Friday, September 01, 2017

Menyelak Tulisan-Tulisan Fathi Aris Omar


Dalam tulisan-tulisan Fathi Aris Omar [FAO] ini, penulis dalam merumuskan dua perkara iaitu:
1. Analisis konflik dalaman parti pembangkang
2. Hala tuju politik pembangkang
3. Kebarangkalian Pembangkang tidak boleh pergi jauh adalah tinggi


Lampiran
Parti baru gasak PAS, PKR juga tersepit
 Fathi Aris Omar      14 Jul 2015, 10:18 pagi     
Semalam, setelah sebulan tersingkir daripada kepemimpinan atasan PAS, kumpulan G18 mengumumkan parti baru.

Tidak lama selepas sambutan Aidilfitri, kumpulan ini akan melancarkan kempennya, selain Perlis, di Kota Bharu.

Selain barisan mereka yang tersingkir, menurut edaran poster di Internet dan laporan media, gerakan ini juga dijadual menampilkan tokoh DAP Lim Kit Siang dan pemimpin PKR Saifuddin Nasution Ismail.

Hubungan gerakan parti baru ini dengan DAP tidaklah menghairankan.

Kecaman dua pihak ini terhadap PAS dan presidennya Abdul Hadi Awang sudah lama senada seirama.

Malah, banyak program mereka beberapa minggu mutakhir  diadakan bersama pemimpin DAP, termasuk di peringkat akar umbi.

Beberapa hari selepas sambutan ketewasan mereka di Johor, ketua G18 Mohamad Sabu bergambar dengan Lim selepas satu pertemuan tertutup.

Kemuncak krisis MB
Namun, gerakan ini bukanlah bermula selepas ketewasan G18 di muktamar Kuala Selangor awal Jun lalu.

Ia bermula sejak setahun lalu lagi, khususnya di kemuncak krisis menteri besar Selangor selepas Aidilfitri.

Dua wakil rakyat PAS menyokong calon awal PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail setelah mendapat restu kumpulan G18.

Tindakan itu dianggap "pembelotan" oleh Abdul Hadi, yang membantah pencalonan Dr Wan Azizah, sehingga tersembur kata "broker" dan "barua" yang masing-masing dipercayai ditujukan kepada timbalannya Mohamad Sabu dan dua dua wakil rakyat tersebut.

DAP pula menjulang dua wakil rakyat ini, Saari Sungib (Hulu Kelang) dan Hasnul Baharuddin (Morib), sebagai hero.

Simboliknya, DAP mengambil kesempatan ini untuk mentertawakan kepemimpinan Abdul Hadi yang gagal mengawal wakil-wakil rakyatnya sendiri.

Begitu juga sikap beberapa tokoh PKR, seperti Saifuddin (waktu itu, setiausaha agung) dan Rafizi Ramli (waktu itu, pengarah strategi dan kini naib presiden), antara penggerak utama 'Kajang Move'.

'Tak mampu lagi berdamai'
Sel PKR ini agak lantang terhadap PAS, khususnya Abdul Hadi, maka mereka tidak mampu lagi berdamai dengan parti Islam itu.

Maka itu juga tidak hairanlah Saifuddin muncul di Kota Bharu atas pentas gerakan parti baru ini selepas Aidilfitri.

Untuk menjayakan projek 'Kajang Move' dulu, sel PKR ini berhubung dengan G18 dan DAP.

Maka gabungan pecahan-pecahan inilah yang tolong-menolong mendirikan parti baru.

Dalam masa yang sama tahun lalu, di belakang tabir politik yang tidak disedari ramai, beberapa elemen yang dikaitkan dengan Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) ingin membentuk parti Islam baru.

Beberapa elemen yang dikaitkan dengan Ikram itu, atau selalunya disebut Islamic Representative Council (IRC), sering pula dituduh menyusup dalam PAS dan ingin mengambil alih parti itu dari dalam.

Akibatnya, sejak di muktamar 1986 di Rusila, PAS menyingkirkan mereka yang digelar "orang IRC".

Berbelah bahagi
Di muktamar yang menyingkirkan G18 baru-baru ini, sebuah buku yang mendedahkan permainan licik IRC dalam parti Islam itu dipromosikan dan mendapat sambutan hangat.

Tidak pasti Ikram sebagai sebuah pertubuhan Islam terlibat secara rasmi atau tidak.

Kemungkinan besar mereka berbelah bahagi sebab beberapa tokoh atasan Ikram menemui PAS tahun lepas memberi amaran tentang projek parti baru ini.

PAS kemudian meminta pemimpin atasan Ikram agar menenangkan elemen-elemen itu dan tidak cuba memecah-belahkan gerakan Islam dengan mendirikan sebuah lagi parti Islam.

Namun seorang pemimpin Ikram baru-baru ini menyatakan sokongan kepada "harapan baru" G18, yang kebetulan ada hubungan rapat selama beberapa dekad dengan NGO tersebut.

Seperti beberapa pemimpin PKR dan G18 yang mesra dengan DAP, beberapa elemen daripada NGO itu sudah mendekati atau menyertai sayap Melayu DAP.

'Berebut pengundi'
Pendek kata, semua anasir yang menolak kepemimpinan PAS sekarang bergabung atas nama parti baru untuk menentang parti Islam itu.

Tetapi mereka semua selama ini penyokong setia Pakatan Rakyat, malah sejak pilihan raya umum 1999 lagi.

Gabungan pecahan-pecahan PAS, PKR dan Ikram inilah yang dikatakan "harapan baru".

Sebab itu gerakan parti baru ini tidak memberikan nilai tambah, misalnya akibat perpecahan Umno pada 1987 (munculnya Parti Semangat 46) dan 1998 (lahirnya PKR), tetapi hanya berebut-rebut khalayak pengundi pembangkang sedia ada.

Yakni, pecahnya undi pembangkang tetapi tidak mengaut undi BN.

Oleh itu, kita boleh menjangkakan persaingan tiga penjuru yang sengit antara parti baru dengan PAS dan BN, khususnya di kawasan-kawasan luar dan pinggir bandar.

Jika PKR masuk dalam "gabungan baru", atau Pakatan Rakyat 2.0 tajaan bersama DAP dengan parti baru ini, bolehlah diduga pertembungan tiga penjuru juga tidak dapat dielakkan antara BN, PKR dan PAS.

Gabungan baru
Sebabnya, jika PKR bersama "gabungan baru" itu dan gabungan ini pula berpakat menentang PAS, parti Islam itu berasa ia dikhianati oleh PKR.

Jika dua senario ini berlaku, pertandingan tiga penjuru bukan hanya PAS dan parti baru tetapi juga PAS dan PKR.

BN dan Umno, yang tertekan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), bolehlah bernafas lega melihat perpecahan serius pembangkang.

Selain keuntungan bagi Umno, yang pernah dijadikan sasaran kempen pembangkang 'Asalkan Bukan Umno' (ABU) dalam pilihan raya umum 2013, DAP juga meraih manfaat besar atas krisis kelompok-kelompok pembangkang Melayu ini.

Sementara itu, akibat perpecahan pangkalan undi Melayu-Islam, ketiga-tiga parti pembangkang (PKR, parti baru dan PAS) yang paling rugi.

DAP, yang yakin dengan kesetiaan pengundi bandar, akan terus mengekalkan tapak pengaruhnya.

Kelihatan jelas, DAP tidak rugi apa-apa, malah menguntungkan untuk bekerjasama dengan parti baru yang, antara lain, tidak mahu meneruskan agenda hudud PAS.

Jika PKR mendatangkan masalah kepadanya, DAP boleh menggunakan parti baru untuk berdepan dengan parti Anwar Ibrahim.

