Wednesday, May 03, 2017

Muslim Demokrat dan Pemikiran Politik Gerakan Islam Generasi Kedua


Muslim Demokrat dan Pemikiran Politik Gerakan Islam Generasi Kedua: Satu Jenama Baru
Fenomena Muslim Demokrat semakin mendapat tempat dalam gerakan Islam seantero dunia. Fenomena ini berkembang pesat setelah Rasid Tayyib Erdogan dan Abdullah Gul telah mengemudi Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) Turki memerintah Turki tanpa menamakan program pembangunan, perubahan dan pemurnian dengan ‘jenama’ dan slogan Islam. Mereka telah melakukan reformasi politik sehingga berjaya meletakkan Abdullah Gul dan Erdogan sebagai Presiden Turki dan mengurangkan pengaruh tentera, birokrat dan hakim yang tegar-totok sekularisme dalam politik Turki.

Kejayaan AKP telah mempengaruhi ramai pemimpin Islam melaksanakan perubahan dalaman dalam gerakan Islam. Di Tunisia, pemimpin senior dalam Ikhwanul Muslimin yang disebut calon penganti Presiden Kesatuan Ulama Muslim Sedunia (Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi), Syeikh Rasid Ghannousshi cuba mengaplikasikan pendekatan AKP dalam parti An-Nahdah Tunisia. Akhirnya, Islam tercabut secara rasmi daripada Parti An-Nahdah pada tahun 2016. Di kebanyakan negara seperti Malaysia dan Jordan, gerakan Islam mengalami perpecahan ekoran pertembungan kelompok reformis dengan kelompok Quranik-tradisionalis. Lebih teruk, perpecahan ini menghasilkan parti-parti baru Islam yang tidak menjenamakan diri mereka sebagai parti Islam atau tidak mengunakan slogan Islam.

Tapak transformasi pemikiran politik Gerakan Islam ialah di Barat terutamanya di London. Pemimpin gerakan Islam yang menjadi pelarian politik berkumpul di Barat dalam meneruskan misi perjuangan mereka. Pada tahun 1981, Ikhwanul Muslimin menubuhkan Tanzim Ikhwanul Muslimin Antarabangsa yang digerakkan oleh Mustafa Masyhur di Jerman. Para pemimpin Ikhwanul Muslimin yang berada di Barat berpandangan Ikhwan perlu mengunakan pendekatan damai dengan Barat melalui dialog dan bersama-sama Barat membentuk dunia yang lebih damai dan baik.

Kemuncaknya ialah penubuhan IIIT pada tahun 1980an yang berperanan mendekatkan Islam dengan Barat. IIIT mendapat restu Ikhwanul Muslim yang kepimpinan IIIT dibarisi oleh para senior Ikhwan. IIIT turut mendapat sokongan Dr Yusuf al-Qaradhawi. Penglibatan tokoh utama IIIT, Dr. Ismail al-Faruqi dalam isu kemasukan Dato Seri Anwar Ibrahim ke dalam UMNO dilihat satu eksperimen kelompok aliran baru dalam Ikhwan ini. Anwar Ibrahim juga adalah model pembina jambatan hubungan antara Islam dengan Barat. Seperti yang kita tahu, Anwar Ibrahim adalah pemimpin muda berbakat besar yang aktif dalam WAMY, pertubuhan belia Islam yang menempatkan para pemuda ikhwan.

Pada dekad 1990an, para pemimpin gerakan Islam menganjak kepada pemikiran politik yang lebih mesra Barat. Mereka melihat satu keperluan, ‘aliran’ pemikiran baru yang menjauhkan Islam daripada sifat radikal dan ekstrem perlu diwujudkan. Antara pemimpin tersebut ialah Rasid Ghannousshi, Said Ferjani (Tunisia), Ahmed Yousef (seorang ulama dan pemimpin Hamas di Semenanjung Gaza), Saadeddine Othmani (seorang ulama Maghribi dan ahli politik), Ali Sadreddine Bayanouni (pemimpin Syria Ikhwan). Abdul Latif Arabiyat (seorang pemimpin Islam dari Jordan) dan Abdelilah Benkirane (Maghribi). Pemimpin gerakan Islam ini juga mempunyai anak didik yang ramai di serata dunia melalui saluran pengkaderan dan pentarbiyyahan Ikhwanul Muslimin.

Pada pandangan penulis, transformasi pemikiran politik gerakan Islam lebih awal dilakukan oleh Anwar Ibrahim dan Dr. Hassan Turabi. Di Malaysia, Anwar Ibrahim salah seorang pemimpin Belia Islam dunia (WAMY) yang rapat dengan Ikhwanul Muslimin dan kelompok reformis Ikhwan di IIIT telah menyertai parti pemerintah, UMNO. Anwar Ibrahim banyak membina jambatan antara Islam dengan Barat. Kita boleh melihat pengaulan, persahabatan, pemikiran, bahan bacaan, penulisan, ucapan, penyertaan dalam organisasi dan program dan dana kepada pertubuhan yang direstui oleh beliau. Kita akan dapat mengesani usaha Anwar Ibrahim membina jambatan antara Barat dan Islam seperti melalui IIIT. Penulis berpandangan Anwar Ibrahim adalah contoh pemimpin paling tepat kepada model Muslim Demokrat yang unggul (beliau dilantik pengerusi pertubuhan Muslim Demokrat peringkat dunia) dan tokoh utama pemikiran politik gerakan Islam generasi kedua.

Pada pertengahan tahun 1990, Parti Wasat ditubuhkan di Mesir oleh anak muda Ikhwan bernama Aboul-Ela Maadi. Ia cuba mendamaikan antara demokrasi dan Islam, mengisytiharkan sokongan kepada pilihanraya untuk peralihan kuasa, menghargai perbezaan pendapat dan bersedia melakukan pakatan dengan parti bukan Islam. Pemikiran politik yang asing dalam kalangan Ikhwanul Muslimin Mesir yang dikuasai oleh pemikiran politik Sayyid Qutb menyebabkan kelompok muda Maadi menubuhkan parti baru. Ada pendapat parti ini direstui oleh Mustafa Masyhur.

Parti ini menjadi wadah perubahan atau reformis yang sesuai dengan saranan Carnegie Endowment for International Peace, "berusaha untuk menafsirkan prinsip-prinsip syariah Islam dengan cara yang konsisten dengan nilai-nilai sistem demokrasi liberal. Walaupun al-Wasat pendukung sistem politik yang kuat berpegang dalam hukum Islam, namun mereka juga memandang prinsip syariah sebagai fleksibel dan kompatibel sepenuhnya dengan prinsip-prinsip pluralisme dan hak-hak kewarganegaraan yang sama. "

Tanpa rasuah, KKN (Kronisme, Korupsi dan Nepotisme) dan penyelewengan kuasa, UMNO adalah sama dengan AKP. Tanpa rasuah, KKN dan penyelewengan kuasa, tiada apa yang membezakan UMNO dan AKP yang dilakukan dalam pemerintahan. UMNO dan AKP meletakkan Islam sebagai syiar dan pada tahap minima dalam pemerintahan. Tanpa baju Islam, Parti An Nahdah adalah UMNO di Tunisia. Pemimpin UMNO dan Parti an-Nahdah adalah Islam yang nasionalis dan sekularis tanpa bezanya.

Sebab itu gerakan Islam mesti bertegas dan berprinsip, pemerintahan Islam bukan setakat syiar Islam, urus tadbir kerajaan yang baik, mencegah rasuah, membebas negara daripada penyelewengan, bebas KKN, adil, telus, integriti tetapi meletakkan Al-Quran, As-Sunnah, Ijma’ Ulama dan Qiyas paling tinggi dalam pemerintahan dan kunci kejayaannya ialah pelaksanaan perundangan Islam. Gerakan Islam mengunakan demokrasi, penyertaan pilihanraya dan pendekatan yang menepati perlembagaan negara dalam mencapai matlamat gerakan Islam yang cukup jelas tujuannya tanpa matlamat tersirat.


Teras Pemikiran Muslim Demokrat
Muslim Demokrat sebagaimana Pasca Islamisme tidak mempunyai definisi dan konsep yang jelas. Pada pandangan penulis, Muslim Demokrat lahir daripada kandungan SEPILIS. Dato Seri Mohamed Azmin Ali menyatakan Muslim Demokrat memperjuangkan demokrasi mempunyai nilai sejagat (seperti keadilan dan kebebasan) diusung bersama nilai tempatan (persoalan identiti, kebudayaan dan kenegaraan). Persoalan yang timbul, pertama definisi-konsep nilai-nilai sejagat mengikut Timur, Barat atau Islam?. Kedua, jika nilai-nilai sejagat dan nilai-nilai bertentangan dengan Islam, adakah definisi al-Quran ditolak?.

Antara sifat asasi Muslim Demokrat ialah sekularisme, demokrasi, modenisme, pragmatisme, inklusif, pluraliti, liberalisme, toleran, rasional, progresif, nilai hak sivil, reformisme, populisme dan prinsip maqasid syariah. Di kebanyakan negara, kelompok Muslim Demokrat atau Islamis Demokrat ini mengunakan slogan Islam Rahmat Untuk Semua atau Islam rahmatan lil’alalmin.


Sekularisme
Pemisahan antara peranan jemaah Islam dengan parti politik mengambarkan sifat sekularisme yang ada dalam pemikiran pimpinan kelompok Muslim Demokrat.

Menurut Prof. Dr. Wan Mohd Nor Wan Daud, kerangka atau prinsip-prinsip utama worlview sekular berdasarkan rumusan sarjana Barat dan seperti yang terbukti dari pengalaman kebudayaan dan tamadun (peradaban) mereka:

Pertama, alam jagat atau sarwajagat atau sejagat iaitu universe adalah satu-satu alam yang ada. Dalam pandangan mereka, alam jagat ini juga tidak mempunyai kewujudan dan makna rohani. Tidak ada alam rohani, alam arwah, alam malakut atau jabarut. Tidak ada syurga atau neraka. Prinsip-prinsip lain dalam pandangan alam mereka, semua terlahir daripada yang pertama ini.

Kedua, dalam pandangan alam sekular, semua nilai dianggap tidak memiliki watak sakral, suci, dan kekal abadi.

Ketiga, kegiatan dan tujuan politik hanya terbatas kepada kepentingan kehidupan dalam dunia ini, tiada tujuan akhirat. Malah kegiatan keagamaan dibenarkan dan dikembangkan untuk men-capai kesejahteraan dan kejayaan duniawi sahaja.

Keempat, alat bagi mencapai kesejahteraan dalam hidup duniawi ini hanyalah akal fikiran manusia dan saling membantu diantara mereka. Dalam konteks ini, ilmu sains, perekonomian, perubatan dan teknologi adalah yang paling diperlukan.

Muslim Demokrat adalah produk yang dilahirkan daripada rahim sekularisme. Sewajarnya, ia ditolak. Menurut Syed Ali Tawfiq al-Attas, sekularisme adalah produk worldview Barat yang tidak cocok dengan Islam sama sekali. Sebab worldview Barat dan Islam kenyataannya memang sangat berbeda.

Modenisme
Perkembangan modenisme bermula dengan sejarah penentangan terhadap penguasaan institusi gereja yang memonopoli dan mentafsir agama Kristian. Institusi gereja menentu kebenaran yang perlu diikuti oleh penganut agama Kristian. Modenisme adalah satu kepercayaan bahawa untuk mencapai kemajuan dalam kehidupan, masyarakat perlu dibebaskan daripada kongkongan tradisi.

Pragmatisme
Pragmatisme politik, mereka hanya melihat kepentingan jangka pendek yang menguntungkan diri dan kelompoknya. Jika faedahnya sudah berkurangan, mereka akan mencari manfaat yang lain. Oleh sebab itu, pragmatisme ini hanya menguntungkan sebahagian kecil kelompok elitis berbanding rakyat dan anggota parti. Kalau kes Parti Islam umpamanya, ia perlu mengorbankan idealism Islam demi kepentingan kekuasaan. Seseorang yang pragmatis sanggup mengorbankan pandangan alam Islam mereka untuk mencapai kemenangan dalam politik kekuasaan dan pilihan raya.


