Monday, November 18, 2019

Generasi Ketiga Politikal Islam


Model Parti Politik ‘Islam’ Generasi Kedua Gerakan Islam (Gen 2.0) umumnya digerakkan oleh Tayyib Erdogan dan Abdullah Gul di Turki melalui AKP. Erdogan dan Abdullah Gul lebih terpengaruh dengan idea hizmet-Gulen daripada Erbakan dalam merealisasikan Gen 2.0. Kemudian Parti Keadilan Nasional (kemudian Parti Keadilan Rakyat) pimpinan Anwar Ibrahim di Malaysia. Kebanyakan Gen 2.0 di Timur Tengah muncul seiring dengan Arab Springs. Parti an-Nahdah pimpinan Rasid Ghannousshi sendiri bermula lambat.
                PKS Indonesia bukanlah Gen 2.0 walaupun ia mula popular pada awal tahun 2000an. Baru-baru ini, Muhammad Anis Matta bersama rakan-rakannya telah menubuhkan Partai Gelombang Rakyat (GELORA) Indonesia. Parti Gelora Indonesia memenuhi ciri-ciri generasi 2.0. Di Malaysia, antara Parti AMANAH dengan PKR, PKR lebih tepat memenuhi ciri-cir Gen 2.0.
                Akar kepada Gen 2.0 ialah memenuhi kehendak nilai-nilai kesejagatan dimana nilai-nilai Islam diserapkan dalam urus tadbir negara dan kehidupan politik. Nilai-nilai Islam tanpa syariat lebih mudah diterima oleh masyarakat bukan Islam. Tiada perjuangan menegakkan Negara Islam dan perundangan Islam. Nilai-nilai sejagat Islam dapat diserasikan dengan demokrasi dan sekularisme.
Dr. Dzulkefly Ahmad mendefinisikan bukan sahaja dari segi gagasan pemikiran dan idea tetapi bersekali ‘satu penampilan baru entiti politik’ yang mengalami evolusi hasil interaksi dengan dinamika sosio politik  negara masing-masing. Ia dilakarkan dengan anjakan generasi dalam pemikiran dan pengurusan idea yang melahirkan gerak kerja yang mempunyai kelainan dan berbeza dengan yang lama. Hakikatnya terbit dari kelainan pengolahan pemikiran dan dasar, cita-cita dan penghayatan perjuangan mendepani realiti baru.
Ciri-ciri Generasi Kedua Politikal Islam ialah:
  1. Negara yang bersifat sivil dan tidak kudus, mengiktiraf kedaulatan rakyat berbanding hakimiyyah lillah.
  2. Negara yang bersifat sivil dimana segala sesuatu akan diundang-undangkan melalui perbahasan di parlimen. Tiada yang layak mewakili Tuhan atau bercakap atas nama Tuhan. Tiada amalan teokrasi.
  3. Undang-undang boleh yang dibahaskan di perlimen boleh ditolak walaupun bersandarkan nas dan dalil syarak kerana wujud pelbagai interprestasi dan fahaman tentang kesesuaian, ketepatan, pelaksanaan dan keberkesanan penyelesaian.
  4. Mengiktiraf mesyuarat sebagai kaedah membuat keputusan serta menerima keputusan pilihanraya dalam mengangkat sebuah kerajaan.
  5. Peranan agama dalam konstruk politik lebih jelas suatu yang bersifat sivil dan demokratik serta berpaksi ijtihad bukan bersandar hak kudus yang dimainkan oleh para ulama sahaja.
  6. Memahami dan menerima pluralisme politik dalam amalan sistem multi parti.
  7. Mengungkap ayat al-Quran dan hadith atau pandangan ulama dari kitab turath yang sesuai dengan konteks dan relevan dengan realiti dan keperluan rakyat masa kini.
  8. Mampu menerima kritikan walaupun mengunakan sumber perundangan Tuhan dan tidak mendakwa mewakili ‘kebenaran’.
  9. Mengutamakan kepentingan urus tadbir yang baik
  10. Pengasingan kuasa
  11. Menolak retorik anti-barat dan sedia berdialog serta wacana dengan Barat.
Khabarnya Ahmet Davoitoglu dan Abdullah Gul berura-ura menubuhkan parti baru menentang Erdogan dan AKP. Adakah kemunculan semula Ahmad dan Abdullah dikira politik Islam sudah memasuki era Gen 3.0? Adakah Parti Gelombang Rakyat (GELORA) pimpinan Anis Matta memenuhi ciri-ciri Gen 3.0? Jika betul, apakah ciri-ciri politik Islam Gen 3.0?
Ciri-ciri Generasi Ketiga Politikal Islam ialah
1.       Negara sekular selaras dengan Perlembagaan Negara dan akur kepada Deklarasi Hak Asasi Manusia peringkat antarabangsa
2.       Hidup dalam semangat dialog peradaban. Kebenaran bukan lagi milik Islam tetapi milik semua kaum dan agama.
3.       Menerima Islam melalui penerapan nilai-nilai kesejagatan Islam bukannya syariat Islam dalam kehidupan.
4.       Republikisme. Menolak feudalisme.
5.       Anarkisme. Walaupun ditarbiah dan dikader oleh jemaah, individu tidak lagi terikat dengan arahan jemaah.
6.       Sekularisasi Islam dan deIslamisme
7.       Sintesis antara rasionalisme Barat dengan  universalisme Islam
8.       Kesalahan moral-akhlak menjadi persoalan peribadi. Kesalahan moral-akhlak tidak dimasukkan dalam pertimbangan semasa membuat keputusan.
