Thursday, January 13, 2011

Kepimpinan PAS Baru: Gelombang Perubahan yang Meresahkan?

Kaum Muda PAS, Kaum Ulama dan kelompok muda jemaah Islam (Suara Islam, ABIM, IRC tetapi didominasi oleh ABIM) telah menumbangkan rejim Dato Asri dalam PAS pada tahun 1980an. Polisi Dato Asri, sifat tikam BN, politik ‘seluar dalam’(baca: anak beranak) dan kemahuan perubahan kepada yang lebih Islami oleh kaum muda antara sebab gelombang perubahan secara revolusi dalam kepimpinan PAS.

Kumpulan pro ulama menjatuhkan rejim Dato Asri dengan cara bersih iaitu menggunakan muktamar yang sah mengikut perlembagaan PAS. Ramai pemimpin daripada kem Dato Asri tewas. Walau bagaimanapun, Dato Asri menggunakan kuasa Presiden untuk melantik orang yang tewas ke jawatan penting parti. Setiap perubahan yang mahu dilakukan mesti melalui muktamar bukannya menggunakan kuasa mutlak Presiden.

Saya melihat kepimpinan PAS sekarang terbahagi beberapa kelompok. Pertama, Pendokong awal Gagasan Kepimpinan Ulama. Saya membahagikan kelompok mengikut generasi bukannya kelompok idea atau tokoh. Kelompok pertama terdiri daripada 2 penanda aras. Penanda aras pertama dalam lingkungan usia 60-70 tahun sekarang. Penanda aras kedua, lingkungan usia 50-59 tahun. Penanda aras kedua terdiri daripada ahli-ahli muda dalam Dewan Pemuda PAS ketika itu.

Kelompok kedua, lingkungan usia 40an. Generasi ini bukanlah perintis gelombang kepimpinan ulama tetapi berada pada zaman pemantapan tarbiyyah berasaskan aqidah perjuangan. Pada era 1980an ini juga, mehnah perjuangan jemaah Islam cukup mencabar. Pihak pemerintah mengunakan pelbagai pendekatan kekerasan. Paling teruk ialah pembantaian kampung Memali dan syahidnya Ustaz Ibrahim Libya. Ada dalam kalangan mereka mendapat didikan luar negara. Antara tokoh pimpinan dalam kelompok ini ialah Dr Mujahid Yusof.

Kelompok ketiga, lingkungan usia 30an. Lingkungan awal terpengaruh dengan kesinambungan zaman tarbiah akhir 1980an. Manakala lingkungan akhir pula terpengaruh dengan zaman reformasi pada tahun 1998.

Kelompok keempat, lingkungan usia 20an. Lingkungan ini lebih ‘liberal’ fikrah perjuangannya. Kemajuan akses maklumat melalui internet menjadikan komunikasi dan penyebaran informasi begitu pantas. Keselesaan zaman telah menyebabkan ramai dalam kalangan mereka mempunyai unsur-unsur material, aku lebih hebat, pangkat dan glamour menguasai diri. Pelbagai idea yang mewujudkan kem-kem pejuangan tertentu sehingga mengimport fahaman luar ke dalam jemaah. Fahaman luar yang rencam menyebabkan keliberalan dalam pemikiran dan penampilan serta berbudaya. Tarbiyah golongan ini longgar dan sistem pentarbiahan pada lingkungan ini agak tempang.

Momentum Perubahan yang Mendatar:

Persaingan Tradisi Kelompok Jemaah Islam. Ramai anak muda terpengaruh dengan ahli-ahli jemaah yang kononnya ingin membawa perubahan dalam jemaah. Kebanyakan mereka ialah golongan profesional yang berbakat tetapi tiada pengaruh besar dalam jemaah. Jawatan mereka kebanyakkan hasil lantikan bukan dipilih kerana tiada sokongan akar umbi jemaah[sejak kebelakangan ini generasi muda terutamanya mantan mahasiswa mula menyokong golongan ini]. Oleh sebab itu, mereka mengambil jalan mudah menonjolkan diri kepada anak muda lulusan varsiti sekaligus menarik sokongan mantan penggerak mahasiswa untuk bersama mereka.

Mereka bukanlah musuh tetapi mempunyai ‘faham’ , pendekatan dan pendapat yang berbeza. Apabila anak muda lepasan varsiti terlopong dengan gagasan mereka, anak muda ini mula bersifat lebih ekstrem dengan mengkritik tanpa idea membina, bahkan mengutuk secara terbuka pimpinan jemaah. Konsep beradab dan tsiqah terhadap kepimpinan senior tidak ditekuni.

