini jarang-jarang disebutkan juga.
Kalau mahu dibandingkan dengan zaman 1970-an dahulu, mahasiswa dan pensyarah sama-sama naik ke pentas berpidato serta berjuang mempertahankan pendirian masing-masing sama ada di dalam atau di luar kampus.
Sama ada pensyarah dan pelajar, sama-sama dihadapkan dengan pertuduhan dan sama-sama merengkok dalam penjara, sama-sama terbuang dalam ISA.
Pada saya, ini memang baru betul-betul perjuangan. Siswa menyokong gurunya dan gurunya mendokong siswanya. Saling ada kepercayaan dan selalu bahu-membahu antara mereka, mengikat tali kesetiaan dalam merempuh badai kezaliman penguasa.
Dan pada saat itulah pemikiran Hasan al-Banna, buah fikiran al-Maududi dikoyak, kuliah syarahan Shariati diratah hadam segala isinya bersama-sama. Kini, yang tinggal mungkin 'raga dakwah' sedangkan 'jiwa, ruh dakwah' hilang ke mana?
Mungkin masih ada lagi usrah, tamrin yang bersifat program luaran, tetapi penghayatan semula Usul Isyrin (Asas 20), 10 wasiat al-Banna dan segala-galanya itu semakin tenggelam oleh arus pertengkaran antara Salafi, wahabi, Syiah di IPT.
Tapi, jika sesekali sergahan HEP menjengah dengan Aukunya, pensyarah dan mahasiswanya lari bertempiaran, hilang tempat pergantungan. Bermusuh sengketa sesama sendiri memang kuat, tetapi dengan musuh tradisi lari pula. Itu yang dikeluhkan oleh seorang rakan.
Dokumentasi mengenai perjuangan pensyarah
Satu hal lain yang tak kalah menariknya, apabila menyentuh isu politik kampus yang terkait dengan kekangan pensyarah, kita mungkin sukar mencari bahan rujukan seperti buku-buku yang memperihalkan dokumentasi perjuangan pensyarah.
Atau, yang lebih tepatnya kita sukar mencari isu-isu yang mengekang aktivisme pensyarah dalam menjalankan penyelidikan mereka yang bersifat kemanusiaan, sejarah, kemasyarakatan dan lain-lainnya.
Yang kerap muncul di dada akhbar perdana, ialah hasil penyelidikan teknologi pemprosesan jus buah-buahan untuk dipasarkan di luar negeri dan sebagainya.
Maaf, kalau bersikap sinis. Saya cuma ingin menagih jawapan. Itu sahaja. Adakah kajian mengenai masalah politik, parti Melayu di universiti boleh diberi dana penyelidikan? Mustahil.. kajian ini mungkin 'menembak' ke dada sendiri.
Tetapi, kalau pemnerintah mahu bermuhasabah diri, inilah masanya. Mahasiswa itu mestilah dibenarkan untuk menemuramah para pemimpin politik mengenai masalah 'politik wang' (kalimat rasuah adalah lebih afdal!) dan pensyarahnya yang telah ada geran penyelidikan itu diberi ruang seluas-luasnya tanpa takut untuk mengkaji masalah dalaman parti pemerintah.
Saya yakin benar, masih ramai pensyarah dan mahasiswa yang mampu mempertahan tahap profesionalisme mereka.
Barangkali, salah satu buku yang mungkin boleh dijadikan sandaran rujukan adalah The Closing of the American Mind yang diterbitkan pada 1987, setelah pengarangnya, Dr Allan Bloom menulis sebuah esei mengenai kegagalan universiti memenuhi keperluan para pelajarnya sebelum itu.
Buku ini khusus menceritakan kegagalan institusi pengajian tinggi di Amerika sendiri ketika kita berasa terlalu megah apabila universiti-universiti di Barat sedang rancak membina penarafan universiti-universiti yang terbaik di dunia.
Turut termuat dalam buku itu, hal-ehwal tajuk-tajuk perbincangan tentang falsafah politik Plato dan lain-lain failasuf dalam tamadun Barat. Di Malaysia, saya masih tercari-cari.
Mungkin ada dan tidak mustahil kalau saya terlepas pandang. Kalau ada, harap sesiapa dapat cadangkan. Kalau ada, mungkinkah ada dibincangkan masalah pensyarah yang sukar mendapat dana dan geran penyelidikan itu?
Tetapi itulah masalahnya. Segalanya memerlukan dana penyelidikan dan rasa-rasanya universiti dan Kementerian Pengajian Tinggi mungkin masih belum dapat berjihad dan berijtihad untuk memutuskan sama ada berbaloi atau tidak bidang kajian seumpama ini.
Mungkin jika sosok Hasan al-Banna, Abul 'Ala al-Maududi dan Dr Ali Shariati masih hidup, entah bagaimanalah rupa paras dan wajah pemikiran yang tercermin di dalam bingkai akliah mereka tatkala melihat fenomena pengajian tinggi di negara kita pada hari ini? Wallahu'alam..
10:33 p.m, 26 Februari
Sekolah Pemikiran Kg Baru
Lain-lain pautan..
(http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=9983&Itemid=78 - Konflik kampus: Jika Hassan al-Banna masih hidup ....)
(http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=13527&Itemid=111 - Universiti adalah 'rumah penyembelihan' - Sayyid Abul 'Ala Maududi)
Syor, cadangan, maklumbalas, boleh dimajukan lewat mel-e ibnuamir@yahoo.com.Alamat email ini telah dilindungi dari spam bots, anda perlukan Javascript enabled untuk melihatnya _
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Sebab-Akibat
Sebab-akibat antara elemen penting dalam ilmu sejarah. Pemikiran sebab-akibat ini penting bagi mengelakkan kita membuat ramalan dan andaian ...
-
Parti Islah Yaman ditubuhkan pada tahun 1990 setahun selepas penyatuan Yaman Utara dengan Yaman Selatan. Kongres Rakyat Umum (GPC) dari U...
-
BAB 2: ROH PERJUANGAN GMI ‘Islam bukan agama teori dan ritual sahaja tetapi Islam adalah agama praktikal yang perlu diterjemah sebagai satu ...
-
Tak sangka, Jemaah Tabligh (JT) yang suci itu juga mengalami krisis. Itulah qada’ dan qadar yang ditentukan oleh Allah SWT yang mempunyai...
No comments:
Post a Comment