Kita sedang melakar senario barisan pembangkang yang diketuai oleh DAP, sementara barisan parti kerajaan diketuai oleh Umno.

Apakah pengundi Melayu yang konservatif, termasuk kelas menengah mereka di pinggiran bandar, boleh menerima permainan "politik baru" pembangkang?



PAS masuk jerat DAP, G18 ganti PKR?
 Fathi Aris Omar      10 Jul 2015, 10:55 pagi     
Selepas sambutan Hari Raya minggu depan, kita mungkin tidak mendengar lagi ledakan mercun pembangkang.

Kita sebaliknya akan mendengar letupan meriam dan ledakan bom serangan bertubi-tubi antara tiga parti ini.

Sejak beberapa bulan lalu, khususnya menjelang dan selepas muktamar PAS, kita hanya mendengar mercun politik pembangkang. Bingit dan membingungkan.

Namun tiga keputusan penting yang ditangguhkan selepas Aidilfitri bakal mencetuskan ledakan besar, jika tiada jalan damai, tanda kehancuran lengkap Pakatan Rakyat.

Ledakannya itu permulaan krisis pembangkang sehingga pilihan raya umum nanti – kalaulah tiada langkah meredakannya.

Tiga keputusan penting tersebut:

(a) sama ada PAS benar-benar menolak atau menerima semula DAP,

(b) sama ada G18, atau serpihan PAS, berjaya mendirikan parti baru, dan

(c) apakah hasil tekanan DAP ke atas PKR di Selangor, Pulau Pinang dan Sarawak mencetuskan ketegangan baru.

Dalam pengamatan awal penulis:

(a) PAS cenderung memutuskan hubungan dengan DAP seperti usul muktamar walau tetap bersama PKR.

Sumber-sumber PAS, setakat ini, membayangkan ia tidak akan berundur daripada usul Dewan Ulama.

Jerat DAP mengena
Keputusan ini ibarat ledakan awal yang mengakibatkan rantaian letupan-letupan berikutnya.

Dengan menolak DAP, PAS seolah-olah termasuk dalam jerat yang dipasang DAP.

PAS termakan provokasi mengikut 'game plan' DAP tanpa disedarinya. G18 mungkin tidak perasan atau sengaja buat-buat tidak nampak.

Keputusan PAS ini sebagai reaksi balas terhadap sikap DAP tetapi tindakan dua parti ini menggagalkan Pakatan Rakyat.

Selain memutuskan hubungan dengan presiden PAS Abdul Hadi Awang atas alasan beliau "tidak jujur", provokasi DAP itu termasuklah memutuskan hubungan dengan PAS di Sarawak dan Sabah.

Yakni, DAP memang mahu memutuskan hubungan dengan PAS di peringkat nasional tetapi ia harus menunggu senario sesuai untuk bertindak.

Dengan usul perpisahan itu, Dewan Ulama memberikan pucuk dan ulam kepada DAP.

Dengan cepat sahaja, DAP menyambar peluang itu dengan mengumumkan Pakatan Rakyat "sudah mati". Serentak, DAP sendirian mengisytiharkan "gabungan baru", atau Pakatan 2.0, dengan G18.

Sikap DAP ini bukan setakat itu, ia malah mendesak PKR di Selangor mengambil pendirian memihak kepadanya tetapi PKR enggan.

Cara beberapa wakil rakyat DAP memainkan isu kod berpakaian di Selangor boleh ditafsir dalam konteks serangannya pada pimpinan PKR.

Setelah beberapa kali mendesak PKR di belakang tabir, DAP sendiri mengumumkan kematian Pakatan Rakyat di Pulau Pinang baru-baru ini.

Yakin dengan kesetiaan pengundi bandar, DAP tidak risau berpisah dengan PAS kerana G18 boleh dipergunakan untuk melebarkan pengaruhnya di kawasan Melayu dan kawasan pinggir bandar, yang selalunya ditandingi PAS dan PKR.

DAP berasa ia tidak rugi apa-apa, malah menguntungkan untuk bekerjasama dengan parti baru G18 yang, antara lain, tidak mahu meneruskan agenda hudud PAS.

Malah, jika PKR mendatangkan masalah kepadanya, DAP boleh menggunakan G18 untuk berdepan dengan parti Anwar Ibrahim.

Apatah lagi, beberapa pemimpin utama PKR, khususnya yang bermasalah dengan PAS, menyokong usaha G18 dan DAP.

DAP sedang bersiap sedia menguasai sepenuhnya barisan pembangkang atau, jika terdesak, bergerak sendirian.

Bagi DAP, di sinilah peranan strategik parti baru G18 yang belum disedari oleh penyokong-penyokong PAS yang anti kepada kumpulan proulama.

DAP perkuda 'Gelombang Baru'
(b) Keputusan PAS menolak DAP sesuai pula dengan persiapan G18, serpihan PAS yang akrab dan bergerak sejalan dengan DAP, yang mahu mengumumkan parti baru.

Keghairahan mereka mengkritik PAS dan bergerak di kawasan-kawasan "jebon" kini jauh lebih aktif berbanding sebelum muktamar.

Seolah-olah mereka lebih rela membentuk parti baru daripada menang pemilihan PAS!

Apatah lagi idea parti baru sudah muncul sejak krisis menteri besar Selangor selepas Aidilfitri tahun lepas lagi.

Kalau kita perhatikan betul-betul, G18 dan DAP bersama beberapa kerat pemimpin PKR menyokong "gabungan baru" yang asalnya dari ketumbukan sama sejak krisis tersebut bermula.

Kumpulan itu kini ingin dikenali dengan slogannya 'Harapan Baru', bukan lagi G18, bagi menggambarkan ia mendapat sambutan meluas penyokong Pakatan Rakyat dan orang ramai.

Ia akan dilancarkan di Perlis selepas Aidilfitri dengan menampilkan beberapa tokoh popular, seperti mufti, ahli akademik dan profesional Islam.

Mereka berharap 'Harapan Baru' mencetuskan semacam gelombang masyarakat bagi menutup imej asal mereka sebagai kumpulan bekas pemimpin atasan PAS yang tewas dan kecewa.

Tetapi setakat ini "gelombang" itu gagal dicipta, malah hanya berebut-rebut dengan pangkalan sokongan (support base) sedia ada pembangkang.

Malah, tokoh-tokoh "baru" yang dijangka menyertai 'Harapan Baru' sudah sedia dikenali sebelah kaki mereka bersama pembangkang!

Sama ada G18 sedar atau tidak ia sedang dipergunakan oleh DAP, mereka senada dalam mengkritik dan menolak PAS.

PAS-DAP bertembung
(c) Susulan perkembangan (a) dan (b) itu, DAP dijangka mahu terus menekan PKR untuk mendapatkan konsesi lebih besar di Selangor.

Usaha itu sudah beberapa kali dicuba oleh pemimpin-pemimpin DAP, termasuk dari peringkat pusat.

Namun PKR selama ini enggan menunaikan konsesi itu kerana sikap DAP yang tidak meraikan mereka di Pulau Pinang.

Malah, penulis ini difahamkan, DAP mengambil sikap "pecah dan perintah" beberapa pemimpin PKR dalam pentadbirannya.

Mereka yang sedia tunduk kepada gaya "politik tokong" DAP diberikan keutamaan. Sementara mereka yang enggan 'kowtow' pada telunjuk DAP digertak untuk disisihkan.

Kerenggangan DAP-PKR belum begitu ketara di dua negeri ini.

Tetapi keretakan awal semakin ketara antara PKR dan DAP di Sarawak apabila parti yang selalunya bergerak di bandar didakwa ingin merampas kerusi-kerusi PKR di pedalaman.

Jika tiada jalan keluar, dua parti ini akan bertembung dalam pilihan raya negeri Sarawak dalam masa terdekat.