Ingatlah anak muda, golongan ini adalah kelompok tradisi yang telah lama bersaing untuk mendapat kuasa dalam jemaah. Mereka terdiri daripada penanda kedua kelompok pertama iaitu mantan pimpinan jemaah seperti Suara Islam dan IRC. Mereka cuba mengurangkan dominasi kaum muda PAS dan juak ABIM dalam kepimpinan jemaah. Timbalan Yang Dipertua(ustaz fadzil nor), Naib Yang Dipertua(ustaz nakhaei dan ustaz abdul hadi), Setiausaha Agung dan bendahari agung (syed ibrahim syed abdul rahman) dikuasai oleh juak ABIM manakala kaum muda PAS seperti Mustafa Ali dan Subky Latif menguasai Dewan Pemuda PAS.Yang Dipertua dan Ketua Dewan Ulama dijawat oleh kaum ulama.

Cubalah kaji sejarah pertandingan jawatan parti oleh tokoh-tokoh jemaah tersebut. Siapa yang mencabar mereka. Dan persaingan ini dijangka berterusan.
Ketiadaan Ikon Alternatif. Dalam usaha mengadakan perubahan kepimpinan dalam jemaah, pihak yang pro perubahan harus menyediakan ikon-ikon alternatif. Sejarah membuktikan, kelompok muda PAS hampir mencalonkan Ustaz Yusuf Rawa untuk pertandingan Yang Dipertua, kemudian jawatan lain dibarisi oleh tokoh-tokoh berbakat seperti ustaz abdul hadi, ustaz nakhaie, ustaz fadhil nor dan mustafa ali. Ini barulah dikatakan citra perubahan dimana kita menyediakan barisan kepimpinan alternatif.

Idea perubahan hanya dimenangi oleh Tukang Cakap-Tukang Tulis. Perubahan yang dicanang hanya dilontar oleh golongan yang terlebih sayang dan terlebih bijak dalam PAS. Ia tidak bersifat merakyat. Kutukan dan kritikan dalam media tidak cukup. Idea perubahan haruslah merakyat dan menjadi suara perwakilan di muktamar. Biar muktamar memutuskan peralihan kuasa dan perubahan yang diingini. Golongan pro perubahan harus menjadi pimpinan yang berpengaruh dan berjiwa rakyat. Tidak cukup berbual kedai kopi. Apabila anda menjadi pimpinan, barulah ada kuasa membulatkan keputusan.
Kita faham tentang semangat, perasaan dan kehendak anak muda. Perjuangan Islam memang terhasil daripada gerak-idea anak muda. Kepimpinan ulama dalam PAS terhasil daripada sokongan anak muda. Perjuangan REFORMASI akan longlai tanpa anak muda. Cuma anak muda perlu bersabar dalam bertindak. Kemenangan ini bukan semestinya pada zaman kamu, berjuanglah dengan penuh sabar dan beradab.

Menurut TGHH, tidak cukup pemimpin muda bertenaga sahaja tetapi pemimpin mestilah berpengaruh(rujuk Harakah13-16 Disember 2010). Tanpa kekuatan pengaruh, pemimpin yang muda bertenaga dan beridealis tidak akan ke mana. Anak muda terutamanya ulama pelapis harus membina imej dan pengaruh dalam komuniti. Menurut Dato Husam Musa, ulama perlu diasuh menjadi ikon masyarakat setempat dan perlu mempunyai pusat pengajian agama dalam sesebuah komuniti(pertemuan tertutup sempena Muktamar Pemuda PAS Sabah 2009). Kita cuba melihat kejayaan media PAS membina imej ‘tok guru’ kepada ustaz Nik Aziz dan ustaz hadi (malangnya ia boleh menjadi pemujaan terlampau dan membenih budaya taksub). Ustaz Hadi selaku ulama pelapis pada tahun 1980an mempunyai ‘kubu’ kuliahnya di Masjid Rusila, Terengganu dan Masjid Mujahidin di Selangor. Impak imej dan pusat pengajian ini juga berlaku dalam al Arqam dimana ustaz Ashaari melakukan kuliah pengajian fardu ainnya di sungai Penchala.

Anak muda harus meluruskan perjuangan kepada landasan yang betul. Perjuangan bukanlah berasaskan pandangan popular tetapi pandangan yang benar. Jangan menganggap kepimpinan hari ini dihinggapi kelemahan ekoran usia mereka dan anggapan mereka tidak popular. Ingatlah, selagi tokoh-tokoh dakwah memimpin jemaah dengan aturan al Quran dan hadith, wala’lah kepada mereka walaupun mereka dihina dan dikutuk orang. Dugaan yang paling besar bagi seseorang pengikut ialah kesanggupan mengikut arahan pimpinan.