9.       Parti tidak terikat dengan Islam. Islam menjadi sebahagian kecil dalam politik. Islam hanya berstatus ‘biro’ sahaja. Islam bukan lagi tunjang perjuangan. Tunjang perjuangan adalah kemanusiaan dan kesejagatan. Keadilan mendahului kebenaran.
Gen 3.0 adalah kesinambungan Gen 2.0. Islam telah dipisahkan daripada politik. ‘Islam suku. Politik suku’ direalisasikan. Jika ada politik dan Islam, ia disifatkan sebagai menunggang dan memperalatkan agama. Mereka mencintai Islam dengan cara ‘menikam’ Islam. Islam dilihat tidak lagi mampu memimpin umat ke arah lebih baik.
Gerakan Islam tidak perlu melayani pembahagian yang seringkali dilakukan oleh para pengkaji atau orientalis Barat. Pemimpin dan anggota gerakan Islam mesti muhasabah diri agar perjuangan dapat diteruskan dengan lebih tersusun dan bertahap-tahap dalam mewujudkan masyarakat Islam yang diredhai Allah dan kemakmuran negara.
Rahsia kejayaan sesebuah gerakan Islam ialah iman dan taqwa, akhlak dan disiplin, syura dan wala’, tsiqah dan pengorbanan, ikhlas dan faham, bijak dan saleh para pemimpin dan anggota gerakan Islam. Sebuah gerakan Islam mesti dimentori oleh ulama. Ulama yang memimpin melalui Syura Ulama atau ulama yang mengetuai gerakan Islam. Dan ulama menjadi penasihat utama seseorang pemimpin.
Jika kita menelusuri perjalanan PAS, kepimpinan ulamanya terletak pada Majlis Syura Ulama diikuti oleh Presiden dan Timbalan dipegang secara tradisi oleh ulama serta keunggulan Dewan Ulama. Kegagalan utama PAS ialah masih gagal mencari Profesional/Teknokrat untuk dijadikan sebagai Presiden dan Timbalan Presiden PAS. Presiden dan Timbalan Presiden PAS bukan kalangan ulama ini mesti AKUR kepada MSU. Individu yang TERBAIK  dan sesuai dalam konteks zaman hari ini dalam memimpin PAS ialah seorang daripada kalangan Profesional Ustaz (PROTAZ) atau Ustaz Profesional (USPRO). PAS mesti tarbiah para pimpinan mereka sehingga melahirkan PROTAZ/USPRO. Pemimpin dan anggota PAS pelbagai peringkat mesti sudi menerima pada suatu masa nanti Presiden dan Timbalan Presiden dalam kalangan PROTAZ atau bukan lagi kalangan ulama.
Ustaz Fadzil Nor sering melaungkan slogan ‘memprofesionalkan ulama, mengulamakkan profesional’. Beliau cuba membawa contoh yang terbaik bagi model kepimpinan ini iaitu Ustaz Dato Dr Nasharudin Mat Isa yang dilantik sebagai Setiausaha Agong. Malangnya Ustaz Nasha tersilap langkah dalam gerak politiknya. Pemimpin PAS seperti Dr Ahmad Samsuri, Ustaz Nazri Chik, Ustaz Mohd Amar Nik Abdullah perlu diketengah sebagai pemimpin utama untuk generasi akan datang.
Kita mahu pemimpin seorang Islamis yang bijak dan saleh serta berkemampuan memahami dunia dan konteks dengan faham Islam. Maka, seorang pemimpin Islam mesti banyak membaca buku tentang pelbagai mazhab dalam Islam dan pelbagai ideologi seperti nasionalisme, liberalisme, sosialisme dan pluralisme. Seorang pemimpin Islam mesti mempunyai sifat mahu “mengetahui apa orang lain kata tentang dunia ini”.  Tiada cara lain selain MEMBACA dan MENGEMBARA. Sebelum menjadi pemimpin dan ulama, seorang Islamis mesti banyak membaca dan mengembara untuk memahami dunia. Kemudian, barulah menjadi pemimpin dan ulama Islam.
Pemimpin Islamis yang bijak dan saleh perlu mengemukakan idea-idea yang bernas untuk menyelesaikan masalah umat dengan Islam. Pemimpin Islam mesti menangani permasalahan rakyat dan negara – peningkatan kos hidup, pengurusan ekonomi dan urus tadbir negara. PAS umpamanya mesti memperbanyakkan perbicaraan dengan Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS). Pertarungan politik biarlah dalam lingkungan perang idea dalam pembentukan polisi awam dan pembangunan negara bukanlah lagi pertandingan siapa lebih Islam, perundangan Islam dan negara Islam.

3 comments:

Taziah said...

Benar. Seorang islamis perlu mengembara dan membaca di usia muda dgn pelbagai bahan agar pemahaman islam itu boleh diselaraskan di pelbagai peringkat. Bila bicara ttg mengembara dan membaca, kita dpt lihat dr burhanuddin dan tok guru nik aziz antara tokoh2 yg sentiasa utamakan ilmu, hal ini juga termasuk pd nabi muhammad saw semasa membina kerajaan islam madinah.

Bound it Solution said...

What is Google AdSense . In your question of what is Google Adsense, I explain here details & complete the process to earn money from Adsense by blog website or youtube.

ubaid said...

telenor Package

Sebab-Akibat

Sebab-akibat antara elemen penting dalam ilmu sejarah. Pemikiran sebab-akibat ini penting bagi mengelakkan kita membuat ramalan dan andaian ...