Krisis di Sarawak sedikit  sebanyak mempengaruhi hubungan DAP-PKR di Semenanjung.

Sedar nasibnya yang terhimpit dan bakal ditelan DAP, PKR melancarkan jelajah 'amanat presiden', juga selepas Aidilfitri.

Dengan latar tiga keputusan (a) hingga (c), kita akan berdepan politik nasional yang lebih mendebarkan, selain isu sejauh mana perdana menteri dapat bertahan selepas didakwa mengambil RM2.6 bilion daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Isu 1MDB yang menggugat nilai mata wang dan ekonomi negara tidak dapat dimanfaatkan oleh pembangkang jika perpecahan DAP-PAS diikuti pula kerenggangan DAP-PKR.

Dengan kemunculan parti baru pula, "gabungan baru" ini tidaklah membawa "harapan baru", malah ramuan kemusnahan pembangkang seumpama 2004.

Namun, jika semua pemimpin pembangkang, termasuk serpihan PAS, menyedari betapa ruginya permainan politik mereka, mungkin "jalan damai" masih boleh dirintis.

Walau jalan damai ini semakin hari semakin berliku dan mungkin sudah terputus seperti patahnya arang.

Dilema dan penyakit parti baru Islam
 Fathi Aris Omar      25 Jun 2015, 1:35 tengahari     
Kononnya, 65 peratus penyokong PAS akan bersama kumpulan "profesional" yang ingin menubuhkan parti Islam baru.

Kononnya lagi, jika parti Islam baru ini bertanding tiga penjuru dengan PAS dan Umno, parti baru ini boleh menang!

Kononnya, saat ini, Umno berada dalam keadaan yang sangat merosot.

Jika pilihan raya umum diadakan sekarang, dengan pelbagai isu seperti GST dan 1MDB, Umno hanya menang lebih 40 kerusi parlimen!

Beginilah garis berhujah untuk mengolah persetujuan semua agar parti baru ini dapat diwujudkan.

Dan, lebih lucu lagi, projek menubuhkan parti baru ini kelihatan lebih ghairah dijayakan berbanding kempen memastikan pemimpin "profesional" menang dalam pemilihan PAS awal bulan ini.

Pemimpin-pemimpin ini yang kelihatan tidak bersatu sebelumnya, yang tidak menduga perancangan rapi dan "serangan hendap" aliran pro-Abdul Hadi Awang, tiba-tiba menyedari mereka masih popular dan masih mendapat dukungan.

Namun, ada beberapa masalah konteks dan latar peristiwa yang mengaburi projek parti baru Islam "inklusif" tersebut.

Pertama, ia akan dianggap sarang pemimpin yang tewas, kecewa dan takut tidak dapat bertanding lagi dalam pilihan raya umum nanti (melalui tiket PAS).

Bayangan agenda DAP
Maksudnya, mereka ini golongan "opportunis" (penting diri) yang tersisih dan patah hati tetapi tidak cerdik dalam politik sehingga tidak menduga diserang hendap sebegitu rupa oleh kumpulan "ustaz muda" (istilah saya, neo-Taliban).

Kedua, parti baru ini muncul dalam seruan DAP ingin menubuhkan "gabungan baru" pembangkang tanpa PAS.

Yakni, inisiatif ini selalu dibayangi oleh agenda tersembunyi DAP, sebuah parti yang dimomokkan sebegitu rupa (betul atau salah) sehingga tidak membantu citra positif kumpulan aliran "profesional" PAS.

Ketiga, parti baru Islam ini kemungkinan besar tidak mengutamakan agenda hudud, syariah dan Negara Islam seperti mana sikap DAP yang menolak agenda yang sudah menjadi darah daging PAS.

Sekali lagi, parti baru ini akan dianggap kowtow pada DAP. Tanggapan seumpama ini merosakkan imej parti baru sebelum ia ditubuhkan!

Keempat adalah justifikasi asas kewujudan parti baru ini berbanding PAS. Apakah keistimewaannya dan di mana silapnya PAS sehingga harus ada satu lagi parti Islam?

Jika tidak kemas, rasional tapak kewujudannya akan dipertikaikan banyak pihak, khususnya kenapa perlu parti lain sewaktu PAS dirasakan "tidak menyeleweng".

Orang nampak, PAS "tidak buat salah apa-apa" kecuali mahukan hudud dan golongan "profesional" ini tewas. Maka, kenapa perlu sebuah parti baru?

Latar peristiwa pergaduhan PAS-DAP dan kaitan DAP dengan pemimpin aliran "profesional" menjelang muktamar akan diungkit-ungkit untuk melemahkan asas kewujudannya.

Berebut penyokong
Kelima, dan yang paling penting, apa nilai tambah yang parti baru ini boleh sumbangkan kepada barisan pembangkang?

Atau, ia hanya memecahkan lagi kesatuan pembangkang selepas PAS dan DAP mencetuskan karenah politik yang memecahkan Pakatan Rakyat?

Mari kita teliti: Apa bezanya parti-parti Tengku Razaleigh Hamzah (1990) dan Anwar Ibrahim (1999) berbanding parti baru Islam?

Tengku Razaleigh dan Anwar memecahkan ketumbukan "gerombolan" Umno. Mereka menggugat dan menyerang Umno dari dalam dan merobek-robek keutuhan parti itu, tonggak pemerintahan BN.

Oleh itu, Tengku Razaleigh dan Anwar memberikan "nilai tambah" kepada barisan pembangkang.

Nilai tambah ini menjadikan Ku Li dan Anwar "gadis manis" yang mahu cepat-cepat dipinang oleh parti-parti tradisi, PAS dan DAP. Seperti "nilai tambah" PBS kepada pembangkang menjelang pilihan raya umum 1990.

Tetapi kewujudan parti baru Islam ini dilihat hanya perebutan pengkalan sedia ada pengikut pembangkang, termasuk PKR dan PAS.

Jadi, persaingan PAS-DAP yang membawa kelahiran parti baru Islam tidak ubah seperti permainan bongkah-bongkah Lego.

Jumlah bongkahnya kekal sama (malah mungkin berkurangan akibat penyokong yang kecewa), hanya rekaan Lego sahaja diubah-ubah.

Tawaran nilai tambah
Apa lagi daya tarik parti baru ini untuk meluaskan pengkalan penyokong pembangkang? Badan-badan bukan kerajaan (NGO) Islam dan bukan Islam? Dari mana mereka datang?

Beberapa hari lalu, Anwar mengeluarkan kenyataan: "Saya percaya bahawa pembangkang, setelah disusun semula dengan kekuatan baharu termasuk NGO-NGO, akan muncul bersatu dan lebih kuat selepas ini."

Tetapi sedarkah beliau bahawa mana lagi NGO yang beliau boleh harapkan? Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) atau Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM)?

Semua NGO itu, termasuk bukan Melayu, pernah menyokong beliau dan pembangkang sejak 1998 lagi!

Jadi, di mana "nilai tambah" parti baru? Daripada PERKASA, ISMA atau Pekida? Daripada Belia 4B, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) atau persatuan-persatuan bekas pelajar sekolah berasrama penuh?

"Nilai tambah" yang saya maksudkan itu seumpama dampak dan krisis yang dicetuskan oleh gelombang (ulang: gelombang) Tengku Razaleigh dan Anwar, khususnya di awal-awal krisis menjelang pilihan raya 1990 dan 1999.

Dua tokoh nasional itu, yang berpengalaman luas dalam kerajaan dan berkedudukan kanan dalam parti pemerintah utama, menubuhkan parti baru selepas disingkirkan.

Tetapi siapa tokoh-tokoh parti Islam baru ini yang boleh mencipta gelombang nilai tambah pada pembangkang?