Demokrasi
Muslim Demokrat kononnya cuba memdemokrasikan ekonomi, sosial dam politik. Walaupun kita mengakui kelebihan dan kebaikan demokrasi, sistem demokrasi bukanlah segala-galanya. Gerakan Islam hanya mengunakan demokrasi untuk menegakkan Islam (lebih tepat: ruang menyuarakan Islam). Barat mengunakan demokrasi untuk menjarah negara lain. Lebih teruk atas nama prinsip demokrasi, muslim didorong untuk mengakui kebenaran agama lain sebagaimana pandangan Dr Wan Mohd Nor Wan Daud.

Antara ciri-ciri politik dalam demokrasi ialah: pengasingan kuasa; kekuasaan rakyat; perwakilan; pilihan raya; warganegara adalah sama. Manakala syarat-syarat demokrasi pula ialah:  persamaan; kebebasan (bersuara, berpersatuan); perlembagaan yang demokrasi (cita-cita rakyat dan kehendak rakyat menjadi perhatian); semakin berpendidikan; masyarakat yang setara; pengagihan harta benda; dan sikap  toleransi.

Dalam ‘politik’ Islam, sistem politik bukanlah keutamaan. Paling penting dan utama ialah individu yang memimpin atau pemimpin (atau pentadbir). Asal unsur kepimpinan Islam melalui sistem syura berdasarkan wahyu (kedaulatan Allah) dan kekuasaan rakyat. Sistem syura ini diupayakan oleh maqasid al-Quran.  Perbezaan sistem demokrasi dengan sistem syura ialah pertama, sistem syura berpandukan Wahyu. Kedua, demokrasi Barat menekankan persoalan hak-hak manusia atas nama hak. Sedangkan persoalan hak-hak manusia dalam Islam disertai dengan sifat amanah. Ketiga, demokrasi Barat menekankan tentang kebebasan sedangkan sistem syura  dalam menekan tentang kebebasan disertai dengan sifat tanggungjawab.

Khutbah terakhir di Arafah menjadi contoh dimana hak-hak manusia perlu disertai dengan sifat amanah dan tanggungjawab bukan sekadar hak-hak manusia sahaja.

Antara Pluraliti dan Pluralisme
Penulis sangat bersetuju kemajmukan atau pluraliti sebagaimana dinyatakan oleh Dato Dr. Siddiq Fadzil sebagai ‘fiqh al-ta`addudiyyah (fiqh pluraliti) yang meliputi persoalan hak kebebasan beragama, hak asasi manusia, prinsip keadilan,  nilai-nilai kemanusiaan sejagat dan seterusnya tata susila  kesantunan hidup berdampingan dalam masyarakat pelbagai kaum dan agama.  Kemajmukan masyarakat Malaysia adalah lahan paling subur untuk menumbuhkan fiqh al-ta`ayush atau fiqh co-existence   dalam pengertian tata aturan hidup berdampingan yang harmonis dan penuh semangat kesalingan dalam kalangan warga pelbagai agama dan budaya.’ 

Malaysia yang memiliki masyarakat majmuk semestinya menghadapi cabaran pluraliti. Cabaran pluraliti tidak cukup dengan retorik-retorik dan istilah bombastik. Pada pandangan penulis, ia bermula dengan pendidikan dimana penghapusan sekolah vernakular berdasarkan bahasa ibunda. Sebelum kewujudan sistem pendidikan vernakular, masyarakat bukan Melayu yang tinggal di Tanah Melayu perlu menguasai Bahasa Melayu dalam interaksi dengan majoriti rakyat berbangsa Melayu. Tanpa penguasaan Bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat bukan Melayu, cabaran pluraliti hanyalah sembang kencang.

Cabaran pluraliti seterusnya taat setia kepada Raja-raja Melayu dalam kalangan masyarakat bukan Melayu semakin merosot. Jika dulu, masyarakat bukan Melayu bersedia berada di bawah naungan Raja-raja Melayu. Mereka tidak campur tangan dalam politik Melayu. Jika masyarakat bukan Melayu mula berani mencampuri politik Melayu, suasana politik negara akan menjadi tidak stabil. Kita semua perlu mengakui bahawa rahsia kemakmuran dan kesejahteraan negara Malaysia terletak pada kestabilan politik orang Melayu-Bumiputera.

Kita mahu hidup dalam suasana yang harmonis bersama-sama sebagai satu Masyarakat Malaysia. Terasnya politik Melayu-Bumiputera, satu sistem pendidikan kebangsaan dan Bahasa Melayu.

Sebahagian daripada Orang Melayu teruja dengan undi bukan Melayu sehingga menyembunyi kebenaran Islam atas nama pluraliti dalam memperjuangkan Islam. Malah, ada yang lebih berani berhujah, bercakap dan menulis melampaui batas keimanan dan kekufuran atas nama pluraliti sehingga menjadi pluralisme agama. Kita boleh melihat dalam kes kalimah Allah dan kes tiada paksaan menganut Islam.

Pluralisme agama dikatakan pluraliti. Kebenaran agama lain turut diakui. Semua agama adalah sama kerana semua menuju jalan kebenaran. Pluralisme agama adalah asas perjuangan kepada Interfaith Council atau Interfaith Commission(IFC) dan COMANGO yang pernah mengemparkan negara. Menariknya para aktivis yang mendokong pemikiran SEPILIS termasuk pluralisme agama berkampung dalam PKR dan DAP.


Fiqh al Muwatanah (Fiqh Kewarganegaraan)
Fiqh kewarganegaraan menjadi isu penting dalam gerakan Islam Ikhwanul Muslimin. Tidak hairan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) melalui Majlis Ulama ISMA (MUIS) dalam Muzakarah Ulama Fiqh Muwatanah pada 2 April 2016 dan Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) mengemukakan kertas kerja di NUNJI 15 tentangnya.

‘Dalam Nadwah Ulama Nahdhah Jadidah (NUNJI ‘15), Ustaz Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad, Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) telah membentang satu kertas kerja bertajuk “Fiqh al-Muwatanah: Satu Perkongsian dalam Membangun Negara”.’

‘Konsep Fiqh al-Muwatanah (Fiqh Kewarganegaraan) iaitu fiqh tentang isu-isu berkaitan warga sesebuah negara dan hubungannya dengan negara tersebut menurut perspektif Islam dan syariah.’

‘Menurut Mohd Parid, Fiqh Kewarganegaraan lahir daripada ikatan sosial antara warga sesebuah negara dan negara tersebut, hubungan kesetiaan, perkongsian dan pertanggungjawaban antara satu sama lain dalam semua suasana. Berdasarkan Fiqh al-Muwatanah, setiap orang yang dianggap warganegara dalam sesebuah negara Islam mempunyai hak yang sama rata, sama ada mereka itu Muslim atau bukan Muslim, dan tidak ada warganegara kelas kedua atau kelas ketiga. Malahan, kaum Yahudi pada zaman Rasulullah s.a.w juga dianggap sebagai warganegara dan sebahagian daripada umat oleh Rasulullah s.a.w.’

‘Setiap warga sesebuah negara  diberi hak yang sama rata, namun hak yang sama rata juga datang dengan tanggungjawab yang sama yang mesti dipikul oleh warganegara tersebut, yang mengambil salah satu prinsip yang menjadi asas fiqh kewarganegaraan iaitu:

“Memberi mereka hak seperti hak bagi umat Islam dan ke atas mereka tanggungjawab seperti tanggungjawab atas umat Islam.”

‘Dalam konteks Malaysia yang berbilang etnik, agama dan budaya sedang majoriti rakyatnya orang-orang Islam, maka Fiqh al-Muwatanah (فقه المواطنة) menjadi amat penting, yang menyentuh dan menjawab kedudukan seluruh warganya, Muslim dan bukan Muslim, hak dan tanggungjawab mereka kepada negara dan sesama mereka.’

‘Menurut Mohd Parid, secara prinsip, semua warganegara adalah sama. Namun, jika terdapat perbezaan dalam mendapatkan hak, perbezaan itu adalah berdasarkan keperluan individu kerana faktor fizikal, keupayaan, sosio-ekonomi dan juga geografi. Namun, kelebihan yang diberikan mestilah tidak mengambil hak warganegara yang lain. Setiap warganegara berhak mendapatkan hak dalam pendidikan, ekonomi, kesihatan, dan politik yang sama berdasarkan polisi-polisi kerajaan.’

Dalam konteks Malaysia, Fiqh Kewarganegaraan bukanlah suatu keutamaan untuk dibincangkan. Sebahagian mereka cuba mere-definisikan konsep kewarganegaraan dalam pemerintahan yang terikat dengan konsep Islam, Kafir Zimmi dan Kafir Harbi.

Fiqh kewarganegaraan menjadi satu elemen penting dalam mengharungi cabaran pluraliti. mengutarakan beberapa konsep yang perlu dijadikan dasar dan tasawwur dakwah sama ada di negara majoriti penduduk Islam dan juga di mana orang Islam adalah minoriti. Konsep ‘al Ukhuwat al Muwatanah’, ‘al Ukhuwat al Insaniyyah’ dan ‘Dar al Da’wah’ yang dianjurkan oleh pendakwah kontemporari seperti Yusuf al Qaradhawi, Tariq Ramadhan, Fahmi Huwaidiy, Jasser Auda, Muhammad Fathi Uthman dan Rasid al-Ghannoushi perlu dijadikan topik perbincangan dan diberikan ruang yang sewajarnya untuk dijadikan satu pendekatan dakwah yang lebih segar dan berkesan khususnya dalam mengolah semula konsep ukhuwah dan hubungan dengan bukan Islam. Sebagaimana ditegaskan oleh Menteri Besar Selangor, Dato Seri Mohamed Azmin Ali, ‘keadilan itu harus dituntaskan bukan sahaja kepada warganegara yang beragama Islam tetapi turut wajib dipelihara hak-hak warganegara yang bukan Islam’[Sinar Harian, 10 Disember 2016].


Kemunculan Pemikiran Politik Gerakan Islam Generasi Kedua (Gen-2)
Di Malaysia, Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan sebahagian pemimpin Parti Amanah Negara (AMANAH) yang berbicara tentang konsep Muslim Demokrat. Gerakan Islam seperti IKRAM Malaysia dan ABIM turut membicarakan tentang konsep ini. Oleh kerana konsep Muslim Demokrat mengunakan istilah Barat, Jalur Pemikiran Politik Gerakan Islam Generasi Kedua (Gen 2), pendekatan maqasid syariah dan slogan Islam rahmatan lil’alalmin lebih dipopularkan.

Dr. Dzulkefly Ahmad mendefinisikan bukan sahaja dari segi gagasan pemikiran dan idea tetapi bersekali ‘satu penampilan baru entiti politik’ yang mengalami evolusi hasil interaksi dengan dinamika sosio politik  negara masing-masing. Ia dilakarkan dengan anjakan generasi dalam pemikiran dan pengurusan idea yang melahirkan gerak kerja yang mempunyai kelainan dan berbeza dengan yang lama. Hakikatnya terbit dari kelainan pengolahan pemikiran dan dasar, cita-cita dan penghayatan perjuangan mendepani realiti baru.

