Thursday, February 03, 2011

Menangani Perubahan: Ke Arah PAS Baru?



muhammad mahdi akef


Oleh Abu Muhammad

Pertama kalinya, saya masih tegaskan bahawa perubahan yang dicanang termasuk pertukaran kepimpinan mesti melalui muktamar. Perwakilanlah yang berkuasa menentukan hala tuju PAS. Tiada niat mengatur parti, ini hanyalah kritikan membina. Perubahan adalah hak perwakilan. Perwakilan yang menetapkan perubahan pimpinan. Kaedah inilah paling beradab bagi sesorang ahli PAS yang sayang parti.

Kesilapan pihak yang pro perubahan terutamanya sekelompok anak muda ialah pendekatan mereka untuk melakukan perubahan. Grup ini menggunakan kaedah menghina, melabel/mengelar, memperbodohkan/memperkenakan pemimpin dan pelbagai diskusi dan risalah yang tiada adab terhadap pemimpin. Seorang pengkritik mesti seorang budiman yang tahu saluran mengkritik dan cara mengkritik yang penuh kesopanan. Idea yang baik disampaikan dengan kaedah yang tidak baik adalah menampakkan sifat tidak baik. Anak muda ini mungkin terlalu bersemangat, sayangkan parti, tergesa-gesa dan emosi sehingga menghilangkan sifat budiman mereka.

Dan tidak mustahil ada pihak berkepentingan mengambil kesempatan di atas slogan perubahan untuk mendapat apa yang ingin dicapai. Mereka mempergunakan pihak pro perubahan sehingga satu saat mereka memunculkan diri sebagai pemimpin pro perubahan. Berhati-hatilah dengan istilah pro perubahan.

Perubahan yang berlaku tidak dapat dihalang. PAS melalui anak muda dan kaum ulama membawa semangat dan idea perubahan telah berjaya menumbangkan rejim nasionalis pada tahun 1982. Dan kini, jika pihak ulama tidak melakukan perubahan, nescaya sekali lagi anak muda dan kelompok liberal progresif[pro siasah,profesional, tarbiyyah IRC-SI, pro pakatan, pembuntut Anwar] akan menggagaskan idea baru yang cuba menjatuhkan kepimpinan ulama.

Kepimpinan ulama adalah sistem yang baik tidak perlu dimansuhkan. Cuma pemainnya perlu ditukar dengan pemain yang lebih muda, bertenaga, berterampilan dan beridea baru.Adunan pemain baru dan pemain lama yang masih mempunyai kemahiran dan stamina akan membentuk barisan yang terbaik untuk memenangi sesuatu perlawanan.

Secara peribadi,perubahan yang kita ingini dari segi dasar,polisi,pendekatan, struktur organisasi dan gaya kepimpinan yang baru. Perkara ini berlaku dalam Parti Refah sehingga berlaku perpecahan dimana golongan pro perubahan membentuk AKP melalui Ketua Pemuda Parti Refah, Erdogan dan golongan lama membentuk Saadet.

Perubahan yang dilakukan oleh AKP melalui polisi dan dasar membolehkan mereka hidup dalam sistem sekular dengan menerapkan nilai Islam secara evolusi. Manakala gaya kepimpinan Erdogan dan Abdullah Gul gagal memberi alasan kepada pihak tentera untuk merampas kuasa sebaliknya pelindung sistem sekular iaitu tentera, birokrasi dan kehakiman tertekan dengan pendekatan AKP.

AKP dan Erdogan menjadi teladan kepada gerakan Islam moden dan kontemporari. Mereka mempunyai rahsia untuk hidup dalam sistem sekular. Mereka menjadikan diri mereka sebagai ikan dalam lautan masin. Pendekatan/strategi AKP dan gaya kepimpinan Erdogan boleh dikaji dan dieksperimenkan di Malaysia. Model AKP ini sangat sesuai dan berguna semasa PAS dalam kerajaan Pakatan Rakyat yang sekular nanti.

Pada pendapat saya, persoalan perubahan timbul disebabkan oleh prestasi semasa kepimpinan PAS. Tiada persoalan nak jatuh pemimpin tertentu, meruntuhkan kepimpinan ulama, hilang wala’ dan thiqah, merendah martabat ulama. Jasa, kealiman, ilmu,amal, kelebihan para pimpinan tidak boleh kita sangkal atau persoalkan tetapi disini kita persoalkan masalah prestasi.

