Thursday, January 13, 2011

Turunkan Jeneral-Jeneral Lama?

Anak Muda
Jantan tenaganya
Keras suaranya.

Suara anak muda
Persis ayam bapak
Membangunkan kita dikala awal suboh.

Mahunya
Sentiasa juara, menang dan betul

Anak muda
Tiada salah kecuali melangkah
Kerna akal diekor, semangat di dada

Anak Muda
Semangat memanas badan
Haba menghasilkan kokok yang terhebat
Terasah taji perjuangan
Tapi tak sedar terberak
di jalanan

Saya tersenyum lebar di atas komen dalam sebuah blog agar jeneral-jeneral lama PAS agar berundur. Jeneral-jeneral lama merupakan para pengasas kepimpinan ulama pada tahun 1980an. Pada ketika itu kebanyakan jeneral lama itu kelompok anak muda yang berusia 20an dan 30an. Kini anak muda tersebut tersebut berusia 50an dan 60an.

Tradisi gerakan di dunia dibangkitkan oleh anak muda. Rasulullah SAW semasa dibangkitkan sebagai Nabi dan Rasul pada usia 40an. Satu usia yang matang bagi anak muda. Pada usia 40an, semangat ‘pepsi-cola’ biasanya dirasionalkan oleh akal dan budi.

Tokoh-tokoh gerakan sememangnya terdiri daripada anak muda, al banna, Anwar Ibrahim, maududi, al fateh, che guevara, fidel castro, mao tse tung, Haji Hadi, sukarno, suharto, jose Rizal antara sekelumit contoh.

Memang anak muda adalah tiang perjuangan sesebuah gerakan.

Siapa yang tak kenal Asri Muda dan isterinya pada zaman anak muda. Pejuang kental dalam pelbagai pertubuhan.

Ketika usia senja terutamanya melebihi usia 60an, tenaga idea dan perasaan mula berubah. Rasulullah SAW diwafatkan pada usia 63 tahun dan al Banna dimatikan dalam usia muda. Ketika usia menjangkau 60an, tokoh gerakan atau jeneral lama yang sejati wajar menyerahkan kepada anak muda yang bersemangat seperti mereka seketika dulu. Jika tidak, mereka akan ditumbang. Ini liku-liku tradisi dunia, mahu yang segar dan perkasa.

Mudahnya, berundurlah ketika berusia 63 tahun. Berundurlah tanpa disuruh.

Apabila dah tua, memang berpenyakit walaupun pengaruh masih tebal. Antara penyakitnya ialah cinta akan keluarga, suasana kondusif dan ketumpulan tenaga idea.

Saya bukanlah orang yang bersetuju akan pelantikan Arif Fahmi dan ustaz zaharudin muhammad dalam posisi penting parti dan kerajaan kerana ia membuka pintu fitnah dimana unsur kroni-nepotisme akan dijaja. Tetapi saya masih berbaik sangka kepada para jeneral lama kerana mereka mempunyai kebijaksanaan dan keputusan atau sebab tertentu yang mungkin gagal difikirkan oleh kita. Pun begitu, saya tidak melabel atau mengutuk para jeneral secara terbuka. Kalau saya nak kritik para jeneral lama, saya akan kritik dan kutuk mereka dalam muktamar, mesyuarat dan pertemuan tertutup dengan cara yang paling bersopan.

Para jeneral lama!! Jangan ulangi politik seluar dalam(baca:politik kroni dan nepotisme) ala Dato Asri dan UMNO. Imam Hassan al banna sendiri pernah ditohmah kerana pelantikan ahli keluarga dalam jawatan penting dalam Ikhwanul Muslimin. Said Ramadhan sebagai setiausaha peribadi, Ustaz Abdul Hakim Abidin sebagai Setiusaha Agung dan Abdul Rahman al Banna sebagai AJK utama Ikhwan.

Anwar Ibrahim juga jeneral lama yang mula ‘keliru’ dalam landasan pemikirannya. Islamisme beliau semakin herot dalam aksi politiknya. Usianya sudah 60an sebaris dengan usia para jeneral lama PAS, pun begitu pengaruhnya masih tebal kerana aura beliau memang teristimewa.


PAS beruntung, semasa kepimpinan ulama digagas, anak muda seperti Khalid Samad dan Husam Musa mendokongi parti. Anak muda berharaki seperti mereka yang tidak mengikut Anwar semasa sahabat-sahabat muda mereka mula membuntuti Anwar. Kini usia golongan anak muda seusia Khalid Samad dan Husam Musa hampir juga tamat tempoh seperti para jeneral lama. Usia golongan seusia mereka masih berpeluang berkuasa tidak sampai 10 tahun lagi. Mereka tentu bersedia nak menjadi golongan lama.

Sebagai cadangan, usia kepimpinan tertinggi kecuali ahli Majlis Syura Ulama diwajibkan bawah usia 63 tahun. Dan Presiden hanya boleh memegang tampuk kekuasaannya selama 12-15 tahun sahaja. Mursyidul Aam pula di bawah usia 70 tahun. Ustaz Mahdi Akef memberi laluan kepada Muhammad Badie sebagai Mursyidul Aam Baru. Pertukaran pimpinan yang masih hidup bukanlah masalah. Cuma pemimpin tersebut jangan bersifat macam Lee Kuan Yew dan Tun Dr Mahathir yang menganggu organisasi yang ditinggalkan.

Adakah jeneral jeneral lama akan senasib dengan Dato Asri?

Allah SWT sahaja yang tahu.

Apapun, anak muda akan terus berkokok selagi tidak tua dan kiamat. Moga kokokkan tidak bersama tahi yang terberak ekoran kepanasan semangat badannya.

No comments:

Sebab-Akibat

Sebab-akibat antara elemen penting dalam ilmu sejarah. Pemikiran sebab-akibat ini penting bagi mengelakkan kita membuat ramalan dan andaian ...