Ciri-ciri Generasi Kedua Politikal Islam ialah:
1. Negara yang bersifat sivil dan tidak kudus, mengiktiraf kedaulatan rakyat berbanding hakimiyyah lillah.
2. Negara yang bersifat sivil dimana segala sesuatu akan diundang-undangkan melalui perbahasan di parlimen. Tiada yang layak mewakili Tuhan atau bercakap atas nama Tuhan. Tiada amalan teokrasi.
3.Undang-undang boleh yang dibahaskan di perlimen boleh ditolak walaupun bersandarkan nas dan dalil syarak kerana wujud pelbagai interprestasi dan fahaman tentang kesesuaian, ketepatan, pelaksanaan dan keberkesanan penyelesaian.
4. Mengiktiraf mesyuarat sebagai kaedah membuat keputusan serta menerima keputusan pilihanraya dalam mengangkat sebuah kerajaan.
5. Peranan agama dalam konstruk politik lebih jelas suatu yang bersifat sivil dan demokratik serta berpaksi ijtihad bukan bersandar hak kudus yang dimainkan oleh para ulama sahaja.
6. Memahami dan menerima pluralisme politik dalam amalan sistem multi parti.
7.  Mengungkap ayat al-Quran dan hadith atau pandangan ulama dari kitab turath yang sesuai dengan konteks dan relevan dengan realiti dan keperluan rakyat masa kini.
8. Mampu menerima kritikan walaupun mengunakan sumber perundangan Tuhan dan tidak mendakwa mewakili ‘kebenaran’.
9. Mengutamakan kepentingan urus tadbir yang baik
10. Pengasingan kuasa
11. Menolak retorik anti-barat dan sedia berdialog serta wacana dengan Barat.

Gen-1 mempunyai cabaran yang perlu ditangani dalam kerajaan dan parti mereka. Antara cabaran tersebut ialah:
1. Gagal memacu pembangunan dan ekonomi sebagaimana yang diingini oleh pengundi dan rakyat.
2. Gagal menaikkan kedudukan keseluruhan indeks kesejahteraan hidup rakyat dan umat Islam
3.  Gagal menampilkan kebolehan dan ketrampilan untuk memberi program responsif dan polisi penyelesaian yang berkesan terhadap pelbagai dan seaneka permasalahan dan kemelut rakyat bersabit perihal ekonomi dan aspek sosio politikal dalam isu-isu bermasyarakat dan bernegara.
4. Gagal bersifat mesra dengan golongan minoriti bukan Islam.
5. Membawa slogan-slogan dan retorik yang berorientasikan anti-Barat secara borong dan sangat tajam pertentangan terhadap golongan sekular yang dianggap anti agama
6. Sukar untuk merentasi  pengaruh dan sokongan pengundi dalam sebuah masyarakat yang berbilang agama, kaum, etnik, budaya serta menganut pelbagai kefahaman politik, ideologi dan mempamerkan amalan pluralisme politik dalam sebuah konstruk sistem multi parti
7. Kegagalan menyelesaikan konflik dalaman yang ketidakselesaian.

Gen 2 perlu buat:
1. Berani membuat ijtihad dan keluar daripada kekakuan ungkapan perjuangan atau kelumpuhan intelek.
2. Memahami tuntutan zaman serta logika semasa keperluan umat dan rakyat di segi permintaan untuk menyambung kelangsungan bahkan meningkatkan kesejahteraan manusia.
3. Pemikiran politik tahap tinggi yang menekankan proses melakukan diagnosis penyakit, memahami penyakit dari sudut penyebab-penyebabnya yang bersifat pelbagai dan hubungkaitnya dalam mencetus gejala dan angkara dalam masyarakat dan negara. Penyelesaian berdasarkan nas dan dalil syarak atau ijtihad.
4. Memahami konteks realiti politik dan naratif sejarah kemerdekaan negara.
5. Memperkayakan pencernaan dasar-dasar dan polisi daripada Maqasid Syariah

Masalah Melanda Gerakan Islam
Perpecahan yang dialami oleh kebanyakan gerakan Islam di seluruh dunia disebabkan oleh [1] perubahan pandangan alam, [2] perbezaan pendekatan, [3] perkembangan teknologi maklumat begitu pantas (maklumat dihujung jari) dan perubahan budaya manusia (contoh setiap orang boleh bersuara dan didengari melalui viral). Pahala atau dosa, syurga atau neraka, azab kubur dan azab neraka, kewujudan dan pemerhatian Allah SWT sudah tidak dipedulikan lagi. Kehidupan bertuhan dan beragama semakin longgar. Gerakan Islam mendapat tempias lebih hebat apabila budaya berjemaah termasuk wala’ dihakis dengan budaya kebebasan bersuara tanpa batasan.

1. Keherotan Dalam pembinaan Kerangka Pemikiran dan  Pandangan Alam
Muslim Demokrat mengalami kecelaruan identiti kerana terperangkap dengan agenda musuh Islam yang menyusupi kerangka pemikiran dan pandangan alam mereka. Keghairahan mengejar kemenangan dalam pilihanraya menyebabkan mereka mengadai perkara yang paling berharga iaitu kerangka pemikiran dan pandangan alam berdasarkan tauhidk dan quranik. Mereka hilang ketegasan dalam mempertahankan prinsip demi sesuap undi manusia yang entah ke mana membawa iman seorang muslim.

Definisi Pandangan hidup atau pandangan alam atau pandangan sarwajagat (worldview) dalam Islam ialah:

Menurut Maulana Abul Ala’ al-Maududi, Islami Nazariyat (worldview) pandangan hidup yang dimulai dari konsep keesaan Tuhan (kalimah syahadah) yang berimplikasi pada keseluruhan kegiatan kehidupan manusia di dunia. Sebab kalimah syahadah adalah pernyataan moral yang mendorong manusia untuk melaksanakannya dalam kehidupannya secara menyeluruh.

Menurut Sayyid Qutb, al-tasawwur al-Islami (worldview), sebagai akumulasi dari keyakinan asasi yang terbentuk dalam fikiran dan hati setiap Muslim yang memberi gambaran khusus tentang wujud dan apa-apa yang terdapat disebalik itu.

Menurut Syed Muhammad Naquib al-Attas,  pandangan alam (worldview) adalah pandangan Islam tentang wujud (ru’yaat al-Islam lil-wujud). Pandangan alam Islam tentang realiti dan kebenaran yang nampak oleh mata hati kita dan yang menjelaskan hakikat wujud; oleh kerana itu apa yang dipancarkan oleh Islam adalah wujud yang tuntas.

Secara rumusannya, pandangan alam Islam ialah satu pandangan yang berasal daripada hakikat keimanan dan tauhidik (iaitu bertunjangkan kalimah syahadah dan kewujudan Allah) yang mengupayakan pandangan dan tindakan terhadap realiti.

Pandangan alam dibina daripada kerangka pemikiran yang distrukturkan oleh akumulasi konsep-konsep yang diperolehi daripada pengaktifan aqal sama ada melalui pancaindera: pembacaan, dengar, bercakap dan melihat, pengalaman hidup dan pengaulan sepanjang kehidupan mereka termasuklah lintasan idea dan perasaan. Kerangka pemikiran dapat menentukan tahap kefahaman seseorang individu dalam sesuatu perkara sehingga individu tersebut membuat sesuatu keputusan.

Bagaimanakah Muslim Demokrat difahami?. Muslim ialah seorang yang beriman dan Islam yang belum tentu sejauhmanakah istiqamah dalam kehidupan beragama. Ia berlainan dengan definisi mukmin. Demokrat adalah orang yang mengerakkan demokrasi.

Muslim Demokrat boleh juga dikaitkan dengan Muslim yang mempraktis demokrasi atau Muslim Pro-Demokrasi. Apakah aliran demokrasi yang mahu dianuti oleh seorang Muslim Demokrat?. Demokrasi Liberal atau demokrasi sosial?. Atau mungkin Muslim Demokrat mempunyai identiti khas yang tersendiri.

Gerakan Islam dan Islamis menyertai mengunakan demokrasi untuk menghidupkan dan menegakkan Islam sebagai satu cara hidup dan satu penyelesaian bukannya demokrat mengunakan Islam untuk menghidupkan dan menegakkan demokrasi. Gerakan Islam mengunakan demokrasi atas sifat menerima mudharat kecil daripada menerima mudharat yang lebih besar.

Pandangan alam seseorang individu boleh berbolak-balik sebagaimana berbolak-baliknya iman. Kadangkala penulis  tidak percaya tokoh-tokoh hebat yang ditarbiyyah boleh menyahkan pandangan alam Islamnya. Lihat sejarah, bagaimana Qarun tersesat?. Lihat juga kenapa pemimpin-pemimpin gerakan Islam meninggalkan perjuangan mereka.  Ada disebabkan kuasa, harta, pangkat-jawatan, habuan dunia, perempuan, sifat pragmatis, masalah peribadi, masalah kepimpinan dan paling malangnya terpengaruh dengan pandangan alam yang keliru, sesat dan keluar daripada Islam. Tidak hairan graduan agama boleh terjebak dengan ajaran sesat Ayah Pin dan Syiah.

Pandangan alam Islam dalam ‘politik’(lebih tepat: siasah) mengariskan kualiti kepimpinan Islam, kewujudan masyarakat dan pemerintahan Islam. Asasnya pandangan alam Islam pada individu yang memimpin atau pada seorang pemimpin. Pemimpin yang mempunyai pandangan alam Islam inilah yang membawa penghayatan Islam dalam sesebuah organisasi, masyarakat dan negara yang diperintahnya. Penulis berpendapat, keherotan pandangan alam Islam dalam kalangan pemimpin Islam yang ditarbiyyah disebabkan oleh sifat pragmatis mereka yang mahu undi dan kemenangan dalam pilihanraya.

2. Perbezaan Pendekatan
Asal matlamat semua gerakan Islam adalah sama iaitu menegakkan Islam dalam masyarakat dan pemerintahan Islam sama ada meletakkan individu mukmin sebagai pemimpin atau mengubah sistem. Menurut Dr. Dzulkefly Ahmad, ‘Kaedah dan strategi daripada kebanyakan gerakan Islamis mungkin berbeza dalam rangka waktu dan tempat, tetapi matlamatnya kekal satu dan selari bagi semua’. Dr. Dzulkefly Ahmad membawa buah pemikiran Dr. Tariq Ramadhan menyatakan ‘Selaras dengan “perubahan pendekatan” atau “anjakan generasi” – generational shift’ sebagaimana PAS menganjak daripada Konsep Negara Islam kepada Konsep Negara Berkebajikan.

Perubahan pendekatan atau anjakan generasi bukanlah mengubah nama konsep Negara Islam atau mengenepikan perundangan Islam. Pendekatan terbaik yang perlu difikirkan ialah bagaimana mengatasi kejahilan masyarakat terhadap konsep Negara dan perundangan Islam.  Ia satu usaha yang berterusan. Syed Ali Tawfiq al Attas menyatakan, ‘kita seringkali salah faham bahwa begitu menyebut syariah yang terbenak dalam kepada kita hukum potong tangan, warisan, posisi wanita dan sebagainya. Padahal inti tujuan hukum Islam itu universal. Inti dari syariah dalam Islam adalah penjagaan nilai-nilai universal mengenai keadilan, kebebasan, kemanusiaan, persamaan hak, perlindungan diri, harta, nyawa dan sebagainya’. Gerakan Islam perlu jelaskan kebaikan inti syariah kepada rakyat tanpa berselindung atau bermuka-muka.

Penulis memang bersetuju dengan perubahan pendekatan dalam politik kerana politik bersifat dinamik dan wajar sesuai dengan semangat zaman. Cuma perubahan dalam pendekatan jangan sampai bersifat pragmatis dan matlamat menghalalkan cara. Dalam peristiwa Langkah Kajang atau Kajang Move, penulis membaca dua tulisan Dr. Dzulkefly Ahmad bersambungan demi mempertahankan dan menghalalkan Langkah Kajang dalam Harakah dan Suara Keadilan. Apa tujuan Langkah Kajang dan apa kesudahan Langkah Kajang?. Bagaimana nasib Setiausaha Agung PKR, Dato Saifuddin Nasution dalam kes mahkamahnya dan bagaimana pula nasib Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim ketika itu?. Langkah Kajang punca perpecahan Pakatan Rakyat mengakibatkan dua wakil rakyat PAS berpaling tadah. Suatu yang jarang berlaku dalam PAS yang dilakukan oleh individu yang bukan ditarbiah oleh PAS.

