Saturday, September 09, 2017

Dari Tesis Ke Anti-Tesis Gerakan Islam


Dalam berorganisasi, tanpa sifat sabar dan berjiwa besar, seseorang itu mudah kecundang. Apatah lagi dalam gerakan Islam, luka akan bernanah apabila merasai didalamnya hanya  ada kesucian yang palsu dan khayali. Maka, ingatlah dalam gerakan Islam, kita bukan hanya ketemui malaikat tetapi bersemuka dengan syaitan dan binatang yang bertopengkan agama. Berwaspada dan bersabarlah!!.
Maka bertemulah mereka budaya taksub, jumud, menguasai diri pengikut secara belebihan, berhujah agama dalam menghalalkan sesuatu perkara dan doktrinisasi dalam berjemaah. Mereka bertemu pemimpin dan ahli gerakan Islam yang fanatik dan ekstrem. Ingatlah kepelbagaian latar belakang dan pemikiran, akhlak dan sifat ahli itu bakal menguji kesabaran kita. Ia boleh meningkatkan jumlah pahala dan menambah dosa kita. Carilah pahala.
Keadaan ini bertambah parah di peringkat mahasiswa dan anak muda yang mencari identiti dan bersifat memberontak. Mereka mula melawan kepimpinan gerakan Islam.
Natijahnya, mereka telah bertindak:
1.       Keluar daripada gerakan Islam dan memusuhi gerakan Islam
2.       Keluar gerakan Islam dan diam tanpa berita.
3.       Tidak aktif tetapi masih menyokong atau simpatis gerakan Islam
4.       Kekal dalam gerakan Islam tetapi bersikap kritis dan memberontak terhadap kepimpinan dalam gerakan Islam.
Mereka mula bersikap anti-tesis terhadap gerakan Islam dari segi pemikiran, pengaulan, berpakaian dan lain-lain atas nama progresif dan reformasi. Sifat pragmatis dan liberal mula muncul atas nama rasional dan toleransi. Warak mula menipis. Perjuangan dulu mula ditentang. Kononnya atas nama insaf dan taubat.
***
Usrah itu alat
Usrah pula dilihat proses pembebalan. Usrah alat doktrinisasi. Jadi, Sekdem (Sekolah demokrasi-DAP) dan sekpol (Sekolah Politik-IKD) itu bukan alat doktrinisasi?.
Usrah itu adalah alat tarbiah, islah diri dan ukhwah. Pengalaman manusia dalam usrah berbeza bergantung kepada keupayaan naqib, anggota usrah dan suasana serta silibus usrah itu sendiri. Jadi, kita akan memperolehi pengalaman bermakna sama ada baik dan buruk.
Usrah sendiri tidak cukup. Ia perlu dikayakan dengan talaqi berguru kitab turath dan baca buku. Baca buku pelbagai bidang termasuk aliran yang bertentangan dengan pandangan Islami kita sendiri.
***
Kita sebagai Individu Mukmin dan Bertaqwa
Walaupun sesuatu sifat yang diamalkan oleh ramai orang itu akan membudayakan sesebuah organisasi, unsur peribadi masih boleh menjadi benteng dalam menghadapi budaya organisasi. Disitulah letaknya kualiti darjah iman dan taqwa seseorang individu mukmin dimana suasana dan budaya tidak mempengaruhi darjah iman dan taqwa mereka.
Walaupun ada sesetengah pemimpin dan ahli gerakan Islam bermulut celupar atau bermain-main dengan isu takfir, kita masih dengan darjah iman dan taqwa yang tinggi bersedia menolak permainan yang boleh menghumbankan kita ke lembah dosa.
Kita berjuang bukan kerana nama gerakan Islam, aliran tertentu atau pemimpin tertentu. Kita berjuang IKHLAS kerana ALLAH dan untuk ISLAM. AKHLAK dan CARA kita adalah CARA NABI. FIKIR kita juga FIKIR cara NABI bukan CARA pemimpin kita yang tidak maksum.
Apabila kita bertekad dengan perjuangan ISLAM, kita berjuang dengan apa yang Islam hendak tanpa mengira nama organisasi yang kita wakili atau tidak, apatah lagi organisasi kita tidak mampu melaksanakannya. Contoh, hukum hudud, kita sokong bukan kerana PAS tetapi Islam. Berkenaan cara yang khilaf, perlu kita menghormati perbezaan tersebut. PAS mahu laksanakan hudud, IKRAM atau UMNO mesti sokong bukan kerana PAS tetapi kerana ALLAH.
***
ILMU Bukannya Membuta-Tuli
Kita aktif dalam organisasi dengan hujah ILMU bukannya mengikut membuta tuli. ILMU kita dipandu oleh AL-QURAN dan AS-SUNNAH, IJMA’ ULAMAK dan QIYAS.
Buang ego dan bersabar dengan keputusan SYURA dan ARAHAN PEMIMPIN selagi berhujah dengan ilmu yang dipandu oleh AL-QURAN dan AS-SUNNAH, IJMA’ ULAMAK dan QIYAS.
***
Solusi
1. Setiap pemimpin atau ahli gerakan Islam yang terlibat sepenuh masa perlu mencari sumber pendapatan sendiri bukannya mengharapkan sumber pendapatan daripada gerakan Islam. Jangan mencari keuntungan peribadi melalui gerakan Islam. Perkara ini banyak menyumbang kepada keciciran dan kekecewaan dalam perjuangan. Ekoran kek ekonomi.
2. Kelompok pelbagai latar belakang dan pemikiran terutamanya daripada latar belakang agama dan profesional perlu berbincang dan memutuskan keputusan bersama secara syura. Hormatilah keputusan syura.
3. Pokok asasi berjemaah ialah istiqamah dalam melakukan solat berjemaah di masjid. Ini sifat asasi seorang individu mukmin dalam gerakan Islam. Tak berjemaah tanpa istiqamah solat berjemaah.
4. Utamakan Islam daripada kepentingan politik. Pragmatis dalam politik menyebabkan politikus muda terjerumus dalam lubang nafsu yang mahu kemenangan dengan matlamat menghalalkan cara sehingga meninggal amanah dan tanggungjawab dalam menegakkan Islam dalam kehidupan manusia. Kemenangan itu perlu tetapi ia bukan segala-galanya. Redha Allah dicari walaupun dalam kekalahan. Itu keyakinan kita.
5. Buah aqidah, fekah dan tasawuf adalah akhlak. Utamakan akhlak dan ukhwah.
6. Lazimi membaca dan merujuk al-Quran. Amalkan membaca kita hadith terutamanya karangan Imam An-Nawawi. Antara kitab Hadith 40 dan Riyadhus Salihin. Kitab Muntakhab Ahadis karangan Maulana Muhammad Yusuf al Kahdalawi juga sesuai dibaca dan diamalkan. Baca hadith melembutkan hati dan motivasi dalam beramal.
7. Ikhlas perjuangan kerana Allah SWT. Kita akan dapat apa yang kita niatkan. Tetapi tidak berguna tanpa ikhlas kerana Allah.
8. Berwaspada dengan sifat taksub pemimpin dan mengikut kelompok berasaskan pengaulan kerana ia banyak meninggalkan kebenaran. Taksub pemimpin dan ketaatan berdasarkan pengaulan banyak memecah-belahkan gerakan Islam.

9. Bersedia menjadi PENGIKUT bukannya mengejar jawatan dan kuasa dalam gerakan Islam.

No comments:

Sebab-Akibat

Sebab-akibat antara elemen penting dalam ilmu sejarah. Pemikiran sebab-akibat ini penting bagi mengelakkan kita membuat ramalan dan andaian ...