Barisan pengasas kepimpinan ulama telah berkuasa terlalu lama dalam parti. Hampir 3o tahun seusia pemerintahan Husni Mubarak. Wajah pemimpin sejak jatuhnya rejim Dato Asri masih sama dan ideanya tidak banyak perubahan. PAS Terengganu sebagai contoh bagai tiada pimpinan pelapis, disempitkan oleh wajah pemimpin yang beridea sama sahaja. Terlalu lama berkuasa dalam parti akan mengundang penyakit sebagaimana yang dihadapi oleh Dato Asri sendiri dan Tun Dr Mahathir. Oleh itu ada dua pilihan untuk pemimpin iaitu melaksanakan perubahan atau mengundur diri.

Kitaran kepimpinan melalui zaman kebangkitan, puncak dan kemerosotan bakal dialami oleh sesebuah organisasi. Oleh itu, kemerosotan dapat ditangani dengan melakukan perubahan terutamanya perubahan pendekatan, dasar dan kepimpinan.

Kita menghormati pemimpin, bersangka baik dan memberi peluang kepada pemimpin untuk membuktikan sesuatu. Setelah melihat prestasi terkini, purata tiada perubahan dan semakin merosot pengaruh parti. Pelantikkan orang lama dalam jawatan penting parti seperti Setiausaha Agung dan Pengarah Pilihanraya menanda pimpinan tiada keinginan untuk berubah. Kita telah memberi ruang untuk mereka membuktikan sesuatu tetapi gagal. Bukannya mereka tidak bekerja tetapi gagal mengolah realiti zaman. Nampaknya, masa untuk pembuktian kualiti pimpinan telah berakhir, perubahan mesti dilakukan dengan menukarkan pucuk pimpinan.

Kenapa Perubahan Berlaku?

Gaya kepimpinan seseorang tokoh boleh dimaknakan pada pemikirannya, ketrampilan, komunikasi-interaksi, keupayaan membuat keputusan, kemahiran tertentu, pengurusan organisasi, disiplin, akhlak dan kehidupan peribadi. Gaya kepimpinan adalah hak peribadi seseorang tokoh. Perbandingan gaya kepimpinan antara tokoh yang lain tidak akan menyelesaikan masalah, paling baik menggunakan gaya kepimpinan tersebut sebagai kelebihan.

Dari segi ilmu dan amal, TGHH adalah antara yang terbaik. Saya melihat TGHH perlu memantapkan kemahiran berkomunikasi dan membuat keputusan secara spontan. Akibatnya, TGHH kelihatan kurang mesra media massa bahkan Dato Mahfuz dan YB Salahuddin Ayub lebih banyak bercakap daripada Presiden.

Pemikiran dibentuk melalui pembacaan, pemerhatian, perkongsian ilmu dan pengalaman. Bahan pembacaan TGHH perlu diperluaskan bukan setakat bidang keilmuan Islam sahaja.Kelebihan TGHH sebagai sarjana harus digunakan dalam membentuk kepimpinan berintelektual.

Orang muda seringkali mahu kepimpinan seperti Anwar Ibrahim dan TG Fadhil Noor. Pandai bergurau dan mesra rakyat serta mengemuka idea baru. Jadi mereka akan membuat perbandingan. Perbandingan antara pemimpin ini mengundang semangat ini menukarkan kepimpinan.

Penguasaan sekelompok muncul apabila berlakunya pertentangan antara kelompok dalam parti. Kelompok utama dalam PAS ialah kelompok liberal progresif dan kelompok ulama. Kelompok ulama merupakan kelompok paling berkuasa dalam PAS mendominasi keputusan parti. Akibat,kelompok liberal progresif tersisih dan terbentuk perlawanan pemikiran diantara mereka.

Pemikiran anak muda dibentuk oleh media baru seperti blog dan facebook. Akses informasi yang mudah, cepat dan terbuka membolehkan pemikiran kaum muda semakin terbuka, rencam dan liberal. Usrah gagal membentuk kesatuan pemikiran mereka. Kehadiran kelompok liberal progresif yang serasi dengan pentarbiahan bentuk baru melalui internet mendekatkan lagi anak muda dengan mereka. Anak muda gemar orang yang ambil berat, prihatin, sekepala dengan mereka.

Kebanjiran maklumat melepasi paras kerahsiaan sesebuah jemaah. Terbocor maklumat yang sepatutnya rahsia menyebabkan keputusan mesyuarat menjadi kucar kacir.

Akibatnya berlakunya buruk sangka dan fitnah. Khabar angin mudah tersebar. Anehnya, anak muda mudah terpengaruh dengan khabar angin sehingga fikrah perjuangan mereka dimasuki virus anti kepimpinan, antiusrah, antiulama, antiwala’ dan antitsiqah.