3. Konsep, Istilah, Laras bahasa dan Slogan yang digula-gula
Dr. Dzulkefly Ahmad menyatakan, ‘tentang keperluan meletakkan Matlamat-Matlamat dan Tujuan-Tujuan Syariah atau Maqasid al-Syari'ah sebagai dasar dan cita-cita perjuangan yang sepatutnya mendapat Keutamaan yang mendesak’.  PAS mempunyai Majlis Syura Ulama dan Dewan Ulama (peringkat pusat dan negeri) serta anggota terdiri ramai ulama dan lepasan agama. Unsur-unsur maqasid syariah dan fiqh keutamaan dalam politik sudah lama dipraktiskan tanpa menamakan konsep-konsep atau istilah yang bombastik. Lihat ijtihad PAS yang cukup dinamika dalam keputusan calon wanita dalam pilihanraya dan tahaluf siyasi dimana mendahului gerakan Islam yang lain.

Antara ciri-ciri jalur pemikiran politik gerakan Islam generasi kedua, Dr. Dzulkefly menyatakan ‘secara sedar meninggalkan doktrin serta penggunaan pengistilahan (mustalahat) atau laras bahasa (phraseology) Gen-1’. Laras bahasa politik kebanyakannya mainan retorik mengikut zaman. Permainan istilah atau laras bahasa politik adalah permainan lama PengABIMan UMNO suatu ketika dahulu. Slogan dan laras bahasa seperti Masyarakat Madani dan Manhaj Malaysia adalah sembang kencang sahaja. PAS pula terus relevan apabila istiqamah dalam perjuangan Negara Islam dan perundangan Islam (hudud) manakala gerakan Islam yang bermain-main dengan pelbagai konsep, istilah dan slogan terus hanyut tanpa pendirian yang kukuh.

Gen-2 dilihat satu proses sekularisasi gerakan Islam. Gerakan Islam yang memperjuangkan syiar Islam, istilah-istilah Islam, konsep-konsep Islam dan slogan Islam seperti konsep keadilan untuk semua tanpa mengimplementasi perundangan Islam hanya mengulangi usaha kelompok ABIM dalam UMNO dan ulama-ulama pro-pemerintah(UMNO). Ia akan meneruskan legasi pemerintahan BN yang sekular.

Sifat Gen 2  sangat digemari oleh Barat. Inilah kehendak Barat kerana Gen 2 membawa aspirasi Barat. Islam tanpa syariat. Islam mengikuti kehendak Amerika: Islam Amerika. Kelompok Gen 2 banyak mengunakan dan meminjam konsep, istilah dan slogan daripada Barat. Tidak cukupkah istilah, konsep dan slogan yang boleh dicerna daripada Al-Quran, As-Sunnah, Ijma’ ulama dan Qiyas.

Antara konsep, istilah dan slogan yang Islami biasa digunakan oleh kelompok Gen 2 ialah maqasid syariah dan Islam rahmatan lil’alalmin. Maqasid Syariah digunakan dengan cara yang salah apabila ia digunakan secara bermudah-mudahan dalam menangguh hukum sehingga DAP pun pandai bercakap tentang maqasid syariah. Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyatakan “mereka yang menimbulkan kekeliruan menggunakan Maqasid Syariah dengan tujuan menyingkirkan hukum Islam”. Umat Islam mesti keutamaan sumber ilmu berdasarkan kedudukan pertama iaitu Al-Quran diikuti oleh As-Sunnah, ijma’ ulama , qiyas dan lain-lain. Kita mahu bermaqasid tetapi tidak mahu ber’al-Quran’. Menurut Dato Dr. Siddiq Fadzil, tiada Maqasid Syariah jika tiada Maqasid Al-Quran. Dahulukan al-Quran.

Di banyak negara seperti Indonesia, dari konsep, istilah dan slogan Islam rahmatan lil’alalmin digunakan untuk mengukuhkan syiar Islam dan Islam tanpa syariat. Islam rahmatan lil’alalmin menelurkan Islam yang ramah, Islam untuk semua, keadilan Islam untuk semua, Islam Nusantara, Fiqh Malaysia, Manhaj Malaysia, Fiqh Nusantara dan Negara Rahmah. Rumusannya, Islam rahmatan lil’alalmin digunakan untuk membuktikan bahawa penghayatan Islam berdasarkan pengaruh kawasan dan kebudayaan tempatan. Daripada inilah datangnya laungan membuang budaya kearaban, menolak jihad dan menangguh perundangan Islam.

Akhir-akhir ini, perjuangan kelompok Islah-reformasi, salafi dan kelompok SEPILIS kelihatan senada dan bahu-membahu antara satu sama lain. Hampir tiada kritikan sesama mereka dan mereka keras bersuara jika bahan kritikan itu adalah gerakan Islam.

4. Gagal Mengenali Musuh.
Gerakan Islam gagal mengenali musuh. Gen 2 menganggap ‘musuh’ sebagai rakan kongsi. Anak didik Rasid Ghannousshi dan pemimpin utama Parti An-Nahdah Tunisia, Said Ferjani menyatakan Barat adalah rakan kongsi bukannya musuh Islam. Dr. Dzulkefly Ahmad menekankan agar retorik dan slogan anti-Barat ditiadakan.

Musuh dalam Islam mengunakan pendekatan penentangan secara terbuka; pendekatan kekerasan; dan pendekatan bersembunyi.

Musuh-musuh Islam ialah
1. Iblis dan syaitan
2. Yahudi-Nasrani
3. Jelas menolak Allah dan Rasul-Nya.
4. Musuh yang menyerang atau menzalimi umat Islam secara kekerasan dan terbuka
5.Musuh yang menentang Islam secara tertutup atau pendekatan inteletualisme serta Kristianisasi (keagamaan)
6. Orang Islam yang mengkhianati Islam dan umat Islam

Pada hari ini, musuh-musuh Islam telah mengkaderkan watak-watak hero kalangan umat Islam yang membawa aspirasi musuh Islam. Musuh-musuh Islam juga menyalurkan dana dan bantuan kepada NGO-NGO Islam untuk memperjuangkan aspirasi musuh sekaligus membawa agenda tersirat pihak musuh. Musuh-musuh Islam mengunakan media massa dan media sosial serta gajet dalam penyaluran maklumat dan hiburan yang mengubah cara berfikir dan budaya anak muda Islam.

Sesetengah ulama, sarjana dan pemimpin umat Islam terpengaruh dan terperangkap dengan aspirasi musuh Islam atas nama rakyat, demokrasi, pembaharuan, keadilan, toleransi, hak sivil, perubahan, persamaan, reformis, progresif, islah dan inklusif. Mereka mula mencampur-aduk pemikiran Islam dan pemikiran barat. Mereka memilih secara selektif hujah-hujah Islam yang memenuhi kehendak mereka dalam menghalalkan tindakan mereka.

Kita boleh mengesani diri mereka melalui sifat dibawah:
1. Menerima sebahagian hujah-hujah daripada al-Quran dan as-Sunnah yang menepati kehendak mereka dan menolak sebahagian yang lain.
2. Mereka mencampur-aduk pemikiran dan hujah-hujah al-Quran dan hujah-hujah Barat.
3. Mereka terlalu politikal dan berprinsip matlamat menghalalkan cara
4. Pengaulan yang baik dengan musuh Islam dan kelompok SEPILIS.
5. Mereka mengunakan pandangan minoriti dalam beragama.
6. Mereka cuba memisahkan antara politik dengan Islam.
7. Cuba menolak konsep negara Islam dan perundangan Islam.

Umat Islam mesti tidak berkompromi dengan para pemimpin dan ulama pro SEPILIS. Mereka mudah mengkhayali pemikiran kita dengan hujah-hujah dan retorik mereka dan menghakis tauhidik dalam kerangka pemikiran kita.

Kesimpulan

Dr. Dzulkefly Ahmad dalam artikel Harakah edisi 16-31 Ogos 2002 menyatakan kemuncak kebahagiaan dan penyerlahan keimanan seseorang Muslim-Mukmin yang mengerti kedudukannya selaku Khalifatullah. Bertanggungjawab melaksanakan perintah Allah SWT dalam memelihara agama dan mengatur dunia dengan agama.

Gerakan Islam mestilah mempunyai kefahaman Islam yang syamil-mutakamil (sempurna lengkap). Dalam konteks PAS, perjuangan mewujudkan masyarakat Islam dan perundangan Islam termaktub dalam Perlembagaan PAS dari awal penubuhan PAS lagi.

Muslim Demokrat adalah istilah-konsep yang mahu memenuhi agenda atau kehendak Barat. Kewujudan Gerakan Islam Generasi Kedua (Gen 2.0) hanyalah komestik kepada Muslim Demokrat. Konsep yang penuh keraguan ini mesti ditolak.

Kewujudan pemimpin Islam yang terlebih bijak dan genius mengunakan akal dan data boleh dibangga dan diikuti selagi mereka tidak melanggari akhlak berjemaah. Dalam berorganisasi, akhlak berjemaah dan ketaatan kepada kepimpinan rukun kepatuhan terpenting selepas kepatuhan kepada al-Quran, as-Sunnah, ijma’ ulama dan qiyas.

Petua dalam organisasi Islam, dalam organisasi Islam, kita akan ketemui malaikat dan syaitan didalamnya. Hanya kelompok yang istiqamah, berjiwa besar dan sabar mampu bertahan dalam organisasi Islam. Bertahan dalam organisasi Islam disebabkan dasarnya [Al-Quran; As-Sunnah; Ijma’ Ulama; Qiyas] bukannya pemimpinnya. Sertailah organisasi Islam yang mempunyai dasar Islam yang syumul; dianggotai oleh ramai ulama dan orang miskin; istiqamah mewujudkan negara Islam dan menegakkan perundangan Islam; kaedah damai.






Anwar Ibrahim dan Muslim Demokrat


Musuh sebenar dan paling besar pada diri kita adalah diri kita sendiri,
Kerna kita menzalimi diri sendiri,
Kita tahu tetapi tidak beramal,
Kita beramal tetapi tidak ikhlas

Kita ikut kehendak aqal dan nafsu
untuk memenuhi agenda diri
menurut jalan matlamat menghalalkan cara-PRAGMATIS.

Ilmu
Bukan mencari kebenaran tetapi mencari pembenaran
Dalam berhujah dan berbahas.

Ingatlah kemenangan dan kejayaan duniawi itu hanya fana
Tidak bermakna tanpa redha Allah.

Dalam penulisan ini, penulis cuba meneroka pemikiran Dato Seri Anwar Ibrahim yang berusaha merapatkan hubungan Timur (baca: Islam) dengan Barat. Produk pemikiran mutakhir (2016) yang menjadi dokongan Anwar Ibrahim ialah Muslim Demokrat. Adakah mampu Anwar Ibrahim dan kelompok reformis merapatkan hubungan Islam dengan Barat yang dilihat pertembungan hakiki sampai Hari Kiamat?
Hubungan Islam dengan Barat
Dato Seri Anwar Ibrahim menyatakan tiga sikap cendikiawan Timur terhadap Barat. Pertama, mereka taksub dengan tradisi dan menolak saja sesuatu yang datang dari Barat. Kedua, kelompok yang terpesona dengan sinar gemilang peradaban Barat menjadikan mereka seperti si Tanggang derhaka kepada jati diri dan budaya sendiri. Ketiga, kelompok yang cuba mencari jalan tengah untuk mengadun unsur-unsur terbaik antara Timur dan Barat. Mereka yakin bahawa bangsa Timur akan muncul kuat kembali dengan menimba ilmu dan pengalaman Barat ketika yang sama mempertahankan keperibadian bangsa.