Parti baru ini (termasuk G18 atau PasMa) tidak mencipta nilai tambah. Semua kumpulan ini hanya berebut-rebut constituents (penyokong) pembangkang sedia ada; yang boleh disalurkan oleh PKR dan DAP.

Malah, parti baru ini bukan sahaja meretakkan lagi hubungannya dengan PAS, dan berpotensi menimbulkan konflik dengan PKR!

Sebabnya sasaran kerusi dan pangkalan sokongan parti baru itu, khususnya di pantai barat Semenanjung, hampir-hampir sama dengan PKR.

Undang kebencian
Tetapi sebenarnya nilai tambah ini lebih kritikal saat ini berbanding zaman Tengku Razaleigh dan era Anwar (dulu) untuk menampung kekurangan undi (offset) akibat perpecahan dengan PAS.

Jika nilai tambah ini tidak wujud – atau wujud minimal sahaja, tidak mencipta "gelombang" – parti baru Islam itu sedang melakukan eksperimen besar.

Eksperimen yang boleh menggugat Kelantan, Selangor dan gagal menafikan majoriti dua pertiga BN di Parlimen – yakni "penanda aras" pencapaian terbaik pembangkang.

Risiko ini sangat besar kepada pembangkang.

Risiko ini, jika gagal, akan dimaki habis-habisan oleh penyokong Pakatan Rakyat, khususnya "generasi Ini Kalilah" 2013, yang kini makin keliru dan kecewa dengan permainan politik berlebihan pembangkang.

Parti baru Islam itu didirikan atas kemarahan mereka kepada PAS tetapi eksperimen mereka itu boleh menyebabkan hilangnya Selangor atau BN mendapat semula dua pertiga.

Apakah wajar risiko sebesar itu diambil demi menyelamatkan beberapa tokoh pemimpin PAS yang tewas baru-baru ini?

Apakah wajar risiko sebesar itu diambil demi melayan sikap DAP yang menolak PAS?

Bagaimanapun, wujud atau tidak wujud parti baru, ada satu lagi dilema yang semua pembangkang harus bertanya secara jujur dan strategik: Apakah PAS mampu mempertahankan kerusi-kerusinya, khususnya di pantai barat Semenanjung?

Apakah PAS dapat dipercayai untuk meyakinkan kita bahawa ia masih relevan sebagai pembangkang, sekali lagi khususnya di pantai barat Semenanjung?

Rakyat lahirkan Pakatan, perlukah mandat baru?

 Fathi Aris Omar      20 Jun 2015, 1:00 tengahari     
 
Pada mulanya rakyat, kemudian pakatan. Dan kini gabungan itu kembali kepada asal, sebelum 8 Mac 2008, cuma tanpa rakyat membuat keputusannya.

Dengan keghairahan DAP mengulangi "kematian" Pakatan Rakyat dan penegasan semula PAS untuk bersama gabungan itu, senario ini tidak ubah Barisan Alternatif + DAP.

Bukan kerana PKR memilih PAS dengan meninggalkan DAP seperti pra-Mac 2008. Tetapi kerana, seperti kenyataan Anwar Ibrahim, PKR bersetuju pada intipati kerjasama untuk menunaikan hasrat rakyat walau menyedari gabungan "rasmi" sudah tiada.

Pada masa yang sama PKR sendiri enggan dipaksa mengikut telunjuk DAP yang mendesak parti itu menerimanya atau PAS.

Hakikatnya PKR, khususnya demi kelangsungan pentadbirannya di Selangor, tidak berupaya memilih satu rakan kongsi sahaja; PKR memerlukan kedua-duanya.

Gabungan dua parti saja (DAP + PKR saja atau hanya PAS + PKR) akan menggugat "keseimbangan kaum" dalam barisan wakil rakyat.

Hal ini cuba dielak oleh PKR kerana istana atau pengundi tidak selesa dengan komposisi yang tidak seimbang itu.

Pakatan pada asalnya "stabil" hasil perimbangan komposisi tersebut yang membolehkannya mencabar BN, model utama gabungan politik negara.

Namun, Pakatan tidak dibentuk akibat kerelaan semula jadi ketiga-tiga parti ini duduk bersama tetapi desakan pengundi pada 2008, khususnya Cina dan penduduk kota di pantai barat Semenanjung.

Akibat keputusan bersejarah itu, jatuhnya lima negeri + Wilayah Persekutuan ke tangan pembangkang, kerajaan tiga parti itu terpaksa bergabung dengan nama "Pakatan Rakyat", label yang lucunya datang dari mulut presiden PAS, Abdul Hadi Awang.

Malas ambil peduli

Jadi asas gabungan ini sebenarnya hasrat pengundi, bukan kehendak asal tiga parti ini. Hasrat ini melahirkan marriage of convenience atau "kahwin paksa" yang sekarang nampak jelas kekekokannya.

Rakyat kini hanya pemerhati bisu, yang kadang-kadang risau bercampur malas ambil peduli.

Jika rakyatlah pendesak utama gabungan ini, wajarkah rakyat menentukan semula bentuk kerjasama ini dalam satu pilihan raya negeri, misalnya Selangor?

Walaupun MCA dan Mahfuz Omar, bekas pemimpin kanan PAS, mendesak pilihan raya negeri, penulis tidak nampak banyak parti akan bersetuju dengan idea tersebut.

Selain masih lagi berbaki hampir tiga tahun sebelum pilihan raya umum ke-14, kedua-dua gabungan dilanda masalah serius.

BN, atau lebih tepat lagi Umno di bawah Najib Abdul Razak, sedang bergelut dengan isu cukai baru GST, 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan desakan Dr Mahathir Mohamad.

Dalam keadaan ini, Umno tentunya tidak ingin mempertaruhkan nasibnya di Selangor. Dr Mahathir tentu akan berkubu di Shah Alam, bukan untuk membantu menteri besar Mohamed Azmin Ali, tetapi memastikan tanggapannya selama ini benar: bahawa Najib akan menyebabkan Umno kalah teruk!

Apatah lagi ura-ura Dr Mahathir selama ini tidak mempunyai masalah dengan Azmin, tidak sekronik masalahnya dengan Anwar.

MCA, MIC dan Gerakan masih belum pulih. Malah krisis MIC terus berlarutan. Jadi, empat komponen BN tidak bersedia menempuh pilihan raya negeri.

Begitu juga PAS yang beriya-iya masih mahu bersama Pakatan. Jika gelagat politiknya dianggap tidak menyenangkan pengundi Cina dan Melayu bandar, apakah ia masih mahu menguji kehebatannya di Selangor?

PKR pula, khususnya Azmin yang belum setahun memegang jawatan menteri besar, tentu tidak mahu pilihan raya negeri. Lagi pula, krisis PAS-DAP bukan masalah PKR, begitulah yang mereka fikir.

Tiada siapa suka pilihan raya

DAP pula tidak boleh beriya-iya mengikut seleranya sendirian, termasuk menyokong idea pilihan raya negeri.

Pengundi Pakatan sendiri, termasuk Cina moderat, mungkin akan marah dan meninggalkannya kali ini. Ia akan dilihat cuba bermain sendiri dan "punca" krisis Pakatan berlarutan.

Penyokong MCA dan Gerakan, malah penyokong PKR dan PAS, menunggu saat-saat DAP dilihat cuba bergerak solo dan angkuh.

Mereka boleh bergabung sentimen menentang parti yang selama ini sentiasa dicop "chauvinist" dan kadang-kadang "terlebih yakin diri".

Senario ini tidak akan menguntungkan DAP sewaktu ia cuba memancing pengaruh Melayu "progresif" di bandar-bandar pantai barat.