Menukar Pucuk Pimpinan?

Barang lama tidak semesti lemah dan tidak baik. Jika berkualiti dan berfungsi dengan baik, kita terus menggunakannya. Tetapi jika prestasi merudum, kita ada dua pilihan sama ada membaiki[melakukan perubahan dasar/pendekatan] atau menukar yang baru[menukar pimpinan].

Penguasaan pemimpin atau sekelompok pemimpin yang terlalu lama dalam organisasi mengundang pelbagai penyakit. Tanda awal penyakit tersebut ialah kronisme dan nepotisme. Kehadiran manusia bernama Azizah, Nurul Izzah, Lim Guan Eng[dan isteri], Arif Fahmi,Nik Abduh,Khalil, Zaharudin mohamad, Jadeep dan Gobind menandakan barah sedang menular. Kita tidak menafikan kebolehan, bakat dan pemilihan perwakilan terhadap mereka, cuma pintu fitnah telah terbuka. Dilema ini pernah dihadapi oleh Saidina Uthman.

Sebab itulah, paling relevan bagi suatu pemerintahan adalah 10 tahun[2 penggal dalam kerajaan dan 3 penggal dalam parti]. Tempoh ini adalah tempoh yang selamat sebelum tanda awal datang.

Pemimpin yang bijak akan mengundur diri memberi laluan kepada perubahan yang tidak mampu dilakukan oleh diri. Tun Dr Mahathir meletakkan jawatan kerana beliau tahu jika terus memerintah UMNO boleh hilang 2/3kerusinya. Lee Kuan Yew turun jawatan semasa zaman gemilang. Mursyidul Aam pertama PAS, Tuan Guru Yusof Rawa meruang kepada Tuan Guru Fadzil Noor yang mempunyai idea baru selain masalah kesihatan yang dihadapi. Manakala Ustaz Mahdi Akef memberi ruang kepada Dr Mohd Badie untuk memimpin Ikhwan Mesir. Tiada rugi memberi ruang kepada perubahan baru.

Dalam PAS, saya mencadangkan dua kaedah. Pertama, muktamar boleh melantik timbalan presiden sekarang, Ustaz Nasarudin Mat Isa sebagai Presiden PAS.Mungkin beliau mempunyai idea-idea baru yang boleh diketengahkan. Kedua, melantik pemimpin transisi dimana tidak melupakan yang lama dan mendekatkan yang baru. Pemimpin yang dicadang ialah TG Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai Presiden. Timbalan Presiden yang paling sesuai dalam era perubahan ialah YB Salahuddin Ayub atau Dr Mujahid.

Kelompok liberal progresif mungkin mencalonkan pimpinan seperti Dr Mujahid, Dr Dzukifli atau Dato Husam sebagai presiden. Pada saya, zaman transisi ini memerlukan hubungjalin antara pro perubahan dengan pro ulama, pemikiran tokoh perubahan terlalu terkedepan sehingga melangkaui pemikiran ahli biasa PAS. Beri Ruang ini selama satu penggal jika mereka yang dipilih tiada perubahan, pemimpin baru wajar diketengahkan termasuk daripada golongan profesional sebagai Presiden PAS.

Manakala pemimpin lama boleh aktif dalam Yayasan Amal Malaysia, bagi yang berkelulusan agama boleh aktif dalam Dewan Ulama. TGHH pula dilantik Mursyidul Aam PAS yang baru.

Perubahan harus digerakkan oleh Dewan Pemuda. Saya juga hairan kenapa kelompok liberal progresif tidak mahu menguasai Dewan Pemuda. Paling kurang mereka mencalonkan Dr Mujahid Yusof sebagai wakil mereka. Dewan Pemuda adalah pelapis harus diterapkan dari awal wadah perubahan agar tidak janggal pada hari muka.

Solusi

Perubahan merupakan perkara yang perlu supaya tiada kekakuan, kebekuan dan kekunoan pada pemikiran, pendekatan,tindakan dan ahli sesebuah organisasi. Tanpa perubahan, organisasi akan runtuh. Perubahan tidak dapat dihalang, ia pasti berlaku sama ada cepat atau lambat. Perubahan yang paling berkesan ialah perubahan kepimpinan.

No comments:

Sebab-Akibat

Sebab-akibat antara elemen penting dalam ilmu sejarah. Pemikiran sebab-akibat ini penting bagi mengelakkan kita membuat ramalan dan andaian ...