Persoalan yang besar antara Timur dan Barat ini ialah Barat datang ke Timur membawa agenda imperialisme, Kristianisasi, pembaratan, kolonialisasi dan merkantilisme (mengumpul kekayaan, menambah kekuasaan). Akibatnya, berlakunya pertembungan di antara Timur dengan Barat. Dalam konteks hubungan Islam dengan Barat, semangat penerusan perang Salib dalam kalangan penjajah Barat mencetuskan pertembungan yang sukar dimaafkan.
Penulis merumuskan peringkat-peringkat pertembungan Islam dengan Barat ialah:
1. Pertembungan hakiki Islam dengan Kebudayaan Barat (Yunani Kuno-Romawi Purba-Kristian-Yahudi-Kaum Biadap). Pertembungan ini antara pandangan alam Islam dengan pandangan alam Barat. Batasan bedanya pertembungan ini ialah antara iman dan kufur.
2. Pertembungan Perang Salib antara Kerajaan Islam dengan Kerajaan Barat.
3. Pertembungan Kerajaan dan Pejuang Islam Tempatan dengan Kolonial dan Imperialis Barat
4. Pertembungan Gerakan Islam dengan Barat dan anak didik Barat.
Secara umumnya, ramai sarjana mengakui bahawa kebangkitan semula Islam semakin menyerlah dengan kemunculan Ikhwanul Muslimin di Mesir. Kemunculan Ikhwan bersama-sama pakej bukan sekadar kesedaran Islam tetapi meliputi politik dan undang-undang, jihad dan ekonomi, pendidikan dan rekreasi. Ia meliputi Islam sebagai addin yang bersifat syumul dan Islam sebagai Jalan Penyelesaian dalam semua masalah akhirat dan duniawi.
Kebangkitan semula Islam bersekali dengan jihad menentang penjajahan imperialis Barat  sangat menakutkan sehingga berlakunya pertembungan antara Islam dengan Barat. Imperialis Barat menyerahkan tampuk pemerintahan kepada kelompok pro-Barat dalam kalangan bangsawan dan nasionalis asuhan mereka. Kebangkitan semula Islam mengancam pemerintahan anak didik Barat, akhirnya sebahagian pemimpin gerakan Islam diancam dengan kekerasan sehingga pemimpin Islam melarikan diri ke luar negara dan menjadi pelarian termasuk di negara Barat sendiri.

Kehidupan di Barat banyak mempengaruhi pemikiran pemimpin gerakan Islam tadi bahawa pertembungan yang tidak berkesudahan merugikan umat Islam dan Barat sendiri. Antara kerugian tersebut kemunculan kelompok radikal dan ekstrem dalam gerakan Islam yang mencetuskan huru-hara di negara umat Islam. Pertembungan yang berterusan dan memenatkan ini telah menghasilkan kelompok yang cuba merapatkan hubungan antara Islam dengan Barat.
Dalam konteks gerakan Islam, ia mula dilakukan oleh para senior gerakan Islam terutamanya para pemimpin Ikhwanul Muslimin yang melarikan diri ke Barat dan menjadi pelarian di sana merasakan bahawa gerakan Islam perlu mencari pendekatan baru dalam mendepani Barat iaitu cuba berbaik-baik dan berdialog dengan Barat dalam membina dunia yang lebih baik dan makmur. Ia dikatakan bermula pada tahun 1980-an dan semakin meluas pada tahun 1990an.
Walau bagaimanapun, pemikiran kelompok ini masih baru dan tidak diterima secara meluas dalam kalangan gerakan Islam di seluruh dunia. Jumlah mereka juga tidak ramai. Oleh sebab itu, tumpuan utama kelompok reformis ini pada tahun 1980an dan 1990an ialah kepada bidang pendidikan dan pengkaderan.  Ada sesetengah mereka masih kekal dalam gerakan Islam. Ada juga yang bergerak secara individu atau tidak terikat dengan gerakan Islam.
Kehadiran kelompok reformis dalam sesebuah gerakan Islam menghasilkan pertembungan dalaman sehingga mencetuskan konflik. Sebagai contoh, kemuncak konflik antara kelompok dalam Ikhwan Mesir ialah parti tahun 1996 dimana sebahagian pemimpin kelompok reformis keluar Ikhwan menubuhkan Parti Wasat.
Lingkungan tahun 1997 hingga awal tahun 2000an (sekitar 2001-2003), kelompok reformis mula menonjolkan diri sebagai satu tenaga-idea baru dalam gerakan Islam dan membentuk Gerakan Islam Generasi Kedua yang sedia berpisah dengan Gerakan Islam Generasi Pertama dengan membentuk NGO atau parti Islam generasi baru. Dalam tahun 2003 sehingga tahun 2016, hampir setiap negara umat Islam mempunyai dua organisasi Islam yang berpisah dan bertembung sesama mereka yang diwakili Gerakan Islam Generasi Pertama(Gen 1.0) dan Gerakan Islam Generasi Kedua (Gen 2.0). Bezanya kedua-keduanya lebih kepada pendekatan menyelesaikan isu.
Pada pandangan penulis, Anwar Ibrahim adalah model kepimpinan gerakan Islam generasi kedua. Anwar Ibrahim merupakan mantan pemimpin belia Islam yang aktif dalam WAMY yang digerakkan oleh aktivis belia gerakan Islam sedunia terutamanya dari Ikhwanul Muslimin dan Jamaati Islami serta ditaja oleh Arab Saudi. Pengaulan dalam WAMY  (World Assembly of Muslim Youth)  ini melahirkan satu pemikiran baru dalam gerakan Islam agar pendekatan dialog dengan Barat. WAMY melahirkan sekelompok pemimpin muda yang progresif dalam gerakan Islam masing-masing.
Para pimpinan WAMY bermuafakat mewujudkan IIIT (The International Institute for Islamic Thought), berpengkalan di Herndon Virginia yang ditubuhkan pada tahun 1980 oleh para pimpinan WAMY seperti Dato Seri Anwar Ibrahim, Dr. Jamal Barzinji, Dr. Abdul Hamid Abu Sulayman (Setiausaha Pertama WAMY), Dr. Ahmad al-Haj Totonji (pegawai WAMY dikatakan membantu penubuhan ABIM pada tahun 1970) dan Dr. Ismail R. Faruqi (Intelek yang menghubungkan antara Anwar Ibrahim dengan Dr. Mahathir Mohamad) berasal daripada kepimpinan WAMY yang berpusat di Arab Saudi. IIIT direstui oleh para pemimpin gerakan Islam terutamanya Ikhwanul Muslimin Antarabangsa dan Dr. Yusuf al-Qaradhawi sebagaimana yang diiputuskan mereka di Lugano, Switzerland pada akhir tahun 1970an.
Pada akhir tahun 1970an, ABIM dan Anwar Ibrahim mula menjarakkan diri mereka daripada pemikiran Sayyid Qutb. Mereka mula mendekati pemikiran Muhammad Natsir (buku fiqhul dakwah) dan Malek Bennabi. Ia lebih ketara selepas Anwar Ibrahim dibebaskan daripada tahanan ISA pada tahun 1976. Pada tahun 1976 juga, Anwar Ibrahim mengemukakan formula perpaduan kaum di Seminar Dakwah Belia Islam Asia Pasifik. Pada tahun 1979, Anwar Ibrahim mempromosikan pelaksanaan Karamah Insan dalam konteks Malaysia pelbagai kaum dan agama dalam Muktamar Senawi ABIM ke 8.
IIIT, satu entiti yang bertujuan untuk memberikan asas intelektual kepada gerakan Islam di Barat. Gagasan ‘Islamisasi Pengetahuan’ (Islamization of Knowledge), satu konsep yang menuntut semakan semula terhadap semua pengajaran dan teks pandangan dunia Islam (world view).

Kemuncak eksperimen ialah Anwar Ibrahim secara rasminya menyertai UMNO-BN.
Selepas Anwar Ibrahim menyertai UMNO yang dikatakan melalui pengaruh Dr. Ismail al-Faruqi dengan Tun Mahathir, Presiden UMNO ketika itu, Universiti Islam Antarabangsa ditubuhkan. UIA telah menjadi kubu kuat dimana mantan pimpinan gerakan Islam seperti Ikhwan dan WAMU dilantik sebagai tenaga pengajar. Anwar Ibrahim dan Tan Sri Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas telah menubuhkan ISTAC yang dilihat kembar IIIT dalam usaha Islamisasi.
Dr. Taha Jabir al Alwani (pemimpin IIIT) adalah Presiden Cordoba Universiti Amerika Syarikat yang giat mempromosi persefahaman diantara Muslim-Christian telah berkerjasama Washington Theological Consortium. Usaha-usaha ‘Muslim-Christian Understanding’ mendapat tajaan penuh daripada Carnegie Corporation. Pada tahun 1993, John Esposito (teman rapat Dr. Ismail al-Faruqi dan Anwar Ibrahim- Pengarah CMCU) dan John Voll (Pensyarah Sejarah di CMCU) telah membangunkan the Center for Muslim-Christian Understanding (CMCU), Universiti Georgetown Amerika Syarikat.
CMCU dibina melalui dana projek pluralisme agama iaitu Fondation pour L'Entente entre Chretiens et Musulmans dan the Pluralism Project. Projek Pluralisme Amerika ini berpengkalan Harvard University mendapat tajaan beberapa yayasan Amerika iaitu The Ford Foundation, The Henry Luce Foundation, The Lilly Endowment, Inc., The Massachusetts Endowment for the Humanities, The Milton Fund, The National Endowment for the Humanities, The North Star Fund, The Pew Charitable Trusts, The Rockefeller Foundation, The Templeton Foundation dan sebagainya. Pendekatan dialog antara agama digunakan.
Usaha mempromosi persefahaman Islam dengan Barat dalam melahirkan kehidupan lebih baik dan aman diteruskan lagi dengan penubuhan Center for the Study of Islam and Democracy (CSID) pada tahun 1999. Pada awal penubuhan CSID, Ahli Lembaga Pengarah CSID terdiri daripada: Ali A. Mazrui (Pengerusi); John L. Esposito (Naib Pengerusi); Sana Abed-Kotob; Abdulwahab Alkebsi; Taha Jaber Alalwani (IIIT); Laila Al-Marayati; Jamal Barzanji(IIIT); Charles Butterworth; Louis Cantori; John Entelis; Muqtedar Khan; Radwan Masmoudi; Ali Memon; Fathi Osman dan Tamara Sonn.
Manakala Ahli Jawatankuasa eksekutif terdiri daripada Radwan A. Masmoudi (Pengarah Eksekutif); Ismail Obeidallah (koodinator program); Svend White (Setiausaha); Mahir Haroun (Bendahari) dan Maher Kharma (Koodinator Keahlian). CSID ditaja oleh yayasan dan organisasi dari Amerika Syarikat seperti NED (National Endowment for Democracy) dan dari yayasan dan NGO negara Arab Saudi.
Selain mempromosi persefahaman agama, CSID  ingin melahirkan kader-kader Muslim Moderat/ Islam Liberal seluruh dunia. Muslim Demokrat satu produk yang ber-evolusi daripada pemikiran Muslim Moderat. CSID Tunisia memainkan peranan besar di sebalik parti Nahdah di Tunisia.
IIIT, CMCU dan CSID membuktikan ada kelompok senior Ikhwanul Muslimin terutamanya yang aktif dalam WAMY ingin merapatkan hubungan Islam dengan Barat melalui pendekatan berdialog dan bersama-sama membina kehidupan yang lebih baik. Bahkan ada yang terjerumus ke dalam ‘Islam yang dimahukan oleh Barat’.

Jaringan Persahabatan Anwar Ibrahim
Dalam sejarah politik Malaysia Anwar Ibrahim merupakan tokoh yang punya paling banyak jaringan dan pandai membina jaringan dalam mengembangkan pengaruhi. Sifat ramah dan mudah mesra antara kelebihan beliau. Antara jaringan tersebut ialah jaringan ABIM, jaringan MCKK, jaringan BTN, jaringan media massa, jaringan gerakan Islam dan paling persahabatan dengan tokoh-tokoh berpengaruh di dunia Barat dan dunia Islam.
Antara jaringan yang berpengaruh dalam diri beliau ialah jaringan ABIM, jaringan organisasi antarabangsa dan jaringan gerakan Islam. Terkini, jaringan Muslim Demokrat yang dipeloporinya bersama-sama tokoh-tokoh ternama seperti Dr. Tariq Ramadhan, B.J. Habibibie, Abdullah Gul dan Syeikh Rashid Ghannousshi.