Jika sultan pula selesa dengan pentadbiran baru di Selangor, selepas Abdul Khalid Ibrahim, baginda juga tentu tidak mahu membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pendek kata tiada siapa suka pilihan raya negeri kecuali segelintir pemimpin PAS yang kecewa, yang menggunakan hujah ini untuk menempelak kumpulan pro-Abdul Hadi yang selama ini berasa DAP tidak diperlukan dalam Pakatan.

Akhirnya, jika tiada faktor luar jangka, tiga parti "Pakatan Rakyat" dipaksa oleh keadaan-keadaan politik untuk terus bekerjasama di Selangor dan Pulau Pinang seperti Mac 2008.

Akan wujud dua barisan pembangkang?
 Fathi Aris Omar      12 Jun 2015, 9:45 pagi     
 
ANALISIS PAS berada dalam kemelut besar selepas muktamar minggu lalu. Kemelut dalamannya itu merebak menjadi sebahagian dilema utama Pakatan Rakyat.

Kemelut dalaman itu pula termasuklah di kalangan barisan baru kepemimpinan PAS dan juga golongan "profesional" yang tewas.

Mereka yang menang terpaksa memikirkan bentuk kerjasama "baru", yakni hanya bersama PKR tetapi tidak bersama DAP.

Seolah-olahnya PAS ingin kembali ke era menjelang pilihan raya umum 1990 yang menyaksikan dua barisan pembangkang, Angkatan Perpaduan Ummah (APU) dan Gagasan Rakyat.

Satu gabungan parti Melayu-Islam (misalnya PAS dan Parti Semangat 46) dan satu lagi gabungan parti bukan Melayu-Islam (seperti DAP dan PBS).

Kelihatannya PAS sedang membayangkan PKR dan Anwar Ibrahim sebagai penghubung dua gabungan ini seperti mana Semangat 46 dan Tengku Razaleigh Hamzah pernah mengetuai kedua-dua APU dan Gagasan Rakyat.

Lagi pula, seperti Tengku Razaleigh, Anwar juga bercita-cita menjadi perdana menteri. Maka kedua-dua tokoh ini nampak hanya gabungan parti pembangkang boleh mendekatkan imaginasi mereka itu dengan Putrajaya.

'Menukar kuasa'
Dalam konteks Pakatan, hanya Anwar dan PKR ghairah menjual imaginasi menukar kuasa di Putrajaya.
Anwar pula bekas tokoh kanan BN bertaraf mantan timbalan perdana menteri, seperti Ku Li bekas seorang tokoh kanan Umno dan mantan menteri kanan. Maka jualan imaginasi itu sesuai dengan reputasi mereka.
Pemimpin-pemimpin PAS dan DAP tidak ada pengalaman, reputasi, sejarah dan karisma seumpama Tengku Razaleigh atau Anwar. Malah, DAP dan PAS hanya mampu berangan-angan ke Putrajaya atau tidak berupaya menjual imaginasi ini kepada rakyat.
Lagipun, PAS dan DAP bukanlah sepenuhnya parti "nasional" kerana kedua-duanya tidak mampu menyeberangi wilayah pengundi satu sama lain. Dari segi retorika dan wacananya, DAP dan PAS sebetulnya dua parti yang "mutually exclusive".

DAP menguasai kawasan bandar, khususnya bukan Melayu, dan PAS pula menguasai kawasan Melayu, khususnya pinggir dan luar bandar.

Dengan kata lain, PAS dan DAP masing-masing tidak memerlukan sokongan satu sama lain. Malah, kedua-dua parti tradisional ini boleh berdiri sendiri walaupun tanpa PKR yang masih muda dan lemah.

'Punca utamanya hudud'
Maka tidak hairanlah, tanpa mempedulikan PKR, dua parti ini bertegang urat menolak satu sama lain atas alasan mahu menjaga kepentingan pengundi masing-masing. Punca utamanya hudud. DAP percaya pengundi bukan Islam tidak mahu hudud, sementara PAS pula yakin idealismenya itu sesuai dengan pengundi Islam.

Lalu PKR dan Anwar, yang kini terpenjara, berada dalam dilema besar dengan pergeseran dua parti ini yang bermula bertahun-tahun sebelum perubahan barisan kepemimpinan PAS minggu lalu.

PKR, atau lebih tepat lagi Anwar, selama ini memainkan peranan sebagai "gam" yang melekatkan PAS dengan DAP. Atas politik konsensus dan akomodatif Anwar, dua parti ini dapat diajak duduk semeja sejak pemecatannya pada 1998.

Malah pemenjaraan Anwarlah dan episod Gerakan Reformasilah yang mendorong kemunculan baru pemimpin PAS, sebahagiannya tewas minggu lalu atau dipinggirkan lebih awal.

Pemimpin-pemimpin Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM, atau sekarang ini Pertubuhan Ikram Malaysia) bersama sejumlah tokoh lagi dan penentang-penentang BN menyertai PAS, Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan Parti Keadilan Nasional (sebelum bergabung dengan PRM).

Krisis politik 17 tahun lalu bersama barisan pemimpin baru PAS, dan dampak politik Anwar, melahirkan slogan-slogan "PAS for all", negara berkebajikan dan juga kelab penyokong bukan Islam dalam PAS. Malah calon wanita PAS juga muncul gara-gara anjakan paradigma parti itu susulan krisis 1998.

Pergolakan politik Melayu
Barisan Alternatif berjaya menggabungkan DAP dan PAS selepas September 1998. Buat pertama kali dua parti ini dipaksa oleh situasi politik semasa untuk bergabung tenaga walaupun Gerakan Reformasi itu lebih dekat dengan pergolakan politik Melayu (yakni PAS, Umno dan PKR, bukannya DAP).

Walau DAP kemudian keluar daripada Barisan Alternatif gara-gara agenda hudud dan Negara Islam PAS, pengundi tidak lagi takut pada gabungan pelbagai kaum yang ditawarkan oeh pembangkang. Malah gabungan ini, di tahap-tahap tertentu, dianggap "viable force" untuk perubahan politik.

Keyakinan pengundi ini ditunjukkan dengan jelas pada pilihan raya umum 2008 dan 2013, satu rekod sejarah yang luar biasa. Gejala ini menakutkan BN.

Sejak 1990, keputusan dua pilihan raya umum lalu mengganggu "teori pendulum BN"; yakni BN boleh menang besar (semula) selepas kemenangan pembangkang.

Tetapi keputusan pemilihan PAS di muktamar lalu menukar barisan pemimpin "progresif" ini. PAS bereksperimen dengan agenda hudud pula seperti gabungan Abdul Hadi Awang-Dr Haron Din mengujikaji manifesto Negara Islam pada pilihan raya umum 2004.

Bersama tekanan kerajaan sejak tangkapan bawah akta ISA pada 2001 yang mula melumpuhkan Gerakan Reformasi dan disusuli peletakan jawatan Dr Mahathir Mohamad, PAS kalah teruk walau membawa agenda hudud dan negara Islam.

Umno pancing PAS?
Jika Dr Mahathir berjaya menukar Najib Abdul Razak dengan perdana menteri baru kali ini, bersama tekanan Akta Hasutan dan tangkapan tokoh pembangkang sejak setahun lalu, politik PAS dan Pakatan Rakyat saat ini seolah-olah sedang mengulangi kecelakaan 2004.
Umno pula memancing PAS untuk meneguhkan agenda Islamnya walaupun terpaksa menggugat gabungan pembangkang. Lebih lucu lagi kertas dasar usaha-usaha bekerjasama dengan Umno ini dibahaskan di peringkat Dewan Ulama PAS sejak kemenangan besar Pakatan Rakyat pada Mac 2008!