Pasca TGHH yang Meresahkan: Persaingan Kuasa

PAS mempunyai ramai pimpinan berbakat untuk meneruskan legasi kepimpinan ulama. Cuma, PAS harus mencipta suasana persaingan kuasa secara sihat dimana jawatan dipertandingkan secara syura. Jika tidak dapat diselesaikan, proses pertandingan secara ‘demokrasi’ harus diadakan.

Persoalan yang timbul, adakah ada kem-kem berasaskan tokoh atau kumpulan dalam PAS dan kesanggupan mereka yang kalah menerima kekalahan. Pengalaman pemilihan Dewan Muslimah cukup menarik, pertandingan hampir diadakan semua muktamar Dewan Muslimah. Bahkan, ada satu tempoh, setiap penggal ketuanya bertukar. Jika keterbukaan ini diamalkan, nescaya PAS tidak akan berpecah.

Kekurangan tokoh-tokoh berpengaruh yang merakyat seperti TGNA, TGHH dan TGFN dilihat merunsingkan ahli PAS. Dulu, orang menganggap PAS adalah Asri, Asri adalah PAS. Tetapi Dato Asri sendiri ditumbangkan dan muncul ramai pimpinan baru. Subky Latif pernah menulis pada tahun 1980an, orang yang wajar memimpin PAS selepas Dato Asri ialah Tuan Guru Haron Din, Dr Sanusi Daeng Mariok dan Anwar Ibrahim. Jika jawatan Presiden PAS dipegang oleh pemimpin yang tidak berpengaruh, jawatan ini akan terus dicabar. Sejauh manakah kuatnya pengaruh Ustaz Nasharuddin Mat Isa dalam menghadapi lawannya dalam pemilihan muktamar?.

Pengalaman Ikhwanul Muslimin, mereka melantik ahli Ikhwan yang merahsiakan identiti sebagai Mursyidul Aam iaitu Ustaz Hudaybi. Ikhwan mengalami pengolakkan dan perpecahan yang membersih Ikhwan daripada ahli-ahli yang tidak setia dan tidak setuju dengan pemilihan beliau. PAS sendiri berlaku perpecahan yang besar pada tahun 1982. Tokoh-tokoh utama seperti Dato Asri keluar parti dan muncul parti serpihan seperti BERJASA dan HAMIM. Menurut Dr Dzulkifli Ahmad, semua parti-parti politik ketika mengalami pemilihan dalam parti, akan juga sekaligus berdepan dengan keadaan dan situasi kedudukan dari segi perpaduan parti dalam keadaan yang paling lemah.Ekoran perpecahan itu, PAS mengalami kekalahan yang teruk dalam pilihanraya umum. Daripada situ, PAS bangkit perlahan-lahan melalui pentarbiyahan, penerangan dan polisi baru.

PAS sendiri dikejutkan dengan ‘fenomena keajaiban Nizar’ dimana beliau tiba-tiba muncul dengan kualiti diri yang baik dan berbakat. Tidak disangka PAS mempunyai ramai pemimpin berpotensi tetapi bertindak di sebalik tabir. Mereka banyak berfikir dan bekerja tetapi kurang menonjol diri dan kurang bercakap. Mereka akan tiba-tiba muncul untuk mengisi kemenangan.

Bagi penulis, PAS boleh menyerahkan penganti legasi pimpinan ini kepada perwakilan muktamar.

Kefahaman Konsep Kepimpinan Ulama
Setiap ahli jemaah harus menjernihkan kembali pengertian ulama. Ulama bukannya hanya lulusan agama tetapi insan yang berusaha untuk mendapat ilmu-ilmu keIslaman dan mengamalkannya secara istiqamah. Menurut Ir Khalid Samad, ulama selaku pengasas kepimpinan ulama pada tahun 1980an menyatakan golongan profesional yang memahami dan menghayati Islam juga diiktiraf sebagai ‘ilmuan Islam’ ataupun Ulama’. Namun, tafsiran ini tidak dipersetujui kerana orang seperti Dr Mahathir akan mengatakan dirinya juga seorang ulama. Maka, ukuran definisi ulama ialah mendapat pendidikan agama.

Pemimpin PAS seperti Tuan Guru Nik Aziz, Tuan Guru Yusuf Rawa dan Tuan Guru Fadhil Nor sering kali cuba menjernihkan definisi ulama daripada pendefinisian sempit dalam tulisan dan ceramah mereka. Manakala pimpinan seperti Tuan Guru Haji Hadi, Tuan Guru Haron Taib dan Tuan Guru Harun Din jarang sekali dilihat menyatakan pendefinisian ulama secara luas.