Fungsi jaringan ini ialah membina pengaruh melalui pengaulan, pertemuan dan bersifat saling bantu membantu antara satu sama lain. Ia juga mewujudkan impak yang lebih besar kepada gagasan pemikiran yang diutarakan.
Pada pertengahan tahun 1970an, Anwar Ibrahim juga salah seorang penggerak utama kepada gagasan masyarakat madani atau masyarakat sivil yang berkembang ke negara-negara umat Islam melalui jaringan-jaringan persahabatan Anwar Ibrahim.

Anwar Menyertai UMNO
‘Sejarah telah membuktikan betapa hebat dan kuatnya seseorang, jika berseorangan tanpa sahabat dan jemaah, kita mudah tergelincir dan hanyut dengan pengaruh disekeliling kita yang mencabar iman kita’
Anwar Ibrahim meninggalkan Angkatan Belia Islam Malaysia ( ABIM ) pada 29 Mac 1982 untuk menyertai UMNO.
Kemasukkan Anwar Ibrahim mencetuskan kekecohan kepada dunia gerakan Islam kerana  beliau adalah tokoh harapan dalam memimpin gerakan Islam berasaskan politik kepartian iaitu PAS. Ramai pemimpin dan aktivis gerakan Islam terutamanya ABIM dan PAS marah dan bersedih. Akhirnya, muncul gerakan yang anti kemasukkan Anwar Ibrahim ke dalam UMNO yang bertindak tidak aktif dalam ABIM dan kebanyakan mereka menyertai PAS.
Kemasukan Anwar Ibrahim dilihat melanggar dan mengkhinati perjuangan gerakan Islam. Mengikut perancangan awal, pemimpin-pemimpin ABIM perlu disalurkan ke dalam PAS untuk memperkuatkan PAS sebagaimana saranan tokoh MASYUMI, Muhammad Natsir dimana rancangan itu telah berjalan. Pemimpin ABIM seperti Ustaz Fadzil Noor (Timbalan Presiden ABIM), Ustaz Abdul Hadi Awang (Ketua ABIM Terengganu), Syed Ibrahim, Ustaz Nakhaie Ahmad dan beberapa pemimpin lain telah diserapkan ke dalam PAS.
Anwar Ibrahim menemui Dr. Mahathir Mohammad, Perdana Menteri Malaysia secara sulit. Syura ABIM telah menolak hujah-hujah dan alasan Anwar Ibrahim menyertai UMNO. Malangnya yang berlaku apabila Jawatankuasa Kerja Pusat ABIM atau EXCO ABIM telah membuat kenyataan akhbar dengan ‘melepaskan’ Anwar Ibrahim bekecimpung dalam politik kepartian.
Melihat penglibatan dan sokongan Dr. Yusuf al-Qaradhawi dan Dr Ismail Raji’ al-Faruqi, penulis mempunyai persepsi dan tesis bahawa kemasukan Anwar Ibrahim ke dalam UMNO boleh dibahagikan kepada dua sebab:
1. Habuan yang dijanjikan oleh  Dr. Mahathir Mohammad kepada Anwar Ibrahim ialah penganti beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia. Lonjakan pantas beliau dalam politik UMNO dan Malaysia adalah luar biasa. Beliau dapat memintas pemimpin-pemimpin senior UMNO.
2. Anwar Ibrahim disokong oleh para pemimpin gerakan Islam antarabangsa terutamanya para senior Ikhwanul Muslimin yang berada di Barat (terutamanya dari IIIT) dan Ikhwanul Muslimin Antarabangsa (terutamanya WAMY).

Tokoh-Tokoh yang Mempengaruhi Pemikiran Anwar Ibrahim
Setiap tokoh mempunyai jalur pemikiran yang tersendiri berdasarkan latar-belakang kehidupan mereka, tempat belajar, siapa guru mereka, organisasi yang mereka sertai, pembacaan mereka, pengaulan, persahabatan, badan pemikir/penasihat, para penasihat dan siapa penulis ucapan mereka.
Kepandaian Anwar Ibrahim bergaul dan bersahabat dengan para intelektual, tokoh berpengaruh dan minat membaca banyak membantu beliau menggagaskan pemikiran beliau. Melalui gerakan Islam, Anwar Ibrahim mengenali ramai tokoh-tokoh Islam seperti Dr. Yusof al-Qaradhawi, Sheikh Taha Jabir al-Elwani, Muhammad Natsir, Dr. Kurshid Ahmad, Ziauddin Sardar dan ramai lagi. Anwar Ibrahim bukan setakat mengenali mereka tetapi ‘berguru’ secara tidak langsung dan melakukan pencapahan pemikiran dengan tokoh-tokoh tersebut.

Antara penulis ucapan beliau yang terkenal dan berpengaruh tahun 1990an ialah Munawar Anees. Pemikiran Anwar Ibrahim juga mendapat dokongan badan seperti Institut Kajian Dasar (IKD) yang dibawah pimpinan Dato Kamarudin Jaafar dan Dr. Siddiq Fadzil kemudian diteruskan oleh Khalid Jaafar. Pada akhir tahun 1990an, pengaruh Khalid Jaafar dalam mempengaruhi pemikiran Anwar Ibrahim sangat besar. Mutakhir ini, Khalid Jaafar dan pasukannya merupakan elemen berpengaruh dalam menentukan pemikiran Dato Seri Mohammed Azmin Ali.
Penulis berpandangan, tokoh yang banyak mempengaruhi pemikiran Anwar Ibrahim ialah Tan Sri Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas, Malik Bennabi (pemikir Ibnu Khaldun dari Algeria) dan Prof. Dr. John Esposito (Pengarah Center for Muslim-Christian Understanding, Universiti Georgetown).
Anwar Ibrahim antara murid kepercayaan Prof al-Attas dilantik sebagai tutor mengajar subjek 'Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu’ di UKM. Buah pemikiran Anwar Ibrahim diasuh-didik oleh Prof. al-Attas melalui usrah dan perbincangan peribadi. Dalam perjuangan Anwar Ibrahim dalam ABIM dan gerakan mahasiswa Islam (PMIUM, PKPIM dan PBMUM), pemikiran Prof. al Attas digabung-jalinkan dengan pemikiran tokoh-tokoh haraki seperti Hassan al-Banna, Sayyid Qutb, Maulana Abul Ala’ al-Maududdi dan lain-lain. Maknanya, perjuangan Anwar Ibrahim mempunyai unsur keilmuan dan intelektualisme bukan setakat politik semata-mata. Prof. Al-Attas merupakan salah seorang dari tokoh tersebut. Beliau memberikan Anwar Ibrahim bimbingan dan pendedahan dalam pelbagai aspek keilmuan terutamanya sebagai mahasiswa di UM dan semasa Anwar Ibrahim berkhidmat sebagai tutor di UKM. Bahkan dalam bidang falsafah pengaruh beliau terhadap generasi kami begitu mendalam. Prof. Al-Attas bukan sahaja sedia mencurahkan ilmu tetapi sebagai seorang sahabat setia turut memberikan dorongan serta semangat dalam ketika dan saat genting.
Pemikiran Malik Bennabi merupakan pemikiran yang paling berpengaruh dalam pemikiran Anwar Ibrahim. Menurut Khalid Jaafar, siapa yang mahu setia dengan perjuangan Anwar Ibrahim perlu mengunyah pemikiran Malik Bennabi. Dan tulisan-tulisan pemikir itu keras, sukar dikunyah. Pandangan dan falsafah pemikirannya banyak dipengaruhi oleh Ibn Khaldun dan Étienne Bonnot de Condillac (1714-1780, filsuf dari Perancis aliran empirisme dan pro-John Locke). Tema pemikiran Malik Bennabi kisar kepada teori peradaban, pemikiran islah dan tajdid dengan formula: Manusia (Insan)+Tanah (Turab)+Waktu (Waqt)=Peradaban (Hadarah). Persamaan ini memerlukan AGAMA untuk berfungsi.
Prof. Dr. John Esposito adalah anak murid dan sahabat Prof. Dr. Ismail al-Faruqi, tokoh ternama IIIT. Esposito banyak menulis buku-buku tentang Islam. Esposito merupakan pengerak dan pemikir utama dalam dialog peradaban antara Islam dengan Barat dan mengusahakan hubungan lebih rapat antara Islam dengan Barat. Sesetengah pihak menggelarkan beliau sebagai Abu Thalib, sempena nama bapa saudara Rasulullah SAW yang banyak membantu Islam walaupun akhirnya mati sebagai bukan Islam. Antara bukunya yang berpengaruh ialah ‘Islam and Democracy’ yang ditulis pada tahun 1996. Ramai yang mempercayai gagasan Muslim Moderat yang ber-evolusi kepada gagasan Muslim Demokrat berasal daripada gagasan pemikiran Esposito.