Sama ada Abdul Hadi terlibat secara mendalam atau tidak dengan idealisme "kerajaan perpaduan" dengan Umno, para penasihat di sekelilingnya (termasuk ustaz-ustaz muda yang saya gelarkan "neo-Taliban") memainkan peranan penting, termasuk menyusun gerakan pembersihan pemimpin aliran "profesional" yang pro-Pakatan dalam muktamar lalu. Mereka dituduh "jebon Anwarinas yang liberal sekular" lagi "munafik haraki".
Selain itu, Abdul Hadi sendiri mula kelihatan tidak sejalan dengan kepemimpinan Anwar dalam projeknya "16 September", menaikkan calon perdana menteri yang lain (Tengku Razaleigh, bukan Anwar) menjelang pilihan raya umum Mei 2013 dan krisis menteri besar Selangor. Padahal Anwar selama ini bertindak sebagai "gam" antara PAS dan DAP.
Saya dimaklumkan lobi untuk menafikan kepemimpinan Anwar turut dijalankan di kalangan tokoh-tokoh gerakan Islam di luar negara, termasuk Timur Tengah.

Malah dalam kes liwat Anwar baru-baru ini, Abdul Hadi tidak lagi merujuk buku lamanya "Qazaf: Mangsa Fitnah" (terbitan Jabatan Penerangan PAS pada 2001). Abdul Hadi meninggalkan Anwar yang pernah dibelanya sejak episod  Gerakan Reformasi.
'Senjata makan tuan'
Tentang politik flip-flop Abdul Hadi ini, seorang penulis kontroversi Utusan Malaysia menyifatkannya sebagai "senjata makan tuan".

Berikut saya kutip artikel Astora Jabat di kolumnya pada Mac 2001: "Sebenarnya banyak senjata yang digunakan oleh PAS menjadi senjata makan tuan. "Senjata makan tuan Abdul Hadi sendiri bukan Amanat [Haji Hadi] itu saja, ....

"Senjata makan tuan Abdul Hadi yang terbaru ialah buku beliau yang berjudul 'Qazaf: Mangsa Fitnah'.

"Buku yang kata pengantarnya ditulis Anwar itu memaparkan gambar Anwar mata lebam sebagai kulit."

Nampaknya firasat penulis kontroversi ini, yang sering dijadikan sasaran kecaman penyokong PAS, terlebih dahulu dapat menghidu politik kacau-bilau Abdul Hadi berbanding kita semua.

Ringkasnya, perubahan kepemimpinan PAS minggu lalu sarat dengan kemelut politik yang   kusut-masai. Ia bukan sahaja berat untuk ditanggung Pakatan Rakyat, khususnya PKR, tetapi juga mereka yang menang dan tewas. Seolah-olahnya benarlah pepatah Melayu: menang jadi arang, kalah jadi abu.

Tetapi ke mana pula arah mereka yang tewas? Tubuhkan parti baru? Keluar PAS dan sertai DAP atau PKR? Atau, terus berjuang dalam PAS sehingga pemilihan parti akan datang?


PAS masih belum sedar diri

 Fathi Aris Omar      11 Jun 2015, 5:33 petang     
 
Abdul Hadi Awang kekal sebagai presiden bersama timbalannya yang baru, Tuan Ibrahim Tuan Man. Keputusan ini tidak mengejutkan dan tidak pula menunjukkan perubahan mendalam PAS.

Perubahan besar ini tidak akan difahami jika kita hanya meneliti sikap PAS setakat krisis Selangor tahun lalu atau pergeseran apa yang dinamakan kumpulan "profesional" berdepan geng "ulama".

Krisis yang pada asalnya kabur ini bermula daripada beberapa persoalan: (a) wajarkah PAS bekerjasama dengan parti lain, (b) jika bekerjasama, wajarkah PAS meleburkan idealismenya dan menjadi rakan kongsi yang sama rata atau dominan, dan (c) kerjasama yang bagaimana dapat meningkatkan idealisme Islam ala PAS.

Untuk menyimpulkan PAS menolak kerjasama, saya kira hujah ini dangkal. Di sepanjang sejarahnya, PAS atau aliran-aliran utama dalam parti itu (termasuk semangat Hizbul Muslimin di Semanggol, Perak) selalu percaya pada kerjasama.

Tetapi ada satu masalah pokok dalam rumusan kerjasama PAS. Ia yakin hanya parti itu layak mengetuai atau mendominasi kerjasama atas keyakinan mereka bahawa idealisme Islam itu menuntut kerjasama seumpama itu.

Yakni, Islam mesti memimpin atau menguasai, maka parti Islam yang "sebenar-benarnya" mestilah dalam posisi menguasai rakan-rakan kongsinya.

Beginilah cara berfikir golongan ulama dalam PAS dan mereka yang bersetuju dengan aliran ini. Lihat cara Dewan Ulama merumuskan usul memutuskan kerjasama dengan DAP tetapi mahu kekal dalam Pakatan Rakyat (yakni dengan PKR sahaja).

Dan, mereka yang percaya pada aliran inilah yang menguasai barisan kepemimpinan baru PAS dalam pemilihan parti minggu lalu.

Terpaksa menurut kata
Tetapi realpolitik pula tidak meletakkan PAS dalam kedudukan itu, yakni posisi seperti Umno menguasai, dan sekali gus "independen", dalam kerjasama itu.

PAS tidak berada dalam posisi dominan dan mendominasi yang membolehkannya berbuat sesuka hati, malah selalu harus menurut kata rakan-rakannya seperti BN, Parti Melayu Semangat 46, DAP atau PKR.

Lihat tokoh nasional yang memimpin gabungan itu. Dulu Abdul Razak Hussein, kemudian Tengku Razaleigh Hamzah dan kini Anwar Ibrahim; bukannya presiden-presiden PAS.

Malah situasi politik yang mendorong kerjasama itu pula bukanlah akibat pengaruh besar atau kehebatan PAS tetapi faktor lain di luar parti itu.

Di mata pengundi pula, karisma atau idealisme pemimpin PAS sering dibayangi oleh Abdul Razak, Tengku Razaleigh dan Anwar yang mengetuai – secara zahir atau simbolik – gabungan-gabungan tersebut.

Jadi, orang ramai tidak nampak apa perlunya presiden PAS memimpin sesuatu gabungan atau hanya idealisme Islam ala PAS layak menguasai gabungan.

Maka, atas senario politik itu dan tanggapan umum ini, PAS awal-awal lagi kehilangan tapak moral atau keabsahan politik yang membolehkannya dictate sesuatu gabungan.

Tetapi ia tetap memaksa-maksa diri untuk berbuat demikian, seolah-olahnya tidak sedar diri statusnya yang tidak cukup memikat bagi melayakkan berada di posisi itu.

Penguasaan melalui agenda umum
Namun, golongan pemimpin yang tewas ini sedar posisi lemah, atau secondary role, PAS dan mahukan "tempoh peralihan" melalui kerjasama tersebut.

Sebagai Islamis fundamentalis, golongan yang digelar "profesional" ini juga mahu PAS dalam posisi menguasai gabungan dan mereka juga sedar Islam sebagai idealisme yang menguasai (dictate) manusia dan negara.

Tetapi berbeza dengan aliran proulama yang melihat persoalan penegakan hukum dengan segera (hudud, misalnya), aliran profesional percaya pada tempoh transisi ini melalui agenda umum seperti negara berkebajikan, "PAS for all", pemulihan demokrasi, tadbir urus yang baik dan pembanterasan rasuah.

Aliran ulama percaya semua ini – negara berkebajikan, "PAS for all", pemulihan demokrasi, tadbir urus yang baik dan pembanterasan rasuah – boleh dicapai melalui penegakan syariah Islam, termasuk hudud dan Islamisasi meluas.

Aliran ulama percaya penegakan hukum perlu disegerakan kerana Islam sudah sempurna dan idea ini sudah lama tertangguh. Tiada lagi kompromi atau akomodasi.

