Thursday, January 13, 2011

Jalur Radikal Dalam Jemaah Islam: Daripada Zaman Sayyid Qutb ke Zaman Tuan Guru Haji Hadi

Setelah kematian Imam Hassan al Banna, Ikhwanul Muslimin mengalami konflik kepimpinan apabila Imam Hasan al Hudaybi mengambil alih tampuk tertinggi Ikhwanul Muslimin. Ramai anggota utama Ikhwanul Muslimin dipecat dan mengundur diri ekoran sifat tidak berpuas dengan Mursyidul Aam yang baru.

Sayyid Qutb adalah ahli Ikhwan yang taat kepada Mursyidul Aam, Hasan al Hudhaibi. Beliau merupakan ideolog Ikhwanul Muslimin yang setaraf dengan pengaruhnya dengan Mursyidul Aam. Tetapi beliau tidak berusaha menjatuhkan kepimpinan al Hudaybi. Pemikiran Sayyid Qutb amat digemari oleh golongan muda sehingga ia membentuk jalur yang agak menentang arus perdana Ikhwan. Golongan muda jalur Sayyid Qutb ini sangat radikal sehingga Mursyidul Aam menganggap buah pemikiran radikal itu hanyalah pendapat peribadi beliau bukannya pemikiran rasmi Ikhwanul Muslimin. Setelah tahun 1965, sebahagian besar jalur keras dan radikal ini kembali ke pangkuan arus perdana Ikhwan.

Penyeksaan terhadap Sayyid Qutb sangat dahsyat. Penderitaan yang dialami ini antara faktor ideologi yang dirangsangkan oleh beliau sangat radikal. Penyeksaan mantan wartawan ini lebih teruk daripada penyeksaan terhadap Hasan al Hudhaibi sendiri. Dalam usia 60, beliau mengidap penyakit jantung, radang usus dan ginjal. Namun keadaan ini tidak meringankan penyeksaan yang dihadapinya.

Beliau pernah selama 4 hari tidak diberi makan dan minum. Mereka menyiram air ke badan Sayyid Qutb supaya ia semakin terseksa. Penyeksaan ini hampir meragut penglihatannya. Nasib teruk dilakukan oleh pemerintah terhadap keluarganya. Raf’at Bakar as Syafie, seorang anak saudara Sayyid Qutb telah didera didepan Sayyid Qutb sampai mati. Manakala Azmi saudara lelakinya diseksa hampir menemui ajal. Ibunya, Sayyidah Nafisah Qutb ditahan.

Adik perempuan Sayyid Qutb, Aminah Qutb dan Hamidah Qutb dipenjara dan diseksa dengan teruk bersama Zainab al Ghazali. Mereka dirantah oleh anjing-anjing hampir separuh mati.

Jeneral Ad Dajwi, Ketua Hakim memutuskan Sayyid Qutb bersalah dan dihukum mati tanpa memberi peluang membela diri. Beliau menunjukkan otot kental kepada Sayyid Qutb dan tahanan yang lain. Beliau menuduh Sayyid Qutb pengecut. Tetapi Jeneral ad Dajwi terlupa bahawa beliau bekas tahanan tentera Israel yang pernah meminta maaf dan menangis di radio Israel.

Bila keputusan diumumkan. Sayyid Qutb melafazkan ‘alhamdulillah’. Tercapai hajatnya untuk mati syahid. Pada 29 Ogos 1966, beliau bersama Muhammad Hawwasy dan Abdul Fattah Ismail syahid di tali gantung.

Sayyid Qutb sudah mati tetapi pemikiran dan semangatnya diteruskan oleh anak muda yang mencintai Islam secara keseluruhan.

Di Malaysia, karya tersohornya ‘Petunjuk Sepanjang Jalan’ diusrah dan dikuliahkan. Antara tokoh yang menguliahkannya ialah Ustaz Abdul Hadi Awang (AJK Dewan Pemuda PAS Pusat dan mantan Yang Dipertua ABIM Terengganu) di Masjid Rusila, Terengganu pada tahun 1980-90an. Anak muda yang memukau masyarakat bawahan dan intelektual ini telah mempengaruhi masyarakat terutamanya ahli PAS agar mengamalkan Islam secara keseluruhan seperti yang terkandung dalam al Quran dan hadith sesuai dengan saranan Sayyid Qutb dalam kitabnya. Ustaz Hadi menjadi fenomena ketika itu, kaset didengari ramai termasuk ahli UMNO. Beliau ketika itu dilihat ahli agama, pidatonya tanpa teks serta boleh dibukukan. Inilah keajaiban Ustaz Hadi ketika itu.

Ustaz Hadi merupakan adunan ulama pelapis dan anak muda telah menjadi rujukan utama dalam menumbangkan rejim nasionalis pimpinan Dato Asri. Setelah munculnya gagasan kepimpinan ulama, beliau antara ideolog utama PAS. Pada ketika itu, kekuatan pengaruh politik beliau melangkaui pengaruh Ustaz Nik Abdul Aziz (Ketua Dewan Ulama), Ustaz Yusof Rawa(Yang Dipertua PAS) dan Ustaz Fadhil Noor(Timbalan Yang Dipertua PAS). Pun begitu, Ustaz Hadi tidak cuba merampas kuasa kepimpinan PAS.

Ustaz Hadi digelar pemimpin radikal dan Wahabi kerana kelantangan beliau dalam bab aqidah terutama persoalan batas iman dan kafir. Kritikan keras beliau terhadap sekularisme dan nasionalisme cukup menakutkan parti pemerintah. Kemuncak usaha pemurnian aqidah ini ialah kelahiran Amanat Haji Hadi yang dijadikan senjata pihak tertentu menjatuhkan ustaz Hadi.

Keradikalan ala Sayyid Qutb ini menakutkan para pihak apabila Ustaz Hadi ditokgurukan oleh media PAS, ditaksub oleh pengikutnya serta menjawat jawatan Timbalan Presiden PAS. Setelah kematian TG Fadzil Noor, TGHH tidaklah seradikal yang disangka. Zaman radikal ala Sayyid Qutb telah berakhir dan pendekatan keras Sayyid Qutb tidak sesuai dengan suasana Malaysia.

Dalam era kepimpinan TGHH, PAS Pusat muncul puak yang mahukan perubahan. Golongan ini bukanlah tidak menggunakan pendekatan radikal tetapi liberal. Media massa pro golongan ini telah memunculkan pelbagai istilah yang boleh menghilangkan kepercayaan kepada kepimpinan(baca: melakukan pembunuhan karekter) seperti penguasaan PAS Terengganu, kroni dan Kerajaan Perpaduan. Pada tahun 2011, suasana kembali panas. Mungkin tahun ini diadakan muktamar pemilihan, kita cuba melihat sejauh mana pendekatan kaum liberal ini mencaturkan gerak dalam menundukkan kepimpinan pro ulama.

No comments:

Sebelum Loceng PRU 15 Melolong

 Sebelum Loceng PRU 15 Melolong a. Kerajaan 1. Kita perlu memahami bahawa kerajaan persekutuan pada hari ini berdiri atas sokongan para ahli...