Pemikiran Anwar Ibrahim.
Suka atau tidak, Anwar Ibrahim antara pemimpin Islam bertaraf dunia. Kita boleh mengklasifikasikan pemikiran beliau beberapa tahap iaitu: 1. Tahap kampus; 2. Tahap Belia Islam; 3. Tahap Nasionalis Islam dan Islamisasi; dan 4. Tahap Demokrat Liberal dan Muslim Demokrat.
Secara keseluruhan, penulis berpandangan pemikiran Anwar Ibrahim boleh dirumuskan kepada 5 teras pemikiran:
Teras pemikiran 1:  Pluralisme dan Liberalisme. Golongan-golongan agama tertentu yang menganggap hanya satu ajaran asasi tertentu (fundamental doctrines) sahaja yang membawa ke jalan keselamatan/syurga (salvation) adalah pandangan yang silap dan tertutup. Agama-agama lain juga benar. Maka Pluralisme Agama adalah jalan penyelesaian terbaik untuk mengelakkan perpecahan tersebut.
Teras pemikiran 2: Hubungan Jalin Pemikiran Timur-Barat. Hubungan ini dijalin dengan dialog. Dialog merupakan satu cara untuk kita menukar persepsi kita dan mendapatkan perspektif yang lebih jelas mengenai isu-isu ini dari pelbagai sudut agar kita dapat mencapai kefahaman yang lebih baik. Dialog adalah sangat di perlukan di dunia muktakhir ini. Negara-negara Membangun atau Dunia Ketiga harus berusaha mencapai persefahaman dengan Barat serta memahami kesilapan kedua-dua belah pihak. Anwar Ibrahim menegaskan, dialog adalah suatu cara untuk kita memartabatkan agenda mengenai hak asasi manusia, demokrasi, pembasmian kemiskinan, keadilan sosial dan masyarakat sivil diseluruh dunia. Langkah ini bukanlah bermaksud untuk membenarkan sebelah pihak sahaja yang menguasai atau mempengaruhi pihak yang lain. Sebaliknya, kita semua harus menumpukan pemikiran kepada nilai-nilai asas, manakala nilai-nilai ini juga merupakan nilai-nilai asas dalam Islam yang kita sanjungi.
Teras pemikiran 3: Humanistik. Menurut Khalid Jaafar, Anwar Ibrahim membaca buku-buku tentang sejarah, sastera dan sejarah falsafah dan idea bukannya terbatas kepada buku-buku karangan tokoh-tokoh haraki dan tarbiyyah sahaja. Pembacaan beliau tidak terhadap penulisan tokoh Islam sahaja tetapi meliputi tokoh-tokoh silam dan moden dari Timur dan Barat. Antara novel yang menjadi pilihan Anwar Ibrahim hasil karya Umberto Eco, Primo Levi dan Italo Calvino. Jika Anwar Ibrahim berbicara tentang ekonomi, ia bukan persoalan ekonomi tetapi menjangkaui persoalan kehidupan manusia dan alam sekitar.
Teras pemikiran 4: Demokrasi. Demokrasi yang tulen di Asia Tenggara akan menjana penilaian politik kreatif yang diperlukan untuk merangkul kemodenan dan kosmopolitanisme. Kestabilan politik melalui demokrasi adalah tapak kemunculan masyarakat madani. Seorang demokrat atau demokrasi perlu mempunyai nilai kebebasan, hak asasi manusia, ekonomi pasaran bebas, urus tadbir kerajaan yang baik dan ketelusan.
Teras pemikiran 5: Masyarakat Sivil. Anwar Ibrahim pengamal budaya masyarakat sivil daripada zaman muda lagi. PBMUM, PKPIM, ABIM, WAMY, MBM dan Yayasan ANDA Akademik antara kegiatan masyarakat sivil yang digerakkan oleh beliau. Beliau cuba membawa konsep masyarakat sivil bercitrakan Islam yang dikenali sebagai konsep masyarakat madani. Masyarakat madani adalah sistem sosial yang subur berdasarkan prinsip moral yang menjamin keseimbangan antara kebebasan individu untuk kestabilan masyarakat.
Beberapa pengamatan penulis terhadap produk pemikiran Dato Seri Anwar Ibrahim dapat disimpulkan ialah:
1. Faham Co-Existence atau fiqh al-ta`ayush: Dalam pengertian tata aturan hidup berdampingan yang harmonis dan penuh semangat kesalingan dalam kalangan warga pelbagai agama dan budaya
2.Karamah insan: Menurut Anwar Ibrahim, ‘mendekati kembali fitrah insaniah dan melihat manusia sebagai satu keluarga besar yang menembusi tembok dan batasan kaum, kelas dan agama
3. Fiqh Pluraliti atau Fiqh al-ta`addudiyyah: Meliputi persoalan hak kebebasan beragama, hak asasi manusia, prinsip keadilan, nilai-nilai kemanusiaan sejagat dan seterusnya tata susila  kesantunan hidup berdampingan dalam masyarakat pelbagai kaum dan agama
4. Gagasan Pendidikan Kerakyatan dan Liberatif: Menurut Dato Dr. Siddiq Fadzil, Anwar Ibrahim mengadun pemikiran Paolo Freire dari Brazil dengan pemikiran ‘Abd al-Rahman al-Kawakibiy dari Syria untuk menggagaskan pendidikan pembebasan dan pemberdayaan. Anwar dan para aktivis ABIM telah menubuhkan Yayasan Anda Akademik  sebagai wadah untuk rakyat yang tersisih menerus pendidikan. Perjuangan kebebasan dan keterbukaan di kampus-kampus.
5. Pendidikan demokrasi: Meningkatkan kefahaman dan amalan sebenar demokrasi supaya ada integriti proses, ketelusan, membenteras rasuah politik. Faktor ini juga menghasilkan produk Muslim Demokrat.
6. Ekonomi Manusiawi: Bukan sekadar ekonomi semata-mata tetapi perlu menangani persoalan kehidupan manusia yang rumit dalam mengangkat martabat manusia.
7. Masyarakat Madani: Menurut Anwar Ibrahim, masyarakat madani ialah sistem sosial yang subur yang diasaskan kepada prinsip moral yang menjamin keseimbangan antara kebebasan perseorangan dengan kestabilan masyarakat.
8. Manusia Nahdah (mutafannin): Mereka yang menjiwai ilmu-ilmu kemanusiaan, studia humanitatis.
9. Convivencia Sejagat: Masyarakat manusia pelbagai bangsa yang dibangunkan dengan semangat dialog peradaban iaitu atas kesedaran dan keinsafan terhadap wujudnya ‘orang lain’.
10. Ketuanan Rakyat: Menurut Anwar Ibrahim, “Ketuanan rakyat yang kita maksudkan adalah demokrasi yang matang di bawah naungan raja beperlembagaan. Demokrasi yang matang adalah demokrasi dimana rakyatnya perkasa, jiwanya merdeka, akalnya pintar, tindakannya dipandu oleh prinsip moral dan idealisme. Demokrasi inilah yang kita perjuangkan. Pohon demokrasi ini akan kita suburkan dengan pembinaan institusi-institusi masyarakat madani, media yang bebas serta bertanggjung jawab dan perlaksanaan undang-udang dengan seadilnya.”
11. Muslim Demokrat: Anwar Ibrahim sebagai seorang demokrat Muslim tanpa ragu dalam memburu dengan kritis perubahan tulen, tuntutan Islam dan konteks semasa adalah agenda koheren dengan tujuan dan objektif yang jelas; iaitu pilihanraya bebas dan adil, akses terbuka dan inklusif bagi partisipasi dan libat serta semua lapisan masyarakat, penggantian kuasa aman dan tatakelola  teliti dengan akauntabiliti. Menurut Dr. Siddiq Fadzil, Muslim Demokrat adalah suatu gemblengan kekuatan politik, intelektual dan professional untuk memperjuangkan aspirasi kebebasan, demokrasi dan keadilan.
12. Nahdah Asia: Anwar Ibrahim menyatakan Nahdah Asia berlandaskan agama dan tradisi yang digilap semula agar sinar kerohanian dan ajaran akhlaknya tampak jelas dan bertenaga.

Asal-Usul Muslim Demokrat
Secara mudahnya, Muslim Moderat adalah golongan yang menolak keganasan dan teokrasi; mengislahkan persatuan-persatuan mereka berdasarkan nilai-nilai Islam keadilan, persamaan, dan kebertanggungjawaban. Ringkasnya, mereka mahu membentuk demokratik selaras nilai-nilai Islam. Pergerakan Islam Moderat hari ini telah berkembang di Turki melalui AKP (Parti Keadilan dan Pembangunan) dan Parti al-Nahdah di Tunisia. Muslim Demokrat adalah evolusi kepada Muslim Moderat.
'World Forum Demokrat Islam' (WFDI) ditubuhkan pada tahun 2014 atas inisiatif Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kemudiannya dilantik sebagai Pengerusi WFDI bersama-sama Yayasan Keamanan Sasakawa (SPF), Pusat Habibie (THC, Indonesia), Institut Kajian Dasar (IKD, Malaysia) dan Yayasan Politik, Ekonomi dan Penyelidikan sosial (SETA, Turki) telah secara bersama melancarkan gerakan untuk menggalakkan "Demokrat Islam". WFMI bertujuan mewujudkan satu platform bagi pemimpin, intelektual, dan profesional dari akidah Islam, bersama-sama dengan rakan-rakan mereka dari agama dan kepercayaan lain, untuk menyatakan dengan jelas pandangan progresif mereka mengenai perkara-perkara yang berkaitan dengan kebebasan, demokrasi, keadilan, dan pembangunan.
WFDI mentakrifkan Demokrat Islam seperti, antara lain, seorang Muslim yang menghargai keamanan dan demokrasi, kebebasan dan maruah, toleransi dan inklusif tanpa mengira perbezaan bangsa, politik, sosial dan budaya.
Penulis berpandangan istilah Muslim Demokrat berasal daripada konsep Muslim Moderat yang dicanang oleh Rand Corp. dan CSID yang akhirnya dimoderasikan sebagai Muslim Demokrat. John Esposito dalam bukunya Islam dan Demokrasi mula menyatakan demokrasi Islam pada tahun 1996. Dalam satu wawancara pada tahun 2004, Khalid Jaafar yang dikatakan pemikir besar disebalik tabir pemikiran Anwar Ibrahim menyatakan tentang Islam Demokrasi yang disebut ‘Saya Islam, tetapi saya adalah Islam demokrat’.

Kritikan Terhadap Pemikiran Dato Seri Anwar Ibrahim
Antara isu yang kontroversi berkaitan pemikiran Anwar Ibrahim ialah unsur-unsur pluralisme agama dan liberal yang terdapat dalam pemikiran beliau. Sebenarnya, Anwar Ibrahim tidak menafikan dan sedia mengakurinya jika beliau bercanggah dengan al-Quran dan as Sunnah, jelas beliau, “Para pengkritik saya menuduh saya terlalu liberal dan plural. Tetapi intipati, hakikat dan rujukan masih Qur’an dan Sunnah. Jika sesuatu itu jelas bercanggah dengan rujukan pedoman asasi ini, kita akur dan menerimanya”.
Penulis berpandangan intipati, hakikat dan rujukan masih al-Quran dan as-Sunnah yang dimaksudkan oleh Anwar Ibrahim ialah nilai-nilai sejagat yang ada dalam al-Quran dan as-Sunnah seperti nilai keadilan, amanah dan lain-lain. Nilai-nilai sejagat ini didefinisikan dengan pelbagai pandangan manusia sehingga hilang pendefinisiannya daripada kacamata Islam. Nilai-nilai sejagat ini perlu dinampakkan sebagai Nilai Islam bukannya sebagai Nilai Anwar Ibrahim apatah lagi nilai yang difahami daripada kacamata Barat. Penghujahan sebagaimana Anwar Ibrahim menampakkan bahawa darjah keyakinan kita terhadap hujah dan dalil nas al-Quran dan as-Sunnah rendah.
Adunan pemikiran Anwar Ibrahim yang bercampur-aduk dan rencam menghasilkan satu pemikiran yang terkeliru. Kehebatan pidato, sikap lelucon, kepelbagaian pandangan inteletual bertaraf dunia dan kaya dari Timur dan Barat dengan pelbagai istilah-konsep bombastik menjadikan pidato dan tulisan Anwar Ibrahim menarik perhatian orang ramai. Namun, jika sesiapa yang pernah membaca dan mendengar retorik Anwar Ibrahim sejak tahun 1970an, pemikiran Anwar Ibrahim sangat mengelirukan. Oleh sebab itu, kita tidak hairan kenapa Anwar Ibrahim boleh masuk UMNO, terlibat dengan kelompok SEPILIS dan mengamalkan politik kebinatangan. Jujurnya, Anwar Ibrahim ditewaskan oleh beberapa: pertama, nafsu yang menerbitkan sifat pragmatis sehingga melahirkan matlamat menghalalkan cara; kedua, pengaulan dengan kelompok SEPILIS yang mengucar-kacirkan pemikiran dan pendirian Islami beliau;  ketiga, beliau sendiri terpesona, hanyut dan lena dalam pelukan Barat; dan keempat, cita-cita besar dalam politik kekuasaan.
Kita lihat sahaja tentang konsep pluraliti yang dihujahkan secara baik akhirnya menjadi pluralisme agama. Perkara digambarkan melalui ucapan dan penulisan Anwar Ibrahim sebagaimana ucapan yang terkenal di London School of Economics pada 2010 yang dikatakan menyama-ratakan agama sebagaimana pluralisme agama ala John Hick.
Dalam pelaksanaan dan tindakan politik, Anwar Ibrahim dilihat bersikap pragmatis sehingga mengatasi nas-nas syarak. Dalam kes Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dan kes 16 September, jelas kelihatan sikap pragmatis yang melanggar prinsip keadilan. Kegopohan menurunkan Khalid Ibrahim dengan peletakan ADUN Kajang untuk menobatkan Anwar Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor melalui Langkah Kajang adalah satu tindakan yang kurang demokratik dan memperbodohkan rakyat. Begitu juga adegan yang mahu membawa ahli parlimen Barisan Nasional melompat parti ke dalam parti pembangkang nampak jelas satu tindakan tidak beretika dan tidak bermoral.
Gagasan Pendidikan Liberatif: Anwar Ibrahim tidak menghapuskan AUKU bahkan meneruskannya sebagaimana dilakukan oleh Tun Mahathir walaupun ketika Anwar Ibrahim menjawat jawatan Menteri Pendidikan. Apa yang Anwar Ibrahim buat ialah memperkuatkan proksi beliau di kampus melalui PKPIM-ABIM, kalangan pensyarah dan pentadbir universiti dalam kalangan orang beliau. Di peringkat pilihan raya kampus, berlaku pertembungan gerakan mahasiswa Islam pro PAS dengan gerakan mahasiswa Islam pro-Anwar Ibrahim. Pada awal Anwar ibrahim masuk UMNO, gerakan mahasiswa Islam huru-hara bercakaran sesama sendiri.
Anwar Ibrahim bergantung kepada penasihat yang berjaya mengepung beliau. Pada zaman ABIM, Anwar Ibrahim dikepung dan dikeliling oleh pemikir pro-Islam kalangan ustaz, ulama dan sarjana Islam. Sejak Khalid Jaafar bersama Anwar Ibrahim, kepungan kelompok pro-Islam semakin longgar diambil alih oleh kelompok Liberal. Khalid Jaafar merupakan Setiausaha Akhbar kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dari tahun 1988 sehingga 1998 semasa Datuk Seri Anwar Ibrahim menjawat jawatan sebagai Mentari Pelajaran, Menteri Kewangan dan Timbalan Perdana Menteri Malaysia sehinggalah Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat dari semua jawatannya di dalam kerajaan dan akhirnya dilantik Pengarah Eksekutif Institut Kajian Dasar (IKD) badan pemikir Anwar Ibrahim.