Langkah pertama meluaskan pendefinisian kepimpinan ulama ialah penjenamaan kembali Dewan Ulama. Dewan Ulama harus dikenali Dewan Ulama dan Intelektual seperti yang digagaskan oleh Tuan Guru Yusuf Rawa pada tahun 1983. Perubahan Dewan Ulama kepada Dewan Ulama dan Intelektual Islam juga bertujuan untuk memadukan Ulama dan intelektual Islam sekaligus menghapuskan jurang perbezaan keilmuan yang wujud di kalangan mereka dan mengadunkan ilmu serta pengalaman masing- masing dalam konsep, matlamat dan peranan ilmu dalam Islam sehingga dualisma yang memisahkan ilmu Syariat dan ilmu akliyyah itu dihapuskan.(kamaruddin Jaafar).

Langkah kedua ialah bersedia melantik ‘ulama profesional’ sebagai Presiden PAS. Jika dilihat Ikhwanul Muslimin, HAMAS, Partai Keadilan Sejahtera Indonsia dan Jamaati Islami, pimpinan mereka terdiri daripada ‘ulama profesional’. Dalam PAS, kita ada tokoh-tokoh yang dikategorikan ‘profesional ulama’ seperti Dr Dzulkifli, Dr Mujahid, Dr Mariah, Ir Saari Sunggip, Ir Mohd Nizar dan Dato Husam Musa. Paling beruntung, PAS mempunyai kader ulama professional pelapis yang mantap seperti Ustaz Mohd Ramadhan Fitri, Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman dan Ustaz Nazri Chik. Kader ini bukan sahaja ahli dalam bidang agama tetapi terdedah dengan dunia pengurusan perbankan dan professional.

Kita perlu bersedia menerima Presiden daripada bukan aliran agama. TG Nik Aziz pernah menyifatkan pejuang PAS adalah ulama. Katanya “Bagi saya pejuang Pas semua ulama, semua pejuang Pas ulama, baki (tinggal) lagi peringkat-peringkat”. Maknanya setiap ahli PAS dalam proses menjadi ulama. Ustaz Nasharudin Mat Isa pernah menyatakan kepimpinan ulama dalam bukan bersifat individu tetapi institusi. Walaupun Presiden PAS bukan beraliran agama, PAS masih di bawah kepimpinan ulama melalui penguasaan Majlis Syura Ulama dan Perlembagaan PAS.

Apapun mentaliti ahli dan pemimpin hendaklah berubah. Dan jika dilihat situasi semasa, kedua-dua langkah ini masih belum diterima lagi oleh kebanyakan ahli jemaah. Anak muda pro perubahan haruslah banyak berusaha untuk menerangkan idea perubahan dengan sabar dan penuh adab.

Perubahan Struktur Organisasi Jemaah

Perubahan struktur organisasi jemaah penting agar persaingan merebut jawatan secara terlalu agresif dapat dielakkan. Saya mencadangkan PAS menggunakan sistem pemilihan ala DAP atau gerakan mahasiswa 1970an dimana ahli Majlis Syura Ulama dilantik oleh perwakilan muktamar(9 orang), Dewan Ulama(3 orang), Dewan Muslimah(3 orang), Dewan Himpunan Penyokong PAS(3 orang dalam kalangan ulama) dan Dewan Pemuda(3 orang). Kemudian MSU bersidang untuk melantik Mursyidul Aam, Timbalan dan Naib dalam kalangan ahli MSU atau pemimpin yang tidak terpilih. Kemudian barulah MSU melantik Presiden dan AJK Pusat. Dengan ini sistem pemilihan PAS kelihatan lebih syura.
Sekarang, pelantikan Pengerusi Majlis Perhubungan Negeri terletak di bawah kuasa Presiden. Saya mencadangkan kuasa diberi kepada perwakilan semasa muktamar PAS peringkat negeri (cadangan telah dikemukakan oleh Dewan Pemuda PAS Pusat pada tahun 2009 tetapi tidak diterima oleh jawatankuasa Usul di bawah pimpinan Dato Mahfuz). Seperti pemilihan MSU, perwakilan akan memilih 5 orang ahli manakala setiap dewan-dewan dan bahagian akan menghantar 1 wakil. Kemudian, MPN akan memilih pengerusinya.

Solusi

Kerisauan kita terhadap kepimpinan PAS baru teramat perlu. Walau bagaimanapun kita tidak perlu menampakkan kerisauan itu di khalayak awam. PAS mempunyai ramai pemimpin pelapis yang berbakat dan berpotensi yang boleh dikedepankan. Masa depan PAS sangat cerah.

No comments:

Sebelum Loceng PRU 15 Melolong

 Sebelum Loceng PRU 15 Melolong a. Kerajaan 1. Kita perlu memahami bahawa kerajaan persekutuan pada hari ini berdiri atas sokongan para ahli...