Sementara golongan profesional melihat sebaliknya. Mereka percaya agenda-agenda ini – negara berkebajikan, "PAS for all", pemulihan demokrasi, tadbir urus yang baik dan pembanterasan rasuah – perlu diutamakan kerana ia sebahagian proses akomodasi atau kompromi dalam gabungan.

Tiada keabsahan politik
Pakatan Rakyat tidak melihat hudud sebagai keutamaan, maka demi meraikan gabungan, penegakan hukum itu wajar ditangguhkan.

Penangguhan itu berpunca daripada kesedaran aliran profesional pada hakikat bahawa PAS awal-awal lagi tiada tapak moral atau keabsahan politik untuk membolehkannya menguasai gabungan.

Aliran profesional melihat PAS belum berada dalam "primary role" gabungan, ia tidak berada dalam posisi dominan dan mendominasi yang membolehkannya menentukan arus utama gabungan.

Jika dilihat pada sirah Nabi, satu sumber ideologi gerakan politik Islam, posisi PAS bukan di peringkat memerintah seperti era Madinah tetapi masih di peringkat mencari-cari gabungan sesuai antara period Mekah dan Madinah.

Dalam sirah, proses ini tidak begitu jelas kerana ia berlaku di dua lokasi berbeza. Tetapi dalam konteks demokrasi hari ini, konsep hijrah Mekah-Madinah ini berlaku di tempat yang sama, yakni Malaysia!

Atas kekeliruan tafsir ideologi yang kabur inilah, maka kita temui dua aliran besar dalam PAS: Satu kita namakan aliran proulama dan satu lagi aliran bukan ulama yang mahu teruskan kesatuan dengan Pakatan Rakyat.

Ke manakah arah dua aliran tersebut selepas ini?

PAS 'menang boo, jawatan tergadai'

 Fathi Aris Omar      26 Sep 2014, 10:00 pagi     
 
ULASAN PAS tidak percaya kemerosotan undinya di Pengkalan Kubor angkara tiada sokongan Pakatan Rakyat. Bagi pemimpinnya Tuan Ibrahim Tuan Man, penambahan majoriti BN disebabkan gula-gula politik dan pengundinya dari luar daerah yang tidak kembali ke Kelantan.

Kerusi ini kembali ke tangan PAS atas alasan PKR tiada jentera di situ; lagi pula ia "dipinjamkan" kepada sekutunya. Demikian hujah PAS sewaktu PKR di Kelantan dan Terengganu berasa disisihkan dalam gabungan itu.

PAS percaya jika ia bertanding, ia boleh mengurangkan majoriti BN di kubu kuat Umno itu. Namun, akhirnya kerusi yang ditagihnya tidak membawa kesan positif, sebaliknya menjadi beban pula.

Apa pun hujahnya, seperti disuarakan oleh naib presiden PAS, ia tidak dapat mengelakkan tanggapan umum bahawa kemerosotan itu juga boleh disandarkan pada reputasi PAS dan Pakatan yang tercalar dalam krisis Selangor.

PAS juga dilihat tidak istiqamah dengan keputusan awalnya dalam krisis menteri besar - walaupun muktamar di tengah-tengah krisis tersebut berslogankan 'Terus Beristiqamah'.

Presidennya Abdul Hadi Awang mengambil tiga keputusan yang "pelik" – daripada mencalonkan presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail dan timbalannya Azmin Ali kepada "akur keputusan istana" tetapi kemudian mencalonkan wakil-wakil rakyatnya sendiri.

Sikap sebegini mengundang kecaman dari dalam PAS dan menjolok keberangan penyokong Pakatan Rakyat, khususnya yang pro-Anwar Ibrahim dan setia bersama keputusan calon tunggal PKR.

Kritikan terbuka atau tersembunyi dari dalam PAS pula dijawab kumpulan pro-Abdul Hadi, termasuk sorakan mengejek 'boo' di muktamar, yang memanaskan lagi pertemuan di Batu Pahat. Sikap presiden dan riuh-rendah muktamar itu mencalarkan lagi imej parti.

Biarpun pada awalnya ‘Langkah Kajang’ itu ciptaan PKR bagi menyelesaikan persaingan dalaman, akhirnya perseteruan ketara muncul dalam PAS. Seolah-olahnya PKR hanya terkena selesema untuk beberapa hari tetapi jangkitan itu menyebab PAS demam kura berbulan-bulan.

Nasihat timbalan mursyidul am
Untuk mengurangkan kepanasan muktamar, tokoh ulama parti Haron Din berpesan pada perwakilan agar tidak membangkitkan isu-isu yang hanya boleh merekahkan lagi luka-luka di antara dua kumpulan dalam PAS.

Sebagai menghormati nasihat timbalan mursyidul am, perwakilan pada sebelah petang Jumaat dan barisan pemimpin atasannya pada esoknya cuba meredakan keadaan.

Namun, muktamar itu berakhir dengan ucapan ‘barua’ dan ‘broker’ Abdul Hadi. Ucapan yang pedas dan penuh emosi itu mengejutkan banyak pihak, dalam dan luar PAS, sekali gus membuka semula rekah dalam yang dideritai parti itu.

Sasarannya pada watak-watak utama yang pro-PKR sewaktu cuba menyelesaikan krisis Selangor, termasuk dua wakil rakyatnya Saari Sungib (Hulu Kelang) dan Hasnul Baharuddin (Morib).

Panas dengan serangan Abdul Hadi, Saari mencabar presidennya agar mendatangkan bukti beliau telah dibeli oleh PKR untuk menandatangani akuan bersumpah (SD) menyokong Dr Wan Azizah.

Mantan tahanan ISA itu turut mengulangi pendirian sedia dipecat daripada PAS jika Abdul Hadi mempunyai bukti beliau telah dibeli dan bersedia didakwa di mahkamah jika benar terlibat dalam politik wang.

"Saya tak tahu apa maksud 'broker', 'barua', dicuri dan dibeli. Jadi PAS perlu jelaskan sebab sebelum ini tidak pernah dengar saya ini 'broker' atau 'barua' dan dibeli," Saari dipetik sebagai berkata.

"Dibeli ini, adakah dengan cara jual beli pantun macam itu, atau pun melibatkan wang ringgit?"

Hari ini, PAS kehilangan satu jawatan exco (daripada empat kepada tiga) pula akibat jumlah kerusinya yang "berkurangan".

Walaupun pemimpin PAS mendapat jawatan timbalan Speaker, menggantikan kuota PKR, menariknya kehilangan kerusi exco itu disabitkan dengan jumlah kerusi PAS kini dianggap "13 saja."

Umum melihat PKR yang paling kecil jumlah kerusinya di Selangor setelah Khalid Ibrahim dipecat – daripada 14 kepada 13 kerusi. Sementara DAP dan PAS masing-masing menguasai 15 kerusi dalam pilihan umum Mei 2013.

Namun, dalam krisis menteri besar Selangor, kuasa PAS berjaya dikurangkan sedikit kerana dua wakil rakyatnya, Saari dan Hasnul, dianggap telah berpaling menyokong calon PKR, Dr Wan Azizah.

PAS di barisan tercorot
Jadi, apabila presiden PKR berundur di saat-saat akhir dengan memberi laluan kepada timbalannya Azmin, maka menteri besar baru ini dengan "automatis" mengambil sokongan 30 wakil rakyat pro-Dr Wan Azizah. Malah, termasuk sokongan tambahan daripada "13 wakil rakyat PAS" yang menolak tokoh wanita itu.

DAP, yang selama ini mengekori sahaja keputusan PKR dalam krisis menteri besar, dengan senang hati menerima perubahan saat akhir rakan kongsinya – ia turut menggantikan Dr Wan Azizah dengan Azmin.