Adakah Hubungan Islam dengan Barat dapat dirapati dan dijalin?
Kita boleh menjalinkan hubungan dengan orang Barat secara hubungan sosial dan diplomatik serta individu. Dari segi kebersamaan dalam pandangan alam, pemikiran dan kebudayaan adalah agak mustahil kerana pertembungan ini adalah pertembungan hakiki sejak azali.
Kita juga sudah tahu bahawa Kebudayaan Barat berdasarkan gabung-jalin Kebudayaan Yunani Kuno, Romawi Purba, Yahudi, Kristian dan Kaum Biadap-Gasar di Eropah. Gabung-jalin ini menghasilkan sifat-sifat asasi Kebudayaan Barat yang dilihat amat sukar mendekatkan Islam dengan Barat.
Di Barat, mereka bukan mengutamakan kebenaran. Mereka mengutamakan pembenaran dalam berhujah. Pembenaran dalam berhujah daripada kebenaran. Islam menyakini kebenaran mutlak bukannya kebenaran relatif. Hakikat kebenaran ialah keyakinan dalam pegangan atau pendirian.
Rumusan daripada sifat-sifat asasi Kebudayaan Barat ialah:
1. Kebudayaan Barat berdasarkan falsafah dan bukan agama.
2. Falsafah yang menjelmakan sifatnya sebagai humanism, mengikrarkan faham penduaan (dualisme) yang mutlak dan bukan kesatuan sebagai nilai serta kebenaran hakikat semesta.
3. Kebudayaan Barat berdasarkan pandangan hidup yang Tragic iaitu mereka menerima pengalaman ‘kesengsaraan hidup’ sebagai suatu kepercayaan yang mutlak yang mempengaruhi peranan manusia dalam dunia.
Dari segi tauhid, Kebudayaan Barat menganggap Islam sebagai Islam sebagai seterunya yang mutlak dan kesejahteraannya hanya akan terjamin dengan kemenangannya ke atas Islam dalam perjuangan yang berterusan dan bermati-matian. Mereka bersetuju dengan umat Islam jika umat Islam mengikut kehendak mereka [Surah al-Baqarah: 120]. Hakikat sebenarnya, Kebudayaan Barat adalah musuh Islam. Dalam masa yang sama, ‘musuh’ ini perlu diperkenalkan Islam dan dilayan dengan baik selagi mereka tidak memerangi Islam dan umat Islam.
Penjajah Barat datang ke Timur dengan sifat deskruktif bukan konskruktif. Mereka menakluki dan menjarah Kerajaan-Kerajaan Timur termasuk Kerajaan Islam. Kuman-kuman penjajahan yang diwarisi daripada Kaum Biadap Eropah dikembang pada zaman Renaissance dengan gambaran-gambaran perseteruan sengit yang membawa kepada pertumpahan darah.
Pada zaman dahulu, agama Kristian dan Perang Salib menjadi alasan untuk menyerang dan menakluki wilayah-wilayah Islam. Mutakhir mereka menjadikan alasan ‘atas nama memerangi keganasan’ dan demokrasi untuk memerangi dan menyerang wilayah Islam. Jika dikaji lebih lanjut, para diktator, kumpulan radikal (seperti Taliban) dan kumpulan ekstremis (seperti daesh dan al-Qaeda) dicipta oleh Barat sendiri. Media massa, bantuan senjata, bantuan kewangan, konkraktor tentera dan pelbagai sokongan diberikan untuk mewujudkan suasana tidak stabil sehingga memberi peluang Barat menyerang negara umat Islam tersebut.
Pendokong Kebudayaan Barat akan bermati-matian menentang Islam. Tidak dinafikan ada yang cuba menjalinkan hubungan ‘mesra’ dengan Islam tetapi ia bukanlah sifat majoriti pemimpin, sarjana dan anak didik mereka. Bahkan, pihak yang ‘mesra’ Islam juga menggagaskan pemikiran yang cuba menghakis tauhidik umat Islam dengan aspirasi dan agenda yang mengikut kehendak Barat.

Orientalis dan Institusi Pemikiran Menghakis Aqidah Islam
Pandangan alam Islam yang mantap berasal daripada kerangka pemikiran berpasakkan tauhidik. Individu yang memiliki  pandangan alam Islam seperti ini sukar dipengaruhi oleh Kebudayaan Barat.
Orientalisme ialah ilmu atau fahaman tentang Timur atau ehwal ketimuran termasuk dalam bahasa, budaya, pemikiran, geografi, sejarah dan lain-lain. Pada awalnya, orientalisme dipelopori oleh para paderi Kristian untuk dakyah. Kedatangan mereka seiring imperialism kerajaan Barat. Antara tokoh yang mempopularkan orientalisme ialah Roger Bacon dan Raymond Lull.
Jikalau kita meninjau pendekatan para orientalis, mereka cuba memajukan dan menubuhkan institusi pendidikan ala Barat di negara yang dijajah. Jangan hairan jika Universiti Of American ditubuhkan di Lebanon dan Mesir. Mereka juga menubuhkan yayasan untuk mendanai pengajian, penyebaran dan kegiatan dalam membumikan orientalisme dalam kalangan pemimpin dan rakyat sesebuah negara. Contoh, Yayasan Ford menaja Richard Mitchell untuk mengkaji Ikhwan Muslimin manakala Yayasan Asia menaja Cak Nur.
Masyarakat Timur seringkali memartabatkan Barat dengan cara pandang kekaguman terhadap Barat. Pertama, masyarakat tempatan memiliki persepsi bahawa Barat mempunyai simbol kemajuan dan ketamadunan.
Kedua, kelompok terpelajar masyarakat tempatan pula menganggap Barat simbol kehebatan dan keunggulan metodelogi pengkajian, pendekatan dan pemikiran. Dalam kalangan muslim, mereka ini disifatkan oleh Cheryl Bernard sebagai muslim modenis dan sekularis. Mereka paling rapat bersahabat dengan nilai, norma, pemikiran dan jiwa masyarakat Barat moden yang demokratik. Jadi, kita jangan hairan 25 mantan pegawai tinggi kerajaan dan kelompok terpelajar mengeluarkan pandangan tentang hudud yang bertentangan (baca;  meragui dan tidak yakin) dengan kehendak Islam.
Ketiga, kelompok yang melihat Barat sebagai penjajah yang perlu ditolak segala yang berasal dari Barat. Mereka menganggap Islam sudah lengkap. Kelompok ini dianggap sebagai Muslim fundamentalis. Keempat, kelompok yang melihat Barat secara kritis dan objektif iaitu Barat adalah peradaban asing yang berbeza daripada Islam. Tidak semua datang dari Barat itu baik dan tidak semuanya buruk. Barat perlu dikaji dari akar-akar kewujudan pemikiran, budaya dan ketamadunan mereka.
Antara peranan para orientalis selama ini ialah
1.         Melemahkan bahasa Arab fushah untuk diganti dengan bahasa arab amiyyah
2.         Menjalan kajian terhadap kumpulan - kumpulan Islam. Mereka menyebar ketidaksamaan mereka. Ada kajian terhadap kumpulan sesat sebagai contoh Ahmadiah, Qadiani dan Druze.
3.         Cuba merosakkan asas-asas Islam terutamanya hadith dan perselisihan mazhab dengan menyebarkan perbezaan mereka.
4.         Memejamkan mata terhadap fakta kebenaran dan kehebatan tamadun Islam. Mereka menonjolkan pemerintahan dan tokoh yang tak mengikut ajaran Islam yang sebenarnya.
5.         Menggunakan ukuran kebendaan.
6.         Mentafsirkan Islam mengikut pandangan alam mereka.
7.         Menyemarak kemarahan orang bukan Islam kepada orang Islam.
8.         Mengkaji Islam dan mengemukakan alternatif berdasarkan pemikiran mereka.
9.         Menggunakan orang Islam untuk mengkritik Islam
10.       Mempopolarkan idealism dalam kalangan anak muda melalui pengkaderan mereka
11.       Menggerakkan hak asasi dan Islam tanpa syariat dalam kelompok Islam
12.       Penggunaan akal dan nafsu melebihi hujah al Quran
Antara pemasalahan para ilmuwan atau pejuang idealism Barat dalam kalangan Muslim ialah menjadikan pengalaman diri mereka sebagai ‘agama’. Kegagalan mereka beragama secara lurus menyebabkan kesesatan mereka. Ramai dalam kalangan mereka berpandangan bahawa Islam dikongkong kerana disalah tafsir oleh para ulama.
Disini ada sedikit kesilapan, walaupun dilihat seakan-akan ulama mentafsirkan Islam tetapi ukuran pentafsiran itu adalah al Quran dan hadith. Jika kita ada ilmu yang boleh menjadi syarat mentafsir Islam, kita boleh mentafsirkan Islam. Sebelum mentafsir Islam, pasti hati kita ikhlas dan  diri mesti dibebas daripada kehendak nafsu serta berakhlak Islami. Jika ketiga-tiga elemen ini tiada, kita belum mampu membuat ijtihad untuk orang lain. Kalau ada ijtihad untuk diri sendiri, tidak berakhlak jika menyebarluaskannya.
Pendokong pemikiran Barat dalam kalangan anak tempatan berada dalam institusi kerajaan dan institusi persendirian tajaan yayasan-yayasan yang berasal daripada Barat. Di Mesir, ada sebuah institusi diberi nama al Islahud Dini iaitu suatu kumpulan diwujudkan kononnya untuk menjalankan usaha membaiki (reformasi, renaisance, tranformasi) agama. Antara seruan mereka ialah Islam yang lebih sederhana, Islam tanpa syariat, pentafsiran semula al Quran, mempertikai ulama-ulama muktabar seperti Imam al Bukhari, pendapat ulama terdahulu sudah tidak relevan.
Ada kalangan mereka cuba menaikkan pemikiran ulama atau tokoh Islam seperti Muhammad Asad, Suhrawardi dan Syeikh Muhammad Abduh.
Ada juga kalangan yang berani mendokong buah pemikiran Barat seperti pasca Islamisme, Islam Inklusif, Islam Liberal dan Islam Plural.
Orang non Muslim perlu berhati-hati dalam menerima pendapat daripada mereka kerana hujah mereka berdasarkan teori Barat dan hujahan akal bukannya berdalil al Quran dan al Sunnah.
Paling mengelirukan apabila mereka menggunakan hujah-hujah al Quran dan al Sunnah serta kerangka pemikiran Islam seperti fiqh Maqasid, Fiqh Keutamaan dan lain-lain. Dalam keadaan ini, hujah mereka benar tetapi tujuan mereka batil. Kita perlu melihat pengaulan dan pemikiran mereka sebelum menerima hujah-hujah mereka.

Kesimpulan
Adakah apa yang kita bincangkan di atas Anwar Ibrahim dan para pendokong Muslim Demokrat tidak tahu?. Sebenarnya, mereka lebih tahu. Orang seperti Anwar Ibrahim, Abdul Rahman Wahib dan Nucholish Madjid lebih tahu dan pakar tentang perbincangan di atas. Cuma kita kembali kepada ayat ‘tahu tak beramal, beramal tak ikhlas’. Justeru, kita berlepas diri, serah pada Allah SWT menilai niat pendokong Muslim Demokrat, kita kembali segala niat dan usaha pendokong Muslim Demokrat mendapat ganjaran setimpa dengan mereka usahakan.
Kita tahu siapa musuh kita,
Kita tidak mahu berwaspada

Kita tahu perancangan musuh kita,
Kita tidak ambil peduli.


Kita hanya banyak TAHU.