Akibat perpecahan dalaman PAS, PKR muncul sebagai parti terutuh di Selangor – dan sekali gus melayakkan ia mendapat empat kerusi exco dan jawatan eksekutif teratas.

Sewaktu PAS masih mengubat luka perpecahan akibat krisis Selangor, PKR pula cuba merapatkan saf dengan membawa masuk tokoh-tokoh muda yang berseberangan kepentingan.

Bekas timbalan speaker Nik Nazmi Nik Ahmad, yang bertembung dengan Amirudin Shari (Batu Caves) dan dianggap pendukung geng 'Langkah Kajang', dibawa bersama pasukan Azmin.

Berbeza dengan PAS, proses "penyatuan" dalam PKR lebih mudah dicapai kerana parti itu bertelagah kebanyakannya di belakang tabir media. Kelicikan kumpulan Azmin dan silat politik lawannya Saifuddin Nasution Ismail atau Rafizi Ramli tidak disorot media.

Tetapi tokoh-tokoh PAS melancarkan perang terbuka di media; pengikut masing-masing bersuara lantang di muktamar dan media sosial.

PKR juga berkongres di tengah-tengah kegawatan krisis Selangor tetapi ia tidak menjadikan persidangan itu pentas melancarkan perang terbuka. Malah kongres PKR dianggap lesu dan beku gara-gara sebilangan perwakilan dan penyokong membantah kumpulan 'Langkah Kajang'.

Dalam babak-babak ini, PAS muncul di barisan tercorot, sementara PKR mengatasi rakan kongsinya. Tetapi semua ini bukanlah lambang kepintaran politik PKR.

Semua ini lambang kesasauan politik PAS yang sarat dengan intrig politik dan pertarungan maut yang tidak selesai-selesai sejak 2008 – persaingan “kumpulan Erdogan” dan puak pro-ulama.

Persaingan sengit muncul setahun sebelum pemilihan tahun lepas dan muktamar di Johor baru-baru ini dijadikan pula gelanggang baru untuk persaingan jawatan di pemilihan berikutnya.

Jangan salahkan PKR apabila ia mengambil lebih kuasa di Selangor – PAS harus muhasabah, perpecahan dalaman hanya menatijahkan jegela Pak Kaduk, ‘menang sorak, kampung tergadai’.

Apakah Anwar akan akur desakan Hadi?

 Fathi Aris Omar      15 Ogs 2014, 4:10 petang     
Selain peranan istana, krisis Selangor berlanjutan akibat kegagalan PAS dan PKR memutuskan calon menteri besar pengganti Khalid Ibrahim.

Malam tadi, PAS secara terbuka menolak Dr Wan Azizah Ismail sebagai calon menteri besar tetapi PKR terus berdegil untuk memajukan nama presidennya.

Pertemuan Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim di Kuala Terengganu awal minggu gagal angkara tiada persetujuan bersama antara dua parti utama Pakatan Rakyat ini.

Anwar, bersama Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail, berkeras inginkan Wan Azizah tetapi PAS pula menggesa parti itu mencadangkan dua nama lain selain presiden PKR kepada pihak Istana.

Bagi PAS, sikap Anwar dan Saifuddin ini sejenis “kata dua” yang mematikan rundingan dan pilihan dalam kerjasama Pakatan Rakyat.

Maka, tersebarlah desas-desus bahawa Abdul Hadi hanya bertemu Anwar selama 15 minit, bukannya sejam seperti diuar-uarkan, kerana tidak senang dengan kedegilan PKR.

Alasan sebenar PAS menolak Wan Azizah tidak dapat dipastikan. Setiausaha Agungnya Datuk Mustafa Ali malam tadi berkata ia bukan kerana Wan Azizah seorang wanita.

Namun, PAS juga dilaporkan berkata ia difahamkan Sultan Selangor tidak memperkenankan Wan Azizah.

Tetapi kini Wan Azizah berjaya menampilkan majoriti mudah apabila mendapat sokongan dua wakil rakyat PAS semalam, Hasnul Baharuddin (Morib) dan Saari Sungib (Hulu Kelang).

Dengan sokongan itu, beliau mendapat 30 sokongan dalam 56 wakil rakyat negeri itu.

'Curi' dua ADUN PAS
Namun, sokongan dua wakil rakyat PAS membawa implikasi lain. Di sisi PAS, dua wakil rakyat ini terang-terangan melanggar keputusan Majlis Syura dan kenyataan Abdul Hadi yang inginkan semua pemimpin parti menyokong Khalid.

Di sisi lain, PAS tentunya sangat tidak selesa dengan tindakan PKR “mencuri” dua wakil rakyatnya demi mempertahankan pendirian bahawa Azizah satu-satunya calon PKR untuk menteri besar.

Beberapa jam selepas pengumuman sokongan itu oleh Wan Azizah, Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub mengeluarkan kenyataan panjang – sebahagian bernada menyindir PKR dan Anwar.

Salahuddin mengingatkan bahawa Mursyidul Amnya Datuk Nik Aziz Nik Mat segera melucutkan jawatan menantunya dalam syarikat utama Kelantan kerana ada tohmahan “kronisme dan nepotisme.”

Walaupun tidak begitu ketara, selain dua perkataan itu, Salahuddin turut menyebut “pemujaan individu dalam parti” dan “sikap autokratik” – ungkapan-ungkapan yang selalunya dijadikan kritikan terhadap Anwar, termasuk mencalonkan Wan Azizah sebagai MB.

Salahuddin mengingatkan sejarah kejatuhan kerajaan PAS Kelantan dulu apabila “isu kronisme, nepotisme dan sikap autokratik” menguasai parti dan kepemimpinan negeri itu.

Beliau juga menggesa sikap kerjasama, rundingan dan persetujuan bersama – seolah-olah menjawab “kata dua” PKR yang mahukan hanya Wan Azizah.

“Sebegitu juga kita dalam proses memilih menteri besar. Perlu dihalusi bersama, perlu diskusi bersama dan perlu persetujuan bersama. Janganlah ada di kalangan kita mengambil pendekatan ‘pushing down into our throats'!

PKR berdegil
“Sekurang-kurangnya ada pilihan, agar yang terbaik diberi berkhidmat kepada rakyat,” tegasnya.

PAS hairan kenapa PKR berdegil untuk menaikkan Wan Azizah sewaktu partinya hanya meminta nama lain dicadangkan bersama presiden PKR.

“PAS boleh bersetuju untuk menyerahkan tiga nama, semua daripada PKR, termasuk Wan Azizah. PKR menolaknya mentah-mentah, siap ugut PAS lagi. PKR tetap mahu satu nama sahaja,” satu sumber parti itu memberitahu Malaysiakini hari ini.

Berdasarkan senario ini, apakah PAS akan tunduk pada desakan PKR? Atau, Anwar akan tunduk pada tuntutan Hadi jika PAS masih mahukan dua nama lain?

Sekiranya mesyuarat PAS pada Ahad ini bersetuju dengan desakan PKR, menamakan Wan Azizah sebagai satu-satunya calon menteri besar, apakah Istana bersedia menerimanya?

Jika Istana menolak Wan Azizah, seperti ramalan PAS, apakah PKR bersedia menamakan calon lain seperti permintaan PAS?

Walaupun Pakatan menguasai dua pertiga jumlah kerusi, krisis Selangor akan terus berpanjangan jika tiada persepakatan antara Hadi dan Anwar siapa calon terbaik pengganti Khalid.


Isunya kini, bukan PKR melawan Khalid tetapi pergeseran antara parti itu dengan PAS.

No comments:

Sebab-Akibat

Sebab-akibat antara elemen penting dalam ilmu sejarah. Pemikiran sebab-akibat ini penting bagi mengelakkan kita membuat ramalan dan andaian ...